Selasa, 27 Februari 2007

mencari makna rindu bahasa Melayu.....


PETANG tadi secara kebetulan aku sempat bertemu dangan sm zakir dan dr. lim swee tin di restoran berhampiran masjid UPM. perbincangan kami seputar nasib dbp setelah kami difahamkan budget untuk kegiatan dan aktiviti berkurangan. ada yang mengatakan bahawa budget dipotong sebab pengurusan tahun lalu tak pandai nak pakai duit. ada juga suara-suara yang menjelaskan memang itulah nasib satu-satunya badan yang berjuang mempertahankan bahasa dan sastera. tak guna bagi budget lebih sebab mereka bukan juak-juak yang boleh dicucuk hidung atau boleh dikadokpandirkan. aku sendiri tak faham?

dr.lim swee tin amat banyak beretorik. kata-katanya seperti kuih lapis yang berwarna hingga menuntut kepintaran untuk difahami atau mengetahui maksud dan buah fikirnya. tapi akhirnya, aku terasa malu apabila seseorang yang berbangsa cina seperti dr. lim swee tin itu, tiba-tiba berkata, "kalau bukan kita yang akan mempertahankan nasib bangsa dan bahasa Melayu siapa lagi." Aduhhh! satu tikaman tajam menerjah sukmaku. lalu siapakah yang lebih Melayu hari ini?

ii
membaca utusan malaysia hari ini, dalam ruangan Agama di bawah tajuk "Bahasa Melayu boleh Kuasai Sains" merupakan harapan dan pandangan yang tidak boleh dikesampingkan. pendapat-pendapat para sarjana seperti Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, Prof Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, Prof Dr. Ugi Suharto, Dr. Mohd Zaidi Ismail dan Prof Dr. Dzulkifli A. Razak sepatutnya perlu dipasak ke dalam kepala PM, TPM, menteri Pelajaran dan semua bapak menteri yang tak pernah percaya kepada bahasa emak bapak mereka sendiri atau bahasa yang telah membesar dan mengajar makna 1, 2, 3 atau beta, tambah, atau fizik, jisim, kajihayat atau bahasa yang menjadikan mereka boleh menuju ke menara gading.

bagi aku bahasa Melayu adalah bahasa sains tabie (natural science) yang punya makna berganda jika dikaitkan dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 190 yang maksudnya;
"sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi ada pertukaran siang dan malam, terdapat ayat-ayat bagi orang yang berakal khususnya daripada bahasa mereka sendiri."

aku masih keliru kenapa orang melayu masih takut dengan bayang-bayang kemerdekaan sedangkan usia kemerdekaan malaysia telah menjangkau 50 tahun. kalau orang tua yang membaca tulisan ini, tolong (sebar-sebarkanlah): kenapa semakin tuan dan dah mati, semakin kuat nyanyok dan takutnya kepada bayang-bayang pembangunan? aku tak nak bertanggungjawab dan turut sama-sama bersekongkol dengan juak-juak ini meruntuhkan tamadun sendiri. aku juga tak sanggup dituduh kerana ingin memandaikan seorang orang melayu, tetapi rupa-rupanya terpaksa membunuh satu generasi bangsa.

justeru, inilah sebabnya kenapa peningkatan ponteng sekolah, mat rempit, bohsia, bohjan, pelacur bawah usia, penagih dan macam-macam lagi berleluasa; itu semua berlaku kerana mereka takut ke sekolah sebab tak pandai berbahasa inggeris.

akhirnya sistem pendidikan di malaysia bukan untuk mendidik atau melahirkan generasi bijak pandai tetapi sistem ini telah melahirkan generasi yang takut kepada bayang-bayang kemerdekaan dan globalisasi.

para juak-juak/ menteri - ketawa dan ketawalah lagi. ketawalah puas-puas kerana kalian telah berjaya memperbodohkan bangsa sendiri.

selebihnya terpulanglah ...


ii

esok bermula 1-4 mac 2007 aku akan melangkah ke Bali, Indonesia. bersama-sama rakan seperti sm zakir, rahimidin zahari, saleeh rahamad, amiruddin ali memungkinkan ada sesuatu yang baharu bakal ditemui. sekurang-kurangnya aku sedar bahawa masih ada ruang untuk aku mencari cinta yang hilang. kata pujangga, "kembara adalah ilmu bantu yang bakal membijaksanakan." aku akan berlari dan terus berlari mengejar cinta yang kian menjauh meski untuk mendakapnya tak tergapai tangan.


wassalam...

Ahad, 25 Februari 2007

Ralat sajak "Doa Maal Hijrah di Kaki Maghrib" dan Kunjungan AJK PENA ke rumah SN Abdullah Hussein



i
syukur, kerana editor masih sudi menyiarkan sajak aku di Mingguan Malaysia hari ini (Ahad:25 Februari 2007). sayangnya ada sedikit kesilapan ejaan dalam sajak itu. aku betulkan kesilapan yang berlaku dalam rangkap terakhir sajak itu. ralatnya begini;

Saat dibaluti usia yang menua ini
kenangan mengajar aku
menjadi pengembara
yang tegar mencari cinta insani
pengubat redha dan takwa
yang sering berlegar
dalam nurani hijrahku.

ii
begitulah kesilapan yang berlaku antara 'reda' dengan 'redha' dan 'bergelar' dengan 'berlegar'. kesilapan ini menjejaskan nuansa roh islami.

iii
pagi tadi, kami rombongan PENA yang terdiri daripada Dato' Baha Zain, Dr. Ahmad Razali, Dr. Ibrahim Ghaffar, Isma Saring, Saleeh Rahamad, aku, Saifulizan Yahya, Najmi dan Raja Rajeswari telah melakukan kunjung hormat ke rumah SN Abdullah Hussein (SNAH). SNAH sedang sakit dan baru sahaja dibedah untuk membetulkan saluran sistem pembuangan. kami benar-benar syahdu apabila cara kami berkomunikasi hanya menggunakan kertas, pena dan bahasa tubuh. SNAH sudah kehilangan deria pendengaran. kata-katanya, "saya sudah tidak boleh berfikir lagi" benar-benar menyentuh naluri kesenimananku.
sebelum pulang aku menulis soalan terakhir kepadanya;

Soalan: Bapak, bagaimana bapak melihat nasib bahasa dan sastera
Melayu sekarang ini?
SNAH tidak segera menjawab. dia merenung wajahku tajam. dengan suara yang cukup dalam dan seperti ditahan-tahankan tiba-tiba yang terdengar adalah kesyahduan. air matanya mewakili jawaban pertanyaanku. Dato' Baha Zain mengusap-usap belakang dada SNAH. di raut wajah kami ada bayangan berat yang bakal digalas.

lalu terfikir oleh aku bahawa para menteri di Malaysia ini sudah lama mengerti bahawa bangsa Melayu itu bukannya agama islam dan bahasa Melayu itu bukan al-Quran yang perlu dipertahankan. mereka para menteri itu pun mengambil keputusan bahawa bahasa dan bangsa Melayu boleh diubah-ubah mengikut zaman dan masa. alangkah malangnya aku bermenterikan mereka yang lebih layaknya dipanggil "AYAM KAMPUNG BERBULU BABI HUTAN".

gambar kunjungan kami boleh dilihat dalam akhbar berita harian /utusan malaysia akan datang kerana bersama-sama kami ada wartawan BH dan UM.

Sabtu, 24 Februari 2007

selepas 5 safar 1428H

malam tadi, aku dihubungi oleh seorang rakan dari Pekan Bharu, Indonesia. dia seorang pensyarah di UNRI juga menangani majalah Horizon dan Kompas. lelaki yang cukup kukenali ini bertanya khabar disamping memberi sedikit komen tentang kumpulan puisi sulung aku 'taman percakapan'. sayangnya dia lebih banyak memuji dari mengeji. itu haknya. tetapi secara serius aku sebenarnya berharap beberapa teguran membina daripada rakan-rakan sepenulis. tapi tak mengapalah.

ii
kepada rakan-rakan yang berjaya membawa pulang hadiah yang lumayan daripada sayembara Jubli Emas DBP jumaat lalu, TAHNIAH. teruskan perjuangan dan menjadi lebih berani untuk mengkritik tanah air yang kian gawat sosiobudayanya juga membawa pemikiran baharu dalam karya mendatang.

iii
dengan jumlah wang yang besar itu, aku lihat sastera mula dihargai. cuma bila lagi pemenang sesuatu sayembara akan menikmati hadiah iringan kereta atau rumah atau apa-apa sahaja? kata seorang rakan, "buka mata bukalah minda". "fikir-fikirkan," sambungnya lagi pada suatu malam yang dingin di bawah bulan yang jingga.

iv.
aku sedang membaca buku "menjadi kekasih Allah" karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. isinya benar-benar menyentuh kalbu. beberapa halaman yang aku tekuni seakan sindiran kepada diriku yang rasanya kian kecil dan akan mengecil di buana ini. lalu apa yang sedang menerawang di fikiran ialah, "sampai bila aku akan dibaluti sifat laro' (sifat sia-sia) dalam kehidupan yang tidak pernah menjanjikan detik usia pengakhiran. usia yang kian menua ini kadang-kadang tidak pernah memberikan ingatan terhadap kebebasan, keseronokan dan cinta. mungkin inilah rahmat di sebalik ciptaan syurga dan neraka Allah.

Tuhan,
langkah yang kugiring ini
ke mana tujunya
ke kanan syurga
atau ke kiri neraka?
berikan aku segugus jawapan
dari taman rindu-MU.

madrasah sham al-johori,
kuala lumpur.

Khamis, 22 Februari 2007

membaca sebuah dunia yang lain


i
malam yang tidak bercahaya seperti kehilangan bulan dan bintang benar-benar memeranjatkan seluruh warga alam. paling derita ialah sang pungguk. jelas resah di wajahnya tidak boleh diselindungi apatah lagi wajah pipit, ulat bulu, pacat, ular mahupun binatang-binatang yang berkaki dua dan berkaki empat. di fikiran mereka hanya terbuku satu pertanyaan sahaja iaitu, "ke mana perginya cahaya?".
"cahaya apa yang kau cari?".
"aku bukan mencari cahaya tetapi cinta.".
"bukankah kau telah lama membunuhnya? atau sengaja kau timbulkan isu ini untuk mendapat simpati teman-teman?".
aku tidak memberikan apa-apa maklum balas. aku merenung wajahnya yang mula mencurigai tindak tanduk aku. aku menatap tapak tangan kanan sambil membaca garis-garis yang tertera dalam kegelapan malam. garis-garis yang gagal aku terjemahkan itu adalah sebuah dunia yang lain. garis-garis itu punya cerita tersendiri yang memungkin atau menidakkan ringkasan kehidupan kita.
"garis! garis apa yang kau temui daripada tapak tangan kau?"
"aku mencari garis horizontal dan vertikal yang asli. dua garis inilah yang memungkinkan seluruh masa depanku."

ii
itulah sebuah dunia lain yang aku temui di bukit bintang malam semalam. mereka lebih percaya kepada kesyirikan daripada kebenaran Al-Quran.

iii
aku segera berpaling. menatap perempuan-perempuan yang sesekali menguji sejauh mana tebal dan nipisnya iman. mahabesar ciptaan-Mu, Allah.

Rabu, 21 Februari 2007

apabila batas kemanusiaan tercabar

tentu kita terperanjat apabila mendengar dan menatap akhbar tentang kisah seorang ibu yang membunuh dua orang anaknya sendiri. lalu pertanyaan yang bermain di benak kita ialah, "tergamak dia membunuh anak sendiri? gilakah dia?". jawapan bagi pertanyaan ini ialah sama ada tergamak atau gila iu bukan persoalannya. yang penting ialah ASAS AGAMA iaitu ISLAM. Ketentuan dan qada qadar Allah tiada siapa boleh atasi kecuali dengan meningkatkan diri ke arah ketaqwaan dan tawaduk. masalah adalah ujian Allah kepada hambanya. kebahagiaan, derita dan rasa tidak puas hati adalah lumrah atau asam garam kehidupan. Rasullullah saw yang digandingkan namanya dalam kalimah syahadah pun diuji oleh Allah. Kalau nabi yang mulia di sisi Allah diuji dengan kezaliman, fitnah dan sihir; inikan kita manusia biasa. MASYALLAH.

ii
Berbalik kepada cerita si ibu tadi, pembunuhan atas dasar cemburu kerana si suaminya berniat untuk berpoligami. salah ke poligami? justeru tidak membaca sirah islam maka jalan pintas ialah berindak di luar kesedaran. inilah keadaan kehidupan masa kini. nafsu telah menguasai fikiran. keberanian telah mengatasi kebijaksanaan.

iii
bayangkan apakah yang akan berlaku kepada si ibu dan si bapa selepas ini? puaskah hati mereka? atau penjara boleh mendewasa dan mengampunkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

YA ALLAH, ampunkan dosa mereka dan berikan kekuatan kepadaku untuyk meneruskan hidup. jangan kau jemu YA ALLAH untuk terus memberikan rahmat dan hidayah-Mu kepada diriku. AMIN.

Ahad, 18 Februari 2007

salam dari tanah amsterdam


salam dari negara di bawah paras laut.

membuka mata pagi ini benar-benar menginsafkan. harum tulip seperti harus air mawar yang membasahi kain kafan. aku menghirup harum itu sedalam-dalamnya dengan penuh titis air mata. selainnya tak banyak yang aku dambakan.

kata-kata seorang teman berdarah turkis campur duest menggugah fikir. katanya "kenapa orang melayu terlalu percaya kepada adat?". aku tidak segera menjawab pertanyaan demi pertanyaan itu. aku segera teringat watak ATAN dalam novel Sakura Mengorak Kelopak karya Arenawati. kalau atan boleh mengawal nafsu daripada godaan gisha di jepun mengapa aku tidak boleh? lalu aku teringat juga kata ustad jahid sidek, katanya "pokok pangkalnya iman dan hati. di barat tak ada jabatan agama islam macam JAWI atau JAIS. kalau nak buat maksiat tak ada orang yang marah. tapi kita kena ingat bahawa Allah ada di mana-mana. mata Allah tiada sempadan. Allah boleh lihat apa-apa sahaja yang kita lakukan".

pagi itu, selepas sarapan aku bergegas ke rottedham. melihat laut dan bilar-bilar langit yang dipancar matahari yang dingin. ketika sedang membelek-belek sms dari rakan penulis, aku disapa, "bon dia (apa khabar)?" bahasa duest (belanda) pekat itu mengejutkan aku. berpaling dan menoleh siapa, hatiku tiba-tiba berombak. "Tak mungkin," getus hati kecilku. dia merenung tajam ke arahku.

seorang wanita lingkungan 30-an, bertahi lalat di bawah bibir kiri, bertudung putih menghulurkan buku Taman Percakapan. "Karya saudarakah buku ini?".

aku tidak segera menjawab malah banyak yang aku fikirkan.

Sabtu, 17 Februari 2007

membilang masa lalu


i

tak ramai yang tahu bahawa masa lalu adalah pengalaman yang indah dan mendewasakan. kalaulah masa itu boleh berulang kembali tentu seronok. dilahirkan semula; menjadi bayi, dan menangis di alam kanak-kanak amat menyeronokkan. aku tak dapat bayangkan... kalau kesempatan itu mampu aku gapai kembali, dan aku berada di alam persekolohan; sudah tentu aku akan pastikan spm aku cemerlang kemudianh aku akan berada di luar negara untuk meneruskan phd. dan tentu negara yang akan aku pilih ialah belanda/ holland.

kenapa belanda?

pertamanya, negara ini berada di bawah paras laut.

kedua, belanda adalah kota bunga-bungaan. harum tulip dengan warna yang memukau adalah estetika alam yang tiada tandingannya.


ii

aku sempat membelek-belek album ketika berada di perantauan. memikirkan kembali masa itu, banyak yang mengajar aku erti cinta akan tanah air. bumi kelahiran tidak sama dengan tanah kembara meski tidak indah atau meruntun kalbu. tetapi, di tanah nurani ini - kecintaan terhadap islam segar di mana-mana.


iii

aku baharu selesai membaca tulisan Rejab FI dalam 'siasah'. dia tulis tentang apa yang akan terjadi terhadap nasib bahasa dan budaya melayu tahun 2020. menarik tulisannya. aku dapat bayangkan pada waktu nanti apabila orang melayu tak pandai berbahasa melayu. baju melayu dah tak ada, nama-nama orang melayu juga dah tak ada. kitapun rasanya dah tak akan dengar lagi nama melati, noraini, mawar, abu, dan lain-lain. itulah yang dikatakan wawasan 2020.

Jumaat, 16 Februari 2007

bursa yang anggun



i
daun dari pohonan anyatuk bertukar menjadi kuning, jingga dan kemerahan. inilah pemandangan yang menarik dan sukar dilupakan. aku mengutip beberapa helai daun itu untuk dijadikan 'bookmark'. sehelai daun yang kering itu aku berikan kepada sdr. lutfi ishak sang cerpenis muda tanah air yang gila berfalsafah.

ii
tanah bursa dingin dan sesekali sejuknya menggigit tulang. sebelum mendaku gunung Ulda untuk bermain salji, aku menjamah roti, kapicino dan kebab. itulah makanan yang menyelerakan di bumi turki.

iii
aku menyusur bandar mencari kedai buku. orhan parmuk yang baharu sahaja memenangi anugerah novel, novelnya dijual dengan harga beratus rila. novel 'Snow'nya hanya aku belek-belek sebab harganya di MPH atau konikonuia hanya rm59.90. kata penjual buku itu, "kita menghargai sasterawan kita". aku terfikir karya terbaharu latiff mohidin yang diterbitkan semula oleh petronas dengan harga yang mahal. mungkin kita ke arah itu.

iv.
selamat membaca.

mencari makna diri i

i.
kehidupan adalah ujian. kembara adalah pengalaman yang akan menentukan lulus atau gagalnya perjalanan hidup seseorang. justeru, kita perlu melaluinya dengan penuh tabah, dedikasi dan sabar.

kadang-kadang kita perlu merenung ke dalam diri sendiri. kita kena tanya diri sendiri, apakah betul atau salah tindakan kita? mengakui kelemahan diri sendiri bermakna bukan kita lemah atau malang. tapi itu adalah keberanian yang akan mematang dan mendewasakan.

ii
kesedihan yang menyelimuti diri berlaku dalam diri semua manusia. tuhan ciptakan kesedihan, kemurungan dan keracuan diri semata-mata untuk melatih diri menyayangi diri.

iii
kita perlu mencari seseorang yang rapat untuk mendengar masalah keracuan diri. dengan meluahkan masalah, sekurang-kurangnya kekusutan itu telah diluahkan. meluahkan masalah bermakna jalan penyelesaian telah terbuka. carilah manusia pendengar yang diyakini jujur dan ikhlas. keakraban akan menjadikan kita lebih terbuka, berani, damai dan tenang. mencari ketenangan adalah sebuah kedamaian yang bahagia.

SENJA DI LANGIT ANKARA

langit merah
membara di dada lukaku

matahari berdarah
titisnya jatuh ke kalbuku

senja ankara
wajahnya lara berpanjangan

senja di langit ankara
mengajar aku makna rindu
yang kau tinggalkan.

ankara, turki.

Khamis, 15 Februari 2007

sebuah dunia sepi


tersebutlah kisah sebuah dunia sepi yang berada di negeri angin. syahadan ketuanya seorang yang pelahap, bahlulu lagi tamak haloba. maka pada suatu hari ketika matahari hampir menjunam ke ufuk langit, dia bertukar menjadi serigala. anehnya, wajahnya sahaja serigala tapi kaki, tangan dan perutnya seperti seekor khinzir. aneh bukan. maka selepas itu, setiap kali malam menjelang, dia akan keluar melihat-lihat bangsawan negara yang boleh dilapah.

sebuah cinta yang lain

SETELAH KAU BERLALU

sebuah cinta dan sebuah rindu yang lain
berdakapan di bawah mendung kekinian
sambil menjuraikan air mata

aku, matahari dan engkau
saling berpandangan
sambil menggenggam cahaya
yang membara dalam ingatan

antara kita
kau masih perahsia yang sukar dimengertikan.

mina-arafah, mekah.

selepas valentine day

i
aku terperanjat gila apabila melihat wacana kehidupan remaja hari ini. masakan tidak, semuanya berlaku di depan mata. seperti wayang cerita eropah. entahlah, mungkin remaja hari ini akan menjadi melayu kuno jika tidak ikut trend barat. tapi soalnya, adakah remaja barat pun macam tu? nah, inilah keracuan yang memungkinkan wawasan 2020 negara kita.

ii
hari ini aku tak akan bercakap pasal politik tapi cinta dan rindu. mari kita fikirkan bersama-sama. apakah cinta dan rindu itu memerlukan pergorbanan sehingga tergadai maruah dan kesudian? kepayahan merasai dan menikmati perasaan itu selalunya akan menyebabkan pelakunya derita dalam bahagia. pelakunya merasai nikmat yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

SOALANYA; ADAKAH CINTA YANG BERLAKU ANTARA DUA INSAN ITU SAMA DENGAN CINTA DAN RINDU KEPADA TUHAN?

rakan-rakan aku kian keliru antara dua pertanyaan ini.

mari kita raikan cinta dan rindu kepada Tuhan.

Rabu, 14 Februari 2007

tentang manusia dan kemanusiaan


i.
semalam selepas pulang dari mengajar di UPM, aku ditemukan dengan rakan yang lama tidak dihubungi. rakan itu sedang menyambung pengajian dalam usia yang lebih tua daripada aku. itu petanda baik dalam konteks 'budaya ilmu'. yang peliknya, dia seperti termalu-malu melihat aku yang masih macam dulu. itu katanya... tetapi aku sebenarnya telah lama meninggalkan zaman jahiliah yang banyak merosakkan diri sendiri. aku lebih suka menyendiri sejak akhir-akhir ini. kejadian-kejadian dan peristiwa yang berlaku di dunia seperti satu peringatan tentang detik-detik akhir yang bakal menyusul. berbual dengan rakan itu, banyak mengajar aku bahawa dunia ini kecil dan kian mengecil.
kalau kau baca blog ini, mengertilah... kita perlu menginggalkan zaman remaja/muda kita yang jahiliah. cinta yang kita kejar itu hakikatnya adalah kepalsuan dan kebodohan. cinta sejati ialah cinta kepada Allah yang satu.

ii
berita demontrasi dbp; menentang ahli lembaga pengelola dan kp dbp mendebarkan. apa yang telah terjadi? adakah penentangan kerana birokrasi atau kerana apa? tapi yang aku lihat dari pandangan kabur ialah dbp memang dah hilang taring. kalau dulu aku sanggup berjalan kaki dari UM ke dbp untuk berjumpa dengan penulis-penulis besar/ sasterawan negara - jumpa dena berborak hingga malam adalah PnP yang paling berjaya. hari ini, semua itu tinggal kenangan sahaja. kalau aku ke dbp pun, aku seperti berada di pusat sumber yang serba ada dalam tiada.

iii
PIN (Pelan Integriti Nasional) amat hebat didengari juga amat gah dirasai. tetapi sedarkah kita bahawa PIN itu tidak berlaku dalam institusi kebudayaan negara. lihatlah bagaimana ketelusan bahasa melayu merentas kurikulum dikhianati. bahasa melayu dikatakan gagal mengilmukan matematik dan sains. bahasa melayu dikatakan bodoh dan bahalul di mata dunia. entahlah...

sepanjang aku berkembara ke luar negara - bertapa bangganya negara-negara itu mempertahankan bahasa bangsa sendiri. kadang-kadang aku fikir, memang wajarlah nama negara kita bukan tanah melayu atau melaya kerana bahasa melayu dah lama mati. tidak seperti negara cina, india, turki, inggeris yang mengekalkan nama bangsa untuk nama negara mereka. berbanggalah mereka.
... dan selamat menyambut 50 tahun merdeka dengan kesedihan dan kepedihan yang terhukum.

Isnin, 12 Februari 2007

salam rindu.....





salam rindu yang memungkinkan kita kembara.

detik-detik diri di daerah rindu.......

kadang-kadang kita perlu melihat ke dalam diri sendiri. membaca diri sendiri lebih bermakna daripada membaca diri orang lain.

detik-detik diri di daerah rindu

inilah sebahagian daripada rindu itu......

sejarah dan masa kini yang mendekatkan


i
kadang-kadang masa lalu yang ditinggalkan terasa banyak ruginya. bagi aku, masa lalu yang indah dan yang mewarnakan kanvas perjalanan hidupku. merenung dan sesekali mengingat kembali kenakalan dan keberanian telah memungkinkan kedewasaan.

ii
hari ini, kekinian yang selalu dibayangi masa lalu tak pernah memberikan jawapan kepada makna 'rindu', 'cinta' dan 'perkasihan'. cuma satu, mungkin rasa insaniah dan keTuhanan sahaja yang memberikan kepuasan untuk meneruskan sisa-sisa perjalanan usia ini.

iii
dalam kejauhan aku terasa dekat
dalam keriuhan aku terasa jauh
dalam kebahagiaan aku terasa sepi
dalam kekinian aku terasa masa lalu
yang memungkinkan kesegalaan.

wassalam.

Sabtu, 10 Februari 2007

KOLEKSI SAJAK TAMAN PERCAKAPAN

*Sedutan dari kumpulan sajak "Taman Percakapan" yang telah diterbitkan oleh DBP, 2006


Percakapan kepada Seorang Kekasih

hiruplah sebahagian daripada derita masa lalu
sambil mencium harum yang menusuk

kau perempuan lahir dari pelabuhan rindu
datang khabarkan nyanyian sejambak mawar
kepadaku; lelaki dari pergunungan atma cinta

inilah saatnya kita himpunkan aksara nestapa silam
membebat luka yang mendarah dengan mantera sunyi
menyepuh kasih yang menanah dengan zikir sepi
maka lenyaplah kesangsian doa seorang aku
yang murba sayangnya terhukum
oleh jarak dan waktu masa lalu

kekasih,
aku ingin melihat segala-galanya mewangi
dan harumnya tumpah ke dalam cinta abadi.

Kuala Lumpur – Jakarta.



Percakapan kepada Seorang Rasulullah ii

ketika kau khabarkan sunyi akan berangkat
sebelum isyak
aku terkurung dalam kandang sepi
dengan tangan dan kaki terikat
pada malam yang menangis akan perpisahan itu

kau tahu,
antara Isyak dan subuh 12 Rabiulawal itu
pujian selawat silih berulang
dan launganku yang tulus
gemanya halus menusuk
membelah tujuh lapis cakerawala

subuh 12 Rabiulawal dan aku
adalah mimpi yang kuidamkan
mencipta hijrah mencinta iman
sambil mengutus terima kasih
yang tak terbalas nikmatnya.

Kuala Lumpur.


Percakapan kepada Saiyidah Syahirah

kau mawar dari kota perkahwinan
asal dari benih suci ayahbonda
kau mekar mengharum
aromanya melengkar ke pelusuk buana
ranggimu yang putih
tangkaimu yang berduri
adalah peribadi yang tegar di sukma

kau puteriku,
aku rindu segugus puisi dari fikirmu
karangkan kata-kata bernafsu sayang
dengan falsafah cinta Rabiyatul Adawiyah
atau makna rindu Siti Khatijah
aku ayahmu
akan selalu mengutus doa
agar kau tidak mudah keliru
antara tawaduk dan rakus
antara haq dan batil
antara syurga dan neraka.

Saiyidah Syahirah
binalah monumen kemasyhuran akal dan fikir
dan kasih seorang ayah
yang bakal menjadi sejarah
dalam lingkaran usiamu.

Batam, Indonesia.



Percakapan yang Tak Pernah Usai
(apologia kepada rakyat Palestin)

hari ini darah itu menitis lagi
titisannya jatuh ke baju putihku
aneh! baunya harum menusuk qalbu
tapi kau tak pernah merasa pedih
dari luka perang itu.

hari ini darah itu menitis lagi
darah anak-anak tak berdosa
berselerakan di jalan hidup
tangisan menjadi gurauan tak bermakna
rintihan menjadi nyanyian nestapa
rayuan menjadi mantera yang lara

hari ini darah itu menitis lagi
merahnya bertukar menjadi putih
putihnya bertukar menjadi dendam
dendamnya bertukar menjadi jihad
jihadnya bertukar menjadi api
dan, api itu menjelma menjadi berani
lalu berani pun menghunuskan pedangnya
kemudian menikam-nikam hati petualang.

hari ini, darahku dan darahmu
merahnya tetap sama.

Kuala Lumpur.



Waktu itu: Antara Ramadhan dan Syawal

masih tegar dalam ingatan, al-mubarak
saat kau menuntun tanganku pulang
setelah aku jauh tersasar di dunia
yang siang tak bercahaya
dan malam yang kehilangan segugus bintang

seperti seorang ayah
kau mengajar aku mengangkat
kedua tapak tangan ke langit
sambil mengharap aksara doa
melepasi makna dan hakikat
pada malam-malammu
hingga aku merasai
tidurku berselimutkan haruman narwastu
mimpiku adalah tadarus yang tulus

dan tatkala subuh Syawal yang hening
mengucapkan salam kepadaku
aku telah menjadi lelaki
yang kehilangan rindu dan cinta
ramadhan al-mubarak

kepada-Mu
nantilah aku dalam rutin atma yang panjang.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Percakapan Baitulmuqadis Pada Subuh 1 Syawal

saat takbir bergema di langit Baitulmuqadis
darah dan air mata masih menitis
doa sengsara tajam menikam langit
dan luka di bukit Ramalullah

“beginilah saban tahun
aku menyambut kemenangan Ramadhan
tanpa kebab dan kambing panggang
atau cepati berkuah dalca
tapi pasir dan batu-batu menjadi juadah,” katamu
tatkala peluru dan motar menerawang di ubun kepala.

sahabat seislamku,
percakapan ini adalah peringatan kepadamu
demi tangis dan gurau pedih
rintihan tidak menjadi nyanyian nestapa
rayuan tidak menjadi ratib lara
sebelum kita kehilangan takbir raksara.

Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar
Allahhu akhbar Walillailham
Syawal yang syahdu
aksara ini adalah harum darah yang menabrak ke cakerawala.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Aksara Rindu

selamat menghirup sinar hijrah
moga pagi ini kau terus mengharum
dalam musim panen bungaan – dilimpahi rezeki maknawi
tak terbilang syukur berbuah taqwa
rohnya lazat penyubur rohani
zahirnya nikmat pengindah jasmani.

selamat datang ke ladang aksara rindu
anginnya narwastu airnya madu
tanahnya Madinah apinya Mekah
dindingnya Kaabah pintunya syahadah
selamat datang ke lembah muhasabah diri
mengenal azali mengenal maknawi
mencari mustika kalbu
membongkar makna diri.

inilah ladang aksara rindu
jemput dan petiklah buah taqwa
sambil menghirup kalimah dari telaga iman
dan menjamu zat dari fitrah zikir
nikmati semahu nafsu
dalam keredhaan dan syukur-Nya
tanpa hasad, dendam dan iri.

selamat datang jika memilih bebas fana duniawi
menikmati musim semi kebahagiaan
mencari cinta abadi
belajar mengenal alif itu Allah
lam itu luhmahfus
mim itu maha sifat segalanya
dan alif lam mim itu adalah rahsia tak berjawapan
yang hilang dalam sebuah kewujudan.

di ladang aksara rindu ini
aku bersyukur walau tak kutatap wajahku sendiri
kerana lidah dan hati yang kuberi
ikhlasnya jalan yang tak berpenghujung.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Percakapan Seorang Amirulfakir

aku kerdil dalam cakrawala ini
jangan ditutup pintu hati
aku bawa doa burung, rama-rama dan belalang
aku bawa doa lipan, ular dan jengking
aku bawa doa rumput, pohon dan bunga
aku bawa doa ikan, ketam dan karang
kupersembahkan kepada-Mu
tatkala usia munajat menuju tua.

sesekali ingin rasanya aku bertanya; untuk apa?
bijaksana yang tumbuh dari akal
bodoh yang tumbuh dari nafsu
uban yang tumbuh dari rambut
rabun yang tumbuh dari mata
tuli yang tumbuh dari telinga
rongak yang tumbuh dari gigi
sakit yang tumbuh dari sihat.

aku yang tumbuh dari tanah
jangan kau balut tubuhku dengan mahing bangkai
jangan Kekasihku jangan
anugerahkanku sebidang lahad subur
di atasnya tertanam pohonan mawar
juga rumput-rumput yang Kau sayang
harumnya menggamit tahmid dan zikir.

inilah sebuah percakapan yang lain
kuungkapkan ketika tarhim mengejut matahari
dan seorang lelaki yang sedang
membungkus sunyi dari sekian takdir
setelah keliru mengenal diri
antara kiri syurga atau kanan neraka

aku seorang amirulfakir
tidak akan bertanya
ke mana hilangnya doa-doaku
ke mana ghaib tangis malamku
kerana aku takut terhimpun
dalam kandang yang tak mengenal
syukur dan ikhlas
zat dan makrifat.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Di Kebun Aidiladha

di kebun ini pagi 10 Zulhijah
darah kibas memercik dan membuak
Ismail tak pernah merintih
Ibrahim tak pernah bersedih
lewat Tuhan menghiris hati
kemanusiaan seorang ayah
menyembelih rasa insaniah
seorang rasul.

pada subuh Jumaat itu
rahsia kerelaan terungkap
dalam ghaib pasrah
Ismail lambang korban bukan penderaan
kibas mati roh suci melayang
bersama harum ke ararsh gemilang
sambil menganyam tangis taqwa ayahbonda

ii.
di taman Arafah ini
Maha suci kudrat-Mu
waktu Ismail dan almarhum alaihisalam
ku seru berkali-kali
rasa syahdu akan kebesaran-Mu
memaknakan keinsafan,
sebuah perjalanan jauh
kembali ke janin ibu.

di kebun Aidiladha ini
ingin kugapai kecapi cinta yang tinggi
sambil berlari dari Safar ke Marwah
melontar syaitan di Jamratul Akaba’
untuk kubentuk peribadi; mencari diri
menemukan yang satu;
kurangkul-Mu ke hati
untuk kudakap seerat-eratnya.

menjadi tetamumu Padang Arafah
peluh yang mengalir dari zat asmara
kubawa pulang
menjadi penawar dahaga kasih-Mu.
menjadi penawar rindu syurga-Mu.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Percakapan Kepada Seorang Rasulullah i

dalam kenangan
sentiasa aku
rindu dan cinta;
menyusuri jejak Muhammad
meski akal akan kehabisan wacana
akan tetap kukirimkan
sebait kata.

dalam ingatan
kulakar makna zuhud
yang menjelma dari sinar perang;
antara jihad dan madani
telah terbangun negeri sejarah
yang terbilang dalam gemilang.

Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.



* Untuk menghayati sajak-sajak seterusnya, sila dapatkan kumpulan sajak berjudul "Taman Percakapan" yang telah diterbitkan oleh DBP, 2006.

TAMAN PERCAKAPAN

i.
Aku mungkin tak sehebat Ali Syaryati atau Naquib al-Attas, tetapi sekurang-kurangnya batas fikir yang Tuhan berikan telah mampu aku manfaatkan sepenuhnya. aku dilahirkan untuk menjadi penulis sajak dan kerana itun aku perlu menjadikan aku manusia yang perlu berulit dengan kata-kata.

ii.
Sajak-sajak dalam kumpulan sajak "Taman Percakapan" ada yang usianya mencecah 25 tahun. paling mudapun berusia empaat tahun. Aku tulis sajak sebab sajak adalah sebahagian daripada kehidupan. Sajak macam nasi kata Masuri SN. Sajak adalah nadi kata Latiff Mohidin. Sajak adalah nyawa kata Sitor Sitomorang; bagi aku, sajak adalah isteri yang perlu kutiduri setiap waktu.

SELAMAT BERUZLAH

Inilah sejumlah taman percakapan
yang merimbun di ladang kata-kata.

Kepada sekalian sahabat
kuucapkan selamat beruzlah
di celah dua gunung 'berapi'.