Khamis, 30 Ogos 2007

AWAS DENGAN MERDEKA YANG SEDANG KITA KECAPI

i
Gambar-gambar aku ketika berada di Laut Marmara dan Masjid Biru, Istanbul, Turki.

ii
Aku perturunkan satu kisah yang benar-benar menyayat hati bangsa dan sebuah negara Islam. Kisah ini berlaku apabila daulah' kesultanan negara itu musnah setelah mengecapi makna MERDEKA. Relevennya kisah ini dengan negara kita ialah apabila konsep kedaulatan diraja negara kita dihakis/terhakis oleh kelicikan UMNO. Kini, siapakah yang boleh kita harapkan setelah kuasa raja-raja Melayu hanya tinggal nama sahaja. Kuasa yang sebenarnya telah dirampas oleh penjajah dalam bentuk baharu (penjajahan pascamoden). Kita tidak dijajah oleh barat atau timur sebaliknya kita dijajah oleh bangsa Melayu sendiri yang tidak memiliki hati, jiwa, nurani atau roh Melayu. Mereka telah mengadaikan nasib bangsa dan agama kerana KUASA dan KEPENTINGAN. Lebih teruk lagi apabila kuasa itu kian menggila hingga tidak dapat membezakan makna 'Perjuangan, Pengorbanan atau Kerakusan'

Sekarang, fikirkan apa yang telah terjadi kepada nasib Melayu? Masih adakah era Kesultanan Melayu?

Kisah ini sudah lama aku pendam sekembali aku daripada tanah Istanbul, Turki. Ini kisah raja Turki yang hidup terhina di bawah rejim sekular Muatafa Kemal Atartuk. Pengajaran daripada kisah ini ialah; tidak mustahil raja-raja Melayu yang berada di negara Malaysia ini akan mengalami nasib yang sama suatu hari nanti.

Hayati dan fikirkan kisah ini kemudian renungkan. Sepuluh tahun lagi selepas kita menyambut 50 tahun merdeka di manakah institusi kesultanan/ raja kita?


Sultan Abd Hamid 11... derita dalam buangan

Tidak dapat dibayangkan bagaimana sedih dan kecewanya sultan terakhir Daulah Uthmaniyah Turki, Sultan Abd Hamid 11 menghadapi saat-saat genting ketika diturunkan dari takhtanya oleh rejim sekular Mustafa Kemal Ataturk dan kemudian beliau diasingkan dengan hinanya ke Salonika (Yunani).

Beberapa waktu kemudian Sultan Abd Hamid dipindahkan pula ke istana tua Belarbe, Istanbul, bukan sebagai raja yang kembali berkuasa, tetapi sebagai tahanan dalam istana hingga wafat pada 10 Februari 1918 dalam keadaan sepi dan kecewa pada ketika negaranya, Turki bertukar pemerintahan dari Daulah Uthmaniah yang beribu negara di Istanbul kepada pemerintahan perwakilan yang membentuk parlimen di Ankara di mana Ataturk mengisytiharkan dirinya sebagai presiden republik Turki.

Maka lenyaplah kuasa Daulah Uthmaniyah pada 1924. Sultan Abd Hamid 11 adalah pemerintah Daulah Islamiyah dari generasi yang ke-27.

Ketika merenung laut Marmara yang membiru, tidak jauh dari Dolmabance, salah sebuah istana lama Sultan Abd Hamid di Istanbul pada suatu pagi beberapa waktu lalu, saya teringat catatat hariannya yang telah dibukukan di mana menceritakan detik-detik akhir kejatuhannya dengan sangat pedih dan getir. Iaitu kisah bagaimana ia dibuang negeri ke Salonika bersama putera puterinya, diasingkan di istana tua, dihina dan beberapa kali percubaan membunuhnya oleh ejen tentera Ataturk.

Catatan hariannya itu, antara lain menyebutkan bahawa penggulingan kerajaan Uthmaniah adalah disebabkan:

* Konspirasi jahat dari negara kafir – Inggeris, Perancis, Itali, Prusia, Rusia dan lain-lain yang menghendaki hancurnya Daulah Uthmaniah.

* Pecah belah yang ditaja oleh negara Barat melalui nasionalisme yang mengakibatkan negara Balkan seperti Serbia, Montenegro, Bosnia Herzegovena, Crosia, Kosovo, Bulgaria, Hungary, Rumania, Albania, termasuk Yunani, membebaskan diri dari ikatan Daulah Uthmaniah. Begitu juga perbuatan negara Arab – Mesir, Hejaz, dan Nejd, Lebanon juga keluar dari Daulah Uthmaniah kerana dihasut oleh Inggeris.

* Tentangan dari organisasi massa seperti Turki Muda, Persatuan dan Kemajuan, dan orgaisasi wanita yang menuntut kebebasan dan hak sama, yang didukung oleh negara asing, semuanya untuk menghancurkan Daulah Uthmaniah.

* Kekuatan Yahudi dan Freemason yang mahu mendirikan negara Yahudi di Al-Quds (Palestin).

Dari catatan harian Sultan Abd Hamid II ini, kita boleh mendapat pelajaran sejarah yag amat berharga, terutamanya detik-detik akhir kehidupan seorang khalifah.

Semasa dalam tahanan di istana tua itu, Sultan Abd Hamid dan keluarganya dihina denga amat sangat oleh para pengawal tentera. Mereka tidak dibenarkan membaca akhbar dan mendengar radio, diberi makanan sekadarnya, tidak dibenarkan keluar istana. Bahkan berlaku suatu peristiwa jahat para pegawai tentera yang menjaganya. Pada suatu malam Aidiladha, askar yang mengawal cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap puteri Sultan, bernama Sydiyah.

Tentera pegawal itu menimbulkan perkhabaran bahawa mereka merancang akan meletakkan gas di bawah kamar puteri Sydiyah dan ketika istana itu terbakar, puteri sultan itu akan lari mendapatkan askar yang berkawal untuk meminta perlindungan. Di situlah dirancangkan perbuatan tidak senonoh terhadap puteri Sydiyah dan akan dihebahkan kepada akhbar di Istanbul untuk memalukan sultan dan keluarganya. Namun perancangan itu gagal.

cubaan membunuh
Catatan harian Sultan Abd Hamid itu menyebutkan peristiwa percubaan askar pengawal untuk membunuhnya di istana tua tempat ia dikurung. Ini berlaku, menurut pembantu khas Sultan, Ali Said Bek, ketika Sultan Abd Hamid pergi bersolat Jumaat di kota Istanbul. Selepas solat beliau menaiki kenderaan untuk pulang ke istana. Di tengah jalan beliau bertemu dengan Syeikhul Islam Jamaluddin Afandi dan berbincang panjang mengenai pelbagai masalah Turki.

Akhirnya Sultan terlambat pulang ke istana dan ini menyelamatkannya dari menjadi korban ledakan bom yang dirancang diletakkan di istana untuk membunuhnya ketika pulang dari solat Jumaat. Ledakan bom oleh orang Armenia itu sangat dahsyat. Bangunan tempat Sultan tinggal telah terbakar, banyak mangsa yang hangus dan berjatuhan, serpihan kaca bertaburan.

Sultan Abd Hamid waktu itu dalam perjalaan pulang ke istana dan amat terkejut dengan peristiwa itu.

Beliau menceritakan bahawa sama ada ketika dalam pembuangan di Salonika atau di istana tua di Istanbul, beliau dan keluarganya tidak dibenarkan keluar, malah ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar istana. Makanan beliau dan putera puterinya dicatu, sementara mutu makanan juga sangat rendah, seluruh hartanya pula dirampas oleh tentera Ataturk.

Hari-hari yang dilalui oleh Sultan Abd Hamid dalam buangan dan pengasingan sangat menyedihkan. Ia dan keluarganya sentiasa diancam akan dibunuh, istana tua itu akan diletupkan. Dan sangat malang, kata catatan Sultan Abd Hamid lagi, bahawa ada di kalangan pegawai kerajaan baru Turki yang khianat kepada negara, seperti Mahmud Syaukat Pasha dan beberapa orang lagi yang telah menjadi orang suruhan Yahudi dan Freemason serta British.

Pada suatu pagi selepas solat Subuh, Sultan memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah waris terpenting selepas ketiadaan Sultan. Kepada Abd Rahman, Sultan memberitahu dengan nada sedih bahawa: “Kita akan memberikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana tentera memaksa kita menyerahkannya.”

Puteranya itu menangis teresak-esak. Dia menjadi amat takut dengan para tentera yang ganas itu. Beberapa hari berikutnya di lobi Deutche Bank, di Istanbul, berlaku upacara penyerahan secara paksa semua harta, termasuk wang Sultan Abd Hamid kepada pihak berkuasa tentera. Putera puteri Sultan tidak dibenarkan menyaksikan upacara itu. Putera kelima Sultan, Abied cuba juga untuk melihat upacara penyerahan harta ayahandanya itu tetapi dihalang oleh para pegawai tentera dan bank.

Tidak benarkan Yahudi beli tanah Arab
Sikap tegas Sultan Abd Hamid terhadap Yahudi dan Inggeris menyebabkan dua pihak itu memusuhinya. Sultan Abd Hamid tidak membenarkan tanah orang Arab Palestin dijual kepada Yahudi. Menurut catatan seorang ahli sejarah Turki, Jamal Quthaiy bahawa setelah persidangan zionisme ke tiga di Zurich pada tahun 1896, wakil Yahudi, Immanuel Krusow, telah mencadangkan kepada Sultan Abd Hamid supaya menjual tanah pertaniannya di Palestin (ketika itu Palestin di bawah riayah Turki) kepada Yahudi. Namun permintaan Yahudi itu ditolak oleh Sultan Abd Hamid menyebabkan Yahudi sangat marah.Ini menyebabkan wakil Yahudi itu berikrar untuk datang lagi dan akan berusaha menghancurkan pemerintahan Uthmaniah.

Ada beberapa orang pegawai kerajaan Ataturk seperti Ali Mohsen Bek, yang menunjukkan simpati dan membantu Sultan Abd Hamid menulis memoirnya di istana. Tetapi setelah pihak atasan mengetahui hal ini lalu mereka dipenjarakan. Lebih malang lagi usaha Sultan menulis memoirnya dianggap sebagai perbuata jenayah oleh tentera.

Ada sesetengah pemimpin negara Arab menganggap Sultan Abd Hamid II sebagai seorang diktator ketika memerintah Turki. Ini akibat hasutan Barat, khususnya British dan Yahudi. Namun bagi rakyat Palestin, Sultan Abd Hamid sangat besar jasanya kerana Khilafah Uthmaniah Turki itu melindungi kepentingan rakyat Palestin. Sementara kebanyakan umat Islam hingga kini, masih mengenang jasa kerajaan Uthmaniah melindungi Islam.

Siapakah yang sebenarnya membunuh sultan di Turki? Orang Inggeris atau orang Turki sendiri? Jawapannya mudah iaitu bangsa dan orang mereka sendiri kerana ingin menjadi sekular dan mementingkan diri sendiri.

AWASLAH DENGAN MERDEKA YANG SEDANG KITA KECAPI!

Selasa, 28 Ogos 2007

MEDAN, USU DAN SEBUAH WILAYAH RINDU





i
24-26 Ogos 2007 dan menjejakkan kaki untuk ke-5 kalinya banyak meninggalkan cerita. Kunjungan kali ini dengan misi Seminar Melayu Serumpun menemukan aku dengan perubahan demi perubahan. Setiap kali berkunjung pasti ada perbaharuannya. Paling ketara ialah pembukaan pusat beli belah bergelar SUN PLAZA. Bangunan ini turut dilengkapkan dengan sebuah kedai buku Gramedia yang serba moden, canggih dan sistematik. Di sinilah aku, bapak Arbak Othman, A. Rahim Abdullah, Arif Mohd, Nassury Ibrahim, Azman Ismail dan SM Zakir menghabiskan waktu senggang. Berjam-jam lamanya hingga terlupa waktu makan mahupun ngempot-ngempot. Pak guru M. Saleeh Rahamad dan A. Ghaffar Abdullah lebih banyak menghabiskan masa sendirian; membawa haluan dan hati sendiri-sendiri.

Kota Medan ialah sebuah tradisi yang dibina atas dasar perjuangan Raja Sisingamangaraja XII yang lebih dikenali dengan gelaran merchandise. Slogan 'tau ko medan' bergantungan di mana-mana sementelahan menyambut Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-61. Aku dan teman-teman menginap di Inn Dharma Deli, berhadapan bangunan sejarah peninggalan Belanda. Bangunan penuh seni itu menjadi warisan negara. Indah dan mengagumkan.

Paling menaik ialah kota kecil ini punya 'Pekan Buku' yang sistematik. Sebuah bazar menjual buku-buku lama dan baharu boleh dibeli dengan harga yang murah. Bayangkan Pak Arbak membeli 2 buah kamus tebal berkulit keras hanya dengan harga 50,000 rupiah sahaja (RM25). Cakap soal buku, diam tak diam rupa-rupanya aku telah berjaya menghabiskan 900,000 rupiah. Tak mengapa, buku-buku itu akan menjadi teman setia aku.

ii
Universiti Sumetra Utara (USU) sebuah universiti lama yang amat daif fizikalnya. Aku sedih melihat bangunan dan kemudahan yang ada. USU lebih teruk keadaanya daripada sekolah rendah di Malaysia. Tetapi bagi mereka, yang penting ialah ilmu, fizikalnya tidak penting. Itu kata-kata para dosen (pensyarah) USU. Inilah hakikat yang perlu kita akui bahawa rakyat Indonesia lebih mementingkan ilmu daripada kebendaan.

iii
Kota Medan banyak mengajar aku makna kegigihan hidup. Anak-anak mengutip botol plastik seawal pagi kemudian menjualnya dengan harga 5000 rupiah sekilo. Kanak-kanak yang sepatutnya berada di sekolah dan orang tua masih mengayuh beca atau menjaja rokok kretek untuk mendapatkan sesuap nasi. Mereka hidup di dalam celahan kota dan pembangunan yang memerlukan pengorbanan amat besar untuk mengubah nasib mereka.

Medan
saat hujan berhenti

lalu lintas menghapus jejak air mata
keheningan bertukar menjadi kesibukan


aku tak lagi mampu mengingat

kapan kisah cinta kita berlalu.

Medan; 24-27 Ogos 2007.

Khamis, 23 Ogos 2007

SETELAH EMBUN MENITIS

i
Esok aku akan bertolak ke Universiti Sumatera Utara (USU) bersama-sama rakan UM, UPM dan PENA. Misi kami kali ini ialah untuk mengikat kembali hubungan dua hala yang terputus sepuluh tahun yang lalu. Maksudnya di sini ialah hubungan antara IPT. Jika hubungan sastera, hubungan itu masih berlaku dalam suasana yang damai dan tidak perlu dinafikan.

Aku perturunkan sepenuhnya kerjas kerja yang akan aku sampaikan itu.


Kertas Kerja Untuk Seminar USU-UM-PENA


BAHASA MELAYU PENGIKAT BANGSA DAN RINDU DUA NEGARA.

SHAMSUDIN OTHMAN
Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia,
Serdang, SELANGOR


Mukadimah


Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera dibunuh, melainkan yang patuh pada hukum Allah kerana segala Melayu itu, Tuhanlah atau tuanmulah, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa”.

(Sulalat al-Salatin: 1612)

Wasiat Sultan Alauddin Riwayat Shah ini dipetik sebagai mukadimah kerana hubungan Melayu iaitu antara bangsa dan bahasa itu akrabnya seperti ‘air dicincang tak akan putus’. Meski siapapun kita, pertalian kita hakikatnya diikat oleh unsur air, api, angin dan tanah. Asal kejadian magis yang menautkan darah dan semangat, mengikat cinta terhadap negara dan rindu terhadap bahasa. Antara kita ada roh yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Kalau terpisahpun akhirnya akan bertemu semula.

Dimensi material manusia Melayu yang dipasak dengan akal budi, keluhuran dan keimanan Islam sebenarnya telah melahirkan satu konsep baharu yang disepakati untuk dinamai sebagai ‘insaniah intelek’. Inilah uniknya hubungan semiotic dalam memaknakan konsep bangsa atau bahasa. Impak ini telah mengupayakan adifikir kita hingga dapat menyimpulkan bahawa hubungan bangsa dan bahasa tidak boleh dilihat dalam konteks sebuah daratan. Sebaliknya hubungan ini mencakupi sebuah wilayah rindu yang termetri sejak berabad sejarah lamanya. Sempadan geografi yang kita tatap dalam lembaran kertas atau skrin media elektronik itu hanya satu ikon simbolik dataran, siur, parit, sungai, kuala, laut, pulau atau apa sahaja itu, sebenarnya bukan pemisah kepada hubungan darah Melayu yang bermula dari sejarah Sri Tri Buana di Pulau Bintan tetapi hubungan yang terjalin sekian kurun itu diibaratkan seperti ‘aur dengan tebing’ bukannya ‘enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing’.

Menyingkap persoalan bangsa dan bahasa dalam konteks sebuah negara yang merdeka sepintas lalu itu banyak meninggalkan kesan yang menguris kalbu bangsa Melayu. Hubungan dalam makna ketaatan terhadap negara akhirnya dinafikan haknya. Justeru, selebihnya apa selepas ini? Jawapannya ialah tiada apa-apa kerana kita masih diikat oleh idelogi, dokrin, sosiobudaya dan keagamaan Melayu-Islam yang berbaur sekular dan semangat tiada sifat keesahan atau ketakulan terhadap fungsi dan peranan bahasa. Ini bermakna sempadan dalam konteks yang jumud dan syumul itu, tidak pernah wujud sama sekali. Selama ini, kita hanya memikirkan bahasa dan bahasa adalah jiran bersebelahan rumah. Dalam persepsi yang lebih terbuka, siapakah jiran kita pada dataran yang dipisahkan oleh perpaduan, atau menuju sebuah negara bertaraf globalisasi misalnya. Bukankah dua dataran besar ini, tidak pernah dipisahkan dengan ‘pagar’ atau gate yang sentiasa tertutup. Kalau ada pagarpun, di manakah pula kayu, besinya atau jaringnya?

Apabila wilayah rindu orang Melayu diperkosa oleh Portugis sekitar tahun 1511, kita pada hakikatnya sudah menjadi satu bangsa yang berani melintas laut yang luas bergelora. Kita sudah tercatat dalam sejarah sebagai bangsa pedagang yang berjaya dan kaya. Kita juga berjaya menjalin hubungan dengan pedagang-pedagang bertaraf antarabangsa. Hakikat ini perlu kita akur jika kita ingin membuka minda dan menjadi satu bangsa yang kekal bertamadun. Saya bernostalgia begini kerana rata-rata orang Melayu hari ini daif dan ketinggalan dalam kebanyakan bidang. Kita seperti sudah kehilangan pengaruh dan agama Islam dihina. Fahaman terhadap kekayaan dan kemajuan di dunia tidak perlu untuk mendapat tempat di akhirat adalah fahaman manusia yang kecewa. Manusia yang kecewa seperti ini bukanlah satu bangsa yang boleh mempertahan ketegaran Islam dan empayar Melayu yang agung suatu waktu dahulu. Keagunganan kita bermula sejak kurun ke-7 M di bawah kuasaan kerajaan Sriwijaya. Ketika itu, kita memiliki kuasa kelautan (maritime) yang dijelmakan daripada cahaya aqidah keesaan Allah serta konsep falsafah ilmu sarwa (wouldview).

Tanah maritime ini pernah melahirkan gemulah-gemulah hebat bangsa seperti Sultan Alauddin Riwayat Shah, Sultan Manshur Shah, Tun Perak, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Hamzah Fanzuri, Abdullah Munshi, Mohammad Yamin, Zaaba, Ibrahim Yaacob, Tun Abdul Razak, dan kerajaan-kerajaan besar seperti, Pasai, Melaka, Aceh, Patani, Banjarmasin, Palembang, Riau-Johor dan nama-nama lain yang pernah tercatat dalam penemuan Marco Polo, Winsterd, Prof. A. Teeuw atau Ibnu Batutah. Nama-nama besar itu diperaku membawa pembaharuan yang bertitik tolak daripada Islam sebagai agama sejagat dan universal. Dan mereka inilah bangsa Melayu yang bertutur dalam bahasa Melayu dalam warna pendatang dan pedagang seperti bangsa China, India, Portugis, Inggeris, Arab dan lain-lain. Kekuatan bahasa Melayu telah berjaya menyatukan bangsa-bangsa pedagang ini dalam nuasa ekonomi dan politik sesebuah negara.

Justeru, tamadun tinggi bahasa dan bangsa Melayu yang tidak bersempadan ini, pada hemat saya, ialah tamadun yang bersumberkan prinsip dan ketetapan Illahi yang qat’i. Tamadun yang dicipta itu bukan tamadun yang semata-semata bersumberkan pertimbangan akal manusia tetapi lebih daripada itu. Dalam hal ini, saya tidak menganggap akal tidak berperanan dalam membina tamadun sebaliknya akal tidak akan berfungsi sekiranya tidak dinukilkan daripada kitab mukjizat al-Quran dan Sunnah.

Sebagai satu bangsa yang hidup dan menghirup udara abad-21, kenyataan sejarah lebih 700 tahun itu telah menjadi satu unsur yang penting dalam usaha melestarikan tamadun Melayu di muka bumi Allah ini.

Nah! Mengapa saya mengungkapkan persoalan peribahasa Melayu ‘air dicincang tak akan putus’ dalam makalah ini? Kebimbangan memahami dan mentafsir peribahasa ini benar-benar mengugahkah naluri. Selepas peristiwa hitam perjanjian Inggeris-Belanda dan berakhirnya gerakan Malindo (Malaysia-Indonesia) atau ideologi Jepun ‘Asia untuk Asia’, kita seperti menjadi bangsa yang berbeda; terpisah dan dikoyak-koyakkan. Kenangan-kenangan manis menjadi satu ingatan. Apa yang timbul hari ini ialah kepedihan dalam sanubari; menjadi sembilu dalam darah daging kerana kegemilangan itu seperti cinta dan rindu yang telah hilang. Kita akhirnya menjadi bangsa yang menangisi diri sendiri setelah melihat kelunturan dan kehormatan bangsa Melayu mula terkulai dalam kaisar globalisasi. Apatah lagi apabila raksasa bertopeng setan (barat) itu mula menguja kehidupan babarian.

Sebuah negara bertamadun sudah pasti berjaya melahirkan manusia yang dapat mendirikan budaya fikir, akal budi dan antropologi (kajian tentang manusia). Kita sebagai manusia yang dilahir dan dibesarkan dengan bau sungai, tanah bakau, ombak selat sewajibnya tidak memisahkan tradisional dan moden. Moden menjadi lambang kemajuan zaman, sementara tradisional menjadi model-model kearifan hidup. Oleh itu, kalau bukan kita, siapa lagi yang harus memulakan kebangkitan semula tamadun kita yang gah pada suatu waktu dahulu.

Orang-orang Melayu dengan bahasa Melayunya telah terbukti menjadi penentu kepada pembangunan sesebuah kerajaan. Bermula dari jeti persinggahan, segalanya bertukar menjadi pelabuhan. Dari pelabuhan bertukar pula menjadi bandar dan seterusnya menjadi negara. Melaka, Singapura dan Aceh misalnya hari ini menjadi negeri yang disegani. Sayang sekali, kebanggaan ini tercemar apabila sesetengah intelektual Melayu yang memiliki sekelumit pengetahuan menjadi pelawak hanya kerana memiliki ilmu retorik yang tidak bersandarkan sejarah. Mereka keterlaluan menyanjung barat sehingga mentafsir tanah Melayu dan bahasa Melayu ini bukan dengan ilmu budaya menyebabkan mereka tersasar dari arah pemikiran oksidentalsime (melihat barat dengan mata timur). Sejarah itu juga yang menukarkan nama Negara kita daripada Tanah Melayu kepada Malaya seterusnya Malaysia. Bukankah ini penjajahan semula daripada kelicikan oksidentalisme itu?

Di rantau selat ini, ada tiga golongan orang Melayu yang membodohkan diri mereka sendiri. Pertama, golongan yang menganggap masalah orang Melayu akan diselesaikan oleh orang Melayu sendiri. Golongan kedua, golongan yang hanya memerhati bangsa dan agama sendiri dipijak; dan ketiga, golongan yang secara ideloginya mengharapkan ikhsan orang lain. Pemikiran ini kian menular kerana, golongan-golongan yang tidak beretika ini akan mengharapkan kuasa politik mengubah segala-galanya. Sikap culas dan mengambil mudah ini tidak boleh dibiarkan kerana kemelut politik Melayu hari ini seperti kehilangan semangat nasionalisme, malah lebih teruk lagi bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.

Kesimpulan

Tanah Melayu ini, perlu lari daripada igauan ‘tanah perca’ atau ‘negeri pojok angin’. Ilmu yang dimiliki oleh orang Yunani, Rom, Parsi dan Arab, yang berjaya meneroka bulan bintang itu perlu kita kuasai dan ditandingi dengan pasak agama Islam supaya keegoan kita seperti yang pernah diungkapkan oleh Van Linschotten (sarjana Belanda yang banyak menulis hal ehwal Kepulauan Melayu, pada abad ke-18), dapat disuburkan kembali. Beliau menulis;

Bahasa Melayu pada masa itu, bukan sahaja amat harum namanya juga dianggap bahasa yang paling dihormati di antara bahasa-bahasa timur, dan bahawa orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.


Akhirulkalam, makalah ini hanya boleh berharap agar semangat atau budaya Melayu khususnya bahasa Melayu tidak terus hilang di ruang selat atau jiwa sebuah negara bangsa. Tradisi terhadap kesetiaan dan yakin diri terhadap maruah warisan bangsa wajib ditautkan kembali. Marilah kita sama-sama menari zapin di pentas rindu yang pernah menyatukan kita. Kita berlari di celahan pohon gelam, nipah, nibung dan sagu. Inilah harta paling mahal yang perlu dibayar jika kita kehilangannya.

Inilah kita, bahasa melambangkan bangsa.

Wassalam.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Rabu, 22 Ogos 2007

APA YANG BERLAKU DALAM KEGALAUAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA


i
Nah, dua tiga hari ini kita dapat melihat dengan kaca mata sendiri apa yang hendak dituntut oleh bangsa cina. Mereka menuntut supaya soalan peperiksaan UPSR perlu disediakan dalam versi manderin. HEBAT bukan? Jika kita perhalusi gerakan kaum cina di negara ini amat licik. Sejak dari mula mereka tidak mahu menutup sekolah swasta cina yang berjalan dengan baik hingga hari ini. Hari ini mereka menuntut lagi dan tentunya esok lusa mereka akan menuntut lagi dan lagi. Tuntutan itu jika tidak dipenuhi sepenuhnya pasti akan diakuri suku atau sebahagianya. Ini bermakna mereka telah berjaya.

Aku dah tak larat nak maki hamun kerajaan dan juak-juak UMNO yang diberi kepercayaan selama ini. Cuba kita halusi juga selama ini berapa banyak sekolah pondok (sekolah agama rakyat) ditutup atas arahan dan fahaman sempit berkaitan dengan akidah. Hari ini yang rugi ialah orang Melayu juga. Aku sentiasa berdoa agar orang Melayu sedar dan mula bertindak berani demi nasib bangsa dan agama. Bayangkan, jika bangsa Melayu ditindas maka agama Islam akan menerima bahangnya dan mungkin lebih teruk daripada itu.
Sekirannya tuntutan itu 'menyediakan soalan periksa dalam bahasa manderin' diterima bermakna, anak-anak orang Melayu akan terus derita dalam kebodohan.
Juak-juak kerajaan bercakap tentang globalisasi dan konsep 'persaingan' dengan dunia luar lalu menobatkan bahasa penjajah. Sedarkah mereka bahawa tindakan itu telah mengorbankan nasib satu generasi Melayu yang belum tidak memerlukan bahasa penjajah itu untuk berjaya dalam kehidupan. Bagi orang Melayu yang penting ialah konsep penyebaran ilmu. Ilmu boleh dan dapat dikembangkan hanya melalui pengucapan bahasa ibunda. Para sarjana yang terlibat dalam bidang pendidikan telah membuktikan hal ini. Soalnya kenapa hal ini dikesampingkan dengan begitu mudah? Bodoh atau banggang sangatkah mereka tu?

Aku meliaht apa yang telah dilakukan oleh mantan Perdana Menteri Tun Razak itu sudah betul dan tiada salahnya. Penubuhan MARA dan Sekolah Berasrama Penuh adalah untuk membantu orang Melayu luar bandar menjadi pandai dan berwawasan. Orang yang terpilih akan terus dibantu dengan kaedah pendidikan lain seperti proses intergrasi bahasa Inggeris dan sebagainya. Ini menyebabkan asas ilmu matematik dan sains dapat berkembang di peringkat akar umbi. Bezanya hari ini ialah ilmu di peringkat akar umbi tidak berkembang sebab orang Melayu tidak ke sekolah sebab takut bahasa Inggeris. Lebih menakutkan apabila sejak berusia 7 tahun budaya ponteng kelas, ponteng sekolah dan akhirnya melahirkan budaya gensterisme kelas bawahan di peringkat kanak-kanak lagi. Pokoknya amat mudah iaitu 'bahasa inggeris' inilah yang mencetuskan pelbagai masalah dalam persekitaran masyarakat Melayu.

Wahai menteri dan juak-juak kerajaan, cuba kita bermuhasabah diri, merenung kembali kesilapaan yang telah dilakukan dan membetulkan semula kesilapan itu. Apa yang sudah berlaku kita baiki sama-sama supaya kita tidak menyesal kemudian hari. Sanggupkah kita disumpah oleh generasi akan datang atas kesilapan ini? Kadang-kadang mengakui kesilapan tidak bermakna kita bodoh dan hina. Bertindaklah membetulkan kesilapan ini.

ii
Malam tadi aku berkesempatan menonton teater 'HIKAYAT QAZIQ' skrip sahabatku Siti Jasmina dan arahannya juga oleh sahabatku A. Wahab Hamzah.
Cerita ini berat dan sukar difahami kerana pemikirannya yang berlapis. Cerita berkisar tentang perjuangan hak dan mencari kebenaran. Dua pemikiran ini mudah sahaja tetapi menjadi berat dan meletihkan apabila teknik pementasannya yang sedikit diganggu oleh teknologi IT. Dalam hal ini, aku melihat teknologi bukanlah wadah terbaik untuk menjadi sandaran bagi memantapkan persembahan. Dalam hal ini, teknologi IT amat sesuai dalam gandingan filem. Untuk teater mungkin belum teruji lagi.
Apa-apapun tahniah kepada Jasmina dan A. Wahab sebab telah melakukan pembaharuan. Orang macam aku mungkin terhibur menonton tetapi aku melihat dan mendengar desas-desus orang yang duduk di belakang aku menyatakan yang dia tak faham apa-apa. Itu perkara biasa sebab sastera itu bersifat subjektif.

iii
Esok (24-26 Ogos 2007) aku akan mengikuti rombongan PENA ke Universiti Sumatera Utara (USU) untuk program SEMINAR HUBUNGAN MELAYU SERANTAU. Mungkin ada sesuatu yang akan aku temui dan lalui. Bersama-sama aku ialah SM Zakir, M. Saleeh Rahamad, Azamn Ismail, Nazmi Yaakob, Naffi Mat, dan ramai lagi pensyarah dari Universiti Malaya. Soalnya adakah mesi PENA untuk menautkan kembali hubungan 2 hala yang terpisah itu? Ini semua adalah impian yang perlu direalisasikan demi memikirkan nasib bangsa Melayu dan bahasa Melayu yang diperkotak-katikkan oleh bangsanya sendiri yang telah menjadi munafik bangsa dan bahasa.

Doakan aku selamat pergi dan kembali semula ke tanah air. AKu membawa sebuah rindu yang kian hilang dalam makna kemerdekaan.

Isnin, 20 Ogos 2007

CERITA 'KERJA BERPASUKAN'

i
Seminggu tidak menjengah blog sebab terlibat dengan kursus 'team bulding' di Jeram Besu, Raub, Pahang. Seminggu di sana banyak pengalaman yang menarik. Paling menarik ialah pengalaman bermain rakit di eram yang deras arusnya. Rakit aku terbalik dan pecah. Saat itu baru aku tahu yang mana satu kawan yang mana orang yang pentingkan diri sendiri. Bayangkan aku yang kurus ini terpaksa membantu rakan-rakan senior yang hampir lemas. Tapi kesimpulannya aku seronok sebab di hutan itu, aku dapat menikmati durian kampung, langsat, rambutan, pulasan, manggis dan macam-macam buah-buahan tempatan yang 'fresh'.

ii
Bila aku fikir-fikirkan balik, 'team building' macam ni amat sesuai diikuti oleh juak-juak UMNO. Biar mereka merasai bagaimana susahnya untuk memahami hati manusia lain. Mereka perlu belajar menjadi manusia yang dapat memahami apa yang orang lain tidak suka dan apa yang orang lain suka.
Aku tak dapat bayankan kalau Pak Lah atau Najib atau Hisham, atau sesiapa tu dikritik secara terbuka oleh rakan paling akrab sendiri kemudian oleh orang yang membenci kepada kita. Melalui kritikan itu, kita akan dapat melihat kelemahan diri dan memahami apa yang orang tidak suka tentang diri kita.
Fuhh, saat itu baru kita sedar siapa diri kita.

iii
Aku perlu menyiapkan kertas kerja. Rupa-rupanya seminggu tidak ke pejabat, banyak kerja yang menanti dan perlu dibereskan.

Selasa, 14 Ogos 2007

NASIB BAHASA MELAYU DAN SEBUAH PERAHU

Perahu.jpg (image)

Entir gambar ini merujuk kepada sebuah sejarah jatuh bangunnya bangsa Melayu. Kalau Melayu itu perahu sudah pasti nasibnya akan sentiasa teroleng-oleng di air juga bila-bila akan terdampar di daratan. Justeru, makna yang lebih ilmiah ialah kalau perahu itu karam semua orang yang menaikinya akan mati. Ini juga beerti jika Bahasa Melayu itu mati semua orang Melayu juga mati. Tetapi, siapalah faham akan anologi macam ini.

Harapkan pagar, pagar makan padi.

ii
Aku perturunkan juga dapatan resolusi daripada pertemuan Simposium Johor yang diadakan di Johor pada 12 Ogos 2007.

IKRAR JB ‘07

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia – GAPENA dengan sokongan 23 buah pertubuhan kerabat dan sejumlah sarjana pada yang bersidang dalam Simposium Darul Takzim 2007 pada 12 Ogos 2007 di Hotel Selesa, Johor Bahru merakamkan ketetapan-ketetapan berikut:

1. Johor melangsungkan peranan sejarah dan tamadun Melayu dalam menegakkan peranan dan fungsi agung Bahasa Melayu sebagai asas Pembina peradaban global Melayu dan Malaysia.

2. Dasar-dasar Kebangsaan serta ciri-ciri istimewa Perlembagaan Persekutuan menjadi induk dan teras pembinaan tamadun dan landasan perjuangan politik Melayu kini.

3. Pengiktiraf kembali “Persekutuan negeri-negeri Melayu” sebagai asas dan kuasa pembentukan negara Malaysia untuk saling mengimbangi kuasa.

4. Wadah Negara Malaysia bercirikan Islam, Bahasa Melayu, sistem kerajaan, keistimewaan pribumi di samping membenarkan amalan dan pembelajaran cirri-ciri lain adalah takrif “keMalaysiaan” dan acuan sendiri bagi semua rakyat Malaysia, bukan takrif sembarangan seperti diajukan setengah pihak.

5. Sikap dan sifat, “adaptif dan akomodatif” - Melayu amatlah “inclusive” bagi menjalin kesamarataan dan keselamatan semua rakyat Malaysia untuk maju dan makmur.

6. Memperjuang darjat dan harkat Melayu sebagai teras kebangsaan Malaysia terutama martabat bahasa dan kebudayaan Melayu sebagai asas ketemadunan Malaysia global di samping memperoleh perjuangan pelbagai bahasa dan budaya.

7. Mengurus kemajmukan berlandaskan kesatuan teras budaya dan peradaban yang berlandaskan sejarah, tradisi serta pengalaman moden global.

8. Bangsa Melayu menghapuskan psikologi kalah dan membangun psikologi menang dan yakin seperti dibangun oleh Tun Abdul Razak untuk membangun peradaban global.

9. Bahasa Inggeris tidak dapat membangun bangsa Melayu yang maju di Malaysia malah bangsa Melayu akan terhina dan terkutuk dalam peradaban global. Bahasa Inggeris menjajah sanubari bangsa Melayu.

10. Gapena dan bangsa Melayu menunjukkan resah dan gelisah bangsa melalui “protest” kepada Perdana Menteri dengan berbagai cara, dan juga pengedaran ucapan Menteri Besar, buku dan juga poster.

11. Meminta Kementerian Pengajian Tinggi memastikan Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama dan tunggal di Pusat Pengajian Tinggi Awam dan swasta dalam kursus-kursus Aliran Sastera seperti undang-undang, ekonomi, sains sosial, pengajian Islam dan lain-lain. Di samping itu mendesak Kementerian Pelajaran melaksanakan kembali pengunaan Bahasa Melayu dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di sistem Persekolahan Rendah dan Menengah dan di Pusat Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Kepada sesiapa yang membaca resolusi ini tolong kirimkan pula kepada orang Melayu lain yang punya rasa tanggungjawab untuk mempertahankan maruah bangsa ini. Jangan jadi macam juak-juak itu yang pandai berjulung keris tetapi munafik.

Wassalam. Ya Rabb, ampunkan dosaku ini. Sebenarnya aku sudah tidak tahan melihat nasib bahasa aku dilacurkan oleh pemimpin yang KAU amanahkan. Utuskanlah malaikat Israil segera. Amin.

PENGKISAHAN CINTA


i
Semuanya bermula dalam satu detik yang tidak menjanjikan apa-apa. Bertemu dengan roh Bahasa Melayu kemudian terus jatuh cinta. Mudah sahaja plot cinta itu berlaku. Aku tidak perlu memujuk rayu dan perlu menggadaikan kesucian. Pendeknya, saat pertama kali aku menatap wajah Bahasa Melayu, seluruh kalbuku menjadi tidak menentu. Rasa tidak tentu arah bukan seperti dipaksa-paksa. Seluruhnya berlaku secara semula jadi dan amat sukar untuk dimengertikan.
Kini, aku benar-benar jatuh cinta kepada Bahasa Melayu itu. Malah kerana cinta yang terlalu mendalam itu, aku menjadi seorang lelaki yang amat cemburu. Betul kata sahabatku yang aku kini sudah gila sebab mencintai makhluk yang lain bukan seorang perempuan. Tetapi dengan mudah juga aku menjawab, "perempuan boleh dicari di mana-mana. Di lorong yang terbaik hinggalah di lorong-lorong jahanam. Bahasa Melayu nak dibandingkan dengan siapa? Kalau Bahasa Melayu ini hilang, di mana penggantinya?" Sahabatku tak berkata apa-apa. Ya tidak, tidak pun tidak.
Di Hotel Selesa, Johor Bahru pada tanggal 12 Ogos 2007, aku sempat menghadiri simposium Bahasa Melayu anjuran GAPENA. Nah, ramai pemikir Melayu yang hadir. Aku tuliskan nama mereka; Tan Sri Ismail Hussein, Datuk Latiff Bakar, Dr. Zainal Keling, Zainal Abidin Borhan, Tengku Alauddin, Syed Mohd Jamal, Dr. Firdaus Abdullah, Dr.Hashim Ismail, Pak Tenas Effendy, Dr. Noriah Mohamad, Dr. Ibrahim Ghaffar, Razali Endun, Isma Saring, Saleeh Rahamad, wakil persatuan Penulis Singapura ASAS 50, Amiruddin Ali, wakil Kerajaan Johor, Wakil persatuan gabungan Gapena dan banyak lagi. Kalau hendak dikira dengan tangan jumlahnya hampir mencecah 50 orang. Maka berdegar-degar mereka bercakap tentang nasib kekasihku Bahasa Melayu itu. Ada yang mencadangkan agar diadakan demonstrasi jalanan yang halal. Ada yang mencadangkan kita pangkah parti lain ketika pilihanraya akan datang. Ada yang mendesak kita gulingkan pemimpin. Ada yang merayu agar kita lakukan secara bijaksana iaitu dengan bersikap memberikan kerjasama dalam persaingan global.
Aku melihat semuanya itu adalah permainan dan sandiwara yang dayus belaka. Sebenarnya sudah berapa kali simposium, seminar, bengkel dan entah apa lagi namanya itu dilakukan. Yang bercakap adalah orang yang sama. Apa tindakan mereka?. Paling mengharukan, ada seorang lelaki bergelar datuk, orang nogori yang bercakap dengan sedikit mencabar, katanya, "saya kenal SB yang sedang memerhatikan gerak-geri kita. Bila-bila masa sahaja saya boleh bertemu dengan Pak Lah tanpa temu janji. Dan bla bla bla bla..." Aku dah muak mendengar dia bercakap tentang nasib kekasih aku Bahasa Melayu ini. Bagi aku, dialah sang munafik yang patut dipancung lehernya dahulu. Dia lebih bahaya daripada ular sawa. Dia samalah macam 'siamang mendapat bunga'.
Kekasihku ini kian lama kian lesu wajahnya. Aku selalu membelikannya bedak dan 'make up' daripada jenama terkenal untuk dirinya. Meski wajah kekasih itu selalu disolek tetapi wajahnya terus kusam dan tidak bermaya. Rupa-rupanya baru aku sedar bahawa jiwanya tersentuh dan kecewa.
Katanya kepadaku pada suatu malam di bawah cahaya bulan yang benderang, "abang, kalau betul abang cintakan saya, buktikanlah kesetiaan dan kejujuran itu kepadaku sekarang juga."
"Apakah cinta itu harus dijelmakan?"
"Itulah kesetiaan dan keikhlasan." Katanya
"Tapi bagaimana, kalau para juak itu terlalu bahlol untuk memahami perasaan cintaku ini," resahku tertumpah di banir kelapa.
"Maknanya cinta abang masih berbelah bahagi. Abang tidak berani menjanjikan kesetiaan."
"Kekasihku, cinta abang kepadamu seperti lautan tak bertepi. Percayalah," rengus hatiku sambil menyandarkan kepala ke dada Bahasa Melayuku.
"Kita bunuh sahaja mereka!" Tiba-tiba kekasih itu menjerit.
Aku merenung lubuk mata Bahasa Melayu yang mula bertakung air jernih. Seperti tasik yang menanti tebing dipongkah, aku cuba membaca hati kekasihku. Dan saat berfikir dalam masa yang diikat oleh sewaktuan itu, ada kata-kata yang terhambur tanpa aku sedari.
"Tuhan, matikan aku dahulu daripada Kau matikan kekasihku. Aku tak sanggup melihat kekasih itu dideritai oleh bangsa dan negaranya sendiri."

ii
Semalam adalah hari-hari yang memungkinkan cinta kita bersemi kembali. Sayang, jangan tinggalkan aku sendirian dengan seluruh sendumu. Mari kita dakap cinta kita yang tercenuai oleh kepalsuan.

Jumaat, 10 Ogos 2007

MENCARI CINTA

i
Seminggu di Royal Adelphi, Seremban dan Haritage Hotel, Ipoh banyak mengajar aku makna cinta dan rindu yang aku tinggalklan. Meski ketika di Seremban aku ditemani rakan-rakan seperti Dr. Ghazali Lateh, Aminhad, Muhammad Lutfi Ishak, Shamsiah Mohd Noor dan penulis-penulis lain tetapi cinta dan rindu kepada kekasih tidak pernah mati-mati. Aku masih mencari sesuatu yang hilang dalam perasaan. Mungkin perasaan ketika ini punya makna yang hebat dan gah dalam ingatan itu. Aku sebenarnya berkali-kali cuba membunuh cinta dan rindu itu; tetapi setiap kali aku berjihat membunuhnya, setiap kali itu jugalah cinta dan rindu itu mencabar perasaanku. Nah, akhirnya sehingga kini, aku masih gagal menjadi seorang pembunuh kepada cinta dan rinduku. Malah kini, cinta dan rindu itu kian segar dalam perasaan.
ii
Empat hari bersama-sama Dr. Ghazali Lateh telah banyak mengajar aku makna sabar dan tabah. Dia banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar tentang proses untuk melengkapkan gelaran doktor falsafah. Dia lelaki yang tegar mengatur diri dalam arus kehidupan dan wawasan. Moga dia akan menikmati sesuatu yang diimpikan dalam kedudukan dan gelarannya. Aku akan sentiasa mendoakan kejayaannya.
iii
Bercakap tentang dunia kehidupan penulis, hari ini aku ingin cerita dunia Aminhad dan Lutfi Ishak. Aku ke Seremban menumpang kereta Waja Aminhad berplat pendaftaran 'Putrajaya 5356'. Dia ni pelik sedikit; dia lebih baik sedikit daripada musang sebab musang tak solat. Waktu tidur dia ialah jam 5 atau 6 pagi. Itupun sekejap aja. Lepas tu dia akan berjaya dan berulit dengan komputer dan kamera. Pelik betul penulis macam dia ni.
Lutfi pun macam tu juga. Tapi dia kata dia kiamulain. Kalau cikgu Aminhad macam musang, Lutfi macam pungguk sebab dia ahli falsafah. Dia baca buku-buku barat yang cakap tentang sekular dan sosialis. Dua-dua orang penulis ni memang wajar dapat gelaran 'sasterawan malam' atau 'kupu-kupu pena malam'. Moga kami semua boleh menjadi orang yang berjasa kepada bangsa dan negara.
Salam rindu dan cinta setelah kami semua gagal mencari cinta.

Isnin, 6 Ogos 2007

MERDEKAKAH BAHASA MELAYU?

Interi pilihan kali ini ialah 'Merdekakah Bahasa Melayu'?
Membaca surat khabar hari Khamis 2 Ogos 2007 Utusan Malaysia dalam ruangan Forum ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan. Tulisan Budi Hartono yang nama chinanya Lim Sia Kim seorang rakyat Indonesia kesal dengan nasib dengan Bahasa Melayu di Malaysia. Katanya hal ini tidak berlaku di Indonesia kerana orang china atau apa suku bangsa sekalipun boleh bercakap bahasa Melayu Indonesia dengan fasih. Di Malaysia katanya, orang china dan india tidak fasih dan ada yang tidak boleh bertutur langsung bahasa Melayu. Dia sedih. Tetapi yang menariknya apabila dia punya dua nama; satu nama Indonesia dan satu lagi nama china. Nah, itu baharu dikatakan perpaduan. Bolehkah bangsa china dan india di Malaysia berbuat begitu? Tentu jawapannya ialah idea ini terlalu ekstrim. Siapa yang kata?

ii
Semalam dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM, tetamu undangan Datuk Muhammad Rahmat dan Datuk Aziz Setapa diundang untuk bercakap tentang merdeka dan nasib DEB. Kenapa setelah mereka bersara daripada UMNO mereka bercakap lebih jujur dan tidak berkepentingan. Kalaulah idea dan pemikiran itu dicanang dalam UMNO sejak pemerintahan dan kekuasaan mereka, aku rasa Melayu sudah lama sedar akan makna merdeka yang sebenarnya. Sayang, setelah mereka tidak punya kuasa baharulah idea itu dilahirkan secara jujur.

Muhamad Daud Muhamad meneruskan gagasannya dalam akhbar 'Siasah' terkini. Dia menegaskan bahawa TPM kita hari ini telah mengkhianati perjuanangan ayahnya Tun Razak. Aku tertarik dengan tulisan itu kerana dia melihat apa yang akan berlaku 50 tahun selepas ini. Andaiannya, jika dalam tempoh 20 tahun kita kehilangan Tun Razak; macam-macam wawasannya dicelarukan oleh anaknya sendiri. Bagaimana pula selepas ini jika anaknya itu tidak lagi menjadi juak UMNO? Adakah cucu-cicit Tun Razak punya kuasa atau berkuasa untuk mengubah keadaan itu?

iv
Banyak yang aku belajar sejak menjadi warga UPM. Aku mula merasai bahang pilihanraya yang akan berlaku bila-bila masa sahaja. Saat ini, kita perlu menjadi manusia yang bijaksana untuk memilih pemimpin yang ulul Amri. Dan banyak juga yang hendak aku perkatakan tetapi masa dan ruang amat terbatas. Aku kini sedang diperhati dan percaturkan. Hendak berkongsi cerita lebih-lebihpun mungkin tidak boleh. Bukan takut tetapi aku selalu ingat pesan Tok Guru, katanya, "menjulung keris biar kena pada masa dan tempatnya." Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa di sisiku. Amin.

Khamis, 2 Ogos 2007

CERITA RINDU


i
Saat usia yang kian diperhatikan oleh detik waktu, aku menjadi manusia yang setia kepada rindu. Rindu keluarga, rindu ayah ibu, rindu taulan sepengajian, rindu kekasih dan rindu kepada janji yang masih belum tertunai. Ini semua adalah sebuah cinta yang lain dan amat sukar untuk dimengertikan. Hampir sebulan aku tidak pulang ke kampung halaman tercinta. Banyak cerita daripada ayah bonda tentang durian yang mula gugur, rambutan yang mula menguning dan memerah, duku langsat yang kian merekah dan manggis yang kian mengeras di pohonan. Inilah kenangan yang indah; aku tak dapat bayangkan kalau aku dapat kembali panjat pokok buah-buahan itu seperti zaman remaja dahulu. Ah, seronok saat itu! Tetapi semuanya kian hilang daripada diriku hari ini kerana hambatan waktu, beban tugas dan usia yang kian menua. Bagaimanapun aku pastikan detik-detik indah dalam rindu itu akan aku ladeni meski dalam waktu yang benar-benar terbatas.

ii
Sajak aku tersiar dalam majalah 'Dewan Siswa' Ogos 2007. Sajak atas permintaan editor aku tujukan kepada anak-anakku yang kian dewasa. Malam tadi, anak aku yang sulung bertanya, "ayah kecewakah dengan negara kita?". Aku tidak segera menjawab. Aku merenung wajah anakku dengan seribu sebak yang hanya aku sendiri sahaja yang faham. "Kenapa,?" Tanyaku selamba. "Kak Long baca sajak tu, macam ada yang tak kena aja," jawab anakku bersahaja. Dan tanpa ingin menyusahkan anakku itu, aku menyimpulkan kata-kata, "nanti apabila kak long dah dewasa, kak long tahulah apa yang telah kerajaan lakukan kepada bangsa kita Melayu ini. Kak long belajarlah rajin-rajin dan jadilah seorang pejuang walaupun kak long seorang wanita."
Sebenarnya sajak "Selamat Ulang Tahun Tanah Airku" itu banyak menyimpulkan dendam kesumatku terhadap juak-juak kerajaan yang terlupa peranan mereka sebagai ulil Amri, pemimpin atau kepala bapak.
Ini juga adalah sebuah rindu yang lama berakar umbi dalam sanubariku.

iii
Bercakap tentang merdeka, sudah merdekakah kita? 2 keping gambar di atas merupakan gambar klasik tentang makna rindu dan merdeka!