Rabu, 26 September 2007

Kenapa Tidak adik Nurin?

i
Malam tadi sekitar jam 12.45 malam saat aku menguliti buku 'Melayu Juwita' tulisan Dr. Yusmar Yusuf, telefon bimbit (TB) bergering. Ada mesej masuk. Aku buka dan baca pesanan dari rakan yang hampir tiga tahun tidak dihubungi. Aku tidak tahu macam mana dia boleh hilang daripada ingatan untuk seketika? Tapi syukur dia masih mengingati aku.

Maafkan aku sahabat, mungkin masa dan keadaan membataskan hubungan kita. Ringkasnya begini; mesej sahabatku itu ialah;

'Maaf mengganggu malam kau yang indah. Aku sedang menatap blog kau. Kau memang 'brutel'. Kau masih macam dulu juga. Menarik dan menggugah. Tapi kenapa tiada riaksi tentang adik Nurin?'

Aku tidak segera menjawab. Melihat namanya yang terpapar di TB aku cuba membayangkan saat kami bergelar mahasiswa. Lagak dia dan sikapnya menyenangkan rakan-rakan lain. Dia mudah dimesrai kerana sikapnya yang terbuka. Kini menetap di utara dengan jawatan DO di Arau. Tanpa banyak berfikir, aku membalas mesejnya, 'moga Allah melaknati manusia yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Aku tak tulis dalam blog tentang adik Nurin kerana aku takut pada nasib anak-anak aku.'

Mesej aku tidak dibalasnya. Aku harap dia faham. Aku sebenarnya tidak berani untuk memberi komen kerana manusia yang tidak berperikemanusiaan sentiasa ada di mana-mana. Bagi aku, itulah kebijaksanaan Allah yang menciptakan syurga dan neraka. Yang menciptakan hari kiamat dan hari pembalasan. Moga orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu akan menerima balasan yang setimpal tak kira di dunia atau di akhirat. Itu janji Allah yang tidak akan terlepas.

ii
Sesungguhnya ramadhan kali ini mengajar aku makna mengimarahkan ihya' ramadhan. Aku lebih senang menjadi manusia yang sedar sejauh mana batas waktu puasa yang sebenarnya.


BUKAKAN HIJAB DOA-MU

Ya, Rab,
berikan aku sebiji tamar
dari syurga-Mu
bukan sebiji kulbi
yang menyingkirkan Adam
dari kasih sayang-Mu.

Aku selalu bertanya
cukupkan bekalan ini
untuk aku bawa
ke negeri abadi?

Tuhan,
jangan dijawab pertanyaanku
kerana
aku ingin belajar menjadi insan
yang sentiasa takut dan bersedia
bukan peramal dan pemuja
cuma satu pintaku
bukakan aku hijab doa-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham a--Johori.


Khamis, 20 September 2007

Pelabuhan Ramadhan


i
Rasa-rasanya hampir 3 bulan aku tidak menulis puisi. Mana tidaknya, sejak menjadi warga UPM, terlalu banyak beban kerja yang menyongelkan. Kerja-kerja remeh terlalu banyak. Isi borang itu ini tak habis-habis. Hari-hari ada sahaja borang yang perlu diisi. Kata mereka, "biasalah, untuk sasaran kerja ISO." Bagi mereka mungkin biasa, tetapi bagi aku, kerja-kerja itu hanya tuntutan duniawi yang entah apa-apa.

Pagi tadi selepas sahur, aku menguliti sajak-sajak Janjang Ikhtikaf karya Darma Mohammad. Menarik sekali nuasa islaminya. Dia tegar menyusun kata dan memilih perasaan hingga aku hanyut dibawa arus asmara. Sesekali terfikir juga dalam ingatan, "kenapa tiada orang yang ingin memperkatakan Darma sebagai penyair Islam?". Mungkin selepas ini, jika ada kelapangan, ingin juga rasanya aku menulis tentang kumpulan puisi ini.

ii.
Mungkin ini sajak baharu aku yang sempat aku lakarkan. Seminggu berpuasa memberikan sedikit energi untuk aku kembali menulis.

KEMBALI KE KAMPUNG TRADISI ii

Sesekali pulang ke kampung tradisi
menuju dusun dan taman nurani
alangkah syahdu dan menguris
saat mengenang sebuah kehilangan
di mana kolam tempat berwuduk?
di mana surah tempat bersolat?
di mana menara tempat melaung azan?
di mana madrasah tempat merawat rajuk?
atau pondok tempat bersunyi zikir
juga tempat bersuluk dan mengaji.

Sesekali pulang
aku mencari batiniahku yang hilang
sebuah zaman yang mengajar makna istiqamah
dewasa menganyam cinta dan zuhud imani
dalam sebuah kesepian penuh hikmah.

Kampung abadiku,
meski segalanya telah tiada
aku perlu berasa bangga
kerana
jalan pulang ini
denai dan tanahnya masih menghijau
bulan dan bintangnya masih bercahaya.

Sesekali pulang ke kampung tradisi
air mata yang setia membilang kehilangan
akur juga akhirnya
di anjung janjang hayat.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

8 Ramadhan 1428H

iii
Aku tiba-tiba diulit rindu yang amat sangat. Kekasihku seperti menjelma dan menghilang dalam bayang-bayang cintaku.

Wassalam.




Rabu, 19 September 2007

Apabila Malam Bertukar Menjadi Rindu


i
Kuliah subuh pagi tadi amat jelas bicaranya. Aku mula berkira-kira jika malam al-Qadar yang dijanjikan Allah itu bisa aku temui. Dalam usia yang kian menua ini, tentunya perjalanan hidup ini terasa dekat ke penghujungnya. Sesekali membilang hari-hari yang dilewati itu banyak mengundang cerita kemunafikan daripada cerita yang berharum narwastu. Inilah kebimbangan yang sedang menerawang di fikiran.

Apabila Malam Bertukar Menjadi Rindu, aku sering terngiang-ngiang pesan ayah agar sentiasa menjaga malam-malam ramadhan ini dengan istiqamah. Ayah pernah kata, "carilah seribu bulan pada setiap datangnya ramadhan." Dan hari ini, aku adalah seorang pencari yang tidak mengenal lelah. Sama ada aku bakal menemuinya tahun ini, itu bukan soalnya. Yang penting aku harus sentiasa bersedia, bersedia dan bersedia agar aku menemuinya suatu hari nanti. Aku perlu menjadi manusia terpilih. Aku juga tahu bahawa bukan semua manusia akan dipilih Allah untuk bertemu al-Qadar; tetapi sekurang-kurangnya aku juga punya peluang seperti insan yang Allah pilih untuk disayangi.

Sayangi daku dengan seluruh cinta-Mu, Rabb.


Selasa, 18 September 2007

BERSAMA-SAMA FAISAL TEHRANI

i
Maaf aku tak dapat masukkan gambar aku bersama-sama Faisal Tehrani (FT) sebab gambar yang aku ambil tak cantik. HP bermasalah.

Aku sebenarnya bersama-sama FT menjayakan Diskusi kecil 1515 di Fakulti Pengajian Pendidikan. Dia kali ini lebih banyak memberi input tentang novelnya itu. Apa yang boleh aku simpulkan ialah dia seorang lelaki yang penuh istiqamah. Selamat berjihat FT. Dunia yang kita pilih adalah dunia dakwah yang lain. Moga Allah terima semua usaha kita di dunia ini. Sesuatu yang aku teruja ialah apabila dia bertanya "sejarah itu sebenarnya milik siapa?".

Pemimpin boleh mencipta sejarah baharu mengikut apa yang disukainya. Justeru, sejarah yang sebenar hanya ada pada orang yang terlibat ketika itu. Sejarah hanya dapat dibuktikan kebenarannya apabila individu terbabit mengalami sendiri. Sejarah tidak dapat dikongsi jika diputarbelitkan.

Kerana sejarah sering diselewengkan makanya aku melihat dia lebih suka bermain dengan karya bersifat sejarah.

ii
Tanpa disedari selepas majlis itu, aku bersembang hingga jam 12.30. Dia banyak berkisah tentang alam yang aku perlu menjadi lebih berhati-hati.

Terima kasih Faisal Tehrani. Salam ukhwah dan jihat dalam istiqamah.

Jumaat, 14 September 2007

NASIB SEHELAI 'JALUR GEMILANG'


i
Beberapa hari sudah, ramai orang bercakap tentang makna kesetiaan dan ketaatan. Tanpa banyak bersoal atau mempersoal hal ini, mari kita renungkan nasib 'jalur gemilang' dan fikirkan pula siapa yang paling TIDAK TAAT dan TIDAK SETIA kepada negara Malaysia.

Peristiwa i: VIP MCA makan kek yang simboliknya ialah jalur gemilang (rujuk Berita Harian 12
09 07- Datuk Sri Ong Ka Ting memotong kek 'jalur gemilang' di SJK Ma Hwa,
Seremban).
Peristiwa ii: Seorang anak muda bertopi kaledar membakar jalur gemilang di Terengganu.

Dapatan kajian: Kedua-dua mereka itu ialah pengkhianat kepada negaraku Malaysia.

SELAMAT BERFIKIR. MOGA RAMADHAN INI MEMYUBURKAN CINTA KITA.



Khamis, 13 September 2007

'OTAI' SASTERA MALAYSIA




i
Aku bersama-sama 'otai' sastera Malaysia yang sedang menuju hujung benua setelah lelah mencari secangkir cahaya. Aku, Aminhad, Ghazali Lateh dan Lutfi Ishak sedang merenung nasib Bahasa Melayu yang dilacuri dengan harga yang cukup murah.

Keterangan gambar: keletihan setelah pulang dari Pulau Karimun, Indonesia.

SALAM AL-MUBARAK


i
Hari ini kunjungan 1 Ramadhan 1428H aku sambut dengan seluruh rindu. Bulan ramadhan adalah bulan yang paling unik di tanah airku. Bayangkan pada bulan ini ramai orang yang sanggup memaksakan diri pergi ke surau atau masjid untuk melakukan amalan sunat tarawikh. Sebenarnya sudah lama aku berfikir, kenapa orang ke surau atau masjid pada bulan ramadhan sahaja. Kalau sebelum ini mereka solat fardu di rumah dan tak pernah buat solah sunat tiba-tiba apabila hadirnya bulan ramadhan, mereka bersungguh-sungguh ke surau atau masjid. Apa yang mereka cari sebenarnya?

Di kediamanku, aku hanya melihat sahaja budaya ini. Kadang-kadang aku berfikir, adakah manusia ini hanya perlu meningkatkan amal pada bulan ramadhan? Atau kalau tidak menunaikan solat tarawikh maka kita tidak boleh menyambut hari raya? Entahlah, walau bagaimanapun aku harus mengukir senyum apabila anak-anak aku malam semalam sudah bersiap-siap awal untuk ke surau. Aku bertanya seloroh, "adik nak ke mana?". Dia yang berusia 6 tahun menjawab petah, "nak pergi surau. Nak solat lepas tu nak makan kuih."

Nah, itu senario kanak-kanak! Adakah orang tua juga pergi ke surau atau masjid pada bulan ramadhan ini untuk makan kuih juga?

ii
Semalam, kecoh pasal gerakan Pemuda UMNO Terengganu bersama-sama 98 NGO nergabung untuk mengambil tanda tangan rakyat bagi mendapatkan sokongan untuk mengutuk perbuatan membakar bendera 'Jalur Gemilang'. Tahniah aku ucapkan kepada ketua penerangannya iaitu Razali Idris. Perbuatan membakar bendera samalah seperti membakar negara. Aku bersetuju sangat tindakan ini. Teruskan usaha ini bagi menunjukkan bertapa kita punya maruah dan harga diri.

Kepada Razali Idris, aku nak cadangkan juga bahawa usaha seperti ini perlu dilakukan juga kepada gerakan penghapusan istilah 'Melayu' yang sedang dijalankan secara terancang. Pertamanya ialah gerakan menukar Bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Kalau semangat kita ikhlas dan jujur, kita juga perlu peka akan perkara ini. Bukankah penukaran istilah itu bermakna maruah dan semangat lamina kita telah dikoyak-koyakkan? Perjuangan kita memartabatkan bahasa, bangsa, negara dan agama perlu sejajar dan seiring.

Kalau orang UMNO membaca blog dan tulisan ini, satu sahaja pertanyaan yang perlu kalian jawab, iaitu "APAKAH DOSA ISTILAH MELAYU DALAM PERKATAAN BAHASA MELAYU?"

Kalau perkataan 'MELAYU' itu berdosa, aku minta supaya perkataan 'Melayu' dalam UMNO pun perlu digantikan dengan perkataan Malaysia. Kemudian bangsa dalam kad pengenalan pun ditukar sama kepada bangsa Malaysia supaya gagasan 'PERPADUAN' yang dicanangkan akan segera tercapai.

Soal orang cina dan india nak menggunakan bahasa mereka, itu jangan difikirkan sebab itulah perjuangan mereka. Terbaharu ialah MCA menuntut supaya soalan UPSR perlu diadakan dalam bahasa mandarin. Itu perjuangan mereka. Bukan macam UMNO yang tidak pernah rasa berdosa apabila menukarkan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik dan sains ke bahasa inggeris.

Kepada kerajaan (termasuk aku) fikir-fikirkanlah. Aku dah letih bermain dengan marah dan sakit hari. Semuanya aku pendam dan mudah-mudahan bulan ramamdhan ini dapat mengurangkan amarah aku terhadap perjuangan UMNO yang kian jauh terpesong.

iii
Selepas sahur, aku sempat menelaah buku 'Gulistan' karya Syeikh Musliuddin Sa'di Shirazi. Buku ini merupakan adikarya legendaris Parsia. Kehebatan Sa'di sebenarnya telah diperakui oleh dunia sastera Islam kerana beliau merupakan penulis yang sebaris dengan Ferdowsi penulis buku Syah Namah, Fariduddin al-Atthar pengarang Mantiq al-Tayr dan Jalaluddin Rumi pengarangan Matsnawi-i Ma'nawi.

Buku ini telah membawa aku masuk ke pintu-pintu iman dan cinta untuk memetik hikmah dan pengetahuan tentang kecerahan kasih sayang Tuhan. Sa'di menjelaskan juga hanya melalui pembaikan moral dan fikiran , masyarakat yang sedang sakit hari ini dapat dipulihkan. Hanya iman dan ketauhidan sahaja yang boleh menjadikan manusia punya adab dan bermartabat.

Selamat mengimarahkan Ramadhan dan mudah-mudahan ALLAH memberikan hidayah dan meningkatkan ketqwaan kita. Amin.


Jumaat, 7 September 2007

MEMAKNAKAN KEJUJURAN DAN MARUAH BANGSA

i
Banyak yang bermain dalam fikiran apabila laman 'Tanah Nurani' ini dilayarai oleh teman-teman juga manusia yang sudi menikmati dan berkongsi pengalaman. Syukur bahawa masih ada yang sudi. Begitupun, ada sesuatu yang sukar aku fahami apabila ada di kalangan pengunjung itu masih tidak boleh membezakan makna kejujuran, perjuangan dan maruah bangsa. Sebenarnya, perjuangan bangsa ini bukan macam berjuang nak menghapuskan babi di Melaka. Bahasa ialah soal yang lebih tinggi daripada babi, anjing atau musang. Perjuangan bahasa samalah ertinya dengan perjuangan jihad meski pertalian antara bangsa, bahasa dan agama itu amat sukar untuk dimaujudkan. Orang yang lari daripada perjuangan ini atau berpaling tadah atau mempermainkan perjuangan ini samalah hukumnya dengan orang yang berpaling tadah daripada medan perang. Justeru dalam makna yang tersirat, tindakan itu samalah dosanya seperti kesalahan 7 dosa besar yang salah satunya ialah lari atau berpaling tadah dari medan perang.

Bahasa dan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaaysia ialah Islam. Perlembagaan negara telah memaktubkan akta ini. Semua rakyat Malaysia sudah pun memahaminya sejak kita menikmati kemerdekaan yang pertama kalinya (1957) lagi.

Nah, kepada manusia (zizie ali) yang pernah mendapat 'a' dalam subjek bahasa Melayu di IPT juga sudi berkunjung dalam laman 'Tanah Nurani' ini ; cuba fikirkan apa yang bakal terjadi 10 tahun akan datang jika bahasa Melayu telah hilang etos dan doktrinnya? Benarkah ketika itu bahasa Inggeris akan berleluasa? Atau apa? Apa yang paling kita takut ialah bahasa manderin atau bahasa tamil yang menguasai tanah Melayu ketika itu?. Inilah persoalannya. Hari ini, banyak tuntutan mereka (orang cina dan india) yang bukan sahaja sedikit tetapi kian mencabar kesabaran kita dipertontonkan oleh media. Tidak terfikirkah bahawa inilah strategi licik mereka yang jika prinsip 'tidak mengapa' (sebab sikap orang Melayu yang banyak mengalah atau sabar) itu (seperti sikap saudara zizie) diterima pakai dalam semua segi. Sikap lewah begini akhirnya akan menjadi api dalam sekam.

Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi saya melihat nasib anak-anak bangsa Melayu selepas ini yang sedang dicaturkan oleh pemimpin kita tanpa sifat keikhlasan dan kejujuran.

ii
Saudara Melayuku yang dihormati dan dikasihi,
Nasib bangsa dan bahasa kita kini berada dalam situasi yang mendukacitakan. Tangisan sedih tokoh pejuang bahasa sepetri Dato' Baha Zain (sila baca catatan mereka dalam Dewan Sastera setiap bulan), Datuk Hassan Hassan Ahmad (Dewan Masyakarat), Rustam Sani (Siasah), SM Zakir (Millinium), A.Ghafar Abdullah (Dewan Budaya), Rahimidin Zahari dan Sutung Umar RS (Pentas) atau tulisan-tulisan berkala terbitan akhbar harian prokerajaan itu jelas memperlihatkan manifestasi kerisauan itu.

Jangan beranggapan perjuangan terhadap bahasa Melayu adalah perjuangan kecil dan bodoh. Jika begitulah mentaliti orang Melayu, bermakna suatu hari nanti bangsa dan bahasa kita hanya tinggal nama dan sejarah sahaja (hari inipun penghakisan itu sedang dilakukan secara licik).

Maaf kerana catatan kecil ini hanya satu memoir peribadi. Dalam hal ini, saya teringatkan bicara seorang rakan (konon pejuang parti prokerajaan), katanya, "berdusta kepada bangsa dan bahasa Melayu tidak sama hukumnya dengan berdusta kepada Allah. Neraka hanya tempat manusia yang berdosa kepada Allah dan sesama makhluk sahaja. "
Aku dengan bersahaja terus memberikan reaksi. Kataku, "bukankah bahasa itu juga makhluk Allah?".
Sahabatku itu terkesima.

Itu adalah secebis pengalaman yang aku lalui 4 tahun lalu ketika berada di kota London. Bayangkan bagaimana mudahnya luntur semangat sahabatku itu yang diberikan biasiswa kerajaan untuk menyambung pengajian Phd.nya di sana. Hari ini dia sudah berjaya bergelar doktor falsafah dan cakap-cakapnya kini ialah tentang penjajahan bentuk baharu yang sedang berleluasa dalam kehidupan orang Melayu. Dia telah sedar dan sedang melakukan sesuatu untuk mengingatkan bangsanya sendiri. Aku menghormati perjuangannya kerana dia menyedari apa yang sebenarnya aku perjuangkan selama ini.


Ya Rabb, berikan hidayah kepada rakanku itu termasuklah saudara zizie ali. Amin.

Isnin, 3 September 2007

SELAMAT MERAIKAN JUBLI EMAS MALAYSIAKU

i
Surat khabar, majalah dan media eletronik begitu sibuk meraikan sambutan usia jubli emas kemerdekaan kita. Sama ada mereka ikhlas atau terpaksa itu bukan soalnya. Yang penting mereka telah melaporkan peristiwa yang penuh warna-warni sempena sambutan ini. Pada padi 31 Ogos aku duduk di depan tv bersama-sama anak-anak dan isteri. Mereka gembira sambil bersorak melihat kemeriahan perbarisan daripada pelbagai kontijen. Mereka terpesona melihat kereta berhias, persembahan udara dan gerakan-gerakan khas pasukan keselamatan. Aku melihat lebih jauh daripada itu sebenarnya.
Aku bertanya di dalam diri sendiri, bagaimana nasib bangsa Melayu 50 tahun akan datang. Bagaimanakah kedudukan bahasa Melayu selepas ini. Waktu itu, aku telah tiada lagi di muka bumi Allah ini. Tentunya waktu itu, nasib anak cucu aku yang akan merasainya. Kaenapa aku berkata demikian? Sebab ialah jika hari ini nasib bahasa Melayu pun tidak boleh dipertahankan, bagaimana pula nanti jika negara ditakbir urus oleh bangsa bukan bumiputra? Aduhai anak cucuku, aku tak dapat bayangkan nasibmu anak cucuku.

ii
Dalam banyak-banyak artikel tentang makna dan iltizam merdeka, aku tertarik dengan tulisan Mohamaed Haniff Omar (mantan Ketua Polis Negara) bertajuk "Rasuah Bukan Legasi Saya" Utusan Malaysia 3 Sept 2007. Justeru makna yang lebih tersirat ialah, ketika dia memerintah menteri kewangan dan timbalang perdana menteri ketika itu ialah Tok Syeikh. Nah, sudah terang lagi bersuluh; siapa sebenarnya bapa rasuah moden dalam legasi kepimpinan negara. Falsafah tulisan ini mudah sahaja iaitu, power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.
Falsafah ini menjelaskan bahawa rasuah bukan satu kuasa mutlat tetapi kuasa di tangan (manusia) boleh melakukan rasuah dengan sewenang-wenangnya.