Selasa, 20 November 2007

TAHNIAH KONGRES SEBUDAYA SERUMPUN

i
Kongres Sebudaya Serumpun (KSS) yang berlangsung dengan jayanya pada 16-18 Nov 2007 lalu perlu dilihat dalam persepsi yang positif. Pertembungan budaya antara 4 negara (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand) meninggalkan impak besar kepada nuansa umat Melayu. Menariknya apabila kita sama-sama dapat mendengar apa yang sedang melanda umat Melayu rantau nusantara ini. Kisah-kisah yang menyayat hati perlu kita fikirkan bersama-sama untuk saling membantu dan menyelesaikannya.

ii
Pada mulanya, aku merasakan kerja ini adalah kerja 'gila'. Tetapi setelah berjaya duduk semeja dan melakukannya dengan sokongan PENA, KEKKWA dan DBP, aku melihat bahawa umat Melayu adalah bangsa yang punya gagasan dan maruah harga diri. Tokoh-tokoh besar seperti Suratman Markasan, Emha Ainun NAjib, Dato' Baha Zain, Datuk Johan Jaaffar, Haji Ismail Baset-Smith, Hj Morsidi dan tokoh-tokoh muda seperti M. Rahman Daud, SM Zakir, Azhar, Razak Pandangmalam dan lain-lainnya itu aku lihat punya paradigma tinggi tentang perjuangan nasib bangsa atau umat Melayu.

Kepada kalian semua, TAHNIAH DAN TERUSKAN PERJUANGAN INI.

iii
Sajak terkini.

PENYAPU DAN HADIAH HARI Q

maaf tuk
penyapu yang kau beri
pada malam anugerah semalam
tak sempat aku gantung di dinding
kerana telah diambil oleh pembantu rumahku
untuk menyapu sampah dan mencuci tandas

ketika aku bising-bising mencari penyapu itu
bertanya pembantu rumahku
cari apa?
penyapu, jawabku.
cari apa?
penyapu, jawabku.
cari apa?
penyapu, jawabku.

pertanyaan demi pertanyaan melintas di depanku
dengan sedikit gusar yang masih berbaki
aku bertanya lagi
di mana penyapunya?
penyapu apa?
di mana penyapunya?
penyapu apa?
di mana penyapunya?
penyapu apa?

aku segera menjawab dengan lembut
demi menjaga maruah pembantu rumahku
aku mencari
penyapu yang paling berharga

hadiah daripada bapak menteri

dalam keadaan aneh dan bersahaja
pembantu rumahku berkata
pelik benar rakyat Malaysia
penyapu yang hina dijadikan hadiah
apa sudah hilang akal bapak menterinya?

Madrasah Sham al-johori.
Kuala Lumpur.




Selasa, 13 November 2007

SEMINAR SASTERAWAN NEGARA SHAHNON AHMAD, 13-14 NOVEMBER 2007

i
Seminar pemikiran Shanhon Ahmad (SA) bermula hari ini selama 2 hari bertempat di DBP. Akhirnya seminar yang tertangguh sekian lama itu berjaya juga diadakan. Tahniah Jabatan Sastera, DBP kerana berfikiran terbuka; tidak mencelarukan antara politik dengan sastera, khususnya Kesusasteraan Melayu.
SA merupakan sasterawan negara yang benar-benar kuat dan gigih berkarya. Karyanya penuh dengan makna tersirat yang bercakap tentang nasib bangsa, agama dan masyarakat. Sebagai seorang elit-intelek-Melayu, beliau melihat semuanya itu dengan akal budi yang halus.
Sejak kecil (usia sekitar 10 tahun) aku sudah didedahkan dengan novel-novelnya oleh ibuku. Ibuku antara manusia yang turut meminati karya SA meski ibuku hanya seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Minat membaca ibu akhirnya tertumpah ke dalam diri.

ii.
Sempena seminar SA itu, aku turut diminta pihak DBP untuk menulis kertas kerja. Tanpa menolak dan dengan kerja-kerja kongres yang mendesak aku kuatkan juga semangat untuk menulis sesuatu tentang SA. Akhirnya inilah kertas kerja yang mampu aku siapkan.

iii: Kertas Kerja aku:

MAHABBAH: RASA INSANIAH DALAM TAKAH GELORA HUSNULKHATIMAH

Shamsuddin Othman

Pendahuluan

Pemikiran Shahnon Ahmad sejak akhir-akhir ini benar-benar menggugah fikiran khususnya golongan penulis mahupun masyarakat yang sentiasa berfikir tentang nasib bangsa dan bahasa. Karya-karya yang terbit daripada akal dan budi Melayu-elit-intelek ini tidak boleh diasing dan dipisah-pisahkan kerana pemikiran minda Melayunya yang tidak pernah menemui titik akhir. Shahnon Ahmad melihat itulah masalah besar yang sedang meracu dalam persekitaran budaya yang rumit dan perlu dijelaskan secara terperinci dan serius. Hal ini dilanjutkan lagi dengan karya terbaharunya berjudul Mahabbah. Orientasi minda Islamnya yang sedemikian itu telah berjaya menghasilkan khazanah pemikiran Melayu-Islam dalam dekat ini.

Sepintas Lalu Tentang Mahabbah

MEMBACA novel terbaharu Shahnon Ahmad iaitu Mahabbah[1] (DBP:2007) membawa pembaca ke alam sedar batiniah yang lain. Menyelak halaman demi halaman kita seperti sedang berhadapan dengan ambang sakaratulmaut yang digugah iman oleh syaitan dan iblis. Shahnon Ahmad mengajak kita merasai satu situasi bawah sedar tentang detik-detik terakhir kehidupan. Pengisahan kehidupan pada saat penghujung hayat itu diolah dengan sebaiknya hingga bayangan dan igauan masa lalu dan masa berada di alam kubur atau barzakh terasa benar-benar berlaku meski semuanya itu merupakan bayangan kreativiti, imaginatif dan sensitiviti Shahnon Ahmad.

Novel ini mengemukakan watak Endar sebagai watak utama. Endar yang menderita sakit Myasthenia Gravis (MG) yang mengakibatkan seluruh anggotanya lumpuh termasuk lidahnya hidup terlantar di atas ranjang. Bertemankan isterinya Jawahir (Jawa) dan dua orang gaji bernama Inong dan Ani, kehidupannya benar-benar sepi. Hidup tanpa dipedulikan oleh dua orang anaknya Abdul Rahman dan Abdul Rahim menambahkan lagi gelora hatinya. Kedua-dua anaknya ini pula berhadapan dengan kecelaruan kepimpinan yang tidak memungkinkan sehati sejiwa. Kehidupan anak-anaknya yang saling bertubrukan digambarkan oleh Endar sebagai dua batang sungai yang tidak searus dan sentiasa gelombangnya membadai.

Endar hanya memiliki seketul hati untuk menentang kemungkaran anak-anaknya, sosial dan politik yang berlaku di dalam fikirannya. Keinginan meninggal dunia dalam makam husnulkhatimah menyebabkan fikirannya berada dalam kecelaruan dihambat peristiwa masa lalu dan masa depan yang berjungkir balik. Bayangan atau igauan daripada bisikan syaitan dan iblis serta keinginan melawan bisikan itu dengan iman zikirullah menyebabkan detik-detik terakhir kehidupannya itu benar-benar derita. Begitu pun, Endar sentiasa berharap agar kehidupannya yang uzur itu akan berakhir dengan kebahagiaan.

Dengan kerenggehan anggota tubuhnya dan kelesuan setiap ototnya Endar masih juga mengharapkan bisikan daripada-Nya itu. Endar masih ingin tahu sama ada kedua-dua batang sungai itu masih boleh disatukan ataupun dibisikkan kepadanya wajah-wajah yang lain. Endar hanya ingin menerima bisikan itu, walau dalam bentuk apa sekalipun kerana Endar yakin segala-galanya dalam urusan dan pentadbiran-Nya.

(Hlm: 241)

Novel ini mempunyai sedikit persamaan dengan karya SA sebelumnya iaitu Ibu Adalah Pentafsir & Sungai (Fajar Bakti: 1994), Igauan dan Cerita-cerita Lain (Fajar Bakti: 1996) dan Lamunan Puitis (DBP:2005). Bezanya antara ketiga-tiga novel ini dengan novel Mahabbah ialah kelangsungan watak utamanya yang hanya berkomunikasi dengan menggunakan seketul hati, iman dan akal sahaja. Komunikasi dua hala tidak berlaku dalam novel Mahabbah kerana keadaan Endar yang tidak boleh bercakap dan terlantar di atas ranjang sahaja.

Ikon lelaki tua yang menderita dilumpuhkan oleh MG penyakit itu hanya berupaya menggerakkan minda pada dua persoalan paling besar, iaitu nasib bangsanya yang berpecah belah dan nasib dirinya yang sudah bersedia meninggalkan alam fana untuk berhijrah ke alam barzakh.

Dalam bab Epilog, SA memperlihatkan keadaan sebenar sebuah kehidupan manusia yang perlu memikirkan kehidupan selepas berada di dunia. Persoalan yang ditimbulkan pada peringkat awal iaitu ’sesungguhnya segala itu adalah perjalanan’ akhirnya terjawab dengan satu jawapan bahawa manusia yang telah melalui kehidupan pasti menemui kematian. Cuma, kematian yang bagaimana menjadi pilihan, sama ada yang husnulkhatimah atau su’ulkhatimah?

Kematian atau ajal ialah perkiraan yang ditetapkan oleh Allah bagi kesudahan hidup di alam ini. Pengakhiran ini bermakna sudah tamatlah tanggungjawab keagamaan dalam kehidupan seseorang setelah roh dan jasad itu menjadi dua dan tidak bersatu. Ahli Sunnah Wal Jamaah mempunyai keyakinan yang tegas bahawa kematian bukan merupakan tamat riwayat hidup sebenar sebaliknya perjalanan yang bersifat taklifi iaitu kehidupan yang berbentuk pertanyaan dan balasan baik dan jahat. Alam itu dikenali dengan nama alam barzakh. Hal inilah yang sedang berhadapan di dalam diri Endar

Novel yang memperlihatkan percakapan batinan ini mengundang tanggapan Rasa Insaniah[2] yang tinggi. Shahnon Ahmad sebagai seorang pengarang yang vesetail telah berjaya membongkar detik-detik terakhir kehidupan manusia menjelang kematian. Detik yang dikatakan menjadi penentu husnulkhatimah kepada setiap orang yang beragama Islam itu dilihat jika tidak diikat dengan asas Islam yang kuat akan membawa kepada kematian yang sia-sia. Inilah pemikiran lain yang berjaya diolah dengan baik oleh Shahnon Ahmad.

Mahabbah dan Hubungannya dengan Rasa Insaniah

Kasih sayang, kecintaan dan kerinduan merupakan sifat semula jadi yang dikurniakan Allah kepada hambanya. Tabii ini mempunyai tautan makna yang erat dengan mahabbah. Kebanyakan ulama mutakallimin mentakwilkan makna mahabbah ini sebagai perasaan cenderung, terpikat dan kasih kepada seseorang yang sempurna kerana berilmu, pemurah, suka menolong, suka memberi ihsan, lemah lembut, berani, dan adil. Rasa kasih itu wujud bukan kerana sifatnya yang maknawiyah bukannya disebabkan oleh sifat rupa zahir.

Dalam hubungan makna vertikal, mahabbah dilihat sebagai perasaan kasih, sayang, kerinduan, tawaduk, takwa, dan tawazun yang tiada had batasnya kepada yang maha pencipta iaitu Allah SWT. Kesempurnaan Allah mengatasi segala yang sempurna, oleh itu, wajiblah Allah itu kita kasihi dengan seluruh perasaan yang ada di dalam diri manusia. Mahabab dengan wacana proses kreatif seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad ini ialah pernyataan cenderung hati makhluk kepada kesempurnaan sifat Allah. Parasaan itu lahir dari keikhlasan hati hambanya sehingga menerbitkan rasa kasih sayang, kerinduan, rasa membesarkan kejadian Allah hingga membawa kepada mengutamakan keredaan Allah dengan perasaan sabar, bertawakal dan ikhlas.

Imam al-Qusyairi[3] telah membahagikan Mahabbah kepada lima jenis, iaitu (1) Mahabbah Hissiyah iaitu mematuhi segala perintah Allah. (2) Mahabbah Nafsiyah iaitu rasa cendrrung hati dengan tiada kurniaan apa-apa. (3) Mahabbah Qalbiyah iaitu perasaan membara terhadap sesuatu yang amat dikasihi. (4) Mahabbah ’Aqliyah iaitu rasa diperhatikan oelh keasihnya sama ada pada waktu syuhud (nyata) atau ghaib, dan (5) Mahabbah Ruhiyah iaitu menyerahkan seluruh roh dan jiwa raga kepada yang dikasihinya.

Oleh itu, manusia yang berada pada tahap mahabbah itu ialah apabila rasa kerinduan akan kekasihnya itu mengatasi segala-galanya. Perasaan ini akan menimbulkan kelazatan yang tinggi hingga menyebabkan seseorang itu bolah hilang segala derita atau kesakitan yang dialami. Makna dan hubungan Islami ini jika diperhalusi lagi akan membawa pengertian terhadap kesempurnaan kasih sayang, cinta dan rindu kepada Allah SWT. Jika semua sebab kasih sayang itu ditekadkan kepada Allah, maka pastinya kasih kepada Allah itu lebih daripada segala-galanya. Ini bermakna tiada yang lebih dikasihi melainkan Allah SWT kerana keindahan-Nya, kesempurnaan-Nya serta af’al-Nya (sifat-sifat-Nya).

Islam sebagai agama yang sumul amat mementingkan kebenaran, kejujuran dan keikhlasan dalam semua tindak-tanduk kehidupan. Melihat hubungan yang lebih jauh daripada itu, konsep Islam telah menggariskan bahawa sifat – sifat ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan perasaan, rasa atau gerak hati. Hal yang bertolak daripada makna ‘insan’ ini perlu dilihat dengan menggunakan pemikiran yang telus serta berprinsipkan kesyumulan hakikat ilmu juga iman.

Islam telah mengariskan bahawa batas kehidupan manusia perlu berlandaskan sunah rasulullah (Nabi Muhammad SAW). Sunah ini memberikan informasi tentang faktor-faktor yang mengutamakan akhlak, bertindak secara bijaksana, dan meninggalkan kemungkaran seperti yang diwahyukan dalam Al-Quran dan hadis. Sementara ’insan’ dalam metod Islam ialah akal, roh dan jasad manusia yang dapat membuktikan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh itu, dalam mencari makna insaniah itu, kita perlu melihat kepada sifat-sifat pengabdian kepada Allah dan diikuti dengan keindahan (estetika) duniawi.

Keindahan insaniah dapat dinilai daripada aspek luaran dan dalaman. Dalam surah al-A’raf ayat 26, Allah berfirman yang bermaksud;

Hai anak Adam, sesungguhnya Aku menurunkan pakaian kepada kamu untuk menutup kemaluan dan untuk perhiasan, tetapi pakaian taqwalah yang paling baik. Ini adalah sebahagian daripada keterangan-keterangan Ku”.

Peringatan ini sewajarnya dihubungkaitkan dengan ayat 4 surah al-Qalam yang bermaksud;

Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak insaniah yang tinggi”.

Dua ayat ini merupakan gambaran kepada manusia tentang insan yang diredai Allah ialah manusia yang mempunyai pakaian taqwa, berfikiran tinggi, tidak emosi dan memiliki keperibadian rasa hati yang mulia. Sifat-sifat mulia ini merupakan satu perlakuan yang disedari kehadirannya oleh pengarang. Dalam konteks yang lebih mudah ialah setiap pengarang mestilah menyedari dan membentuk keperibadian yang mulia sebelum menghasilkan karya. Ini kerana dalam syurah As-Syuara’ah ayat 224-227, Allah menjelaskan bahawa;

“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang yang sesat. Tidakkah kamu meliha bahawa mereka mengembara di setiap lembah dan mereka suka menyaakan apa yang mereka sendiri tidak kerjakannya. Kecuali penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebu nama Allah SWT dan mendapat kemenangan sesudah menderia kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.”

Akhirnya keadaan ini akan menimbulkan kesan hubungan psikologi dalam sejarah budaya sesuatu bangsa. Lebih daripada itu, keindahan bagi Islam bukanlah sentimen jiwa yang dianggap oleh barat sebagai pernyataan emosi yang terpisah sepenuhnya daripada intelek dan rasional. Sebaliknya keindahan beerti kerohanian dan dengan ini bermakna jiwa yang terpusat (bersatu antara iman dan amal).

Oleh itu, dalam konteks insan dan insaniah, kehidupan manusia yang sebenar ialah manusia itu sendiri yang perlu menghidupkan keindahan dan kebenaran diri mereka sendiri. Justeru, sebuah karya sastera yang sempurna adalah pernyataan kebenaran, dan di dalam kebenaran itulah adanya keindahan.

Rasa Insaniah

Bertolak daripada hal inilah, makalah ini akan berusaha melihat novel Mahabbah ini dari sudut Model Rasa Insaniah (MRI). Model ini diperkenalkan kerana memikirkan pengalaman estetika insan tidak terjadi secara spontan, tetapi terbina hasil daripada pengalaman sesuatu, sama ada dialami sendiri, melalui pembacaan mahupun pengamatan fikiran. Keindahan dalaman teks waima kekuatan karya seseorang pengarang tidak akan dapat dirasai dengan tepat tanpa mengenali jiwa kepengarangan atau proses kreatif seseorang pengarang itu sendiri.

Latar belakang penulis dan hakikat kejujuran berkarya dalam Islam akan membawa kesan yang lebih mendalam kepada jiwa pembaca. Sesebuah karya yang baik dan bernilai tinggi secara tersiratnya dapat memberikan impak positif kepada pembaca sehingga pembaca dapat memperbaik kehidupan mereka di dunia mahupun persediaan di akhirat. Dengan itu, ajaran Islam dan falsafahnya didapati menjadi nilai utama dalam menentukan nilai sesebuah karya. Ini membuktikan bahawa dengan sendirinya karya yang baik akan bertolak daripada jiwa pengarang yang bersifat insaniah (berpakaiankan taqwa kepada Allah).

Justeru, untuk menjadikan keindahan karya (teks) itu benar-benar boleh dinikmati sepuas-puasnya, sasterawan atau penulis itu perlu mengabadikan kerjanya dengan ikhlas hanya untuk Allah. Mauduk daripada kesan ini dianggap cukup dominan di dalam korpus tradisi sastera Islam sejak zaman Umar al-Khatab lagi.. Malah karya (teks) yang terhasil sama ada daripada ilham atau idea kepengarangan tidak akan sempurna hanya dengan memasukkan gambaran alamiah lahiriah sahaja. Karya akan menjadi lebih matang sekiranya dapat dirungkai daripada sudut yang lebih tinggi iaitu dari sudut kalbu insaniah; atau dilihat dengan menggunakan budi, akal, rasa cinta, rasa rindu, rasa taqwa, rasa insaf, rasa sabar, rasa tawakal dan rasa taubat.

Bertolak daripada gerak rasa itu, kemandirian Model Rasa Insaniah ini dibina berasaskan kepada tiga ciri utama, iaitu;

  1. Pengabadian kepada Allah
  2. Pengucapan berakhlak (akal budi), dan
  3. Kehalusan makna.

Pengabdian kepada Allah (Tuhan) boleh ditakrifkan sebagai pelakuan yang terlalu merendah diri sehingga timbul perasaan takut kepada pencipta atau al-Khalid. Oleh itu dalam konteks pengabdian ini, manusia tidak mempunyai perasaan taksub akan kebendaan duniawi kerana kesenangan duniawi akan mengundang kehancuran. Golongan manusia yang dikategorikan sebagai insaniah ini ialah manusia yang yakin bahawa tempat paling ideal ialah selepas kiamat ialah syurga. Surah al-An’am ayat 32 ada menjelaskan;

“Kehidupan dunia ini tidak lari dari permainan dan senda gurau sahaja dan akhirat itulah sebenarnya lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?”.

Berdasarkan petunjuk Allah seperti mana yang termaktub dalam ayat di atas, setiap manusia yang akur dengan konsep pengabdian itu pasti jiwa mereka mempunyai perasaan yang takut kepada Allah dan perasaan yang bersifat insaniah itu antaranya seperti rasa takut, rasa takwa, rasa cinta atau rasa zuhud, rasa taubat, rasa rindu, dan rasa kasih sayang. Rasa ini terjelma secara sendiri setelah manusia itu berada dalam satu darjat insaniah kerana mereka tidak terpedaya dalam kehidupan dunia yang bersifat sementara ini.

Pengabadian kepada Allah

Shahnon Ahmad menciptakan satu watak kebal iaitu Endar lelaki tuan, bekas cikgu yang hidup terlantar di atas ranjang dan sedang berlawan dengan bisikan syaitan dan iblis. Keadaan dirinya yang uzur dan kaku akibat penyakit lemah sendi dan otot atau MG (Myasthenia Gravis) dihidupkan dengan kekuatan jiwa dan semangat kental. Pada saat-saat berada di hujung hayatnya, dia berhadapan dengan pengalaman masa lalu, dihambat kegagalan memberikan pendidikan selengkapnya kepada anak-anak, dicelarukan oleh persekitaran sosial bangsanya dan peperangan dengan diri sendiri. Persoalan yang menjadi igauan hidupnya menjadikan dia sentiasa bersedia dengan zikirullah. Gambaran ini dapat dilihat, seperti tulisnya;

Hasrat Endar hanya untuk mengukuhkan mahabbahnya kepada-Nya saja: tidak kepada yang lain. Dan, dengan mahabbbahnya kepada-Nya itu akan tercurahlah pula mahabbah-Nya kepada Endar. Dan, tersimpullah satu ikatan yang terungkai lagi dengan buhulan yang kukuh dan teguh antaranya dengan Dia Yang Maha Esa. Dengan buhulan itulah saja Endar dengan penuh ketenteraman mengharapkan berupaya boleh meneruskan perjalanan bersisanya menuju keabadian dengan tamatan husnulkhatimah.

(hlm:105)

Endar sebenarnya telah menjadi manusia yang reda dengan apa-apa yang bakal terjadi kepada dirinya. Meskipun pengabdian Endar sebagai seorang yang telah hilang keupayaan tulang empat kerat, percakapan dan bergerak tetapi seketul hatinya masih kuat mengingati Allah SWT. Bibirnya yang sentiasa bergetar meski tidak difahami adalah lambang ingatannya masih waras dan tidak lekang daripada berzikir atau bertahmid kepada Allah.

Begitu juga ketika ingatannya terkenangkan hal kedua-dua orang anaknya Abdul Rahman dan Abdul Rahim yang tidak sehaluan. Endar menganggap bahawa itu adalah ketentuan yang perlu diterima kerana kesilapannya dan dia terus berdoa agar Allah menyatukan mereka berdua kembali dengan apa-apa cara sekalipun waima kemusnahan. Harapan untuk melihat anak-anaknya bersatu itu dijelmakan seperti di dalam halaman 101.

Namun, Endar masih juga menunggu kedua-dua orang anaknya yang berlainan menguruskan saf masing-masing itu serentak pulang supaya kedua-dua belah keluarga mereka boleh bersama bermesra dan kembali menjalinkan ukhuwah dan kembali menyatukan wehdah. Endar akan menyampaikan lagi isi hatinya yang terpendam itu melalui degupan hatinya dan denyutan mindanya. Dengan hasrat yang akan tercapai itulah Endar merasakan bahawa dia dapat meneruskan perjalanan bersisanya dengan aman tanpa secalit berantakan lagi; malah dengan itulah dia harapkan perjalanannya itu akan tamat dengan dukungan husnulkhatimah akhirnya.

Tanda kasih kepada Allah apabila diturunkan bala, penyakit, dugaan, ujian dan kesusahan hidup ialah seseorang itu tidak berdukacita atau kasihnya tidak berubah. Semakin banyak dugaan atau cubaan yang melanda semakin kuat rasa cinta dan kasihnya kepada Allah. Jika kasihnya berubah itu tandanya mahabbahnya kepada Allah hanya dusta semata-mata.

Manusia yang reda dengan ujian dan keperitan hidup seperti menderita sakit dan menganggap itu semua sebagai satu kelazatan dan keseronokan hidup merupakan manusia yang telah mencapai tahap pengabadian yan tinggi. Kasih yang dirasai daripada kemudaratan itu akan dianggap sebagai pemberian yang bermanfaat. Malah mahabbah itu timbul disebabkan rasa kesempurnaan zat, sifat, kesucian, kebesaran, kemuliaan, dan bersih daripada segala kekurangan dan kecacatan. Oleh hal yang demikian, Endar dalam Mahabbah adalah seorang manusia yang sedang melalui tahap mahabbahnya kepada Allah. Pengabadian yang tinggi ini tidak pernah dikesali berlaku ke atas dirinya. Endar menerima semua ketentuan itu dengan lapang dada dan menganggap penyakit yang dideritai itu adalah nikmat. Tahap merasai nikmat dalam derita ini menjadi kayu ukur dalam penilaian rasa takwa dan rasa tawakal kepada Allah. Puncak kepada rasa takwa yang tinggi kepada Allah ialah manusia itu akan menyerahkan seluruh jiwa dan raganya kepada qada dan qadar Allah. Hal beginilah yang berlaku dalam kehidupan Endar. Endar yang kehilangan upaya akhirnya bertawakal kepada Allah dengan seluruh rasa takwa. Allah berfirman dalam surah al-Maa’idah ayat 23 yang bermaksud;

Dan kepada Allah hendaklah kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang mukmin yang bertakwa.

Shahnon Ahmad menperlihatkan sifat ketakwaan yang wujud dalam diri Endar itu di halaman 150. Penjelmaan rasa takwa itu menjadi lambang kepada tahap tawakal yang ditunjukkan dengan ikhlas oleh Endar. Gambaran pilu tetapi menyentuh ini dijelmakan seperti ini;

Segala penderitaan pun kini adalah nikmat-nikmat daripada-Nya, termasuk keadaan keuzurannya yang melumpuhkan hampir kesemua anggotanya ini. Endar menerima segala ujian itu sebagai nikamt-nikmat daripada-Nya. Dan, degupan hati dan denyutan mindanya sekarang ini tidak pernah renggang daripada bisikan zikrullah dan juga sikrulmaut, seiring dengan usahanya untuk berzuhud, berqanaah, beristiqamah dan berpasrah keseluruhannya kepada-Nya.

Tawakal merupakan satu perkara mulia yang dituntut oleh Islam. Malah Nabi Muhammad sendiri merupakan insan yang menjadikan tawakal sebagai amalan hidupnya. Ini sejajar dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

Tidak sempurna iman seseorang hamba itu kepada Allah sehinggalah dia mempunyai lima perkara, iaitu tawakkal kepada Allah, bersarah kepada Allah, meredai takdir Allah, dan sabar apabila ditimpa bala Allah. Sesungguhnya jika seseorang itu kasihan sesuatu kepada Allah, bencikan sesuatu kerana Allah, memberi kerana Allah dan menolak sesuatu juga kerana Allah, maka sesungguhnya imannya sempurna.

Tawakal yang merujuk kepada makna yakin akan takdir qada dan qadar Allah dilihat menjadi teras pemikiran Shahnon Ahmad dalam menghasilkan penceritaan novel ini. Pengarang berupaya membongkar rasa tawakal Endar dengan sebaik-baiknya tanpa meninggalkan sedikitpun kecurigaan. Endar yang melihat bahawa dalam keadaan dirinya begitu, dia wajar menjadi manusia yang menerima semuanya itu dengan rasa syukur bukan merintih dan menyesali ketentuan nasib dirinya. Endar merupakan watak yang mewakili rasa tawakal manusia yang berjuang meneruskan kehidupan. Pengarang memberitahu kepada pembaca bahawa Allah telah menciptakan manusia daripada satu jiwa dan roh. Allah juga mengutuskan isteri dan anak-anak supaya manusia dapat meningkatkan tahap ketakwaan dalam hubungan sebuah keluarga bahagia. Sesungguhnya, Shahnon turut menjelaskan bahawa Allah juga merupakan sebaik-baik pencipta.

Manusia yang bertawakal ialah manusia yang diam dalam reda dan teguh dalam dugaan Allah. Tawakal menuntut rasa keyakinan yang tinggi tanpa rasa waswas atau berbelah bahagi. Penyatuan diri antara yakin dengan ikhlas akan melahirkan sifat taslim (melengkapkan diri dengan ilmu Allah) seterusnya sifat tafwidh (manusia yang menerima semua ketentuan sebagai hikmah Allah). Hal ini diperjelaskan dengan baik oleh Shahnon Ahmad, seperti tulisnya:

Endar menyerah segalanya kepada-Nya kerana Dia lebih tahu dan lebih bijak daripada segala-galanya. Dengan mahabbahnya kepada-Nya, Endar akan diiringi dengan permintaan yang ikhlas daripada hatinya yang berdegup ini kerana Endar sedar dia tidak ada lagi yang lain yang boleh memadu dan menyatukan sungai-sungai itu. Tangan dan kakinya tidak berupaya lagi bertindak kerana tangan dan akinya serta seluruh anggotanya telah kaku lumpuh dimamah MG. Malah, lidahnya yang dulunya petah itu pun turut sama dimamah oleh MG. Dan, dengan MG itulah segala tenaga ototnya habis musnah. Pada mulanya Endar memang bersedih pilu, tetapi kini segala bala bencana yang menimpanya itu bukan saja merupakan nikmat, tetapi juga memperteguh mahabbahnya kepada-Nya. Dan, dengan tindakan yang berupaya dilakukan oleh hatinya dan mindanya itulah mahabbah-Nya kepadanya begitu terasa dan begitu berseni sekali sekarang.

(hlm:216-217)

Pengucapan Berakhlak

Pengucapan adalah hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi. Dalam konteks sesebuah novel, ilmu komunikasi itu akan merujuk kepada hal yang berkaitan dengan bahasa dan gaya bahasa. Bahasa sebagai lambang manifestasi jiwa pengarang mempunyai hubungan yang amat rapat dalam konteks pertalian proses kreatif dan gaya kepengarangan. Hal ini bermakna, karya yang terhasil daripada seseorang pengarang mempunyai hubungan yang amat rapat antara pemikiran dengan tabii pengarang.

Pengarang yang berjaya menghasilkan karya bersifat Islami seperti Hamzah Fansuri, Al-Ghazali, Al-Syafiee dan lain-lain itu yang pernah mencorakkan kesusasteraan Islam itu hakikatnya mempunyai peribadi yang baik dan mulia. Sebahagian besar mereka itu mempunyai akhlak yang baik serta disegani. Dalam hal Shahnon Ahmad, seperti yang kita sedia maklum bahawa dengan latar belakang asas agama yang tinggi, Shahnon Ahmad cuba menghasilkan karya yang bersifat moral, etika, akhlak dan pemikiran yang bernuansa Islami. Inilah hakikat perjuangan seorang penulis muslim yang sentiasa berpengang kepada prinsip ’dakwah’. Seorang penulis muslim, akan memastikan sesuatu yang disampaikan kepada khalayak mestilah mempunyai ciri-ciri kebaikan yang boleh dijadikan sandaran dan ikutan kepada orang lain. Hal-hal yang berkaitan dengan nilai dan pengajaran menjadi pilihan mauduk atau tunjang dalam penghasilan karya.

Shahnon Ahmad dalam Mahabbah jelas dan dengan penuh kesedaran mengaplikasikan prinsip ini. Shahnon Ahmad melihat bahawa pemilihan bahasa yang baik, tepat dan tidak berbaur erotis akan menjadikan pemikiran Islami itu mengalir seperti arus sungai yang jernih menuju muara. Kehebatan Shahnon Ahmad memanipulasi rasa takwa, rasa ikhlas, rasa taubat, rasa kasih sayang, rasa rindu dan rasa tawakal kepada Allah dengan pengucapan yang halus menjadikan novel ini indah dan menarik. Kehebatan garapan plot dan teknik penceritaan yang tidak berjungkir balik menjadikan pemikiran pengarang terjelma dengan baik sekali.

Sebagai sebuah novel yang mempunyai hubungan hidup dan mati juga alam barzakh, Shahnon Ahmad amat berhati-hati memilih perkataan/ istilah. Pemilihan dan penggunaan istilah Arab-Islam yang hadir dalam setiap halaman setebal 316 halaman itu bertujuan menjelaskan kepada pembaca bertapa pentingnya memahami makna-makna yang bersifat kesufian seterusnya membawa pengertian tentang mauduk iman, itikad, dan pernyataan muraqabah (takut dan malu akan ketentuan Allah). Di dalam surah al-Azhab ayat 52, Allah berfirma yang bermaksud; Adalah Allah itu mengawasi sesuatu. Malah takkala Nabi Muhammad SAW ditanya tentang ihsan, baginda menjawab yang bermaksud:

Ihsan ialah bahawa engkau sembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Maka jika engkau tidak melihat-Nya, sesunguhnya Dia ada melihat engkau.


Ungkapan ”jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguh-Nya Dia ada melihat engkau” itu ialah isyarat kepada hal-hal yang bersangkutan dengan muraqabah. Keadaan ini akan menjadi punca kepada segala kebaikan malah seseorang yang berada pada tahap ini merupakan manusia yang sering menghisafi diri sendiri; menyesali apa-apa yang telah dilakukan; menyesali apa-apa yang telah diamalkan dan seluruhnya itu perlu segera diperbaiki.

Justeru, bagi menggambarkan pengucapan Shahnon Ahmad bersifat akhlak-Islami maka pemilihan diksi yang berbaur rasa taubat itu menjadi pilihan utama. Shahnon tidak mengguna pakai istilah Bahasa Melayu dalam hal-hal agama kerana baginya, istilah itu tidak mencapai tahap keseluruhan tingkat iman dan rasa insaniah Melayu-Islam. Pemilihan perkataan seperti bahimiyahan, lazzah, hayyatan, thoyibaah, yastabsyir, sulhu, as-salaam, aflaha, qanaah, hubbuddunya, laghwun, masyaqqah, fahisyah, ghibah, ’illiyyuun, kun fayakun, ’uruf, istihzak, sakinah, ghobra, yastabsyir, zikrulmaut, husnulkhatimah dan lain-lainnya itu adalah pengucapan yang menjurus kepada makna Islam yang syumul. Kesedaran ini dilakukan oleh Shahnon Ahmad kerana penggunaan istilah Bahasa Melayu tidak akan membawa gambaran akhlak seorang muslim-Melayu yang sebenarnya. Begitupun perkara yang lebih utama dalam hal pengucapan yang mengutamakan akhlak ialah penggunaan diksi Islami yang berleluasa di dalam novel ini merupakan gambaran pengabdian kepada Allah. Shahnon Ahmad melihat penggunaan istilah Arab-Islami itu menjadi penyatuan makna zahir dan batin seorang Endar yang bakal menemui Allah selepas kematian.

Bagi menggambarkan rasa takut kepada Allah, Shahnon Ahamad telah melakukan penyimpangan gaya bahasa yang besar jika dibandingkan dengan novel-novelnya sebelum ini. Dalam novel ini, Shahnon hanya menggunakan dua perkataan yang boleh dikelaskan sebagai ’bahasa murahan’ iaitu perkataan ’mati kojol’ (halaman 133) dan ’para jongos’ (bermula daripada halaman 8). Kesedaran pemilihan perkataan ini sebenarnya mempunyai pertalian yang amat kuat dengan hubungan Rasa Insaniah seorang manusia yang telah mencapai tahap rasa taubat yang tinggi. Shahnon Ahmad seperti keluar daripada tradisi penulisan novel seperti Shit, Anjing, Mahamaha, Tivi dan sebagainya yang penuh dengan maki hamun dan cercaan. Penyimpangan ini dilihat sebagai satu pelarian pengarang ke arah perjuangan Islam yang lebih mulia, halus dan syumul. Ini semua merupakan prinsip dan ciri-ciri penting dalam cara bekerja dan penghasilan karya yang memenuhi konsep Rasa Insaniah. Perhatikan bagaimana Shahnon Ahmad mengkisahkan pengucapan Endar yang menepati ciri-ciri ’pengucapan yang mengutamakan akhlak’, seperti tulisnya:

Dia akan menjadi seekor burung yang terbang meninggalkan bumi untuk menuju titik cahaya di langit tinggi. Dia akan terus terbang kian ke mari dan kemudian singgah di dahan-dahan kerdil yang berderetan di kiri kanan taman yang serba indah dan nyaman. Rohnya akan berpisah, tetapi perpisahan itu hanya yang berpindah daerah saja. Dia umpama keluar dari angkar dan terus terbang di taman-taman penuh bunga-bungaan, semerbak dengan bau-bauan yang wangi dalam suasana indah harum semerbak. Dia tidak lagi berdekatan dan berdampingan dengan sebarang kegelapan kerana kini dia terbang dalam cahaya dan menuju cahaya yang lebih terang-benderang, yang menjamin ketenangan dan kesejahteraan yang berkekalan.

(halaman: 236)

Kehalusan Makna

Kehalusan makna merujuk kepada unsur perlambangan yang mewarnai dan mendasari pemikiran pengarang. Seorang pengarang yang hebat seperti Shahnon Ahmad akan bermain lambang atau imej sehingga membentuk citra yang jelas. Pemilihan imej yang terkawal akan membawa makna tersirat yang lain. Keutuhan pemilihan imej, kesesuaian lambang dan ketekalannya diseratkan di dalam karya akan menentukan darjah kehalusan makna pemikiran pengarang.

Dalam kertas kerja yang terbatas ini, penjelasan terhadap konsep ’kehalusan makna’ mungkin gagal untuk diperincikan. Walau bagaimanapun, cukuplah dengan perkiraan bahawa kehalusan makna yang menjadi salah satu ciri model Rasa Insaniah itu ialah melihat kepada keupayaan pengarang memilih imej sehingga membentuk metafora dan personifikasi kepengarangan.

Shahnon Ahmad dalam novel ini masih mengekalkan citra alam sebagai ikon kepengarangannya. Imej hujan, sungai, pohon, kemarau, hutan dan burung merupakan imej yang mendominasi metafora pengarang. Di dalam halaman 2, Shahnon memulakan ’kehalusan maknanya’ dengan begitu jelas:

Demikian rentetan peristiwa demi peristiwa berlaku dalam perjalanan demi perjalanan semenjak diwujudkan-Nya sarwajagat raya ini dengan segala isinya yang terangkul antara langit dengan bumi, termasuk lautan yang maha luas yang sering bergelora dan angkasa yang maha sayup berhening cipta yang sering pula berbadai dan bertaufan di luar jangka.

Kekuatan pemilihan imej tersirat seperti ini menjadikan seluruh pemikiran Shahnon Ahmad seperti sebuah lukisan yang penuh dengan wajah-wajah alam semula jadi. Ini semua akan membawa hubungan makna kepada kembalinya kejadian makhluk yang akan menuju kematian. Pada saat-saat genting menunggu kematian, bisikan iblis dan syaitan, gambar-gambar keindahan alam, bencana alam, wajah-wajah manusia yang pernah ditemui semuanya menerawang dalam fikiran. Gambaran ini merupakan gangguan yang menentukan kuatnya iman atau pengakhiran yang husnulkhatimah.

Imej sungai yang menjadi sindiran kepada nasib anak-anaknya Abdul Rahman dan Abdul Rahim yang tidak sehaluan dan menanti musnahnya hubungan kekeluargaan itu dijelaskan seperti berikut:

Endar sendiri tidak mampu berbaut apa-apa lagi. Dia hanya terkedang di atas ranjang, cuba melintasi renungan dan tafakurnya pada dua batang sungai yang sudah terkeluar dari landasan jangkaannya. Dia sedar bahawa sungai-sungai itu akan terus mengalir juga dengan kesombongan masing-masing dan akhirnya akan tercetuslah banjir yang bakal bukan sahaja menenggelami diri sendiri, tetapi pasti sekali gus akan melimpah naik tebing dan terus menenggelami sama sendiri. Dan, di kala itu segala kesopanan terhakis, diganti dengan landaan yang ganas dan liar tanpa mempedulikan lagi sebaran rasa. Zuriat dan titik-titik asal-usul yang satu yang membentuk jati diri yang dibanggakan hilang dan luput daripada sebarang ingatan. Dan, di sepanjang perjalanan itu para syaitan ketawa melihat telatah dan perangai dua batang sungai yang biadab dan sombong bagaikan gelombang dan arus merekalah yang terunggul di mana-mana pun.

(halaman: 138-139)

Pemilihan imej pohon pula digambarkan kepada dirinya sendiri yang tidak berupaya melakukan apa-apa. Shahnon Ahmad menulis dalam kesedaran rasa insaf seorang manusia yang kehilangan upaya. Nada rayuan rasa keinsafan itu dapat diperhatikan dengan penuh pilu. Shahnon Ahmad menggambarkan keadaan itu dengan kesyahduan hatinya:

Juga Endar amat memahami dan menerima hakikatnya sama seperti pokok yang sudah mulai kecabutan akar dan kereputan tunjang dan kerenggehan dahan, kerapuhan ranting, dan keguguran daun-daun. Tetapi, apabila renungan jauh mendalam, Endar pantang pula hendak diselarikan dirinya dengan sungai yang menyerah kalah kepada sebarang makhluk, selain kepada-Nya. Endar bukan pohon yang mudah menyerah kalah kepada sesiapa,selain kepada-Nya. Biar sungai dan pokok luput dan terhakis jati diri mereka dan tidak mampu bangun semula untuk meneruskan perjalanan itu, tetapi Endar sendiri akan meneruskan perjalanan dengan tenaga dalamannya yang dia yakin masih utuh dan pasu.

(halaman: 27)

Melihat keseluruhan pemikiran yang dipaparkan Shahnon Ahmad dalam novel ini, pembaca akan berhadapan dengan makna-makna tersirat yang jika dikaitkan dengan sosiobudaya Melayu akan menyentuh soal-soal kehalusan makna. Berdasarkan kepada medan makna itu maka inilah kritikan berhemah yang menjadi teras kritikan budaya Timur. Dalam kasus wacana multicultur-Islam, hubungan ini dilihat sebagai metod pendidikan Islam seperti mana yang dijelaskan dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan membantah mereka juga dengan yang lebih baik.

Kesimpulan

Bertolak daripada tiga ciri utama iaitu pengabdian kepada Allah, pengucapan beradab dan kehalusan makna yang menjadi ciri Model Rasa Insaniah, Mahabbah bukanlah novel yang dijelmakan secara paksaan. Ini bermakna rasa dalam diri insan tidak dapat diduga atau diklasifikasikan secara mutlak di antara sesama insan. Keduanya konsep keindahan (estetika) Model Rasa Insaniah merupakan satu model yang luas cakupannya kerana karya Melayu-Islam tidak boleh dipisahkan daripada konsep Islam yang syumul. Kemandirian pengarang seperti Shahnon Ahmad ini adalah anugerah dan fitrah Allah yang cukup bermakna. Sebagai insan yang homoreligius, sifat Shahnon Ahmad yang sering berselindung di sebalik kehalusan pengucapan dan berusaha untuk menuju pengabdian kepada Allah itu dilihat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menjadikan mahabbah (rasa cinta) kepada Allah.

Rujukan

Abdul Hadi W.M, 2001, Tasawuf yang Tertindas, Kajian Hermeneutik terhadap Karya-

karya Hamzah Fansuri. Jakarta: Penerbitan Paramadina.

Abdul Hadi W.M, 2003, Hermeneutika, Estetika dan Religiusitas, Esei-Esei Sastera

Sufistik dan Seni Rupa. Yogyakarta: Matahari.

Al-Qu’ran al-Karim, 1400/ 1980. Diterjemahkan serta diberi Penjelasan oleh Sheikh

Abdullah Basmeih. Kuala Lumpur: Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.

Annemarie Schimmel, 1982. As Through a Veil: Mystical Poetry in Islam. United Stated:

Columbia University Press.

Baharudin Ahmad (Peny.), 1992. Sastera Sufi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Imadu al-Din Muhammad al-Husain, 2005. Kehidupan Hati Untuk Sampai kepada Tuhan

yang Dikasihi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Ismail Hamid, 1982. Asas Kesusasteraan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Mohd. Ziadi Abdullah, 2000. Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-Jamaah Suatu

Keluhuran dan Kemurniaan Pegangan Hidup. Kuala Lumpur: Syathariyah

Niagaya Sdn Bhd.

Muhammad Al-Ghazali, 1996. A Study in Islamic Epistemology. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, 1997. Memahami Islam. Kota Bharu: Kota Bharu

Press.

Seyyed Hossein Nasr, 1993. Islam and The Challenge of The 21st Century. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsudin Othman, 2000.’Rasa Insaniah: Analisis Terhadap Kumpulan Puisi Sekepal
Tanah. Disertasi MA Sastera. Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademik
Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Shahnon Ahmad, 2007. Mahabbah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sohaimi Abdul Aziz, 1998. Rasa – Fenomenologi: Penerapan Terhadap karya A. Samad

Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus, 1993. Epistemologi Islam Teori Ilmu dalam al-

Quran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

V. I. Braginsky, 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dan Kesusasteraan Melayu
Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka.



[1] Novel ini telah memenangi tempat Ketiga dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP.

[2] Rasa Insaniah ialah pendekatan terhadap kajian teks berdasarkan hubungan diri pengarang dengan proses kreatif karya. Pendekaan ini merupakan kajian Shamsudin Othman di peringkat sarjana di Universiti Malaya. Kajian bertajuk Rasa Insanian: Analisis Kumpulan Puisi Sekepal Tanah karya Rahimidn Zahari. Rasa Insaniah melihat bahawa pengarang perlu mempunyai teras kepengarang seperti yang termaktub dalam surah As-Syuaraah ayat 224-227. Pendekatan ini merupakan satu kajian yang membina semula, menyaring dan membangunkan ciri-ciri Islam tiga teori sebelum ini iaitu Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang: 1989), Teori Takmilah (Shafiee Abu Bakar: 1997) dan Rasa Fenomenologi (Suhaimi Abd Azizi, 1998). Intipati daripada ketiga-tiga teori ini ialah pengabungan Pendekatan Dakwah (Pengkaedahan Melayu), Keindahan Bahasa (Teori Takmilah) dan Rasa atau Perasaan (Rasa Fenomenologi). Gabungan ketiga-tiga ini mewujudkan Rasa Insaniah yang lebih tepatnya ialah melihat karya dalam ruang lingkup dakwah, insaniah (ketakwaan) dalam jujuk rasa Islami dan kehalusan pengucapan gaya bahasa (kejujuran dan kebenaran).

[3] Imam al-Qusyairi seorang ulama ahli fiqh, ahli hadith, tafsir usuluddin, dan ahli tasawuf yang bermazhab Syafie.

Jumaat, 9 November 2007

UMNO Buka Mata dan Kenal Diri


i
Syukurlah, persidangan UMNO kali ini seperti menjanjikan sesuatu yang mengembirakan. Tuntutan daripada usul perwakilah Batu Pahat, Johor Dr Fuad Zarkashi (rakan aku) dan Raiz Zainuddin (wakil Pertubuhan Alumni Kelab UMNO Luar Negara) tentang P&P Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu juga penegasan Bahasa Melayu bukan Bahasa Malaysia benar-benar menyentuh perasaan aku. Inilah waktu dan ketika yang paling sesuai untuk kita semua mengembalikan maruah kita yang tercemar atau sengaja dicemar semata-mata memikirkan kedudukan juga mengejar gelaran.
Kenyataan yang disokong oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom (mantan boss aku ketika di Sekolah Berasrama Penuh [SBP]) dulu menguatkan lagi perubahan ini. Aku berharap biarlah apa yang pemuda umno dan orang-orang tua dalam umno itu katakan itu akan menjadi kenyataan. Inilah harapan terakhir kita untuk membina sebuah tamadun gemilang Melayu.
Jika detik terbaik ini tidak direbut sekarang, jangan haraplah kita akan dapat mengembalikan lagi tamadun bangsa kita. Tamadun Melayu merupakan tamadun yang cemerlang suatu waktu dahulu. Kerana penjajahan kita tewas dan tamadun kita terus terhakis. Hari ini, selepas 50 tahun merdeka, kita sudah punya kekuatan, ramai tokoh bijaksana Melayu dan kekuatan ekonomi yang boleh digembelingkan. Justeru, inilaha saatnya kita bangunkan kembali kegemilangan Melayu itu.
Aku berharap janji umno yang muluk tentang 'hanya umno sahaja yang boleh mengembalikan kegemilangan bangsa, agama dan negara' itu, sila buktikan sekarang. Jangan jadi seperti burung kakak tua yang pandai berkata-kata tetapi tidak tahu apa yang dikatakannya. Jadilah seperti tokoh-tokoh besar dunia yang sentiasa berfikir, berfikir, berfikir dan berfikir kemudian melaksanakannya. Bukan bercakap, bercakap, dan bercakap.

ii
Hari ini Pak Lah akan membuat ucapan penggulungan. Mudah-mudahan Pak Lah akan memberikan reaksi yang tidak kukuh macam lalang. Sebagai ketua pemimpin bangsa Melayu dan agama Islam, dia punya kuasa untuk menentu dan mencaturkan semuanya. Moga dia menjadi seorang yang kuat dan berprinsip supaya boleh diletakkan kepercayaan yang tinggi kepadanya.

iii
Sama-samalah kita berdoa agar Melayu akan menjadi bangsa yang bertamadun dan disegani.
Pesanan kepada UMNO, JANGAN JADI SI LUNCAI.

Selasa, 6 November 2007

Seorang Teman dan Tugasan Lain

i
Semalam aku dihubungi oleh seorang teman dari DBP. Dia minta aku menulis kertas kerja tentang novel MUHABBAH karya Shahnon Ahmad (SA) yang menang Anugerah Sastera baharu-baharu ini. Aku tidak menolak kerana secara kebetulan aku memang kagum sangat dengan tenaga dan buah fikir SA dan kebetulan juga, aku baharu sahaja beberapa hari menamatkan pembacaan novel ini. Kelmarin, aku sempat bercakap dengan Hanafi Ibrahim di Pena tentang novel ini. Dia bersetuju dengan pandangan aku dan memberi sedikit input.
Insyallah akan aku sipakan kertas kerja itu dalam waktu yang singkat sebab kertas kerja itu harus disiapkan sempena Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad pada 13-14 November 2007 di DBP.

ii
Tugasan Kongres Sebudaya Serumpun kian menekan. Waktu kian hampir. Aku, SM Zakir, M. Saleeh Rahamad, Saifulizan Yahya dan Fazz kian tak cukup kaki, tangan dan akal untuk menguruskannya. Mujurlah ada rakan-rakan yang setia seperti Rahimidin Zahari dan Amiruddin Ali. Mereka banyak membantu dan memberi sokongan kuat. Jika tidak, tak tahulah apa hendak dikata.
Doakan kami agar niat suci kami menganjurkan kongres ini dibarakahi Allah. Ini semua untuk memperjuangkan nasib bangsa, bahasa dan budaya Melayu yang kian terhakis.
Kepada rakan-rakan, berikan sokongan dengan menghadiri kongres ini. Insyallah, kami cuba berikan yang terbaik.

iii
Tugasan lain yang memualkan ialah apabila menatap dada akhbar harian hari ini. Kisahnya penuh dengan laporan Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. Aduh, kelukaan dan kepedihan kian menikam dadaku. Begitupun ucapan TPM Dato' Najib wajar difikir dan direnungkan. Ucapannya berenas cuma di mana peranan dan penekanannya terhadap agama Islam?
Kita hanya dihidangkan dengan janji-janji muluk yang entah apa-apa, penuh dengan agenda mengapu dan bersaing menonjolkan diri sendiri tetapi bukan menonjolkan kebijaksanaan dan keberanian perjuangan asal seperti yang dilakukan oleh Datuk Senu, Tun Razak dalam rancangan khas di RTM 1 setiap 8.30 malam. Aku rasa kerana sibuk bersidang mereka tak sempat menonton rancangan yang penuh bermakna kepada UMNO itu.

Maka terjunlah si luncai dengan labu-labunya......

Isnin, 5 November 2007

Selamat Bersidang UMNO @ Selamat TIDUR


i

Hari ini bermulalah Perhimpunan UMNO. Aku mula dibayangi ketakutan demi ketakutan. Sebabnya mudah sahaja iaitu, kita sama-sama dapat menyaksikan tokoh-tokoh hebat tampil dengan wawasa dan gagasan mereka muluk. Mereka akan bercakap mengikut nafsu serakah demi kerusi dan kedudukan bukan bercakap dengan akal Melayu yang bijaksana. Kalau selama ini mereka ikhlas dan jujur, tak akan berlakulah perkara-perkara yang menyedihkan kepada orang Melayu. Kemiskinan, penderitaan, ketinggalan dalam semua bidang masih belum dapat diselesaikan lagi sejak UMNO memerintah. Aku tidak mahu menjadi manusia yang haipokrit sebab aku tahu menegur orang UMNO samalah macam 'anjing menyalak bukit'.

ii
Hari ini, di dada-dada akhbar, di papan layar TV, komputer dan telepon bimbit banyak kisah rasuah, masalah jenayah kolar putih yang semuanya itu ditutup begitu sahaja. Rakyat yang bodoh macam aku terus ditipu dan dinafikan hak untuk bersuara. Banyak persoalan yang tidak berjawapan. Banyak pertanyaan yang tidak menemui jalan penyelesaian. Apakah makna semua ini? Apakah yang sedang dan akan dilakukan oleh UMNO?

Masih releven lagikah UMNO kepada bangsa Melayu? JIKA

1. BAHASA MELAYU MENJADI BAHASA MALAYSIA
2. PENDIDIKAN (MENDIDIK) BERTUKAR MENJADI PENGAJARAN (PELAJARAN)
3. TANAH RIZAB MELAYU MENJADI HAK BANGSA LAIN
4. KEMISKINAN MELAYU MASIH BERLAKU
5. UMNO TAKUT DUDUK SEMEJA DAN BERBINCANG DGN PAS, KEADILAN, NGO
MELAYU
6. MENYEKAT SUARA ANAK-ANAK MUDA MELAYU YANG BIJAKSANA DAN
BERGAGASAN
7. MENUTUP RUANG TERBUKA MEDIA
8. MENUTUP KES-KES NEGARA/ TOKOH NEGARA BERPROFAIL TINGGI
9. RASUAH BERLELUASA
10. AGAMA ISLAM DIPERSENDA
11. MEMPERCAYAI DAN MENDOKONG PEMIMPIN YANG JELAS TIDAK BERWIBAWA
12. SOMBONG DAN BONGKAK KEPADA RAKYAT

iii.
Kadang-kadang aku sendiri sukar memahami apa agenda UMNO sebenarnya. Kenapa mereka tidak membaca sajak Usman Awang bertajuk 'Melayu'. Entahlah...,

iv.
Aku selalu berdoa agar Melayu akan kembali ke akar perjuangan. Aku selalu berdoa agar pemimpin Melayu akan datang bukanlah pemimpin yang berdusta dan memungkiri apa yang mereka janjikan.

v.
Sama-samalah kita berdoa agar Melayu tidak hancur dan sedar asal-usul perjuangan.


Sabtu, 3 November 2007

MUSIM PEPERIKSAAN

Sekarang ini musim peperiksaan di IPT. Kepada semua pelajar aku yang sedang menduduki peperiksaan, pastikan anda berjaya. Tapi mengertilah, seperti yang selalu aku ingatkan bahawa ilmu bukan hanya peperiksaan tetapi lebih daripada itu adalah untuk kehidupan. Jadilah manusia yang dapat memanfaatkan ilmu yang Tuhan berikan. Aku hanya menjadi penyampai sahaja. Sentiasa bersyukur dan beringatlah supaya kita berada di landasan yang benar.

Selamat menghadapi peperiksaan dunia yang akan menentukan kejayaan dunia dan akhirat.

Jadilah seperti padi yang kian berisi kian tunduk bukan lalang yang terus berdiri meski kosong tak berisi.