Rabu, 20 Februari 2008

SETULUS ANEKDOT KEPADA YB


SETULUS ANEKDOT KEPADA YB

Salam pilihan raya rakyat jelata
moga pemilihan kali ini
menemukan kita kembali
setelah empat tahu tidak bersua
mahupun bertegur sapa
saat bertemu di pasar tani atau pasar terbuka

Masih terbayang halus dan lembut
bicara tulus YB
wajah segar meruntun penuh makna
saat memikul seguni janji
dan benih pembangunan
kemudian menaburkan
ke ladang fikir kami.

Hari ini YB,
usah terperanjat dan ragu-ragu
jika ke kampung pilihan raya
saksikan benih yang kau taburkan
kini subur menghijau
walau batang, dahan dan rantingnya kian rapuh
juga daun dan bunganya kian layu
setelah sepenggal kering dan kontang.

Aku tulis sajak ini
saat bendera kencang berkibar
menyusur jalan dan jambatan
menghias kota dan desa
meski tanpa angin atau badai.

Selamat datang ke kampung pilihan raya
nikmati apa yang kau tinggalkan
setelah benih janji
tumbuh menjadi sepohon dendam
dan sepohon dendam berbunga sengsara.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.

Isnin, 18 Februari 2008

SALAM BERPILIHAN RAYA


Suatu hari (semalam) ketika aku menyampaikan usrah sepelas solat maghrib kepada anak-anak dan isteri, aku berkias. Beginilah kias aku itu;


Bismillahirrahmanirrahni. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya maka pada 8 Mac 2008 ini pilihan raya persekutuan ke-12 dapat berjalan mengikut perancangan yang dilakukan sekian lama ini. Seluruh keluarga Malaysia ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan sementara (BN) atas kesedaran murni untuk menganjurkan pilihan raya yang sangat bermakna kepada masyarakat Malaysia dan bangsa Melayu serumpun umumnya.

Semenjak SPR ditubuhkan, kita berjaya menyaksikan banyak program berbentuk mengapu dan menindas telah diadakan. Hal ini bermakna SPR sentiasa peka dan menjadi ruang penyambung terhadap perjuangan yang bersifat kepolitikan, kebahasaan dan budaya berdaya saing secara demokrasi-penaklukan. Rasa tanggungjawab ini merupakan ikon kepada semangat dan inspirasi yang berpanjangan dalam usaha memartabatkan bangsa, budaya, bahasa kebangsaan, dan kepimpinan negara. Seiring dengan semangat nasionalisma tinggi ini makanya juga SPR perlu diiktiraf sebagai satu badan bebas yang professional.

Pilihan raya ke-12 ini diharapkan akan menjadi sandaran penting kepada tugas-tugas yang belum selesai dalam mengharungi cabaran akibat rempuhan globalisasi yang semakin menjadi-jadi. Saya melihat usaha seperti ini perlu diteruskan dan berkekalkan hingga ke peringkat akar umbi oleh generasi baharu yang punya kesungguhan dan iltizam tinggi.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang amat perihatin terhadap usaha memperkasa agama, bahasa, budaya dan 'bangsa malaysia' ini sebab bangsa Melayu sudah lama tidak relevan di tanah rumpun Melayu.

Wassalam.


Demikianlah ucapan saya pada malam tadi di hadapan isteri dan anak-anak di rumah. Mendengar sahaja ucapan itu, isteri dan anak-anak aku tiba-tiba berasa ada yang tidak kena di dalam perut, tekak dan mulut mereka. Rasa loya mula membuak-buak dari dalam perut emreka. Mereka mula gelisah dan aku berhenti sambil mula merasai kegelisahan isteri dan anak-anakku. mereka muntah! Muntah mereka bukan dibuat-buat tetapi tanpa dipaksa mereka MUNTAH SEMAHU-MAHUNYA. Mujurlah muntah itu tidak tersembur di muka aku.

Anak aku yang berusia 9 tahun (Darjah 3) itu paling aneh tindak balasnya. Tubuhnya yang keputih-putihan ala 'panasia' itu tiba-tiba menggiggil. Aku dapat merasakan perubahanan yang sedang berlaku pada diri anak ketiga aku itu. "Ayah, kenapa ayah tiba-tiba berubah? Ayah dah kena beli ke?" dia mengajukan dua soalan serentak kepada aku sambil berlari menuju tandas.


Diam menyelubungi ruang tamu seluas 15 kaki kali 30 kaki itu.


Aku tidak segera menjawab, tetapi soalan itu dijawab oleh anak sulungku yang sedikit sebanyak mempunyai darah pendekar moyangnya, Panglima Saleeh. Dia bakal menduduki PMR bulan oktober ni. Dia yang hobinya membaca novel-novel Harry Potter tu menjawab untuk mewakili aku agaknya. "Itulah hebatnya ayah kita, dia dilahirkan sebagai sang sandiwara untuk membetulkan kelemahan yang berlaku. Kita kena bersyukur kerana ayah kita sering mengajar kita cara terbaik untuk memilih jalan lurus dan jalan kebenaran yang telah dipesongkan."


Aku merenung wajah anak sulungku. Jiwa aku tersentak dan bercongak-congak memikirkan, "anak akukah itu?". Mudah-mudahan suatu hari nanti dia boleh menjadi pengganti moyangnya atau setidak-tidaknya menggantikan tempat aku. Isteriku mengukir senyum, bangun dan menuju ke tv kemudian menghidupkannya. Isteri itu membetulkan duduk kemuidan menonton siaran Berita Perdana.


Anak-anakku yang lain bergeras meninggalkan aku dan mengelilingi ibunya. Mereka begitu tekun menonton dan menonton siaran berita.


Aku memerhatikan gerak-geri isteri dan anak-anakku. Mereka sebenarnya tidak tahu yang mereka tonton itu bukannya berita tetapi drama dan pembohongan. Yang isteriku tonton itu sebenarnya bukan Berita Perdana tetapi drama yang dilakonkan oleh para juak untuk terus mendustai rakyat.


Anak ketiga aku yang ke tandas tadi mengambil duduk di sebelah isteriku kerana dia sedikit manja dan penakut. Beberapa minit menonton, dia tiba-tiba dia bersuara, "Gila babi betul, bila masa pula menteri tu datang rumah nenek dan bagi duit. Tanah nenek dirampas lagi adalah. Bodoh nak mampus. Kecil-kecil tak nak mati; dah besar dah jadi menteri nak susahkan orang pula."


"Syuhadah, jangan cakap macam tu, tak baik. Allah melarang kita menuduh orang tanpa bukti dan usul periksa. Banyak-banyak bersabar. Itulah abang, ajar anak yang bukan-bukan." Ngomelan isteriku yang diam sejak tadi.


"Umi, ni. Syuhadah bukan tuduh tapi minggu lepas nenek kata tanah di belakang rumah nenek dirampas kerajaan tanpa pampasan. Nenek kata kerajaan nak bagi duit tetapi dah masuk 10 tahun masih tak ada apa-apa. Itukan bukti dan menipu namanya." Syuhadah anakku bersuara sambil cuba mempertahankan pendapatnya.


Isteriku memandang wajahku sambil menggiling kepala. Aku buat tidak nampak sambil meneruskan pembacaan buku 'Menjadi Kekasih Allah' karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.




Rabu, 13 Februari 2008

Maka Bubarlah Parlimen



Sekitar jam 12.35 tangah hari 13 Feb 2008, maka bubarlah parlimen sebuah negara bergelar negara Islam hadhari. Saat ini aku sudah tidak punya kerajaan lagi. Dan, saat ini jugalah orang yang rasa diri mereka hebat dan gila kuasa akan menunjukkan sikap mereka yang sebenar. Aku teringat kisah empat tahun lalu, apabila media tidak berlaku adil kepada rakyat negara itu. Para pengusaha media pun sendiri tidak tahu bahawa apabila parlimen dibubarkan maka dengan sendirinya mereka tidak boleh memihak kepada mana-mana parti.


Oleh itu, kalau blog ini dibaca oleh ketua pengarang mana-mana media, tolong berlaku adil memberikan ruang dan waktu yang sebaik-baiknya kepada semua parti yang ingin mencuba nasib dalam pilihanraya. Kerajaan BN, PAS, Keadilan atau apa sekalipun namanya perlu diberi ruang untuk tampil menyampaikan manifesto mereka. Ingat, inilah amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.


Jangan jadi binatang yang boleh dicucuk hidung kemudian ditarik, diseret ke mana-mana. Jagalah hidung itu sebaik-baiknya bukan memberi laluan supaya hidung itu diperlakuan sewenang-wenangnya.


Selamat menjadi manusia yang lebih bijak daripada binatang. Pilihan dan undian di tangan anda. Dan, ini bukan undian memilih artis kesayangan melalui SMS tetapi undian untuk menentukan nasib AGAMA, BANGSA dan TANAH AIR.
Empat tahun sekali, kita diberi peluang membuat pilihan. Berfikirlah secara bijaksana dengan kudrat hukum Al-Quran dan hadis (sunnah). Pilihan daripada kebijaksanaan itu wajar dijelmakan bukan bersembunyi di balik bayang-bayang.
Kuasa dan Gila Kuasa
ada orang berkuasa tapi gila kuasa
ada orang berkuasa tapi tak gila kuasa
ada orang berkuasa tapi kadang-kadang gila kuasa
ada orang berkuasa tapi tak pernah gila kuasa
ada orang gila kuasa tapi tak pernah berkuasa
ada orang gila kuasa tapi tak punya kuasa
ada orang gila kuasa tapi tak sedar diri tak berkuasa
ada orang gila kuasa tapi tak hendak berkuasa
ada orang gila kuasa tapi tak tahu ada kuasa
ada orang gila kuasa tapi diperalat oleh orang tak ada kuasa
ada orang gila kuasa tapi berlagak tak punya kuasa
ada orang gila kuasa tapi sedar memang perlu gila kuasa
ada orang gila kuasa tapi tak sedar diri gila kuasa.
di negeriku
ada orang tak punya kuasa
tapi sering memikirkan kebodohan
orang gila kuasa.
pesan ayahku,
orang gila kuasa lebih teruk daripada
orang kalah judi dan kaki betina.
pesan ayahku,
orang gila kuasa lebih zalim daripada
pembunuh dan lanun.
pesan ayahku,
orang gila kuasa lebih pelahap daripada
binatang dan hantu raya.
dan pesan ayahku lagi,
orang gila kuasa
jangan dijadikan kawan
kerana dia tak kenal makna kawan atau lawan.
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Selasa, 12 Februari 2008

SESUDAH WAKTU ITU

SESUDAH kesakitan itu berkurangan, aku mula bercongak-congak untuk menulis kembali. Sama ada waktu mengizinkan atau tidak, itu bukan persoalannya.

i
Sejarah pilihanraya pasti berulang. Yang buta berpimpinan tangan, yang tokak menyusur angin, yang kaya bertambah kaya, yang miskin tiba-tiba menjadi bergaya meski sementara, yang berilmu dan sedar diri sedang dicaturkan untuk masuk penjara. Demikianlah selingkar kenangan pilihanraya yang menuntut sejarah itu berulang.