Selasa, 29 April 2008

SALAM DARI KEJAUHAN 3

MAKNA SALAM YANG LAIN..

Terima kasih Dato' Baha Zain atas kunjungan muhibah ke blog saya. Menatap ulang ingatan dan pesanan itu menjadikan saya seorang kanak-kanak lelaki yang tidak takut dengan arus sungai dan deru gelombang juga api membara. Saya selalu bayangkan saat saya seorang kanak-kanak yang masih tidak mengerti makna lemas, terbakar dan kesakitan. Dan, alangkah baiknya jika perasaan itu kini mengakar umbi dalam diri saya. Tentunya saya tidak akan gentar dengan cabaran dan ugutan manusia yang tidak pernah belajar daripada sejarah silam bangsanya sendiri.
Sekembali kemudiannya menjejakkan kaki di tanah air; ada banyak cerita yang tidak enak saya dengari. Yang pastinya, cerita tentang nasib bangsa bernama Melayu masih belum selesai. Paling mengejutkan apabila PM memberitahu,
"saat ni kita perlu menumpukan perhatian kepada tugas yang diamanahkan kepada kita sebagai pemimpin. Sekarang bukan masanya untuk kita melobi diri dan menunjuk kejantanan untuk bertanding dan merebut kuasa."
Aku terkesima mendengar kenyataan ini dan apa yang sedang bermain dalam benak aku ialah, "apakah yang mereka buat selama ini? Merebut kuasa? Membina kekayaan? Mencipta nama? Menunjuk gagah? atau mereka seorang pemimpin yang juga seorang pelakon? Atau juga mereka adalah topeng-topeng bayangan kuku besi?"
Aku cuba mengimbau kenangan seminggu di negara tetangga. Alangkah syahdu dan damai di sana; aku melihat bangsa Melayu yang hidup rukun dan saling menghormati. Mereka taat kepada Tuhan, patuh kepada sultan dan bertanggungjawab kepada rakyat dan masyarakat. HIdup di sana seperti sebauh keluarga yang tidak mengerti makna iri hati, hasad, busuk hati, menindas, kronisme, nepotisme mahupun mementingkan diri sendiri.
Nah, kenapakah suasana itu tiada di tanah airku?
ii
Aku dengar cerita juga bahawa hujung minggu ini GAPENA akan mengadakan Kongres Pertemuan Melayu di JB (3-4 Mei 2008). Mungkin ada sesuatu yang baharu akan tercipta atau mungkin juga hal-hal yang sama akan berulang iaitu seperti peribahasa Melayu BAK ANJING MENYALAK BUKIT.
iii
SAAT MERDEKA MENCIUM PIPIKU

Apalah takdirnya percakapan ini
perlu didengari lewat usia menuju tua
setelah tamsil dan kias silih berganti?

Sesekali, saat nostalgia menjadi impian
yang tak terjangkau fikir
aku berlarian di pesisir hari
melambai rindu jihad dan mengucup cinta juang
sambil merangkul erat merdeka dalam dakapan sayang
yang kita nikmati semahunya
ketika belajar menjadi seorang pengerti.

Bersama-samamu dalam seusia pencarian ini
kaulah insan yang berani mendamba kesunyian
ketika aku seorang lelaki seakan kejora tanpa cahaya
kau menjadi matahari kemudian mengucupi pipiku
sebuah ciuman menjadi penawar keliru
antara duka nafsu dan bahagia iman
yang lelah menyusur hari-hari kepalsuan
ketika mengejar cinta abadi di bumi Tuhan.

Akulah warga kerdil dalam seluruh jiwa
bertahun mencipta sejarah
untuk memaknakan tamadun dalam pencarian diri
sehingga tersasar jauh di lembah duniawi.

Saat ini ketika siang tak lagi berwajah duka
berikan aku segugus cinta dari rindumu
saat ini ketika siang tak lagi berwajah lara
berikan aku secangkir rindu dari kasihmu
saat ini ketika kenangan tak lagi berwajah resah
berikan aku setepak kasih dari sayangmu
saat ini ketika seluruh perasaan tak lagi berwajah gundah
berikan aku setitik madu dari manis hidupmu.

Mengertilah
saat-saat mengingatimu, tanah airku
tak terhitung butiran peristiwa dan jalur cahaya
yang menabiri rindu kedamaian
dalam cakrawala nurani ini.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Khamis, 24 April 2008

SALAM DARI KEJAUHAN II ...

SAYA masih menganyam mimpi di negeri pergunungan angin.

Setiap kali menganyam mimpi ada banyak desakan naluri yang sukar untuk difahami. Malam tadi saya menerima panggilan telefon daripada seorang profesor yang juga akrab dan memaklumkan akan negara kehilangan seorang lagi nasionalis Melayu iaitu sdr Rustam Sani; anak kpd mantan pejuang kemerdekaan negara Ahmad Bostamam (al-fatihah utk rohnya).
Dalam perbualan melalui telefon bimbit; percakapan kami banyak berkisar tentang perjuangan politisan Melayu yang telah mula kehilangan jati diri bangsa dan maruah Melayu. Aku sekadar mendengar dan sesekali menganggukkan kepala meski dia tidak melihat. Profesor ini menghubungi aku dari tanah besar penguasa ekonomi dunia. Aku tidak terkejut kerana kami sering berhubungan setidak-tidaknya melalui sms.
Dalam salah satu bicaranya ialah dia menyatakan kekagumannya kepada Dr. Teo Kok Siong (UKM) yang berani bersuara tentang orang Melayu yang diberi kuasa mentadbir negara tetapi tidak faham istilah atau tepatnya konsep makna. Aku bersetuju dengan pendapat profesor itu dan mengangguk sekali lagi. Tentunya isu itu ialah tentang penjenamaan semula Bank Pertanian Malaysia kepada ARGO BANK. Lucu dan mengelikan sekali. Dr. Teo kata bahawa orang Melayu tidak faham maksud istilah 'argo' dan menafikan hak perkataan 'TANI' yang maksudnya lebih luas dan menjangkau bidang tugas yang global.
Aduh! Ini juga merupakan tamparan hebat kepada orang Melayu begitu juga kepada aku. Menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.
Nah, persoalan perofesor itu kepada aku ialah, apa yang kau orang buat? Menyokong tidak, menafikannnya pun tidak. "DAYUS dan BACUL!" sergah profesor itu dengan suara yang sedikit keras.
Inilah yang dikatakan perjuangan. Dan aku segera teringat juga tulisan seorang bekas diplomat Malaysia yang pernah bertugas di Amerika iaitu Datuk Muhammad Alias. Dalam tulisannya di Utusan Malaysia (23 April 2008) bertajuk Bahasa Melayu Bahasa Rakyat Malaysia beliau menyentuh bagaimana setiap bangsa dui dunia ini perlu ada bahasa sendiri kemudian mendaulatkannya. Bahasa Inggeris adalah bahasa sekundar (kedua terpenting) yang perlu kepada manusia yang terpencil sahaja. Maksud aku, BI ini penting kepada manusia yang ingin menatang langit Allah.
Aku cukup yakin bahawa tulisan Datuk Muhammad Alias itu tidak dibaca oleh para juak dan pencatur kepimpinan negara. Kalau mereka dengar daripada telinga orang lain pun mereka akan kata Datuk Muhammad ini cauvinis (melampau) dan anti tesis.
Sebenarnya, aku sudah mula letih dan jengkel aku pun dah mula terseksa. Di mana-mana di bumi kelahiran aku itu, pejuang bahasa seperti S.M. Zakir, Rahimidin Zahari, Marsli NO, M. Lutfi Ishak, Faisal Tehrani, atau yang lebih berusia seperti Dato' Baha Zain dan lain-lainnya itu mula 'disenyapkan' oleh agenda terancang.
Soalnya, perlukah aku bertanya kepada DBP, GAPENA, ABIM, PAS, PKR, DAP, GPMS, PEWARIS, PERIHATIN, MAJLIS PERSEKUTUAN TANAH MELAYU atau lain-lainnya tentang apakah tindakan tuan-tuan setelah UMNO memperkotak-katikkan bahasa rasmi Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan 152?
AKU SUDAH PUAS MENJADI MANUSIA YANG MENJERIT GUNUNG.

Selasa, 22 April 2008

SALAM DARI KEJAUHAN...

MOGA SEMUANYA SIHAT SEJAHTERA

Lewat beberapa waktu kini, aku kian meluat melihat kenyataan demi kenyataan para pencatur tanah airku yang terus dikaluti sekular, nepotisme, marxisme dan kejahilan patriotisme. Aku tidak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada nasib anak-anak aku sesudah ini. Adakah mereka boleh berbangga menjadi orang Melayu atau mereka malu untuk mengaku mereka orang Melayu? Aku tidak dapat bayangkan apa akan berlaku 10/20/30 tahun akan datang; sekirannya prinsip mencaturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu negara ini terlaksana dengan sokongan padu juak-juak kronisme pencatur ini.
Aku tidak boleh mengharapkan kepada sebuah pertubuhan gabungan badan penulis terbesar tanah airku kerana perjuangan mereka terhadap membela nasib bahasa Melayu dan bangsa Melayu khususnya penulis Melayu telah berkubur. Perjuangan mereka hari ini lebih kepada agenda politik dan seperti menjadi duri dalam gading kepada penulis. Mungkin perkiraan pencatur badan itu betyul daripada hukum matematika iaitu apabila berjaya membela nasib orang Melayu maka secara tidak langsung nasib bahasa Melayu juga akan terbela. TETAPI apakah mereka sedar bahawa selama ini tindak tanduk mereka yang lebih suka menyepi dan membisu apabila nasib bahasa Melayu diperkotak-katikan oleh pencatur politik tanah air. Di manakah mereka pada saat-saat genting isu bahasa melanda nasib bahasa Melayu?
Aku tidak mengharapkan pertolongan tangan-tangan ghaib untuk mengubah keadaan ini. TETAPI yang aku perlukan ialah keseluruhan jiwa dan roh Melayu itu kembali bersemi dan menghijau subur dalam seluruh nuansa fikir orang Melayu.
Aku tidak perlukan tutut kata yang muluk-muluk kemudian ditaburkan ke pentas media mahupun minda Melayu yang terus kalut akibat tsunami PRU-12. TETAPI cukuplah dengan mentaati perlembagaan yang mereka ciptakan sendiri. Perlembagaan Tanah Melayu, Perkara 152 dan Perkara 3 (rujuk perlembagaan parti terkuat Melayu) jangan sesekali dilaknanti dan dikencingkan sesuka hati.
Aku tidak ingin melihat janji-janji demi janji ditaburkan. TETAPI dalam waktu yang sama, mereka berusaha membunuh kebitaraan satu generasi Melayu. Aku selalu berharap agar para pencatur dan juak-juak ini turun padang dan pergi ke sekolah untuk sama-sama belajar kemudian menilai sendiri apa yang sedang berlaku di sekolah rendah atau menengah hari ini. Turun padang itu maksudnya ialah para juak dan pencatur ini perlu duduk di sekolah melihat dengan mata sendiri, mendengar dengan telinga sendiri, membaca dengan mulut sendiri dan menghayati dengan hati sendiri bukannya menerima laporan demi laporan kemudian mengangguk ketika menatap baca laporan yang batil itu. Bukannya mendengar dengan telinga orang lain, bukannya membaca dengan mulut orang lain, bukannya melihat dengan mata orang lain juga menghayati dengan hati orang lain. Anggota yang dipinjamkan itu hakikatnya tidak sama dan keputusannya tidak mencapai aras kepuasan sendiri. Sekiranya hal seperti ini dapat dilakukan dengan telus, ikhlas dan amanah sudah tentu para juak dan pencatur itu akan menitiskan air mata. Ini tidak, yang berlaku sebaliknya apabila bukan air mata yang menitis tetapi semuanya itu terus menjadi agenda gelak-tawa mereka.
Sekian tika aku menyepikan diri kerana aku sedih melihat Akta Pendidikan 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 (pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudian Akta Lembaga Akredikasi Negara 1996 telah dilacuri secara perlahan-lahan oleh para juak dan pencatur ini.
Bercakap tentang melacurkan akta-akta itu, siapakah yang paling layak disalahkan? Adakah orang macam aku yang tiada sebarang kuasa atau orang yang macam mana? Tentunya jawapan yang pasti ialah orang yang menentukan dasar itu dilaksanakan. Tanpa menuding kepada seseorang ada baiknya kita merenung ke dalam diri kita sendiri, WAJARKAH NASIB BAHASA MELAYU DILAKUKAN SEDEMIKIAN SETELAH KITA MENGECAPI NIKMAT 50 TAHUN MERDEKA? Jika dahula kita amat takut dengan kuasa penjajahan Inggeris. TETAPI mengapa kini kita terhegeh-hegeh, beriya-iya menobatkan bangsa yang pernah mencipta onar kepada nasib bangsa kita? Tidak boleh hidupkah kita tanpa penjajahan minda ini? Atau akan matikah kita jika kita mencipta nuansa fikir yang asli daripada patriotisme Melayu?
Kita perlu belajar daripada Andalus yang bertahan dan hebat ketamadunannya selama 700 tahun tetapi kemudianya musnah oleh kelicikan barat melalui strategi;
1. melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya
2. menghantar arak dan rokok secara percuma
3. menghalalkan muzik dan menari
4. mengirimkan ulamak palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan demi perpecahan.
Kelicikan daripada strategi inilah akhirnya menyebabkan golongan muda mula leka dan kehilangan jati diri patriotisma. Andalus hancur dan kehebatannya hanya tercatat dalam satu sejarah Islam yang menyedihkan.
Rentetan daripada itu, adakah kita sanggup melihat kehebatan bangsa Melayu yang melangkaui usia 1400 tahun itu musnah sedikit demi sedikit. Akhirnya, kita juga akan menjadi bangsa Melayu yang tercatat dalam sejarah bangsa yang menyedihkan.
Nah, hari ini, adakah kita sekadar melihat, mendengar dan membaca sahaja nasib Melayu itu?

Jumaat, 11 April 2008

i
Seminggu menyepi kerana saya dihambati tugasan rutin seharian. Dikejar bayang-bayang kemudian cuba menyorok di balik bayang-bayang amat meletihkan.
ii
(Dengan izin - saya petik satu komentar daripada pengunjung blog seorang teman - kuda-kepang.blogspot.com. Saya perturunkan sepenuhnya untuk kita fikirkan bersama-sama)
Datuk,
Kalau sebelum ini saya ada menyatakan pandangan berkenaan isu semasa melibatkan UMNO, dan Raja2 Melayu. Maka, sayugia dimaklumkan bahawa pandangan itu tidak menunjukkan bahawa saya menyalahkan kepimpinan UMNO semasa sahaja. Apa yang penting dan perlu disedari oleh semua pemimpin dan bekas pemimpin UMNO, bahawa mereka sebenarnya TERLIBAT SAMA secara langsung atau tidak langsung dalam polemik yang sedang melanda. Untuk itu ingin saya mengingatkan kepada individu yang begitu pandai mengatakan 'Melayu Mudah Lupa'dan menjadikannya begitu popular supaya TIDAK BUAT-BUAT LUPA perbuatan mereka semasa BERKUASA suatu ketika dulu. Janganlah pandai menyalahkan kepimpinan sekarang sahaja yang sememangnya bersalah pun tetapi perlulah mencermin diri mereka juga agar kerosakan yang wujud sekarang ini yang juga berpunca daripada 'Dia' atau 'Mereka' tidak sekadar dipikul oleh AAB sahaja.
Rakyat yang tidak 'BUTA', 'PEKAK' mahupun 'DUNGU' sememangnya faham akan situasi ini. Ini tidak juga bermakna PEMBANGKANG yang sedang selesa menguasai beberapa negeri akan terlepas daripada pandangan mata dan penilaian kami. Kuasa yang diterima oleh mereka, pada pandangan saya bukanlah bermakna Mereka cukup berkuasa untuk membuat apa saja tetapi sebagai eksperimen rakyat terhadap sejauhmana kata janji mereka boleh dipegang atau adakah mereka sama sahaja dengan parti politik perdana yang semakin kelam ditelan mendung. Saya percaya sekiranya kedua2 alternatif barisan parti ini tidak mampu memahami dan mendukung aspirasi rakyat, maka jangan TERKEJUT jika rakyat mencari alternatif lain yang tidak ada kaitan dengan kedua2nya. Rakyat semakin muak dengan pelbagai isu yang melanda. Adakah Ahli dan parti politik dilahirkan dan dilantik demi melahirkan negara yang aman, damai dan makmur. Atau mereka hadir sekadar ingin sama2 berebut-rebut mendapatkan bahagian masing2 dalam memamah harta rakyat dan negara.
Jangan ingat, dengan memburukkan seseorang maka yang lainnya akan terselamat dan diterima dengan mudah. Kerana terpalitnya seekor kerbau dengan lumpur, maka kawan2nya yang lain akan tetap terpalit juga. Adakah berbeza antara mereka, kerana LUMPUR TETAP LUMPUR.Maaf Datuk sekiranya luahan rasa saya agak panjang lebar, tetapi itulah apa yang saya percaya tersemat dalam hati dan jiwa sebahagian besar rakyat jelata. Kami melihat bagaimana begitu gelojohnya ahli2 politik kerajaan mahupun pembangkang memainkan pelbagai isu demi meraih satu undi daripada kami. Setakat ini kami masih menaruh harapan, janganlah sampai nanti tiada lagi harapan yang mampu kami beri kepada mereka ini
Mohon keikhlasan Datuk untuk memaparkan luahan hati saya ini. Semoga difahami oleh para pemimpin politik sama ada PRO KERAJAAN MAJORITI atau pun PEMBANGKANG.
:-Terima kasih sdr tinta laser.
P/s
Pendapat ini ikhlas, menarik dan jujur. Fikir-fikirkanlah....

Isnin, 7 April 2008

PERJUANGAN Alif, Ba' dan Ta' yang dinafikan

AKU baru selesai membaca terjemahan "Menjadi Kekasih Allah' tulisan Syaikh Abdul Qadir al-Jailani juga naskah best seller (2007) di Indonesia. Membaca buku ini aku seperti sedang mengharungi samudera hidayah sambil menatap kemilau cahaya hikmah-Nya. Banyak yang aku fikirkan dan aku cuba kaitkan dengan kepimpinan politik sebuah parti gergasi di negara bernama Tanah Melayu.
Perkiraannya amat mudah sekali; kepimpinan akan hancur sekirannya pemimpin itu menolak atau menafikan hak perjuangan Alif, Ba' dan Ta'. Apakah dia Alif, Ba' dan Ta' itu?
Alif ialah AGAMA
Ba' ialah BANGSA, BAHASA dan BUDAYA
Ta' ialah TANAH AIR.
Sejauh mana kita setia, taat, berani, ikhlas, tawaduk dan istiqamah dalam perjuangan bermakna kita akan menjadi satu bangsa yang penuh bertamadun dalam kebitaraan.
Nah, kerana kepimpinan parti gergasi negara kita yang ttidak pernah mengarifi konsep Alif. Ba' dan Ta' inilaha makanya hari demi hari entri/diksi/perkataan/istilah MELAYU itu dibunuh dan tidak berpusara satu demi satu. Antaranya
1. Tanah Melayu ditukar menjadi Malaya kemudian Malaysia.
2. Sekolah Melayu menjadi Sekolah Kebangsaan (sedangkan SJK (Cina) dan SRJ (Tamil) masih hidup dan akan disuburkan)
3. Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia
4. Kesusasteraan Melayu menjadi Kesusasteraan Malaysia
5. Umno (Sepatutnya mengekalkan Melayu bukan Malay)
dan lain-lain yang tak tergamak aku luahkan dalam catatan ringkas ini.
Entri MELAYU ini seWAJIBnya DIJADIKAN ENTRI PALING KUAT DAN GAGAH. Entri ini perlu dipertahankan kerana apabila kita pertahankan kekuatan istilah ini bermakna apa yang kita pertahankan adalah sebuah bangsa yang bijaksana, bertamadun dan hebat.
Memperlekeh istilah Melayu bermakna kita menghina nasib bangsa sendiri. Memperlekeh Melayu bermakna juga kita merelakan hukum metamatik ini berlaku;
MELAYU = me+ layu (layu dalam Kamus Dewan; hlm 903 merujuk kepada maksud kering dan kecut; tidak berseri dan tidak segar lagi, lisut: Rujuk juga maksud jawa iaitu melayu bermaksud juga melarikan diri.)
Nah, apakah bangsa Melayu yang hebat suatu waktu dahulu merupakan bangsa yang 'kecut' atau tidak berseri lagi atau juga akan terus melarikan diri?
Inilah perkiraan yang perlu diambil perhatian bukan menjadi pemimpin yang mencaturkan bidalan yang muluk-muluk kemudian menjadi gunting dalam lipatan.
Aku perlu segera menyiapkan kerja-kerja yang masih terbengkalai....

Khamis, 3 April 2008

'ILM LADUNNI

AKU baru sahaja selesai menelaah buku Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi tulisan Syed M. Naquib al-Attas. menariknya buku ini kerana banyak persoalan-persoalan tentang matafizik wujud dan kewujudan makhluk diperjelaskan dengan lancar. Meskipun tulsan ini agak bercanggah dengan buku History of Muslim Education karya Ahmad Syalabi tetapi sekurang-kurangnya percanggahan pendapat itu akan membuatkan aku berfikir.
Banyak keraguan yang aku persoalkan; antaranya kenyataan bahawa Hayy ibn Yaqzan terhadap akal yang terlepas daripada bimbingan wahyu berupaya memiliki kemampuan sedangkan ilmu wahyu merupakan ilmu daripada Allah yang tidak terbatas. begitupun daripada buku ini aku dapat menemui sesuatu yang baharu iaitu perspektif spiritual yang wujud di dalam siri manusia itu sebenarnya adalah ilmu laduni ('ilm ladunni).
Syukurlah, kerana Allah SWT masih sayang akan diriku.
ii
Setelah Bulan Mengambang
jendela yang kubuka
luas terngangga
bulan merenung wajahku
sambil mengenyitkan mata
dan menguntum senyum
di bingkai jendela
aku menghirup cahaya putih
segar dan harum melengkar
menusuk ke sukma
saat bulan mengambang
tanah yang gelap menjadi terang
api yang biru menjadi hijau
air yang hitam menjadi putih
angin yang pedih menjadi damai
shamsudin othman
madrasah sham al-johori.

SEPI MENGAJAR AKU MAKNA MUHASABAH DIRI

RASANYA hampir seminggu aku tidak menulis/ melontarkan apa-apa idea di dalam blod Tanah Nurani ini. Bukan tidak sudi atau merajuk diri; tetapi sesekali aku perlu untuk bersendirian sambil bermuhasabah diri.
DAN, anehnya! Saat aku memilih untuk bermuhasabah diri itulah, lebih banyak kekalutan yang menerjah dan menendang fikiran. Melihat dan membaca akhbar harian, mendengar berita di media juga mendengar cerita teman-teman banyak menggugah ketenangan. Aku mungkin pada awalnya tidak mahu mengambil kisah juga memperdulikan cerita karut-marut itu; tetapi cerita yang didengari kian lama kian menjijikan. Rasa loya dan nak muntah hampir berlaku tetapi aku kawal supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan muhasabah diriku.
Dalam perkiraan bermuhasabah diri ini, aku seboleh-bolehnya tak ingin bercakap lagi tentang agenda Melayu-Umno mahupun agenda Barisan Rakyat. Wajah-wajah mereka yang bersimpang-siur dalam fikiran aku nampak seperti badut-badut yang sedang bermain catur sambil diselang-selikan dengan gelak ketawa.
Inikah yang dinamakan perjuangan?
Saat ini, ada lebih baiknya aku meneruskan pembacaan untuk menghabiskan buku-buku yang sempat aku beli di Eropah dan Timur Tengah sewaktu bercuti dulu. Mungkin dengan membaca itu akan dapat mengubati rawan hatiku.
Jangan lupa juga pergi ke PESTA BUKU MALAYSIA di PWTC pada 4-13 April 2008 ini.
SELAMAT MENJADI MANUSIA YANG MENGIMARAHKAN BUDAYA IQRA'.
Amin.