Khamis, 29 Mei 2008

Perginya seorang penulis PPJ

Tanggal 27 Mei 2008 tepat jam 10.32 pagi, aku menerima panggilan tetefon daripada sdr A.Hamid Ajamin dari Muar, yang beritanya akan kepulangan sdr Adam Md Noor ke ramahtullah. Aku menerima berita itu dengan sedikit hiba dan kesal. Hiba kerana aku tidak sempat menziarahinya setelah dia koma hampir dua minggu di hospital Muar dan Melaka. Kesal kerana aku tidak sempat belanja allahyarham minum teh tarik setelah dia mengurut kaki aku suatu waktu dahulu.
Sepanjang aku mengenalinya, dia seorang yang amat baik dan pemurah. Sebagai cikgu di SM Maahad Muar, dan setiausaha Persatuan Penulis dan Peminat Bahasa Muar (PPPBM) dia turut disenangi oleh ramai manusia yang didampinginya. Mudah-mudahan, Allah akan menempatkan rohnya seiring dengan para mujahid dan aulia.
Jika ke pusara di Bakri, Muar; singgahlah di pusara bernombor 7901; kemudian kirimkan surah Al-Fatihah kepada allahyarham ADMUA MN.
ii
Politik tanah air bergeser lagi. Kali ini kisah Ezam dan Zaid Ibrahim. Ezam memilih UMNO untuk meneruskan perjuangan sementara Zaid Ibrahim dikritik kerana menegur UMNO. Apa yang sedang berlaku sekarang? Kemasukkan Ezam dianggap menggugat keenakan dan keseronokan kepemimpinan Pemuda UMNO. Aku setuju dia masuk UMNO sebab aku amat berharap agar dia dapat bertanding kerusi pemuda UMNO. Atau setidak-tidaknya dia akan meletakkan dirinya sebagai pejuang yang berani menyatakan kebenaran meski pahit untuk ditelah.
Ezam berkata di TV3 bahawa dia manusia yang telah melalui zaman sukar dan meneruskan agenda negara. Dia pernah dipenjara, ditelanjangkan haknya sebagai pejuang dan dipersendakan ketika berhujah. Demikianlah titik-bengek perjuangan Ezam ketika mempertahnkan hak Melayu dan kuota bumiputera.
Tapi Ezam, kau juga perlu ingat bahawa; kita bukan manusia yang mulut diberi pisang tetapi punggung dicucuk kayu. Permainan kau di pentas UMNO tentunya akan bermain dengan lumpur dan becak. Kau juga akan bermain minyak wangi dan meneguk air. Sesekali air yang kau teguk dan minyak wangi yang kau pakai itu tidak semestinya mengenyang dan mengharumkan. Aku kira kau juga sudah membaca semuanya itu. Satu pintaku, meski apapun pilihanmu berfikirlah dengan cara para ulamak Islam memimpin negara. Contohi para sahabat rasulullah menerajui kepimpinan negara.
Salam.

Isnin, 26 Mei 2008

sebuah kehilangan ...

i
Semuanya telah termaktub dan sebahagiannya telah tergadai. Tetapi kita masih bercakap soal 'menang-menang'. Beberapa pertanyaan meski tuan-tuan jawab nanti. Di mana pertanyaan itu akan menyusul tuan-tuan, itu bukan persoalannya di sini kerana saya sendiri pun tak tahu di mana dan bila saatnya. Yang pasti, tuan-tuan akan menjawabnya juga nanti.
ii.
Sekepal Tanah Sebuah Maruah
(Percakapan Kenangan kepada Pulau Batu Puteh)

Kugenggam tanahmu,
Batu Puteh dengan seluruh rindu terpendam
aku bawa salam mergastua yang kehilangan jejak
aku bawa salam paya bakau yang pernah kita gulati
aku bawa kenangan indah yang kita nikmati
meski hari ini mimpinya telah berubah
namun izinkan
kupijak tanah ini dengan seluruh roh insani
di atas ranjang yang berbeda

Aku bawa kartu ini ketika kau khabarkan
pulau ini akan berpesta mencari sejarah
dari sebuah kapal aku membilang jajaran gelam
sambil menghirup rindu tanah paya
menyimpan ingin bermain raba puyu di sungai bakau
atau memasang lukah mencari sepat.

Aku bawa kartu ini kepadamu
ketika kau khabarkan tanah rindu ini menanti sebuah cinta
yang terpasung oleh kepalsuan duniawi
setelah gagal membeli kenangan mahal ini
oleh janji yang tergadai dengan
sedulang tanah paya, seberkas kayu bakau dan gelam
seketul terumbu karang dan sekawan belacak.

Pulau Batu Putehku yang walang
kugenggam sekepal tanah
kujunjung sebuah maruah
sambil membiarkan air mataku menitis
akan kehilangan
kedaulatan negara
juga pusaka bangsa.


SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.


iii.

Hari ini, mari kita fikirkan pula nasib Pulau Pisang; sebuah pulau yang lebih besar dan indah. Sebuah pulau yang masih belum ternoda kerana tidak pernah dilacuri. Sebagai rakyat marhaen, saya selalu berharap dengan seluruh jiwa agar istilah 'menang-menang' tidak akan saya dan anak cucu cicit saya dengari lagi.
Sejarah tidak sepatutnya berulang kerana SISTEM PENDIDIKAN NEGARA telah berjaya melahirkan ramai SEJARAHWAN. Tetapi saya berharap agar sejarahwan kita tidak menjadi manusia yang membohongi sejarah atau mencipta sejarah baharu yang menyedihkan.
Berapakah harga air mata rakyat Malaysia yang masih bersedih akan kehilangan Pulau Batu Puteh. Berapakah harga yang perlu kita bayar?

Khamis, 22 Mei 2008

KISAH NEGARA RIMBA ii

"Mengapa kita mesti lari ke gunung?" tanya sang gajah yang sedar untuk mendaki gunung bukan satu kerja yang mudah baginya.
"Kau tak pernah belajar daripada kisah sejarah Nabi Noh AS ke? Bukankah apabila air laut melimpah, seluruh daratan ini akan tenggelam. Kita tiada kapal apatah lagi nakhoda. Nakhoda kita dah lama mati dibelit ular sawa. Kerana tak ada kapallah maka kita kena mendaki gunung ini," celah kura-kura sambil mengeluarkan kepalanya daripada cengkerang.
"Nakhoda kita mati kena belit ular?" pintas arnab yang terperanjat mendengar berita itu.
"Apalah kau ini, dia bukan sahaja kena belit tapi kena patuk juga."
"Pelik..., pelik....,"
"Dalam dunia ini tak ada yang peliknya. Semua itu boleh dibuat oleh manusia yang tak pernah percaya kepada takdir qada dan qadar Allah. Bila mereka berkuasa, mereka adalah tuhan yang lebih teruk daripada tuhan."
"Maksud kau?"
"Ah, malas aku nak bercerita panjang."
Air bah mula menderu dan suaranya kian kuat kedengaran. Bunyi angin, bunyi deru air dan bunyi jeritan mergastua kian hingar-bingar. Jeritan ungka, rengus harimau, bertali arus dengan rengus beruang, serigala dan mengah tupai yang licik melompat dari sepohon bintangur ke pohon meranti dan tembusu.
"Lari, lari, lari... air bah kian hampir." Jerit siamang sambil melambai dari atas pokok tualang.

Rabu, 21 Mei 2008

kisah negara rimba i.

ALKISAH sebermula cerita ini adalah sebuah hikayat yang entah di mana benarnya tidak pernah diketahui manusia. Kisah bermula di sebuah negara bergelar Alif Min Nun Tendang Wau yang suasananya kacau bilau sejak mantan memanda menterinya meletakkan jawatan daripada semua pentadbiran kerajaan.
Berita itu menjadi hingar-binggar hingga menakutkan warga mergastua yang lain. Saat itu, seluruh bintang seperti anjing, babi, lipan, ular, jengking, buaya, monyet, siamang, semut, kancil, kura-kura, arnab, kakak tua, belatuk, beluncas, lintah, cacing waima garuda mahupun naga dan garuda menjadi tidak karuan. Masing-masing cuba menyelamatkan diri menuju puncak bukit sebab takut mati lemas ditenggelami banjir besar. Para binatang itu berlari menuju puncak gunung kerana mengambil ikhtibar peristiwa bah pada zaman Nabi Noh AS.
Saat kucar-kacir itu, tiba-tiba memanda menteri yang tinggal kekal itu bersuara, "jangan panik. Selagi saya ada saya akan bertanggungjawab membantu dan menyelamatkan saudara semua. Saya berjanji akan menjadi ketua yang baik dan bijaksana macam As-Syafiee atau Al-Ghazali," katanya dari puncak bukit yang lain.
"Itu pemikiran orang yang bersifat kadariah dan jabariah. Cakap besar tanpa melihat bah yang kian melimpah menuju ke tempat penginapan kita. Dia cuba melanggar takdir qada dan qadar Allah." Kata Sang Kancil sambil memujuk rakan-rakannya meneruskan pendakian ke puncak gunung.
"Bukankah saya ini ketua kalian. Cakap-cakap saya ini perlu dipatuhi." Jerit memanda menteri.
Sang Kancil merenung mata gajah yang terbeliak. Sesekali telinga gajah bergerak seperti kipas. Dia terus mencelah, "bah kian hampir. Kalau kita terlalu banyak berfikir tentu kita tak sempat menyelamatkan diri daripada bah yang besar dan menuju ke sini."

Selasa, 20 Mei 2008

SALAM DARI KEJAUHAN 4

SALAM.

ISNIN. 19 MEI 2008. SAYA sedang bersiap-siap untuk meninggalkan pintu rumah. Hati berdetik seketika; kenapa tak tunggu berita tengahari? Segera meladeni hati, saya duduk di sofa sambil mengatur minda untuk mendengar tajuk-tajuk utama. Terkejuk apabila penyampai berita mengumumkan berita peletakan jawatan Tun Mahathir dalam UMNO. Segera fakulti akal saya berjungkir balik. Terkenang jasanya yang melimpah ruah kepada negara Malaysia. Terbayang keintektualan melayu yang sungguh unik ini. Terasa beraninya dia menghina Amerika dan Israel. Malah lebih hebat daripada itu saya masih juga terbayang-bayang dia memecat DSAI kerana dikatakan telah menderhaka dan mencemar adat budaya Melayu. Semuanya itu bertali arus dalam sungai fikiran yang segar.
Beberapa minit itu juga SMS masuk dan bersenandung daripada telefon bimbit saya. Saya membuka dan membaca satu persatu. Dan yang paling menguja ialah "sudah terang lagi bersuluh; yang hancur ialah Melayu dalam UMNO bukannya rakyat marhaen macam kita". Saya mengukir senyum sambil melihat sebuah beg hitam berjenama Samsionet yang dibeli di kota Saigon, Vietnam bulan disember lalu. Kini, beg besar itulah yang sering menemankan saya ke mana-mana. Sesekali apabila melihat beg itu, saya teringatkan senyum Rahimidin Zahari yang manis meski terluka. Teringat sinis SM Zakir meski ketawa mengila dan teringat juga senyuman En. Saleeh dan Amiruddin meski hati dan perasaan mereka sukar ditebak.
Berita TV3 masih mengulas dan memaparkan episod demi episod politik tanah air yang kian gawat. Semacam menikmati filem P. Ramlee yang penuh sinekal itu, saya mencuba memahami hati seorang tua seperti Tun Mahathir. Tentunya usia yang menjangkau 83 tahun itu menuntut satu kesungguhan dan keberanian yang dapat mengajar manusia yang tidak faham apa-apa. Mungkin mereka (yang dimaksud itu) tidak berkesampatan untuk membaca buku 'Berguru Dengan Binatang' atau juga tidak sempat membaca 'The Animal Farm'. Serba kemungkinan itu bermain-main dalam fakulti fikir saya.
Dalam hal ini, saya tidak seharusnya bersungguh-sungguh mencari kesalahan orang lain kerana diri saya juga sedang diikuti/ dipantau. Mungkin saya sedang melakukan kesalahan atau akan melakukan kesalahan atau juga sedang dinilai perkembangannya. Apa-apa yang berlaku, insyalallah akan saya cuba bataskan.
Saya sedang memikirkan juga isi kandungan khutubah jumaat minggu lepas yang isinya meminta kita kembali kepada kepimpinan ulamak seperti yang berlaku di zaman keagungan Islam. Kalau dulu yang menjadi pemimpin ialah orang yang menjadi khatib dan imam, tetapi hari ini semuanya tidak berlaku, sedangkan negara kita secara rasmi mengakui bahawa Islam adalah tunjang dan pegangan utama.
Saya amat berharap agar selepas ini, yang menjadi imam dan membaca khutubah jumaat di seluruh masjid ialah wakil rakyat lelaki-Islam UMNO/PAS/ PKR. Mereka perlu mewakili DUN masing-masing; kemudian bercakaplah tentang amal maaruf nahi mungkar di atas mimbar itu. Kalau mereka boleh menjerit terpekik melolong dalam Dewan Rakyat/Parlimen, harap-harapnya juga mereka boleh juga bercakap tentang keindahan syurga dan kebejatan neraka di dalam masjid tempat mereka dinobatkan sebagai ADUN.
Saya amat berharap dan masih menunggu kepimpinan ulamak yang sebenarnya.
Sebelum melangkah keluar pintu, saya masih mendengar ulasan pemberita bahawa berita lanjut tentang peletakan jawatan Tun Mahathir akan disiarkan sepenuhnya dalam Buletin Utama jam 8 malam. Sesekali, berdetik dalam hati kecil saya, alangkah bagusnya kalau saat ini kita semua sedang berada dalam sebuah masjid dan sedang tekun mendengar tazkirah tentang qada dan qadar ALLAH SWT.

Jumaat, 16 Mei 2008

SELAMAT HARI GURU

Salam warga guru.

Kepada semua guru yang mengenali saya, SELAMAT HARI GURU. Mudah-mudahan Allah merahmati tuan guru, memurahkan rezeki tuan guru, memberikan kesihatan yang baik kepada tuan guru dan menjadikan kita kian akrab.
ii
Saya sempat membelek buku Baha Zain bertajuk "Berguru Dengan Binatang" malam tadi saat mata terlalu sukar untuk dilelapkan apabila menerima sms dari kekasih hati dan panggilan daripada sahabat lama dari Pulau Pinang yang isi ceritanya berkisah tentang seorang rakan MPLP sedang sakit. Saya tidak beberapa mengenalinya ketika berada sebumbung di MPLP. Walau bagaimanapun, saya turut bersimpati atas kesihatannya yang meruncing itu. Insyallah, saya dan rakan XMPLP akan cuba mencarinya.
Berbalik kepada buku "Berguru Dengan Binatang", banyak perkara yang boleh kita pelajari. Maknanya, manusia bukan guru terbaik kerana manusia yang dikurniakan akal sentiasa mempunyai perasaan ego dan ketidakjujuran. Meskipun binatang juga bukan guru terbaik tetapi tindak tanduk binatang yang memberikan pengajaran sebenarnya tidak pernah bersikap ego dan sombong. Kita perlu belajar daripada habitat binatang supaya kehidupan kita tidak selama-lamanya melangit. sesekali kita perlu merenung kepada apa-apa yang berlaku dan ada di bawah. Kita perlu menoleh ke belakang, ke kanan dan ke kiri waima ke atas dan ke bawah juga sebelum keluar melangkah untuk memulakan rutin seharian kita.
Nah, binatang juga adalah guru kita. Alam flora dan fauna juga adalah guru kita. Guru kita ada di mana-mana. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menginsafi diri kerana tanpa guru kita boleh mengenal alif, ba, ta; kita tidak boleh mengenal a, b, c; kita tidak boleh memahami 1, 2, 3 dan tanpa guru kita tidak menikmati makna cinta, rindu, kasih sayang dan derita.
SELAMAT HARI GURU.

Selasa, 13 Mei 2008

SEJARAH HITAM 13 MEI

Hari ini, kita sama-sama perlu mengirimkan surah al-fatihah kepada pejuang Melayu-Islam yang terkorban dalam sejarah hitam negara 13 Mei 1969. Inilah harinya kita merenung kembali sejarah bangsa yang bermandi darah demi kedaulatan bangsa dan bahasa. Merekalah pejuang ketuanan Melayu atau kedaulatan Melayu yang sebenarnya.
AL FATIHAH DAN MOGA ALLAH MENERIMA PERJUANGAN MEREKA SETERUSNYA MELETAKKAN ROHNYA SEIRING DENGAN AHLI SYURGA.
Amin. ya Rabb.

SALAM DARI TANAH LANGKAWI

SALAM RINDU DARI KEJAUHAN

Hampir 3 tahun aku tidak mengunjungi tanah Langkawi. Tanah helang yang penuh nostalgia Mahsuri, tanah beras terbakar dan tanah yang baharu sahaja beralih angin ke bawah pimpinan parti seislam malaysia (PAS). Nuansanya jauh berbeza, dari hotel seaview; subuh-subuh lagi aku dikejutkan dengan lunak suara tahrim kemudian azan yang merdu. Damai dan indahnya pulau ini.
ii
Semalam di KLIA (sebelum bertolak ke Langkawi), aku ditemukan dengan seorang anak muridku ketika aku mengajar di Sekolah Alam Shah (SAS), yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Polan dalam jurusan kejuruteraan submerin. Kami berbual panjang sambil sesekali mengungkap kenangan di SAS. Dia menyebut nama-nama rakannya seorang demi seorang yang sebahagiannya berada di luar negara dengan jurusan masing-masing. Berputik bangga hati aku apabila mendengar anak-anak murid aku telah menjadi manusia dan bakal pulang dengan ijazah luar negara. Dalam perbualan kami itu, ada sesuatu yang paling menyentuh apabila dia bertanya kepada aku;
Murid: Cikgu, adakah kita telah kehilangan ketuanan Melayu, macam yang selalu cikgu
ceritakan kepada kami dulu?
Aku: Aku tidak segera menjawab tetapi bertanya pula kepadanya, macam mana di Polan?
Murid: Rakyat Polan hanya ada satu bangsa dan bahasa sahaja cikgu. Ketuanan bangsa mereka
kuat dan tinggi. Kami di sana terpaksa belajar bahasa Polan, Bahasa Inggeris tak pakai
langsung. Mereka anti inggeris.
Aku: Itulah yang dikatakan ketuanan. Jangan sebut soal ketuanan jika kita tak sangggup
berkorban dan masih wujud hal-hal berkompromi. Bertolak ansur tak perlu ada dalam
bahasa dan bangsa. Inilah yang perlu kita pertahankan. Tetapi apa yang berlaku
ialah kita mengadai semuanya itu kepada bangsa asing demi istilah 'perpaduan'.
Akhirnya, perpaduan itu memakan diri sendiri seterusnya menjadi api dalam sekam.
Anak murid aku diam sambil menggelengkan kepala. Inilah perkara yang berlaku hari ini. Di parlimen dan di mana-mana orang bercakap hal ketuanan. Tanpa ingin mengulas lanjut; apa yang mampu aku tulis dalam blog ini ialah pemimpin Melayu juga yang silap. Mereka terlalu menurut tuntutan bangsa lain hingga menafikan hak bangsa sendiri.
Cerita mengucup keris, menjulang duli dan sebagainya itu adalah semiotik perjuangan diri sendiri yang akhirnya bertukar menjadi retorik perut sendiri. Tanpa menidakkan niat dan kejujuran, tetapi itulah yang berlaku di balik rintih dan kegusaran hati nurani orang Melayu.
Aku berharap, selepas ini, apa-apa sahaja tindakan kepimpinan kita perlulah meletakkan asa dan sejarah bangsa sebagai tunggak fikir. Nafsu hanya satu angan-angan yang menuntut keputusan sementara sebaliknya bertindak dengan akal dan membaca sejarah bangsa akan membawa kepada kejayaan.

Sabtu, 10 Mei 2008

SEEKOR ULAR DI MEJA PARLIMEN

SEEKOR ULAR DI MEJA PARLIMEN

Ular sawa yang punya kulit berbatik indah
melingkar di atas meja persidangan
sesekali lidah bercabangnya menjelir
dan sesekali matanya tajam menikam

seekor ular sawa
membelet demokrasi
sambil mematuk budaya dan moral

seekor ular sawa
membelet Islami
sambil sesekali menjilat sekular dan sosialis

di meja persidangan
sang ular tidak sendirian
tetapi
ditemani anjing, babi, biawak, kera, lipan, jengking
dan mereka sedang
mencaturkan nepotisme dan kronisme

di sudut kecil parlimen
seekor semut dan sang kancil
telah diikat mulut
dibutakan, dibisukan dan dipekakkan

sesekali juga
anak sang ular sawa
yang menjangkau dewasa
menjilat-jilat muka sang semut dan sang kancil
sambil ditertawakan oleh warga dewan itu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Jumaat, 9 Mei 2008

Salam Dari Miri-Bintulu

Salam dari Miri-Bintulu,

Saya masih punya ruang untuk menelusuri ruang fikir sahabat-sahabat meski waktu agak mendesak dan payah. Syahdu dan hiba sekali apabila krisis identiti dan krisis intelektual Melayu masih berantakan di sana-sini. Sayang dan rindu tiba-tiba berantakan dalam fikiran saya. Di manakah kita semua hari ini?

Perkiraan yang saya ambil mungkin mudah dan amat ganteng atau mungkin juga tidak sekirannya semua kemelut Melayu itu kembali ke akar tradisi Melayu-Islam. Mengembalikan jiwa, teras diri dan perjuangan iru akan menjadikan bangsa akan kuat; teknologi akan hebat; bahasa akan cemerlang; tamadun akan perkasa.
Soalnya sekarang ialah para juak itu takut untuk mengakui kesilapan dan terlalu ego. Mereka kehilangan akar diri Melayu-Islam itu sendiri. Moga selepas ini, kesedaran yang tinggi itu seterusnya menolak kesombangan, kebongkakan dan ego sendiri akan mengembalikan kesesatan itu. Moga juga, Allah sentiasa merahmati perjuangan kita dan mengaminkan doa-doa insan tertindas seperti kita.
Insyallah dan kita perlu optimis.

Isnin, 5 Mei 2008

SALAM DARTI KEJAUHAN 4: MIRI-BRUNEI-LANGKAWI

SALAM RINDU.
SEMALAM aku menerima panggilan telefon daripada rakan yang mengikuti Kongres Permuafakatan Melayu pada 2-4 Mei 2008 di Johor Bahru seterusnya berjaya menubhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM/ 4M). Tahniah atas usaha anda itu. Tetapi yang pedihnya dia kata aku penakut sebab tak nampak batang hidung dan aku dikatakan 'talam dua muka' atau 'gunting dalam lipatan'. Aku dikatakan juga tidak menyokong perjuangan Melayu dan macam-macam tuduhan melulunya. Aku diam dan terima dengan dada terbuka. Mengiyakan tidak; menafikannya juga tidak.

Beginilah sahabatku,
Aku mungkin akan kalut jika berfikiran begini atau begitu tetapi kau fikirkan? Beberapa pertanyaan perlu kau jawab terlebih dahulu?
PERTAMA:
Adakah Melayu berpecah seperti yang diwar-warkan media hari ini? - Setahu aku yang pecah menanti hancur ialah melayu dalam UMNO. Bukankah mereka yang kita lihat sekarang ini sedang berperang sesama sendiri. Adakah ini jawapan kepada Melayu yang sudah kehilangan jati diri atau apa?
Di parlimen, Melayu masih menguasai. Lihat sahaja wakil PAS, UMNO dan PKR. Apa masalahnya? Kita lihat Melayu dalam PAS dan PKR. Mereka ini bangsat sangatkah? Atau siapa yang bangsat selepas kita memberi kepercayaan kepada UMNO untuk mentadbir negara hampir 50 tahun? UMNO dirasakan kurang relevan oleh rakyat hari ini; itu sahaja. Aku adalah rakyat itu yang merasai ditipu oleh mereka. Cukuplah bermain sandiwara dan menjadi pencatur kepada kepura-puraan.

MELAYU MASIH BERSATU DAN KUAT: YANG HANCUR DAN PERLU DIMUAFAKATKAN IALAH UMNO. ITU SAHAJA.

KEDUA:
Perjuangan aku ialah perjuangan rakyat. Rakyat yang menuntut maruah bahasa, bangsa dan agama tidak diLACURkan. Aku tidak mahu melihat, harga beras, tepung, gula, garam, minyak masak naik mendadak/mengila. Soal naik harga adalah perkara biasa. Tetapi soal kenaikan yang mengila itu lah yang luar biasa. Apa akan terjadi kepada nasib saudara mara aku yang tinggal di kampung? Hidup bahagiakah mereka setelah tanah sawah dirampas untuk pembangunan, setelah kebun getah dirampas untuk pembangunan, setelah kepala sawit dirampas untuk pembangunan, setelah juga tanah sekangkang kera untuk tanam ubi, pisang, jangung, durian, rambutan, langsat, kangkung, keledek, keladi dirampas untuk pembangunan. Kini, saudara mara aku mula gelisah dan resah kerana mereka tidak punya duit pencen. Mereka hanya ada sejumlah keringat dan air mata sahaja. Kalau semuanya naik mengila, bagaimanakah nasib mereka?

SIAPAKAH YANG MENGAWAL HARGA BARANG INI? MELAYU ATAU BANGSA APA? LALU LEBIH BESAR LAGI PERSOALAN INI, SIAPAKAH YANG HARUS DIPERSALAHKAN.

JAWAPANNYA: Bukan lagu 'Bangau Oh Bangau'

KETIGA:
Hati aku tiba-tiba sebak dan tersentak. Hiba tiba-tiba bergenang di hujung hati dan air mata seakan-akan hampir bergenang. Cukuplah aku menjelaskan di sini bahawa melihat diri sendiri lebih baik daripada mencari kesalahan orang lain.

Kepada anda atau sesiapa yang sudah mendengar ucapan daripada pejuang MMMM, itulah ucapan mereka yang berulang dan berulang. Mereka tidak pernah melaksanakannya kerana hanya UMNO sahaja yang boleh membetulkan keadaan ini. Di mana mereka ketika itu? Walau aku tahu mereka tidak boleh memakai 'baju' UMNO untuk masuk ke dalam dewan MMMM.

Mungkin selepas ini, ada parti lain yang boleh membetulkan kesilapan ini juga. Meletakkan kepercayaan kepada UMNO sahaja bukanlah satu cara terbaik. Memberikan kepercayaan kepada satu-satu parti baharu juga perlu berwaspada kerana perjuangan mereka belum pernah teruji zaman.

Prinsip aku mudah sahaja. IMAN DAN AMAL ADALAH SENJATA PALING UTAMA DALAM KEHIDUPAN GOLONGAN MUKMIN YANG PERCAYA KEPADA ADANYA ALLAH, MALAIKAT, RASUL, QADA DAN QADAR JUGA SYURGA DAN NERAKA ALLAH.

AMIN.