Khamis, 29 Januari 2009

SEBUAH KEHILANGAN YANG PENUH BERMAKNA


Kita kehilangan Sasterawan Negara lagi.

Saya menulis entri ini setelah beberapa hari blog saya tidak boleh di log masuk. Kenapa? Jangan tanya saya kenapa?

Justeru pada saat saya ingin menyatakan rusuh sedih hati setelah menerima berita negara kehilangan seorang sasterawan negara iaitu Arena Wati, bloh ini ditimpa masalah. Saya tidak dapat menyatakan peripilunya kehilangan itu. Seperti juga sahabat-sahabat penulis lainnya, tentu saya juga banyak nostalgia indah bersama-sama arwah. Seingat saya, arwah pernah mencatatkan nota kecil di atas buku saya begini, "Sdr Shamsudin, perjuangan bahasa bukan setakad hiburan tetapi maruah dan tamadun. Teruskan perjuangan." Catatan yang diikuti tandatanganya itu tertera di halaman judul bukunya 'Sakura Mengorak Kelopak'.

Meskipun hubungan saya mungkin tidak seakrab mana, tetapi cukuplah jika saya katakan bahawa saya membesar dengan novel-novelnya. Bermula dengan Eno, Sendera hinggalah yang mutakhir ini agak menyesakkan untuk menekuninya. Begitulah akhirnya, selepas dapat berkunjung ke HUKM bersama-sama SM Zakir dan M. Saleeh Rahamad saya hanya mampu menitipkan doa agar arwah diterima oleh Allah SWT sebagai insan yang soleh.

Ada rindu yang menusuk di kalbu. Al-fatihah dan moga Allah merahmati rohnya. Amin

Hari ini, kita kehilangan lagi seorang penulis iaitu sdr Samoza. Redzuan Harun memaklumkan kepada saya melalui sms ketika saya dan SM Zakir dalam perjalanan ke Sri Negeri Melaka. Moga Allah merahmati juga rohnya. Al-fatihah.

Begitulah sebuah cerita kematian setelah pada awal tahun 2009 ini kita kehilangan Ghazali Tocheh dan Sazali Yaakob. Ini semua adalah peringatan untuk kita yang masih hidup dan dipinjamkan nyawa.

Jumaat, 23 Januari 2009

CERITA DARI BENUA RUSUH


Malam tadi saya dihubungi oleh seorang rakan yang sama-sama bersekolah di daerah Muar, juga antara sekolah terbaik Malaysia. Perbualan yang berlanjutan hampir sejam di talian telefon itu berkisah tentang perjuangan politik tanah air. Katanya, hampir 15 tahun tidak bersua, dia akhirnya mendapat nombor telefon saya daripada seorang bekas pelajar saya yang kini menjadi guru di daerahnya. Bekas mahasiswa saya itu kini seorang guru kepada anaknya. Daripada bekas pelajar saya itu, dia mengetahui hampir sebahagian besar perjalanan hidup saya khususnya melalui blog 'tanah nurani' ini. Katanya lagi, dia mengambil masa hampir dua minggu membaca dan cuba memahami pemikiran saya. Tahniah sahabatku kerana masih menggenali diri meski sudah bergeral Datuk UMNO dan mempunyai kuasa di gugusan wilayah selatan tanah air.

Di pendekkan cerita, sahabat saya ini sedang mencari teman sejawat untuk 'team' politiknya. Katanya lagi bahawa dia bakal memegang jawatan penting selepas pemilihan Agung UMNO mac ini. Dia berkira-kira dengan setatus saya hari ini. Saya antara orang yang difikirkan untuk dikanankan sekirannya dia menang dan punya kuasa nanti.

Wah, tawaran yang menarik. Sambil berbicara sesekali terdengar juga gelak sinis kami ketika mengungkapkan kenangan waktu kecil-kecil dahulu. Saya lebih mengenalinya dahulu sebagai seorang budak kampung yang paling penakut untuk bercakap di depan kelas. Malah, pernah pada suatu hari dia hampir pitam apabila diminta oleh guru Bahasa Melayu untuk mendeklamasikan sajak. Ya, itu cerita puluhan tahun dahulu. Kini dia sudah berjawatan dan bergelar.

Berbalik kepada tawarannya itu, dia memberikan saya tempoh sehingga awal ferbuari ini; dan dia amat berharap agar saya tidak menolak pinangannya. Dia juga mendesak agar kami boleh bertemu pada cuti tahun baharu cina ini.

Saya, tidak banyak berfikir atau menentapkan syarat. Sebelum kami mengakhiri perbualan sekitar jam 11.43 malam, saya bertanya kepadanya, "boleh ke kau berjanji sebagai orang umno yang berkuasa untuk membatalkan PPSMI?"

"Kenapa?" katanya mendesak.
"Kalau confirm boleh batal, aku akan fikirkan untuk berkerjasama dengan kau. Jika tidak..." saya berhenti di situ.
"Jika tidak kenapa? Itu aku kena tanya Hishamudin."
"Oklah, sahabatku. Sebenarnya, orang yang mengadai maruah bahasa dan bangsanya sendiri tidak pernah ada dalam kotak fikir aku. Kau carilah kawan-kawan lain yang boleh kau beli dengan kekayaan. Aku orang miskin yang tidak apa-apa kecuali bahasa dan bangsa. Kau carilah balaci lain yang boleh bersekongkol untuk mengadai maruah Melayu."

Ada kesenyapan seketika antara kami seperti talian terputus. Saya menunggu dan beberapa saat kemudian saya dapat mendengar suaranya semula.

"Tak kan sampai macam itu sekali?"
"Kita akan tetap berkawan tetapi sekadar kawan bukan teman sepermainan lagi. Sampaikan salam aku kepada boss kau tu. Assalamulaikum," saya memutuskan talian.

Ketika melepaskan rengus dan menarik nafas kelegaan, telfon bimbit saya berdering kembali. Segara saya capai dan melihat nombor dan nama pemanggil. "Apa lagi yang kau hendak ni," getus hati kecil saya. Saya menekan punat berwarna hijau tanda menjawab panggilan.

"Kau marah benar dengan umno ini apa hal?" Soalan pertama daripada perbualan kedua kami keluar daripada mulutnya.
"Siapa kata aku marah? Aku benci aja." Jawab saya pendek.
"Samalah tu.."

Saya ketawa sinis. "Ialah, aku marah dan benci. Kenapa? Kau nak kata aku tak kenang jasa umno ke?"
"Bukankah umno aja yang mempertahankan Melayu. Kau tengok Perak dan Pulau Pinang, apa dah jadi?"
"Pemikiran aku adalah pemikiran umno era Tun Razak. Orang miskin macam aku boleh duduk semeja dengannya. Tapi sekarang ni, semua pemimpin umno berumah besar dan berkereta besar. Hidup senang-lenang sampai nak salam dengan orang kampung pun takut. Pergi surau solat jemaah lima waktu tak nak. Entahlah, maafkan aku sebab kau mungkin tak macam tu, tapi aku dengar daripada cerita kawan-kawan kita, kau pun dua kali lima juga." Saya sedikit berkeras. Jam mula menunjukkan pukul 12.01 malam.

"Kau ni betul-betul tak bersyukurlah."
"Kepala otak kau tak bersyukur? Sebab aku belajar konsep bersyukurlah aku tak nak bersekongkol dengan kau. Sudahlah, kalau kau nak jumpa aku, esok lepas solat jumaat kita jumpa di KL." Saya mengakhiri kata-kata dengan nada yang masih memaafinya.
"Ok, tak pe nanti aku hubungi kau balik. Esok petang aku di Putrajaya."

Sebelum melelapkan mata, saya berfikir banyak kali tentang sahabat saya itu. Dia lelaki yang cukup bernasib baik. Selepas menamatkan alam persekolah dengan keputusan cemerlang SPMnya, dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pulang dengan gelaran 'Ir'. Sejak itu, kami dipisahkan oleh tugas dan keadaan. Jarak antara kampung kami sekitar 20 km menyebabkan kami tidak pernah terserempak pada setiap kali solat hari raya puasa mahupun korban. Begitupun, saya masih mengikuti kisahnya daripada dada akhbar dan teman-teman lain di kampung. Pernah seorang kawan memberitahu saya bahawa rumahnya kini ala-ala mahligai Dato' K. Hendak jumpa di masjid atau surau pun susah.

Nah, begitulah kisah detik-detik jam 11.43 hingga hampir 12.10 malam tadi. Saya sendiri tidak sedar pukul berapa saya terlelap sambil selepas solat jumaat ini saya akan menunggu panggilan daripadanya.

Terima kasih sahabat.

Rabu, 21 Januari 2009

Tentang Politik Gugusan Wilayah Timur

Rasanya hampir setahun saya tidak berkisah tentang politik tanah air. Hari ini, setelah ada rakan-rakan mendesak dengan pujuk rayu makanya saya gagahkan juga menulis sesuatu.

Hari ini masuk hari ke4, PAS menang PRK kawasan P36 di Kuala Terengganu (KT). Tahniah PAS/ PR dan UMNO jangan bersedih hati. Tingkatkan usaha dan cuba lagi dalam PRU 13 akan datang. Hidup mesti diteruskan dan sejarah tetap sejarah meski pahit untuk ditelan.

Saya dengan pandangan yang dangkal cuba meberikan sedikit pendapat kenapa umno kalah kali ini. PRK ini tidak sama dengan PRK di Permatang Pauh kerana di Pulau Pinang (PP) kerajaannya ialah DAP-PR. Maknaya, mustahil PKR akan kalah kerana berkerajaannegerikan PR. Di KT lain caranya, sebab kerajaan negerinya umno dan kerajaan pusatnya juga umno. Di situ PAS adalah parti yang menumpang dan perlu mencuba nasib dalam satu persaingan yang maha hebat. Ruang waktu dan situasi yang berbeza antara PP dan KT tidak boleh dijadikan kayu ukur kekalahan umno.

Umno kalah kerana beberapa faktor remeh, iaitu;

i. Tewas oleh media perdana yang terlalu menjijikkan.
Rata-rata media perdana (akhbar dan tv) milik umno telah mengambil kesempatan memburuk-burukkan parti lawan. Malah lebih teruk lagi apabila terlalu mendewa-dewakan pemimpin mereka yang terbukti tidak bersih. Keadaan ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya, jahat sangatkah parti pembangkang?

Saya permudahkan alasan lain lagi kerana tidak mahu menjatuhkan hukuman yang keterlaluan. Alasan itu antaranya;

1. Orang umno sendiri yang tidak lagi sanggup bersekongkol dengan rasuah dan
penipuan.
2. Umno tiada calon yang benar-benar bersih dan berwibawa.
3. Janji-janji pembangunan yang tidak lagi masuk dek akal manusia normal.
4. Umnolah satu-satunya parti di dunia ini yang sudah lupa daratan dan membunuh
nasib bangsanya sendiri.
5. Umno kini dianggap parti untuk orang kaya dan ingin terus menjadi kaya raya.
(tiada tempat untuk orang miskin di dalam umno).
6. Umno berjuang untuk poket dan kedudukan sendiri bukan lagi bertradisi membela
rakyat.

Saya berkira-kira di atas kerana hal-hal pembangunan adalah tugas kerajaan. Maknanya siapapun yang menjadi kerajaan, mereka wajib mencipta pembangunan. Tradisi membela rakyat adalah senjata utama politik kepartian. Oleh itu tiada maknanya seorang ahli politik jika masih ingin berumah mewah dan besar, berkereta mewah dan besar, juga sentiasa ke luar negara. Kemewahan menyebabkan rakyat takut untuk mendampingi mereka.

Inilah serba sedikit masalah dalaman umno yang perlu diselesaikan. Selama TPM kata umno perlu perubahan. Moga anda segera sedar dan segera berubah.

Mungkin juga tidak ada kebenarannya pendapat ini. Fikirkanlah.

Selasa, 20 Januari 2009

sajak kepada presiden Amerika



Sajak kepada presiden Amerika

Selamat tinggal Bu(T)s(U)h = bush
selamat datang Obama

Bush,
meski akan kautinggalkan Amerika
dengan seribu hinaan
tapi aku tahu bahawa agendamu
masih belum bertitik akhir

Selamat datang Obama
dengan tugas baharu
menyambung agenda demi agenda
yang tak tertunaikan
meski tidurmu bermimpi ngeri

Aku di Kuala Lumpur
melihat dengan mata simpati
sebuah rundingan masa lalu
yang masih tidak bernokhtah
menanti diluluskan

Selamat datang Obama
ke dunia perang salib
yang menuntut
erti iman dan makna amal

Selamat datang Obama
duduklah di meja PBB
sambil meratah jenazah
dan mabuk meneguk darah
demokrasi yang tidak berdosa

Aku di Madrasah Sham al-Johori
akan sentisa berdoa
agar sekawan ababil
segera hadir membawa utusan langit
dengan pesan yang tak terfikirkan.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Jumaat, 16 Januari 2009

SELAMAT BERJUANG PARA PEJUANG ANTI-PPSMI


Kata PM ketika berkempen di Kuala Terengganu tentang isu PPSMI.

''Seperti yang diberitahu kepada saya oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kajian mengenai perkara ini belum lagi selesai, (ada) sikit lagi.

''Pada waktu ini tak payah komen, ini bukan satu isu yang kerajaan diamkan diri dan ini bukan isu yang boleh buat macam-macam komen,"
katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Belia Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, selain keputusan UPSR dan PMR, kajian yang dibuat turut mengambil kira keupayaan guru mengajar dalam bahasa Inggeris, kedudukan bahasa Melayu, Perlembagaan Negara serta perbandingan prestasi sekolah bandar dan luar bandar.

Menurutnya, apabila semua maklumat itu diperoleh, laporan mengenainya akan dibuat seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Selepas itu jelasnya, Jemaah Menteri akan berbincang dan membuat keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI berdasarkan maklumat-maklumat yang lengkap itu.

Itu kenyataan PM semalam. Bagaimana dengan kenyataan juak-juak PPSMI yang lain? Bersetuju atau akan terus dengan agenda jahanamnya itu?

Kebimbangan saya ialah, Pak Lah hanya tingga beberapa hari sahaja dengan jawatan yang ada di tangannya itu. Selepas ini, dengan ketiadaan kuasa tentunya banyak perkara-perkara ghaib akan berlaku. Sementelahan pula, orang kanan dan kiri Pak Lah sekarang ini terdiri daripada manusia duri dalam daging dan bertopeng-topeng. Kadang-kadang, mereka langsung tidak menghormati orang tua.

Moga perang PPSMI ini tidak sehebat perang Israel atau perang salib. Saya berharap agar tiada manusia yang mati kerana mempertahankan hak bangsa dan kedaulatan bahasa.
Saya juga berharap agar KPM tidak menjenazahkan kemudian menyembahyangkan para pejuang anti-PPSMI. Antara rasional dan juzuk bertindak; semuanya itu menuntut kebitaraan yang ikhlas dan jujur.

Selamat berjuang para pejuang anti-PPSMI.

Isnin, 12 Januari 2009

SELAMATKAN TANAH GUGUSAN TIMUR ITU ...


i
Hujung minggu ini, di Kuala Terengganu akan diadakah pilihan raya kecil. Pilihan raya ini menentukan siapa dan parti manakah yang menjadi pilihan rakyat. Di mana-mana di tanah gugusan itu, kita semua dapat lihat UMNO berjaya menaburkan pembangunan serta merta sebab mereka punya kuasa dan kewangan. Dua lagi parti yang turut mempertaruhkan nasib iaitu PAS dan Bebas hanya berupaya berceramah di sana-sini tanpa menaburkan pembanguan sekelip mata. Inilah dua darjat kepartian yang sedang melanda negara kita.

Bagaimana pula dengan penyokong dan rakyat di gugusan itu? Lalu apa yang bermain dalam fikiran saya ialah wujud dua golongan penyokong iaitu yang memilih kebendaan (pembangunan materailistik) dan satu lagi modal insan (pembanguann rohaniah/ insaniah). Pilihan di tangan mereka. Mereka yang akan mencorakkan tanah gugusan itu. Itu juga hak mereka sebab itu adalah tanah air mereka. Untuk menasihati mereka, saya pula bukan manusia yang layak berkempen kerana tanah air saya jauh di selatan.

Cuma dari kejauhan apa yang boleh saya katakan ialah pilihlah yang kekal abadi hingga bermanfaat di negeri akhirat iaitu pembangunan modal insan. Pembanguan duniawi akan hilang seperti mana tanah Gaza, Palestin yang kini sedang dihancurkan oleh israel laknantullah.

Ini pandangan peribadi. Saya kira, sudah cukuplah pembangunan yang sedia ada di gugusan tanah itu. Dengan kekayaan minyak yang dianugerahkan Allah SWT itu, apalagi yang perlu dibangunkan? Pagar sekolah berharga jutaan ringgit, lebuh raya pantai timur diputuskan di sempadan, masjid, replika masjid dan macam-macam lagi seperti cendawan tumbu. Apa lagi yang hendak dibangunkan? Mungkin atas limpah kekakayaan itu, kerajaan umno akan membina tembok penghadang banjir sehebat tembok besar cina pula supaya K. T'gnnu tidak dilanda musibah bencana alam banjir pula. Hebat sekali gagasan ini.

Berkata pula timbalan memanda menteri yang menerajui kempen di tanah gugusan itu bahawa, "Perjuangan kita penuh kesederhanaan. Kita akan membantu tanpa mengira kaum dan seadilnya." Menarik sungguh retorik itu seperti menelan gula-gula yang manis di mulut tapi tidak pernah mengenyangkan.

Sesekali, ketika berkempen itu,kita juga perlu bermuhasabah diri. Cakap-cakap seperti ini boleh menjejaskan akidah dan iman Islam kita. Renungkan kembali dialog ini dan tekalah siapa yang melontarkan dialog ini ketika berkempen; "tanpa kerajaan UMNO tidak mungkin rakyat boleh hidup bahagia seperti hari ini. Hanya kerajaan UMNOlah yang mampu memberikan nikmat hidup aman dan bahagia seperti hari ini." Renungkanlah dengan sikap takwa muslimim kita. Saya juga bukan seorang mufti yang menjatuhkan hukuman.

Pilihan di tangan anda. Sebelum tanah air kita dilakna menjadi seperti Gaza dan Palestin; dihancurkan oleh yahudi, ingatlah ketika berkempen bahawa kuasa Allah SWT lebih mengatasi segala-galanya. Takutlah dengan ungkapan 'KUN FAYAKUN ALLAH'.

Jangan nanti kita menjadi seperti gambar di atas; mengutip cebisan al-Quran di sisi sisa-sisa masjid yang hancur. Allah telah banyak memberikan peringatan, tetapi kita sahaja yang lupa kerana gelojoh berkempen.

YA RABB, SELAMATKAN TANAH GUGUSAN TIMUR ITU.

Jumaat, 9 Januari 2009

SALAM ANTIPPSMI DAN ANTIISRAEL


SALAM ANTIPPSMI DAN ANTIISRAEL

i.

Apabila Menteri Pelajaran Malaysia tegar dengan keputusannya; senyum sambil menghina perjuangan orang lain yang sedar akan maruah bahasa kian tergadai; makanya siapakah dia pada waktu ini? Adakah dia pejuang bangsa dan bahasa yang kita harap-harapkan? Adakah kita berjiwa Melayu tulen? Adakah dia sang munafik yang beragenda tersembunyi untuk menghancurkan bahasa dan bangsa dengan kuasa di tangannya? Adakah dia seorang pelacur bahasa? Adakah dia seorang retorik Melayu terakhir? Adakah dia musang berbulu ayam? Atau siapakah dia pada hari ini di mata orang Melayu tulen yang bermaruah?

Keputusannya bahawa kenapa kita perlu tergopoh-gapah menakut-nakutkan kerajaan, mendesak kerajaan atau memaksa kerajaan sedangkan perkara itu masih dalam perbincangan dan keputusan muktamad pada tahun 2010 (tahun depan) dilakukan? Itu katanya. Tetapi sedarkah kita bahawa ucapan itu telah membuka ruang untuk mengubah keputusan daripada perbincangan demi perbincangan yang telah dilakukan sebelum ini. Setahun bukan jangka waktu yang singkat dan banyak perkara boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.


Bayangkan apa akan terjadi jika kuasa lain mengambil alih tampok kepimpinan negara. DAP misalnya? Tentu ada perkiraan yang lebih penting akan dilakukan.


Wahai, menteri pelajaran dan seluruh warga KPM! Sedarlah bahawa tamadun Melayu kini sedang menuju kehancuran setelah politik wang Melayu tidak terkuburkan malah dihalalkan. Apalagi yang tinggal selepas ini jika semuanya terpak sa atau sedang digadaikan sebagai pertaruhan politik poket sendiri. Tak ada maknanya mengucup kemudian menjulang keris sambil menjerit 'Hidup Melayu' sedangkan dalam masa yang sama mencipta ruang seluas-luasnya kepada kemusnahan bahasa dan bangsa itu sendiri.

ii.


Malam saat membaca kitab The Taste of Hidden Things: Images on the Sufi Path karya Dr. Sara Sviri, tiba-tiba saya tersentak bila mana dia mengupas surah al-Fill dengan begitu menyunggguh dan menarik. Analoginya mudah dan jika dilaksanakan dengan seikhlasnya maka ada petunjuk yang baik daripada amalan itu. Dr. Sara berkisah tentang sejarah surah itu dan berkisah dengan cerita di dalam cerita daripada falsafah surah al-Fill itu.


Sejarah surah ini ialah kisah serangan burung ababil terhadap tentera bergajah yang menyerang tanah Ka'abah. Dengan bantuan tentera Allah, iaitu burung-burung ababil yang membawa batu panas makanya seluruh bala tentera kerajaan jahat itu hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang di makan ulat.

Dr. Sara dalam tulisannya, bermatematik dengan kebesaran surah ini hingga boleh dijadikan doa. Menurutnya lagi, perkara inilah yang dilakukan oleh sebahagian para sufi ketika zaman kerajaan Othmaniah menentang kristian di Turki. Perkiraan Dr. Sara dengan memetik sepenuhnya doa yang diamalkan oleh pejuang Islam itu; iaitu,

"Ya Allah, sebagaimana Engkau pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah musyrikin, maka kami memohon kepada-Mu, Ya Allah, turunkanlah bantuan-Mu kali ini kepada orang orang Islam. Hancurkanlah mereka yang menentang dan menghalalkan perang kepada agama-Mu. Amin."


Lalu bacalah surah Al-Fill sambil membayangkan kehancuran tentera Yahudi - dengan Izin Allah. Lipat gandakan doa ini, kemudian mintalah 7 orang rakan anda yang lain melakukannya juga . Maka 7 X 7 X 7 X 7 X 7 X 7 X 7 = 823453 orang akan berdoa, kemudian 823453 X 7 = 5.8 juta orang. Insya-Allah akan ikut berdoa berjuta-juta lagi ramainya umat Islamdan memberikan sokongan ikhlas terhadap perjuangan ini.


Sama-samalah kita berdoa agar perjuangan kita dirahmati Allah. Amin.

Khamis, 8 Januari 2009

BOIKOT ISRAEL BOIKOT AMERIKA DAN KUNCUNYA

i. segugus puisi antiyahudi

Mungkin sajak ini akan saya deklamasikan pada malam Baca Puisi PENA nanti. Mungkin juga tidak jika terlalu ramai penyertaan pada malam tersebut. Sebagai tuan rumah, tentunya saya perlu memberi laluan kepada penyair-penyair yang datang dari jauh semata-mata untuk menyatakan sokongan menentang israel.

BERKUNJUNG KE RUMAH KEDAMAIAN

Sahabat,
selamat berkunjung ke rumah kedamaian
membawa iman dan takwa
sejujur dan seikhlasnya
setelah kita mendengar
jerit dan tangis insan
yang puluhan tahun deritanya berpanjangan.

Bom di mana-mana
bom! BOMM! Bommm! bOMMMM! BoMMMMM!
depan BOM!
belakang BOM!
kanan BOM!
kiri BOM!
jeritan di sana-sini
tangisan di sini-sana
bertingkah menyilang ruang
ratapan dan doa adalah penangkis
setelah darah mengalir menuju jihad.

Kita dikejauhan, di sini tanah airku
hanya mampu menumpang sedih
juga berkongsi sengsara
melihat dengan insaf
mendengar dengan taubat
kezaliman demi kezaliman
bermaharajalela tak berakhir
disuburkan dendam jijik
tangan-tangan zionis Amerika dan British.

bom! BOMM! Bommm! bOMMMM!
B
o
M
M
M
M
M!
di mana-mana
di s a n a - s i n i
J E r i T A N N Nnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn
t A N g i S a N N Nnnnnnnnnnnnnnnnnnnn
akhirnya
menyatu di dalam diriku.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Rabu, 7 Januari 2009

ISRAEL, AMERIKA, ENGLAND DAN PPSMI ADALAH YAHUDI YANG TIDAK MENGERTI MAKNA KEMANUSIAAN


Salam antiyahudi.

i: MALAM BACA PUISI PENA

TARIKH: 9 JANUARI 2009
MASA: 8.30 MALAM
TEMPAT: Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Datanglah beramai-ramai ke rumah PENA pada malam Jumaat ini untuk menyatakan pendirian menentang yahudi sempena Malam Baca Puisi PENA. Saudara dijemput untuk mendeklamasikan puisi yang ada hubungannya dengan bantahan atau mengutuk kezaliman zionis yahudi juga perjuangan Amerika dan England yang menyokong kezaliman Israel di bumi Palestin khususnya Gaza.

ii: BARAT DAN HUBUNGANNYA DENGAN PPSMI
Inilah makna yang lebih jelas. Sekarang ini, kerajaan Malaysia sedang meningkatkan usaha untuk menyatakan kebencian peperangan terhadap Amerika, British dan Israel dengan memulaukan hubungan politik, ekonomi dan kebudayaan. Kerajaan Malaysia meminta kita JANGAN bersekongkol dengan negara barat itu. Tahniah kerajaan Malaysia.

Nah, bagaimana pula hubungannya dengan PPSMI?

Adakah kita ingin meneruskan usaha PPSMI ini sedangkan kerajaan Malaysia menentang keras sebarang bentuk hubungan dengan dunia barat khususnya Amerika dan British itu. Apakah maknanya juga apabila rakyat Malaysia sudah menjadi pandai dan menguasai BI dan mereka akhirnya dihina oleh manusia dari wilayah lain. Sudah terang lagi bersuluh, memartabadkan BI dalam sistem pendidikan negara bermakna menyokong perjuangan barat yang zalim dan gila.

Selepas ini apakah yang akan berlaku dengan ekonomi di 2 negara barat ini? Jika dunia lain terus dengan dasar pemulauan mereka, bermakna ekonomi dua negara ini akan jatuh merudum dengan terus sekali. Siapakah yang akan berkerja dengan mereka? Adakah rakyat Malaysia yang hebat BInya akan mengisi kekosongan itu?

Tun Mahathir memberikan cadangan agar kerajaan jangan berurusan dengan US dollar ($US). Datuk Makmur mendesak agar usahawan dan rakyat Malaysia jangan membeli produk atau barangan jenama Amerika dan British. Malah OIC juga sedang merancang perdagangan yang bebas daripada cengkaman Amerika dan British. Dan, banyak lagi rancangan yang sedang diusahakan oleh banyak pihak untuk melumpuhkan aktiviti dan hubungan antarabangsa dengan dua negara ini. Adakah nanti rakyat Malaysia yang pandai matematik dan sains dalam BI akan dihantar ke sana oleh KPM? Inilah malang nasib bijak pandai orang Melayu yang berada di KPM itu; konon menentang kezaliman yahuid (Amerika, British dan Israel) tetapi membuka ruang seluas-luasnya kepada PPSMI.

Soalnya, kenapa kita masih ingin mengekalkan PPSMI sedangkan kita sudah ketahui bahawa tiada maknanya lagi kita memberi kepandaian kepada pelajar kita untuk menguasai BI sedangkan penggunaannya amat terbatas dan tidak langsung bermanfaat?

Bukankah jawapan kepada penentangan PPSMI itu terjawab hari ini, iaitu BI adalah bahasa untuk komunikasi sahaja dan bahasa ketiga yang perlu untuk meningkatkan pengetahuan asas dalam kehidupan. BI perlu dinafikan haknya sebagai bahasa penghantar ilmu dalam bidang sains dan matematik. Tiada maknanya bersungguh-sungguh dan beriya-iya, terhegeh-hegeh, bermati-matian mempertahnkan PPSMI sedangkan hari ini, kita semua sudah dapat meneka apakah kesudahannya?

Memulaukan Amerika dan British bermakna kita perlu menghentikan dasar PPSMI segera. Kita juga tidak mahu melahirkan bijak pandai atau rakyat Malaysia yang berfikiran seperti Amerika dan British, iaitu 'matlamat menghalalkan cara'. Pendidikan yang berjati dirikan Islam dan timur akan berjaya melahirkan generasi yang sedar asal usul dan sentiasa bersikap kemanusiaan tinggi. Inilah lambang negara bertamadun yang benar-benar mengekalkan identiti negara sendiri.

Selamat berjuang rakyat Malaysia. Marilah kita menyatakan sokongan padu menentang kezaliman zionis. Kita ditakdirkan tidak diberikan senjata api untuk menentang yahudi. Tetapi, kita ditakdirkan Allah dengan didirikan iman dan azam untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Inilah pilihan kita, iaitu dengan pilihan selemah-lemah iman itu, kita berikan tentangan sehebat-hebatnya kepada penyokong yahudi.

Moga Allah SWT merahmati perjuangan saya ini. Amin.

iii
Sama-sama kita sedekahlah al-fatihah kepada sdr. Mohd Ghazali Tocheh, novelis tanah air yang selamat kembali ke rahmatullah semalam. Berita itu saya terima daripada guru saya iaitu En. Mohamad Saleeh Rahamad petang semalam. Moga rohnya dirahmati oleh Allah SWT.

Al-fatihah juga kepada para pejuang Islam dan insan tidak berdosa yang gugur di bumi Gaza waima Palestin.

Isnin, 5 Januari 2009

SALAM DARI TANAH SHANGHAI DAN ....

i.
Berlatarbelakangkan menara ketiga tertinggi di dunia dan dalam perjalanan di atas kapal menuju pelabuhan Shanghai itu, saya sering memikirkan sesuatu. Kalaulah manusia-mansuia yang menyokong PPSMI itu ada sama dalam kembara ini, tentunya mereka akan terkejut beruk dan terus gila melihat bagaimana negara China yang tidak memberi ruang langsung kepada kebebasan bahasa Inggeris itu maju dan hebat. Negara yang tidak pernah berkompromi dengan Inggeris itu, kini menjadi negara terpenting sebagai kuasa ekonomi dunia. Dengan mempertahankan bahasa Cina mereka boleh mencipta kapal angkasa seterusnya menghantar angkasawan ke bulan serta melihat cakerawala lainnya.

Inilah hebatnya bangsa yang mempertahankan bahasanya. Mereka adalah bangsa yang tidak pernah tunduk kepada kekuasaan barat. Mereka yakin dengan bahasa ibunda mereka hingga berjaya menawan dunia dengan ekonomi dan budaya. Hari ini, mereka berazam pula untuk menakhluki dunia dengan bahasa dan IT. Slogan "berikan kami lima tahun untuk menakhluki dunia dengan bahasa" tergantung di mana-mana. Bayangkan, bertapa yakinnya mereka terhadap bahasa ibunda mereka sendiri.

Pengalaman saya ialah "sehebat mana sekalipun BI kita, masyarakat dunia luar mula memandang kita sebagai para pesubahat/ penyokong teroris/ polis dunia yang rakus dan biadap serta tidak berperikemanusiaan." Begitulah hinanya masyarakat luar melihat keangkuhan barat. Sedangkan pemimpin kita mengandaikan bahawa pelajar kita akan ketinggalan jika tidak belajar BI. Kenyataan biadap ini seakan menafikan hak dan kekuatan bahasa Melayu di bumi tanah Melayu (Malaysia) sendiri.

Ini bermakna, jika kita menyokong perjuangan PPSMI bermakna terdetik di dalam hati kita menyokong perjuangan Barat yang ingin memusnahkan keamanan dunia dengan agenda yahudi.

Kepada para penyokong PPSMI, pergilah ke luar negara sambil melihat dengan mata iman dan mendengar sendiri dengan telinga takwa akan bertapa negara maju lain mula tidak percaya kepada kehebatan bangsa dan bahasa Inggeris itu.

Pergilah sambil berseronok kemudian fikirkan kebenaran ini.

ii

Diapit sasterawan Indonesia iaitu bapak Budi Dharma dan sasterawan Malaysia, saudara Malim Ghozali PK sewaktu Majlis Diskusi Karya di DBP baharu-baharu ini banyak mengajar saya makna kesabaran dan ketekunan berkarya. Pak Budi yang serius dalam esei dan cerpen segera mengingatkan saya kepada teori 'pembalikan cermin' sementara abang Malim saya lihat lebih dekat dengan teori 'kebenaran mutlak' (the truth). Gandingan kedua-duanya dalam satu majlis itu berjaya menemukan titik 'firasat Melayu'.

Saya mula melihat pemimpin bangsa sendiri menafikan 'kebenaran', sementelahan tidak cuba belajar 'firasat Melayu' yang sebenar.

Jumaat, 2 Januari 2009

MENJAWAB BEBERAPA PERTANYAAN

Salam 5 Muharam.

Saya jarang ingin menjawab atau mengulas pertanyaan/ catatan kecil yang masuk ke kotak bicara blog saya ini. Memandangkan beberapa pandangan yang dilontarkan itu sedikit keliru dan menyesatkan, maka saya perlu menjelaskan sedikit kekelituan itu.

Sdr. Kamikaze (yang Melayu tidak, Arab tidak dan Jepun pun tidak),
Saya akui bahawa Bahasa Arab adalah bahasa syurga, bahasa al-Quran dan bahasa yang akhirat. Sementara bahasa Melayu hanya bersifat duniawi sahaja. Nah, cuba bayangkan apakah yang akan terjadi jika bahasa duniawi itu ditindas sebagaimana negara Iraq, Palestin dan mana-mana dunia yang mengadaikan maruah bahasa dan bangsanya hari ini? Bolehkah kita sama merasa nikmat hidup yang selesa? Kehidupan dunia adalah jambatan keandian hidup di akhirat. Jika di dunia kita tertindas, sejauh manakah kita dapat meningkatkan keimanan untuk akhirat? Di negara itu, bukan sahaja bahasa malah lebih daripada itu sama-sama kita dapat lihat masjid, hospital dan rumah kediaman dibom, dihancurkan dan dimusnahkan. Tergadainya maruah bahasa maka akan bermula detik awal kepada kemusnahan sebuah negara. Saksikan sendiri 10 tahun daripada hari ini jika kita terus-terusan menyokong penjajah. Itu sebab, Jepun, Korea, China dan Rusia tidak memberi ruang atau berkompromi kepada Barat.

Ingin saya bertanya kepada kamikaze, apakah kelemahan sistem pendidikan sebelum ini? Bukankah dengan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu, kita boleh belajar hingga ke menara gading dan menikmati peluang belajar di luar negara? Lemahkan sistem itu? Malah kita berbangga kerana dapat berinteraksi dengan orang barat bahawa BM adalah bahasa ilmu tinggi yang dapat membawa saya ke UK, Eropah, Jepun, atau mana-mana IPT hebat dunia. Itulah kebanggan saya ketika belajar di sana suatu waktu dahulu, meski pun dalam tempoh waktu yang singkat. Ketika berinteraksi dengan sarjana barat dan timur tengah; mereka menyokong dan menyanjung sistem pendidikan negara kita ketika itu, yang katanya, "beruntung sdr berada di dalam sebuah negara yang memartabadkan bahasa ibunda. " Kesan daripada sistem pendidikan itu, kita dapat melahirkan lebih ramai orang Melayu yang berjaya dan berjati diri Melayu.

TERUS TERANG SAYA JELAS BAHAWA HANCUR BAHASA BERMAKNA HANCURLAH BANGSA.

Cikgu BI: maaf jika bermain dengan tanggapan mengejar kebendaan. Jika ini perkiraan Cikgu BI, saya doakan selamat menempuh kekayaan dan berpindahlah ke England kemudian juallah segala harta dan khazanah Melayu yang ada. Rakan-rakan cikgu BI di sekolah akan cepat kaya dan disanjung oleh mereka. Pilihan di tangan rakan-rakan cikgu; jika kebendaan yang mereka cari tentu mereka akan mendapatnya. Selamat menjadi jutawan dengan mengadai maruah bahasa dan bangsa. Saya doakan cikgu-cikgu yang berfikiran mengejar kebendaan itu akan berjaya.

Budak t3: Sebagai pendidik, saya sedar BI itu penting dan saya tidak pernah menafikan bertapa pentingnya BI dalam bidang ilmu. Cuma saya kecewa dan sedih apabila KPM tidak tahu membezakan fungsi BI itu sebagai bahasa komunikasi atau bahasa ilmu? Menyokongnya bermakna saudara mengakui kebodohan yang berterusan.

Omar dan Sarip: Saya ingin bertanya secara jujur kepada saudara, adakah bangsa asing di negara kita mengguna pakai bahasa Melayu secara seikhlasnya? Kenapa kita beriya-iya ikhlas dengan mereka sedangkan mereka menikam kita dari belakang? Begitu juga halnya dengan penjajahan Inggeris, setelah 50 tahun merdeka, rupa-rupannya saudara Omar masih tidak faham jeritan "merdeka! merdeka! merdeka!" yang dilaungkan pada setiap kali tanggal 31 Ogos itu. Apa maknanya berfikiran secara positif jika terang-terangan dasar itu salah.

ii
Tanyalah kepada orang yang bijak pandai dalam bidang pendidikan (profesor atau bitara ilmu), semuanya akan bersetuju bahawa bahasa ibunda adalah bahasa terbaik dalam proses pembelajaran. Bahasa asing (bahasa kedua atau bahasa ketiga) adalah pelengkap kepada proses perkembangan ilmu.

iii
Seperti yang selalu tegaskan sebelum ini, bidang pendidikan bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan, dirasuahkan, diremehkan, disendaguraukan atau diperkotak-katikkan. Bidang pendidikan adalah bidang ilmu yang bertujuan untuk memberi kepandaian kepada manusia, untuk menjadi manusia berpengetahuan dan dapat mengarungi kehidupan masa depan yang lebih baik.

iv
Saya tidak mahu menjadi bangsa yang terhegeh-hegeh mendaulatkan bahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu (bahasa saya) sudah terbukti mempunyai kekuatan tersendiri. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa penjajah suatu waktu dahulu. Hari ini, kenapa kita tiba-tiba takut dan menafikan kehebatan bahasa Melayu?

Jika jalan menyerah ini yang kita pilih, bermakna SELAMAT MENUNGGU KEHANCURAN MELAYUKU.

Maafkan saya kamikaze, budak t3, Omar dan Sharif. Terima kasih juga kepada yang lain kerana sudi membaca dan memberi sokongan.

Salam sebuah hijrah.