Khamis, 28 Mei 2009

Chin Peng: Antara Komunis dan Derita Bangsa


Gambar: Chin Peng

KETIKA keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) di tanah Melayu, saya masih belum dilahirkan. Saat itu, saya masih berada di ruang 'lukmahfus' roh azali dan kudrat Illahi. Hal ini bermakna, saya tidak merasai derita bangsa dan negara akibat kezaliman PKM. Saya hanya membaca dan mendengar kisah-kisah dari para gemulah dan ayahanda saya sahaja. Kata mereka bahawa PKM ini jahat dan zalim; tidak berperikemanusiaan. Itu kata ayah dan itu cerita gemulah saya.

Tiba-tiba hari ini, saya mendengar berita bahawa keganasan itu perlu dibalas dengan nilai kemanusiaan. Mana tidaknya apabila GERAKAN melalui Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, DAP dan PKR mendesak kerajaan supaya bersikap perikemanusiaan terhadap ketua bekas parti itu iaitu Chin Peng.

Wajarkah Chin Peng diberli ruang dan nikmat untuk merasai keamanan dan kebahagiaan Malaysia selepas berpuluh-puluh tahun dibuang kerakyatannya (baca berada di selatan Thailand)? Tentunya jawapan ini amat tidak disenangi oleh keluarga ATM atau PDRM yang terkorban, tercedera, hilang keupayaan anggota dan macam-macam lagi akibat kezaliman dan kerakusan PKM itu.

Saya percaya, tindakan PM menolak secara baik dan rasional permohonan itu wajar dipuji. Inilah tindakan dan keputusan tegas yang bijaksana. Kemanusiaan manusia ada had dan batasnya. Kemanusiaan manusia ada timbang tara dan kayu ukurnya. Kemanusiaan manusia juga ada batas sempadan dan budi bicaranya. Tetapi di dalam hal ini, kita tidak berkompromi. Saya bimbang, memberi peluang kali ini akan menyebabkan peluang-peluang lain menjadi terbuka hingga memudaratkan keharmonian negara.

Bacalah di mana-mana buku sejarah; PKM merupakan satu pertubuhan haram yang agresif dan 'berani mati'. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja demi 'matlamat' yang terlalu palsu.

Saya bersyukur kerana cerita-cerita gemulah dan ayahanda saya tentang PKM masih segar dalam ingatan. Mudah-mudahan, kita semua dapat mengarifi kisah Shamsiah Fakir atau sesiapa sekalipun yang diceritakan oleh Said Zahari mahupun seperti yang terhimpun di dalam kisah 'Bukit Kepong'.

Mari kita pertahankan keamanan, kebahagian dan keharmonian negara kita.

Rabu, 27 Mei 2009

PPSMI: ANTARA KEPUTUSAN, GESAAN DAN PAKSAAN


Gambar: Baharuddin Kahar, S.M. Zakir, aku dan Mohd Saleeh Rahamad selepas menyerahkan memorandum PENA (Desakan Mansuh PPSMI) kepada TPM di majlis anjuran ITNM di Putrajaya.


SEMALAM, TPM menyatakan bahawa beberapa minggu lagi keputusan sama ada PPSMI akan dimansuhkan atau diteruskan akan diumumkan setelah diputuskan oleh kabinet/ parlimen, dalam ucapannya ketika berdepan dengan NGO pertubuhan-pertubuhan Cina iaitu;

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) dan Malaysian Seven Major Clans Association.

Lima pertubuhan Cina lain adalah Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia, Nanyang University Alumni Association of Malaya, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Beliau memberikan jaminan untuk membuat keputusan secepat mungkin setelah memanjangkan tempoh kajian dan perbincangan. Saya melihat hal ini secara positif dengan harapan yang juga lebih seribu kali positif.

Nampaknya, setelah pertemuan dalam majlis anjuran ITNM di Putrajaya minggu lepas (yang turut melibatkan pertemuan peribadi antara TMP dengan sasterawan-sasterawan negara) seakan ada bayangan jawapan yang terkesan.

Mudah-mudahan dengan gabungan Resolusi PPMN 2009 dan desakan-desakan pihak tersebut, harapan kita untuk memartabkan semula Bahasa Melayu akan terlaksana. Saya berpendirian tegas iaitu, impian untuk mengembalikan semula maruah bahasa Melayu yang tercalar hari ini terletak di tangan kuasawan (politikus UMNO). Di tangan merekalah semua itu bermula dan di tangan mereka juga masalah ini perlu dikembalikan atau diselesaikan.

Gabungan tenaga orang muda dan tua di dalam PENA, GAPENA dan GMP bertujuan murni dan cinta akan bahasa dan bangsanya. Jiwa dan hati nurani mereka amat pedih setelah sekian lama diperkotak-katikkan oleh ketamakan dan ketirisan warisan sejarah. Inilah gerakan ikhlas pencinta keamanan dan kesatuan konsep 1Malaysia. Fahamilah kejujuran ini.

Saya berharap setelah TPM mendengar suara hati orang Melayu, mendengar cakap orang Cina dan mendengar kegusaran orang India, mendengar rintih dan rayuan orang kampung; makanya dengan harapan yang tidak dipaksa oleh mana-mana pihak KEMBALIKANLAH MARUAH BAHASA MELAYU: MANSUHKAN PPSMI.

Bahasa Melayu sudah sekian lama gagah perkasa di persada dunia jadinya tidak perlu lagi untuk diperkasakan (baca harapan Hishamuddin, mantan menteri pelajaran); yang lebih penting ialah mempertahankan maruah dan kedaulatan bahasa Melayu.

Yang perlu diperbetulkan hari ini ialah sikap ketidakpercayaan kepada bahasa Melayu perlu digikis dan dibakulsampahkan. Pertahankan sikap kecintaan kepada bahasa gemulah kita.

Selasa, 26 Mei 2009

SELEPAS PPMN'09 BERLALU

TAHNIAH PENA. TERIMA KASIH DBPKL-DBPWS. TERIMA KASIH MBMB. TERIMA KASIH ASWARA, terima kasih Wan Zaidah, terima kasih adikku Saifulizan Yahaya dan Mohd Lutfi Ishak dan terima kasih juga kepada S.M. Zakir (baca En Saleeh Rahamad; terima kasih juga meski terpaksa menggigit jari sebab dia seorang aja berasa tua sedangkan wak Saring, pak Ibrahim dan ayahanda Ahmad Razali tak pernah berasa tua).

Waktu ambil gambar tu, saya di mana ya?

Perhimpunan ini membuktikan bahawa bulat kata kerana muafakat. Inilah komitmen tinggi yang berjaya dibuktikan dalam ruang fikir 'kembali kepada fitrah dan kesyumulan Islami' (sila baca ucap utama Dr. Anwar Ridhwan); anak-anak muda yang tampil dengan gagasan al-Quran dan hadis terserlah budi fikir dan santunnya. Saya lihat ini petanda baik untuk mengembalikan semangat Islami yang sedikit kusam pada era 90-an sastera Malaysia.

Bersama-sama Dato' Baha Zain, beliau menyuarakan bahawa PENA perlu menghimpunkan kembali penulis-penulis yang pernah mencipta nama pada tahun 80-an seperti Rosli K. Matari, Awang Abdullah, Mochtar Awang, Azmi Yusuf, Daeng Ramli Akil, Wan A. Rafar, Siti Zainon Ismail, Zurina Hassan, Marsli N.O, Naffi Mat, dan lain-lain kerana mereka adalah ahli PENA. Kejayaan PPMN saya kira benar-benar mengembirakan Dato Baha Zain (beliau tunggu hingga pagi Ahad dan terpaksa pulang awal kerana ada hal keluarga yang mendesak).

Saya tidak memutuskan jawapan pada waktu itu. Duduk bersantai bersama-sama Dato Baha disaksikan kolam dan kicau burung pada senja yang nyaman; membawa ingatan saya kepada penulis-penulis 80-an yang berjuang mencipta gagasan Perhimpunan Penulis Muda di Padang Merbuk, Langkawi dan Kelantan (sayangnya saya tidak pernah mengikuti kesemua perhimpunan itu kerana kedaifan diri tentang sastera).

Harapan Dato Baha Zain terhadap penulis-penulis Malaysia amat tinggi. Harapan terhadap kesinambungan dan kegemilangan masa depan sastera berulang kali diluahkan kepada saya pada senja itu. Saat itu, saya terbayang dosen saya iaitu, En Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali dan Rahimidin Zahari sebab penulis-penulis yang disebutkan oleh Dato Baha itu adalah rangkaian mereka. Mungkin mereka bertiga boleh menjadi penggerak untuk menghimpunkan kembali penulis era 80-an itu (baca saya kira /agak-agak aja: saya dan S.M. Zakir waktu itu hanya menjadi peminat dan pembaca sastera era 80-an sahaja - mungkin kami masih itu berada di arus pinggiran sastera Malaysia). Bagus juga idea Dato Baha itu, insya-Allah nanti akan saya panjangkan kepada rakan-rakan.

Berbalik kepada PPMN, alangkah baiknya jika kertas kerja yang berjumlah 19 itu dibukukan. Inilah khazanah dan bukti kejayaan anak-anak muda Malaysia dalam bidang Kesusasteraan Melayu.

Terima kasih semua yang terlibat.

Isnin, 25 Mei 2009

PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KE-2, 2009


TAHNIAH saya ucapkan kepada warga PENA dan teman-teman daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP KL dan Wilayah Selatan) atas penganjuran Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009. Perhimpunan ini telah berjaya menghimpunkan sejumlah penulis muda tanah air yang mempunyai altizam dan komitmen tinggi terhadap sastera Melayu.

Rasanya, tidak perlu saya sebutkan satu persatu nama rakan-rakan yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Tahniah dan terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada AJK PPMN. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi fikir yang disumbangkan tuan-tuan bagi menjayakannya.

Bersama-sama rakan-rakan AJK, kami berkumul sambil membincangkan resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak-pihak tertentu. Antara kesepakatan yang termentri dan setuju untuk dipanjangkan itu ialah;

  1. Mendesak penghapusan PPSMI segera dilakukan oleh KPM.
  2. Menerbitkan 40% karya sastera penulis muda Malaysia.
  3. Mewujudkan sekretariat tetap penulis muda
  4. Kementerian Belia dan Sukan perlu mewujudkan dana khas bagi mengiktiraf golongan penulis
  5. Meminta kerajaan mewujudkan anugerah Sastera Penulis Muda
  6. Mendesak kerajaan mewajibkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.


Resolusi ini diharapkan dapat membuka mata pihak-pihak tertentu supaya memandang sumbangan yang diberikan oleh penulis-penulis muda Malaysia ke arah pembentukan sebuah negara bangsa atau 1Malaysia.

Saya melihat PPMN kali ini lebih terbuka sifatnya meskipun idealisme itu masih terpendam di dalam dada. Gagasan dan harapan yang diperjuangkan perlu diteruskan meski selepas ini banyak laluan berliku bakal diredahi. Nampaknya usaha dan kepercayaan PENA terhadap sekumpulan anak-anak muda ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka yang menentukan arah perjuangan masa depan sastera dilihat berjaya meyakinkan kami.

Insya-Allah, selepas ini ada banyak lagi aktiviti yang akan melibatkan penulis muda. Cuma, apa yang diharapkan ialah idelaisme dan gagasan perlu seiring dengan sebuah kemuafakatan yang murni. Masa depan sastera Melayu adalah di tangan anda. Lakukanlah yang terbaik sementara mendapat naungan bumbung DBP-PENA atau mana-mana persatuan penulis.

Malam tadi, saya senyum sendirian apabila mengingati semula PPMN di Puteri Resort, Ayer Keroh itu.



Rabu, 20 Mei 2009

Kota Buku mercu tanda baru KL


PUTRAJAYA 19 Mei – Kota Buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini untuk membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, projek itu yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumpulkan para penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Menurutnya, bangunan untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan kerja-kerja pengubahsuaian dengan kos kira-kira RM20 juta akan dimulakan tidak lama lagi dengan sebahagiannya dijadikan Muzium Guru manakala sebahagian lain sebagai Kota Buku.

“Kota Buku akan memberi peluang kepada Kuala Lumpur menjadi pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku.

“Ia merupakan satu projek untuk memberi galakan dan dorongan bagi memajukan bidang penerbitan dan kesusasteraan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pertemuan dengan para sasterawan negara di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sukatan pelajaran sastera di sekolah akan digubal dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan bidang sastera tempatan menerusi sistem pendidikan.

Jelasnya, antara langkah yang akan diambil adalah mengenal pasti jenis-jenis buku yang boleh digunakan di sekolah sebagai bahan sastera baru.

Muhyiddin sebelum itu melancarkan koleksi 28 judul buku terjemahan siri sastera Malaysia.

Ia merupakan sebahagian daripada 100 karya yang diterjemah ke pelbagai bahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang dijangka selesai pada penghujung 2010.

Sebanyak 23 daripadanya diterjemah ke bahasa Inggeris, empat bahasa Perancis dan satu bahasa Sepanyol.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md. Dom; Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.

ii
Selamat menjadi Kota Buku Kuala Lumpur, selepas bulan lalu Kuala Lumpur turut terpilih sebagai Bandar Raya Kebudayaan Islam.

Sebenarnya impian untuk melihat KL sebagai kota buku telah terilham di fikiran saya ketika saya mewakili Malaysia ke Pesta Buku di Frankfurd, di Jerman pada tahun 2002 atas tajaan Majlis Buku Malaysia (MBKM) yang membawa buku saya 'Siri Sastera Astronomi' (2002:UP&D), iaitu buku cerita kanak-kanak bergambar .

Saat itu, "alangkah indahnya jika kota KL boleh dijadikan sebuah kota ilmu," bisik hati kecil saya.
Saat itu, saya melihat buku-buku dan kedai-kedai buku berderet-deretan di bangunan antik yang purba. Semuanya tersergam indah dalam warisan bangunan yang terpelihara. Mengkagumkan.

Itu kenangan masa lalu yng indah dan semalam gagasan kota buku terjelma pula di KL. Imbauan itu benar-benar menyentuh hati nurani saya.

Begitupun ada sesuatu renta yang menarik untuk saya polimikkan di sini. Adakah gagasan muluk itu hanya satu gula-gula untuk mengaburkan harapan memansuhkan PPSMI oleh TPM atau UMNO? Kebimbangan saya seperti yang dikatakan oleh S.M. Zakir sewaktu meredah pulang ke Rumah PENA dalam renyai gerimis ialah, "itu semua konon-konon nak pujuk hati sasterawan aja. Cakaplah apa yang nak dicakapkan. Janji taruk tetap taruk."

Di rumah PENA, selesai solat asar, kami masih berdiskusi tentang sebuah lakonan ataupun pementasan baharu.

Selasa, 19 Mei 2009

PEJUANG BANGSA YANG DAYUS


SALAM.

Judul entri kali ini mungkin agak kasar atau keterlaluan. Tetapi, saya kira, saya mesti menyampaikan yang hak walau pahit.

Kisahnya begini, malam tadi saya menerima email daripadsa seorang rakan yang sedang menyiapkan Ph.Dnya di Havard. Tajuk tesisnya kurang lebih begini; "Undang-undang Islam dalam Budaya Fikir Masyarakat Melayu: Kajian Kulturstudy". Hampir empat tahun rakan saya ini berada di sana. Kajian terbaharunya mendapati bahawa orang Melayu adalah satu-satunya bangsa di dunia ini yang bersifat dayus.

Dayus dalam konteks kajiannya ialah bangsa yang menjual, mengadai dan menyatakan dengan berani prinsip ketidakpercayaan kepada kejituan mahupun kekuatan bahasa Melayu itu sendiri secara TERBUKA.

Ini satu kenyataan dan dapatan yang tidak memeranjatkan saya. Saya menyokong sepenuhnya dapatan kajian ini. Bukti yang paling mudah ialah PPSMI dan yang terbaharu ialah bagaimana Persatuan Teksi Malaysia mewajibkan semua pemandu teksi bandar raya supaya memiliki kelayakan sijil bahasa Inggeris. Apakah yang sedang berlaku di dalam negara kita sekarang ini?

Bayangkan, jika kita menaiki teksi dan pemandunya adalah warga bukan bumiputera lalu kita berkomunikasi. Kita sendiri tidak tahu, bahasa apa yang mereka guna pakai. Bahasa Melayukah atau bahasa rojak? Kini mereka diwajibkan pula berbahasa Ingeris semata-mata untuk menjaga hati pelancong asing. Bagaimana dengan rakyat tempatan yang masih tidak menguasai bahasa Melayu? Bagaimana pula dengan hati dan perasaan rakyat Malaysia yang majoritinya orang Melayu?

Rakan saya yang masih menukang Ph.Dnya itu melepaskan kemarahannya kepada saya kerana saya dikatakan orang yang bertanggungjawab menyebabkan hal ini berlaku secara leluasa. Katanya, saya guru dan pengajar bakal guru. Di tangan sayalah seharusnya hal-hal ini ditangani. Membaca emailnya malam tadi menyebabkan hati saya sedikit terluka. Kenapa saya pula yang dijadikan sasaran kemarahannya?

Saya dengan hati yang terluka itu (marah dalam rindu) membalas emailnya. Email saya pendek dalam bentuk nota ringkas bernombor - saya tulis begini;

1. aku tak bersalah. Yang bersalah ialah bekas perdana menteri kau yang paling kau puja dan sayangi iaitu Tun Mahathir Muhammad.

2. aku tak bersalah. Yang bersalah ialah mantan menteri pelajaran kau yang kau pilih dulu iaitu Hishamuddin.

3. aku tak bersalah. Yang bersalah ialah UMNO yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris hingga tidak percaya kepada kehebatan bahasa dan bangsanya sendiri.

4. aku tak bersalah. Dan nanti jika Ph.D kau siap, aku harap kau bentangkan dapatan kajian kau yang BENAR itu kepada KPM, KPT dan kabinet yang diterajui oleh manusia bernama Melayu. Nanti kau dengarkan pula apa kata mereka.

Saya mendoakan agar rakan saya ini segera menyiapkan Ph.Dnya dan segera pulang ke pangkuan tanah air yang sedang dilanda krisis ketidakpercayaan terhadap bahasa dan bangsa Melayu yang hebat suatu waktu dahulu.

Kepada sahabat saya itu, pulanglah segera dengan dapatan kajian yang setidak-tidaknya dapat membuka mata pemimpin Melayu yang dayus itu.

Ahad, 17 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU


BEBAN tugas dan kesihatan keluarga yang kurang mengizinkan menyebabkan saya agak kurang punya masa santai sejak akhir-akhir ini. Masa untuk melayan keluarga perlu menjadi keutamaan kerana hanya dengan cara inilah sahaja saya boleh berbakti kepada mereka. Esok lusa adalah ketidakpastian yang mendebarkan saat menunggu detik kematian menjengah.

Semalam, 16 MEI adalah hari terpilih untuk warga guru. Tentunya kita dapat bayangkan wajah-wajah guru kita sejak detik pertama masuk ke kamar bergelar bilik darjah. Ada yang mengenal perkatann 'guru' sejak di tadika lagi dan ada pula bermula di madrasah. Yang penting guru itu adalah insan yang banyak mengajar kita tentang erti kehidupan pada hari ini.

Dalam usia saya yang menua ini, saya telah melalui zaman bergelar murid dalam kisah penuh berliku. Bermula daripada sekolah yang berlantaikan tanah (Sk Kg Sri Makmur, Tangkak, Johor- jauh di pedalaman) hinggalah ke menara gading, di tengah-tengah Kuala Lumpur. Semuanya saya lalui dengan keikhlasan hati dan sepenuh jiwa meski pada hari ini ada kesan parut di dahi sebelah kanan akibat dihantuk oleh cikgu Warismito di tiang tingkap kerana tidak lancar menghafal sifir 8, saya ulang tidak lancar bukan tidak menghafalnya. Kepada cikgu Warismito, kini saya juga seorang guru tetapi saya tidak pernah menghantukkan kepala anak murid saya waima menyengkil sekalipun.

Meninggalkan kampung halaman pada usia 18 tahun untuk melanjutkan pelajaran di ITM, Shah Alam dalam jurusan Fine Art, rupa-rupanya tidak selama mana. 2 semester dengan kos pembelajaran yang mahal bagi orang kampung macam saya memaksa saya meninggalkan manusia bernama Awang Damit, Jailani Abu Hassan dan Muliyadi Mahmood. Saya tinggalkan mereka dengan linangan air mata kerana ibu tidak mampu membeli arkilik, oil painting, carkol, set pen teknikal mahupun lincit, kertas dan kanvas. Malah saya meninggalkan nama besar itu tanpa mengucapkan terima kasihpun sebab saya tahu mereka akan marahkan saya kerana saya tidak sabar. Tak apalah, maafkan saya pelukis-pelukis hebat tanah air yang masih barada di ITM (UiTM) jika membaca catatan ini.

Saya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Lembah Pantai (MPLP) dengan harapan yang bercampur-baur. Berbekal duit pinjaman RM200 daripada bapa saudara yang menjadi guru, saya gagahkan hati untuk memaksa diri menjadi guru. Ketika dalam bas ke KL saya berfikir, bolehkah saya menjadi guru? Banyak persoalan yang berjungkir balik dalam ingatan yang berkisar antara guru dan seniman. Menjejakkan kaki di MPLP, saya masih dibelenggu keliru antara cita-cita dan impian; guru atau seniman atau sasterawan?

Berguru di padang datar, dapat rusa berbelang kaki; berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Di MPLP, saya bertemu dengan cikgu Noraini, insan yang pertama kali mengajar saya makna cinta dan rindu. Jika sebelumnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk memiliki cinta; tiga bulan di MPLP saya sudah terdedah dengan diksi 'mabuk cinta'. Berjuang untuk memiliki hati dan perasaannya hingga tamat pengajian bukanlah suatu yang mudah. Tewas, cemburu, makan hati dan merajuk diri tidak dapat lari daripada diriku yang sememangnya diciptakan Tuhan sebagai manusia yang pendiam. Kepada cikgu Noraini, jika membaca tulisan ini; saya masih menagih cinta dan rindu itu. Di MPLP juga, saya sempat berguru dengan penyair Nawawee Muhamad; penyair kawakan yang tegar menelan pahit akibat perjuangan yang tidak direstui pentadbiran MPLP.

Tamat pengajian MPLP, maka bermulakan kerjaya saya sebagai seorang guru di SK Bandar Easter, Kota Tinggi, Johor. Tiga tahun enam bulan di kawasan yang serba baharu dan belum masak membaca persekitaran saya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Bahasa dan Universiti Malaya dalam jurusan khas program berkembar. Bertemu dan serumah dengan Nassury Ibrahim merancakkan saya dengan aktiviti sastera di kota raya. Di samping saya dapat mengenali guru seperti Omar Mamat, M. Kassim Ismail, Hashim Awang, Nik Safiah, Hashim Musa, Hashim Ismail, Zainal Abidin Borhan, Zahir Ahmad, Sanat Md.Nasir, Nuwairi, Norhayati A. Rahman, S. Othman Kelantan, A. Wahab Ali, Abdullah Tahir, Mohd Saleeh Rahamad, Anwar Nor Arai, Raja Mokhtaruddin, Rahman Shaari dan lain-lainnya itu, saya turut menjadi pelajar yang mencuri-curi masuk belajar di Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Ekonomi di UM. Tujuannya tak lain dan tidak bukan kerana ingin menjadi murid kepada Prof Mohd. Zuhdi, Dr. Roslan, Dr. Hamidin Isnin dan lain-lain lagi. Begitulah saya mencuri ilmu mereka hanya kerana ingin mengenali dan mendekati ilmu yang mereka miliki.

Di KL juga saya berkesempatan mendampingi penyair-penyair hebat DBP seperti Pak Samad, Muhammad Hj Saleeh, T. Alias Taib, Sutung Umar RS, Kemala, Jaafar HS, Keris Mas, Usman Awang, Zaen Kasturi, SM Zakir, Rahimidin Zahari, dan lain-lain hinggalah ke hari ini; apabila saya masih lagi menganggap mereka adalah guru yang perlu dimesrai.

Kepada mereka semua, ingin saya ucapkah SELAMAT HARI GURU. Kepada guru-guru yang tidak dapat saya sebutkan namanya satu persatu di dalam tulisan ini, maaf dipinta kerana kelemahan saya untuk mengingati nama-nama tuan semua. Begitupun, tuan-tuan guru boleh berbangga kerana telah berjaya melahirkan ribuan insan yang berjaya dan dihormati. Jasa dan budi baik tuan-tuan guru ini hanya Allah juga yang dapat membalasnya. Saya akan tetap mendoakan agar Allah sentiasa meletakkan diri tuan-tuan guru di makam yang sentiasa dilimpahi hidayah dan dirahmati Allah SWT selama-lamanya.

Tanpa tuan-tuan guru, siapalah saya pada hari ini. Doakan juga supaya saya menjadi seorang guru yang tidak terlupa amanah dan fitrah.

SELAMAT HARI GURU.

Khamis, 14 Mei 2009

DEKLARASI MEI 2009


ADA 2 PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA MEI 2009 INI.

Pertama:
Sejarah 7 Mei 2009 di DUN Perak yang menyaksikan speker dewan dipaksa keluar daripada dewan. Sejarah baharu dalam politik Malaysia.

Kedua:
Sejarah 13 Mei 2009 di Kelantan yang menyaksikan pengumuman Kerajaan Perpaduan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sejarah ketegasan pendirian MB Kelantan itu menolak kerjasama dengan UMNO yang pernah melukakan hatinya.

Meskipun Mei 2009 belum berakhir, tetapi sejarah 13 Mei 1969 iaitu merujuk kepada peristiwa berdarah di Kuala Lumpur itu masih terpahat tegar dalam ingatan warga tua rakyat Malaysia. Ketika peristiwa itu berlaku usia saya baharu 2 tahun lebih dan saya tidak mengingati apa-apa kejadian yang berlaku. Cuma daripada cerita ayahanda dan bonda saya, ketika itu kiyai saya yang bergelar Panglima Saleeh diminta oleh Sultan Johor untuk berada di istana Johor. Itu sejarah daripada lidah dan mulut ayahanda yang saya ingat (betul atau salah saya tidak pasti) sebab saya terlalu kecil untuk mengingati itu semua.

Walau bagaimanapun, kita perlu bersyukur kerana pada hari semalam tiada sebarang perhimpunan yang diadakan bagi mengenang peristiwa berdarah itu. Inilah tanda rakyat Malaysia telah matang dan inginkan perpaduan serta cintakan keamanan.

Tahniah rakyat Malaysia yang masih akur dengan perlembagaan Rukun Negara. Cuma yang tidak akur ialah pemimpin kita yang masih gila kuasa, tamak dan rakus hingga tidak menghormati perlembagaan negara.

Rabu, 13 Mei 2009

CEMPERA POLITIK DAN AIR MATA SASTERAWAN NEGARA


INILAH WAJAH-WAJAH SASTERAWAN NEGARA (SN) KITA . Ada yang telah meninggalkan kita dengan khazanah pemikiran yang hebat; manakala segelintirnya masih punya suara untuk kita dengari dan buah fikir yang boleh direnungtatapi. Inilah perjalanan lain sebuah kembara ilmu sastera di negara bergelar Malaysia.

Saya merenung wajah-wajah itu malam tadi. Saya teringatkan sajak 'Melayu' Usman Awang; Saya terkenang novel 'Rimba Harapan' Keris Mas; saya terkenang cerpen 'Sidang Kucing' Arena Wati dan novel 'Juara' S. Othman Kelantan. Hebat sungguh mereka ini; meninggalkan kita dengan wasiat penulisan yang cukup bermakna. Alangkah baiknya jika karya-karya yang telah bertukar makamnya itu kepada 'wasiat' dihayati sepenuhnya oleh seluruh rakyat Malaysia.

Wasiat ini amat rapat maknanya dengan cerita yang berlaku di Perak kini. Cerita ketamakan dan kerakusan manusia yang bergelar 'kuasawan' untuk menerajui kepimpinan tanah sekangkang kera ini. Alangkah baiknya jika mereka menghimpunkan sasterawan negara yang masih bernyawa dan sihat ini ke Sri Perdana di Putrajaya. Tentunya daripada bual-bual atau sembang kosong itu ada juga perkara yang bermanfaat boleh dikongsikan bersama-sama. Saya bercadang sedemikian kerana daripada wasiat sasterawan negara itu, karya-karya mereka boleh meramal masa depan. Karya mereka telah mengupas apa yang bakal berlaku 20 tahun lagi. Wasiat (karya) mereka telah melangkaui juzuk fikrah kehidupan yang bakal terjadi (baca mereka (SN) bukan Tuhan yang boleh menentukan masa depan) tetapi bayangan yang menjadi kenyataan masa kini.

Hari ini Abdullah Husein, Shahnon Ahmad dan Nordin Hassan sedang bergelut dengan kesakitan. Yang masih gagah dan kuat ialah A. Samad Said dan Muhammad Haji Salleh; merekalah yang berani berdiri dan duduk mewakili suara rakyat untuk sama-sama menikmati politik negara yang sedang bercempera ini. Tetapi soalnya, adakah suara dan jerit bara dua orang SN ini didengari oleh sang politikus negara?

Suara mereka tidak pernah diberi ruang untuk dikumadangkan di dewan parlimen. Mereka menobatkan artis seperti Jins Shamsudin dan mencipta penyair Firdaus Abdullah untuk menjadi boneka baharu di parlimen. Kedua-dua mereka ini kini menjadi manusia yang kosong di hati rakyat kerana tidak membawa suara seniman dan sasterwan tetapi menjual suara kosong di pentas yang rata-ratanya adalah manusia berprinsip kakaktua - cakap dan anggguk tetapi tidak faham apa yang dicakap dan dianggukkan.

Jika SN berani ditarik balik gelaran yang dikurniakan oleh DYMM Agung dalam mempertahankan kedaulatan bahasa dan masa depan pendidikan negara, bagaimana dengan pejuang lain yang bergelar Tun, Dato/ Datuk Sri, Tan Sri, Dato'/Datuk dan macam-macam lagi itu; sanggupkah mereka mengikuti jejak langkah SN ini?

Perjuangan apakah namanya
jika masih berselindung
di balik bayang-bayang dan angan-angan?
Perjuangan apakah namanya
jika masih berlakon dan menari
di pentas sandiwara?

Cempera politik dan air mata sasterawan
akan terus mengalir
di sungai hidup.

Selasa, 12 Mei 2009

SEMENTELAHAN YANG PERLU DIRENUNGKAN.


BEGITULAH satu kisah siasah di negeri bernama Perak Darulredzuan. Kononnya seperti bahtera yang punya dua nakhoda, dua pembesar dan dua shahbandar.; maka pelayaran akan sentiasa tenang. Rupa-rupanya kerana diksi 'dua' itu, makanya bahtera seperti kehilangan tujuan juragan. Justeru, kerana terlalu banyaknya diksi 'dua' itu, makanya suatu sayembara telah diadakan untuk beradu kekuasaan sebelum bergelar 'kuasawan' (meminjam istilah A. Samad Said).

Maka semalam ketika UMNO meraikan ulangtahun ke-63nya, berita kejatuhan dan tewasnya memanda menterinya untuk bergelar nakhoda dalam kerajaan Darulredzuan itu menjadi heboh apabila bapak kepengadilan negara mengumumkan ketewasan itu.

Berita menjadi hangat di permukaan lautan. Bulan yang dulunya berwajah pucat dan muram, kini segera menyinar kembali. Harapan dan sokongan rakyat yang bergelar nelayan, petani, penukang, seniman, budayawan, peniaga, korprat, ilmuan dan semuanya yang menjunjung peribahasa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung mula menarik nafas lega. Kehijauan flaura dan fauna terasa indah di hujung mata dan mengharum di jiwa. Jerit sorak manusia dan kicau mergastua bersahut-sahut hingga ke sempadan tetangga. Demikianlah sebuah gembira yang hilang beberapa purnama dulu kini menggegar kembali.

Mungkin semua ini akan segera berakhir. Ucapan syukur (meski mungkin sementara) dan tanpa berpihak kepada mana-mana parti bakal mengembirakan. Mudah-mudahan peristiwa ini menjadi ikhtibar kepada bangsa dan negara kita meski semuanya telah menjadi sejarah yang tidak boleh didustai.

Demikianlah sebuah kisah pelayaran di tengah lautan yang sentiasa bermain dengan gelombang dan ribut taufan. Bahtera akan teroleng-oleng malah bila-bila akan karam jika bernakhodakan manusia bertopeng KERA berekor SIAMANG.

Isnin, 11 Mei 2009

KL: SEBUAH KOTA RAYA KEBUDAYAAN ISLAM


Wajah KL. Di manakah Masjid Negara?

PENGIKTIRAFAN ini benar-benar memeranjatkan saya. Seorang teman yang lebih mauduk dalam hal-hal kebudayaan dan kesenian Islam kerana diamanahkan oleh kerajaan untuk mentadbir urus hal-hal kesenian dan kebudayaan negara terperanjat dengan penobatan ini. Bayangkan, apa yang sedang melanda siasah pentadbiran negara hari ini; sebahagian manusia mencipta penobatan manakala sebahagian lagi terpinga-pinga dengan kegahan itu. Aneh sekali kerana pekerja-pekerja bawahan tidak tahu bagaimana kerja-kerja juak atasan. Tanpa angin sementalahan musim panas (panas cuaca, panas politik, panas parlimen dan panas di mana-mana) yang sedang melanda negara sekarang ini; tiba-tiba kita dikejutkan dengan pengiktirafan yang benar-benar memeranjatkan.

Kenapa kita bercakap tentang soal-soal KL dan kebudayaan Islam? Bukankah Islam itu syumul dan yang paling tunjang adalah undang-undangnya mesti berteraskan al-Quran dan hadis? Banyak persoalan yang bersimpang siur di lubuk kalbu. Sejauh mana KL melaksanakan undang-undang Islam ini? Jika ya, kenapa bohsia, mat rempit, pelacur, guy, lesbian, dadah, arak, judi, kelab malam, dan lain-lain jenayah masih berpusat di KL? Wah, hebat sungguh kota KL dengan pengiktirafan ini rupa-rupannya!

Secara tersiratnya bermakna, dunia telah memberi lesen menghalalkan maksiat di sebuah kota raya bernama KL. Apakah dengan kehadiran Raihan, Rabbani, Inteam, Hijjaz dan lain-lain itu KL telah bertukar wajah? Filem Islamkah kalau filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam menjadi tayangan wajib di pawagam utama tanah air? Inikah kebudayaan dan kesenian Islam yang ingin ditonjolkan kepada dunia Islam luar? Tanpa berniat untuk membelasah filem ini, saya merenung kembali pengiktirafan yang cukup gah ini apatah lagi KL menjadi kota terpilih selepas
Baku (Republik Arzebaijan), Khairouan (Tunisia), dan N'djamena (Republik Chad).

Terus terang saya katakan bahawa pengiktirafan ini tidak cukup dengan kita memiliki Muzium Kesenian Islam, Pusat Islam, Bank Islam, Pengeluar Makanan Halal Islam, dan memiliki masyarakat Islam yang pelbagai kaum. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dengan semasak-masaknya; contohnya bagaimana dengan kesusasteraan Islam yang suatu waktu dahulu hebat di rantau ini? Di manakah karya-karya sehebat Hamzah Fansuri mahupun Amir Hamzah? Bagaimana dengan bidang seni tampak (lukisan dan ukiran) seperti karya Ahmad Khalid misalnya? Bagaimana dengan pengiktirafan berzanji, marhaban, dan kalimah zikir yang mula tenggelam dalam arus muzik underground?

Walau bagaimanapun, saya perlu melihat juga kepositifan pengiktirafan ini. Mudah-mudahan langkah ini akan mengubah KL menjadi satu kota budaya Islam yang syumul kerana jika tidak bermula hari ini, bila lagi? Mudah-mudahan juga KL akan berubah wajah kepada sebuah kota yang dapat menyaingi Madinah, Cardoba mahupun Basrah atau setidak-tidaknya Istanbul. Saya berdoa di dalam hati agar suatu hari nanti KL akan menjadi sebuah bandaraya yang tidak mempunyai maksiat atau terpadam istilah kota laroh'.

Sama-sama kita berdoa supaya Kuala Lumpur akan berubah wajah.

SYUKUR KERANA KITA MASIH DITEMUKAN LAGI


SYUKUR ALLAHAMDULILLAH KERANA KITA MASIH DITEMUKAN LAGI!

Beginilah sebuah perjuangan yang terpaksa ditelan, diredah dan dinikmati meski pahit. Hampir dua minggu saya hanya menjadi pembaca blog sendiri tanpa boleh menyumbangkan idea mahupun buah fikiran yang mungkin dangkal di dalam sebuah onokum kuasa ketidaktelusan pemikiran. Berada di bawah bumbung akademia yang sentiasa melihat kewajaran dan ketidakwajaran tanpa ketirisan iman dan amal; siasah dan fikrah benar-benar menguji kesabaran. Saya sentiasa melihat hal-hal ini sebagai rencah untuk sebuah masakan yang kemudiannya akan menjadi hidangan suatu hari nanti.

Sepanjang dua minggu tidak dapat mencoretkan sesuatu sebagaimana rutin sebelum ini tidak bermakna saya langsung hanyut di dalam sungai patah hati. Saya masih menulis dan membaca; saya masih dapat menghirup udara segar kurniaan Illahi meski sedikit batuk-batuk kecil menyusul datang dan pergi.

Ketemu lagi kita dengan saya menyelitkan gambar bersama-sama pengarang hebat nusantara iaitu Habirurrahman, Faisal Tehrani dan Dr. Abu Hassan Hasbullah ketika wacana novel Islam di Pesta Buku KL yang lalu.