Saya akhirnya diminta untuk mengumpulkan sejumlah 25 puisi penulis muda Malaysia yang akan diterjemahkan ke BI. Puisi terjemahan ini perlu disiapkan segera untuk dilancarkan di Singapura pada 24 November 2009 sempena Festival Sastera Singapura.
Wah, ini tugas berat yang menuntut pemerhatian dan pengamatan saya. Saya berkira-kira di dalam hati bagaimana cara terbaik untuk memilih sejumlah penyair muda Malaysia yang boleh menggekalkan keunggulan puisi-puisi Melayu nusantara seperi mana tahun 70-an dan 80-an. Seperti yang kita sedia maklum period itu adaalah zaman terbaik penyair Malaysia mencipta nama dalam persada puisi nusantara. Saya terbayangkan nama-nama besar seperti Latif Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar, Mochtar Awang, T. Alias Taib, Suhaimi Hj Muhammad, Siti Zainon Ismail, Zaihasra dan lain-lainnya. Saya juga terbayangkan rakan-rakan sepenyair masa kini. Di manakah saya ketika ini? Sebariskah nama saya dengan mereka itu?
PAGI TADI, saya diundang oleh DBP untuk sama-sama hadir ke Dialog Bersama Ilmuan dan Karyawan. Program yang diadakah khas untuk menentukan hala tuju dan peranan DBP sebagai badan berwajib menjaga maruah bahasa dan sastera Melayu. Kehadiran yang menggalakkan itu dirancakkan dengan beberapa pandangan sarjana mahupun penulis. Pandangan Dato Hassan Ahmad, Dato Kemala, Prof Dr. A. Wahab Ali, Dr. Azizah, Dr. Noorfaridah Manaf, Dr. Hashim Ismail, En. Saleeh Rahamad, S.M. Zakir dan tidak lupa cikgu Awang Abdullah diharapkan dapat didengari dengan tulus ikhlas oleh warga DBP, khususnya KP yang baharu itu.
Sebenarnya daripada kedua-dua pertemuan itu, saya cuba membuat banding beza cara berfikir dua orang ketua itu, iaitu seorang mewakili ITNM dan seorang mewakili DBP. Perbezaan yang ketara ialah seorang masih muda dan tentu laju berkerja dengan idea yang sezaman, dan seorang lagi yang telah berusia malah berhadapan dengan birokrasi politik negara yang keterlaluan.
Kedua-dua organisasi ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan nasib sastera dan bahasa Melayu. Kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa nasib warisan bangsa itu terletak di tangan mereka. Dan, kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa jika mereka menentang politik negara bermakna mereka akan tersingkir. Begitulah beratnya kerja dan beban yang ditanggung mereka berdua.
Yang seronoknya, sebelum kami menamatkan pertemuan di ITNM, En. Khir berseloroh. Katanya, "jangan samakan ITNM dengan DBP. Kita akan berkerjasama dengan semua pihak untuk memastikan sastera negara terus ulung." Saya tersentuh mendengar ucapan ikhlasnya itu.
Saya pulang daripada kedua-dua majlis itu dengan beberapa persoalan. Dan, sehingga kini saya sedang memikirkan, apakah yang sudah terjadi kepada DASAR KESUSASTERAAN KEBANGSAAN?
Adakah dasar ini, atau berfungsikah dasar ini jika ada?