Khamis, 27 Ogos 2009

APA KHABAR LIGA (EPL)?


Hari ini, saya nak bercakap tentang pasukan saya yang hampir 15 tahun tidak mempunyai tempat di EPL. Permulaan yang baik musim ini seolah-olah menjanjikan masa depan yang cemerlang.

Kepada peminat MU, Arsenal dan Chelsea, awas! Selepas Liverpool kena belasah, nantikan mangsa seterusnya. Spurs akan mengepakkan sayap dan melibas anda.

Apa khabar Luqman, Shukri, Zaid Akhtar, Rudsi, Hamir? Team anda macam politik Malaysia yang tidak menentu. Ala-ala UMNO aja; bersorak sekampung tapi tewas di gelanggang.

Hehehe.

Salam mengimarahkan ramadhan.

Rabu, 26 Ogos 2009

TAHNIAH WARGA PERMATANG PASIR N.11

TAHNIAH, warga N11, Permatang Pasir. Selamat mengimarahkan ramadhan yang mulia.

Selasa, 25 Ogos 2009

1MALAYSIAKAH KITA?

SAYA sedang membayangkan anak-anak yang terdiri daripada pelbagai kaum ini sedang belajar di dalam satu sistem aliran persekolahan. Maksudnya tiada SRJK(Cina) atau SRJK(Tamil); yang ada hanya satu sistem sekolah iaitu SK (Sekolah Kebangsaan) yang bahasa penghantarnya adalah Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia).

Bayangkan bagaimana riangnya mereka bermain dan berinteraksi? Seperti dalam gambar iklan Petronas ini, mereka gembira menerbangkan layang-layang Malaysia'. Di persisiran pantai bermain sambil menyusun makna perpaduan. Benarkah keharmonian itu wujud atau hanya sebagai satu momokan kosong sahaja?

Oleh itu, wajarkah SRJK(C) dan SRJK(T) dikekalkan di negara ini setelah kita menikmati kemerdekaan yang menjangkau usia 52 tahun? Jika universiti atau mana-mana IPTA/ IPTS berjaya menghimpun dan mewujudkan perpaduan itu, mengapa tidak perpaduan dan keharmonian itu dipupuk sejak anak-anak kecil di bangku sekolah rendah lagi?

Merdekahkah tanah airku?

Isnin, 24 Ogos 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA

KHAMIS JAM 5-7 pm di Rumah PENA, saya dan rakan-rakan (En. Saleeh, S.M. Zakir, Rahimidin Zahari, Amiruddin Ali, Saifulizan Yahaya, M. Ikhram Fadzly, Ijamala MN, Luqman Hakin, Wan Zaidah, Hasbullah, Nazmi Yaakob. M. Lutfi Ishak dan Zalila Isa) mula membuat kerja-kerja awal untuk menjadi tuan rumah kepada program Pertemuan Penyair Nusantara.

Ringkasnya, program ini merupakan program ketiga setelah diadakan di Medan (2006) dan Kendiri (2008). Kedua-duanya berlangsung di Indonesia. Melalui kesepakatan, makanya pada tahun ini Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi tuan rumah. Di tangan PENA, tanggungjawab ini terpaksa digalas dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, beberapa persetujuan dan penajaan perlu diperhalusi sebelum membuat ketetapan.

Pada dasarnya, daripada persetujuan awal, program ini akan berlangsung pada;

Tarikh: 20 -22 November 2009 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)
Tempat : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Peserta : Terbuka kepada semua penyair nusantara mahupun antarbangsa.
Tema: Puisi sebagai Suara Kemanusiaan.
Penginapan: TIDAK DISEDIAKAN
Yuran Pendaftaran: RM20 (untuk antologi puisi sempena pertemuan ini).
Cadangan Pemakalah: SN A. Samad Said, Kemala, Taufiq Ismail, Jamal D. Rahman, Korie Layun Lampan, Suaratman Markasan, Jamal Tukimin, Baharuddin H.O. dll.

Kerja-kerja awal ini memerlukan komitmen yang tinggi. Pengalaman menjadi penganjur beberapa program bertaraf kebangsaan diharap dapat memberikan kekuatan kepada kami untuk terus menjayakan program Pertemuan Penyair Nusantara 2009 ini.

Program ini bolehlah diberitahu juga kepada sesiapa yang berminat. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat berkongsi pengalaman dalam usaha memartabadkan kesusasteraan Melayu.

Salam ramadan 1430H.

Sabtu, 22 Ogos 2009

KE NEGERI TAUBAT

Ke Negeri Taubat

Ramadhan, aku mencari seberkas dosa yang tertinggal. Saat merawat dan membebat luka itu, aku dibawa terbang oleh sayap iman ke negeri taubat. Tetapi sebelumnya, aku sesat di dalam angin dan ketakutan. Ramadhan, kususur jalanmu dengan iman yang menipis.

Shamsudin Othman,
Madrasah Sham al-Johori
1 Ramadhan 1430H

Jumaat, 21 Ogos 2009

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK SALAM MARFIRAH

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur…”

(al-Baqarah, ayat 185)

Esok umat Islam akan mula menunaikan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Bulan yang penuh kemuliaan ini mempunyai hikmat yang amat mulia seperti yang dicacatkan oleh Allah di dalam al-Quran serta diceritakan oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis sahihnya.

Syukur kepada Allah, kerana ramadhan kali ini menemukan saya kembali dengan kemuliaannya. Saya masih diberikan nafas dan tenaga untuk sama-sama mengimarahkan keberkatan ini. Moga ramadhan kali ini dapat mengubah nafsu duniawi saya seterusnya meningkatkan berahi imani yang sejak dua menjak ini tewas oleh hasutan fana alami.

Moga kita sama-sama dirahmati Allah SWT dan mendapat hidayah yang dijanjikan oleh Allah sepanjang ramadhan al-mubarak ini.

Selamat berpuasa dan merebut janji Allah SWT itu. Amin ya rabbilalamin.




Rabu, 19 Ogos 2009

Sajak 'KUDAKAP INGATAN ITU'


KUDAKAP INGATAN ITU

Aku kunjungimu saat kabus
menutup pintu puncakmu
berbekal segugus cinta dan rindu terhukum
oleh kepalsuan dan dendam
seorang lelaki bersayap nafsu
terbang menebak ikhlas hatimu
sambil menulis bait-bait berahi
yang tak tertunai.

Begitulah takdir Illahi
kabut dan hujan lebih memahami
hasrat yang menongkat
nikmat dan impian
resah dalam dakap dingin
tersepit antara renek anggerik
dan decip tiong gunung.

Perlahan-lahan dengan seberkas lelah
aku ketuk pintumu
dengan salam Tun Mamat
antara doa dan air mata
yang bertingkah di celah awan
kulafaz mentera pengasih tujuh helai sirih
kudendang seloka cinta derhaka mentua
saat langkah menyusup adab menyembah.

Gunung Ledang,
kususur sejarahmu
seperti kususur galur diriku
yang hilang dalam helaian
Sejarah Melayu
dan Hikayat Hang Tuah.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Gunung Ledang 31 Julai-2 Ogos 2009

ii
Tuan Rusdi, dah siap 2 sajak. Tugasan dah selesai. Hehehe.
Sajak-sajak lain kena minta dengan syeikh Zakir, Rahimidin, Amiruddin, kanda Shapiai, WB Rendra dan lain-lain. Cukuplah 2 sajak.

Isnin, 17 Ogos 2009

D11- PERMATANG PASIR; ISU PENGKHIANAT BANGSA DIJAJA DAN WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Rohaizat Othman, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man dan seorang calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Penamaan calon pilihan raya kecil itu ditetapkan pada pagi ini.

Seorang kawan yang merupakan anak jati kawasan ini menghubungi saya semalam petang. Dia berkhias kisah akan usaha UMNO untuk merampas jajahan PAS itu. Kisah anggota Polis yang sedang membangunkan pondok keselamatan atas nama kedamaian dan keadilan demokrasi, kisah calon-calon yang mula turun padang berkempen, kisah anak-anak muda yang mula balik kampung juga kisah imam yang tidak bertauliah mula berceramah tentang 'pengkhianat bangsa Melayu'. Masjid dan surau mula dijadikan medan perdebatan tajuk 'pengkhianat bangsa' oleh wakil parti kerajaan pusat. Betul atau tidaknya kisah ini, saya tidak pasti kerana saya berada jauh di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur. Saya hanya mengar daripada corong telepon bimbit saya sahaja.

Blog Azizi Haji Abdullah (Tok Ya) juga menarik dengan berita terkini. Dia orang Penang, tentunya cerita dia lagi tepat. Hal-hal sebegini, hanya orang tempatan sahaja yang lebih arif. Saya penunggu kepada cerita demi cerita yang bakal menjelang. Saya menunggu janji-janji yang bakal ditaburkan. Saya menunggu pembangunan demi pembangunan yang akan dicanangkan.

Begitupun, apa yang saya harapkan ialah kata-kata dan harapan Tun Abdullah supaya PAS dan UMNO berhenti daripada menghina Islam itu perlu difahami secara serius oleh kedua-dua pihak. DAP, MIC, MCA, PPPP adalah parti yang kita ketahui bukan berpihak kepada Islam. Oleh itu, memang tidak hairan mereka menghina Islam. Mudah-mudahan, kedua-dua parti ini yang majoritinya Melayu-Islam dapat mempertahankan Islam dengan ikhlas dan sejujur-jujurnya.

Persoalan pengkhianat bangsa bagi saya adalah isu basi. Kenapa apabila tulisan jawi dimansuhkan, orang Melayu tak kata UMNO (Khir Johari) pengkhianat bangsa? Hari ini, kita masih boleh melihat akhbar bertulisan cina dan tamil di Malaysia. Di mana surat khabar bertulisan Jawi di Malaysia ketika usia kemerdekaan negara mencecah 52 tahun. Tulisan Jawi adalah sinonim dengan tulisan al-Quran. Nah, apabila tulisan jawi dimansuhkan di dalam sistem pendidikan negara makanya jiwa dan roh al-Quran juga turut mati sama. Kenapa UMNO Baru hari ini tidak mencanangnya sebagai pengkhianat bangsa dan agama?

Ada yang beranggapan bahawa tulisan hanya huruf yang tidak bermakna apa-apa? Sedarkankah kita bahawa tulisan adalah hasil artifak warisan bangsa. Atas sikap UMNO yang takbur itulah menyebabkan kadar jenayah kian meningkat, arak dan dadah, judi dan telek nasib bermaharajalela di mana-mana. Puncanya hanya satu iaitu, bermula daripada pemansuhan roh al-Quran itu tadi.

Saya amat berharap agar TPM yang merupakan menteri pelajaran dapat mewajibkan semula penggunaan tulisan jawi. Jika di sekolah (SJKC/SJKT) aksara Cina dan Tamil masih hidup subur, suburkan juga tulisan jawi di sekolah kebangsaan (SMK/ SK) yang majoritinya anak-anak Melayu.

Kembali kepada D11 Permatang Pasir. Ketiga-tiga calon yang bertanding adalah Melayu. Siapakah yang mewakili parti 'pengkhianat bangsa' sebenarnya? Jawapannya ada di mana-mana? Paling tidakpun di dalam diri kita sendiri yang hanya manjadi pengamal kepada 'budaya lihat dan dengar' sahaja tanpa berani menyatakan kebenaran walaupun pahit.

Mari kita baca sekali lagi wasiat Raja-Raja Melayu ini.

Berikut ialah 7 Wasiat Raja-Raja Melayu
  1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain.
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauaqn dalam negara dan ancaman luar.
  4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
  5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Inilah wasiat Raja-Raja Melayu. Rupa-rupanya wasiat Raja-Raja moden lebih pelik berbanding wasiat / waadah sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun.

Saya musykil, musykil, musykil.


Jumaat, 14 Ogos 2009

TENTANG PENGHINAAN TERHADAP ISLAM


SAYA mulakan entri hari ini dengan memetik surah al-Alaq: ayat 3-4 yang maksudnya; "Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Pagi tadi seorang teman masuk ke bilik sambil marah-marah tentang pendirian Musyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Nik Aziz. Katanya bahawa musyidul am itu sanggup bersekongkol dengan DAP untuk menghina Islam khususnya Nabi Muhammad saw. Saya hanya mendengar kemarahan dan kritikan itu, sambil menyelak buku "Menjadi Kekasih Allah" tulisan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (begitulah rutin saya saban hari, sampai di pejabat sekitar 7.30 pagi, saya akan membaca kitab-kitab agama sekitar 1/2 jam; kemudian baru saya melayari internet).

Sahabat saya itu menyindir dan mengherdik saya tentang perjuangan PAS. Dia menunjukkan juga akhbar harian kerpada saya. Wajah tokoh-tokoh UMNO terpampang dengan ulasan masing-masing. Saya hanya menjeling sahaja dan di dalam hati berdetik, "bilalah mamat ni nak keluar dari bilik aku?"

Tanpa ingin mengulas panjang sebab saya bukan ulamak atau bijak pandai ilmu tasawuf mahupun fiqah apatah lagi hal-hal kesufian, ada lebih baiknya saya mendiamkan diri sahaja.

Saya sendiri tidak faham apa yang sedang berlaku di dalam siasah/ politik tanah air ke belakangan ini. Agama sanggup dipertaruhkan. Maruah diperalatkan. Bangsa diperkudakan. Kepercayaan dan prinsip perjuangan digadaikan. Entah apa-apa lagi selepas ini, saya sendiri tidak pasti.

Saya sentiasa berdoa agar setidak-tidaknya hal-hal duniawi itu dapat ditamatkan segera. Minggu depan Ramadhan bakal menjelma. Surau dan masjid yang dulunya sepi akan kembali meriah dan hidup. Mudah-mudahan pada saat itu, kecelaruan dan hina-nista ini dapat dikurangkan atau ditamatkan terus.

Saya teringat akan Salman Rusdie yang menghina Nabi Muhammad dan Islam suatu waktu dahulu. Novelnya yang membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia itu, kini tidak pasti. Di manakah dia sekarang ini? Adakah dia sudah berada di Malaysia dan fahamannya mula meresap di dalam pemikiran pemimpin kita? Jika ini sedang berlaku, makanya ada balak dari Allah SWT yang bakal melanda rakyat Malaysia. Sudah bersediakah kita dengan dugaan itu?

Ya Hayyum Ya Qayyum, selamatkan aku daripada kemunafikan ini.

Khamis, 13 Ogos 2009

BULAN BONUS dan SELAMAT DATANG RAMADHAN


MINGGU depan atau 21 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430H, seluruh umat Islam akan meraikan kemuliaan bulan ramadhan. Tentunya di dalam bulan ini juga selama 30 hari itu, ada banyak tawaran hebat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Iklan di atas ada memperincikan tawaran-tawaran atau bonus hebat itu.

Dengan motto "REBUTLAH TAWARAN PALING LUMAYAN DARI ALLAH SWT INI SELAGI STOK UMUR MASIH ADA!!!", saya berharap rakan-rakan tidak melarikan diri. Jika kita berebut-rebut ke pusat beli belah untuk meraikan tawaran jualan hebat; makanya tawaran ramadhan ini juga perlu kita raikan bersama-sama.

Saya menerima gambar ini daripada seorang rakan melalui emailnya dua hari lalu. Terima kasih kerana masih sudi mengingatkan saya yang daif dan serba kekurangan ini. Insya-Allah, tawaran ini akan saya manfaatkan sebaik-baiknya apatah lagi apabila merenung usia yang meningkat menuju senja.

Saya petik serangkap sajak saya yang masih tak siap-siap lagi sejak dulu. Sajak tanpa tajuk dan pengakhiran ini sering saya tatap ulang dan bawa ke mana-mana.

Tuhan
usah beritahu detik kematianku
agar cintaku kepada-Mu
tak hilang.


Aku cari cinta-Mu dalam wujudku
Aku rindu kasih-Mu dalam dendamku.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Selasa, 11 Ogos 2009

SASTERAWAN NEGARA KE 10


Penulis bersama-sama Anwar Ridhwan ketika PPMN 2009 di Ayer Keroh, Melaka.

TAHNIAH kepada Dr. Anwar Ridhwan atas kejayaan bergeral Sasterawan Negara. Moga sastera Malaysia akan terus hidup sejahtera. Tahniah juga kepada DBP yang menjadi urus setia atas ketepatan dan sasaran untuk anugerah yang penuh wibawa ini. Tahniah sastera Malaysia. Dan tahniah juga kepada penulis-penulis lain.

Setelah kita kehilangan ramai sasterawan, makanya inilah pengganti yang ditunggu-tunggu.



TENTANG DEMO DAN BUDAYA POLITIK MALAYSIA


PULANG dari Bandung, saya membaca akhabr Malaysia pula. Seperti biasa saya lebih suka membuka tajuk-tajuk rencana terlebih dahulu daripada tajuk berita semasa mahupun sukan. Merenung tulisan mantan wartawan utusan yang kini sudah bergelar mantan menteri penerangan tidak memeranjatkan saya. Dia yang pernah saya temu ramah untuk satu majalah utama pada tahun 1995 dahulu memang tidak pernah saya percaya akan cakap-cakapnya. Begitulah, tulisannya yang tersiap pada hari Ahad 9 Ogos 2009 itu mengingatkan saya kepada tulisan Dr.Ramlah Adam (sejarawan Malaysia). Mantan YB Merbok itu menulis tentang Tunku; rupa-rupanya sewaktu Tunku memerintah UMNO dahulu, banyak demonstrasi yang dilakukan oleh UMNO. Demonstrasi UMNO menentang Malayan Union, menentang Jus sulay, menentang pemurtadan Natrah, dan macam-macam demo lagi. Maknanya demonstrasi dan UMNO adalah sinonim. Membaca tulisan-tulisan Dr. Ramlah Adam untuk satu tugasan fakulti, semacam memberitahu saya bahawa tradisi UMNO yang sedang disembunyikan di dalam sejarah. Malah merujuk buku-buku tulisan sarjana sejarah yang lain, rupa-rupanya demontrasi adalah nadi perjungan UMNO.

Dua tiga hari ini, penyokong kuat TPM buat demo kecil-kecilan mengutuk PR. Yang peliknya tiadapun FRU mahupun polis? Jawapan mudah ialah demo halal, demo aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam; tidak mengganggu lalu-lintas, tidak menyebabkan peniaga bandar raya rugi dan macam-macam lagi. Demo UMNO adalah demo yang memperjuangkan kebenaran dan menentang kezaliman. Oleh itu, makanya demo UMNO tidak pernah ada FRU mahupun polis jalanan.

Nah, bagaimana pula demo PR? Adakah demo PR penuh kezaliman dan tidak berperjuangan?

Bukankan yang melakukan demo itu juga rakyat? Jika demo PR yang dilakukan oleh rakyat dikatakan bodoh oleh UMNO, bagaimana pula demo UMNO yang turut dijalankan oleh rakyat?
Kalau gitu, UMNO juga bodoh! Atau rakyat Malaysia sendir yang bodoh atau rakyat PR yang bodoh atau seluruh rakyat Malaysia bodoh sebab tidak pandai berdemo?

Saya sebenarnya melihat dari sisi yang lain. Suara rakyat adalah suara yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Rakyat Malaysia masih beruntung kerana tidak ditadbir perintah oleh tentera. Cuba bayangkan apakah yang akan berlaku dan terjadi jika tentera yang diamanahkan untuk menjadi kerajaan Malaysia pada hari ini?

Demo adalah lambang kebebasan setelah suara rakyat tidak diberi ruang untuk didengari. Sebagai satu 'lambang bahasa tubuh' atau ''bahasa aksi' tentunya rakyat juga tidak sebodoh itu atau sesuka hatinya mahukan demo dilakukan. Hari ini, rakyat yang rata-ratanya sudah berpendidikan dan punya akal yang waras juga dapat menentukan akan baik dan buruknya tindak tanduk mereka. Dalam perkiraan apa pun juga, demo dalaman (dalam diri) rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi. Selama ini sikap yang 'makan hati' dan 'memendam rasa' itu telah berada pada tahap yang melampau.

Entri ini hanya padangan biasa sahaja. Banyak tanggapan pro dan kontra yang boleh dihujahkan. Saya tidak kisah dengan apa juga tebakan yang mendatang. Sekurang-kurangnya saya sudah membaca pemikiran Ibnu Kaldum, saya sudah mengakrifi pemikiran Annemarie Schimmel dalam bukunya "As Through a Veil" ataupun tulisan Rosli Mokhtar (pensyarah KUIS) daripada bukunya "Kerajaan Islam Sepanyol: Serupakah Nasib Kita?".

SAJAK DEMO KEPADA DIRIKU

demo di mana-mana
demo rakyat kepada pemerintah
demo hamba kepada Tuhan
demo diri di dalam diri
demo kedamaian kerana kezalimana
demo kebebasan kerana penindasan
demo keharmonian kerana kecelaruan
demo bijaksana kerana kebodohan
demo bahagia kerana derita.

demo di mana-mana
demo di dalam diriku
menagih simpati
dari luka dan derita.

Shamsudin Othman
Kuala Lumpur.

Isnin, 10 Ogos 2009

CERITA DARI KOTA BANDUNG


Gambar: Di Bandara Husein Sastranegara (Saya, S.M. Zakir dan En. M. Saleeh Rahamad)

Perjalanan ke Bandung pada 5 Ogos 2009-8 Ogos 2009 kali ini banyak seronoknya.

Saat menjejaki tanah Bandung, saya mendengar khabar Mbah Surip seorang penyanyi jalanan yang terkenal dengan lagu "Tak Gendong" telah kembali menemui Illahi. Esoknya, 6 Ogos 2009, saya mendengar khabar daripada TVRI bahawa penyair terkenal Indonesia iaitu WS Rendra turut kembali menemui yang abadi. Kehilangan kedua-dua mereka ini menjadi sosot utama media tv Indonesia. Beberapa rancangan khas memperkatakan mereka berdua berlangsung berjam-jam lamanya dan berhari-hari. Lalu, apa yang terbetik di hati kecil saya ialah, "lihatlah bagaimana Indonesia menghargai seniman mereka?" Di akhbar seperti Kompas dan Tempo, berita kehilangan ini menjadi tajuk besar dan utama. Dengan berita "Si Burung Merak Terbang Jauh dan Tak Akan Kembali" menjadi paparan Kompas tanggal 7 Ogos 2009, berhias lukisan sketch alm. Rendra dan serangkap puisinya, saya mengambil keputusan untuk membawa pulang akhbar itu.

Tanggal 8 Ogos pula, berita kematian Nordin Mat Top, seorang teroris meledak dan menjadi topik perbualan media Indonesia. Dia dikhabarkan terbunuh oleh serangan pihak polis Indonesia. Nordin Mat Top dikatakan meletupkan dirinya sendiri setelah peristiwa pengepungan rumah dan permintaan menyerah diri tidak diendahkan. Itu cerita akhbar dan media TVRI selama saya di tanah Bandung.

Saya bersama-sama teman menjadi sang gelandangan selama 4 hari. Kami ke Cibaduyut mencari bahan-bahan kulit; ke Jalan Riau mencari pakaian berjenama; ke Cihampelas menjejaki hari-hari malam; ke Pasar Baru mencari busana muslimah dan ke Palasari mencari buku-buku. Berjalan dan sesekali menaiki angkut di dalam kesesakan kota Bandung benar-benar menghiburkan kerana kami terlupa (buat-buat lupa) apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur. Saya melihat bagaimana seni alamiah di tangan mereka dimanfaatkan. Memetik kecapi, gitar tong sambil bernyanyi di pintu angkut dan jalanan menjadikan mereka seniman alami.

Yang indahnya.... syyyyhh, rakan saya membeli dua helai alas kaki untuk oleh-oleh isterinya. Bertapa mulianya hati kawan saya itu.

Sebelum pulang, di bandara (bandar udara/ airport) Bandung, kami ditemukan dengan seorang mahasiswi sastera daripada Universiti Pendidikan Indonesia (UPI). Dia yang terdidik dalam bidang teater (anak didik Ken Zuraida, isteri alm. Rendra) bercerita dengan penuh semangat tentang nasib dan perjuangan dunia sastera Bandung. Katanya, "kami anak-anak Sunda adalah pencetus tradisi kesenian Indonesia."

BANDUNG TANAH PARIS VAN JAVA

Menjejakimu dengan berita duka
kehilangan Mbah Surip dan Bung Rendra
mengingatkan aku kepada seniman dan sasterawan negara
yang masih merempat di dalam diri
meski seluruh bakti tak terperi.

Kau membawa kenanganku ke tanah Paris
luhur akal bahasa
memimpin jalan
sopan tutur budi
meruntun hati.

Tidak juga selalunya,
aku menjadi lebih mengerti
antara Sunda dan Betawi
mentafsir lembut dalam berani
seni yang alami.

Shamsudin Othman
Bandung, Indonesia.
5-8 Ogos 2009.

Selasa, 4 Ogos 2009

KEMBALINYA SABAR BOHARI KE NEGERI ABADI

SAYA terima sms daripada penyair Aminhad jam 5.07 petang. Isi smsnya ialah tentang negara kita kehilangan penyair Sabar Bohari ke negeri abadi. Dia yang sudah tiga hari derita (koma) akibat konpilasi buah pinggang akhirnya menyahut panggilan Illahi juga. Insya-Allah, jenazahnya akan dikebumikan di daerah kelahirannya, iaitu Kelang.

Al-Fatihah untuknya, dan moga Allah rahmati rohnya. KEMUDI dan negara kehilanggan seorang penyair lagi.

Tengahari tadi saya juga menerima berita bahawa penyair Negeri Sembilan iaitu Darmala NS juga sedang bertarung dengan penyakit tuanya. Dia kini berada di hospital Seremban. Moga Allah memberikan hidayah dan pertunjuk terakhir kepada hidupnya. Amin.

KHABAR DARI PUNCAK GUNUNG LEDANG


Sedang Mendeklamasikan catatan awal daripada sajak "Kembali Menagih Janji"

Bersama-sama En.Rusdi (DBPWS), Rahimidin Zahari dan S.M. Zakir

SALAM tanah gunung.
Tiga hari di lembah gunung Ledang benar-benar mengasyikkan. Saya seperti berada di suatu kawasan yang mahasegar dan indah. Diulit deru kali, kehijauan flaura dan kemesraan teman-teman menyebabkan saya lupa kesesakan dan keharubiruan kota Kuala Lumpur. Kata Rahimidin Zahari, "akulah Tun Mamat yang mencari cinta Puteri gunung Ledang." Kata S.M. Zakir, "fuhhh, penat gila mendaki selama 6 jam (syyhh, rahsia)?" Hehehe, saya sentiasa menguntum senyum sebab gelagat kawan2 di tanah gunung itu benar-benar menghiburkan.

Paling menarik ialah ada kolam spa terapi anak-anak ikan. Kalau orang lain rendam kaki sahaja, tapi kami bertiga rendam satu badan. Hampir sejam berendam di dalam kolam terapi itu, dengan kesegaran air dan gigitan anak-anak ikan kelah, kami menjadi segar yang luar biasa. Penat mendaki gunung hilang tiba-tiba.

Sekalung tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Penulis Johor (PPJ), DBP Wilayah Selatan, Perbadanan Taman Negara Johor dan Gunung Ledang yang mengusahakan eksplorasi ini. Kepada En. Amiruddin Ali, En. Rusdi, En. Azizi yang menjadi tonggak eksplorasi ini, bagaimana harus saya nyatakan terima kasih ini?

Di puncak gunung, saya sempat bermesra dengan penulis-penulis PPJ yang turut serta, antaranya ialah Shapiai Ramly, WB Rendra, Taufiq, Hamzah, Rosli Bakir dan lain-lain. Bukan main seronok mereka ini.

Malamnya, kami disajikan dengan 'Malam Deklamasi Puisi: Pengucapan Puisi Alam'. Saya sempat mendeklamasikan catatan awal yang saya judulkan "Kembali Menagih Janji". Saya turunkan sepenuhnya catatan awal sajak ini:

KEMBALI MENAGIH JANJI

Maka berceritalah Tun Sri Lanang
di dalam mahsyur Sejarah Melayunya.
Berikan kepada Puteri Gunung Ledang itu
tujuh dulang hati nyamuk
tujuh dulang hati kuman
tujuh tempayan air pinang muda
tujuh tempayan air mata anak dara
jambatan emas dan perak
dari Melaka ke puncak gunung.

Demikianlah cerita Tun Sri Lanang kepadaku
saat aku melepaskan lelah
di kolam ingatan
sambil anak-anak kelah
merawat rindu dari tubuhku.

Gunung berkabut
dingin dan renyai bersahut
nafsu seorang lelaki
yang berahi mimpinya
memuncak tapi tak kesampaian.

Inilah bijaksanamu Puteri Gunung Ledangku,
sebuah syarat menguji cinta
setia rakyat dan air mata
bukan dendam dan iri nestapa
yang kau persembahkan kepada baginda.

Aku cari cinta berharum rimba
akulah lelaki itu
kembali menagih janji
dalam setia yang tak terfikirkan.

Shamsudin Othman
Taman Lagenda,
Taman Negara Johor Gunung Ledang,
Tangkak, Johor.

1 Ogos 2009.

Tanya S.M. Zakir, "kenapa pendek sangat sajak itu?". Jawab saya spontan, "sebab pendakiannya pendek."