Isnin, 23 November 2009

SEUSAI PPN KE-3



PERHIMPUNAN PENYAIR NUSANTARA KE-3 baru sahaja usai. Saya mewakili dan merangkap tenaga kerja PENA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja khususnya DBP, JKKN, ITNM, Menara KL dan para peserta yang telah menjayakan program PENA ini. Syukur kehadrat Illahi kerana dengan kurniaanNya maka program yang penuh bermakna ini berjalan dengan jayanya seperti mana yang dijadualkan.

Kecatatan yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Atas kelemahan diri ini, dan PENA khususnya, saya mewakil rakan-rakan kerja mohon maaf banyak-banyak. Anggaplah kelemahan itu sebagai satu pengajaran yang kita sama-sama cuba perbaiki.

Insya-Allah, kita akan bertemu di Brunei Darusalam pada tahun depan dengan wajah, gagasan dan impian yang baharu.

ii
Ada sesuatu yang benar-benar menyentuh hati saya ketika mendengar ucapan 'ucap utama' Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Lontaran idea beliau yang ingin melihat pemerkasaan warisan Melayu seharusnya tidak terhenti itu perlu disahut secara berani oleh semua pihak. Sejak itu, saya mula memikirkan bahawa siapakah yang bakal menjadi kesinambungan itu selepas saya dan rakan-rakan menjadi tua dan tidak berdaya? Jika hari sabtu itu, Prof Muhammad hampir menitiskan air mata pada usianya 68 tahun (2009), bagaimana dengan nasib warisan Melayu pada usia saya 68 tahun nanti? Jika pada waktu ini pun, nasib Bahasa Melayu seperti 'mentimun dengan durian', bagaimana pula pada tahun 2034 nanti? Adakah pada tahun itu, saya masih dipinjamkan nyawa?

Luahan rasa Prof. Muhammad penuh sembolik dan amat trajis. Luka daripada lubuk hatinya yang mendarah setelah melalui kembara intelektual dalam mencari makna warisan Melayu yang abadi seakan-akan tidak tertahankan. Dia merayu, dia berharap dan dia bernostalgia. Di dalam rayuan, di dalam harapan dan di dalam nostalgia itu dia membenamkan pisau cabaran kepada generasi hari ini. Tikaman idea itulah yang sedang mengganggu mimpi dan jaga saya.

Iya, bagaimana untuk melahirkan karya besar sehebat Iqbal atau Rumi yang berjaya mengangkat karya Islam? Akankah lahir seorang penyair Melayu yang boleh mengatasi kehebatan Shakespeare, Tagore, Dan Brown mahupun Usman Awang selepas ini?

Saya tidak mempunyai kekuatan sedemikian rupa. Karya saya masih seperti langit dengan bumi; harumnya sebusuk najis berbanding harum kemboja. Oleh itu, saya meletakkan harapan yang amat tinggi dan sentiasa berdoa agar bangsa Melayu akan berjaya melahirkan seorang Iqbal atau Rumi yang mampu berkarya di dalam Bahasa Melayu dan mengangkat warisan bangsa dan tamadun fikirnya. Saya akan sentiasa berdoa ke arah itu.

iii
Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja yang telah menjayakan PPN ke-3 ini. Bertemu lagi kita tahun depan di negara Brunei Darussalam.

Salam puisi. TERIMA KASIH DBP, JKKN, ITNM, MENARA KL, dan PENA.


Isnin, 16 November 2009

PERHIMPUNAN PENYAIR NUSANTARA KE-3 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-3
NUSANTARA POETRY GATHERING 2009

TARIKH: 20-22 November 2009
TEMPAT: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur & Rumah PENA

JADUAL ATUR CARA

Hari PERTAMA (Jumaat 20 November 2009)

PAGI
12.00 tgh – 2.30 ptg : Pendaftaran Peserta
2.30 tgh – 4.30 ptg : Forum Penyair: Puisi Mancanegara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand)

MALAM
8.45 mlm – 11.00 mlm: ACARA PERASMIAN

Hari KEDUA (Sabtu 21 November 2009)

PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Ucap Utama: Prof Dr. Muhammad Haji Saleeh (SN)
10.30 pagi : Jamuan Teh
10.45 pagi–1.15 tgh : Pembentangan Kertas Kerja:
1.00 tgh –2.30 ptg : Makan Tengah Hari
2.30 ptg – 6.30 ptg : BACA PUISI DI MENARA KUALA LUMPUR
6.30 ptg : Jamuan teh dan makan malam (di Rumah PENA)

MALAM :
8.30 malam: PERSEMBAHAN & BACA PUISI DI RUMAH PENA

Hari KETIGA (Ahad 22 November 2009)

PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Forum Penyair Nusantara
10.30 pagi : Jamuan Teh
10.45 pagi–12.30 tgh : Majlis Penutupan:
12.30 tgh – 1.30 tgh : Makan Tengah hari
1.30 tgh : PESERTA BERTOLAK PULANG

Yuran penyertaan : RM20.00 (dibayar pada masa pendaftaran)

Peserta Luar Negara termasuk Sabah dan Sarawak disediakan penginapan di Rumah PUSPANITA.

Sabtu, 14 November 2009

PRAHARA CINTA


PRAHARA CINTA

Bulan, ajarkan aku makna cinta ar-Rahman,
jangan kotori kalbuku
dengan rindu yang terhukum
oleh kepalsuan.

Bulan, usah ajarku erti cinta
dengan bahasa nafsu.

Izinkan aku mendengar
bahasa imaniku
aku lelaki yang mabuk kata-kata
dakaplah aku semahunya
sebelum asmara
menjadi sebuah sandiwara.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Jumaat, 13 November 2009

PERCAKAPAN BULAN KEPADA MATAHARI

PERCAKAPAN AKU DAN BULAN KEPADA MATAHARI

Mengenang Zulhijah bening
yang datang ke dalam insaniahku
kosong jasad
di tanah Masjidil Haram
saat duduk mengaminkan doa antara dua sujud
aku merenung rupawan bulan
dengan sebuah syahdu yang lain.

Antara selisih malam dan siang
tika ledang subuh bangkit dari tidur
dan matahari membuka jendela
jua bulan menyususp di balik langit
aku mendengar resah suaramu
pilihlah aku atau matahari
tanya bulan dengan getar suara
yang tak tertahankan.

Aku terpana akan cemburu matahari
dalam diam dan agam yang panjang
aku mendakap kelam malam
lalu
kataku kepada matahari
aku memilih bulan
kerana di dadanya ada
segugus cinta Tuhan.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Selasa, 10 November 2009

ALFATIHA KEPADA ALLAHYARHAM AYAHANDA RAHIMIDIN ZAHARI

Al-Fatiha kepada ayahanda Rahimidin Zahari yang telah kembali menemui Illahi pada pagi tadi. Kepada sahabat saya yang paling memahami ini, moga roh ayahanda tuan dirahmati Allah.

Salam takziah daripada seorang sahabat.

Isnin, 9 November 2009

SANG PEMADAM SEJARAH


Entri ini tidak melibatkan mana-mana pihak. Cuma sebuah cerita daripada mimpi saya malam tadi. Selepas solat subuh sementara menunggu untuk ke tempat bertugas, saya 'layang' mimpi malam tadi. Lalu tertulislah sajak yang entah apa-apa ini.

SANG PEMADAM SEJARAH

Sang pencatat itupun memadam sejarah kehadiranku dan rakan-rakan di dalam diari kemersraan hidupnya. Aneh, kerana kami bukan musuh seperti gunting dalam lipatan dan kami adalah sebahagian daripada dirinya yang sering menterjemah sepi dan rindu - semuanya menjadi tanda tanya yang menyukarkan? "Tak mengapalah," kataku kepada seorang rakan yang paling memahami.

Dia sang pencatat yang memilih sunyi lalu meninggalkan kami untuk menghirup kesegaran demi kesegaran keakraban. Sejak itu, jauh di kalbuku, aku mula belajar memahami makna sahabat meski aku sentiasa menyusun hikmah dan menghormati nilai bersahabat.

Aku sudah terlalu tua untuk menyusur arus rajuk dan dendam iri. Ketuaanku ini sering mengetuk pintu kebencian diriku. Ketuaan ini sering mengajar aku erti pemaaf. Ketuaan ini sering berbisik kepadaku agar sering memaafkan. Dan ketuaan ini sering mengajar aku erti mengatur kata-kata.

Ya Rabb, izinkan aku merenung kelemahan diri saat ketuaan bermaharajalela di tubuhku. Amin

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Fuhh! Kalau Rahimidin dan Pak Zakir baca sajak naratif ini, jangan menangis pula. Ini hanya cerita mimpi yang saya terjemahkan ke dalam bentuk kata-kata. Entahlah, sejak akhir-akhir ini saya sering berhadapan dengan mimpi-mimpi yang tidak terdugakan. Iyalah, mungkin usia yang sedang menuju senja ini, banyak juga cerita-ceriti yang mengejar diri. Bak kata pak dosen saya, En. Saleeh, "jangan ingat nak berseronok aja... tak lama lagi kita jadi tua juga."

Selasa, 3 November 2009

SEBUAH MALAM



MASJID SULTAN, SINGAPURA



Malam tiba-tiba berubah wajah

menjadi mawar

aku memetik dan menyelitnya ke telingamu

harum yang menusuk mengingatkan aku

kepada hari-hari lalu

saat kau merangkul tubuhku

dengan seluruh berahi iman

dan tegar rindu takwa.


Begitulah selalunya

pada setiap detik malam berkhutbah

tahmid dan zikir yang berbisik mengingatkan aku akan

sepi yang tak terjangkau fikir

meski gelap tak pernah jemu mengutus jawapan demi jawapan

daripada seberkas pertanyaan.


Malamku yang sepi

aku datang kepadamu dengan seluruh jiwa

membawa khabar kembara
yang sesat di pangkal jejak.



Demi malam dan apabila ia berlalu
yang kudengar adalah desir taubat
menderu kuat menyusur munajat.

SHAMSUDIN OTHMAN

Masjid Sultan, Singapura.


Isnin, 2 November 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN: MENCARI GUNTING DALAM LIPATAN

Sebagai penyokong kuat kewujudan sekolah satu aliran dan konsisten dengan pendirian ini, saya tegaskan bahawa kerajaan 1 Malaysia (1M) perlu melaksanakannya segera. Membaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, saya senada dengan pendapat Tan Sri Zainuddin Maidin (ZM) melalui artikalnya "Contohi Keazaman Singapura" (hlm 7: UM 2 Nov 2009). Meskipun sebelum ini saya tidak sehaluan dengan beliau dalam gagasan 'Kebudayaan Malaysia dan PPSMI' tetapi dalam hal 'sekolah satu aliran' ini, saya berpihak kepadanya.

Beliau mengambil contoh bagaimana Lee Kuan Yew menggunakan sepenuhnya political will (keazaman/ kuasa politik) hingga berjaya membunuh prinsip cauvinis Melayu, Cina dan India yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perpaduan dan terbukti berjaya di Singapura pada hari ini.

Seharusnya kerajaan 1M juga bertegas dalam hal-hal seperti ini. Pendaulatan bahasa Melayu tidak bermakna dengan pengistiharan menghapuskan PPSMI sahaja, malah lebih daripada itu ialah mencantas budaya cauvinis Cina dan India secara bijaksana. Bayangkan, setelah 52 tahun merdeka, bahasa Melayu masih seperti melukut di tepi gantang di tanah air sendiri dan lebih malang berpemimpinkan bangsa Melayu.

Saya agak serius dalam hal ini kerana sebagai seorang yang terlibat seratus peratus dalam dunia pendidikan bahasa Melayu dan sastera Melayu, saya melihat sudah sampai masanya, tindakan yang lebih radikal tanpa bermain tarik tali perlu diambil. Hanya dengan langkah berani inilah sahaja kita dapat mengangkat semula martabad dan maruah bahasa Melayu yang tercemar oleh kesilapan masa lalu. Indonesia misalnya juga, dengan gagasan "Satu Bahasa Satu Negara", akhirnya berjaya mewujudkan satu semangat sehati sejiwa di dalam jiwa rakyat yang mempunyai lebih daripada seratus bahasa dan bangsa. Begitu juga halnya dengan negara Thailand yang tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan bahasa dan warisan bangsa.

Jika Singapura, Thailand dan Indonesia boleh menjadi negara maju dan hebat di mata dunia kenapa negara yang mengamalkan cogan kata 1M tidak boleh melaksanakannya pada hari ini? Waktu dan masa sudah berada pada ruang yang mengizinkan. Hanya menunggu pelaksanannya sahaja.

Begitupun, ada juga yang mengecewakan saya apabila sekelompok kecil NGO Melayu mahupun persatuan-persatuan bukan bumiputera yang menyatakan ketidaklogikan usaha ini. Saya tidak faham daripada aspek mana dan sisi mana mereka mentafsir proses pelaksanaan perpaduan ini?
Mereka bercakap tentang perpaduan dan keamanan tetapi mereka menutup jalan terbaik yang boleh mempercepatkan asas perpaduan itu. Mereka menentang gagasan perpaduan dengan cara licik dan halus tanpa mencadangkan usaha untuk menjayakan gagasan perpaduan. Ini yang menyedihkan saya apabila ada golongan eletis Melayu yang tidak yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Mereka memperlekeh, mempersenda dan mencemek apabila melihat, bertutur dan mendengar bahasa Melayu. Lalu, jadilah usaha murni seperti mewujudkan sekolah satu aliran ini satu idea enteng yang tidak bermakna di dalam jiwa mereka.

Jika hal ini berlanjutan, maka, seperti apa yang saya bimbangi sebelum ini iaitu, budaya krisis identiti Melayu itu sebenarnya masih belum sembuh sepenuhnya. Malah, jika kita pergi ke pusat beli belah bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur, atau di pejabat-pejabat kerajaan, di Putrajaya kita masih dapat mendengar orang Melayu, Cina dan India bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka berasa kekampungan dan mundur jika bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka akan terhina jika mengakui bahawa mereka tidak boleh berbahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris mereka ibarat 'lebih sudu daripada kuah'.

Jika sebelum ini, idea Prof. Emeritus Tan Sri Koo Kay Kim ini mendapat sokongan Pemuda PPP dan PIBGN, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, maka kenapa gagasan muluk ini perlu dilengah-lengahkan? Cakap-cakap Pak Lah (PM ke-5) ketika ditanya tentang gagasan ini (rujuk UM: hlm 7 2 Nov 2009), dengan alasan, "saya dulu pun semasa menjadi Menteri Pelajaran, pernah berfikir mengenai hal ini juga. Tetapi perkara ini tidak mudah kalau kita buat juga, lepas itu orang tolak, ini akan menjadi kelam kabut." Nah, siapakah Pak Lah pada hari ini apabila mengungkapkan kembali nostalgia pentadbirannya itu?. Zaman ini zaman Najib dan Najib perlu tegas dan berprinsip.

Saya bersetuju dengan Tan Sri Zam (ZM) atas prinsip 'political will'. Itu sahaja. Bayangkan setelah 52 merdeka, kita masih takut-takut membuat keputusan demi menjaga hati pihak lain sedangkan sudah lama bangsa kita dijadikan mangsa falsafah 'gunting dalam lipatan'.

Saya mungkin gila atau tidak siuman dalam hal ini. Terus terang saya katakan, saya sedang mendidik anak-anak muda berbangsa Cina dan India untuk menjadi guru bahasa Melayu. Sayangnya, mereka ini yang sudah berada selama 13 tahun di dalam sistem pendidikan negara masih belum dapat menguasai kemahiran 3M bahasa Melayu dengan sebaiknya. Mereka ini apabila tamat pengajian selama 4 tahun di universiti akan menjadi guru Bahasa Melayu. Bayangkan sekali lagi, bagaimanakah mereka akan mengajar Bahasa Melayu kepada anak-anak Melayu nanti sedangkan penguasaan sebutan (komunikasi) dan pemahaman makna tersirat diksi Melayu mereka lemah? Kesannya, anak-anak Melayu akan terus bermasalah dengan bahasa mereka sendiri dan bangsa-bangsa lain akan terus berada di dalam sistem yang salah selama-lamanya. Walau bagaimanapun ada juga anak-anak murid saya yang berbangsa Cina dan India mempunyai penguasaan bahasa yang baik malah ada yang lebih baik daripada orang Melayu sendiri tetapi bilangan ini amat kecil dan jika diselidiki mereka ini merupakan kumpulan yang mendapat pendidikan daripada sistem sekolah kebangsaan (sekolah aliran Melayu sepenuhnya).

Saya hanya berfikir-fikir sahaja.