Selasa, 30 Mac 2010

BENGKEL PENULISAN KREATIF XI UKM 2010

ESOK 31 Mac 2010, tibalah giliran saya untuk membuat pengakuan 'proses kreatif' di UKM. Sebenarnya sudah banyak kali saya menolak permintaan Dr. Mawar Shafiee ini khususnya atas undangan sebegini. Saya kira, saya bukan penulis yang layak untuk dikongsikan ilmu kerana perjalanan sastera tidak seindah rakan-rakan seperti Rahimidn Zahari, SM Zakir, al- haj Faisal Tehrani, Siti Jasmina, Salina Ibrahim mahupun Nisah Haron. Saya terlalu kerdil untuk bercakap seputar dunia puisi saya yang terlalu banyak berdosanya daripada pahalanya.

Apa-apapun atas nama Allah yang menciptakan 'keseluruhan dalam kesewaktuan' saya gagahkan juga undangan ini. Oleh itu, kepada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang ingin mendengar seterusnya 'menghina' saya bolehlah bersantai di UKM esok.

Bertemu kita di UKM esok (31 Mac 2010) sekitar jam 10 pagi di Bilik Sumber PPBKKM, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, T5, Blok C, FSSK, UKM.

PERCAKAPAN SEORANG BERDOSA



PERCAKAPAN SEORANG BERDOSA


Jika berdosa aku

menganyam keindahan Ilahi

atau mabuk memuja cinta-Mu

hukumlah aku semahunya.


Jika aku berdosa

menyihir cahaya dari kun fayakun-Mu

penjarakan aku di negeri kalbu

seperti Rumi, Amir dan Fansuri

juga Iqbal dan al-Halajj

tegar merindui zat-Mu.


Seandainya dosaku bergugus

di lembah alami

seksalah aku semahunya

dalam penjara kata-kata-Mu.


SHAMSUDIN OTHMAN

Madrasah Sham al-Johori

Isnin, 29 Mac 2010

PBAKL: SELEPAS KE-29 KALINYA


Semalam secara rasmi berakhirlah PBAKL ke-29. Saya seperti juga pengunjung yang lain mempunyai pelbagai rasa yang boleh dikongsikan. Terus terang saya katakan, sebagai seorang pencita buku yang bergelar 'ulat buku', saya rasa terpanggil untuk meluahkan sedikit kekecewaan yang mungkin agak subjektif sifatnya.

Pujian perlu diberikan kepada gerai (booth) ITNM kerana dengan kawasan yang kecil, pengurusannya (seluruh kakitangan bermula daripada pengarah hingga anak-anak buahnya) berjaya memahami dan memenuhi cita rasa konsep pameran buku antarabangsa. Pihak ITNM berjaya memanfaat ruang yang kecil dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik. Setiap pagi bermula jam 8 pagi pasti ada sahaja mesej berbentuk sms yang masuk ke talian telefon bimbit untuk memaklumkan aktiviti yang dijalankan oleh ITNM. Aktiviti berbentuk 'bersama-sama penulis', bicara naskah (baca membaca buku) dan deklamasi puisi benar-benar dapat menghidupkan konsep 'pencerahan ilmu'. Apa yang lebih penting ialah ITNM tidak menjadikan gerainya sebagai pusat 'lelongan buku' atau 'pusat penghabisan stok' atau juga 'gerai menjual buku kanak-kanak'.

Saya pernah dan berpengalaman berada di pesta buku antarabangsa seperti di Frankfurt pada tahun 2002 (tajaan penerbit ulung negara kerana mengiklankan buku cerita kanak-kanak saya) juga saya sering bersama-sama teman penulis yang lain ke Pesta buku Indonesia. Pesta buku di negara ini mempunyai aura yang benar-benar berbeza. Benar seperti apa yang saya baca dalam akhbar 'The Star' bahawa PBAKL sudah hilang seri dan jauh larinya daripada konsep pesta buku antarabangsa. Benar juga kata rakan-rakan pengunjung bahawa PBAKL sudah berubah wajah kepada pesta buku kanak-kanak dan lebih malang sudah menjadi pusat lelongan buku terbesar Malaysia. Saya tidak bermaksud untuk meneruskan analogi-analogi ini.

Berbalik kepada gerai dan kepimpinan ITNM dalam kriteria PBAKL amat jelas memperlihatkan kesungguhannya 'memasarkan buku'. ITNM perlu menjadi contoh atau ikutan penerbit buku lain. Malah saya percaya penerbit seperti Karangkraf, Utusan Melayu, PTS, Al-Ameen dan lain-lainnya itu sedang berusaha ke arah ini. Mudah-mudahan dengan kesungguhan itu, kita tidak akan melihat lagi PBAKL seperti tempat lambakan buku sekolah atau buku kanak-kanak 'murahan'. PBAKL bukan tempat yang sesuai tempat menjual 'alat pandang dengar' sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran. PBAKL bukan tempat artis mengambil kesempatan menjaja harga diri tetapi PBAKL adalah tempat pengunjung seperti saya yang ingin mencari buku-buku yang tiada di pasaran terbuka.

Nah, apakah fungsi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam hal ini. Adakah sebagai organisasi kerajaan yang diamanahkan untuk mengurus tadbir PBAKL tidak 'melihat' atau 'mendengar' atau sudah cukup dengan tanggungjawab 'seperti melepaskan batuk di tangga'?

Tanpa ingin menyentuh mana-mana pihak, PBAKL yang berusia 29 tahun ini telah menerima kehadiran tetamu terhormatnya iaitu PM seterusnya 'merakyat' di gerai ITNM. Di gerai ini, PM boleh duduk sekerusi dengan rakyat untuk menjayakan program baca naskah (program Sofa Putih). Hebatnya ITNM kerana berupaya memujuk PM untuk bersama-sama rakyat membaca buku tulisannya "Menakhoda Zaman" di sofa berwarna putih tidak di ruang utama PBAKL, PWTC iaitu ruang selayaknya untuk seorang bergelar PM.

Saya tertanya-tanya, bukankah sepatutnya DBP yang menganjurkan program seperti ini kerana DBP merupakan badan kerajaan yang unggul dalam hal-hal menjaga industri perbukuan berbahasa Melayu negara. Mungkin juga MBKM yang menguruskannya. Di manakah peranan DBP dan MBKM?

Saya secara sedar sepatutunya tidak boleh tersilap dan agak lancang mulut kerana mempersoalkan peranan DBP dan MBKM, tetapi sebagai badan kerajaan tidak sepatutnya hal-hal ini terlepas pandang. ITNM hanya badan yang menjadi pelapis dalam hal-hal penerbitan buku negara. Apa yang saya lihat sejak akhir-akhir ini ITNM lebih menonjol di peringkat antarabangsa berbanding MBKM dan DBP. (Maafkan saya rakan-rakan DBP, saya berniat ikhlas).

Tahun depan PBAKL akan berusia 30 tahun. Adakah MBKM sebagai penganjur akan mengizinkan hal yang sama berulang? Biasanya dalam usia 30 tahun seseorang individu kian matang dan dewasa. Saya berharap agar PBAKL juga demikian sifatnya. Jika PBAKL tidak boleh mencontohi pesta buku negara-negara barat atau timut tengah, cuba sesekali bandingkan dengan pesta buku Bangkok atau pesta buku Indonesia/ Jakarta.

Saya tidak berniat untuk memuji ITNM atau menyalahkan DBP atau mempersoalkan bidang tugas MBKM. Apa yang bermain dalam fikiran saya ialah pesta buku bukan tempat jual buku murah atau bersikap mengambil peluang untuk mengosongkan gudang (stor) menyimpan buku syarikat. PBAKL adalah tempat terbaik mempromosi buku terbaharu di samping mencipta strategi pemasaran buku tempatan ke dunia luar.

Selamat tinggal PBAKL ke-29 dan bertemu semula pada tahun 2011 dengan wajah yang lebih bersifat bijaksana.

Rabu, 24 Mac 2010

JUJURKAH MEDIA HARI INI?


Saya petik rangkap pertama hingga ketiga tulisan MSO (baca: tuan guru, anak murid minta izin terbit) daripada blognya 'Merah Tinta' tentang kes seorang YB di Perlis yang meletakkan jawatannya semalam.

KALAU yang menghantar surat perletakan jawatan sebagai Adun itu dari kalangan Pakatan Rakyat, sudah tentu dunia akan riuh randah. Kalau tidak sampai langit nak runtuh pun, pasti bumi akan retak. Media massa kroni akan membuat berbagai ulasan berhubung dengan tindakan Adun itu. Tetapi nasib baik ianya berlaku ke atas Adun UBN, dari kumpulan MCA.
Media massa hanya melaporkan secara leteral saja perletakan jawatan Adun oleh Yip Sum Onn (foto) tanpa kupasan dan analisa mendalam seperti selalunya. Ia hanya melaporkan seagai berita biasa saja tidak disensansikan. Kalaulah Yip itu orang Pakatan sudah tentu ianya akan diulas, digambarkan bahawa Pakatan semakin lemah, kucar kacir dan entah apa-apa lagi.

Malam tadi, saya memasang telinga untuk mendengar hebahan cerita sebab apa YB ini meletak jawatan? Buka siaran berita, semuanya mengisahkan berita macam laporan 'iklan ubat gigi' sahaja. Beritanya muluk dan indah.

Hati kecil saya mula merengus, "inikah yang dikatakan telus, jujur dan adil?"

Saya membayangkan dan ingin mendengar secara telus apakah yang sedang berlaku di Dewan Rakyat Perlis sebenarnya. Macam yang dikatakan oleh saudara MSO di atas, jika wakil PR yang meletakkan jawatan tentu hampir kiamat tanah bernama Malaysia ini dibuatnya. Jika tidak kiamatnya pun gegarannya seakan gempa.

Saya bukan penyokong tegar PR atau UBN atau mana-mana gerakan NGO, tetapi saya seorang rakyat yang mahu menikmati keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara bernama Malaysia.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya media berlaku adil kepada mana-mana parti yang ada di tanah Melayu ini. Paparkan kebenaran dan sembunyikan kejahilan mahupun maruah seseorang. Jika televisyen Malaysia boleh mengaburkan (baca menutup) wajah YB atau VIP yang dibawa ke mahkamah untuk diadili/ ditangkap; makanya lakukan juga hal yang sama kepada rakyat jelata. Adalah lebih bermaruah dan disenangi sekiranya media perdana dapat berlaku adil dan saksama.

Semuanya ini bertolak daripada teladan siasah "anjing dengan monyet".

Saya teringat kata seorang pensyarah saya dulu-dulu, "sekarang ni keputusan 'nombor ekor' pun akhbar tipu!"

Selasa, 23 Mac 2010

CERITA PBAKL


PETANG tadi selepas hujan, saya dihubungi oleh seseorang teman lama juga pensyarah IPTA. Katanya, dia berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan sedang melihat seorang penulis lelaki dan wanita sedang dikerumuni peminat. Para pengujung yang berada di booth (gerai) itu beratur panjang untuk mendapatkan tandatangan. Menariknya dia bertanya kepada saya, "kau dan teman-teman PENA sama hebat atau rasanya lebih hebat daripada mereka. Kenapa tak ada acara untuk penulis macam kau, S.M. Zakir, Rahimidin Zahari dan lain-lain kat sini?"

Saya tidak menjawab soalannya sebaliknya saya bertanya balik kepada rakan saya itu, "Oooo, siapa dia orang tu?"

"Kami ni bukan penulis upahan dan perlu menagih simpati. Kami tak mengejar glamor. Siapalah kami ni, dah lah tak kacak, tak popular pula." Saya mematikan kata-kata di situ.

"Bukankah kau dan kawan-kawan kau lebih mendokong gagasan sastera Melayu?" tanya pensyarah yang datang dari tanah hujung semenanjung itu.

"Ala apa nak susah-susah sangat ni, kau kalau nak tandatangan kami, kau datang aja ke rumah PENA. Cakap aja nak tandatangan sapa lagi...," dia ketawa terbahak-bahak hingga berdesing nyaringnya di telinga saya.

"Kau tak pergi pesta buku ke?"

"Kata kawan saya, PBAKL itu pesta buku kanak-kanak. Hehehehe. Hari sabtu aku ke sana." Jawab saya jujur.

"Aku dari jauh datang nak tengok pesta buku, kau yang dah depan mata tak sampai lagi?" Sindir rakan saya.

"Hehehehehe, kami ni tengah kumpul duit nak ikut guru kami ke Pesta Buku Jakarta bulan julai nanti." saya ketawa kecil.
"Oooo, macam tu!"

SI KITOL DAN TELUR TEMBELANG

Tuan-tuan yang dihormati, di bawah ini hanya catatan spontan tentang kisah di negeri angin. Juga bukan puisi kerana puisi penuh dengan estetika. Harap maklum kerana catatan di bawah ditulis dalam bentuk rangkap sahaja. Hehehehehe dan selamat membaca.


SI KITOL DAN TELUR TEMBELANG


Si Kitol tak pernah bersuara
tapi lakonannya sukses di pentas purbawara.

Ketika bersandiwara sambil menjilat telur tembelang
gerak tubuhnya sopan melenggok
tari langkahnya santun beralun
lenggang tangan hikmah melunjur
indah dipandang nikmat dirasa.

Sepurnama berlalu
Si Kitol dinobat bangsawan terhebat
tepuk dan sorak meniti lelangit parlimen
Lebai Malang mengukir senyum
Pak Kadok menjunjung sembah
Pak Pandir mengutus tahniah
Si Luncai mengatur riang.

Semalam juga
lewat malam tak berbulan dan berbintang
tanpa angin
Si Kitol dimahkota pahlawan bangsa.

Si Kitol dan telur tembelang
di meja parlimen hidangan disajikan
teman dan taulan riuh sekampung
sebuah pesta sedang diraikan.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.

Sabtu, 20 Mac 2010

MATLAMAT YANG MENGHALALKAN CARA....


SEORANG teman meng'sms' saya dan isinya, 'blog TANAH NURANI dah mati ke? kalau tak nak tulis blog sila buat catatan "blog ini sudah dikuburkan."


Seperti biasa, saya malas nak memberikan sebarang komen apa-apa kerana saya tahu menulis bukan boleh dipaksa-paksa. Tetapi apabila saya fikirkan semua selepas solat maghrib tadi; saya bertanya-tanya sendirian akan kebenaran sms kawan (baca mungkin peminat setia agaknya) saya. Seperti mana saya gila membaca kitab-kitab agama, mungkin dia juga gila membaca tulisan dalam blog saya ini (baca 'agaknya'; tak bermaksud untuk masuk bakul angkat sendiri sebab saya sedar saya ini pun bangang juga).


ii

Tak apalah, hari ini saya hendak menulis tentang nasib 3 orang manusia yang hidup dalam 3 parti berbeza. Mereka bertiga bukan 3 Abdul macam yang dikisahkan P. Ramlee, tetapi mereka ialah Zahrain Mohamed Hashim (ZMH) , Anwar Ibrahim (AI) dan Tuan guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA).


Jika kita mendengar berita tv3, RTM dan membaca BH atau UM sudah tentu manusia bernama ZMH ini tiba-tiba popular (tapi dia tidak sehebat 'Sudin Ajaib'). Ada yang mengelar dia adalah gurka UBN dan macam-macam lagi. Pendedahan (baca dendamnya) kepada AI dilepaskan tanpa berfikir panjang hingga AI sanggup angkat kaki meninggalkan dewan. AI terus dituduh 'penakut', 'raksasa pelbagai wajah' dan 'pembohong besar'. Dua hari kemudian TGNA pula mencelah dengan pemikiran Islamiknya bahawa inilah permainan politik murahan lantas bersuara,"orang MCA, MIC berpecah pun tidak membuka rahsia parti mereka, tetapi orang Melayu bila berpolitik tidak ada intergriti langsung."


Bagi saya ini semua adalah tipikal orang Melayu berpolitik yang tidak pandai menjaga akhlak dan mengamalkan konsep 'rasa insaniah'. Kesannya, saya melihat di kaca tv bahawa orang yang bermazahabkan DAP, MCA, MIC dan parti lain yang bukan Melayu tersenyum panjang lebar melihat Melayu dengan Melayu bercakaran secara profesional (baca 'kononnya') di dewan parlimen. Saya (baca rakyat) yang tidak pernah menjejakkan kaki di parlimen dan tidak tahu apa yang berlaku di parlimen menjadi tahu apabila berita ini dihebahkan oleh media perdana yang proUBN.


Bayangkan, siapakah yang menjadi dalang semua ini? Ada yang melihat ini semua agenda tertentu dan macam-macam lagi tomahan. Media yang dikatakan mesti telus, tidak berpihak dan jujur anehnya seakan-akan bersekongkol melobi kes Melayu lawan Melayu ini khususnya jika kes/ isu yang menguntungkan batang hidung UBN. Apakah media benar-benar jujur dalam usaha menghidangkan isu ini kepada rakyat?


Tanpa berpihak kepada mana-mana parti sama ada kerajaan atau pembangkang, apa yang saya pinta ialah janganlah kerana kepentingan tertentu, media menjadi kuasa yang menghalalkan semuanya. (baca saya juga tahu bahawa dalam bab-bab halal ini hanya Jabatan Agama Islam sahaja yang berhak mengeluarkan logo halal). Oleh itu, mungkin ada baiknya, Jabatan Agama Islam meletakan logo halalnya di parlimen atau muka depan media perdana dan sekiranya mereka melanggar akta halal ini makanya pihak Jabatan Agama Islam boleh menyaman atau mengambil tindakan sewajarnya kepada wakil rakyat atau media yang mengamalkan prinsip 'matlamat menghalalkan cara' ini.


Saya sebenarnya kecewa melihat wakil rakyat yang diamanahkan oleh rakyat untuk memperjuangkan nasib rakyat tiba-tiba lain jadinya. Speaker dewan pun satu (baca bangang juga) apabila membenarkan isu dendam (yang bersifat peribadi) dibolehkan perbahasannya. Isu-isu yang berkaitan dengan peribadi sebaik-baiknya dibincangkan di warung kopi sahaja. Hal-hal seperti PATI, anak luar nikah yang dikorbankan, kemiskinan, harga barangan, keistimewaan peribumi hinggalah kepada hal-hal seniman, sasterawan dan budayawan inilah yang perlu diperjuangkan; bukan memperjuangkan dendam dan rasa amarah dalam diri setelah dikhianati dan kecewa kerana tidak mendapat keuntungan.


Sebagai manusia yang diberikan sedikit ilmu, saya juga faham bahawa perjuangan memerlukan keberanian dan pengorbanan. Tetapi perjuangan akan menjadi lebih baik sekiranya ditunjangi dengan kebijaksanaan, maruah dan agama.


Entahlah, Melayu..., Melayu..., Melayu... . Akhirnya, saya menjadi takut dengan situasi politik masa kini. Siasahnya lebih teruk daripada pasar ikan atau pasar pelacuran di Kuala Lumpur. Menteri khas yang mendokong prinsip agama Islam pun nampaknya turut sama bertepuk tangan (baca tepuk meja) dan menyokong agenda 'politik dendam berdendam' ini. Pembangkang yang menerajui gerakan islah Islamiah yang mengangkat tangan untuk mencelah (baca mungkin ingin memberi nasihat) dinafikan haknya oleh speaker dewan (jelas ditontonkan dalam siaran berita tv media perdana).


Entah..., yang malu, yang kalah, yang jahat, yang pembohong, yang yang yang yang semuanya itu adalah Melayu juga, iaitu Melayu yang obses dengan falsafah matlamat menghalalkan cara.


Kepada PERKASA (sebuah lagi pertubuhan yang sedang berusaha untuk menyatukan Melayu) jangan pula menjadi pelengkap kepada kemusnahan bangsa Melayu.


Saya ingin bertanya kepada PAS, PKR dan UMNO, jika Melayu tidak bersatu, apa lagi yang tinggal untuk kita wariskan kepada anak cucu cicit kita. Saya tidak sanggup menjadi ayah, atuk dan moyang kepada mereka yang akhirnya akan terus dimaki hamun atas kesilapan kita hari ini. Oleh itu, sebelum anak cucu cicit saya melemparkan maki seranah kepada saya setelah saya mati, lebih baik hari ini saya melemparkan sumpah saya kepada mereka (baca pemimpim) yang merosakan bangsa Melayu dan agama Islam.


Celakalah ke atas kamu! Celakalah ke atas mereka yang menghalalkan cara demi matlamat peribadi.

Jumaat, 12 Mac 2010

WACANA 153

i
SAYA menerima panggilan telefon daripada majikan dan bertanya, "adakah saya terlibat dengan wacana ini?"

Saya yang tidak tahu apa-apa atau tidak tahu hujung pangkal terpinga-pinga.

"Wacana apa?" tanya saya serius.
"Wacana anjuran Gapena-GPMS tentang isu Perlembagaan 153."
"Wah, menarik tu! Saya tak layak pergi," pintas saya. "Itu tugas orang atasan. Merekalah yang sepatutnya hadir untuk faham segala isi tersirat Perlembagaan itu. Lepas tu, laksanakan." Jawab saya.
"Oklah, tak mengapa."

Saya mula membayangkan yang bukan-bukan dan kemudiannya melayari internet untuk mendapatkan maklumat wacana ini. Saya turunkan maklumat ringkas yang saya perolehi itu.

ii
Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan menganjurkan Wacana 153 pada 15 Mac ini bagi membincangkan isu semasa berkaitan Perkara 153 Perlembagaan iaitu hak dan keistimewaan orang Melayu. Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein berkata, wacana di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu bertujuan mengingatkan orang Melayu mengenai kuasa Perlembagaan Persekutuan.
iii
Tahniah Gapena atas kerjasama dengan GPMS.
Dalam fikiran saya terbayang falsafah 'kuda' dan 'anjing'.

Khamis, 11 Mac 2010

SEPETANG BERSAMA-SAMA SUHAIMI HAJI MUHAMMAD


(Gambar dicuplik daripada blog SM Zakir: kira-kiranya dapat izinlah tu..)

SEPETANG 6 MAC 2010 di perkarangan tanah jajahan UPSI, saya, SM Zakir dan Rahimidin Zahari sempat bersembang santai dengan calon sasterawan negara ke-11. Beliau yang saya maksudkan ialah Haji Suhaimi Haji Muhammad. Sewaktu ditempatkan di rumah tamu UPSI di rumah bernombor B-08 di Kolej Ungku Omar, dalam kalangan kami bertiga itu, sayalah yang lebih-lebih bertanya itu ini khususnya tentang seputar dunia kepenyairannya. (Saat itu, SM Zakir sempat mengambil gambar curi dan bersama-sama Rahimidin Zahari memasang telinga mendengar perbualan kami).

Saya menghulurkan kumpulan puisi saya "Tanah Nurani" sementara Pak Suhaimi menghulurkan kumpulan puisi terbaharunya "Taman Takwa". Menariknya pada catatan bertandatangan, Pak Suhaimi mencatatkan sesuatu iaitu, 'Kepada Shamsudin Othman, estetika Islami saudara sedang menuju puncak. Hati-hati supaya tidak jatuh.'

Kami berbual panjang sehingga azan maghrib berkumandang. Sesuatu yang saya perolehi daripada perbualan santai kami ialah, Pak Suhaimi menjelaskan bahawa penulisannya sealiran dengan pemikiran Shahnon Ahmad yang meletakkan karya terbaik perlu memiliki gandingan tiga unsur iaitu, i. kebenaran (al-haqq), ii. kebaikan (al-jamal) dan iii. keindahan (al-khair).

Bercakap tentang Pak Suhaimi ini, saya hampir memiliki kesemua kumpulan puisinya yang bermula daripada Jalan ke Kotaku (1959), Lain Jiwa Lain Wajah (1960), Rontgen (1963), Lilin Seinci (1980), Di Malam Gelita Ini (1981), Bulan Purnama (1981), Imej (1982), Menganyam Bulan (1983), Siluet (1984), Menterjemah Bintang (1985), Tulang (1991), Wujud (1997), Arca Impian (1997), Simfoni Perjalanan (1999), At- Tariq (2000), An-Nur (2003), As-Salam (2006), Asyik (2006), Cintamu Ummi (2007), Nafas-nafas Nurani (2007) dan Taman Takwa (2009). Justeru saya tidak dapat membayangkan sebanyak mana puisi yang berjaya dihasilkan dan sebahagian besar pernah memenangi pelbagai hadiah sastera anjuran pelbagai pihak.

Secara kebetulan juga, saya pernah diamanahkan oleh pihak penerbit untuk menilai manuskrip Pak Suhaimi sebelum diterbitkan. Pengalaman menilai seterusnya memberi komen sebagai syarat penerbitan terhadap dua kumpulan puisinya iaitu Arca Impian dan Cintamu Ummi banyak mengajar saya makna kesabaran bagi memahami aliran surealisme, mistikisme mahupun realisme majis yang diperjuangkannya.

Hari ini, mungkin sudah sampai masanya pencalonan Pak Suhaimi Haji Muhammmad sebagai salah seorang penerima anugerah sasterawan negara dilihat dengan mata 'Persuratan Kesusasteraan Melayu' bukan dengan 'nafsu politik sastera'. Usaha Fakulti Bahasa dan Sastera, UPSI memberikan anugerah Ijazah Kehormat dan mencalonkan Pak Suhaimi sebagai calon sasterawan negara merupakan langkah terbaik dan bijaksana. Saya dan rakan-rakan amat menyokong penuh gerakan ini kerana Suhaimi Haji Muhammad adalah penyair yang konsisten dan sentiasa tampil dengan idea segar yang membobotkan dunia kepenyairan tanah air.

Mungkin guru saya (En. Saleeh Rahamad) yang juga orang Perak dapat membantu dan memikirkan sesuatu agar impian dan gagasan muluk pencalonan Suhaimi Haji Muhammad ini dapat disokong dengan idea lain.

Seingat saya, daripada kajian dan dapatan saya (secara kebetulan sedang menukangi kajian tentang puisi-puisi Islam Malaysia), kajian tentang Pak Suhaimi bukan sedikit anak. Pada peringkat Master di UPM sahaja hampir 10 penulisan tesisi/ mini tesis; UKM- 8 kajian; UM - 3 kajian, USM- 6 kajian dan terkini pada peringkat PhD - ada seorang pensyarah dari Universiti Perguruan Singapura yang sedang menyiapkan disertasi Phdnya tentang Pak Suhaimi ini. Sorotan kajian ini masih tidak lengkap kerana tidak melihat kajian pada tahap ijazah sarjana muda, penulisan jurnal mahupun esei dan artikal eceran.

Tulisan SM Zakir di dalam blognya tentang Suhaimi Haji Muhammad ini walaupun ringkas dan bersifat santai tetapi masih ada kenyataan peribadinya yang menarik untuk difikirkan.

Pak Suhaimi, terima kasih kerana menasihatkan saya dengan ayat terakhir sebelum kita berpisah malam itu. Katanya, "Shamsudin, belajarlah cara bagaimana Raja Ali Haji dan Hamzah Fansuri menulis." Kami bersalaman, saya merenung wajahnya sambil dia menyambung bicaranya, "saya sedang menyiapkan kumpulan puisi bertajuk 'Puisi-puisi Terakhir Suhaimi Haji Muhammad'. Nanti hendak hantar ke DBP. Kalau Shamsudin jadi penilainya, nilailah dengan jujur dan ikhlas bukan kerana saya tua." Tapi, kali ini saya tidak pasti siapa yang menjadi penilai manuskrip itu.

Begitulah seringkasnya, sepetang bersama-sama Suhaimi Haji Muhammad.

Khamis, 4 Mac 2010

PERCAKAPAN KEPADA SEORANG AL-AMIN

Pada malam sambutan Maulidur Rasul, saya, En. Saleeh dan Ahmad Shukri telah diundang oleh Dato Baha Zain untuk membaca puisi di surau kediaman beliau. Inilah pengalaman pertama mendeklamasi puisi di surau dengan tetamu yang terdiri daripada profesor, peguam, arkitek dan bijak pandai Melayu moden. Saya sang fakir yang dalam kelana mencari cinta Allah sentiasa berkira-kira akan kelemahan dan kekurangan diri. Atas dasar undangan, saya gagahkan juga diri ini untuk mendeklamasikan puisi. Hampir seminggu saya merenung kembali puisi ini (perlukah saya menerbitkannya di dalam blog ini?).

Pagi tadi, saya menerima panggilan telefon daripada salah seorang yang mendengar puisi saya. Dia yang memperkenalkan diri sebagai penduduk setaman dengan Dato Baha Zain meminta izin supaya saya mengemailkan puisi ini kepadanya. Katanya singkat dan mudah tanpa menjawab ingin beberapa pertanyaan saya, antaranya, "kenapa dengan puisi saya itu?". Jawapnya, "dia tidak lena tidur dan asyik terdengar-dengar suara saya dan lunak puisi itu yang menyentuh.


Atas pujukan dan desakkan yang terlalu beriya-iya, saya menjanjikan untuk mengemailkan puisi ini. Kepada para pengunjung blog ini, saya perturunkan sepenuhnya puisi ini. Saya fakir dalam kelana ini mohon maaf sekiranya puisi ini tidak disenangi.


PERCAKAPAN KEPADA SEORANG AL-AMIN

(Mengenang Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W)

Saat tuan berpesan pada suatu hari yang bening

di hadapan para sahabat yang setia

dengan utusan wasiat terakhir

diperbaringan dan dada isteri

beriring dingin air mata

Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para sahabat

tuan dengan luhur hati melafas sumpah

pada hari ini telah kusempurnakan untuk kamu agamamu

telah kucukupkan kepadamu nikmatku,

dan telah kureda Islam itu agamamu.


Pada suatu detik indah yang suram

aku masih bersila di hujung mimbar

membilang butiran selawat yang mencair di bibir

sesekali mengalir di kalbu.

Tuan utusan bergelar al-Amin,

di dada tuan sejambak siddiq mengkar mengharum

di dada tuan setaman amanah sentiasa subur

di dada tuan segunung ilmu tak tergapai puncak

di dada tuan selaut bitara tak mengenal surut.

Tuan utusan pilihan gandingan ikrar syahadah

seorang nakhoda di laut syumul

ombak dan badai tuan tempuh penuh hikmah

angin dan damai tuan hirup penuh ikhlas

begitulah tuan yang dikasihi

tulus dan jujur

bijaksana membina ummah dan insan

membangun negara rukun bertamadun.

Tuan bergelar al-Amin berilmu wahyu Ilahi

dipimpin Jibril dari Masjid al-Haram ke Madinah dan al-Aqsa

dari dingin gua menuju langit al-Qadar

hanya dengan mukjizat kerasulan

tuan membelah cakerawala dengan doa syurgawi

suara tuan menjadi lunak menyusur wahyu seruan terpuji

peribadi tuan kian santun menongkah langit sunnah terindah.

Tuan seruntun jiwa di taman iman

tengah hari 12 Rabiulawal 11 hijrah

saat panas yang menggigit

selepas Abu Bakar mengimami solat

di dada Aisyah di atas pangkuan

tuan bergelar al-amin

pergi meninggalkan kami.

Hari ini 1431 tahun berlalu

tuan yang budiman tidak pernah wafat di hatiku

meski api fitnah membadai di jiwa

tapi insaniah tuan tetap sehidup semati.

Tuan al-Amin junjungan agung

laksana bulan bersalut purnama

tabirkan cahaya hidayah

limpahkan terang ke dada zulmat

dengan kesegaran embun syafaat

beriring selawat dan qasidah

ke hatiku

perindu yang setia itu.

Tuan bergelar kekasih Ilahi

tuan tidak pernah wafat dihatiku.

Shamsudin Othman

Madrasah Sham al-Johori.

______

Nota

Kelahiran Rasulullah pada 12 Rabiulawal (23 April 571M)

Kewafatan Rasulullah pada 11/12 Rabiulawal 11 H (7/8 Jun 632M)