Jumaat, 25 Jun 2010

BOLA DAN KENANGAN 1

'Line up' pasukan MPLP 1988/1989. (2 orang yang duduk berpakaian kemeja itu ialah bomoh khas yang kami import dari Sabak Bernam)

Buka email pagi-pagi ini, kawan lama saya kirimkan gambar ini. Terima kasih A. Wahab (kini mengajar di Penggerang, Johor) atas kiriman gambar yang penuh bermakna untuk dijadikan bukti kepada syeikh Zakir dan tuan guru musyidul Am PENA En. Saleeh. Kepada kedua-dua orang teman (baca kawan dan guru) ini, harap dapat renung dan tenung baik-baik gambar ini. Hampir seminggu saya menghubungi rakan-rakan lama yang pernah duduk sekampung, sesekolah, semaktab, seinstitut dan seuniversiti dulu supaya dapat mengemailkan gambar-gambar lama saya ketika saya bergelar 'sang pelibas' (takraw) atau 'sang perembat' (bola sepak).

Nah, ini antara bukti yang saya pernah bermain di padang FAM, Kelana Jaya, pernah menaiki bas FAM dan juga pernah menjadi pasukan belasahan MPPJ. Gambar ini berlaku sekitar tahun 1988/1989 (tak berapa ingat) sewaktu saya mewakili maktab perguruan (MPLP) menetang pasukan MPPJ. Macam biasa, cuba teka yang mana satu saya? Waktu itu jurulatih saya ialah pensyarah yang juga berjawatan salah seorang pengadil bola sepak FAM (En. Ahmad Zainal). Kenangan paling indah apabila pasukan saya dibelasah oleh pasukan Bell Belia Kelang 11-3. Pasukan ini tak pernah menang dalam semua perlawanan persahabatan atau mana-mana kejohanan termasuk Kejohanan antara maktab-maktab Malaysia (PESTARAMA), tetapi saya boleh berbangga sebab pasukan saya sentiasa menang sorak dalam semua perlawanan.

Macam mana nak menang kalau waktu itu, sebelum perlawanan bermula, kami diberi minum coca-cola bercampur panadol 2 biji oleh jurulatih. Apa lagi, waktu main, semua orang 'lalok' tetapi tenaganya luar biasa. Akhirnya, bola depan gol pun saya tak nampak. Hahahahahaha.

Yang penting, saya pernah beraksi di padang FAM, Kelana Jaya, bukan di Chemor atau setinggan Bangi. Ada teman-teman kata, kekalahan pasukan saya disebabkan semua pemainnya kacak-kacak belaka. Dari mula permainan hingga tamat (90 minit permainan), jersey , seluar, stokin dan boot pasukan saya semuanya bersih aja sebab nak rebut gelaran pasukan paling bersih permainannya. Motto pasukan saya ialah 'Biar kalah asalkan bergaya'. Dengan motto itu, pasukan saya menjadi pasukan paling banyak mengadakan perlawanan di ceruk rantau Kuala Lumpur. Kalah di kaki Bank Bumiputra (9-2), Kakitangan Menara Daya Bumi (6-1), Pasukan 18 tahun Kelab Sultan Sulaiman (8-0) dan lain-lainlah. Yang penting walaupun kalau teruk, tetapi penjaring daripada pasukan saya itu salah seorangnya sayalah (ehmmmm!).

Macam biasa, posisi saya ialah di bahagian sayap kanan. Saya akan membawa bola dari kanan padang dan terus mengelecek beberapa orang pemain sebelum 'lalok' dan berhenti. Bola berjaya dirampas oleh pasukan lawan. Kawan-kawan lain gigit jari. Dan penyokong saya akan bersorak, "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!" Fuh, waktu saya menulis ini, saya masih dapat merasakan suasana itu kembali. Tamat aja perlawanan, jurulatih saya bertanya, "berapa banyak panadol kau telan ni? Aku kata 2 biji aja." Waktu itu apa lagi, kawan-kawan lain ketawakan saya bagai nak rak, "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!"

Lepas ini saya nak tutup cerita pasal bola dan kenangan. Tapi, kalau buka email esok pagi dan jika ada gambar baharu yang masuk ke dalam email saya, akan saya cerita lagi. Hehehehehehe.

Tiba-tiba, jeritan "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!" berngiang-ngiang di telinga saya. Meremang bulu roma. Arab ke Jawa saya ni?

Khamis, 24 Jun 2010

BOLA SEPAK: SENI YANG HILANG

Waktu aku bermain bola dulu, apa yang ada di dalam kepala otak ialah aku memikirkan seni bola sepak dan persembahan yang menghiburkan. Soal jaringan adalah soal ke-100. Hantaran dan kawalan bola di hujung kaki, lutut, dada dan kepala adalah pertaruhan paling membahagiakan. Sepatutnya itulah yang berada dalam mentaliti pemain bola piala dunia 2010 ni. Bagi aku, 32 pasukan yang layat bermain kali ini adalah wira bagi benua yang mereka wakili. Pasukan mereka sudah boleh bergelar juara. Amerika Selatan hanya pentas terbaik untuk pemain-pemain bola ini menunjukkan seni bola sepak yang sebenarnya. Amerika Selatan sepatutnya menjadi padang tempat kita berfikir siapakah yang boleh menjadi pengganti kepada Pele, Maradona, Rossi, Kevin, Zico, Rumineger, Eric Cantona, Dino Zoff, Peter Shilton dan lain-lain lagenda bola sepak dunia. Bagi aku Amerika Selatan bukan pentas tempat memburu seketul emas yang berharga 30 juta itu tetapi lebih daripada itu ialah pentas tempat menentukan harga diri mereka selepas ini. Adakah Jemain Defoe (wira SPURS) akan berharga RM500K setelah berjaya menyelamatkan maruah England yang terumbang ambing di hujung tanduk itu? Bagaimana denghan harga diri Ronaldo, Lampard, Ronney atau lain-lainnya selepas ini? Dua minggu piala dunia berlangsung, aku masih tidak dapat menyaksikan satu persembahan yang menghiburkan apatah lagi berkira-kira untuk meletakkan harga kepada pemain-pemain hebat 2010 itu. Mereka telah menjadi hamba bola. Sepatutnya, dengan bola itulah mereka bola membina sebuah kesenian permainan; mengelecek, mengawal, menimbang, menghantar, berlari, menanduk dan seterusnya membuat rembatan kencang hingga menggegarkan jaring gol lawan. Saat itu, menjerit "golllll!" adalah jeritan yang terasa nikmat menusuk ke jantung. Ini tidak, melihat mutu jaringan pun macam tidak masuk akal.

Hingga kini aku masih belum dapat melihat pemain bola yang betul-betul menghiburkan kecuali penjaga gol Nageria. Tetapi apabila judi bola sudah dihalalkan, susahlah. Semua pemain asyik memikirkan jaringan hingga seni bola sepak musnah.

ii
Yang penting, pasal bola, tesis PhD aku tergantung lagi. Bahana betullah piala dunia ni. Aku juga yang jadi mangsa. Kerana 4 tahun sekali; kerja rutin jadi tertangguh. Setiap malam selepas berita jam 8, hajat hati nak menulis tapi tak boleh sebab jiran tetangga dan sms kawan-kawan masuk ke telinga mengganggu. Hati jadi tidak tenteram. Jiwa mula kacau. Apa lagi, aku angkat bantal duduk aja depan TV. Layannnnnn!

Hehehehehe. Syeikh Rahimidin tak tengok bola sebab dia tengah menulis novel.

Zaman Melibas

Terbuka antara staff 2007
(sdg melontar bola kpd tekong)

gambar tahun 1978
(Team kg Sri Makmur (anakbiaklos [akronim nama teman2] takraw team: Rambut afro berdiri no 3 dari kiri itulah allahyarham Samad Lefthanded. Aku tentunya yg paling kecillah. Jersey cap Forest)

Terbuka Umno Batu Uban (1995). Tidak menamatkan perlawanan akhir dan diistiharkan tewas sebab bengang dgn penganjur yang tak adil. hehehehe


AKHIRNYA, setelah berjaya menghubungi teman-teman sekampung, sekelas dan sekuliah dulu-dulu, maka gambar-gambar zaman melibas saya ini saya dapat kembali. Atas ikhsan teman yang mengemailkan gambar-gambar ini khususnya Man Tobeng, Mat Kiok, Din Tongkat, dan Atan Kuda, saya ucapkan terima kasih.

Bilalah agaknya kita boleh bersatu kembali dan lawan mana-mana team yang hebat macam team Chemor Inn ke atau Bangi Garden ke atau tak kisahlah mana-mana team yang berani.

Bila aku terima gambar itu daripada rakan-rakan sepermainan itu, nostalgia dan kenangan bersimpang siur dalam fikiran. Hai, zaman tu macam tak takut mati rasanya. Pantang dengan ada kejohahan terbuka, sanggup kayuh basikal 30 batu untuk menyertainya. Waktu itu bukan kira menang atau kalah; yang penting fikir nak melibas aja.

Hai, nasib baiklah aku tak mati kena libas. Sekarang ni melibas lain ajalah....

Selasa, 22 Jun 2010

KISAH HARI INI: 22 Jun 2010

i
JI

Waktu semua orang bercakap pasal bola, tiba-tiba hari ini tanpa ribut taufan aku menerima panggilan telefon daripada majikan. Sekitar jam 8.16 pagi saat sedang berkira-kira hendak memulakan penulisan Phd, telefon pejabat berdering. Segera mengangkat ganggang dan mendengar salam, sang pemanggil memperkenalkan diri. Katanya wakil majikan dan sekadar ingin bertanya untuk mendapatkan sedikit maklumat. Cerita punya cerita, terkeluarlah pertanyaan daripada mulutnya.

"Maaf tuan haji, mungkin pertanyaan ini menyentuh soal peribadi sedikit. Harapnya tuan haji boleh memberikan kerjasama."
"Ya, kenapa?" tanya saya pendek.
"Daripada rekod kami, tuan haji kerap ke luar negara. Tahun ni sahaja 3 kali ke Indonesia, sekali ke Singapura, sekali ke Sedney dan sekali ke Sarawak. Bulan julai ni pula tuan haji akan ke Brunei. Tuan haji ada urusan apa?"
"Bukankah setiap perjalanan saya itu saya jelaskan tujuan dan telah diberi kebenaran? Apa masalahnya?"
"Pihak kami cuma ingin memastikan bahawa tiada seorangpun kaki tangan kami yang terlibat dalam gerakan JI. Itu sahaja."
"Oh, jadinya saya ni anggota JIlah?" Saya cuba mengaku dalam tebakan berpeluru kata-kata.
"Bukan macam tu. Kami tidak menuduh, cuma ingin mendapatkan maklumat dan kerjasama. Terima kasih tuan haji."

Nah, seorang manusia macam aku yang pernah menerima latihan ketenteraan (jadi anggota kadet tentera selama 10 tahun dan pernah menjadi pelapes (tapi berhenti)) itu dikatakan terlibat dengan JI? Aneh! Mentang-mentanglah aku pernah dan mahir menggunakan M16, LMG dan raffel automatik, makanya aku disyaki ahli kumpulan itu. Ini tuduhan melampau.

Dulu, sewaktu aku mula-mula berkerja di sini (lebih kurang 2 tahun), aku dituduh sebagai manusia bernama 'Dinsman' iaitu sasterawan dan aktivis budaya reformasi yang popular itu. Pelek, pelek, pelek. Hai, entahlah.

Bila aku fikir-fikir balik, nampaknya segala gerak-geri aku di sini sedang diperhatikan dan diawasi.

Hei, tak ada kerja lain betullah.

ii
Penjara Pudu dirobohkan

Bangunan bertarikh 1891 akhirnya dirobohkan pada malam 21 Jun 2010. Bangunan berusia 119 tahun itu akhirnya rebah ke bumi dengan alasan pembangunan, iaitu meluaskan jalan untuk mengatasi kesesakan Kuala Lumpur.

Menurut Awang (menteri Melayu-Islam yang menghalalkan judi bola) tu, bangunan ini tidak ada makna warisan dan seni bina kepada tamadun bangsa dan negara. Katanya, "penjara adalah tempat orang jahat dan tidak bermakna apa-apa. Tak guna dikekalkan dan diingatkan."

Fuh, begitulah apabila orang kaya dan tidak bertamadun dalam hal-hal yang berkaitan dengan kesenian atau warisan berfikir. Di dalam kepala otak dia hanya fikir duit, duit, duit dan kaya, kaya, kaya, kaya sahaja. Cuba-cubalah berfikir bagaimana pencinta seni bina berfikir atau berfikir dengan menggunakan fikiran orang seni. Meruntuhkan memang senang; panggil sahaja jentera-jentera canggih, sekelip mata bangunan itu boleh dihancurkan.

Saya teringat akan pesanan pensyarah saya ketika saya bergelar mahasiswa universiti Malaya dulu; pensyarah itu ada menyebutkan, "inilah mentaliti menteri-menteri kita. Katanya dah berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Tetapi apabila tindakan telah diambil, mereka menyesal." Itu kata bekas pensyarah saya yang kini telah bergelar YB pihak kerajaan.

Saya menimbulkan isu penjara pudu ini kerana saya teringat ketika saya berada di Istanbul, Turki suatu ketika dulu. Penjara yang terletak di tengah-tengah Istanbul, berhadapan dengan Masjid Biru dan lebih kurang 150 meter daripada St. Sophia Museum ke Universiti of Istanbul, di situlah terletaknya penjara peninggalakan Kamal Ataturk. Penjara itu hari ini sudah menjadi pusat jualan bunga dan kraftangan. Penjara yang pernah menjadi tempat penginapan orang jahat, pengganas, perogol, penjenayah, pembunuh itu kini berubah menjadi salah satu tempat pelancongan popular di Istanbul. Bangunannya yang unik turut menjadi perhatian para pencinta seni bina dunia.

Sepatutnya, penjara pudu yang terletak bersebelahan dengan banguan Time Square itu boleh diubah suai dengan mengekalkan seni bina asal menjadi;

1. gelanggang futsal terbesar di dunia
2. perhentian bas kota raya (one stop center) terbesar di dunia
3. pusat seni terindah di dunia
4. taman permainan terbuka/ kawasan riadah tersegar di dunia
5. kawasan meletak kenderaan awam tercanggih di dunia
6. pusat kebudayaan terbaik di dunia
7. pusat khidmat masyarakat tercanggih di dunia
8. atau lain-lain yang terhebat di dunia.

Saya bercakap begini kerana saya tidak mahu melihat anak cucu-cicit saya akan menjadi seorang yang buta sejarah terhadap negaranya sendiri. Sudahlah kita kehilangan Pulau Batu Puteh, Blok L dan M di Limbang. Apakah kita akan kehilangan bangunan/ monumen seni bina unik lagi bersejarah. Saya faham maksud istilah 'warisan' kerana ramai kawan-kawan saya yang berkerja di bawah kementerian ini. Kawan-kawan saya ini boleh mengajar saya sekirannya saya salah. Tetapi saya melihat makna ' warisan' dan 'sejarah' adalah saling berkait dalam hubungan sebuah negara bangsa yang bertamadun. Kerana saya faham dan cintakan keindahan warisanlah makanya saya menulis entri ini.

Di tengah-tengah bandar raya bernama Kuala Lumpur, rupa-rupa kerakusan manusia mengatasi kebijaksanaan. Selepas ini, kita akan sama-sama menyaksikan pula tanah Kampung Baru dibidak-bidakkan hingga menjadi mangsa yang sama seperti mana bangunan penjara pudu ini.

Marilah kita tunggu dan lihat.

iii
Gambar lama

Minggu depan saya nak balik kampung. Saya nak singgah sekolah lama saya untuk saya cari gambar-gambar lama ketika mewakil sekolah, daerah dan negeri dalam pertandingan sepak takraw, bola sepak dan olahraga. Gambar-gambar itu akan saya scan untuk dimuat turun ke dalam blog ini. Cerita tentang kehebatan gambar-gambar itu akan dikisahkan secara literari kalau gambar itu atau buktinya ada. Kalau gambar tak ada nak buat macam mana, nak cerita pun kawan-kawan tak percaya. Buat penat taip aja tapi orang tak percaya. Hehehehehehe.

Sabtu, 19 Jun 2010

BACA PUISI PENA MALAM TANGISAN GAZA

BACA PUISI PENA MALAM TANGISAN GAZA

(Maaf, iklan ini menggunakan bahasa Inggeris tetapi maksudnya BEBASKAN PALESTIN)


BACA PUISI PENA MALAM TANGISAN GAZA
Anjuran Bersama PENA-YAYASAN SALAM-GAPENA

Tempat :
Rumah PENA, Kuala Lumpur

Tarikh :
02 Julai 2010 (Jumaat mlm Sabtu)

Waktu :
8.30 malam

Acara :
Bacaan Puisi Palestian bersama Badan Kerabat GAPENA dan Yayasan Salam. Kutipan derma juga diadakan dan akan diserahkan kepada Yayasan Salam untuk bantuan kemanusiaan di Gaza.

ii
Gaza dan Palastina adalah tanah dan tubuh yang kian musnah. Sudah berpuluh tahun tanah menjadi api dan terbakar. Sudah berpuluh tahun tubuh menjadi makanan dan ratahan Yahudi. Dan sudah berpuluh tahun juga puisi dan kata-kata dilontarkan kepada bangsa yang pekak dan tidak berperikemanusiaan itu. Hari ini, setelah merampas, memperkosa, membunuh dan meratah apa-apa sahaja demi nafsu, Yahudi kian berani dan menggila.

Di mana dan sialakah yang silap sebenarnya? Yahudi satu bangsa yang dihina oleh Allah SWT itu atau bangsa Palestina yang bersalah (baca jika dirujuk atas alasan bahawa sifat manusia yang tidak sempurna). Banyak perkara yang boleh direnung dan difikirkan; tetapi sejauh mana yang direnung dan difikirkan itu di manfaatkan sebaik-baiknya?

Oleh itu, sebagai manusia yang sentiasa dilihat lemah dan perlu percaya kepada keimanan, makanya berdoa adalah senjata terbaik. Sama-samalah kita berusaha agar doa-doa manusia teranyai ini dimakbulkan oleh Allah SWT. Meskipun kata-kata dan puisi tidak sehebat senjata dan bom, sekurang-kurangnya dengan berpuisi kita telah menyatakan tidak kepada kezaliman Yahudi. Dan, ini adalah tahap selemah-lemah iman kita (maaf dan merujuk kepada tahap iman saya).

Selamat berpuisi di MALAM TANGISAN GAZA anjuran PENA-YAYASAN SALAM-GAPENA.

Khamis, 17 Jun 2010

J+U+D+I+B+O+L+A = UMNO + HALAL




BEBERAPA hari ini, saya tidak boleh menulis dan berfikir dengan waras. Kepala sakit yang amat sangat. Saya juga telah berjumpa doktor dan katanya stress. Justeru, saya mengambil keputusan menonton bola sepak semahu-mahunya (walaupun marah dengan judi bola). Cerita pasal bola, saya sokong negara komunis dan tentunya Korea. Macam yang saya smskan kepada sahabat saya di negeri 'benuasuluk', "korea ni kalau ada korea timur, korea barat, korea tenggara atau korea timur laut, pasti akan turut melayakkan diri ke wouldcup." Begitulah hebatnya negara bernama Korea yang suatu waktu dahulu menjadi pasukan belasahan Malaysia. Tidak sampai 3o tahun, pasukan itu berjaya mencipta nama di persada bola sepak dunia.

Bola sepak Malaysia ini sebenarnya sama sahaja nasibnya dengan sukan lain seperti badminton dan hoki. Cuma kedua-dua sukan ini rasuahnya belum meletup sahaja. Bola sepak pernah mencatat sejarah apabila ramai pemain hebat negara terlibat hingga melumpuhkan suasana kegemilangan sukan ini. Baharu-baharu ini bekas ketua pasukan Kedah iaitu Radhi Mat Din membuat pengakuan di pentas PAS bahawa rasuah bola sepak sudah lama berlaku dan mendapat restu kepimpinan negara. Itulah sukan bola sepak, pemainnya tak pernah baca buku Syed Hussein tentang rasuah. Bagi mereka pemain bola sepak tak perlu membaca dan mengetahui amalan yang baik-baik. Pemain bola hanya perlu memberikan tumpuan pada bola, padang dan uniform (jersey). Buang masa sahaja membaca; lebih baik makan bola, tidur bola, main bola dan judi bola. Akhirnya, seni bola sepaknya pun entah ke mana. Berjam-jam duduk menonton bola, kita masih belum nampak kelibat seorang tokoh bola macam Pele atau Mokhtar Dahari. Hai, bola, bola, bola....

Entahlah. Nak tulis pun tak ada mood. Sakit kepala, gua cakap lu.........boleh jahanamlah kau bola!

Ahad, 13 Jun 2010

SEPINCING MALAM DI DADAKU

SEPINCING MALAM DI DADAKU

Membaca puisi-puisimu
seakan membawa aku jauh
ke negeri keindahan
kesentosaan dan kedamaian
yang bersatu
di dalam keharmonian akal
benar-benar menyedarkan
demikianlah,
apabila waktu mengajar aku
mengenal takrif hikmah
yang terbit dari jernih akal,
makanya aku sentiasa
terasa dikejar dosa masa lalu
untuk mempercayai atau menidakkannya
aku kadang-kala diambang takut
yang amat sangat
seperti Al-Ghazali dan Khaldum
menyusun kata-kata,
begitu jugalah aku
yang sedang mencari kata-kata
dalam kenangan dan pengalaman
yang subur.

Saat kenangan dan pengalaman
bersayap merpati
terbang ke negeri kematian
rohku kah yang berwajah mawar
semerbak mengharum
di taman perkasihan
menjadi hujan
lalu membasah bumi.

Kerana aku bernama kenangan
akulah sekawan angin
yang mendesir
di hujung cinta-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Rabu, 9 Jun 2010

PERLUKAH SAYA MENULIS SECARA SERIUS?


Perlukan saya menulis secara serius?

Sebelum saya menjawab pertanyaan ini, saya ini memberi sedikit reaksi daripada beberapa pertemuan dengan rakan-rakan akrab yang sentiasa berada dalam lingkaran kesetiaan dan perjuangan yang sama.

Membaca blog dan facebook rakan-rakan tentang karenah dan harapan yang tinggi untuk menerbitkan buku, menulis novel, menulis kritikan, cerpen atau puisi; saya terasa kerdil dalam dunia penulisan yang tidak berbatas sempadan dan ruang. Meskipun saya cuba menyusup dengan sajak-sajak spontan yang naif/ daif (ditulis dalam masa dua tiga minit) kemudian diposkan sebagai entri ke dalam blog 'Tanah Nurani', tetapi itu tidak dapat menandingi idea-idea rakan seperjuangan. Sesekali, saya ketawa sendirian dan terkedu seketika apabila ada rakan yang mengakui dirinya bukan sarjana tetapi 'sarjan' yang lebih suka meninjau dan berperang (baca macam cerita 'Combat' era 70-an), ada juga yang sudah bergelar editor tetapi memencilkan diri dan bermacam titik-bengik lagi yang terungkap secara sinikal tetapi ikhlas. Ada juga yang berfalsafah hingga tidak terjangkau mimpi dan ada juga yang mula mengumpul nostalgia kerana diburu usia atau kenangan indah.

Saya akui bahawa untuk menjadi penulis yang baik bukannya mudah. Sejenak berfikir dan merenung ke dalam diri, saya perlu akui bahawa negara kita kekurangan pemikir seperti Naquib, Affandi Hassan, Shahnon Ahmad, Hassan Ahmad, Hossein Nasr, Ismail Faruqi, (sejumlah pemikir yang dekat dalam bidang sastera dan budaya Melayu) atau pemikir lain yang lebih bersikap terbuka tentang agama, politik dan ekonomi. Saya tidak berniat untuk menyebut nama-nama mereka satu persatu kerana bimbang saya akan tersungkur jika saya tidak memanfaat ilmu mereka suatu hari nanti.

Benar juga kata kawan saya bahawa sarjana hari ini hanya pandai 'copy and paste' apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bidang mereka. Saya akui kebenarannya kerana saya yang bukan sarjana atau apa-apa ini tetapi berkerja di menara gading mula terasa bahangnya. Bayangkan, pemikiran apakah yang asli jika mereka terpaksa berkerja untuk mengejar KPI dalam bentuk ISI jurnal yang terpaksa akur dengan pemikiran Barat. Ketua di mana-mana menara gading hari ini terlalu mengejar gelaran dan pangkat sehingga sanggup mengorbankan maruah dan kejujuran. Barat yang tidak suka dikritik akhirnya tidak mengakui kejujuran dan keaslian pemikiran tempatan. Akhirnya bagi tujuan KPI itu, para sarjana tempatan terpaksa 'copy and paste' apa-apa yang ditelurkan oleh tokoh Barat. Mereka menjadi penjilat dan penjaja 'pemikiran Barat' yang entah apa-apa itu jika diukur daripada prinsip 'pencerahan ilmu' mahupun mauduk al-ilm seperti yang digagaskan oleh Al-Ghazali dan dipermudahkan oleh Naquib sebagai sanat juzuk ilmu dan pemaknaan 'hakikat insan'.

Ketika saya mengikuti kuliah syeikh al-Maliki, beliau menjelaskan dengan lantang bahawa pentauliahan dan meletakkan status PhD., sarjana, ijazah sarjana muda, diploma dan sijil seperti yang berlaku pada hari ini adalah mencontohi perangai yahudi. Yahudilah yang membina kerangka perbezaan itu hingga akhirnya menafikan hak keilmuan para rasul, para sahabat, tabik-tabiin, ulamak dan perawi kesyumulan Islam. Yahudilah yang mencipta pendewaan PhD dan yahudilah yang sedang mencaturkan KPI di dalam sistem pentadbiran dan pentaulihan ilmu manusia moden hari ini hingga sesiapa yang tiada status PhD., makanya seseorang itu bukan pakar, bodoh atau tidak berilmu. Inilah sifat yahudi yang sedang meresap, menjalar dan membiak di dalam sistem keilmuan Malaysia.

Hakikat sarjana sebagai pewaris ilmu di muka bumi Malaysia ini saya lihat tidak segah mana termasuklah diri saya yang tergolong di dalam kancah 'konon-konon sarjana' (sebab bertugas di menara gading) ini. Kebebasan untuk menelurkan idea baharu sering ditindas (tertutup, terikat dan tiada kebebasan) kerana dikatakan tidak mematuhi kapesiti/ merit/ sistem yang telah ditetapkan kolonial. Hal-hal beginilah yang melemaskan dan membuatkan saya sentiasa makan hati. Itu sebab, jika ada rakan-rakan yang bercakap tentang 'merdeka' dan 'pembebasan Palestina' saya akan marah-marah kerana bangsa dan negara kita masih belum menikmati erti kata 'merdeka' dan 'kebebasan' yang sebenarnya.

Oleh itu, bagi menjawab pertanyaan, perlukan saya menulis secara serius? itu; jawapannya, saya perlu melihat ke dalam diri saya sendiri. Untuk apa saya 'copy and paste' jika jiwa dan raga saya masih terikat oleh pemikiran kolonial. Untuk apa saya menulis jika tulisan-tulisan itu akhirnya tidak diterbitkan, malah terpaksa dibakulsampahkan kerana tidak mengapu/ menjilat Barat. Saya sudah menyiapkan 3 jurnal yang sudahpun melalui proses persetujuan penerbitan oleh penerbit antarabangsa yang diuruskan oleh AJK penerbitan jurnal ISI peringkat universiti tetapi akhirnya terpaksa ditolak kerana saya tidak sanggup mengubah atau mengikut kehendak editor jurnal yang bernaung di London itu. Dan kerana itu, KPI saya untuk tahun 2009 yang lepas amat menyedihkan sekali.

Begitulah nasib sarjana tempatan yang tidak dapat lari daripada budaya 'copy and paste' kerana kebebasan mereka menulis, berkreatif dan menelurkan ilmu tidak mendapat pengiktirafan daripada bangsa mereka sendiri. Pemikir Melayu dahulu berada di dalam ruang dan sisi yang lain kerana penulisan mereka tidak terikat oleh ISI atau KPI. Mereka bebas menelurkan idea-idea yang hebat dan setersunya disebarluaskan secara terbuka dengan bantuan seminar dan media. Hari ini, menulis dan bercakap dengan gagasan yang bersifat jati diri dan berprinsip akan dituduh resis, pembangkang atau pengkhianat bangsa dan negara. Inilah yang disebut Edward W. Said dalam bukunya 'Culture dan Imperialism' (rujuk bab 4 di bawah tajuk 'Free from Power and Future') yang dengan terang lagi bersuluh menjelaskan bahawa kemerdekaan tidak akan lahir di dalam negara yang takut untuk mempertahankan pemikiran bangsanya. Dan, bertanyalah kepada diri kita sendiri, sudah merdekakah bangsa Melayu?

Selepas ini, saya akan terus menulis kerana saya degil. Saya adalah saya yang tiada apa-apa kecuali fitrah dan kurdat empat kerat yang sementara sahaja sifatnya itu.

AL-KALAM

Aku rindu
segugus jernih akal
untuk kutulis
bahasa cinta
dan kebesaran-Mu
aku rindu
sepasang sayap ababil
untuk kuterbang
menyusur ilmu
tak bersempadan
jarak dan waktu
aku rindu
sepasang kaki tizi
untuk kujelajah
luas panorama

Akulah kalam
setia mencakar
bahagian dan derita
di atas kertas hidup
yang sepi dan terasing.

Akulah tembusu nusantara
sebatang kalam
akarku menyelirat ke tanah
pucukku mengapai ke langit
di dadaku
duka dan tawa bertemu
dalam
subur yang mendewasa.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.

Jumaat, 4 Jun 2010

PERCAKAPAN KEPADA LAKNATUL-ALLAH ISRAEL+YAHUDI 2

JUMAAT DI MASJID JAMEK SERDANG LAMA

Khatib jumaat tadi pun melepaskan amarahnya
dengan tangis dan suara hiba
mengungkap sejarah menyusun doa
membawa fikirku ke negeri ambia

Palestin dan Masjidil Aqsa
dunia bergegar oleh rintih sedihmu
setelah beralih arah kiblat
dan detik hijrah israq mihraj
tanah itu kini
terbakar oleh kegilaan nafsu

Inilah sejarah bangsa
rakus dan lapar
meratah tanah, darah dan air mata

ii

Kepada Engkau yang Esa
dan rahmat Muhammad
kembalikan tanah ambia
kepada kami
pencinta damai
iman dan takwa.

Shamsudin Othman
Masjid Jamek Serdang Lama.


Rabu, 2 Jun 2010

PERCAKAPAN KEPADA LAKNATUL-ALLAH ISRAEL+YAHUDI




PERCAKAPAN KEPADA LAKNATUL-ALLAH ISRAEL+YAHUDI

Aku tulis sebuah kembara duka
bertinta darah dan air mata
di atas sejadah menghadap kiblat
yang bertahun dendamnya membara
terbakar oleh rakus nafsu dan tamak kuasa

Saat menulis di bawah runtuhan damai
kata-kata seperti angin lalu
menyapa tanpa berbekas
hingga jerit tangis
lenyap dalam kabut di langit

Apa lagi yang boleh kusumbangkan
selain iman yang tipis
kerana pistol dan bom
tak aku miliki
kuasa dan kezaliman
tak aku miliki
dan segugus suara
telah lenyap tanpa nisan pusara

Tapi
tanpa apa-apa
aku masih punya
sisa-sisa doa
yang mengharum
di taman jihad.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.