Khamis, 21 Oktober 2010

DI SEBALIK PERHIMPUNAN


Model 'Festival Busana Muslim' yang mempersenda nama Nabi Muhammad SAW.
i
"Najib repeating my advice, says Dr M" ini tajuk utama Malaysiakini 21-Okt 2010 jam 4:20 pm. dan dalam akhbar elektronik yang sama juga ada tajuk "Festival busana: PAS berhimpun bantah Rosmah". Di dada Berita Harian pula muncul tajuk "Puteri UMNO bukan objek sex" dan macam-macam lagi tajuk berita yang saya tidak terfikirkan muncul pada saat perhimpunan sebuah parti terbesar Malaysia.

Sepanjang perjalanan ke Shah Alam saya mendengar ucapan Presiden UMNO dengan gagasan muluk yang diselang-selikan dengan petikan ayat al-Quran dan hadis serta gurindam Pak Tenas. Mendangarnya dengan rengus yang tidak berakhir hingga enjin kereta berhenti membuatkan hati kecil saya tertanya. Ke mana hendak di bawanya Melayu (UMNO) oleh manusia ini? Jika kita terpaksa bertoleransi dengan bangsa-bangsa lain; bukankah itu yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat? Pendirian saya jelas, UMNO ialah untuk Melayu. Sementara gagasan perjuangan PKR, PAS , DAP dan lain-lain itu ialah perjuangan kepada sebuah negara bangsa, iaitu perpaduan kaum. Apa yang sudah berlaku, UMNO dah ikut PR ke? Saya tidak mahu berfikir lama kerana inilah politik. Apa-apa sahaja boleh berubah sekelip mata. Seperti yang pernah saya tuliskan di dalam cerpen saya berjudul "Sang Silap Mata, Seekor Badut dan Si Tunggal."

ii
Isterinya pun sama juga, melancarkan Festival Busana Muslim tetapi pakaian modelnya jelas jahiliah dan mempersenda Islam pula. Entahlah.. saya sendiri tidak arif dan faham apa agenda di sebalik sebuah perhimpunan parti terbesar di Malaysia ini.

iii
Hari ini saya sempat bersemuka dan berbincang dengan seorang tokoh bekas Ketua Pengarang Berita Harian. Dia masih seorang idealis bahasa dan Melayu yang 'totok' tetapi terbuka akan kepimpinan baharu yang muncul dengan pandangan dan gagasan semasa. Pengalaman bersama-sama hampir 3 jam itu sedikit-sebanyak memahamkan saya strategi akhbar/ media dalam menentukan jatuh bangunnya seseorang manusia.

Oh, saya perlu berhati-hati selepas ini.

Selasa, 19 Oktober 2010

TAHNIAH SAHABATKU

(Saya, Rahimidin Zahari, Zaen Kasturi dan S.M Zakir)

TAHNIAH kepada dua orang sahabat saya yang baharu sahaja diumumkan oleh DBP sebagai penerima anugerah sastera. S.M Zakir membawa pulang gelaran Penulis Muda MASTERA sementara Zaen Kasturi meraih SEA Write Award.

Kedua-dua penulis ini saya kenali sejak zaman remaja sewaktu mula mengenal 'kalam dan kertas'. Zaen lebih awal kerana kami terdidik daripada Minggu Penulis Remaja. S.M Zakir pula agak lewat sedikit kerana dia anak sorang penulis tersohor dan sasterawan negara pula. Waktu itu, kami malu untuk berkawan dengan anak sasterawan negara. Jadinya saya takut untuk bermesra dengannya dulu. Saya menjadi rapat dengan S.M Zakir apabila kami ditemukan di rumah PENA dan terlibat juga dengan gagasan SPMG (Saketariat Penulis Muda Gapena). Saya yang dulu baik kini sedikit demi sedikit menjadi rosak sana sini apabila mula berkawan dengan mereka berdua (out of record: hehehehehehe).

Kedua-dua penulis ini mempunyai kelebihan tersendiri. Seperti yang saya nyatakan dalam akhbar Berita Harian beberapa hari sebelum ini, bahawa Zaen Kasturi adalah penyair yang sering mabuk dalam kata-kata tetapi terpenjara di dalam ruang besar dirinya. Dia selalu membongkar sebuah masa lalu dengan diksi alamiah. S.M Zakir pula saya lihat antara penulis yang sedang memasuki istana falsafah. Dia juga mempunyai kelebihan yang luar biasa kerana mampu merakam apa-apa juga yang dilihat, didengar dan dirasai tanpa mencatat. Hal ini terbukti di dalam cerpennya yang berjudul "Cerita kepada Teman-teman" (Dewan Sastera, Januari 2009). Pengalaman mengembara dengan S.M Zakir amat memeningkan kepala sebab dia lebih licik daripada Amiruddin Ali yang kononnya sudah licik itu (malah Amiruddin yang licik itu pun selalu menjadi mangsa ditinggalkan).

Kini kedua-dua rakan saya ini sudah bergelar. Potret di atas menjadi saksi keakraban kami. Saya berdoa selepas ini RahimidinZahari pula akan menyusuri jejak mereka berdua. Mudah-mudahan doa ini menjadi kenyataan kerana Rahimidin kini antara yang terbaik dan setanding dengan Faisal Tehrani.

Berbalik kepada Zaen Kasturi dan S.M Zakir, kedua-duanya mempunyai kelebihan yang hampir sama; bermula sebagai pemain bola sepak kemudian beralih kepada bidang penulisan (menghasilkan cerpen, novel, puisi, esei dll), boleh bermain alat muzik, bernyanyi dan menulis lirik lagu. Inilah keluarbiasaan yang sukar saya dan Rahimidin Zahari tandingi. Kami tak pandai menyanyi dan bermain gitar. Apatah lagi main bola sepak (penyokong SPURS sahaja). Malah kelainan paling ketara ialah S.M Zakir lebih bersifat 'brutal'.

Apa-apapun saya secara peribadi amat senang mengakrabi mereka. Bak kata pepatah minang, "tak simpan di dalam hati" itu makanya hingga ke hari ini kami saling berbicara.

Tahniah kepada sahabat saya S. M Zakir dan Zaen Kasturi (Zainal Palit). Selepas ini saya akan terus mendoakan sahabat saya Rahimidin Zahari untuk menyusul sebagai penerima anugerah seterusnya. Kepada kalian, apabila sudah berjaya, jangan lupa saya yang masih di bawah ini. Saya berharap juga mereka berdua akan meneruskan perjuangan sastera Melayu hingga berjaya merangkul anugerah Sasterawan Negara. Saya juga sedang menanti buah rindu (karya) mereka yang terbaharu. Khusus kepada Zaen Kasturi pula, keluarlah dari kota persembunyian dan dampingi kami di PENA.

Hari ini S.M Zakir menjadi tonggak kuat PENA sementara saya hanya tiang yang menyokong tetapi menanti rebah kerana tidak sekuat S.M Zakir . Dia Setiausaha Agung PENA sementara saya timbalannya. Kami sedang menyusun strategi untuk terus memartabatkan sastera Melayu. Dalam PENA, S.M Zakir dan bebarapa rakan lain seperti Mohammad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali, Rahimidin Zahari, M. Lutfi Ishak. Dr. Hanafi Ibrahim, Ariff Mohamad dan lain-lain itu mempunyai buah fikir yang senada dan murni. Insya-Allah, akan kami teruskan perjuangan itu.

Kepada S.M Zakir dan Zaen Kasturi, kalian adalah sahabat yang memahami. Tahniah ikhlas daripada saya dan saya sedang merenung nasib yang jauh panggang daripada api. Moga keakraban kita kian direstui Allah SWT.

Amin.

Sabtu, 16 Oktober 2010

POLITIK ILMU VS POLITIK KUASA


APABILA seorang sahabat menulis perihal politik ilmu dan politik kuasa, saya terasa ada sesuatu yang menarik dalam tulisannya. Kejelasan pendirian itu seharusnya ditebaki dengan kebenaran yang tidak berbelah bahagi. Itulah hakikat yang perlu kita sedari dan itulah yang sering saya gegerkan di dalam puisi-puisi saya selama ini.

Lima tahun dahulu sewaktu saya bergelar guru sekolah, hal-hal ini masih samar-samar dan kurang jelas dalam hidup saya. Tetapi, setelah melangkah dan bertugas di bumbung bernama menara gading, saya mula melihat kecerahannya bahawa hal-hal yang bersangkutan dengan politik ilmu itu adalah setanding dengan politik kuasa malah kadang-kadang lebih teruk daripada itu.

Budaya kerja politik ilmu yang tidak mengenal batas sempatan kreativiti itu pada hakikatnya telah menghalalkan banyak cara, kaedah, pendekatan dan teknik akademia untuk menobatkan sesuatu waima pembohongan dan pendustaan teori dan gagasan. Hal ini menyebabkan budaya berfikir manusia khususnya budaya berfikir intelektual (? - itupun jika boleh digelar intelek) Melayu adalah seperti pemikiran 'melukut di tepi gantang'; penjilat kepada konsep pencerahan ilmu barat; secara membabi buta kemudian mengiktirafnya sendiri sebagai kuasa pemikiran logos dan etos.

Politik ilmu adalah jalur-jalur racun yang kini sedang meresap dan mewabak di dalam dunia akademia Melayu. Sama ada disedari atau tidak; atau sengaja dilakukan dengan tujuan persaingan mengejar status bertaraf antarabangsa, dunia akademia yang mendokong kuasa politik ilmu itu sedang berhadapan dengan 'pusara' budaya ilmu dan fikir akal budi.

Peranan politik kuasa yang mendokong gagasan politik ilmu palsu itu sebenarnya berpunca daripada penguasa politik dayus yang tidak memahami konsep ilmu seperti yang digagaskan oleh Syed Naquib, Hossein, Khaldum, Ghazali mahupun kembali kepada teras asal ilmu, iaitu al-Quran dan hadis. Tanpa berpihak tetapi tegas berprinsip, politik ilmu yang sedang menular dalam masyarakat 1Malaysia hari ini perlu dibendung supaya ketidakjujuran itu dapat dihentikan. Tidak dinafikan, kita juga masih memerlukan manusia dan gagasan ilmu yang sedang diusahakan oleh segelintir manusia. Mudah-mudahan usaha murni yang sedang digagaskan oleh ramai lagi manusia yang sedar akan hakikat ilmu ini tidak terjerumus ke dalam kancah politik ilmu yang diperkatakan ini.

Seorang sahabat saya yang lain, di dalam blognya juga menulis tentang tajuk 'idealogi telah mati' secara sedarnya juga membongkar pandangannya terhadap idealogi kiri, idealogi kanan atau idealogi palsu yang akarnya tergantung dan tidak berjejak di bumi nyata. Gesaan ini bertujuan supaya kita sama-sama memanfaat fitrah akal yang dikurniakan Allah SWT secara baik dan bersusila. Kembali kepada pendirian ini, makanya kita akan dapat menikmati kesan perkembangan ilmu yang sihat dan jujur.

Politik ilmu perlu dalam idea sebuah ketamadunan bangsa; tetapi yang salah ialah politik ilmu itu tewas dalam tangan politik kuasa yang tamak dan tidak beretika. Politik ilmu adalah medan terbaik bagi sesuatu bangsa itu menetaskan gagasan seterusnya mencaturkan budaya ilmu yang subur. Politik ilmu perlu dalam konteks mencuri ruang untuk melonjatkan pemikiran bangsa. Politik ilmu penting dalam merancang strategi penyebaran logos dan etos bangsa, dan politik ilmu juga amat diperlukan dalam pengisian kurikulum bangsa. Tetapi yang salahnya ialah politik ilmu yang menipu segali gus menjadi bahan pencacai, sendaan dan cercaan masyarakat luar yang menguasai ilmu plagiat atau penciplakan.

Sejarah kreativiti manusia tidak boleh melangkaui ayat 82 surah Yassin, iaitu yang berakhir dengan frasa "Kunfayakun". Frasa ini amat jelas memberitahu kita bahawa kuasa penciptaan ilmu Allah SWT adalah melangkaui politik ilmu manusia. Hal ini bermakna, pemikiran manusia yang terbatas itu ada had ego dan sombongnya. Peringatan terhadap jangan mendabik dada dan menganggap orang lain tidak mengetahui adalah satu kejahilan akademik yang perlu dihentikan.

Inilah yang dimaksudkan oleh dua orang rakan saya bahawa politik ilmu dan idealogi yang mati akibat terbawa-bawa oleh arus politik ilmu dan politik kuasa. Akhirnya, politik ilmu dan idealogi menjadi mabuk dalam dunia materialistik hari ini.

Khamis, 7 Oktober 2010

DEMOKRASI VS KEADILAN


DEMOKRASI VS KEADILAN

Sepagi di dada taman
aku dikejut deringan telefon
seorang teman langka
mendesak pengalaman
juga ingatan ikhsan
tentang makna
DEMOKRASI dan KEADILAN

kataku
DEMOKRASI adalah sebilah jarum
yang tajam menusuk tubuh
tanpa sakit dan ngeri
tapi darah membuak
seganas lahar mabuk gunung

kataku
KEADILAN adalah neraca sakti
tidak berjarum tetapi bersihir jampi
tumpul bersilap mata
dalam luka dan dendam nestapa

sebelum berpisah
aku berpesan
DEMOKRASI adalah seekor serigala
KEADILAN adalah seekor kancil
yang kedua-dua mati
kerana sejujuk air mata.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Rabu, 6 Oktober 2010

MERISIK KASMARAN



Merisik Kasmaran

Kau berikan secebis sisa waktu
untuk aku bawa pulang
ke negeri cinta
lalu aku jadikan bekalan
menyusur jejak dan gerak
hingga ke pangkalan

Sayang
yang ketemui hanya
huruf-huruf daripada puisi Iqbal
bertaburan di dada lumpur
dan sebaris ayat Rumi
terpaku di jeti

Aku merisik kasmaran
yang sepi di pelabuhan
sendirian menganyam senja
saat menanti bulan
bersinar di dada malam.

Shamsudin Othman
UPM. 5 Okt 2010

Jumaat, 1 Oktober 2010

JIJIK i

JIJIK i

belum apa-apa
selepas kematian itu
dengan jenazah masih
berharum mawar
sang aligator melatah
"hantu akan bertemu malaikat
di Galas"

Seekor singa tua
antara daging dan darah
yang perlu diratah
adalah roh leluhurnya
tanah gemulan rezeki mencurah

Tanah harum ini
esok lusa
akan berbau jijik
dan busuknya
tidak mustahil
akan melengkar ke kota.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori