Ahad, 11 September 2011

MAKNA PENJAJAHAN

TAKDIR menentukan tiba-tiba rakyat Malaysia menjadi celaru dengan konsep kemerdekaan negara tercinta ini. Bayangkan, setelah menikmati erti kemerdekaan selama 54 tahun, setelah melewati zaman sukar melaungkan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!', setelah beristirahat pada setiap tanggal 31 Ogos, setelah bernyanyi bersama-sama allahyarham Sudirman mendendangkan lagu 'Tanggal 31 Ogos', dan bersusah payah belajar sejarah daripada zaman KLSR/ KBSR/KLSM/KBSM dan hingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda di universiti, rupa-rupa sekumpulan Majlis Profesor Negara (MPN) menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British. British hanya penanung dan orang baik yang cuma diamanahkan oleh Raja-raja Melayu untuk mentadbir urus khazanah negara. British dikatakan orang baik yang membantu menjaga keamanan Tanah Melayu daripada ancaman dan kezaliman komunis dan tentera Jepun. Dan paling walang apabila dikataka British adalah penaung Tanah Melayu.


Masya-Allah! Aku kini terbayangkan wajah cikgu-cikgu yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah dan para pensyarah sejarah di universiti. Adakah mereka selama ini seorang pendusta atau pembohong kepada seluruh rakyat yang belajar di bawah bumbung kepimpinan Kementerian Pelajaran Malaysia atau Kementerian Pengajian Tinggi? Jika para guru dan pensyarah ini adalah pendusta, bagaimana dengan keputusan SRP (kini PMR), SPM, STPM aku selama ini? Kelulusan itu perlu dibatalkan SEGERA. Dan, semua guru dan pensyarah aku itu perlu dikenakan tindakan tataterbit kerana mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran atau lebih tepatnya INGKAR kepada tatasusila kerjaya keguruan.


Tetapi, jika guru dan pensyarah aku itu betul, maka Ya Allah ampunkan dirinya, rahmatilah kehidupan dirinya dan jika mereka telah kembali ke alam abadi, aku mohon Kau terangi kegelapan pusaranya dan Kau lapangkan pusaranya.


Hari ini, untuk apa sebuah kuasa besar bernama komenwel jika Malaysia masih menganggotai kuasa besar itu? Untuk apa Tunku Abdul Rahman perlu pergi ke London dengan duit rakyat (rujuk cerita rakyat Tanah Melayu sanggup bergolok bergadai untuk membantu dana ke London)? Untuk apa orang Melayu merelakan British membunuh Tok Janggut, Mat Lela, Panglima Saleeh dan lain-lain? Untuk apa air mata darah rakyat dipertaruhkan atas nama biji timah, getah dan kelapa sawit? Dan untuk apa puisi-puisi, novel, cerpen dan drama sayembara kemerdekaan? Untuk apa tuan-tuan yang dikasih?


Jika kemerdekaan adalah sebuah batu, maka sudah lama ia tenggelam di dasar laut. Jika kemerdekaan itu adalah sebutil kapas, sudah lama ia tidak bergentayangan di angin lalu. Jika kemerdekaan itu adalah air mata, sudah lama ia kering. Jika kemerdekaan itu adalah keringat, sudah lama ia mendarah di dalam daging dan tulang kesumat.


Takdir menentukan tiba-tiba sejarah tanah air perlu ditulis kembali oleh kepala-kepala politik bukan orang pakar dalam bidangnya. Jika hal ini menjadi kenyataan, maka tunggu dan saksilah azab bencana Allah SWT. Jika hal ini menjadi kenyataan, maka dengar dan lihatlah malapetaka apa yang balak menyusul. Dan, jika hal ini menjadi kenyataan, maka kita yang tidak berdosa akan turut sama menerima tempiasnya.


Ketika aku menulis enteri ini, aku sedang membayangkan peristiwa Tunku Abdul Rahman sedang mengangkat tangan sambil melaungkan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" diikuti laungan rakyat yang bergema di Stadium Merdeka. Aku terbayangkan Sambutan Hari Merdeka pada setiap tahun yang di adakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Aku terbayangkan Hussein Onn, Tun Razak, Tun Mahathir Muhammad, Abdullah Badawi dan Najib. Untuk apa mereka bersama-sama rakyat melaungkan slogan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!" Berapa banyakkah duit rakyat yang telah dibazirkan untuk mengadakan sambutan itu?


Tanpa berpihak pada mana-mana parti politik tanah air, sesungguhnya aku bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Cuma sesuatu yang kurang aku sukai ialah apabila kecelaru demi kecelaruan yang tidak pernah dijawab secara adil, ikhlas dan telus.


Ya Rabb, maafkan aku seorang hamba kerdil yang tidak punya apa-apa. Lalu, sudah merdekakah kita?