Khamis, 13 Disember 2012

DI BUMI MAKASSAR

















Makassar-Losari-Kodingareng-Samalona = Petualang Toraja. 

Aku menyusur tanahmu
Arenawati
dengan pengalaman


belibis menari di gigi laut
losari yang membiru
bedar membelah ingatan
lelaki toraja
membalut ramah timur
seperti pantai
berambut ikal mengurai
menyapa tamah
marga selatan yang damai.

Di sini
seorang sultan Hasanuddin
dan Arung Palaka
saling bertingkah mimpi
saat menatap kenang
la galigo
sarat dalam akar
masa lalu yang bergenang
di Selat Maluku.

Terima kasih pak Arenawati
'Sukma Angin' itu mengajar aku
memahami 'Cakra Waruga'mu
yang meresah dalam diri
saat mengulit 'Enda Gulingku'.

SHAMSUDIN OTHMAN.
Pantai Losari, Makassar.
25-28 November 2012

Selasa, 6 November 2012

Singapore Writers Festival 2012






TIGA hari mengikuti program Singapore Writers Festival (3-5 November 2012) sedikit sebanyak dapat mengimbau rindu masa lalu terhadap sejarah kota singa yang hampir dua tahun tidak saya jejaki. Pertama kali saya menjejaki kota ini ialah pada zaman alam persekolahan, iaitu ke Singapura untuk membeli stokin dan seluar pendek jenama 'Grandsport' jenama kegilaan pemain sepak takrwa ketika itu. Pada zaman saya bergelar mahasiswa, saya dibawa oleh DBP untuk mewakil Malaysia ke program Dialog Selatan III; bertemu dengan sasterawan Singapura-Malaysia-Indonesia. Kini, saya ke pulau ini untuk mengikut serta program sastera yang lebih dekat dengan jiwa saya.

Rasa terima kasih perlu saya hulurkan kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) atas ehsan membawa saya bersama-sama menyertai rombongan mereka. Walau pun saya selalu memikirkan tiada apa-apa yang saya sumbangkan tetapi mereka (ITBM) tidak melihat akan hal-hal sebegitu. Mereka lebih percaya kepada konsep 'diam tetapi sedia belajar' daripada 'berkokok tetapi najis bersepah di sana-sini'. Terima kasih tuan-tuan.

Bercakap tentang Singapore Writers Festival (SWF) 2012, ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan. Program kali ini merupakan program kedua kali yang saya ikuti. Sebelum ini, saya, Rahimidin Zahari dan S.M. Zakir mewakil ITBM dalam masjlis pelancaran antologi puisi 'Dari Jendela Zaman Ini' (2010). Kali ini, saya ke program yang sama tetapi hadir untuk memeriahkan pelancaran antologi cerpen berjudul 'Melangkaui Jambatan Kedua' (2012). Kedua-dua buku ini adalah satu usaha memperkenalkan pengarang-pengarang muda Malaysia-Singapura ke mata dunia. Karya-karya yang terpilih itu telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris supaya karya ini dapat dinikmati oleh warga kedua-dua negara secara bersilang bahasa. 
Saya kira, inilah usaha terbaik yang perlu diteruskan supaya hubungan serumpun dalam konteks bangsa, bahasa dan ikon kesusasteraan Melayu itu dapat berkembang sihat setelah digerakkan oleh generasi ASAS-50 atau gerakan-gerakan lain seperti DBP mahupun GAPENA. Usaha penerbitan sebegini merupakan satu bukti penggembelingan tenaga intelektual waima menjadi cermin kepada pertautan ikon Melayu itu sendiri.

Gambar muka separuh harimau dan separuh singa itu sebenarnya mempunyai nilai ketersiratan makna yang mendalam. Terbukti bahawa suara-suara sinis tentang muka kulit (cover) buku yang tidak berdaya ekonomi itu adalah palsu apabila saya dengan kepala mata dan hati nurani sendiri dapat melihat bagaimana jualan buku ini laris pada waktu pelancarannya. 

Tahniah kepada penyusun buku ini, iaitu tuan syeikh Rahimidin Zahari atas pilihan cerpen yang jelas arah tujunya. Kepada ITBM moga usaha sebegini berterusan dalam rahmat dan izin Allah SWT. Amin.


Selasa, 28 Ogos 2012

SALAM EIDULFITRI 1433H/ 2012M

SALAM EIDULFITRI 1433H/ 2012M

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, maka saya masih dapat menghirup nafas untuk menikmati lebaran ke-45 tahun ini. Usia yang kian menua dan sesekali letih oleh sebab tuntutan duniawei sering mengingatkan saya kepada kematian. Iya dan betul apabila orang tua-tua selalu berkata bahawa, "jangan buang tebiat dan jangan selalu ingat mati". Tapi saya lebih suka mengingat akan mati supaya saya sedar diri bahawa kehidupan ini hanya sementara sahaja sifatnya.

Rupa-rupanya setelah diingat kenang berkali-kali, pada tahun ini saya telah diberikan banyak kesenangan oleh Allah SWT. Oleh itu, adakah memadai dengan ucapan syukur dan allahamdulillah sahaja bagi menyatakan terima kasih itu? Kepada-Mu Ya Rabb, saya dengan seluruh rasa rendah diri, lelaki terkeji di sisi-Mu atau hamba yang serba lemah ini memohon agar nikmat senang itu jangan ditarik balik kerana aku ini hamba yang tidak berdaya untuk menanggung azab derita. Kepada-Mu Ya Allah, aku merayu dan berdoa agar seluruh nikmat sihat, nikmat muda, nikmat senang (lapang) dan nikmat bahagia itu KAU subur harumkan dalam taman hidupku.

Kepada-Mu Ya Rabb, aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku.

Isnin, 23 Julai 2012

SALAM RAMADHAN 1433H

SALAM RAMADHAN 1433H

Hari ini saya menulis kembali dalam blog ini setelah sekian lama menyepi. Kesepian saya daripada blog ini kerana saya terpaksa menghilangkan diri memburu waktu dan rutin duniawi yang mendesak. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah SWT atas nikmat dan rahmat-Nya. Rupa-rupanya waktu yang berlalu itu telah banyak mengajar saya makna kasih sayang. Nilai kasih seorang isteri dan nilai sayang anak-anak yang mendewasa tanpa perhatian sepenuhnya. Sesekali merenung waktu yang berlalu itu, saya teringatkan zaman kanak-kanak saya yang mendewasa dengan didikan agama yang sempurna daripada tanggungjawab emak ayah.

Hari ini, bagaimanakah nasib anak-anak saya. Mereka sedang berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa. Berhadapan dengan cabaran dunia siber dan masalah-masalah pendidikan yang mendebarkan. Mungkinkah anak-anak saya mampu bertahan dan menjadi manusia yang baik sekurang-kurangnya dapat menjadi insan yang menghormati saya dan ibunya.

Sempena ramadhan ini, saya merenung ke dalam diri; jika ibu dan ayah mampu mendewasakan saya dengan ilmu agama dan ilmu duniawi, kini mampukah saya menggalas tanggungjawab yang sama kepada anak-anak saya.

Ya Rabb, berikan hambamu ini kekuatan untuk mendewasakan anak-anakku dengan jalan yang Kau redai. Amin.

Isnin, 5 Mac 2012

DEMI RINDU: SAYA AKAN MENGEMBARA LAGI

HAMPIR dua bulan tiada apa-apa yang baharu dalam blog ini. Tiba-tiba saya perlu segera bermuhasab diri khususnya tentang mengingati perjalanan atau kembara masa lalu. Saya namakan muhasabah ini sebagai Muhasabah Kembara.

Rupa-rupanya, diam tak diam saya sudah memiliki empat buah pasport antarabangsa. Di dalam pasport tu, tarikh pertama saya keluar negara ialah pada tahun 1988, iaitu ke Perth, Australia (31 Julai - 10 Ogos). Semenjak dari itu saya terus berkelana mencari sesuatu atau lebih tepatnya mencari kerinduan terhadap keindahan ciptaan Allah SWT. Tanpa saya sedari juga, diam tak diam saya sudah menjejaki 1/12 negara Eropah dan sebahagian besar benua Asia apatahlah lagi tanah Nusantara. Bersama-sama rakan penulis, saya terus menjadi 'gila' untuk menikmati kerinduan itu.

Daripada jumlah itu, saya sedang menyusun kembali jadual kembara saya itu mengikut tahun dan sedang berusaha mencari semula album kembara tersebut. Sesuatu yang saya sedari ialah kelemahan saya yang tidak suka mengumpul gambar. Makanya pada hari ini, saya mula terfikir akan peripentingnya kenangan dan bukti kembara. Saya menulis begini bukan kerana sedang menulis travelog. Saya menulis begini kerana saya ingin meneruskan kembara lagi.

Insya-Allah, jika diizinkan Allah SWT, Bologna sedang menanti saya. Tetapi ,mampukan saya ke sana jika saya terpaksa pergi dengan membuat pilihan.

Ahad, 8 Januari 2012

SELAMAT DATANG 1433H/2012

SAYA menulis entri ini setelah 14 hari Safar 1433 menjengah dan 8 hari Januari memasuki tahun 2012. Seawalnya, saya berkira-kira ingin menyepi sahaja kerana mula menyedari bahawa 'kail sejengkal jangan diduga lautan yang dalam' atau 'ukurlah baju pada badan sendiri' itu ada kebenarannya.

Tetapi, begitulah yang ditakdirkan Allah SWT. Seorang penulis tidak akan dapat hidup tanpa pena, kertas atau wadah untuk berkomunikasi. Makanya sesuatu yang dilihat, didengar atau dialami itu sering meronta-ronta dalam fikiran. 'sesuatu' itu seperti bola yang melantun-lantun dalam ruang fikir; melayang-layang dalam langit igau; merayau-rayau dalam rimba akal dan macam-macam lagi. Itulah yang dikatakan, 'alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan' dan 'alang-alang mandi biarlah basah.'

ii
Semalam, saya, Rahimidin Zahari dan anak keduanya sempat menghadiri majlis ilmu di Bukit 9, Rembau. Masjlis 'taman-taman syurga' itu membuatkan hati dan kalbu saya tenang dan damai. Sesekali meredah malam dan bermuhasabah diri dalam suasana sunyi tanpa gangguan deruan kereta atau enjin kapal terbang, saya benar-benar dibawa ke alam hadarah diri.

iii
Saya dihubungi oleh seorang editor sastera melalui sms yang meminta supaya pada tahun 2012 ini ada cerpen saya yang tersiar di akhbar kelolaannya. Katanya, dia baharu sahaja membaca untuk kali ketiganya cerpen saya yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1990-an dulu. Dia rindu gaya dan naratif saya katanya. Saya tidak memberikan apa-apa jawapan. Hanya mengutus ucapan 'insya-Allah' sahaja.

Menulis cerpen tidak sama seperti menulis puisi. Itulah perkara yang sering saya fikirkan.

iv
Insya-Allah dan doakan juga agar debaran menanti perjuangan akademik saya akan berjaya pada tahun ini. Berulit dengan hal-hal akademik menyebabkan saya sering diselimuti oleh keresahan dan debaran. Mudah-mudahan, Allah SWT merestui kehadiran 'Model Rasa Insaniah' dalam penyuburan sejarah Kesusasteraan Melayu. Saya tidak mengharapkan model ini hebat seperti teori Takmilah, teori Pengkaedahan Melayu mahupun Persuratan Baharu tetapi cukuplah sebagai pilihan untuk mempelbagaikan pandangan dan tanggapan. Bagi saya mudah sahaja, iaitu ciptaan manusia adalah tidak sempurna dan boleh dibahaskan. Itulah sifat manusia yang lemah jika diukur daripada konsep pengabadian kepada Yang Maha Pencipta.

v
Mudah-mudahan pada tahun 1433/ 2012 ini, saya dapat mengorak langkah ke depan dengan lebih baik daripada tahun-tahun lepas.

Kepada-Mu Ya Rabb, saya serahkan seluruh jiwa dan raga ini dengan seikhlas-ikhlasnya. Amin.