Isnin, 31 Disember 2007

Salam dari 'Tanah Perang'



AKU baharu sahaja menjejakkan kaki di tanah air setelah hampir seminggu mengembara ke 'tanah perang'. Perjalanan ke Phonm Penh, Kambodia terus menyusup ke Saigon, Vietnam banyak mengutuskan keinsafan. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana sebuah negara yang baharu sahaja menghirup nafas kebebasan itu mampu hidup dalam keadaan damai, bahagia dan harmoni. Malah apa yang lebih perdih ialah melihat anak-anak kecil dan warga tua yang cacat akibat bom atom Amerika melarat di kaki lima memohon sesuap rezeki. Melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa berjalan tanpa anggota yang sempurna - menyebabkan hati dan naluriku berderai. Mereka yang tidak berdosa menjadi kezaliman perang dan kekuasaan Amerika yang tidak mengenal erti kemanusiaan. Rejim Amerika yang bersekongkol dengan Pol Pot (rejim Khemer), seakan 'tuhan' di tanah yang cukup manis dan indah itu.


ii
Dua puluh tahun selepas perang, kedua-dua kota ini (Phonm Penh dan Saigon) masih berwajah duka dan sedih. Pembangunan yang dilihat hanya 'bertopengkan kesenangan' sedangkan hakikatnya rakyat masih tersepit dan terhimpit antara mempertahankan ketamadunan yang berteraskan jati diri atau menerima sahaja perubahan yang dibawa Amerika. Bukti yang jelas ialah apabila semua urus niaga masih menggunapakai wang dollar USA. Nilai dan penggunaan mata wang sendiri seperti tidak 'laku'.


iii
Cerita di balik tabir

Aku, SM Zakir, Rahimidin Zahari, Saifulizan Yahya, Amiruddin Ali, Mohamad Saleeh Rahamad agak licik menyelinap ke setiap lorong dan bangunan. Kami mencari apa yang paling istimewa di tanah perang ini. Wah, keanehan dan keajaiban yang tersembunyi kami temui (tak perlu diceritakan di sini)! Tetapi, rasanya kelicikan kami tidak dapat ditandingi oleh kelicikan Zakir dan M. Saleeh. Mereka berdua bukan sahaja kebal tetapi dikatuki oleh warga tempatan. Aduh!!

iii.

Di Saigon, Vietnam, aku merasai bahang debu perang masih berterbangan. Seluruh rakyatnya amat benci akan Amerika. Kata mereka, "Amerika mengubah budaya dan tamadun kami."
iv

Perjalanan ini memungkinkan rindu dan cinta kepada tanah air kian menebal. Sesuatu yang tak pernah luntur daripada jiwaku ialah, "bertapa beruntungnya aku dilahirkan di Malaysia."

Isnin, 10 Disember 2007

NAFAS DAN CINTA IMANI - AL HAJJ

lukisan berharga rm3000
i
SangHERO mendesak lagi. Kali ini katanya, rindu akan satira aku. Wah, hebat juga rasanya apabila ada pengikut setia malah rindu akan satira yeng entah apa-apa itu! Itu bukan soalnya. Yang penting aku menyepi kerana nafas yang mengalir dalam cinta diriku sejak dua menjak ini rasa terhukum oleh kenangan silam. Bayangan demi bayangan, wajah demi wajah, kenangan demi kenangan, dan semuanya yang pernah mengalir dalam darah cinta aku itu benar-benar menggugah. Aku di bawa jauh ke negeri kenangan sewaktu menjadi mahasiswa MPLP, IBMM dan UM. Semuanya bergentayangan di skrin ingatan. Satu persatu datang dan pergi. Ah, melayannya boleh menjadikan aku gila! Cinta masa lalu kian mendekatkan meski tak terjangkau tangan.

ii
SangHERO mengutus email dan mendesak aku supaya meneruskan perjuangan. Aku membalas dengan satu jawapan ringkas sahaja, iaitu, "hanya pena sahaja yang dapat menggulingkan kebejatan pemimpin. Kata-kata dan tulisan sudah tidak bermakna kerana pemimpin hari ini sudah dipekak dan dibisukan oleh kuasa". Sejak hari itu SangHERO tidak lagi mengemail apa-apa kepadaku. Mungkin dia sedar atau sengaja buat tidak sedar lalu malas melayan kerenah aku. Tak apa, itu juga bukan urusan aku kerana banyak lagi perkara yang perlu aku fikirkan.

iii
Musim Haji menjelang lagi. Ingatan, kesyahduan dan kerinduan mengerjakan fardu haji dua tahun lalu mengimbau lagi. Ya Allah, kalaulah aku punya kuasa dan berkuasa aku akan berusaha untuk menjadi warga Mekah buat selama-lamanya. Pengalaman menyusur tanah Mekah, Mina, Arafah, Muzalifah, Madinah, Quba, dan lain-lainnya itu tidak mungkin mati begitu sahaja malah kian subur dan mengharum.

Ya Rahman Ya Rahim ,
sebutlah namaku
pada setiap kali
seruan haji menjelang.
Aku rindu kembara nurani.

Aku rindu perjalanan rohani.

Bawalah aku mendaki
puncak gunung imani
pimpinlah tanganku
menuju gua takwa
juga perbukitan taubat.

madrasah Sham al-johori
kuala lumpur.

Sabtu, 1 Disember 2007

SEBUAH NEGERI BERGELAR MANDUL


AKHIRNYA, aku berjaya juga menjejakkan diri di negeri ini setelah bertahun-tahun impian itu tertunda. Meski kedatangan aku itu dalam waktu yang belum cukup bersedia sepenuhnya, aku disuakan dengan seorang lelaki separuh berusia, sedikit gempal dan pernah menjadi dosen di salah sebuah univeriti di buana ini. Dia yang sedang menyandar di perdu buluh kuning itu, menggagahkan diri dengan memasang telinga sebesar-besarnya supaya dia mampun mendengar cerita yang terbit dari segenap pojok negeri itu. Aneh, kerana ingin mendengar cerita yang terlalu tersembunyi, telinganya boleh berubah-ubah. sekejap mengecil dan sekejap membesar. Jika membesar pula boleh mencecah sebesar kawah. Dia lelaki yang cukup mangli dengan hukum dan aturan tamadun manusia.
Aku dan orang ramai mengenalinya dengan gelaran Tuan Condong. Condong itu dikatakan bersempena sikapnya yang asyik condong ke kanan sahaja meskipun angin kencang bertiup ke kiri. Setelah beberapa lama melihat panorama negeri itu, kami memulakan bicara panjang.
"Tuan, kenapa negeri ini bergelar Mandul?" Tanyaku, setelah melihat palitan cahaya dari kepalanya yang sedikit gondol.
"Panjang sejarahnya. Nama itu merupakan nama yang paling baik dan paling banyak diterima pencalonan daripada rakyat. Pilihan nama kedua ialah Penyapu, ketiga Mangkuk Hayun dan keempat Banggang. Daripada nama-nama itu, akhirnya pemerintah bersetuju untuk memilih nama Mandul." Jelas Tuan Condong dengan penuh semangat selayak dengan bidangnya iaitu antropologi.
"Wah, hebat betul rakyat negeri ini, tuan! Masyarakatnya bijak sekali." Aku mencelah.
"Rakyatnya bukan setakad bijak sahaja malah lebih daripada itu berani dan berwawasan."
"Maksud tuan?" Aku memintas bicaranya.
"Berani sebab ada rakyatnya yang sanggup bergolok bergadai untuk menjadi angkasawan, mencipta rekod dunia dengan macam-macam agenda. Dan terbaharu ialah berwawasan. Wawasan mereka sukar diduga, ada yang ingin menjadi juara rasuah. Ada yang ingin menjadi juara judi. Ada yang ingin menjadi juara perempuan. Ada yang ingin jadi juara pemimpin sampai mati dan yang paling memeranjatkan ialah ada yang ingin mati sebagai penagih dadah dan pembawa HIV Aids." Cerita Tuan Condong bersungguh-sungguh.
"Fuh, handal juga rakyat negeri ini, tuan! Tapi kenapa rakyatnya memilih nama Mandul? Bukankah dalam kamus Melayu menjelaskan mandul itu maknanya tidak berkembang, jumud atau ketiadaan waris?" Desakku bersahaja dengan kemungkinan untuk menguji bukan membodek.
Tuan Condong mengukir senyum. Nampak giginya yang berkarat dek rokok kretek yang tidak pernah lekang dari bibir hitamnya.
"Oh, mandul itu bukan menunjukkan sikap rakyat negeri ini. Mandul dalam konteks negeri ini merujuk kepada kemadulan idea, minda atau agama.?"
Aku tersentak mendengar jawapan Tuan Condong. Fikiran aku mati seketika.
"Kenapa? Kau terperanjat ke?"
"Maknanya, tuan dan seluruh rakyat negeri ini sedar akan maksud perkataan mandul itu."
"Ya, kami sedar sesedarnya. Kami sebenarnya ingin menjadi negeri pertama dan bangsa pertama di dunia ini yang melakukan semua kejahatan dengan penuh kesedaran. Kami tidak mahu berselindung. Zaman sekarang menuntut orang yang berani berterus terang. Zaman sekarang bukan lagi zaman cakap berlapik atau malu-malu. Untuk menjadi satu bangsa yang hebat dan terkenal, kita mesti berani menjadi hero kepada kejahatan."
"Tuan sedarkah apa yang tuan cakapkan ini? Atau adakah telinga saya yang tersalah mendengar?" Pintasku pendek tapi mendesak jawapan.
"Kau tak perlu risau. Kerana kau berani menjadi pendengar yang setia, saya akan berikan hadiah ini kepada saudara sebagai tanda hormat dan dihargai. Nah, ambillah."
Aku menyambut bungkusan kotak yang cantik berbalut dengan kertas berwarna merah putih. Cantik dan kemas sekali bungkusan yang diberikan kepadaku itu. Sekian saat membeleknya, aku membuka dengan debaran yang tersekat-sekat.
"Kondom!" Getus walang hatiku.
Tuan Condong memerhati sahaja gerak lakuku. Kemudian dengan nada yang bersahaja tetapi serius dia berbisik ke telingaku, "inilah produk utama negeri ini. Kami menjananya dengan modal yang besar agar sinonim dengan nama negeri kami iaitu negeri Mandul."
Aku menelan air liur dengan nafas yang cukup terseksa. Merenung wajah Tuan Condong seterusnya menyebabkan tekak aku terasa loya. Menatap wajah Tuan Condong berikutnya, ada sesuatu dari dalam perut aku yang bergelora dan menendang ke atas. Kian lama kian kuat tendangan itu sehingga terasa bergerak ke halkum dan mulut. Akhirnya aku gagal mengawal suasana aneh dan tidak pernah aku lalui sebelum ini.
Semuanya tersembur dan bertaburan di jalanan. Jijik dan hanyir.
Tuan Condong mengukir senyum sambil menunjukkan isyarat bagus ke arahku. Dia hilang daripada pandanganku saat rasa loya yang menyelinap di perutku masih berkocah. Sesekali hanyir yang berbau itu benar-benar menggelikan.