Jumaat, 23 Januari 2009

CERITA DARI BENUA RUSUH


Malam tadi saya dihubungi oleh seorang rakan yang sama-sama bersekolah di daerah Muar, juga antara sekolah terbaik Malaysia. Perbualan yang berlanjutan hampir sejam di talian telefon itu berkisah tentang perjuangan politik tanah air. Katanya, hampir 15 tahun tidak bersua, dia akhirnya mendapat nombor telefon saya daripada seorang bekas pelajar saya yang kini menjadi guru di daerahnya. Bekas mahasiswa saya itu kini seorang guru kepada anaknya. Daripada bekas pelajar saya itu, dia mengetahui hampir sebahagian besar perjalanan hidup saya khususnya melalui blog 'tanah nurani' ini. Katanya lagi, dia mengambil masa hampir dua minggu membaca dan cuba memahami pemikiran saya. Tahniah sahabatku kerana masih menggenali diri meski sudah bergeral Datuk UMNO dan mempunyai kuasa di gugusan wilayah selatan tanah air.

Di pendekkan cerita, sahabat saya ini sedang mencari teman sejawat untuk 'team' politiknya. Katanya lagi bahawa dia bakal memegang jawatan penting selepas pemilihan Agung UMNO mac ini. Dia berkira-kira dengan setatus saya hari ini. Saya antara orang yang difikirkan untuk dikanankan sekirannya dia menang dan punya kuasa nanti.

Wah, tawaran yang menarik. Sambil berbicara sesekali terdengar juga gelak sinis kami ketika mengungkapkan kenangan waktu kecil-kecil dahulu. Saya lebih mengenalinya dahulu sebagai seorang budak kampung yang paling penakut untuk bercakap di depan kelas. Malah, pernah pada suatu hari dia hampir pitam apabila diminta oleh guru Bahasa Melayu untuk mendeklamasikan sajak. Ya, itu cerita puluhan tahun dahulu. Kini dia sudah berjawatan dan bergelar.

Berbalik kepada tawarannya itu, dia memberikan saya tempoh sehingga awal ferbuari ini; dan dia amat berharap agar saya tidak menolak pinangannya. Dia juga mendesak agar kami boleh bertemu pada cuti tahun baharu cina ini.

Saya, tidak banyak berfikir atau menentapkan syarat. Sebelum kami mengakhiri perbualan sekitar jam 11.43 malam, saya bertanya kepadanya, "boleh ke kau berjanji sebagai orang umno yang berkuasa untuk membatalkan PPSMI?"

"Kenapa?" katanya mendesak.
"Kalau confirm boleh batal, aku akan fikirkan untuk berkerjasama dengan kau. Jika tidak..." saya berhenti di situ.
"Jika tidak kenapa? Itu aku kena tanya Hishamudin."
"Oklah, sahabatku. Sebenarnya, orang yang mengadai maruah bahasa dan bangsanya sendiri tidak pernah ada dalam kotak fikir aku. Kau carilah kawan-kawan lain yang boleh kau beli dengan kekayaan. Aku orang miskin yang tidak apa-apa kecuali bahasa dan bangsa. Kau carilah balaci lain yang boleh bersekongkol untuk mengadai maruah Melayu."

Ada kesenyapan seketika antara kami seperti talian terputus. Saya menunggu dan beberapa saat kemudian saya dapat mendengar suaranya semula.

"Tak kan sampai macam itu sekali?"
"Kita akan tetap berkawan tetapi sekadar kawan bukan teman sepermainan lagi. Sampaikan salam aku kepada boss kau tu. Assalamulaikum," saya memutuskan talian.

Ketika melepaskan rengus dan menarik nafas kelegaan, telfon bimbit saya berdering kembali. Segara saya capai dan melihat nombor dan nama pemanggil. "Apa lagi yang kau hendak ni," getus hati kecil saya. Saya menekan punat berwarna hijau tanda menjawab panggilan.

"Kau marah benar dengan umno ini apa hal?" Soalan pertama daripada perbualan kedua kami keluar daripada mulutnya.
"Siapa kata aku marah? Aku benci aja." Jawab saya pendek.
"Samalah tu.."

Saya ketawa sinis. "Ialah, aku marah dan benci. Kenapa? Kau nak kata aku tak kenang jasa umno ke?"
"Bukankah umno aja yang mempertahankan Melayu. Kau tengok Perak dan Pulau Pinang, apa dah jadi?"
"Pemikiran aku adalah pemikiran umno era Tun Razak. Orang miskin macam aku boleh duduk semeja dengannya. Tapi sekarang ni, semua pemimpin umno berumah besar dan berkereta besar. Hidup senang-lenang sampai nak salam dengan orang kampung pun takut. Pergi surau solat jemaah lima waktu tak nak. Entahlah, maafkan aku sebab kau mungkin tak macam tu, tapi aku dengar daripada cerita kawan-kawan kita, kau pun dua kali lima juga." Saya sedikit berkeras. Jam mula menunjukkan pukul 12.01 malam.

"Kau ni betul-betul tak bersyukurlah."
"Kepala otak kau tak bersyukur? Sebab aku belajar konsep bersyukurlah aku tak nak bersekongkol dengan kau. Sudahlah, kalau kau nak jumpa aku, esok lepas solat jumaat kita jumpa di KL." Saya mengakhiri kata-kata dengan nada yang masih memaafinya.
"Ok, tak pe nanti aku hubungi kau balik. Esok petang aku di Putrajaya."

Sebelum melelapkan mata, saya berfikir banyak kali tentang sahabat saya itu. Dia lelaki yang cukup bernasib baik. Selepas menamatkan alam persekolah dengan keputusan cemerlang SPMnya, dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pulang dengan gelaran 'Ir'. Sejak itu, kami dipisahkan oleh tugas dan keadaan. Jarak antara kampung kami sekitar 20 km menyebabkan kami tidak pernah terserempak pada setiap kali solat hari raya puasa mahupun korban. Begitupun, saya masih mengikuti kisahnya daripada dada akhbar dan teman-teman lain di kampung. Pernah seorang kawan memberitahu saya bahawa rumahnya kini ala-ala mahligai Dato' K. Hendak jumpa di masjid atau surau pun susah.

Nah, begitulah kisah detik-detik jam 11.43 hingga hampir 12.10 malam tadi. Saya sendiri tidak sedar pukul berapa saya terlelap sambil selepas solat jumaat ini saya akan menunggu panggilan daripadanya.

Terima kasih sahabat.

Rabu, 21 Januari 2009

Tentang Politik Gugusan Wilayah Timur

Rasanya hampir setahun saya tidak berkisah tentang politik tanah air. Hari ini, setelah ada rakan-rakan mendesak dengan pujuk rayu makanya saya gagahkan juga menulis sesuatu.

Hari ini masuk hari ke4, PAS menang PRK kawasan P36 di Kuala Terengganu (KT). Tahniah PAS/ PR dan UMNO jangan bersedih hati. Tingkatkan usaha dan cuba lagi dalam PRU 13 akan datang. Hidup mesti diteruskan dan sejarah tetap sejarah meski pahit untuk ditelan.

Saya dengan pandangan yang dangkal cuba meberikan sedikit pendapat kenapa umno kalah kali ini. PRK ini tidak sama dengan PRK di Permatang Pauh kerana di Pulau Pinang (PP) kerajaannya ialah DAP-PR. Maknaya, mustahil PKR akan kalah kerana berkerajaannegerikan PR. Di KT lain caranya, sebab kerajaan negerinya umno dan kerajaan pusatnya juga umno. Di situ PAS adalah parti yang menumpang dan perlu mencuba nasib dalam satu persaingan yang maha hebat. Ruang waktu dan situasi yang berbeza antara PP dan KT tidak boleh dijadikan kayu ukur kekalahan umno.

Umno kalah kerana beberapa faktor remeh, iaitu;

i. Tewas oleh media perdana yang terlalu menjijikkan.
Rata-rata media perdana (akhbar dan tv) milik umno telah mengambil kesempatan memburuk-burukkan parti lawan. Malah lebih teruk lagi apabila terlalu mendewa-dewakan pemimpin mereka yang terbukti tidak bersih. Keadaan ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya, jahat sangatkah parti pembangkang?

Saya permudahkan alasan lain lagi kerana tidak mahu menjatuhkan hukuman yang keterlaluan. Alasan itu antaranya;

1. Orang umno sendiri yang tidak lagi sanggup bersekongkol dengan rasuah dan
penipuan.
2. Umno tiada calon yang benar-benar bersih dan berwibawa.
3. Janji-janji pembangunan yang tidak lagi masuk dek akal manusia normal.
4. Umnolah satu-satunya parti di dunia ini yang sudah lupa daratan dan membunuh
nasib bangsanya sendiri.
5. Umno kini dianggap parti untuk orang kaya dan ingin terus menjadi kaya raya.
(tiada tempat untuk orang miskin di dalam umno).
6. Umno berjuang untuk poket dan kedudukan sendiri bukan lagi bertradisi membela
rakyat.

Saya berkira-kira di atas kerana hal-hal pembangunan adalah tugas kerajaan. Maknanya siapapun yang menjadi kerajaan, mereka wajib mencipta pembangunan. Tradisi membela rakyat adalah senjata utama politik kepartian. Oleh itu tiada maknanya seorang ahli politik jika masih ingin berumah mewah dan besar, berkereta mewah dan besar, juga sentiasa ke luar negara. Kemewahan menyebabkan rakyat takut untuk mendampingi mereka.

Inilah serba sedikit masalah dalaman umno yang perlu diselesaikan. Selama TPM kata umno perlu perubahan. Moga anda segera sedar dan segera berubah.

Mungkin juga tidak ada kebenarannya pendapat ini. Fikirkanlah.

Selasa, 20 Januari 2009

sajak kepada presiden Amerika



Sajak kepada presiden Amerika

Selamat tinggal Bu(T)s(U)h = bush
selamat datang Obama

Bush,
meski akan kautinggalkan Amerika
dengan seribu hinaan
tapi aku tahu bahawa agendamu
masih belum bertitik akhir

Selamat datang Obama
dengan tugas baharu
menyambung agenda demi agenda
yang tak tertunaikan
meski tidurmu bermimpi ngeri

Aku di Kuala Lumpur
melihat dengan mata simpati
sebuah rundingan masa lalu
yang masih tidak bernokhtah
menanti diluluskan

Selamat datang Obama
ke dunia perang salib
yang menuntut
erti iman dan makna amal

Selamat datang Obama
duduklah di meja PBB
sambil meratah jenazah
dan mabuk meneguk darah
demokrasi yang tidak berdosa

Aku di Madrasah Sham al-Johori
akan sentisa berdoa
agar sekawan ababil
segera hadir membawa utusan langit
dengan pesan yang tak terfikirkan.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Jumaat, 16 Januari 2009

SELAMAT BERJUANG PARA PEJUANG ANTI-PPSMI


Kata PM ketika berkempen di Kuala Terengganu tentang isu PPSMI.

''Seperti yang diberitahu kepada saya oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kajian mengenai perkara ini belum lagi selesai, (ada) sikit lagi.

''Pada waktu ini tak payah komen, ini bukan satu isu yang kerajaan diamkan diri dan ini bukan isu yang boleh buat macam-macam komen,"
katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Belia Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, selain keputusan UPSR dan PMR, kajian yang dibuat turut mengambil kira keupayaan guru mengajar dalam bahasa Inggeris, kedudukan bahasa Melayu, Perlembagaan Negara serta perbandingan prestasi sekolah bandar dan luar bandar.

Menurutnya, apabila semua maklumat itu diperoleh, laporan mengenainya akan dibuat seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Selepas itu jelasnya, Jemaah Menteri akan berbincang dan membuat keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI berdasarkan maklumat-maklumat yang lengkap itu.

Itu kenyataan PM semalam. Bagaimana dengan kenyataan juak-juak PPSMI yang lain? Bersetuju atau akan terus dengan agenda jahanamnya itu?

Kebimbangan saya ialah, Pak Lah hanya tingga beberapa hari sahaja dengan jawatan yang ada di tangannya itu. Selepas ini, dengan ketiadaan kuasa tentunya banyak perkara-perkara ghaib akan berlaku. Sementelahan pula, orang kanan dan kiri Pak Lah sekarang ini terdiri daripada manusia duri dalam daging dan bertopeng-topeng. Kadang-kadang, mereka langsung tidak menghormati orang tua.

Moga perang PPSMI ini tidak sehebat perang Israel atau perang salib. Saya berharap agar tiada manusia yang mati kerana mempertahankan hak bangsa dan kedaulatan bahasa.
Saya juga berharap agar KPM tidak menjenazahkan kemudian menyembahyangkan para pejuang anti-PPSMI. Antara rasional dan juzuk bertindak; semuanya itu menuntut kebitaraan yang ikhlas dan jujur.

Selamat berjuang para pejuang anti-PPSMI.

Isnin, 12 Januari 2009

SELAMATKAN TANAH GUGUSAN TIMUR ITU ...


i
Hujung minggu ini, di Kuala Terengganu akan diadakah pilihan raya kecil. Pilihan raya ini menentukan siapa dan parti manakah yang menjadi pilihan rakyat. Di mana-mana di tanah gugusan itu, kita semua dapat lihat UMNO berjaya menaburkan pembangunan serta merta sebab mereka punya kuasa dan kewangan. Dua lagi parti yang turut mempertaruhkan nasib iaitu PAS dan Bebas hanya berupaya berceramah di sana-sini tanpa menaburkan pembanguan sekelip mata. Inilah dua darjat kepartian yang sedang melanda negara kita.

Bagaimana pula dengan penyokong dan rakyat di gugusan itu? Lalu apa yang bermain dalam fikiran saya ialah wujud dua golongan penyokong iaitu yang memilih kebendaan (pembangunan materailistik) dan satu lagi modal insan (pembanguann rohaniah/ insaniah). Pilihan di tangan mereka. Mereka yang akan mencorakkan tanah gugusan itu. Itu juga hak mereka sebab itu adalah tanah air mereka. Untuk menasihati mereka, saya pula bukan manusia yang layak berkempen kerana tanah air saya jauh di selatan.

Cuma dari kejauhan apa yang boleh saya katakan ialah pilihlah yang kekal abadi hingga bermanfaat di negeri akhirat iaitu pembangunan modal insan. Pembanguan duniawi akan hilang seperti mana tanah Gaza, Palestin yang kini sedang dihancurkan oleh israel laknantullah.

Ini pandangan peribadi. Saya kira, sudah cukuplah pembangunan yang sedia ada di gugusan tanah itu. Dengan kekayaan minyak yang dianugerahkan Allah SWT itu, apalagi yang perlu dibangunkan? Pagar sekolah berharga jutaan ringgit, lebuh raya pantai timur diputuskan di sempadan, masjid, replika masjid dan macam-macam lagi seperti cendawan tumbu. Apa lagi yang hendak dibangunkan? Mungkin atas limpah kekakayaan itu, kerajaan umno akan membina tembok penghadang banjir sehebat tembok besar cina pula supaya K. T'gnnu tidak dilanda musibah bencana alam banjir pula. Hebat sekali gagasan ini.

Berkata pula timbalan memanda menteri yang menerajui kempen di tanah gugusan itu bahawa, "Perjuangan kita penuh kesederhanaan. Kita akan membantu tanpa mengira kaum dan seadilnya." Menarik sungguh retorik itu seperti menelan gula-gula yang manis di mulut tapi tidak pernah mengenyangkan.

Sesekali, ketika berkempen itu,kita juga perlu bermuhasabah diri. Cakap-cakap seperti ini boleh menjejaskan akidah dan iman Islam kita. Renungkan kembali dialog ini dan tekalah siapa yang melontarkan dialog ini ketika berkempen; "tanpa kerajaan UMNO tidak mungkin rakyat boleh hidup bahagia seperti hari ini. Hanya kerajaan UMNOlah yang mampu memberikan nikmat hidup aman dan bahagia seperti hari ini." Renungkanlah dengan sikap takwa muslimim kita. Saya juga bukan seorang mufti yang menjatuhkan hukuman.

Pilihan di tangan anda. Sebelum tanah air kita dilakna menjadi seperti Gaza dan Palestin; dihancurkan oleh yahudi, ingatlah ketika berkempen bahawa kuasa Allah SWT lebih mengatasi segala-galanya. Takutlah dengan ungkapan 'KUN FAYAKUN ALLAH'.

Jangan nanti kita menjadi seperti gambar di atas; mengutip cebisan al-Quran di sisi sisa-sisa masjid yang hancur. Allah telah banyak memberikan peringatan, tetapi kita sahaja yang lupa kerana gelojoh berkempen.

YA RABB, SELAMATKAN TANAH GUGUSAN TIMUR ITU.