Khamis, 12 Ogos 2010

MEMBACA PEMIKIRAN ORANG MELAYU


BEBERAPA hari ini, saya sedaya mungkin cuba menekuni pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Daripada beberapa buku agungnya, saya kemudian melayari laman-laman sesawang yang berkisah tentang kehebatan dan ketohonan Al-Attas. Ada yang menarik untuk ditanggapi dan tidak kurang juga ada beberapa perkara yang perlu difikirkan kembali. Seperti biasa, saya bukan mudah menerima pandangan orang 100% seperti mana saya memberikan pandangan tentang ketokohan Tun Mahathir selepas pasca kegemilangannya.

Ketika melayari laman sesawang itu, saya menemui satu wawancara Al-Attas di dalam blog Rausyanfikir. Persoalan yang menarik minta saya untuk dikupas, antaranya tentang nasib bangsa Melayu yang masih berada di dalam telunjuk pemikiran barat. Al-Attas menjelaskan bagaimana orang Melayu berada dalam kuasa mabuk istilah seperti 'development, universal, absolute, freedom, colonisability, existentialist' dan lain-lain tetapi mereka sendiri tidak mengerti hakikat makna yang sebenar dan bagaimana pelaksanaannya di dalam kehidupan seharian. Bagi saya secara peribadi kerana kemabukan istilah inilah, makanya ramai sarjana tempatan lupa akan asal usul atau lebih sopannya lupa diri.

Saya ingin mengaitkan hal ini dengan kerjaya saya yang bertugas sebagai kuli di sebuah institusi pengajian tinggi awam negara. Bayangkan kerana ingin mengejar status 'universiti bertaraf dunia' atau 'universiti yang tersenarai dalam 'rangking' terbaik dunia; maka kebijaksana pemikiran Melayu terpaksa dikorbankan. Baharu-baharu ini, saya menghadiri taklimat tentang penyeliaan tesis peringkat sarjana dan kedoktoran. Dalam taklimat itu diberitahu bahawa semua penuliasan tesis peringkat sarjana atau PhD perlu ditulis di dalam bahasa Inggeris walaupun calon itu mengambil subjek bahasa atau sastera Melayu. Alasan yang diberikan ialah untuk menjadikan universiti ini bertaraf dunia.

GILA! GILA! GILA!

Saya tidak tahu apa yang sedang melanda nafsu dan otak orang-orang Melayu yang tidak sedar diri ini. Bukankah dengan cara ini bermakna orang Melayu yang ada kuasa itu sedang berusaha membunuh pemikiran dan para bijaksana bangsa mereka sendiri? Bagi saya, penulisan di dalam bahasa dengan menggunakan pemikiran asli adalah lebih bermakna, tepat dan bitara sifatnya. Bukankah tesis yang telah dihasilkan itu boleh diterjemah? Walaupun mungkin tugas ini perlu diambil alih oleh orang lain, tetapi apa yang penting ialah budaya pemikiran dan keaslian pemikiran itu dapat berkembang secara fitrah, asli dan menepati citarasa bangsanya. Kita bercakap soal keaslian fikiran, soal ketepatan makna dan soal kejujuran. Bagi saya itulah yang dinamakan tesis dan antitesis.

Ada kekeliruan di dalam beberapa tindak tanduk pemimpin tertinggi universiti hari ini. Saya bukan menafikan hak bahasa Inggeris tetapi jika kajian daripada tesis itu melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan warisan bangsa dan ketamadunan bangsa, mengapa kebijaksanaan bangsa itu perlu dikorbankan? Jepun, Perancis, Jerman, Iran dan China tetap maju dan universiti mereka sendiri telah berada dalam mercu tanda universiti terbaik dunia dengan mempertahankan bahasa mereka. Adakah dengan mempertahankan bahasa sendiri maka Malaysia akan ketinggalan? Kajian manakah yang membuktikan hal-hal sebegini?

Dalam buku yang diselenggarakan oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir (Prof. Dr) bertajuk "Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan, Teori dan Praktis" (UKM: 2010), ada beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan. Sekurang-kurangnya kita sedar bahawa ilmu (teori) yang dihasilkan oleh bangsa Melayu (rakyat Malaysia) juga punya kekuatan yang luar biasa. Saya berpendapat, jika ilmu (teori) ini sampai ke tangan barat , tentu mereka akan melihat kita dalam sisi yang lain dengan tanggapan bahawa bangsa Melayu memilki kehebatan tersendiri.

Berbalik kepada pandangan Al-Attas, orang Melayu kadang-kadang berada dalam 'kekacuan jiwa' atau 'kemabukan kuasa' hingga gagal menterjemah (baca menaakuli) konsep dan istilah. Kadang-kadang juga saya menjadi takut berada dalam kancah akademi yang sebegini dan apabila bersuara dengan pandangan yang lain, istilah jumud, kalut dan tidak memahami maksud 'freedom of equal' keluar daripada mulut mereka.

Saya hanya mampu merengus panjang dan sesekali merenung nasib akademik Melayu yang senasib dengan saya. Sesekali apabila difikir-fikirkan, ingin rasanya saya meminta para pemimpin tertinggi universiti ini hadir mendengar lontaran fikir Al-Attas itu. Apakan daya, mana mungkin seorang kuli boleh memerintah bossnya. Mana mungkin seorang kuli boleh mengubah agenda mercun tanda dunia tuannya, dan mana mungkin seorang kuli seperti saya ini boleh duduk semeja dengan mereka, bersembang sambil bertukar-tukar fikiran.

Akhirnya, mana mungkin saya dapat membaca pemikiran orang Melayu yang kuat nasfu dan kuasanya untuk mengubah nasib bangsanya sendiri. Seperti kata-kata Al-Attas, mereka membaca al-Quran seperti kita, mereka membaca hadis seperti kita, tetapi mereka ada kuasa dan kita tidak punya kuasa yang boleh dikongsikan. Kita hanya ada ilmu tetapi mereka tidak suka kepada ilmu yang terlalu jumud akan nilai-nilai kebaikan.

Saya sedang dan akan terus membaca pemikiran bangsa saya sendiri.



6 ulasan:

MARSLI N.O berkata...

Sdr SO: Kebodohan-kebodohan individu yang memiliki kuasa, yang berasa dirinya terlalu lebih tahu dan pandai, ditambah pula kebongkakkan untuk tidak mahu mendengar suara orang lain, lalu kebodohannya itu dipaksa pula dengan pelbagai cara agar diekori oleh orang lain, itulah sebenarnya yang mencelakakan bangsa kita.

Di saat sama, yang berotak bijak, cerdik dan bijaksana tetapi jujur menyatakan segala yang salah, contohnya Sdr SO sendiri, tidak terpandang kerana yang disukai adalah para pembodek dan penjilat, walau hakikatnya hanya anjing dan baghal.

Secara peribadi saya sudah sampai ke tahap mual terhadap kalangan ini dan kerana itu memilih dunia saya sendiri dan menyatakan protes dengan cara yang lain.

Mohon maaf atas komen yang mungkin tidak diundang ini dan silalah didelete kalau tidak dipersetujui Sdr.

Wassalam. Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan.

MARSLI N.O

edolah berkata...

masalahnya,para pentadbir universiti skg yg dilantik adalah dr juak-juak pengikut siasah mrk..yg kena ikut telunjuk dan tahap mindanya menyamai JKKK...sesuatu yg malang kpd institusi keilmuan negara kita!

Zaid Akhtar berkata...

idea yang bijak untuk menjahanamkan bahasa dan pemikiran bangsanya sendiri.

kangkung.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Tn Haji,
Orang ada Ph.D belum tentu bijaksana, cuma dia pandai saja. Sesetengahnya tak berguna langsung. Mereka dilantik ke sesuatu jawatan bukan kerana cerdik, tetapi kerana tua. Inilah yang berlaku dlm jabatan kerajaan. Geram betul aku.

Hasmora berkata...

Tuan Haji,

saya pernah dengar ayat ini
"mengaji bertingkat-tingkat, tapi bodoh berlipat-lipat"

selamat berpuasa,

Hasmora
Kota Belud

Tanpa Nama berkata...

pemikiran kita masih di pengaruhi gaya pemikiran barat.....info yang menarik.....boleh share ...?