Rabu, 10 Oktober 2007

Kerjasama dalam Bidang Sains Angkasa



i

Tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia. Malam ini kita berjaya menghantar seorang anak muda Melayu ke angkasa. Kita perlu berbangga meski ramai yang mengatakan penyertaan anak Melayu ini hanya sebagai pelancong angkasa tetapi aku melihat lebih daripada itu. Meskipun anak Melayu ini tidak layak bergelar angkasawan tetapi anak Melayu ini akan melihat kebesaran ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Kita wajar mendoakan kejayaan ini agar suatu hari nanti ada orang Islam yang akan menulis tentang keindahan ciptaan Allah yang maha indah itu.

Marilah sama-sama kita berdoa sambil meraikan kejayaan anak Melayu yang beragama Islam ini.

ii.

SEMEMANGNYA diketahui Malaysia mempunyai kerjasama erat dengan negara Rusia dalam pelbagai bidang termasuk bidang ekonomi, pendidikan, sains dan ketenteraan.

Namun kerjasama yang paling menonjol ketika ini ialah dalam bidang sains angkasa berikutan penggunaan roket pelancar Rusia untuk menghantar satelit-satelit Malaysia seperti TiungSAT dan MEASAT.

Kerjasama terkini yang menjadi sebutan masyarakat sains seluruh dunia ialah penyertaan rakyat Malaysia dalam misi ke Stesen Angkasa Lepas (ISS) yang sejarahnya akan terlakar hari ini.

Tepat jam 9.21 malam ini, pesawat Soyuz TMA-11 akan akan membawa salah seorang angkasawan Malaysia yang terpilih sama ada Dr. Sheikh Muszaphar Shukor atau Kapten Dr. Mohd. Faiz Khaleed.

Kerjasama ini sememangnya satu sejarah yang menjadi kebanggaan dan Malaysia seharusnya berbangga kerana kesudian pihak Rusia untuk berkongsi kegemilangan mereka dalam bidang sains angkasa.

Kegemilangan sains angkasa Rusia sememangnya telah menjadi perhatian dunia 50 tahun lepas apabila negara itu berjaya melancarkan sebuah roket ke ruang angkasa.

Kejayaan roket Sputnik dari Rusia memasuki ruang orbit telah membuka mata dunia terutama Amerika Syarikat mengenai kehebatan teknologi sains angkasa Rusia yang seterusnya mencetuskan satu `perang' baru iaitu perang kemajuan teknologi angkasa lepas.

Duta Rusia ke Malaysia, Alexander Karchava menyifatkan penghantaran angkasawan Malaysia merupakan satu langkah besar negara ini dalam memasuki era sains dan teknologi angkasa.

Beliau menyifatkan program angkasawan merupakan satu program `offset’ pembelian pesawat Sukhoi yang amat menarik perhatian.

“Secara peribadi saya amat berbangga dengan kejayaan Malaysia menghantar angkasawan pertama mengggunakan roket Soyuz dan ia akan menjadi langkah pertama ini untuk mendalami bidang sains dan teknologi angkasa,” katanya.

Mengenang kembali peristiwa Sputik dilancarkan 50 tahun lalu Kachava berkata, ia telah menjadi satu permulaan kepada perkembangan sains dan teknologi di Rusia dan diharap akan memberi kesan yang sama kepada negara ini.

“Setelah 50 tahun, banyak kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang sains dan teknologi selepas pelbagai kajian dapat dijalankan di ruang angkasa,” katanya yang tertarik dengan tarikh penghantaran angkasawan Malaysia yang disifatkan Kachava amat signifikan dengan 50 tahun kemerdekaan dan era angkasa di Rusia.

Tarikh 10 Oktober memang amat bererti memandangkan Malaysia masih meraikan kemerdekaan dan pada bulan yang sama 50 tahun lalu Sputnik dilancarkan.

Perjalanan selama 48 jam menggunakan roket Soyuz buatan Russia bakal membawa tiga angkasawan dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Russia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Kajian di angkasa yang dijalankan oleh angkasawan Rusia memberikan pelbagai kemajuan meliputi penjelajahan angkasa, pembinaan dan pembangunan roket yang lebih baik. Kajian juga melibatkan bidang ketenteraan dan telekomunikasi di angkasa yang memberikan kesan yang besar kepada Rusia.

Selain itu, kajian di angkasa juga memberikan pelbagai kemajuan dalam bidang perubatan dan langkah angkasawan Malaysia untuk menjalankan kajian dalam bidang tersebut akan memberi faedah kepada negara ini dan dunia.

Kachava percaya, Malaysia akan mendapat faedah yang besar dalam pembangunan negara dengan tercetusnya era angkasa.

"Dari segi psikologi pula, seluruh rakyat Malaysia harus berbangga dengan kejayaan menghantar angkasawan pertama," katanya.

Malaysia juga dapat meningkatkan piawaian antarabangsa dengan bersama-sama dengan keluarga angkasa.

Idea yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat merangsang generasi baru untuk belajar dan meneroka bidang baru.

Kachava berkata, pembangunan industri angkasa amat berpotensi kerana banyak teknologi yang diuji di angkasa dan digunakan di bumi dan terdapat peluang yang sangat besar dalam bidang sains.

Bidang industri angkasa juga dapat membantu remaja dan generasi muda supaya lebih berminat dengan sains seperti angkasawan, rekaan roket, kejuruteraan, angkasa serta penyelidikan.

Menyusuri program angkasawan yang diumumkan seramai 15,000 orang rakyat Malaysia mendaftar.

Malah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis juga menyertai ujian pertama angkasawan iaitu larian tiga kilometer.

Ini menunjukkan minat pemimpin dan rakyat yang begitu mendalam dengan projek angkasawan dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kachava berkata, program angkasawan merupakan yang terbesar pernah dijalankan dan pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan Malaysia terutama dalam bidang pendidikan dan perubatan.

“Kami berharap program angkasawan merupakan satu permulaan kecil bagi langkah yang lebih besar selepas ini terutama dalam bidang sains dan teknologi,” kata Kacahava.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam mana-mana program terutama dalam bidang sains dan teknologi.

iii
Justeru, inilah kebanggaan dan kejayaan kita.



Isnin, 8 Oktober 2007

SALAM LEBARAN 1428H: AKU DAN 1 SYAWAL


AKU DAN 1 SYAWAL
i
Selamat lebaran, kekasih
terasa sepi syawal kali ini
tanpa kelibat dan harum tubuh
yang melingkar dalam kenangan

jika kau menatap puisi ini
mengertilah bahawa
setiap kali angin berdesir
itu tandanya percakapan rinduku
sedang beRGelOrAAAA

aku rindukan
sebuah senja biru
yang kuselitkan di hatimu.

ii
ramadhan,
aku tinggalkanmu
dengan sendu yang mendalam
moga
kita bersua dalam
musim rontak yang lain.



shamsudin othman
UPM, Serdang

SALAM LEBARAN dan UKWAH KELUARGA

Gambar: Ayahku sedang merenung nasib anaknya shamsudin othman.
i.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan maaf zahir dan batin kepada sesiapa yang mengenali, merasakan saya sahabat/kawan/rakan/musuh atau yang sering melayari blog tanah nurani ini. Seperti juga manusia lain, saya punya banyak kelemahan/kekurangan diri. Untuk memuaskan hati semua pihak saya tidak berdaya. Mungkin inilah sedikit kebaikan atau kejahatan yang diberikan Tuhan. Jika baik jadikanlah panduan, yang jahat dan tidak disukai buangkan jauh-jauh. Sebagai manusia juga, saya tidak suka akan kebejatan juga kemunafikan yang berlaku di depan mata. Justeru mungkin kerana prinsip tersebut saya mohon maaf banyak-banyak.

ii.
Semalam, apabila sajak "Bukakan Hijab-Mu" tersiar di ruangan Susastera, Berita Minggu (7 Oktober 2007); seorang sahabat dari Singapura bertanya melalui SMSnya. Tanyanya;

sahabat: sufi betulkan kau ni. sajak kau macam orang banyak dosa aja?
aku : terima kasih. aku memang banyak dosa sebab suka mengutuk kerajaan dan orang
yang pandai cakap tapi tak pernah laksanakan.
sahabat: bulan2 ramadhan ni, bersabarlah sikit. tingkatkan tadarus lebih baik.
aku : habis tu kalau dlm bulan ramadhan yang mulia ini dia orang sanggup buat mungkar,
kita nak tengok aja ke? mana tahu kalau aku mengutuk pada hari lailatulqadar
pahalanya 1000 kali lebih baik.
sahabat: oklah tu, aku pun nak mengutuk sama.

hehehehehehe. begitulah cerita semalam.

iii
Seminggu sebelum hari raya puasa mengunjungi umat Islam, kita perlu menjadi manusia yang perlu merenung zaman kanak-kanak. Bayangkan bagaimana emak-ayah kita meraikan hari yang penuh bermakna ini. Mereka bergolok bergadai membelikan persiapan hari raya untuk kita. Kita pula meraikan hari raya hingga lupa diri. Nah, sekarang tugas kita pula mengembirakan hati dan perasaan mereka. Pulanglah ke kampung halaman, memeluk dan bersalaman dengan mereka. Kepada rakan-rakan yang telah kehilangan emak-ayah; banyakkan berdoa dan mengutus Al-Fatihah kepada rohnya agar sama-sama menikmati kegembiraan aidilfitri.

Aku tak dapat bayangkan bagaimana sambutan hari raya tanpa orang tersayang. Kalau boleh mungkin bukan sekarang ini waktunya kerana aku masih belum bersedia untuk merasai kehilangan dan kebahagiaan itu. Emak-ayah adalah segala-galanya bagi aku. Aku punya banyak nostalgia indah bersama-sama mereka. Sebenarnya, aku masih belum dapat memberikan kebahagiaan yang sebaiknya kepada mereka berdua.

RUMAH SILATULRAHIM

Tuhan, jadikan aku anak terbaik
yang memberikan rindu dan cinta

kepada makna bahagia

sebuah rumah

tanahnya iman

dindingnya takwa

bumbungnya ikhlas
pintunya
budi
tingkapnya hidayah

Tuhan,
jadikan rumah bahagia ini
kubur abadi

tempat kami

menikmat silatulrahim

dan segugus akrab.

Antara ramadhan dan syawal ini
aku rindukan kenangan dulu
saat aku menangis di ribaan ayah ibu
yang gagal aku fahami
erti kasih sayang.

Seperti dulu juga
yang aku rindukan bukan duit raya
tapi hangat air matamu
yang basah di baju rayaku.

shamsudin othman
madarash sham al-johori,

UPM, serdang.


iv
Aku terpaksa berhenti di sini sebab tiba-tiba teringatkan emak dan abah yang paling aku sayangi. Tentu mereka merindui kepulanganku. Ya Allah, berikan rahmat dan hidayah-Mu kepada kedua-dua orang tuaku. Aku cintakan mereka berdua. Aku rindukan ukwah dan bahagia yang kekal selama-lamanya.

Rabu, 3 Oktober 2007

MELIHAT BULAN

gambar: menanti bulan di Tugu MONAS, Jakarta, Indonesia.

i
Kenapa entri BULAN?
Jawapannya mudah sebab;
i. bulan ramadhan yang akan diikuti oleh bulan syawal
ii. bulan bermuhasabah diri
iii. bulan membanyakkan doa kepada Yang Esa
iv. dan banyak lagi cerita tentang bulan yan g boleh kita karangkan.

Begitupun apa yang paling menarik tentang bulan ialah bulan mengundi di IPT. Semalam telah selamat berlangsungnya pilihanraya kampus. Suasana aman di UPM dan IPT lain seperti dijangkakan sejak awal. Banyak pihak yang khususnya mahasiswa hanya pangkah sahaja calon yang ada. Mereka malas berfikir panjang kerana takut tidak mendapat biasiswa dan macam-macam lagi kemudahan daripada kerajaan. Dan keputusannya parti pro aspirasi kerajaan menang besar tanpa dicabar oleh parti-parti lain.

Nah! Inilah sanerio baharu apabila kerajaan melatih mahasiswa supaya jangan menggunakan akal fikiran. Mahasiswa perlu ikut sahaja apa yang mereka caturkan. Membantah beerti akan kehilangan kemudahan. Mahasiswa telah dicucuk hidung. Mahasiswa telah ditutup mata. Mahasiswa telah dijahit mulut. Dan mahasiswa telah dipekakkan telinga. Mahasiswa dilatih dengan budaya SIFAT BERFIKIR.

Bayangkan, dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini pun masih ada orang yang sanggup menggelapkan cahaya bulan ramadhan ini. Aku sendiri tak faham apa yang sebenarnya sedang berlaku sekarang ini? Itu baharu pilihanraya kampus belum lagi pilihanraya umum yang bakal menjelang.

Aku akan selalu berdoa agar bulan akan terus bercahaya dan menyinari kegelapan malam 'hati/ kalbu' manusia.

Melihat Bulan

Duhai bulan
kembangkan sayap cahayamu


tanah sebelah timur ini rindukan kasihmu

setelah matahari seakan lelah dan gerhana


bulan, meski kau di mana-mana

akulah pungguk yang sentiasa menanti


Shamsudin Othman
Madrasah Sham Al-Johori
Kuala Lumpur.


Isnin, 1 Oktober 2007

MENGINGATI SEJARAH NUZUL QURAN dan NASIB BAHASAKU

Keterangan gambar: berlatarbelakangkan pelabuhan Rotterdam, Belanda:2001. *Pelabuhan cinta dan romantis.

i
Justeru beban tugas yang kian mendesak, makanya blog ini hampir seminggu tidak dikemas kini. Aku hanya sempat melayari blog teman2 dan terkini ialah lahirnya blog www.minggupenulisremaja.blogspot. Gambar dan kisahnya menarik. Teruskan wahai rakan2.

ii
Hujung minggu ini setelah semua kerja2 rutin selesai, aku mula berulit dengan kitab-kitab tua koleksi ayahku. Pulang ke kampung dan melihat ayah begitu tekun menelaah kitab-kitab kuningnya; aku segera mencari sesuatu yang menarik. Ketika sedang membelek kitab-kitab itu, dia segera menghulurkan sebuah kitab bertajuk 'The History of Al-Quran'. Katanya mulus dan perlahan, "hari ini 17 Ramadhan. Sejarah al-Quran bermula daripada tarikh ini".
Begitulah sikap ayahku yang kurang bercakap khususnya bulan ramadhan ini. Aku suka melihat wajah ayah yang sentiasa redup, tenang dan damai. Wajahnya meruntun rindu yang amat dalam.

Aku membaca dan mencari sesuatu yang menarik daripada kitab tulisan Syeikh Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi Rah.A. Kitab ini dimulakan dengan memetik surah Ali Imran:164 yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata."

Ayat berikut (al-Maa'idah: 83) melanjutkan kesyahduan aku ketika membaca bab mukadimah kitab ini.

"Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad sebagai mukjizat), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Quran) yang telah diketahui dari kitab-kitab mereka sendiri."


Aku segera menghabiskan kitab ini. Sejarah pengumpulan Al-Quran bukan satu perkara yang mudah. Allah sentiasa memelihara kesucian mukjizat ini. Aku tidak dapat bayankan bagaimana usaha yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali untuk mengumpulkan ayat-ayat yang ditulis di pelepah kurma, kulit pokok, batu, kulit binatang dan dihafal oleh para syuhadah Islam ketika itu. Apatah lagi para khalifah ini terpaksa pula berhadapan dengan kumpulan yang berusaha menjadi penghianat dengan menulis ayat-ayat palsu. Ah, bertapa getirnya mereka mempertahankan maruah agama dan mukjizat itu. Inilah mukjizat Al-Quran apabila semua penipuan dapat diatasi dengan kemuliaan Allah. Syukur Allahamdulillah.

iii
Hari sejarah mulia ini kenapa tidak disambut dengan majlis-majlis kebesaran tertentu? Bukankah negara kita negara Islam. (Opppp, betullah hari Nuzul Quran tidak diraikan sebab negara kita Islam Hadhari). Rupa-rupanya kerajaan kita lebih suka meraikan hari bersejarah yang tidak bersifat Islami.

Entahlah, mungkin Allah terlalu baik buat kita semua. Justeru kerana terlalu baik dengan sifat yang maha pemurah lagi maha penyayang itulah kita mengambil kesempatan melupakan janji-janji syurga oleh-Nya.

Ya Rabb, berikan aku kekuatan untuk terus mencintai-Mu
aku dambakan rindu dari kasih sayang-Mu
berikan aku waktu untuk memudiki sungai nikmat dan hidayah-Mu
aku mimpikan muara bahagia-Mu

shamsudin othman/ 19 ramadhan 1428H
madrasah sham al-johori.

Amin.

iv
Semalam aku dihubungi oleh seorang rakan penyair dari Singapura. Dia mengundang aku untuk bercakap tentang nasib bahasa Melayu dan sedikit hal berkaitan Islam di masjid Sultan, Singapura lepas raya ini. Aku tidak segera menjawab tetapi setelah mendengar luahan dan kesedihan yang dilontarkan, hati aku menjadi sayu.

Katanya, "Melayu Singapura dah dihancurkan oleh pemerintah. Melayu tinggal 15 peratus daripada jumlah 4.4 juta penduduk. Islam pula dikecilkan oleh strategik yang licik dan terancang."

Tanyaku pula, "macam mana boleh berlaku?"

Dia menjawab lemah, "semuanya bermula apabila sistem pendidikan menukar bahasa penghantarnya iaitu bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Perlahan-lahan setelah 30 tahun, orang Melayu dah mula cakap bahasa rojak, bahasa pasar, bahasa yang entah apa-apa, asalkan orang cina, india, indonesia atau orang Singapura faham. "

Aku bertanya lagi, "nah, apa masalahnya? Bukankah itu yang kerajaan kau mahukan? Itulah pengorbanan demi kemerdekaan dan persaingan antarabangsa?"

Bebarapa saat talian di telepon bimbit aku tidak bersuara. Mungkin rakan aku sedang memikirkan sesuatu. "Aku sebenarnya ingin berkongsi pengalaman dengan rakyat Malaysia macam kau yang terbuka dan sedar. Kalau kau tak perjuangkan nasib bahasa Melayu di tanah air kau, lihatlah suatu hari nanti. Bahasa Melayu akan mati dan akhirnya orang Melayu juga akan mati." Nada suaranya meninggi kali ini. Mungkin juga dia tersinggung dengan pertanyaan aku tadi.

Setelah beberapa minit berlalu, perbualan kami ditamatkan dengan ucapan salam dan selamat bersahur.

Aku tiba-tiba teringatkan seorang rakan aku yang mengajar di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Dia cikgu Pendidikan Seni dan isterinya seorang pensyarah bahasa Inggeris di UKM. Kami rapat dan sama-sama menunaikan fardu haji 2 tahun lalu. Aku teringatkan dia sebab, dia terlalu yakin malah amat obses bahawa bahasa Inggeris ini akan dapat mengubah Malaysia. Aku bersetuju dengan pendapatnya tetapi apa yang ingin kita ubah itu? Adakan kita ingin mengubah negara Malaysia daripada sebuah negara dunia ketiga hingga menjadi negara dunia kedua atau menjadi negara dunia pertama? Atau adakah dengan perubahan itu, kita sanggup mengadai maruah bahasa dan bangsa? Kalau macam itu, apa yang terjadi kepada Singapura? Adakah negara jiran tetangga itu telah menjadi negara dunia kedua? Aku akui bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi. Tetapi perlu diingta bahawa bahas inggeris bukan bahasa ilmu. Bahasa ilmu adalah bahasa ibunda. Hanya dengan bahasa ibunda ilmu dapat dipelajari dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Kepada sahabatku ini, kembali dan fikirkanlah dengan mendalam. Singapura telah mencatat sejarah penghinaan bangsa dan bahasa Melayu. Jepun, Korea, China, Perancis, German, Sepanyol tidak pernah tunduk dengan bahasa Inggeris tetapi mereka kian maju dan ditakuti barat (orang inggeris). Mereka boleh hidup berjaya dan cemerlang, gemilang dan terbilang dengan bahasa mereka sendiri. Hanya kita sahaja yang takut pada bayang-bayang sendiri, terhegeh-hegeh mengadai maruah konon ingin diberikan pengiktirafan dunia barat. Sedarkah kita, apabila kita memilih Islam sebagai agama rasmi negara maka selagi itulah orang barat yang berfahaman kristianisme ini tidak akan mengiktiraf Malaysia. Barat sudah lama tidak memberi ruang dan menafikan hak orang Islam. Kita aja yang terkinja-kinja, seronok sendiri atau berangan-angan rasa dihargai.

Nah, pertanyaan yang lebih mencabar lagi ialah kenapa dua orang angkasawan kita wajib belajar bahasa Rusia sedangkan bahasa inggeris mereka lebih baik daripada orang eropah sendiri? Kenapa juga orang amerika yang ingin ke angkasa lepas itu juga terpaksa belajar bahasa rusia? Kenapa? Kenapa? Kenapa?

Jawapan pertanyaan ini ialah bukan kerana bahasa tetapi kerana agama. Di negara kita pula, setelah orang Melayu fasih berbahasa inggeris mereka pula meminta mahir bahasa menderin atau hokian. Jadinya apa yang sedang berlaku sekarang?

Akhirnya tanyalah dengan diri kita sendiri, di manakah kita hari ini?

Jumpa lagi sahabatku.....