Rabu, 26 Mac 2008

JaNTunG dan BR

SEMALAM beberapa orang sahabat menelefon dan hantar email bertanya kenapa aku memetik entri daripada blog kuda-kepang.blogspot. Aku hanya mengiyakan kemudian menjelaskan bahawa selama ini baharu semalam aku sempat membaca Perlembagaan UMNO. Rupa-rupanya selama ini, perlembagaan itu amat jelas menyatakan perjuangan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada agama Islam, raja dan sultan, bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Aku ingatkan benda-benda itu tidak termaktub dalam perlembagaan mereka sehingga mereka sanggup mendustai bangsa, agama dan bahasa mereka. Aduh! malangnya nasib penyokong UMNO yang menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan.
ii.
Apa yang sebenarnya kau inginkan UMNO?
Kebahagiaan?
Itu adalah sutera mimpi
yang terlepas dari langit impian
setelah menyusun seribu sedar.
Kekayaan?
Itu adalah segunung nikmat
yang tak segagah gunung cita
setelah terpugar oleh gempa.
Kedudukan?
Itu adalah kerusi sengsara
yang tak mengenal saudara
setelah patah dan rebah.
Perjuangan?
Itu adalah semangat lara
yang berbunga prasangka
setelah kehilangan jihad.
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Selasa, 25 Mac 2008

TENTANG PENDERHAKAAN ...kutipan dari blog kuda-kepang.blogspot.com

Renungan Buat Rakyat Malaysia.
Hari ini saya kirimkan dokumen Rukunegara untuk renungan seluruh warga siber Malaysia dengan nota “saya harap ramai-ramai kita downloadkan dokumen ini dan kirimkan kepada seluruh pihak yang terbukti sedang menderhaka kepada Raja-Raja Melayu pada ketika ini. "DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!”
Saya berbuat demikian kerana prinsip kedua Rukunegara adalah “KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.” Prinsip ini dimaktubkan sedemikian rupa kerana Raja-Raja Melayu dan institusinya adalah sendi utama kepada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Ini juga kerana Raja-Raja Melayu dan institusinya adalah payung makhota kepada kesejahteraan, keharmonian dan kedamaian rakyat jelata seluruhnya. Pada waktu yang sama, oleh sebab kekusutan yang sedang berlaku di Terengganu hari ini adalah membabitkan UMNO selaku tulang belakang Barisan Nasional (BN), wajarlah pihak-pihak yang terbabit merujuk kepada Perlembagaan UMNO.
Rujuklah kepada Fasal 3 perlembagaan tersebut seperti berikut:
FASAL 3 ASAS DAN TUJUAN UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.
3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.
3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.
3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.
3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.
Sesudah itu, bacalah Fasal 3(2) yang menyatakan bahawa antara asas dan tujuan perjuangan UMNO adalah “Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.” Sila baca Fasal 3(2) ini secara berulang kali sehingga semangat, roh dan jiwanya menggelorakan keinsafan kepada kita semua. Sesudah itu, tanya diri kita, adakah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, insaf bahawa apa yang beliau lakukan pada hari ini, dalam konteks kemelut Menteri Besar Terengganu, mencanggahi Perlembagaan UMNO? Seterusnya, tanyalah kepada pihak UMNO yang merentangkan banner dengan kata-kata: “Kami Mahu Idris, Natang” dengan soalan tegas, siapakah yang mereka maksudkan “NATANG atau BINATANG?” Kalau mereka jawab, “NATANG” yang dimaksudkan adalah lembu-lembu yang berkeliaran di Jalan Kuala Berang, tak mengapa! Tapi kalau perkataan “NATANG atau BINATANG” ini ditujukan kepada pihak yang sedang dibantah keputusannya kerana melantik ADUN Kijal, YAB Ahmad Said, selaku Menteri Besar Terengganu, manusia yang derhaka ini mesti “disula” dengan serta merta! Heret mereka ke Balai Polis terdekat dan buat laporan bahawa perbuatan manusia berkenaan adalah satu penderhakaan! Sesudah itu, kirimkan salinan laporan polis itu kepada Hishamuddin Hussein selaku Ketua Pemuda UMNO dan Khairy Jamaluddin selaku Naibnya. Beritahu kedua-dua “hero?” Melayu ini bahawa inilah waktunya kalau mereka mahu menghunus keris untuk menyula Melayu-Melayu yang derhaka kepada Rajanya! Dan, jangan lupa kirimkan salinan juga kepada Abdullah. Katakan kepadanya, kalau beliau tidak bertindak tegas untuk menurunkan kain rentang itu, maka beliau perlu diheret sama dalam tuduhan berkenaan kerana bersekongkol dengan Melayu-Melayu derhaka.
Seterusnya, renungkanlah komen seorang pelayar blog ini dengan nama Hang Aku, mengenai apa yang sedang berlaku di Terengganu sekarang, seperti berikut:
Banding dan fikirkan wahai orang yang berfikir:
1) DAP biadap kerana cuba boikot majlis angkat sumpah MB Perak. Tapi, UMNO tak biadap bila nak boikot majlis angkat sumpah MB Terengganu?
2) Datuk Ahmad Said (Terengganu) akan dipecat kerana langgar watikah Presiden UMNO. Tapi, Datuk Md. Isa Sabu (Perlis) tak dipecat kerana isu yang sama?
3) Zam (Datuk Seri Zainuddin Maidin, Kedah) diselar oleh pemimpin UMNO kerana komen yang dikatakan tidak benar pasal pembaziran wang dan usaha keras untuk menawan Kelantan. Tapi, Ku Li disuruh rampas Kelantan sebelum cabar Presiden UMNO kerana dikatakan banyak wang dan usaha yang telah digunakan untuk menawan Kelantan tapi gagal. Bazir dan guna...macam sama je maksudnya?
4) Kerajaan baru Perak dikatakan tiada muafakat kerana bertelagah untuk memilih Exco. Tapi, kerajaan Terengganu nak dapat MB pun payah?
- Hang Aku: 8:40 PM.
Demikianlah renungan untuk kita semua kali ini. Kepada sahabat-sahabat saya di Terengganu, fikir-fikirkanlah mesej di sebalik renungan ini. Kepada Abdullah, undurlah sekarang juga kalau masalah seperti ini pun susah sangat nak diselesaikan. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!!!! – Ruhanie Ahmad

MELAYU JUWITA 2008


APA maknanya semua ini sekirannya kita tidak melihat kepada perlembagaan Al-Quran, Hadis mahupun perlembagaan parlimen yang dicipta manusia. Inilah beberapa persoalan yang sedang bermain dalam ingatan dan fikiran saya sejak dua menjak ini. Saya tinggalkan beberapa persoalan dan marilah kita sama-sama merungkainya.

1. Apakah pentingnya perlembagaan kepada rakyat?
2. Sejauh manakah kita perlu akur dengan perlembagaan itu?
3. Perlukah perlembagaan itu dipinda?
4. Siapa lebih berkuasa dalam sistem kerajaan beraja (monarki)?
5. Untuk apa memilih agama rasmi negara sekirannya agama baharu dicipta tanpa
merujuk perlembagaan?
6. Apakah kriteria perlembagaan yang menukar bahasa rasmi negara ini?
7. Tampok kepimpinan negara kita diterajui oleh Agung (sultan/raja) atau PM atau KSN?
8. Ke mana arah dan hala tuju sebuah negara bernama Malaysia ini?

NAH! Secara jujurnya, marilah sama-sama kita renung dan fikirkan. Allah SWT anugerahkan kita akal dan nafsu, iman dan tajdid, amal dan jihad atau lebih daripada itu ialah tawakal. Sejauh manakah kita sanggup bertawakal sekirannya kita masih tercari-cari sebuah kehilangan jati diri?

Tanpa menidakkan konsep musawarah, kita perlu bangkit daripada gelodak hawa nafsu, kerakusan, ketamakan dan keberahian.

p/s: aku seringkali berfikir; ke manakah aku hendak dibawa?

Selasa, 18 Mac 2008

HARI INI BETAPA PERLUNYA KITA SEORANG SULTAN


SULTAN: BERAJA DI MATA BERTAKHTA DI HATI


Hari ini betapa terasa rindunya kita
kepada insan bernama sultan
setelah suatu waktu dahulu
kekebalannya dirampas
darjat dan takhtanya dihina
daulat dan maruahnya dikeji

Hari ini betapa kita memerlukan
seorang insan bernama sultan
untuk menjunjung perjuangan bangsa
yang celaru dan hilang punca
setelah gelombang rakyat
menjadi tsunami yang mengerikan

Hari ini betapa kita mengasihi
seorang insan bernama sultan
setelah Melayu kehilangan ketuanan
di bumi pusaka penuh bermaruah
tempat anak cucu mewarisi
tradisi dan ketamadunan

Hari ini betapa kita menyayangi
seorang insan bernama sultan
setelah ludah yang terlontar
jatuh ke muka sendiri
hingga hamis dan hanyirnya
melingkar diri

Hari ini betapa kita menghargai
seorang insan bernama sultan
setelah diri diperkotak-katik dipersenda
oleh pendatang yang menumpang berdagang
berkongsi kasih dan derita
membina sebuah negara bangsa

Hari ini betapa kita menyesali diri sediri
setelah membuang ketuanan sultan
dengan slogan
HIDUP MELAYU
HIDUP UMNO
HIDUP MALAYSIA


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.




Rabu, 12 Mac 2008

SEBUAH IMPIAN YANG TAK TERTUNAI


INILAH SEBUAH IMPIAN YANG TAK TERTUNAI
AKU merindui sebuah jambatan yang indah di negeriku. Jambatan penghubung tanah dan pulau selatan. Impian hanya tinggal impian. Tatapi anehnya, pembangunan lain yang timbul. WPI-Nusajaya akan menjadi perkampungan e-ekonomi hadhari yang serba mungkin dapat mengubah nasib orang Melayu kepada dua bentuk iaitu; pertamanya Melayu terus maju dan gemilang. Keduanya, Melayu akan menjadi bangsa merempat di tanah air sediri. Aku mula takut dan seakan dikejar oleh bayang-bayang ketakutan yang tak dapat aku lakarkan bagaimana rupa bentuknya. Berwajah hantukah? Berwajah jembalangkah? Berwajah seorang puteri yang jelitakah?
Di tanah air sendiri, aku mula mengongak-congak apakah percaturan seterusnya oleh bapak memanda menteriku? Aku akan terus berdoa agar kehilangan demi kehilangan tidak akan berpanjangan. Cukuplah dengan kehilangan sebelum ini yang meluka dan memedihkan.
Salam bermuhasabah diri.