Selasa, 30 Oktober 2007

Suatu Hari Nanti

i
Aku baru sahaja mendengar lagu Sohaimi Mior Hassan bertajuk 'Suatu Hari Nanti'. Penyanyi yang aku minati kerana suara jantan dan keunikannya benar-benar menusuk kalbu. Lagu ini mengisahkan keabadian cinta yang tidak diakhiri dengan perkahwinan. Lirik dan melodi oleh Sohaimi benar-benar meruntun kalbu. Mendengar lagu ini aku terkenangkan lagu-lagunya yang hebat pada era 80 dan 90-an dahulu. Lagu seperti 'Epilog Cinta dari Bromley', 'Ros' dan lain-lain yang masih segar dalam ingatan itu kini dihidupkan kembali dengan lagu 'Suatu Hari Nanti'.

Kepada kekasihku, dengar dan hayatilah lagu ini. Lagu ini mungkin sesuai dengan dirimu yang tidak pernah sedar bahawa cinta itu memerlukan pengorbanan. Aku sentiasa berdoa agar cinta kita akan terus bersemi.

Selamat menghayati lagu 'Suatu Hari Nanti'.

KONGRES SEBUDAYA SERUMPUN (KSS) 2007

Maklumat ini adalah terbuka dan diminta untuk dipanjangkan.

PENA dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan
KONGRES SEBUDAYA SERUMPUN.


Tarikh:
16 - 18 NOVEMBER 2007

Tempat:
Dewan Bahasa dan Pustaka.


Pemakalah:
Pemakalah terdiri daripada sarjana, budayawan dan aktivis sastera daripada

empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singupura dan Thailand.

Status Kongres:
Antarabangsa

Penyertaan:
RM20 (pelajar), RM40 (individu) dan RM100 (organisasi - untuk 3 orang)

Penginapan:
Tanggungan sendiri (cadangan penginapan boleh dibantu oleh urus setia kongres)


Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi;
i. Shamsudin Othman - 013-342 3166
ii. S.M. Zakir - 017-342 7991
iii. Mohamad Saleeh Rahamad - 019-351 4940
iv. PENA - 603- 2124 5824

Kehadiran dan penyertaan anda semua akan dapat mengimarahkan lagi majlis ilmu yang bersifat Budaya Melayu Serumpun. Perbincangan yang menekankan nasib bahasa dan budaya Melayu akan menjadi fokus kongres ini.

Terima Kasih dan mohon dipanjangkan.

ANTARA MASA DAN KENANGAN YANG DIPINJAMKAN

i.
Tanpa aku sangkakan seorang rakan yang sama-sama makan nasi bungkus, seharian hidup dalam kesusahan belajar menjadi seorang guru di MPLP sepuluh tahun dahulu akhirnya menghubungiku melalui blog ini. Syukur juga kerana hari ini dia bergelar pensyarah dan bertugas di UPSI. Khabarnya akan ke UK untuk meneruskan pengajian Phd. Kenangan bersama-samanya memang menarik sebab 'dia budak kelantan yang suka melaram'. Perwatakannya yang manco memang membuka ruang untuk wanita jatuh cinta kepadanya. Itu cerita sepuluh tahun dulu. Hari ini, aku dengar dia dah 'menjadi orang' dan 'orang penting' di UPSI.
Allahamdulillah, nasib kami berdua telah diubah oleh Allah dan kami perlu menjadi manusia yang sentiasa ingat dengan limpah rezeki yang dikurniakanNYA. Amin.

ii
Mesyuarat Agung Pena ke-44 baru sahaja berakhir. Ucapan presiden PENA penuh dengan harapan dan perjuangan. Nuasa ini seperti mengingatkan aku akan perjuagan Usman Awang dan rakan-rakannya dahulu. Kami (penulis muda) perlu menjadi penerus kepada gerakan yang menuntut hak dan prinsip 'Melayu' yang mula diperkotak-katikkan. Besar dan tinggi harapan itu menguji sejauh mana kekuatan kami generasi baharu yang terpaksa berhadapan dengan keracuan pemikiran politik UMNO. Tugas ini memang berat dan getir. Mudah-mudahan dengan sokongan Dato' Baha Zain, Dato' Johan dan rakan sealiran seperti SM Zakir, M. Saleeh Rahamad, Rahimidin Zahari, Amiruddin Ali, Saifullizan Yahya dan lain-lain, ruang untuk kami bergerak akan menjadi lebih mudah atau terbuka. Inilah perjuangan yang santai tapi penuh bermakna meski hanya untuk satu kepuasan.

iii
Rasanya, selepas raya ni tak banyak cerita yang menggugah perasaan. Mungkin beban tugas untuk menyiapkan kertas kerja dan esei menyebabkan aku lebih suka mengurung diri. Tuntutan seperti ini meski memenatkan tapi aku bahagia sekali kerana rutin aku yang suka membaca terisi. Yang penting, aku dapat kurangkan budaya mengupat apabila waktu untuk bersembang menjadi terbatas.

Suasana di luar sana sebenarnya masih bergelodak dan kian celaru. Apatah lagi saat perhimpunan agung umno dan pilihan raya kian hampir. Tentunya percaturan demi percaturan sedang dirancang dengan strategi yang pintar atau binal. Jika pintar akan membuahkan hasil; jika binal akan membuahkan mala petaka. Apa-apapun yang akan menerima bahananya nanti ialah rakyat jelata yang tidak mengerti apa-apa.

Aku benar-benar berharap, selepas usia kemerdekaan kita 50 tahun, rakyat boleh berfikir dengan matang untuk memilih pemimpin. Aku rindukan pemimpin yang muluk seperti Tun Abd Razak atau setidak-tidaknya macam Nik Aziz yang berfikir seribu kali dahulu baru bertindak. Bukan berfikir sekali tetapi bertindak beribu-ribu kali. Kita perlu belajar daripada falsafah orang Iran iaitu;

untuk mendapatkan baju yang sesuai dengan tubuh kita: ukurlah kain itu biar banyak kali kemudian potong; bukan ukur sekali tetapi potong berkali-kali.

Falsafah ini sama ada pernah ada, pernah dibaca, diketahui atau disedari oleh pemimpin hari ini tidak kita ketahui. Jadi, tugas kita yang hanya bergelar rakyat jelata inilah yang perlu melaksanakan falsafah ini.

Ayuh, teruskan perjuangan ini. Salam.

Rabu, 24 Oktober 2007

SALAM SETELAH BERISTIRAHAT YANG INDAH

i
Assalamulaikum wbk. Sekian lama menyepi oleh sebab sambutan aidulfitri dan menganyam nostalgia di kampung halaman tercinta. Nah, dengan kenangan yang meruntun kalbu dan cerita-cerita semasa daripada saudara mara juga taulan sebenarnya banyak mengajar aku erti kebahagiaan dan kasih sayang. Hari ini setelah usia menjangkau usia 40, aku mula belajar memahani erti persaudaraan dan kekeluargaan. Benarlah seperti kata ayah bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang memahami makna kasih sayang. Iklan Petronas yang mengisahkan dialog; "burung apa?". "murai" itu punya makna mendalam dalam konteks kebahagiaan. Tiada maknanya kekayaan sekiranya nasib kedua ibu bapa diabaikan. Tiada makna kebarakatan sekirannya kedua ibu bapa tidak dihargai dan dikasihi.

Ya Allah, aku bersyukur kerana menjadikan aku insan yang masih setia, taat, dan menghargai kasih sayang kedua-dua orang tuaku. Jadikan aku juga manusia yang akan dikasihi oleh zuriatku seperti mana aku mengasihi kedua-dua orang tuaku.

ii
Sempena syawal ini, sesuatu yang dituntut ialah berpuasa enam. Meski puasa ini tidak jatuh kepada hukum wajib tetapi sekurang-kurangnya puasa enam ini menjadi pelengkap kepada kepincangan puasa wajib yang kita tunaikan sebelum ini. Berpuasalah kita supaya kita dapat menjadi insan yang beriman dan bertakwa.

Jumpa lagi.

Selasa, 16 Oktober 2007

Lebaran Ke-4


i

Sesungguhnya saat berada di sisi keluarga dan saudara mara adalah saat yang banyak mengimbau kerinduan. Saat ini, aku terasa kerdil dan waktu tua kian menghambat.


Ah, waktu kanak-kanak. Akan berulang kembalikah kenangan ini?