Sabtu, 1 Disember 2007

SEBUAH NEGERI BERGELAR MANDUL


AKHIRNYA, aku berjaya juga menjejakkan diri di negeri ini setelah bertahun-tahun impian itu tertunda. Meski kedatangan aku itu dalam waktu yang belum cukup bersedia sepenuhnya, aku disuakan dengan seorang lelaki separuh berusia, sedikit gempal dan pernah menjadi dosen di salah sebuah univeriti di buana ini. Dia yang sedang menyandar di perdu buluh kuning itu, menggagahkan diri dengan memasang telinga sebesar-besarnya supaya dia mampun mendengar cerita yang terbit dari segenap pojok negeri itu. Aneh, kerana ingin mendengar cerita yang terlalu tersembunyi, telinganya boleh berubah-ubah. sekejap mengecil dan sekejap membesar. Jika membesar pula boleh mencecah sebesar kawah. Dia lelaki yang cukup mangli dengan hukum dan aturan tamadun manusia.
Aku dan orang ramai mengenalinya dengan gelaran Tuan Condong. Condong itu dikatakan bersempena sikapnya yang asyik condong ke kanan sahaja meskipun angin kencang bertiup ke kiri. Setelah beberapa lama melihat panorama negeri itu, kami memulakan bicara panjang.
"Tuan, kenapa negeri ini bergelar Mandul?" Tanyaku, setelah melihat palitan cahaya dari kepalanya yang sedikit gondol.
"Panjang sejarahnya. Nama itu merupakan nama yang paling baik dan paling banyak diterima pencalonan daripada rakyat. Pilihan nama kedua ialah Penyapu, ketiga Mangkuk Hayun dan keempat Banggang. Daripada nama-nama itu, akhirnya pemerintah bersetuju untuk memilih nama Mandul." Jelas Tuan Condong dengan penuh semangat selayak dengan bidangnya iaitu antropologi.
"Wah, hebat betul rakyat negeri ini, tuan! Masyarakatnya bijak sekali." Aku mencelah.
"Rakyatnya bukan setakad bijak sahaja malah lebih daripada itu berani dan berwawasan."
"Maksud tuan?" Aku memintas bicaranya.
"Berani sebab ada rakyatnya yang sanggup bergolok bergadai untuk menjadi angkasawan, mencipta rekod dunia dengan macam-macam agenda. Dan terbaharu ialah berwawasan. Wawasan mereka sukar diduga, ada yang ingin menjadi juara rasuah. Ada yang ingin menjadi juara judi. Ada yang ingin menjadi juara perempuan. Ada yang ingin jadi juara pemimpin sampai mati dan yang paling memeranjatkan ialah ada yang ingin mati sebagai penagih dadah dan pembawa HIV Aids." Cerita Tuan Condong bersungguh-sungguh.
"Fuh, handal juga rakyat negeri ini, tuan! Tapi kenapa rakyatnya memilih nama Mandul? Bukankah dalam kamus Melayu menjelaskan mandul itu maknanya tidak berkembang, jumud atau ketiadaan waris?" Desakku bersahaja dengan kemungkinan untuk menguji bukan membodek.
Tuan Condong mengukir senyum. Nampak giginya yang berkarat dek rokok kretek yang tidak pernah lekang dari bibir hitamnya.
"Oh, mandul itu bukan menunjukkan sikap rakyat negeri ini. Mandul dalam konteks negeri ini merujuk kepada kemadulan idea, minda atau agama.?"
Aku tersentak mendengar jawapan Tuan Condong. Fikiran aku mati seketika.
"Kenapa? Kau terperanjat ke?"
"Maknanya, tuan dan seluruh rakyat negeri ini sedar akan maksud perkataan mandul itu."
"Ya, kami sedar sesedarnya. Kami sebenarnya ingin menjadi negeri pertama dan bangsa pertama di dunia ini yang melakukan semua kejahatan dengan penuh kesedaran. Kami tidak mahu berselindung. Zaman sekarang menuntut orang yang berani berterus terang. Zaman sekarang bukan lagi zaman cakap berlapik atau malu-malu. Untuk menjadi satu bangsa yang hebat dan terkenal, kita mesti berani menjadi hero kepada kejahatan."
"Tuan sedarkah apa yang tuan cakapkan ini? Atau adakah telinga saya yang tersalah mendengar?" Pintasku pendek tapi mendesak jawapan.
"Kau tak perlu risau. Kerana kau berani menjadi pendengar yang setia, saya akan berikan hadiah ini kepada saudara sebagai tanda hormat dan dihargai. Nah, ambillah."
Aku menyambut bungkusan kotak yang cantik berbalut dengan kertas berwarna merah putih. Cantik dan kemas sekali bungkusan yang diberikan kepadaku itu. Sekian saat membeleknya, aku membuka dengan debaran yang tersekat-sekat.
"Kondom!" Getus walang hatiku.
Tuan Condong memerhati sahaja gerak lakuku. Kemudian dengan nada yang bersahaja tetapi serius dia berbisik ke telingaku, "inilah produk utama negeri ini. Kami menjananya dengan modal yang besar agar sinonim dengan nama negeri kami iaitu negeri Mandul."
Aku menelan air liur dengan nafas yang cukup terseksa. Merenung wajah Tuan Condong seterusnya menyebabkan tekak aku terasa loya. Menatap wajah Tuan Condong berikutnya, ada sesuatu dari dalam perut aku yang bergelora dan menendang ke atas. Kian lama kian kuat tendangan itu sehingga terasa bergerak ke halkum dan mulut. Akhirnya aku gagal mengawal suasana aneh dan tidak pernah aku lalui sebelum ini.
Semuanya tersembur dan bertaburan di jalanan. Jijik dan hanyir.
Tuan Condong mengukir senyum sambil menunjukkan isyarat bagus ke arahku. Dia hilang daripada pandanganku saat rasa loya yang menyelinap di perutku masih berkocah. Sesekali hanyir yang berbau itu benar-benar menggelikan.








Tiada ulasan: