Isnin, 23 Jun 2008

serupa tetapi kenapa tak sama?

Gambar sewaktu anugerah HSKU 2007
(kenangan bersama-sama MPR)


Malam tadi, lebih kurang jam 12.45 pagi; saya menerima sms dari teman yang sering dekat tetapi sebenarnya jauh. Dia antara rakan jauh yang sering berkunjung ke blog saya tetapi tidak pernah meninggalkan pesanan. Begitu pun saya perlu bersyukur kerana masih ada yang sudi membaca buah fikir saya yang kadang-kadang nakal dan bergelora.

Nah, katanya, "kenapa blog kau tak tak macam blog SM Zakir atau Rahimidin?" Smsnya pendek sahaja tapi cukup untuk membuat saya berfikir. Saya membalasnya dengan pertanyaan. "mengapa kau tebak begitu?". Dia balas semula, "mereka tu pendiam dan tulisannya romantisme. Kau juga pendiam tetapi ganas rupanya."

Saya menunjukkan sms itu kepada isteri yang duduk di sisi saya ketika menanti perlawanan Belanda menentang Rusia. Isteri saya adalah penyokong setia Belanda kerana dia pernah mencipta sejarah di tanah Deuths itu dan isteri juga seorang pencinta bunga tulip. Isteri saya tersenyum sambil berseloroh, "kawan awak tu buta kayu!". Saya ketawa kecil sambil meneruskan bacaan kitab Muntakhab Ahadits tulisan Syeikh Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi.

Nah, perlukah saya menjawab pertanyaan itu di sini? Rasanya tidak perlu tetapi cukuplah sebagai satu rumusan ringkas iaitu kadang-kadang dalam diam itu ada dendam yang membara. Hanya ketahanan dan kekuatan iman sahaja yang dapat menguasai kemarahan itu. Oleh itu, saya adalah manusia yang punya selemah-lemah iman apabila hanya mampu melontarkan dendam dan kemarahan. Itu semua hanya dengan tulisan. Itupun hanya dalam blog ini sahaja. Dan 'diam' juga bukan ukuran seseorang itu romantisme.

Saya merenung ke dalam diri selepas solat 'subuh gajah' (tidak sedar kerana menonton bola malamnya). Selepas membaca beberapa halaman surah al-Anbiyaa' saya berkira-kira kembali akan sms rakan jauh yang saya terima malam tadi. Terbetik dalam hati kecil saya juga bahawa mungkin ramai lagi manusia yang sedang memerhati dan menilai diri saya. Apatah lagi dua orang malaikat iaitu rakit dan akit yang sememangnya dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mencatat seluruh perlakuan saya waima yang zahir dan batin. Saya menjadi agam seketika. Merenung jauh ke luar jendela sambil meneruskan fikir. Saya tidak dapat menemui jawapan tetapi sekadar merengus pada pagi yang masih bercahaya itu.

Saya meletakkan kitab mukjizat nabi Muhammad itu di rehal bersebelahan kitab-kitab kuning yang sering saya uliti. Dalam fikiran saya masih banyak persoalan yang belum terjawab. Lalu saya teringatkan sajak saya yang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2007 baharu-baharu ini. Rupa-rupanya tanpa saya sedari, sajak itu punya makna yang lebih mendalam daripada apa yang saya maksudkan. Saya turunkan semula sajak itu sepenuhnya.

Doa Maal Hijrah di Kaki Maghrib

Senja itu selepas mengimbau filem hidup masa lalu
rupa-rupanya dalam detik yang tak terbayangkan
terlalu banyak nikmat telah kuterima

yang Kau utus dalam rahsia rahmat
hingga aku lemas di pentas kepura-puraan
dan letih digigiti palsu gemerlap angan-angan

Tatkala mengenang jutaan gembira dan sedih nikmatMu
sebenarnya terlalu sedikit yang sempat kubalas
sedang di langitMu masih berkerdip bintang cakerawala
membawa rahsia demi rahsia yang gagal kutafsirkan
dengan kebijaksanaan maknawiku
dan saat mengecap lazat cinta duniawi itu
terasa ada berahi yang menusuk
mendakap dan merasuk rindu kepadaMu
seakan sinar bintang bergemerlapan
di kaki langit yang tak tergapai tangan


Saat dibaluti usia yang menua ini
kenangan mengajar aku menjadi pengembara
yang tegar mencari cinta insani
pengubat reda dan takwa
yang sering bergetar
dalam nurani hijrahku.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Mingguan Malaysia, 25 Februari 2007.



Tiada ulasan: