Jumaat, 27 Mac 2009

SIAPAKAH PETUALANG DI DALAM UMNO DAN PPSMI


GEMPAR dan menarik sekali siasah Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Gempar kerana banyak keputusan yang berpihak kepada muka baharu. Sudah tentu, dengan harapan yang maha tinggi (baca: bukan setanding kudrat Allah) ini, mereka berusaha keluar daripada kebejatan yang tercipta sekian lama.

Tahniah kepada umno dan takziah kepada yang gagal mengekalkan kuasa termasuk kepada Pak Lah yang terpaksa menyerahkan kuasa (baca: buka atas kerelaan). Senario baharu ini adalah bayangan-bayangan kemungkinan nasib walang akan berterusan. Kenapa aku bercakap demikian? Hal ini kerana, malam tadi seorang teman yang berjaya memenangi kerusi dalam pertandingan semalam yang juga pernah aku ceritakan dulu menghubungi aku melalui setiausahanya. Pertanyaan setiausaha itu mudah dan ringkas dan boleh dijawab serta merta tanpa memerlukan masa untuk berfikir. Tanya setiausaha rakan aku itu begini;

"Boss saya tanya sekali lagi, nak atau tidak? Dia dah menang."

Bukankah jawapannya amat mudah iaitu semudah mengatakan ya atau tidak. Tetapi aku tetap memerlukan masa yang amat panjang dan hingga waktu ini aku masih belum memberikan jawapan ya atau tidak itu.

Pagi tadi, selepas jam 9 ada sms masuk ke dalam talian telefon bimbit. Dengan nombor dan nama yang aku benar-benar pasti dan kenali itu, segera aku baca pesanannya. Dia menulis begini;

Kebijaksanaan kau tu, jangan dibodohkan oleh petualang bangsa dan negara. Sayang, aku lihat kau ni dah macam memikul biawak hidup. Aku bukan apa, hanya umno aja yang boleh membela nasib bangsa dan agama.

Aku tanpa berfikir panjang, membalasnya dengan frasa yang pendek sahaja.

Macam mana dengan nasib bahasa Melayu dan apa pertaruhan PPSMI?


SMS aku dibalas segera; nasib bangsa termasuk bahasa. Aku janji untuk perbetulkannya.

Wah, janji yang menarik semanis menanam tebu di tepi bibir. Aku tidak membalas sms rakan aku itu hingga sekarang kerana aku teringatkan janjinya kepada orang kampung aku yang masih tidak ditunaikan. Pernah dia berjanji untuk menaiktarafkan surau di kampung aku; tetapi hingga kini surau di kampung aku masih macam dahulu. Sama dengan pembinaan hasil titik peluh orang kampung dan derma ikhlas daripada orang ramai termasuk PAS pusat. Janji itu sudah ditaburkan lebih kurang tujuh tahun lalu. Aku terkenangkan wajah ayah yang beriya-iya meminta aku dan adik-beradik berpakat untuk menyumbangkan pembesar suara sempena sambutan ramadhan lima tahun lalu.

Itulah janji politik umno yang berlaku di kampung aku, di selatan tanah air tempat lahirnya umno dan negeri yang paling ramai melahirkan pemimpin umno termasuk pelaknat bahasa iaitu ketua pemudanya yang kini berjaya merangkul kedudukan lebih tinggi dalam MT.

Berbalik kepada petualang di dalam umno. Kenapa mereka menjerit di dalam dewan yang mewah itu bahawa 'petualang itu' adalah orang luar daripada umno? Aku sedar siapa yang mereka maksudkan iaitu wirawan AI. Baiklah, jika dia petualang umno, apa susah-susah sangat. Dia seorang dan keahlian umno mencecah 2 juta orang. Tak kanlah 2 juta orang tak boleh menangkis serangan seorang manusia biasa yang tidak punya kuasa dan kedudukan?

Kesempitan fikiran dan takut dengan bayang-bayang merupakan petualang di dalam diri sendiri yang membusung di dalam umno. Aku bukan menyokong wirawan itu tetapi aku melihat dengan mata seni aku bahawa umno masih takutkan igauan masa lalu. Penyakit dan kesakitan yang bernanah di dalam umno masih belum mampu disembuhkan. Dan penyait yang paling teruk ialah melihat kesalahan dan kelemahan orang lain.

Jika umno tidak lemah atau tidak berpenyakit, kenapa mereka nanar teruk sejak dua menjak ini? Kenapa rakyat kian loya dan mabuk melihat umno? Adakah jawapan itu ada dan perlu dicari daripada kelemahan orang lain atau jawapan itu hanya boleh dijawab sendiri daripada sifat bermuhasabah diri.

UMNO pada hakikatnya berada di dalam kepompong 'liberalisme neokolonis'. Keterikatan dan kesuburan fahaman inilah menyebabkan mereka tidak berani keluar daripada 'kemewahan zon selesa'. Prinsip 'elit-mandor-tuan-boss' kian menjadi-jadi hingga bayangan fitnah terhadap lelocong 'nak kaya masuk umno' tidak boleh lari daripada jolokan itu.

Aku tidak mahu berhujah panjang kerana waktu dan rutin yang mendesak. Apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana di tangan MT umno yang baharu ini, mereka dapat mengembalikan maruah bangsa dan bahasa Melayu yang sekan-akan terhakis. Mungkin terlalu awal untuk membuat andaian juga tebakan. Tetapi, jika aku menanti terlalu lama, makanya kian lama jugalah keputusan perlu diambil untuk menyelesaikan kemelut PPSMI.

PPSMI bukan agenda mengubah mentaliti atau kepandaian orang Melayu; tetapi agenda yang tersirat untuk melenyapkan prinsip kepercayaan dan kekuatan sebuah tamadun bangsa Melayu setanding dengan kuasa Barat.

Selamat bersara secara terpaksa Pak Lah dan selamat menaiki podium umno, Najib. Moga sang ratu akan tersenyum seperti penguin mendapat salji. Aku akan setia menantikan kemelut PPSMI berakhir dengan senyuman dan telah bersedia juga dengan tanggisan.

Selamat bersidang warga dewan dan selamat kembali ke dewan pemikiran penjajah.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum.saya yakin tn. hj. akan membuat keputusan yang TEPAT untuk memilih atau menolak pelawaan itu. seperti kata tongkat warrant,'musuh dicari ke lubang cacing. tak dapat tanduk telinga dijinjing. maruah dan agama dihina jangan. hebat amuknya tak kenal lawan'.

D'Rimba berkata...

Teruskan pejuang bangsa pahlawan berwibawa ikhlasnya jiwanya. Hanya kalian semualah anak bangsa harapkan. Sesungguhnya kami sedang mengalami mimpi ngeri yang amat merunsingkan. Tolonglahhhhhhhhh

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,

1. Bersetuju dengan kata-kata:
"Berbalik kepada petualang di dalam umno. Kenapa mereka menjerit di dalam dewan yang mewah itu bahawa 'petualang itu' adalah orang luar daripada umno? Aku sedar siapa yang mereka maksudkan iaitu wirawan AI. Baiklah, jika dia petualang umno, apa susah-susah sangat. Dia seorang dan keahlian umno mencecah 2 juta orang. Tak kanlah 2 juta orang tak boleh menangkis serangan seorang manusia biasa yang tidak punya kuasa dan kedudukan?"
(Tuan, katanya... menurut statistik terkini ahlinya 3.5 juta orang)

2. Jangan sesekali mudah percaya dengan tawaran itu selagi belum ada tindakan wajar oleh puak-puak ini... ya! setidak-tidaknya asas tentang kedudukan bahasa Melayu!

3. Apa-apapun (walaupun tidak suka kepada 3 calon pemuda itu), tahniah buat KJ... setidak-tidaknya tamparan hebat buat mantan PM ke-4 itu yang terkenal dengan sifat dan tindakan.......!

Tanpa Nama berkata...

Salam Hormat buat Sasterawan Terhormat!

Saya bukanlah ahli UMNO, pun begitu rasa terkilan juga atas ketewasan Tuan Rais Yatim dalam perlumbaan Naib Presidennya, kerana beliau salah-satu(atau mungkin satu-satunya!) Menteri yang menentang PPSMI. Betapa ralat lagi, yang tersohor di tangga Naib itu sang 'Yes Man', merangkap Pertahanan Terakhir PPSMI. Aduhai, aduhai!

SATIRA + KACAU berkata...

Aku rasa kau pun tahu tentang para celaka itu. Tahniah kerana kau tidak terbeli dan termakan bujok celaka.

Satira + Kacau