Ahad, 1 Julai 2007

AKAN BERULANGKAH SEJARAH ITU?

Gambar: Salji di kota Amsterdam, Belanda.
i
Aku baharu sahaja dikunjungi oleh Fard Razy bersama-sama isterinya. Dia merupakan anak murid aku yang paling berjaya dalam makna hubungan guru-murid meski bakal bergelar doktor dengan ijazah dari Dublin tetapi dia tidak lupa asal-usul dan kemandirian. Hari ini hubungan kami lebih kepada sahabat sasterawan. Dia balik bercuti tiga bulan dan sekarang khabarnya sedang menyiapkan karya untuk diantologikan.
Semoga kau menjadi anak muridku yang paling berjaya dan dapat menggantikan aku sekirannya Tuhan menjemput aku lebih awal.
ii.
Seperti yang dijanjikan, maka wakil dari KPM itu pun datang ke sekolah aku. Maka bertemulah aku dengannya dalam keadaan yang baik bertemankan pengetua, penolong kanan dan seorang lagi pegawai KPM. Aku disoal dengan beberapa pertanyaan tentang blog 'TANAH NURANI" ini. Aku perturunkan antara dialog yang masih terngiang-ngian di telinga.

KPM: Kami hanya menjalankan tugas. Ikut arahan dan prosedur biasa. Kita janganlah
mengkritik kerajaan sebab itu majikan kita.
AKU: Saya tak kritik kerajaan tetapi saya kritik orang yang mentadbir kerajaan. Dia itu memikul amanah dan harapan rakyat.
KPM: Samalah tu.
AKU: Kalau sama maknanya selama ini, tak adalah bezanya antara firaun dengan Mesir atau Hitler dengan Jerman.

Dia tak berkata apa-apa. Sambil bersalaman dia sempat berbisik ke telinga saya, katanya "sayapun banyak yang tak bersetuju dengan juak-juak ini, tetapi..."
Saya menguntum senyum sambil merenung tajam wajahnya. Dia membalas senyum tetapi dari riak wajahnya dapat aku meneka jiwanya yang meracau.
Akan berulangkah sejarah itu dalam hidupku? Selepas ini aku akan memulakan tugas di tempat baharu yang lebih terbuka dan mencabar.
iii.
Hari ini Ahad-1 Julai 2007; aku menghabiskan masa dengan membaca beberapa ruangan tetap akhbar. Aku baca tulisan Johan Jaaffar bertajuk "Melayu Memang Mudah Lupa' Berita Minggu); aku baca tulisan Mazlan Nordin bertajuk 'Kisah-kisah Cinta dalam Mitos Yunani' (Mingguan Malaysia); dan aku baca tulisan Rustam Sani bertajuk 'Apakah Cacatnya Perjuangan Bahasa Malaysia' (Siasah); aku baca juga tulisan Mahfuz Omar bertajuk "Melayu Perlukan Pemimpin Yang Jujur' (Harakah).
Aduh!, membaca tulisan mereka itu, aku menjadi keliru dan cuba berfikir untuk mencari jawapan siapakah yang betul. Paling menariknya apabila membandingkan tulisan Johan dengan Mahfuz. Mereka beranalogi dan berteori, mereka berkisah dan berkias serta mereka juga mencari yang tersirat dalam tersurat. Begitupun aku melihat, mereka semua adalah orang politik yang bandai berjanji kecuali tulisan Mazlan Nordin tentang cinta yang bermula sejak kisah Nabi Adam dengan Hawa, kisah Jesus dengan Cleopatra (permaisuri Mesir) hingga Julies Caeser seterusnya ke sejarah cinta Sultan Melaka dengan Raden Mas Ayu dan terbaharu kisah cinta Pak Lah. Cerita Mazlan kali ini menarik dan jujur kerana apa yang dapat aku simpulkan daripada tulisan Mazlan ialah;

Saya tidak menanam nanas,
Tanam kepaya di dalam padi;
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.

iv.
Aku mula merasai detik-detik diri di daerah daif setelah berjaya menamatkan pembacaan buku 'The Venture of Islam: Conscience and History in a Would Civilization-The Gunpower Empires and Modern Time Volume III' karya G.S. Hodgson. Membaca buku ini dan melihat pemikiran juak-juak Umno menjadikan aku tertanya-tanya; adakah mereka tidak pernah membaca buku ini? Kalau tak tahu bahasa Inggeris yang mereka agung-agungkan itu, DBP pernah terjemahkan buku ini ke dalam bahasa Melayu. Bacalah dengan budi dan fikir yang luruh. Buku ini adalah gambaran dan sejarah Islam dalam tamadun dunia. Masalahnya juak-juak ini hanya pandai berpidato tapi isinya entah apa-apa. Lebih teruk daripada tin kosong atau botol arak kosong. KESIAN JUAK-JUAK macam ini.
v.
Aku teringatkan kekasih lama yang khabarnya kini telah menemui cinta yang hilang dan mula bahagia. Tahniah dan aku doakan kau akan bahagia macam cinta Rahimidin atau cinta SM Zakir. Esok adalah hari aku akan memulakan tugas di tempat baharu. Doakan aku menemui diriku sendiri di dunia dunia baharu itu.

Tiada ulasan: