Khamis, 22 April 2010

TENTANG SAJAK SEORANG SAHABAT


SAYA baharu sahaja melayari blog sabahat saya Fazleena Hishamuddin. Dia ini seorang serikandi teateris tegar yang berani bereksperimen. Persembahannya kadang-kadang melangkau batas fikir manusia. Tetapi, menariknya dia kali ini apabila dia menulis sajak impak daripada isu pembuangan bayi. Membacanya sekali, saya tidak puas. Saya mengulangi baca hingga saya terasa ada dosa lain yang merayap di dalam diri saya. Inilah yang dikatakan perasaan dalam sajak. Saya bukan ingin memuji tetapi cukup sekadar mengakui bahawa sajak ini mempunyai perasaan yang bijaksana.

Saya turunkan sepenuhnya sajak Fazleena ini (dah minta izin pindah terbit; dia benarkan ke atau tidak, saya tak peduli dan itu bukan persoalannya).

Yang namanya Mama

Mama
kalau aku asalnya dari rasa cinta
mengapa di situ aku di letakkan.

Berteman
lalat
ulat
lipas
semut
sampah
tahi

Mama
Kalau aku ini asalnya dari nafas cinta
mengapa di situ aku di campak.

Bersama
Busuk
kotor
hanyir
kepam
jijik
loya

Mama
kalaulah aku ini namanya cinta
mengapa di situ aku di buang.

Bawah jambatan
longkang
tong sampah
lubang tandas
semak samun
tepi jalan

Mama, Mama, Mama
aku mahu punya nama
aku mahu punya cita-cita
aku mahu ada nyawa
aku mahu ada rasa
aku mahu ada cinta

Kalau kau beri aku sedikit ruang
sedikit peluang
aku akan bangkit berjuang
aku akan pergi berperang
aku akan tendang terajang
kepada sesiapa pun yang menentang
kepada sesiapa pun yang melarang
kepada sesiapa pun yang hanya tahu memandang

Tapi Ma,
kau tidak beri aku itu
kau tidak beri aku waktu
waktu

Jangan risau Mama
aku ada bersama Dia
yang terima aku kurang-lebih nya
yang menjaga aku di syurga
yang beritahu aku apa makna cinta

Buat Mama-mama
berhentilah menjaja cinta
berhentilah menjadi pendosa.

Fazleena berjaya mewakili naluri mangsa seorang bayi yang menjadi korban cinta. Saya tidak mahu menganalisis sajak ini kerana saya tidak berniat ke arah itu, tetapi apa yang penting ialah saya terpegun dengan keupayaan penghayatan seorang gadis 'brutal sentimental' (baca istilah baharu yang saya cipta dan sesuai untuk dirinya) ini.

Kepada Faz (nama gelaran saya kepadanya), rupa-rupanya dalam keras hatimu ada kelembutan yang menusuk.

5 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Nama yang melambangkan 1 Malaysia seperti diwara-warakan kini tiadakah...? Hehehe...

fazleena berkata...

encik syam,

aduh terharu sekali. :) saya mmg 'sentimental' lebih dari brutal. suka istilah tu. hehe.

saya tak pandai main bahasa. saya tulis apa saya rasa sahaja. kena berguru banyak lagi pada en syam.

tima kasih kerna sudi kongsi sajak ini.

*terharu

Zainal Abdul Kadir berkata...

Ini memang sajak yang cukup memikat. Saya sudah cetak dan tampal di pejabat. Teringin juga hendak baca sajak Tn. Hj. yang menang hadiah pertama itu.

Hasmora berkata...

Tuan Haji,

hamba hina dina ini; terpesona akan bait-bait sajak sdr Faz ini, tahniah..
kalaulah penzina-penzina itu membaca isi khutbah ini http://ustazlah.blogspot.com/2010/04/berikan-kami-peluang-hidup.html .. atau cukup sekadar mencari selembar hidayah, kita mungkin kurang lihat dan dengar anak-anak tidak berdosa diperlakukan sedemikian rupa..

Assalamualaikum..

S.M. Zakir berkata...

aduh pilu dan ngilunya ulasan tuan aji