Selasa, 11 Mac 2008

MAKA SEORANG MEMANDA MENTERI PUN BERSUMPAHLAH




SAKSIKAN BAGAIMANA DUA ORANG PEMIMPIN INI BERSUMPAH.
MAKA DUA ORANG MEMANDA MENTERI PUN BERSUMPAH.
Nah! untuk apa sumpah ini?

Tentulah jawapannya ialah untuk membina dan mendapatkan restu daripada seorang raja agar diberi kuasa mentadbir sebuah negara bernama Tanah Melayu. Aku berharap agar pengertian memikul amanah rakyat ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Menjadi seorang ketua dalam sebuah masyarakat yang terdiri pelbagai agama dan kaum bukan satu kerja yang mudah. Apatah lagi rata-rata rakyat negara ini sudah dibekalkan dengan akademik yang dapat menbezakan yang antara buruk dan baiknya kepimpinan seseorang. Inilah persoalan besar yang perlu dipikul oleh ketua menteri. Harap-harapnya pemikiran 'mulut diberi pisang tetapi bontot dicucuk kayu' tidak berlaku dalam kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat kali ini.

Aku sering berfikir. saat kita gembira meraikan kemenangan dan bersorak memberikan pengajaran kepada orang lain; kita juga perlu melihat ke dalam diri sendiri. Maksud aku bermuhasabah diri. Kemenangan bukan bermakna kita telah berjaya dan dapat memiliki apa yang kita cita-citakan sepenuhnya. Tanggapan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih bitara iaitu kemenangan hanya akan menjadikan lebih berat menanggung beban amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, mampukah kita memikul tanggungjawab itu dengan fikiran dan kewarasan IMAN, TAKWA dan KEZUHUDAN?

Aku tetap mendoakan agar tanah air aku menjadi sebuah negara yang aman, damai dan harmoni. Rasullullah saw dalam kehidupannya pun sering mementingkan agenda perpaduan dan keharmonian. Tindak tanduk baginda yang berasakan musyawarah 'siddiq, amanah, tabligh dan fatonah' itulah yang menjadikan Islam hebat serta disegani oleh kaum lain.

Aku hanya manusia kecil yang mampu mengutus doa dan rasa syukur atas musibah atau dugaan yang diberikan. Keputusan pilihan raya baharu-baharu ini diharap dapat membuka mata orang Melayu bahawa prinsip KETUANAN MELAYU mula tergugat. Sejak peristiwa 8 MAC 2008 fikiran dan mata orang orang Melayu mula terbuka. Mereka mula bangun daripada tidur yang panjang. Mereka mula terasa selama ini, mereka selesa dan sentiasa puas hati apabila BAHASA MELAYU bertukar menjadi BAHASA MALAYSIA; SEKOLAH AGAMA RAKYAT DITUTUP DAN DISEKAT BANTUAN PERKAPITA; HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DIRAMPAS; PERLEMBAGAAN PERKARA 152 DIKOYAK-KOYAK; AGAMA ISLAM DICERCA DIHINA; ORANG MELAYU DIPERSENDA OLEH BANGSA MEREKA SENDIRI dan banyak lagi perkara-perkara yang menyinggung sensitif orang Melayu dilanggar begitu sahaja oleh orang Melayu yang punya kuasa atau dipinjamkan kuasa oleh rakyat.

Orang Melayu yang diberi kuasa itu sebenarnya perlu membaca buku-buku tulisan para pemimpin Islam atau dunia lain yang terbukti hebat. Tak ada maknanya, menjadi pemimpin yang berulit dengan duit tetapi menafikan budaya berfikir dan membaca. Duit dan kekayaan tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah dan pembangunan. Sebaliknya dengan duit yang sedikit dan ilmu yang tinggi seseorang itu boleh mencipta kecemerlangan tamaduan bangsa.

Hari ini,
tangisan sudah tidak bermakna lagi
walang air mata hanya lakonan spontan
yang masih belum menjanjikan insaf dan iktibar.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, marilah kita sama-sama bangkit mempertahankan hak 'Ketuanan Melayu' yang mula meniti di titian usang. Peristiwa 8 MAC 2008 punya pengajaran tersirat daripada tangan-tangan rakyat yang dizalimi. Bermuhasabah diri dan membetulkan kesilapan adalah jalan terbaik. Mari kita bunuh keegoan, kesombongan, ketamakan, kebongkakan, dan rasa tidak bersalah malah menyalahkan orang lain ke lubang najis. Tidak terhina jika kita mengakui kesilapan masa lalu kerana semuanya itu akan menjadikan kita lebih kuat, dewasa dan berhati-hati ketika membuat keputusan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita hayati pantun Melayu ini;

Anak penjaja menikam pari,
Pari ditikam tombak senangin;
Bukan sengaja saya memeri,
Dihantar ombak ditumpu angin.

Ayam ini ayam Kedah,
Bawa ke pasar untuk dijual;
Malam ini malam penyudah,
Makan minum minta dihalal.

Air surut memungut bayam,
Sayur diisi di dalam kantung;
Jangan diikut resmi ayam,
Telur sebiji riuh sekampung.

Anak merak bersarang di paya,
Ayam katik di swah padi;
Emas perak kebesaran dunia,
Amal yang baik dibawa mati.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

SALAM MUHASABAH DIRI.




Isnin, 10 Mac 2008

SYUKUR ALLAHAMDULILLAH


PERTAMANYA, sykur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah rahmat dan hidayahNya, maka kita sama-sama dapat bernafas dalam kesegaran yang menghijau. Gelombang tsunami dari laut biru mati tiba-tiba oleh berkat doa pada ulamak pejuang yang dizalimi.

KEDUANYA, terima kasih kepada saudara sekalian yang sanggup berkorban dan membuktikan kesetiaan untuk melakukan perubahan. Sekarang ini, semuanya itu baharu bermula. Allah menunaikan apa yang kita hajati dan impikan. Sekarang ini, masanya untuk kita membuktikan bahawa kebenaran perlu dilaksanakan dan kemungkaran perlu dihancurkan.

AKU sentiasa berharap agar kita dapat membuka mata dan menunjukkan contoh terbaik kepada mereka. Rakyat telah memilih kebenaran dan kebenaran ini mesti ditegakkan. Aku tak mahu melihat perjuangan ini akhirnya tidak mempunyai perbezaan dengan yang dahulu.

JIKA INI BERLAKU, TANGAN-TANGAN INI JUGA YANG AKAN MENGGULINGKANNYA.

Tahniah dan terima kasih. Moga Allah sama-sama merahmati perjuangan kita. Amin.

Jumaat, 7 Mac 2008

HARGA SEBUAH DOA


HARGA SEBUAH DOA
(Mari kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan proses demokrasi di Malaysia)


"Wahai YA ALLAH, berilah kami perasaan takut kepadaMu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadaMu yang menyampaikan kami ke syurgaMu, dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."
"Wahai YA ALLAH, berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia pemimpin yang dapat mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam agama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar cita-citanya hingga tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai kami."
"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik."
"Wahai YA ALLAH, Engkaulah penolong kami, maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. Wahai Tuhan kami, Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah tempat kami pohon selamat. Wahai YA ALLAH, bagilah kelemahan dan kehinaan yang sama Eangkau berikan kepada Firaun yang menjadi segala tengkuk pembesar dunia."
"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksaMu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada Tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian Engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai Tuhan yang Maha Pemurah."
"Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Engkau lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan Engkau menundukkan mereka seperti seperti Engkau tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Engkau lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri, dan Engkau hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah, turunkan bendera mereka rapat ke bumi. Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya; Wahai Tuhan, yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."
"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan dan menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."
Amin Ya Rabilalamin.

Rabu, 5 Mac 2008

LUSA PILIHAN RAYA. UNDILAH, UNDILAH, UNDILAH ...




SAAT KERAMAT. Subuh selepas matahari menjelmakan wajah ketika cerah-cerah mata ayam, ayah dan ibu bingkas mengenakan pakaian ke bandar. Suasana keriuhan ayam menolak-nolak pintu reban menusuk-nusuk telinga aku. Aku memilihat gelagat ayah dan ibu yang beriya-iya menyiapkan diri.


Aku berdiri, membuang pandangan ke luar sambil mencuri-curi pandang kehijauan alam yang segar. Udara segar itu aku hirup dalam-dalam. Damai dan bahagia. Aku duduk kembali di kerusi ukiran kayu bersulam rotan hasil tangan ayah. Aku segera menyampai naskah al-Quran Mushaf Tasjwid dan membelek-belek mencari surah an-Nisa. Beberapa minit kemudian aku, aku membaca perlahan sekadar untuk didengari oleh diri sendiri sahaja.


"Sham, kau tak mengundi ke?" tanya emak sambil mengenakan tudung suteranya yang sempat aku beli ketika mengembara di tanah perang Vietnam.


Mendengar pertanyaan emak, aku menguatkan bacaan. Emak mengulangi pertanyaan tadi dengan andaian aku tidak mendengar pertanyaannya. Aku berhenti sambil menutup kitab suci itu.


"Emak tanya apa tadi?" tanyaku semula.


"Kau tak pergi mengundi ke?"


"Lewat sikitlah emak. Sham pergi petang agaknya." jawabku pendek tetapi tidak mengecewakan emak aku.


"Emak dan abah pergi dulu. Jangan tak pergi pula nanti. Satu undi kau tu menentukan nasib jatuh bangunnya sebuah negara."


Aku tidak hairan mendengar cakap-cakap emak yang tinggi falsafahnya kerana emak dan abah aku adalah pejuang. Mereka sudah lama bermandi darah mempertahankan maruah bangsa dan agama. Dulupun nenek dan datuk aku macam itu juga. Malah, ketika datuk aku meninggal jenazahnya telah disembahyangkan oleh ribuan orang. Orang yang aku tidak pernah kenal dan dari jauh pula sanggup datang untuk memberikan pernghormatan kepada datukku. Sejak saat itu, tahulah aku bahawa datuk aku adalah seorang pejuang.


"Nanti kalau nak pangkah, pilihlah parti yang berjuang tentang iman bukan hawa nafsu?" pesan emak sambil menuju pintu.


"Kenapa emak?" tanyaku sekadar menguji emak.


"Berjuang dengan iman akan bahagia selama-lamanya, tetapi berjuang dengan hawa nafsu akan membawa bala dan bencana. Bukankah lebih baik kalau iman mengawal hawa nafsu bukan hawa nafsu mengawal iman." Petah sekali emak menjelaskan pendiriannya.


Aku mengukir senyum sambil menghampiri emak di pintu. Abah, melihat dari jauh aku memeluk emak sambil mencium pipinya yang bercahaya.


"Hati-hati emak. Abah, bawa kereta baik-baik sebab hari ini banyak mat rempit yang akan keluar menjadi peraih undi. Mereka tu bukan punya perikemanusiaan."


Abah membalas senyuman dan emak menuju ke kereta proton Saga BLM yang baharu dibelinya.

Isnin, 3 Mac 2008

BULAN DI DALAM BENDERA


i
Lama rasanya aku tidak menumpahkan sesuatu ke dalam blog ini. Kesibukan menjadi penulis upahan untuk beberapa akhbar tabliot sempena pilihan raya kadang-kadang menjengkelkan. Tetapi apabila difikirkan kembali; mungkin itulah tenaga yang mampu aku sumbangkan. Moga Allah menerima bakti yang aku lakukan ini.

ii
Semalam sewaktu aku pulang ke Jengka, melihat keadaan ayah yang mula terganggu kesihatannya; banyak bendera yang berkebaran. Ada bendera hijau berpotret bulan, ada bendera berpotert dacing, ada bendera biru muda berjalur merah berpotret bulan cabit dan ada juga bendera berpotret kunci. Nah, inilah yang dinamakan pilih raya. Aneh, sepanjang perjalanan ke Jengka, Pahang itu; bendera hijau berpotret bulan lebih banyak tercacak di kiri kanan lebuh raya, jalan raya, jambatan, tiang lampu, pokok dan bangunan. Kibaran itu terasa indah di balik celahan warna cerah langit dan hijau pohonan. Aku terkesima dan sesekali meneguk nafas segar yang syahdu.

Kini hijau di mana-mana
saat bulan mengambang penuh


iii

Seusia membaca blog seorang teman yang bergaya dengan basikal baharunya, aku mula terfikir peristiwa seorang penunggang basikal dengan emapt orang mak cik gemuk yang ditemuinya. Aneh dan tidak karuan sekali manusia yang dimaksudkan penunggang basikal itu. Begitulah selingkar kisah di balik pondok-pondok parti yang akan mencuba nasib dalam pilih raya kali ini. Falsafah Melayu, untung sabut timbul, untung batu tenggelam bukan percaturan terbaik.

iv
Semuanya di tangan kita. Aku cuma nak pesan satu sahaja iaitu pilihan di tangan kita. Pilih IMAN kita akan bahagia selama-lamanya. Pilih HAWA NAFSU kita akan terseksa selama-lamanya.

Pemimpin berIMAN akan dapat menbangunkan ummah dengan istiqamah.
Pemimpin berHAWA NAFSU akan membangunkan ummah dengan selera rakus dan buas.

SELAMAT BERPILIHAN RAYA dan UNDILAH KEBENARAN.