Selasa, 11 Mac 2008

MAKA SEORANG MEMANDA MENTERI PUN BERSUMPAHLAH




SAKSIKAN BAGAIMANA DUA ORANG PEMIMPIN INI BERSUMPAH.
MAKA DUA ORANG MEMANDA MENTERI PUN BERSUMPAH.
Nah! untuk apa sumpah ini?

Tentulah jawapannya ialah untuk membina dan mendapatkan restu daripada seorang raja agar diberi kuasa mentadbir sebuah negara bernama Tanah Melayu. Aku berharap agar pengertian memikul amanah rakyat ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Menjadi seorang ketua dalam sebuah masyarakat yang terdiri pelbagai agama dan kaum bukan satu kerja yang mudah. Apatah lagi rata-rata rakyat negara ini sudah dibekalkan dengan akademik yang dapat menbezakan yang antara buruk dan baiknya kepimpinan seseorang. Inilah persoalan besar yang perlu dipikul oleh ketua menteri. Harap-harapnya pemikiran 'mulut diberi pisang tetapi bontot dicucuk kayu' tidak berlaku dalam kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat kali ini.

Aku sering berfikir. saat kita gembira meraikan kemenangan dan bersorak memberikan pengajaran kepada orang lain; kita juga perlu melihat ke dalam diri sendiri. Maksud aku bermuhasabah diri. Kemenangan bukan bermakna kita telah berjaya dan dapat memiliki apa yang kita cita-citakan sepenuhnya. Tanggapan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih bitara iaitu kemenangan hanya akan menjadikan lebih berat menanggung beban amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, mampukah kita memikul tanggungjawab itu dengan fikiran dan kewarasan IMAN, TAKWA dan KEZUHUDAN?

Aku tetap mendoakan agar tanah air aku menjadi sebuah negara yang aman, damai dan harmoni. Rasullullah saw dalam kehidupannya pun sering mementingkan agenda perpaduan dan keharmonian. Tindak tanduk baginda yang berasakan musyawarah 'siddiq, amanah, tabligh dan fatonah' itulah yang menjadikan Islam hebat serta disegani oleh kaum lain.

Aku hanya manusia kecil yang mampu mengutus doa dan rasa syukur atas musibah atau dugaan yang diberikan. Keputusan pilihan raya baharu-baharu ini diharap dapat membuka mata orang Melayu bahawa prinsip KETUANAN MELAYU mula tergugat. Sejak peristiwa 8 MAC 2008 fikiran dan mata orang orang Melayu mula terbuka. Mereka mula bangun daripada tidur yang panjang. Mereka mula terasa selama ini, mereka selesa dan sentiasa puas hati apabila BAHASA MELAYU bertukar menjadi BAHASA MALAYSIA; SEKOLAH AGAMA RAKYAT DITUTUP DAN DISEKAT BANTUAN PERKAPITA; HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DIRAMPAS; PERLEMBAGAAN PERKARA 152 DIKOYAK-KOYAK; AGAMA ISLAM DICERCA DIHINA; ORANG MELAYU DIPERSENDA OLEH BANGSA MEREKA SENDIRI dan banyak lagi perkara-perkara yang menyinggung sensitif orang Melayu dilanggar begitu sahaja oleh orang Melayu yang punya kuasa atau dipinjamkan kuasa oleh rakyat.

Orang Melayu yang diberi kuasa itu sebenarnya perlu membaca buku-buku tulisan para pemimpin Islam atau dunia lain yang terbukti hebat. Tak ada maknanya, menjadi pemimpin yang berulit dengan duit tetapi menafikan budaya berfikir dan membaca. Duit dan kekayaan tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah dan pembangunan. Sebaliknya dengan duit yang sedikit dan ilmu yang tinggi seseorang itu boleh mencipta kecemerlangan tamaduan bangsa.

Hari ini,
tangisan sudah tidak bermakna lagi
walang air mata hanya lakonan spontan
yang masih belum menjanjikan insaf dan iktibar.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, marilah kita sama-sama bangkit mempertahankan hak 'Ketuanan Melayu' yang mula meniti di titian usang. Peristiwa 8 MAC 2008 punya pengajaran tersirat daripada tangan-tangan rakyat yang dizalimi. Bermuhasabah diri dan membetulkan kesilapan adalah jalan terbaik. Mari kita bunuh keegoan, kesombongan, ketamakan, kebongkakan, dan rasa tidak bersalah malah menyalahkan orang lain ke lubang najis. Tidak terhina jika kita mengakui kesilapan masa lalu kerana semuanya itu akan menjadikan kita lebih kuat, dewasa dan berhati-hati ketika membuat keputusan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita hayati pantun Melayu ini;

Anak penjaja menikam pari,
Pari ditikam tombak senangin;
Bukan sengaja saya memeri,
Dihantar ombak ditumpu angin.

Ayam ini ayam Kedah,
Bawa ke pasar untuk dijual;
Malam ini malam penyudah,
Makan minum minta dihalal.

Air surut memungut bayam,
Sayur diisi di dalam kantung;
Jangan diikut resmi ayam,
Telur sebiji riuh sekampung.

Anak merak bersarang di paya,
Ayam katik di swah padi;
Emas perak kebesaran dunia,
Amal yang baik dibawa mati.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

SALAM MUHASABAH DIRI.




Tiada ulasan: