Rabu, 5 Mac 2008

LUSA PILIHAN RAYA. UNDILAH, UNDILAH, UNDILAH ...




SAAT KERAMAT. Subuh selepas matahari menjelmakan wajah ketika cerah-cerah mata ayam, ayah dan ibu bingkas mengenakan pakaian ke bandar. Suasana keriuhan ayam menolak-nolak pintu reban menusuk-nusuk telinga aku. Aku memilihat gelagat ayah dan ibu yang beriya-iya menyiapkan diri.


Aku berdiri, membuang pandangan ke luar sambil mencuri-curi pandang kehijauan alam yang segar. Udara segar itu aku hirup dalam-dalam. Damai dan bahagia. Aku duduk kembali di kerusi ukiran kayu bersulam rotan hasil tangan ayah. Aku segera menyampai naskah al-Quran Mushaf Tasjwid dan membelek-belek mencari surah an-Nisa. Beberapa minit kemudian aku, aku membaca perlahan sekadar untuk didengari oleh diri sendiri sahaja.


"Sham, kau tak mengundi ke?" tanya emak sambil mengenakan tudung suteranya yang sempat aku beli ketika mengembara di tanah perang Vietnam.


Mendengar pertanyaan emak, aku menguatkan bacaan. Emak mengulangi pertanyaan tadi dengan andaian aku tidak mendengar pertanyaannya. Aku berhenti sambil menutup kitab suci itu.


"Emak tanya apa tadi?" tanyaku semula.


"Kau tak pergi mengundi ke?"


"Lewat sikitlah emak. Sham pergi petang agaknya." jawabku pendek tetapi tidak mengecewakan emak aku.


"Emak dan abah pergi dulu. Jangan tak pergi pula nanti. Satu undi kau tu menentukan nasib jatuh bangunnya sebuah negara."


Aku tidak hairan mendengar cakap-cakap emak yang tinggi falsafahnya kerana emak dan abah aku adalah pejuang. Mereka sudah lama bermandi darah mempertahankan maruah bangsa dan agama. Dulupun nenek dan datuk aku macam itu juga. Malah, ketika datuk aku meninggal jenazahnya telah disembahyangkan oleh ribuan orang. Orang yang aku tidak pernah kenal dan dari jauh pula sanggup datang untuk memberikan pernghormatan kepada datukku. Sejak saat itu, tahulah aku bahawa datuk aku adalah seorang pejuang.


"Nanti kalau nak pangkah, pilihlah parti yang berjuang tentang iman bukan hawa nafsu?" pesan emak sambil menuju pintu.


"Kenapa emak?" tanyaku sekadar menguji emak.


"Berjuang dengan iman akan bahagia selama-lamanya, tetapi berjuang dengan hawa nafsu akan membawa bala dan bencana. Bukankah lebih baik kalau iman mengawal hawa nafsu bukan hawa nafsu mengawal iman." Petah sekali emak menjelaskan pendiriannya.


Aku mengukir senyum sambil menghampiri emak di pintu. Abah, melihat dari jauh aku memeluk emak sambil mencium pipinya yang bercahaya.


"Hati-hati emak. Abah, bawa kereta baik-baik sebab hari ini banyak mat rempit yang akan keluar menjadi peraih undi. Mereka tu bukan punya perikemanusiaan."


Abah membalas senyuman dan emak menuju ke kereta proton Saga BLM yang baharu dibelinya.

Tiada ulasan: