Khamis, 28 Ogos 2008

DI HULU PERMATANG SEPOHONG PAUH

Saya menulis sajak ini semula setelah merasai ada sesuatu yang merusuh di dada. Seharian dan sewaktu-waktu nuansa fikir saya menjadi sebak melihat kerakusan manusia. Entahlah, mungkin ini yang dikata oleh orang tua dahulu bahawa bangsa yang hebat suatu hari nanti akan hancur. Mungkin kitakah, bangsa itu yang sedang menuju kehancuran?


DI HULU PERMATANG SEPOHON PAUH

Sebuah resah adalah pengalaman
setangkai rusuh adalah kenangan
aku terhimpit di antara duanya
merenung ke kanan sebuah syurga yang anggun
menoleh ke kiri sebuah neraka yang jijik

saat memilih antara benar dan palsu
sepasang sayap kelkatu menyambar mimpi
lalu mencampakkannya ke jurang sejarah

di bawah sepohon pauh yang rending
saat angin mendesah pilu
kebenaran telah mati, kataku
kebenaran telah dikuburkan oleh kekuasaan
dan kekuasaan adalah gapura yang agung
tinggi melangit mengakar ke bumi
malah tak tertewas oleh taufan juga halalintar

berdiri di hulu permatang
sambil menghirup segar dan nikmat
kebenaran telah dipusarakan, kataku
kebenaran telah menjadi najis bermahing bangkai
busuknya melengkar ke jinjang hayat
membusung dalam kisah tamadun bangsa

inilah sebuah resah dan setangkai rusuh yang lain
aku karangkan untuk ditatap kenang
sambil membilang sisa hari
lewat menuju marcapada hakiki

di hulu permatang
aku berdiri merenung sepohon pauh
yang bakal dipuggar
kerana ranum buahnya
busuk diracun sumpah laknat

di hulu permatang sepohon pauh
aku merenung wajah langit
menggeggam sekepal tanah
lalu bertanya
Ya Rabb,
kapankan semua ini akan berakhir?

shamsudin othman
madrasah sham al-johori

Rabu, 27 Ogos 2008

SEBUAH RESAH DAN SETANGKAI RUSUH


SEBUAH RESAH DAN SETANGKAI RUSUH

sebuah resah adalah pengalaman
setangkai rusuh adalah kenangan
aku terhimpit di antara duanya
merenung ke kanan sebuah syurga yang anggun
menoleh ke kiri sebuah neraka yang keji

saat memilih antara benar dan palsu
sepasang sayap kelkatu menyambar mimpi
lalu mencampakkannya ke jurang sejarah

kebenaran telah mati, kataku
kebenaran telah dikuburkan oleh kekuasaan
dan kekuasaan adalah gapura yang agung
tinggi melangit mengakar ke bumi
malah tak tertewas oleh taufan juga halalintar

kebenaran telah dipusarakan, kataku
kebenaran telah menjadi najis bermahing bangkai
busuknya melengkar ke jinjang hayat
sebuah tamadun bangsa

inilah sebuah resah dan setangkai rusuh yang lain
aku karangkan untuk kita tatap kenang
sambil membilang sisa hari
lewat menuju marcapada hakiki.

shamsudin othman
madrasah sham al-johori

Isnin, 25 Ogos 2008

SUMPAH, SESUMPAH DAN SI TENGGANG

Anak-anak berdoa supaya tidak menjadi sumpahan Allah

ENTRI kali ini akan bercakap soal sumpah. Menurut Kamus Dewan (hlm. 1541), istilah sumpah bermaksud 1. pengakuan yang dibuat (dengan bersaksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci) untuk menguatkan apa yang dikatakan dll; 2. pengakuan bahawa apa yang dikatakan itu benar (berani melakukan sesuatu dan berani menderita sesuatu jika pengakuannya itu tidak benar); 3. kata-kata yang mengutuk (maki hamun dll); 4. janji yang teguh untuk melakukan sesuatu ikrar.

Sementara itu, sesumpah atau sumpah-sumpah bermaksud binatang kecil yang seakan-akan cicak, kulitnya berwarna hijau dan boleh bertukar warna mengikut keadaan sekeliling. Masyarakat pantai timur memanggilnya 'pokko'.

Mana kala, Si Tenggang pula ialah manusia yang menjadi batu akibat sumpahan ibunya kerana menderhaka.

Saya pilih entri ini kerana sejak dua menjak ini, masyarakat Melayu-Islam di Malaysia sudah beralih arah kepada pemikiran dangkal yang memilih pilihan terakhir untuk mempertahankan diri. Pilihan terakhir itu ialah bersumpah. Saya tidak mempertikaikan kebenaran dan keberanian bersumpah itu. Yang saya hairan ialah, kenapa budaya bersumpah ini menjadi popular di Malaysia? Anehnya juga, seorang demi seorang tampil bersumpah. Mereka khususnya golongan tertentu mula mengiktiraf budaya ini. Apakah mereka semua ini faham konsep bersumpah? Entahlah...

Saya teringat kisah waktu kecil-kecil dulu, apabila ada orang menuduh saya berbuat salah; lalu saya segera angkat tangan dan bersumpah mengatakan yang saya tidak melakukannya. Saya pun menyebut, "demi Allah, saya tak buat." Lepas itu, semua kawan-kawan ketawakan saya sambil mengejek, "lepas ni dia jadi batu, macam Si Tenggang." Saya ketawa sendirian apabila mengenang kembali kisah lampau itu. Dan kerana pasti sebab saya tidak melakukannya, maka saya tidak menjadi batu. Kalau tidak saya akan menjadi sesumpah yang boleh bertukar-tukar; sekejap jadi manusia sekejap jadi batu sekarang ini.

Kalaulah keadaan itu benar-benar berlaku, sudah pasti manusia moden hari ini tidak berani bersumpah. Tentunnya jika pengalaman bersumpah kemudian menjadi batu itu adalah kenyataan, saya yakin orang Melayu-Islam tidak berani melakukannya.

Hari ini, mereka menjadi berani kerana sumpahan dulu tidak menjadi kenyataan. Dan kalaupun menjadi kenyataan macam cerita Si Tenggang; itu semua adalah metos atau dogengan belaka. Semuanya itu adalah cerita hikayat yang perlu unsur tokok-tambah sebagai asam garam sebuah hikayat. Inilah mentaliti orang Melayu yang lebih berfokus kepada khayalan tanpa cuba mengambil ikhtibar daripada sebuah sejarah dan ketamadunan bangsa.

Saya pada hakikatnya tidak berpihak kepada mana-mana parti atau pertubuhan. Saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan dan guru-guru yang banyak membantu supaya sentiasa menggunakan akal bukan nafsu. Nasihat mereka ini masih kuat dalam ingatan. Cuma kadang-kadang saya berfikir sendiri untuk apa sumpah itu? Adakah sumpah itu sebagai helah bela diri yang mutlak? Adakah sumpah itu satu budaya Melayu-Islam? Adakah sumpah itu satu ikut-ikutan? Adakah sumpah itu wajib atau sunat hukumnya? Atau, adakah sumpah itu kerana kita ingin mencabar kuasa Allah? Kalaulah dengan bersumpah itu, kita ingin mencabar kuasa Allah, makanya jawablah pertanyaan sejauh manakah kuatnya iman kita?

Mungkin kita ingin melihat kebenaran. Tetapi, sejauh mana kita dapat menikmati kebenaran jika amalan kita terhadap Islam itu tidak menyeluruh. Kita mengamalkan Islam yang separuh-separuh iaitu sekerat Islam sekerat sekular. Jika ini yang menjadi amalan kita, bermakna sumpah yang kita lihat hari ini adalah sumpah yang mencabar kuasa Allah.

Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi saya sedih apabila mufti dan tokoh ulamak diheret bersama-sama ke kancah politik kotor negara. Ulama, imam, dan mufti seakan-akan boleh dicucuk hidung dan menjadi saksi kepada perbuatan mencabar kuasa Allah demi sebuah kebenaran duniawi.

Saya merenung ke dalam diri dan mengimbau sejarah silam. Waktu kecil saya, saya selalu bersumpah. Waktu kecil saya, saya sentiasa bermain sumpah-sumpah (pokko/sesumpah). Waktu kecil saya, saya selalu membaca dan mendengar kisah Si Tenggang.

Hari ini, sesaat usia menjangkau 40-an, saya mendengar dan melihat kembali kisah itu berulang. Cumanya, sehingga hari ini, saya belum melihat ada manusia yang menjadi batu akibat sumpahan. Mungkin, esok lusa, dengan kuasa Allah; ada manusia yang akan bertukar menjadi batu untuk membuktikan bahawa kisah Si Tenggang bukan lagi kisah dongeng. Dan selepas itu, orang Melayu Islam akan sedar bertapa hebatnya kuasa sumpah itu.

Marilah kita kembali kepada prinsip Rukum Islam dan Rukun Iman supaya kita sentiasa berada pada landasan iman yang syumul. Kita telah banyak melakukan dosa kepada diri, masyarakat, agama dan Allah. Sebanyak manakah keampunan kita itu diterima oleh Allah?

Pertanyaan sebeginilah yang kadang-kadang tiada dalam diri kita.

Jumaat, 22 Ogos 2008

Khutbah Jumaat dan Sikap Terbukanya Seorang Khatib

SALAM RINDU YANG TERHUKUM. Hari ini seperti biasa, aku akan menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Mardi, Serdang. Terus terang aku nyatakan, sejak aku menjadi warga UPM, aku lebih suka solat di sini kerana khutbah jumaatnya lebioh terbuka dan menepati ciri-ciri Islam yang syumul. Syumulnya kerana khatib akan membaca teks langsung daripada akal yang dikurniakan Allah SWT. Khatibnya pula adalah tokoh jemputan yang bercakap bukan atas dasar tiket politik mahupun penyambung suara juak-juak politik yang takut dan berselindung di balik nama ulamak.

Hari ini, khatib isi khutbah adalah berdasarkan nasib bangsa yang seagama tetapi hidup dalam keracuan yang amat sangat. Menurut khatib itu bahawa perkara ini berlaku kerana orang yang seagama dan sebangsa yang sama-sama menyebut kalimah syahadah yang sama itu juga tidak menghayati 6 perkara untuk diaplikasikan dalam sebuah konsep bermasyarakat. 6 perkara itu ialah;

i. Konsep memberi salam
ii. Konsep menjemput atau mengundangan tetamu
iii. Konsep nasihat menasihati
iv. Konsep mendoakan kebaikan orang lain
v. Konsep saling menziarahi
vi. Konsep mengiringi jenazah ke kubur

Penjelasan khatib yang terang di atas mimbar itu benar-benar menginsafkan aku. Seandainya 6 konsep ini diakui oleh kita yang sebangsa dan seagama sudah tentu akan mewujudkan budaya kasih sayang yang sejati. Jika terbit kasih sayang itu, sudah tentu tidak akan wujud budaya fitnah menfitnah, hasad dengki, dendam, duri dalam daging, hidup seperti lalang, menjadi manusia yang ingin menongkat langit, atau merasakan tidak akan mati untuk hidup selama-lamanya.

Kata khatib itu lagi, fahaman politik yang tidak berteraskan Islam akan menjadikan diri sentiasa tidak puas malah menjadi galak untuk berkuasa. Sekirannya manusia dapat berfikiran secara waras dengan menjadikan Islam sebagai akal budi tindak tanduk, nescaya nasib bangsa dan agama tidak akan tergadai dan tergadai.

Ketika mendengar khutbah itu, aku tidak sedar bahawa air mata aku sedang bergenang. Aku memikirkan nasib bangsa aku yang punya kalimah syahdah yang sama tetapi berparti berbeza. Ada memilih UMNO, ada memilih PAS, ada memilih PKR, dan macam-macam lagi sebagai parti tunjang untuk berpolitik. Tetapi, persoalannya ialah bukankah apabila berbangsa MELAYU teras fikirnya adalah Islam. Tidak bolehkah Islam menyatukan parti-parti politik ini?

Jawapannya mudah sahaja iaitu Islam boleh menyatukan parti-parti itu tetapi yang tidak boleh ialah menyatukan orang Melayu atas dasar satu bangsa dan satu agama.

Inilah anehnya nasib bangsa aku hari ini.

Khamis, 14 Ogos 2008

NASIB DUNIA KEPENDIDIKAN DAN BANGSA MELAYU

Dalam senyum ada tangis dalam tangis ada ketawa dalam ketawa ada dukalara. Inilah nasib sebuah institusi negara yang terbilang di negara ini. Namanya UiTM.

UiTM - dulu ITM, Maktab MARA atau Maktab RIDA - adalah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Bumiputera. Kewujudannya adalah berasas dan berlandaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Status ini tidak perlu dipertikaikan. Ia juga tidak wajar dirobah.

Janganlah kerana politik maka status ini mahu digolok-dagaikan oleh sesiapa.

Saya berpihak kepada hak bumiputra dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Kesedaran dan keistimewaan hak bumiputra tidak boleh dipolitikkan. Kerja-kerja seperti ini adalah kerja gila yang tidak sedar diuntung.

Perkongsian atas nama perpaduan tidak pernah menghalalkan hak dan keistimewaan bangsa bumiputranya. Jika prionsip ini dilanggar, makanya 10 tahun kemudian satu generasi akan musnah.

Entahlah, saya kian keliru antara harapan, gagasan dan dendam. Tiga istilah ini seakan-akan boleh dipermain-mainkan oleh orang politik yang berasakan punya kuasa dan hak mutlak. Sewenangnya mereka berfikir secara dangkal tanpa mengenang nasib bangsa mereka sendiri.

Rabu, 6 Ogos 2008

SIASAH POLITIK NEGARA

2 Filem yang sedang ditayangkan di pentas kehidupan

DEMIKIANLAH lakonan yang sedang berlangsung hari ini. Kita sedang menyaksikan sandiwara yang ditontokan tanpa rakyat perlu membeli tiket. Panggung dan pentasnya terbuka kepada sesiapa sahaja yang berhajat untuk menontonya. Mungkin daripada pementasan itu nanti, kita boleh mengkelasfikasikan pementasan itu sama ada itu drama, teater, bangsawan, filem, filem pendek, barongan, ulit mayang, main puteri atau apa-apa sahaja.

Media perdana turut sama membantu promosi pementasan tersebut. Lihatlah watak-wakak hero dan heroinnya yang dituduh rasuah, liwat, pecah amanah, salah guna kuasa, gila kuasa, dan macam-macam lagi. Plot ceritanya pula berjungkir balik; hingga mencapai tahap 'masterpiece'. Persembahan gaya bahasanya yang lancar penuh dengan semiotik, argumentasi, ambiguiti dan autentik menyebabkan cerita-cerita itu berjaya menjadi habuan 'halwa telinga' mahupun 'halwa jiwa'.

Saya masih mengingati isi kuliah Penulisan Kreatif oleh Allayarham S. Othman Kelantan yang katanya, "cerita adalah manusia. Watak akan menjadi hebat jika manusia yang digarap itu hebat oleh penulisnya atau ditonton jika dipentaskan." Nah, betullah kata-kata itu, bahawa sesebuah lakonan akan menjadi hebat jika pelakonnya hebat.

Skripnya bagaimana? Hari ini, para pelakon itu sedang duduk berlatih menghafal skrip yang sudah diluluskan oleh ahli lembaga panggung. Skrip itu telah dinilai dan dimurnikan oleh juak-juak filem yang berkelulusan universiti luar negara kerana pengalaman mereka ketika berada di luar negara dapat banyak membantu. Setelah melalui suntingan dan penapisan di mana-mana yang perlu; makanya hari ini para pelakon itu telah mula berlatih.

Saya difahamkan latihan mereka amat teruk. Tetapi setelah memikirkan jumlah pulangan wang/duit yang lumayan, mereka sanggup melanggar adat budaya Melayu dan hukum hakam Islam. Kata pelakon itu, "saya cuma pelakon sahaja. Tak salah kan? Hal-hal skrip tu, kena tanya produser atau pak dalangnya?"

Saya tiba-tiba teringatkan seorang rakan paling akrab dan mahir dalam hal-hal pementasan kerana kelulusan akademiknya adalah seni persembahan. Saya juga teringatkan seorang rakan yang menjadi pengkritik filem dan drama terbaik negara setelah menerima award atas kejayaan buah fikirnya mengkritik filem. Saya juga teringatkan pengalaman berlakon drama 'Illusi' untuk siaran RTM mahupun mementaskan teater ketika menjadi mahasiswa dahulu. Semuanya itu adalah kenangan yang mendewasakan.

Saya melepaskan rengus sendiri. Merenung dan membaca ulang ayat-ayat yang saya tulis kembali. Saya bertanya sendirian.

"Betulkah bahawa pementasan sandiwara ini hanya satu lakonan sahaja? Atau, inikah cerita bangsa Melayu yang sedang menuju kehancuran?"
"Siapakah penulis skripnya?"
"Bilakah pementasan ini akan berakhir?"

Pertanyaan ini masih berbayang-bayang dalam fikiran saya.

SELAMAT MENONTON SAMBIL BERFIKIR SECARA HIKMAH INSANIAH.