Rabu, 31 Disember 2008

PPSMI: NAKHODA BANGSA YANG KELIRU

MEMBACA tajuk-tajuk utama akhbar Melayu hari ini, rata-ratanya mengemukakan cerita keputusan PMR semalam. Yang paling menyakitkan hati ialah beriya-iya menjelaskan keputusan subjek sains dan matematik yang diajar dalam BI itu. Keputusan yang menunjukkan kejayaan dan keupayaan pelajar luar bandar dan bandar berdaya saing dalam dunia global. Laporan daripada Pengarah Pelajaran Malaysia dengan angkuhnya menyatakan bahawa pelajar kita lebih hebat daripada pelajar di England dan Australia. Tahniah KPM.

Apakah selepas ini PPSMI ini akan diteruskan setelah berjaya melalui cabaran awal? Sekiranya itu yang berlaku, apakah kaedah yang akan diguna pakai? Bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Adakah tindakan ini mengembirakan banyak pihak atau menambahkan lagi luka dan derita bangsa?

Mungkin ada yang melihat hal ini kecil, remeh atau demi persaingan global. Tetapi bagaimana ukurannya dalam hal-hal roh, maruah dan jati diri bangsa?

Nampaknya slogan 'Malaysia Boleh' yang dicanangkan oleh pemimpin negara rupa-rupanya TIDAK BOLEH dilaksanakan dalam bidang ilmu dan pendidikan negara di Malaysia. 'Malaysia Boleh' hanya slogan sesuai untuk bidang kebudayaan, sukan, politik dan ekonomi sahaja. Akhirnya impian kerajaan untuk melihat nasib Bahasa Melayu terus layu di persada ilmu termakhbul juga. Sayang seribu kali sayang.

Terima kasih kerajaan Malaysia dan terima kasih UMNO kerana berjaya melunaskan impian untuk menguburkan Bahasa Melayu. Selepas ini, jangan lupa untuk menutup segera Dewan Bahasa dan Pustaka. Tutup juga akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Selepas itu, jangan lupa pinda perlembagaan perkara 152 dan 153 sekali. Tukarkan mana-mana istilah dan perkataan yang ada istilah Melayu kepada istilah Yahudi atau Inggeris. Kalau boleh, tukarkan juga nama bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa Inggeris.

Bukankah itu yang kerajaan kita inginkan? Apabila kita sudah hilang kepercayaan kepada kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermakna kerajaan juga tidak percaya kepada kekuatan bangsa Melayu.

Inilah balasan dan kepercayaan nakhoda bangsa yang kita pilih. Terima kasih nakhoda bangsa!

Selasa, 30 Disember 2008

SALAM MAAL HIJRAH: KELUAR DARIPADA KEPALSUAN DAN KERAKUSAN


Salam Maal Hijrah 1430H.


Saya tidak percaya kepada 'JANJI POLITIK' kerana janji itulah yang sering terjadi dalam setiap azam, impian dan cita-cita. 'Janji Politik' adalah janji gula-gula untuk menabur angan-angan dan impian muluk. Tetapi tertunaikan 'Janji Politik' itu pada setiap hujung tahun ketika kita membuat muhasabah diri perjalanan selama 365 hari yang lalu? Begitulah analogi yang indah-indah terhadap azam dan impian awal tahun yang tertanam di dalam diri kita. Semalam dan hari-hari sebelumnya sudah berlalu. Telah termaktub sebagai sejarah diri dan ditulis dalam kitab perjalanan masa lalu tanpa boleh dipadamkan kecuali berdoa supaya dosa-dosa masa lalu itu dipertimbangkan agar diampuni oleh Allah SWT.

Masa lalu adalah kenangan yang mengelirukan. Di dalamnya ada suka dan duka sebuah kembara yang dicacat pergerakannya pada saat jaga atau tidur. Demikianlah perjalanan masa lalu yang memungkinkan berat dosa mahupun berat pahala.

Maal Hijrah pula adalah perjalanan masa depan yang perlu ditempuh meski pahit kerana ketentuan qada dan qadar itu hanya Allah juga yang mahaketahui. Oleh itu, perjalanan bagaimanakah yang bakal menjadi pilihan kita? Adakah kita ingin berada di landasan lurus dan diredai Allah atau memilih berada di jalanan yang penuh berliku dan penuh pancaroba? Pilihan kembara ini ditentukan oleh iman dan nawaitu kita sendiri. Sekirannya kita mabuk dalam perjalanan itu dengan wang dan kebendaan, makanya sudah pasti kita sanggup mengadai apa juga harga diri dan maruah kita. Saat itu, rasuah, penipuan, godaan, hasutan dan pujuk rayu sentiasa menjadi ujian di sisi kita. Sudah bersediakah kita menepis semua kebobrokkan itu?

Sekirannya kita hanyut dalam dugaan hidup masa depan yang belum pasti itu; dan pada akhir tahun ketika bermusahab diri sekali lagi itu kita menyesali tindakan yang dipilih itu; makanya 'Janji Politik' itu menjadi satu kebenaran.

Begitu jugalah halnya dengan politik dan kepimpinan negara kita hari ini. Sepanjang tahun, negara kita diuji dengan dugaan dan kita melihat ujian itu sebagai satu lumrah hidup tanpa mengambil ikhtibar daripadanya. Inilah yang dikatakan 'Janji Politik' dalam hubungannya dengan 'Politik Wang' yang berlaku dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan kepimpinan negara kita.

Saya melihat kedua-duanya ini adalah pertembungan idealisme baharu yang kian menular dalam pemikiran masyarkat kita. 'Janji Politik' dan 'Politik Wang' dikatakan lumrah kehidupan bukannya satu jenayah yang perlu ditakuti, dicegah atau ditentang habis-habisan. Jika ini yang menjadi pilihan masyarakat hari ini, saya bimbang bencana dan musibah yang lebih besar daripada tanah runtuh akan melanda tanah air kita.

Selamat menikmati hari baharu dan meninggalkan kenangan lalu dengan rasa penuh insaf.

Rabu, 24 Disember 2008

APABILA TPM BERJANJI MEMPERKUKUH NASIB BANGSA MELAYU DAN GAPENA MULA BERTARING


Ada dua perkara yang sama hampir sama dan mungkin juga tidak sehaluan nakhoda dalam bahtera berbeza; satu negara dan satu lagi persatuan penulis. Bahtera negara tentunya sekarang ini sedang dinakhodai oleh TPM (Dato' Seri Najib), manakala bahtera GAPENA dinakhodai Ketua Satunya iaitu Tan Sri Ismail Hussin.

Dua hari lepas, GAPENA membuat kenyataan di Kelantan dalam majlis anjuran PPK-PUSPA tentang ingin mencabar kerajaan yang selama ini melakukan perkara yang salah iaitu mencabul perlembagaan Perkara 152. Tahniah Tan Sri kerana berani bersuara setelah diasak daripada segenap penjuru oleh persatuan penulis lain. Semalam pula TPM memberikan tiga strategi dalam usaha memartabadkan bangsa Melayu. Ucapannya di Melaka itu boleh disimpulkan begini;

Tiga aspek itu, kata Timbalan Perdana Menteri, "... adalah perlu sentiasa memperkukuhkan pertalian hubungan dan bebas daripada kegiatan ekstrem seperti keganasan, selain perlu mengelak memperlekeh bahasa Melayu dan tidak mudah melupakan asal usul atau akar umbi. "

Saya melihat usaha mengelak memperlekeh bahasa Melayu itu apa sebenarnya? Adakah ingin memansuhkan PPSMI atau sekadar janji politik yang tawar meski bergula-gula. Sedarkan TPM akan maksud tidak memperlekeh bahasa Melayu? Adakah maksud memperlekeh itu sama dengan menjual maruah, mengadai maruah, menjual bahasa, melacuri bahasa atau maksud TPM hanya masih berada dilapisan makna luaran iaitu berada pada lapisan makna mempersenda bahasa Melayu. Jika tafsirannya begitu, maka tidak salah bahasa Melayu itu boleh dianaktirikan seperti hari ini.

'Memperlekeh' dalam Kamus Dewan edisi keempat (hlm.911) bermaksud sikap mengambil mudah, senang atau tidak berdaya, lemah. Sejauh mana istilah ini sesuai diguna pakai dalam maksud perkaitannya dengan maruah bangsa dan tanah air?

Persoalan bahasa dan bangsa bukan persoalan pinggiran atau remeh. Hari ini, berapa ramaikah menteri-menteri kerajaan yang tidak boleh berfikir dalam bahasa Melayu apabila diwawancara oleh wartawan. Jawapan spontan mereka adalah dalam bahasa Inggeris yang entah apa-apa dan memalukan itu macam 'menggantungkan kain kotor di muka pintu', iaitu perbuatan yang cerdik tetapi memberi malu kepada diri sendiri.

Apabila GAPENA dan TPM seakan-akan sedar kesilapan masa lalu ini, saya berharap juga tindakan pemansuhannya itu disegerakan. Dengan kata lain yang lebih tepat ialah SEGERA MENGUBURKAN PPSMI itu. Berdolak dalih atau takut dengan seseorang bukan persoalan hari ini. Kenapa kita perlu takut dengan seseorang atau sentiasa dibayangi seseorang? Siapakah manusia yang kita takuti itu sedangkan orang itu tiada lagi dalam kepimpinan negara? Menolak dan menidakkan pemikirannya tidak bermakna kita tidak menghormatinya. Malah, adalah lebih baik sekirannya kita sama-sama dapat membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh tokoh terdahulu.

Mudah-mudahan, dengan iringan doa restu orang Melayu yang berjumlah hampir 20 juta orang itu setelah ditolah orang Melayu yang separuh tiang (separuh dirinya Melayu separuh lagi dirinya lain-lain bangsa) maksudnya melayu yang lupa asal usul dan jati diri itu; impian untuk melihat maruah bahasa Melayu kembali ke darjatnya akan menjadi kenyataan.

SELAMAT MENGUBURKAN PPSMI, NEGARAKU.
Amin.


Jumaat, 19 Disember 2008

ANTI-PPSMI: ANTARA BPR, KPM DAN KEPIMPINAN


Syukur, atas rahmat dan limpah kurniaan-Nya, maka hari ini kita masih mampu menghirup udara dan kesegaran alam. Inilah nikmat Allah yang paling indah kerana apabila kita mencelikkan mata pagi ini, kita masih berpijak di bumi nyata. Bagaimana jika sebaliknya? Bangun dan terjaga - tiba-tiba dunia kita serba lain dengan tubuh dibaluti pakaian tanpa berjahit dan serba gelap dalam kamar yang maha sempit. Ya Allah, bagaimana perlu aku membalas nikmat hidup ini?

i
Pagi tadi ketika memandu untuk ke tempat kerja, telefon bimbit saya bergetar. Nombor tanpa nama (maknanya bukan rakan) kusambut dengan kalimah salam. Dia bertanya tentang blog saya dan kemudiannya tentang pertanyaan ini, "kau tak terfikir ke, mungkin PPSMI ini juga perlu melibatkan BPR. Aku rasa macam ada yang tak kena dengan KPM sekarang ini? Cuba kau tulis dalam blog kau. Aku tak pandai macam kau."

Dia menamatkan perbualan sambil meninggalkan teka-teki kepada diri saya. Pertama siapakah gerangan lelaki itu? Kedua, dari mana dia mendapat nombor telefon saya? Ketiga, kenapa saya?

Sesampai di pejabat, saya terfikir, "betul juga kata lelaki itu?" Tebak saya bermain-main dalam fikiran hingga sata terlupa untuk menjamah setitis air dan makanan pagi.

Bercakap tentang BPR, hati dan perasaan saya mula goyah. Banyak sebab kenapa saya berperasaan begitu. Antaranya, BPR ialah badan yang berkecuali dalam menentukan penyiasatan. Mereka boleh melakukan apa-apa sahaja sekiranya punya cukup bukti untuk bertindak. Tetapi tindakan itu mesti dilakukan setelah menerima laporan tuduhan. Nah, ini bermakna kerja BPR bukan kerja calang-calang anak.

Berbalik kepada persoalan PPSMI ini, siapakah yang akan membuat laporan itu dan laporan tuduhan itu atas kes apa? Pecah amanah? Penyelewengan? Politik Wang? Makan suap? Atau apa?

Saya terfikir juga, mungkin atas sebab-sebab berikut, kita boleh bawa perkara PPSMI ini ke mahkamah dan meminta BPR melakukan siasatannya. Perkara yang boleh disabitkan itu ialah;

1. KPM pecah amanah terhadah Akta Perlembagaan Perkara 152 dan 153
2. KPM menyelewengkan Penyata Razak
3. KPM melaksanakan PPSMI tanpa dibahaskan dalam Dewan Rakyat mahupun Dewan
Parlimen
4. Agenda Penghinaan terhadap Bahasa Melayu
5. Wujud unsur-unsur 'Politik Wang' dalam PPSMI
6. Atau macam-macam lagi bentuk tuduhan yang boleh kita sama-sama minta kerjasama BPR
untuk menyelesaikan masalah ini.

Saya berfikir, mungkin persoalan-persoalan inilah yang bermain-main dalam fikiran lelaki yang menelefon saya pagi tadi.

Oleh itu, kepada mana-mana pihak, khususnya peguam yang membaca tulisan ini, inilah perjuangan saudara untuk mengembalikan maruah bangsa dan bahasa kita. Saya tidak punya kepakaran dalam bidang perundangan makanya saya memerlukan rakan-rakan yang hebat dalam bidang ini untuk turun padang membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh kepimpinan kita hari ini.

Kepada rakan-rakan peguam, saya merayu kepada kepintaran anda untuk sama-sama berjuang. Dalam masa yang sama, saya berharap juga agar BPR pandang-pandang dan jengah-jengahlah kes PPSMI ini sama. Saya tidak/ bukan menuduh atau menabur fitnah tetapi saya bimbang akan nasib Bahasa Melayu di tangan kepimpinan UMNO yang sekarang ini dengar khabarnya sedang berhadapan dengan 400 tuduhan penyelewengan, pecah amanah, rasuah, politik wang dan macam-macam lagi. Itu yang saya dengar dan baca. Yang tidak saya dengar dan lihat atau diketahui, bagaimana pula?

Ya Rabb, selamatkan Bahasa Melayu dan bangsanya yang kini seakan tidak bersatu menentang kemungkaran-MU. Amin.


Rabu, 17 Disember 2008

BERITA YANG MENGELIRUKAN

Pagi-pagi menatap Berita Harian dengan tajuk utama '7 Pilihan PPSMI' benar-benar mencabar kesabaran saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertugas sebagai pendidik Bahasa Melayu. Ada beberapa kekeliruan yang saya fikir kerajaan khususnya KPM masih cuba berselindung. Kenyataan yang dihebahkan kepada rakyat itu saya kita seakan telah dimanipulasi.

Saya mulakan dengan pertanyaan, "kenapa 7 pilihan?". Keduanya, "siapakah yang akan mengundi untuk menentukan pilihan itu?" Ketiga, "kenapa tiada pilihan kelapan iaitu, memansuhkan PPSMI?"

Kenyataan KPM itu adalah gagasan yang bersifat 'duri dalam daging' dan 'gunting dalam lipatan' terhadap perjuangan bangsa dan orang Melayu dalam memartabkan bahasa Melayu. Secara tidak langsung, KPM telah menjadi pembunuh kepada sebuah tamadun bangsa yang tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatannya suatu waktu dahulu.

Akhirnya, terus terang saya katakan bahawa impian Wawasan 2020 yang digagaskan oleh Tun Mahathir itu akan berkubur juga akhirnya kerana kemajuan yang kita kecapi pada waktu itu tidak didokong oleh bahasa Melayu. Apa yang akan berlaku pada ketika itu ialah bahasa Inggeris dilihat berjaya mendominasi pemikiran orang Melayu. Bayangkan, bagaimana dan apa rupa bentuk yang berlaku sekirannya kemajuan yang dinikmati itu tidak diiringi dengan dengan kehebatan bahasa bangsa (Melayu) itu sendiri? Tentunya, kita akan berhadapan dengan satu bangsa baharu yang wajah Melayu tetapi jiwa dan rohnya menebal dengan etos barat waima yahudi yang sekular dan liberalisme.

Kita sedang berhadapan dengan pemimpin yang buta budaya dan buta ilmu. Malah, mereka juga 'bahlol' dalam melihat masa depan bangsa Melayu yang kian samar.

KACA DI DINDING KEPALSUAN

menatap wajahmu
di kaca dinding kepalsuan
bertukar menjadi jembalang
bertaring anjing bertelinga babi

kaca yang kau beri
pecah juga akhirnya
berderai di tanah mimpi

serpihan kaca yang berselerakan
menusuk kakiku
darahnya membuak
tak tertahankan.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.


Jumaat, 5 Disember 2008

MENGIMBAU AIDILADHA DAN MAAF ZAHIR BATIN


Selamat Hari Raya Aidiladha. Selamat mengimarahkan ibadah korban dan selamat kembali ke fitrah diri. Maaf zahir dan batin daripada saya.

ii.
Hari ini bersamaan 7 Zulhijah; saya teringatkan kisah lama saya ketika saya menjadi tetamu Allah di tanah suci pada tahun 2005-2006. 2 hari sebelum ke tanah Arafah, saya sudah merasai kerinduan yang amat mendalam untuk diterima sebagai tetamu Allah. Saya rindu tanah Mina, tanah Muzalifah, tanah Arafah yang akhirnya apabila tiba 8 Zulhijah saya mengambil keputusan untuk bermufarakah daripada rakan-rakan tabung haji (itupun setelah saya merujuk kepada ustad tabung haji dan beliau memaklumkan kepada saya sekiranya saya berupaya maka itulah sebaik-baiknya). Saya memilih untuk berjalan kaki setelah bertemu dengan seorang mahasiswa warga Johor di sana. Sebenarnya itulah yang harap-harapkan sebelum saya ke tanah suci sebab menurut ust Daud Che Ngah, alangkah baiknya jika kita dapat mengerjakan ibadah haji seperti mana cara rasulullah (Nabi Muhammad SAW). Baginda merentas padang pasir Mina-Arafah-Muzalifah-Mekah-Mina-Mekah selama tiga hari secara berjalan kaki. Saya amat bersyukur sekali; dengan ditemani mahasiswa itu, makanya semua rukun haji itu dapat saya lakukan sebagaimana fitrah rasullullah saw itu. Rasa terima kasih atas petunjuk dan hidayah itu amat bermakna dalam diri saya.

Saat berjalan kaki itu, rupa-rupanya saya dapat bergerak lebih pantas dan selesa tanpa merasai hal-hal yang berkaitan dengan kesesakan lalu lintas dan lapar dalam perjalanan. Perjalanan dari Mekah-Mina-Arafah memakan masa 5 jam dengan jarak 20 KM. Sepanjang perjalanan merentas padang pasir itu, banyak bekalan air zam-zam dan kurma yang diberi secara percuma. Bayangkan nikmat berjalan sambil zikir yang bergema oleh jutaan jemaah yang memilih untuk berjalan itu suasananya benar-benar syahdu. Setiap langkah adalah air mata dan keringat. Melihat kemudian membantu tanpa dipaksa jemaah yang sakit semuanya itu benar-benar meruntun kalbu.

Ya Allah, aku rindu saat itu
jemputlah sekali lagi atau berkali-kali
aku tidak akan marah
meski terpaksa aku abadi di sisi-Mu.

Ya Allah, ingin aku bertanya
kapankah rindu itu mampu kudakap
setelah pengalaman mengajar aku
mengenal insaf dan sabar.

iii
Saya akan mengingati saat-saat indah itu dan merinduinya. Saya ingin ke sana lagi.

Tanah Arafah
kau segugus ingatan yang tegar
memaknakan iman dan takwa

iv.
Rasa sebak mengimbau kenangan indah itu tidak mengizinkan saya menulis lagi saat ini. Air mata yang bergenang di kelopak mata hampir terlepas dari karangannya. Saya perlu berhenti di sini untuk menginsafi diri. Maaf, meski masih banyak lagi cerita yang belum dikisahkan.

Ya Rabb, ampunkan seluruh dosaku
aku rindu sebuah masa lalu
yang cukup mendekatkan kita.

v.
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Khamis, 4 Disember 2008

APABILA BLOG SAYA MENJADI LAMAN PERGADUHAN ORANG LAIN



Aneh dan ajaib. Saya menulis blog adalah untuk kepuasan saya sendiri. Malangnya 'ruang bicara' saya telah disalahgunakan. Ruang itu kini menjadi tempat lontaran marah si 'kisah', 'awang' dan 'sanghero'.

Saya akui bahawa saya adalah manusia yang melontarkan apa yang saya tidak suka berlaku di depan mata. Itu sebabnya saya tidak menjawab setiap pertanyaan yang diajukan di dalam 'ruang bicara'. Saya anggap itu adalah pandangan jujur daripada saudara. Makanya saya membuka juga ruang untuk sesiapa memberi tanggapan. Kini, lain pula suasananya.

Kepada 'awang', harap-harapnya saudara banyakkan membaca buku tentang 'culture study' atau 'civilization'. Saudara bacalah dengan akal fikiran yang waras tentang tamadun manusia kemudian saudara fikirkan juga, bangsa manakah di dunia ini yang maju suatu waktu dahulu kini menjadi mundur kerana berfikiran ke belakang. Saya tidak mahu memberikan jawapannya kerana sebahagian besar buku-buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris. Paling lekeh bacalah buku 'Nietzsche and the Modern crisis of the Humanities' oleh Peter Levine (1976). Dalam buku setebal 380 halaman ini ada satu perenggan yang benar-benar menyentuh iaitu;

... jika sesuatu bangsa itu tidak percaya dan yakin kepada kehebatan bahasanya sendiri, maka bangsa itu akan pupus dan mati. ..
Saya kira, cukuplah saya bayangkan begitu sahaja kerana saya mahu anak cucu saya punya bahasa dan bangsa yang hebat. Atau lebih teruk lagi, 20 tahun akan datang anak cucu saya akan menyalahkan saya kerana bersekongkol hingga bangsa dan bahasa Melayu tiada lagi dalam sejarah waktu itu.

Seperti yang selalu saya tegaskan bahawa, saya marahkan PPSMI kerana dasar ini melanggar akta dan Dasar Pelajaran Negara. Selama ini yang berlaku di sekolah ialah masalah komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris. Maknanya KPM perlu memperbaiki sistem pengajaran dan pembelajaran BI bukannya matematik dan sains. Oleh sebab PPSMI inilah makanya hari ini, perkataan seperti darab, nisbah, kebarangkalian, proses pemelewapan, sistem pencernaan makanan dan sebagainya itu tidak lagi difahami oleh anak-anak kita. Lebih teruk daripada itu, istilah Melayu untuk subjek matematik dan sains (yang diusahakan oleh DBP, sarjana tempatan dan pakar-pakar sains teknologi yang lahir daripada sistem pendidikan negara ini) terus hilang daripada kamus tamadun Melayu.

Menyokong agenda ini bermakna kita adalah pembunuh kepada bahasa dan bangsa Melayu.

Untuk pengetahuan sdr 'awang', saya juga giat dan bersungguh mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris hingga berjaya seperti hari ini. Saya mengembara ke negara eropah kerana ingin belajar sesuatu daripada mereka. Tetapi akhirnya, yang menerima BI hanya gugusan UK, Amerika, Australia, NZ dan Canada sahaja. Negara-negara maju lain seperti Jerman, Perancis, Italy, China, India, Jepun, Korea, Sepanyol, Austria, Belanda, Brazil, Argentina dll itu tidak pernah mengakui bahawa BI itu hebat. Malah mereka maju di samping berbangga dan yakin dengan bahasa sendiri.

Bahasa adalah roh bangsa. Oleh sebab itu, kita lihat Jepun dan Korea kenapa mereka boleh mencapai tahap negara maju dengan cepat dan konsisiten. Jawapannya mudah sahaja iaitu mereka menjadi maju kerana diikat oleh kuasa ilmu dan roh bahasa dan bangsa mereka. Hari ini, berapa ramai orang Melayu yang kaya dan berjiwa Melayu sepenuhnya? Kerana kehilangan roh dan jiwa itulah, hari ini kita dapat melihat mereka makan rasuah, mereka gila perempuan, mereka tidak menghormati orang tua, mereka sombong, mereka gila kuasa, dan mereka hanyut dalam arus kemodenan.

Akhirnya, dipendekkan cerita, MELAYU adalah ISLAM. Orang yang berjuang mempertahankan hak bahasa dan bangsa adalah orang yang sama mempertahankan Islam. Saya akui juga bahawa hari ini berapa ramai orang Melayu yang tidak Islam. Atas perkiraan yang mudah ialah, orang Melayu yang tidak Islam itulah orang Melayu yang pertuturan sehariannya adalah BI. Maaf, saya bukan menuduh tetapi itulah yang berlaku di Kuala Lumpur. Mereka lebih mengenali HardRock Cafe daripada masjid. Mereka ingin bercakap BI di Mc D dan KFC berbanding makan di Warung Mak Ani. Mereka malu bercakap Melayu di Sogo atau KLCC. Mereka berasa bodoh dan hina jika bercakap Melayu KLIA. Mereka berasa jahil jika bercakap Melayu di kafe siber. Di rumah mereka bercakap BI kerana takut anak-anak akan ketinggalan. Akhirnya, di manakah bahasa Melayu ketika ini?

Jika ini yang diperjuangkan oleh saudara, makanya SELAMAT MENUJU KEMATIAN BAHASA MELAYU. ATAU saudara mungkin manusia separuh Melayu separuh inggeris.

Maafkan saya sdr 'awang', kerana mungkin cara saya berfikir lain sungguh daripada cara sdr berfikir. Terus terang saya katakan, saya pejuang bahasa Melayu zaman UMNO Tun Abd. Razak bukannya pejuang bahasa Melayu zaman UMNO kini yang tidak sedar asal usul dan hujung pangkal perjuangan Bahasa Melayu dan agenda Melayu.

Kini mereka sedang berusaha pula untuk mengubah Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Kenapa mereka sanggup mengubah DKK itu? Jawapannya mudah sahaja iaitu, ketika mereka mengubah Dasar Pelajaran Negara, orang Melayu menyokong sepenuhnya. Kenapa tidak DKK diubah sama jika mereka menyokong kita?

Saudara 'awang' boleh menjawab soalan ini dalam hati dan tidak perlu melontarkannya ke dalam blog saya.

Maafkan saya.

Rabu, 3 Disember 2008

MENZIARAH SASTERWAN NEGARA ARENAWATI


(Sdr. Azizi Hj Abdullah, SN Bapak Arenawati dan saya)
i
Malam tadi sekitar jam 8.45, saya, Mohamad Saleeh Rahamad, S.M Zakir, Puan Norazah dan suami ke HUKM untuk melihat dan menziarah SN Arenawati. Kami berkunjung ke Wad Baldu, Tingkat 7 dan melihat sendiri keadaan beliau. Beliau kini mengidap milestroke (anggota kiri) yang kehilangan daya gerak. Hanya getar suara yang sukar difahami tetapi mengenali kami lalu berbicara dengan gerak mata. Kanser otak yang dihidapinya kini mula berpindah ke saraf kawalan suara. Begitulah keadaan beliau sejak empat bulan ini, terlantar di HUKM. Tetapi sesungguhnya, beliau amat beruntung kerana sentiasa ditemani anak-isteri yang bertanggungjawab dan punya nilai kasih sayang yang sungguh tinggi. Ketika saya menguak daun pintu kamar khasnya, saya dapat mendengar syahdu ayat-ayat al-Quran memenuhi ruang kamar itu. Sesekali, saya merenung bibir pak Arenawati dan bibirnya bergetar sama; mungkin ketika itu turut sama membaca dan mengulang ingat ayat-ayat suci yang dibacakan oleh anak-anaknya.

Pak Arenawati amat dekat di hati saya kerana novelnya begitu menusuk kalbu. Saya mula menatap dan menikmati novel ENOnya ketika berusia belasan tahun. Sejak itu saya begitu setia menukangi novel-novelnya. Saya membaca Sakura Mengorak Kelopak ketika ingin membawa pelajar Sek. Alam Shah ke Tokyo dan Hiroshima, Jepun. Saya belajar budaya Jepun daripada novel itu. Tetapi sejak dua menjak ini saya menjadi payah untuk memahami karya mutakhirnya seperti Trilogi Armageddon, Trilogi Busa, Warna Sukma Usia Muda dan Cakra Waruga. Beliau saya lihat seorang penulis yang terlalu rapat dengan laut dan sering membongkar sejarah.

Demikianlah pak Arenawati atau Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, anak kelahiran Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia yang dilahirkan pada tangal 30 Julai 1925. Dalam usia mencecah usia 84 tahun beliau terlantar dengan seribu tanda tanya yang hanya Allah sahaja ketahui apa juga kesudahannya. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT merahmati dirinya yang sedang berjuang itu.

Beliau adalah kebanggaan kita. Nikmatilah sebahagaian daripada sumbangan beliau ini.

Karya

Novelnya yang pertama ialah Kisah Tiga Pelayaran pada tahun 1959 di Singapura. Selepas itu beliau terus menulis termasuk:

  • Lingkaran (1962)
  • Sandera (1971)
  • Bunga Dari Kuburan (1987)
  • Kuntum Tulip Biru (1987)
  • Sakura Mengorak Kelopak (1987)
  • Panrita (1993).
  • Sukma Angin (1999)
  • Cakra Waruga (KN)
  • Sebuah Trilogi Tiga Genre(KN)
  • Sebuah Trilogi Tiga Genre(KT)
  • Trilogi Busa - Busa Hati
  • Trilogi Busa - Busa Sukma
  • Trilogi Busa - Busa Kalbu
  • Trilogi Armageddon : Mandala
  • Trilogi Armageddon : Menorah
  • Trilogi Armageddon : Pentagon
  • Warna Sukma Usia Muda

Pencapaian

  • SEA Write Award (1985)
  • Anugerah Sasterawan Negara (1987).
  • Sukma Angin (1999) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.
  • "Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1985" (SEA Write Award) daripada Paduka Raja Thai
  • Pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.
Sebelum pulang kami makan malam di Santai Cafe berhadapan dengan Sek Men Sains Selangor, Cheras. S.M Zakir sempat berbisik, "apalagi yang kita nak belasah juak-juak UMNO yang tegar memperjuangkan PPSMI?".
Saya membalas bisik itu dengan jawapan, "ada berita dan sumber yang sangat-sangat boleh dipercayai iaitu markah lulus untuk subjek sains dan matematik UPSR baharu-baharu ini ialah 20 markah."
Dia merenung wajah saya, mengukir senyum kemudian menyambung agresifnya, "idea cantik untuk meneruskan amarah."
Sambil ketawa saya mencelah, "taruk jangan tak taruk!"
Ketawa kami tidak sekuat mana tetapi cukup untuk membuatkan orang-orang yang berada di kiri dan kanan kami tersentak.

Hampir jam 11.35, kami bersurai. Sesampai di rumah, saya segera ke khutub khanah kecil saya sambil melihat sebaris koleksi karya pak Arenawati. Saya segera menarik keluar novel Sakura Mengorak Kelopak, membukanya kemudian merenung tandatangan beliau yang bertarikh 31 Julai 1995 dengan catatan, Sdr Shamsudin, menulis adalah amanah Tuhan.

Saya merenung dalam tulisan dan tandatangan itu sambil berfikir, siapakah saya pada hari ini?

"Ya Allah, restuilah perjuanganku ini."

Isnin, 1 Disember 2008

KEMBALI KE ASAL DIRI


i

Entahlah saya sendiri tidak ketahuan kenapa saya sukar berfikir dan menulis tiga atau empat hari ini sejak saya melepaskan kemarahan saya kepada GAPENA. Mungkin Allah ingin memberikan peringatannya kepada saya bahawa itulah balasannya jika kita tidak berterima kasih kepada guru. Apabila saya fikirkan kembali memang ada betulnya sebab sebahagian besar pemimpin GAPENA adalah pensyarah di UM; makanya juga mereka itu adalah bekas guru saya.

Walau bagaimanapun, saya juga punya prinsip yang perlu dipertahankan. Itu tidak bermakna saya menderhaka kepada guru-guru saya yang terlalu banyak membentuk peribadi saya. Saya selalu berterima kasih dan menghormati kebitaraan mereka sebagai guru, tetapi saya tidak sanggup berhadapan dengan tanggapan bahawa guru saya adalah manusia yang sanggup mengadai maruah bahasa dan bangsa. Maafkan saya, tuan guru.

ii

Rasulullah s.a.w, dalam urusan memohon perlindungan daripada hal keduniaan ini, sering menganjurkan kita berdoa sebagai mana doa di bawah:

"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada empat perkara iaitu, hati yang tidak khusyuk , doa yang tidak didengar, jiwa yang tak puas, dan ilmu yang tak bermanfaat. Dan aku berlindung kepadaMu daripada golongan mereka yang empat macam itu." (At-Tirmidzi dari Ibnu Umar).

Doa ini saya temui dalam buku 'Akidah dan Suluk dalam Tasawuf: Antara Keaslian dan Penyelewengan' tulisan Dr. Abd Al-Fattah Ahmad al-Fawi daripada Universiti al-Qahirah. Oleh itu, saya perlu menjadi seorang yang mandiri dan perlu dijauhkan daripada empat golongan manusia tersebut supaya saya boleh menjadi manusia yang diterima Allah pada akhirnya.

Saya melihat antara sebab kenapa pemimpin kita hari ini saling bercakaran dan bernafsu duniawi yang rakus kerana mereka masih tidak menemui 'hati yang khusyuk' dan 'jiwa yang puas'. Kegagalan itu menyebabkan mereka menjadi rakus dan terlupa akan hari pembalasan mahupun panasnya neraka.

Saya perlu mengingatkan diri saya bahawa kematian tidak boleh diawal mahupun dilewatkan walau sesaatpun. Saya perlu bersedia untuk menghadapi maut kerana saya rindukan syurga Allah yang damai dan indah itu.

Maafkan saya, tuan guru; tetapi itu tidak bermakna saya menyokong perjuangan tuan guru. Izinkan saya memilih haluan sendiri kerana saya perlu kembali ke asal diri dengan membawa prinsip tegas bahawa bahasa dan bangsa saya adalah Melayu yang satu tidak dua dan tidak boleh ditigakan.