Jumaat, 20 Ogos 2010

AKU DAN 10 RAMADHAN


AKU DAN 10 RAMADHAN

Ramadhan yang kukasihi
bagaimana harus kurebahkan
setiap doa
ke sudut sejadah
tanpa keringat air mata

Saban waktu
saat mengarifi mukjizat Muhammad
seperti ada gemersik angin
membawa bayangmu
sebuah mimpi
ke dalam kabut jagaku

Satu kekasihku
bentangkan jalan
lorongan cinta
dari tujuh bening cahaya
ke hujung hatiku
kerana
telah kubuka pintu
untuk utusan-Mu
membawa janji azali.

Demi pengabdian ini
akulah pemburu rindu
mencari titik harum
antara kasturi dan mawar
yang melengkar di dada ramadhan.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-johori.
Kuala Lumpur.


10 Ramadhan 1431H

Khamis, 12 Ogos 2010

MEMBACA PEMIKIRAN ORANG MELAYU


BEBERAPA hari ini, saya sedaya mungkin cuba menekuni pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Daripada beberapa buku agungnya, saya kemudian melayari laman-laman sesawang yang berkisah tentang kehebatan dan ketohonan Al-Attas. Ada yang menarik untuk ditanggapi dan tidak kurang juga ada beberapa perkara yang perlu difikirkan kembali. Seperti biasa, saya bukan mudah menerima pandangan orang 100% seperti mana saya memberikan pandangan tentang ketokohan Tun Mahathir selepas pasca kegemilangannya.

Ketika melayari laman sesawang itu, saya menemui satu wawancara Al-Attas di dalam blog Rausyanfikir. Persoalan yang menarik minta saya untuk dikupas, antaranya tentang nasib bangsa Melayu yang masih berada di dalam telunjuk pemikiran barat. Al-Attas menjelaskan bagaimana orang Melayu berada dalam kuasa mabuk istilah seperti 'development, universal, absolute, freedom, colonisability, existentialist' dan lain-lain tetapi mereka sendiri tidak mengerti hakikat makna yang sebenar dan bagaimana pelaksanaannya di dalam kehidupan seharian. Bagi saya secara peribadi kerana kemabukan istilah inilah, makanya ramai sarjana tempatan lupa akan asal usul atau lebih sopannya lupa diri.

Saya ingin mengaitkan hal ini dengan kerjaya saya yang bertugas sebagai kuli di sebuah institusi pengajian tinggi awam negara. Bayangkan kerana ingin mengejar status 'universiti bertaraf dunia' atau 'universiti yang tersenarai dalam 'rangking' terbaik dunia; maka kebijaksana pemikiran Melayu terpaksa dikorbankan. Baharu-baharu ini, saya menghadiri taklimat tentang penyeliaan tesis peringkat sarjana dan kedoktoran. Dalam taklimat itu diberitahu bahawa semua penuliasan tesis peringkat sarjana atau PhD perlu ditulis di dalam bahasa Inggeris walaupun calon itu mengambil subjek bahasa atau sastera Melayu. Alasan yang diberikan ialah untuk menjadikan universiti ini bertaraf dunia.

GILA! GILA! GILA!

Saya tidak tahu apa yang sedang melanda nafsu dan otak orang-orang Melayu yang tidak sedar diri ini. Bukankah dengan cara ini bermakna orang Melayu yang ada kuasa itu sedang berusaha membunuh pemikiran dan para bijaksana bangsa mereka sendiri? Bagi saya, penulisan di dalam bahasa dengan menggunakan pemikiran asli adalah lebih bermakna, tepat dan bitara sifatnya. Bukankah tesis yang telah dihasilkan itu boleh diterjemah? Walaupun mungkin tugas ini perlu diambil alih oleh orang lain, tetapi apa yang penting ialah budaya pemikiran dan keaslian pemikiran itu dapat berkembang secara fitrah, asli dan menepati citarasa bangsanya. Kita bercakap soal keaslian fikiran, soal ketepatan makna dan soal kejujuran. Bagi saya itulah yang dinamakan tesis dan antitesis.

Ada kekeliruan di dalam beberapa tindak tanduk pemimpin tertinggi universiti hari ini. Saya bukan menafikan hak bahasa Inggeris tetapi jika kajian daripada tesis itu melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan warisan bangsa dan ketamadunan bangsa, mengapa kebijaksanaan bangsa itu perlu dikorbankan? Jepun, Perancis, Jerman, Iran dan China tetap maju dan universiti mereka sendiri telah berada dalam mercu tanda universiti terbaik dunia dengan mempertahankan bahasa mereka. Adakah dengan mempertahankan bahasa sendiri maka Malaysia akan ketinggalan? Kajian manakah yang membuktikan hal-hal sebegini?

Dalam buku yang diselenggarakan oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir (Prof. Dr) bertajuk "Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan, Teori dan Praktis" (UKM: 2010), ada beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan. Sekurang-kurangnya kita sedar bahawa ilmu (teori) yang dihasilkan oleh bangsa Melayu (rakyat Malaysia) juga punya kekuatan yang luar biasa. Saya berpendapat, jika ilmu (teori) ini sampai ke tangan barat , tentu mereka akan melihat kita dalam sisi yang lain dengan tanggapan bahawa bangsa Melayu memilki kehebatan tersendiri.

Berbalik kepada pandangan Al-Attas, orang Melayu kadang-kadang berada dalam 'kekacuan jiwa' atau 'kemabukan kuasa' hingga gagal menterjemah (baca menaakuli) konsep dan istilah. Kadang-kadang juga saya menjadi takut berada dalam kancah akademi yang sebegini dan apabila bersuara dengan pandangan yang lain, istilah jumud, kalut dan tidak memahami maksud 'freedom of equal' keluar daripada mulut mereka.

Saya hanya mampu merengus panjang dan sesekali merenung nasib akademik Melayu yang senasib dengan saya. Sesekali apabila difikir-fikirkan, ingin rasanya saya meminta para pemimpin tertinggi universiti ini hadir mendengar lontaran fikir Al-Attas itu. Apakan daya, mana mungkin seorang kuli boleh memerintah bossnya. Mana mungkin seorang kuli boleh mengubah agenda mercun tanda dunia tuannya, dan mana mungkin seorang kuli seperti saya ini boleh duduk semeja dengan mereka, bersembang sambil bertukar-tukar fikiran.

Akhirnya, mana mungkin saya dapat membaca pemikiran orang Melayu yang kuat nasfu dan kuasanya untuk mengubah nasib bangsanya sendiri. Seperti kata-kata Al-Attas, mereka membaca al-Quran seperti kita, mereka membaca hadis seperti kita, tetapi mereka ada kuasa dan kita tidak punya kuasa yang boleh dikongsikan. Kita hanya ada ilmu tetapi mereka tidak suka kepada ilmu yang terlalu jumud akan nilai-nilai kebaikan.

Saya sedang dan akan terus membaca pemikiran bangsa saya sendiri.



Selasa, 10 Ogos 2010

SALAM RAMADHAN EL-MUBARAK


Bulan Ramadhan adalah bulan yang ditunggu-tunggu. Apatah lagi saat menjelang tua ini, tentunya Ramadhan kali ini perlu lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.Saya selalu merenung ke dalam diri dan cuba juga berkias -kias tentang perjalanan Ramadhan 43 tahun lalu. Sempurnakah ibadah puasa saya? Allah SWT terimakah keikhlasan puasa saya? Redakah Allah SWT terhadap pengorbanan saya menahan lapar dan dahaga sepanjang usia 43 tahun itu?

Tahun ini usia saya mencecah 44 tahun dan tentunya ketuaan itu perlu diisi dengan amalan yang terbaik untuk dijadikan bekalan menuju hari kematian. Kerana kematian adalah pasti, makanya saya perlu bersedia untuk melalui kembara itu dengan seluruh jiwa dan raga. Justeru, kehadiran Ramadhan dan amalan wajib berpuasa adalah ujian daripada Allah SWT, makanya juga saya akan melaluinya dengan keikhlasan dan ketakwaan. Saya perlu banyak bersabar dan banyak berdoa untuk menempuh keseronokan berpuasa ini.

Dalam kesempatan ini, saya ingin memohon maaf seadanya supaya kita sama-sama dapat mengimarahkan bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya. Berpuasalah sebagai satu kewajiban sambil menanam azam bahawa penentuan dosa dan pahala itu biarlah Allah SWT yang tentukan. Sebagai hamba, kita perlu reda dengan apa-apa jua ketentuan itu kerana kita hanya mentaati perintah-Nya di samping berusaha melakukan yang terbaik.

SALAM RAMADHAN EL- MUBARAK. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Isnin, 2 Ogos 2010

HARI PAHLAWAN DAN HARI LAHIR

Buat pertama kalinya sambutan Hari Pahlawan tahun ini, tidak ada acara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara. Pujian kebawah DYMM Tuanku Mizan, kerana memahami konsep kurafat terhadap penghormatan kepada patung.. DAULAT TUANKU (3X). Semoga Allah berkati pemerintahaan Tuanku.

ii
Tarikh sambutan Hari Pahlawan juga merupakan tarikh yang sama dengan hari lahir saya. Oleh itu, secara tidak langsung, saya turut tersenarai sebagai insan terpilih yang diraikan setiap tahun sebagai mengingati pahlawan negara. Saya berdoa supaya saya tidak mati di hujung senjata api atau hujung senjata berbisa. Biarlah saya mati kerana bisanya pena atau kalam Tuhan.

Bercerita tentang ulang tahun kelahiran adalah sesuatu yang kadang-kadang menakutkan. Usia yang beranjak ke tua sedangkan bekalan amal dan iman masih sedikit juga rapuh. Merenung ke dalam diri, bermuhasabah pada malam tanggal kelahiran benar-benar menginsafkan. Sudahkan saya bersedia untuk berhadapan dengan detik kematian yang pasti? Inilah persoalan yang bersarang dalam benak.

SAJAK KEPADA HARI LAHIRKU

Kepada hari kelahiran
setiap tahun aku kauraikan
tanpa mengutus pesan
atau ingatan kalam Tuhan.

Di hujung cinta-Mu
aku mencari bekas
harum yang aku tinggalkan
kenangan yang aku ukirkan
seperti al-Ghazali meninggalkan Ihya Ulumuddin
juga Iqbal meninggalkan Asrari Khudi
atau Rumi meninggalkan rubaiyat cinta
tetapi aku hanya meninggalkan taman percakapan
dan tanah nurani yang kering di pertimbangan waktu.

Selamat ulang tahun Shamsudin,
segenggam padi di tanganmu taburkan ke bendang
suatu hari ia akan menguning, dan
fahamilah sifat azali
rukuk setangkai padi.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.