Jumaat, 27 Februari 2009

Dua berita tentang PPSMI



Izinkan saya petik kembali 2 catatan yang sempat saya baca. Mudah-mudahan saya dapat memberi sesuatu yang bermakna di sini.

BERITA I: Di petik daripada BERNAMA

ISU PPSMI: A. SAMAD SAID SEDIA GUNA PLATFORM UMNO

KUALA TERENGGANU: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said bersedia menggunakan platform Umno dalam memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya diberi peluang berbuat demikian.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang andaian bahawa beliau diperalat pembangkang kerana setakat ini hanya PAS yang memberikannya peluang memperjuangkan isu berkenaan.

"Kalau Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi pentasnya, saya akan meminjamnya (untuk memperjuangkan isu PPSMI) dan kalau Umno memberikan pentasnya, saya juga akan gunakannya.

"Ini semata-mata, saya tidak mahu bahasa saya (Melayu) itu dikucupkan, tidak mahu dinazak dan dikuburkan," katanya kepada pemberita di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini semalam.

Sidang media itu diadakan sempena kempen anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI di Terengganu, bagi menghimpunkan 100,000 rakyat dari seluruh negara bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di hadapan Istana Negara, Kuala Lumpur pada 7 Mac ini.

Mengulas lanjut, Samad berkata beliau bimbang dalam tempoh 50 tahun akan datang, Bahasa Melayu akan terhakis sekiranya tidak dipertahankan daripada sekarang.

Beliau berkata sebelum ini, Umno bersikap "garang" kerana 65 tokoh akademik telah menyatakan pendirian dan pandangan mereka terhadap isu berkenaan tetapi tidak diterimanya.

"Beberapa rancangan untuk bersemuka dengan jujur dan waras juga tidak diterima. Fikiran dan pandangan daripada budayawan juga tidak diambilkira," katanya.

Samad berkata beliau melihat semua "jalan" untuk membincangkan perkara itu seolaholah sudah tertutup dan beliau terpaksa menggunakan platform pembangkang bagi menyatakan pendiriannya berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengulangi pendiriannya bahawa beliau sanggup hilang gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam usahanya memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu PPSMI.
"Apa gelaran pun sebenarnya untuk sementara. Bagi saya, itu tidak menjadi soal, sebab yang paling penting ialah perjuangan saya sebagai seorang sasterawan untuk melestarikan bahasa saya," katanya.

Sumber: BERNAMA

BERITA 2: CATATAN MANTAN PENGARAH DBP

Oleh DR. FIRDAUS ABDULLAH
firdausabdullah44@gmail.com

Akibat sampingan PPSMI Pembangkang dapat senjata tambahan. Jika tidak pasti yang hendak dicapai “Eloklah kembali ke pangkal jalan.”

SEKURANG-KURANGNYA ada dua akibat sampingan PPSMI yang telah membawa ‘padah politik’ (jika tidak mahu menggunakan perkataan ‘musibah politik’) kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pertama, isu itu telah memberi platform tambahan kepada parti-parti pembangkang untuk bersatu menggodam BN.

Kedua, dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN sendiri telah terjadi perpecahan akibat perbezaan pendapat mengenai isu PPSMI itu. Perbezaan pendapat ini berlaku di kalangan sesama menteri dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat UMNO dan juga antara menteri-menteri BN.

Itu adalah antara akibat-akibat jangka pendek dari segi politik. Kesan jangka panjang dari segi pendidikan dan pembinaan negara bangsa, masih berterusan menjadi punca pertelingkahan di kalangan pelbagai pihak. Kita belum lagi menyebut kesan ekonominya terhadap kewangan negara dari segi pembiayaan infrastruktur tambahan dan elaun guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan PPSMI itu.

Kerana itu, di tengah-tengah hiruk-pikuk suara-suara menentang dan mempertahankan PPSMI sekarang, saya ingin menyarankan supaya kita menanyakan kembali beberapa soalan asas. Pertama, mungkin ramai yang tidak tahu atau sudah lupa apakah ayat penuh daripada singkatan PPSMI itu?

PPSMI adalah akronim atau singkatan daripada ayat “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” Ini adalah satu kaedah atau cara mengajarkan mata pelajaran sains dan matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya dalam sistem persekolahan di negara ini.

Kaedah ini diputuskan secara mengejut dalam satu sidang kabinet khas pada bulan Julai 2002 dan dipaksakan kepada guru-guru dan murid-murid darjah satu (Sekolah Rendah), tingkatan satu dan tingkatan enam (Sekolah Menengah) mulai tahun pengajaran 2003. Sebelum itu, untuk selama hampir 30 tahun kedua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Melayu.

Perubahan ini (dari pada menggunakan bahasa Melayu kepada menggunakan bahasa Inggeris) boleh dikatakan berlaku dalam keadaan tergesa-gesa. Kerana itu dapat diduga bahawa pelaksanaannya dipaksakan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh dan tanpa perbincangan yang menyeluruh di kalangan pakar pendidikan dan profesional perguruan. Tetapi bantahan masyarakat awam sejak awal lagi sudah cukup meluas walau tidak dapat liputan media yang wajar.

Hanya sejak akhir-akhir ini, liputan media massa mulai meluas dengan bertambah meluasnya bantahan dan sokongan pelbagai pihak. Tetapi liputan meluas oleh media massa itu adakalanya menambah kekeliruan kerana terdapat kecenderungan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tak tepat seperti “anti bahasa Inggeris” atau “emosional” atau “tak sayang anak bangsa.”

Satu lagi akibat sampingan polemik PPSMI ini ialah terpinggir dan tersingkirnya dari aliran perdana tokoh-tokoh bahasa dan budaya yang selama ini kelihatan “bersahabat” dengan parti pemerintah.

Umpamanya, Sasterawan A. Samad Said yang selama ini kelihatan rapat dengan “aliran perdana” atau pihak establishment tetapi sekarang sudah mulai menampilkan dan menampakkan diri dalam acara-acara dan demonstrasi menentang PPSMI.

Begitu juga dengan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Ismail Hussein sekarang sudah secara terbuka memperlihatkan tentangan dan bantahan walau pun selama ini sesetengah pihak menganggap beliau mempunyai sikap yang akamodatif dan pro-establishment.

Satu lagi akibat sampingan yang saya anggap mendukacitakan ialah semakin meluasnya budaya “bermuka-muka” atau “berpura-pura” dalam kalangan sesetengah pegawai tinggi kerajaan. Mereka memperlekeh dan mencemuhkan PPSMI secara berbisik-bisik di warung-warung teh tarik atau semasa kudapan di majlis-majlis kerajaan. Tetapi mereka memberi sokongan secara terbuka di hadapan menteri atau di hadapan pemimpin-pemimpin politik yang pro-PPSMI itu.

Saya percaya polemik dan kontroversi PPSMI ini akan berterusan sehingga satu keputusan muktamad diambil dan dilaksanakan. Atau konflik ini mungkin akan menjadi lebih buruk jika keputusan muktamad itu nanti tidak dapat diterima oleh pihak-pihak berkenaan. Kalau itu berlaku, akibat sampingannya bukan sahaja membawa “padah” malah mungkin membawa “musibah.”

Satu lagi soalan asas yang telah berulang kali ditanyakan dengan berbagai-bagai cara dan ungkapan ialah: Apa sebenarnya yang hendak dicapai oleh PPSMI? Sesetengah pihak menjawab untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sesetengah pihak yang lain untuk memudahkan generasi baharu Malaysia mengikuti kemajuan sains dan teknologi.

Tetapi setakat ini, pada hemat saya, belum ada satu huraian yang lengkap dan sistematik mengenai matlamat sebenar yang hendak dicapai oleh PPSMI itu. Ini mungkin boleh juga dianggap sebagai satu lagi akibat sampingan daripada PPSMI itu, iaitu semakin berleluasanya sikap evasive, iaitu kecenderungan mengetepikan persoalan dan menangguhkan penyelesaian.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Bulan Kelahiran Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W



Keterangan gambar: Alangkah baiknya jika mereka berdua kembali ke seruan Al-Quran dan hadis rasulullah SAW

Khutubah Jumaat hari ini menusuk kalbu sekali. Saya rasa seperti dipanggil-panggil untuk menitiskan air mata setelah mendengar kisah yang disampaikan khatib. Apa yang paling menarik sekali ialah apabila khatib bertanya kepada makmum termasuk diri saya dengan pertanyaan, "sejauh manakah kita menyatakan kasih sayang kita kepada rasulullah? Jika kita menyayangi baginda, kenapa kita ingkar perintah baginda? Jika kita cinta akan baginda, kenapa kita leka dengan hal-hal duniawi yang bersifat sementara dan dipinjamkan ini? Bukankah satu-satu manusia yang Allah SWT pilih untuk digandingan dengan namaNya di dalam kalimah syahadah ialah Muhammad; kenapa kita ingkar akan suruhan, amalan dan perlakuan baginda?"

Saya tidak menjawab pertanyaan itu, tetapi cukuplah hanya hati saya yang berdetik dengan kekesalan begini, "Ya Allah, kenapakah kau ciptakan aku ini dengan selemah-lemah iman?"

Hari ini, 2 Rabiulawal 1430H bermakna 10 hari lagi saya akan menyambut tarikh penuh bersejarah sempena hari kelahiran baginda rasulullah SAW. Sejauh manakah kasih sayang dan cinta saya kepada baginda itu telah saya tunaikan? Saya berkira-kira dan mencongaknya dengan andai-andaian yang saya sendiri kabur dan tidak terfikirkan. Mungkin dalam perkiraan itu, yang saya ingat hanya amalan-amalan yang terlalu kecil dan saya pasti tentunya lebih kecil daripada saiz kuman berbanding dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah.

Khutubah khatib sebenar tadi merangsang saya untuk bermuhasabah diri. Rupa-rupannya, seusia ini saya telah hanyut di bawa arus sungai yang penuh berliku. Saya seakan berada di dalam arus sungai yang dipenuhi najis. Apatah lagi setelah berada dalam kancah politik negara yang rakus, zalim dan penuh lakonan. Rupa-rupanya juga, saya sedang dimabuki amukan kemajuan dan kemodenan yang palsu. Yang semuanya itu telah membawa saya ke muara kehancuran.

Akhirnya, sebelum khatib menamatkan khutubahnya, dia bertanya lagi, "apakah cukup dengan kita menyambut kelahiran pemimpin dunia itu dengan cuti umum, memberikan anugerah, berzanzi selawat kemudian makan-makan?"

Sekali lagi saya tidak menjawab pertanyaan itu. Saya menelan air liur dengan kehibaan yang mula menyelimuti diri saya. Justeru saya tidak boleh menjawab pertanyaan itu makanya saya berdoa di dalam hati.

"Ya Allah, keluarkan aku daripada kesesatan dunia yang fana ini. Amin"

Selasa, 24 Februari 2009

KELAHIRAN "TANAH NURANI"


Kumpulan puisi Tanah Nurani (PIB: 2009) ini adalah kumpulan puisi kedua saya selepas Taman Percakapan (DBP:2007). Kumpulan puisi ini memuatkan 80 puisi yang menghimpunkan 15 puisi terpilih daripada Taman Percakapan dan selebihnya puisi-puisi baharu yang berkisah tentang kembara sastera saya.

Buku ini dijual dalam bentuk set dan berharga RM157 yang memuatkan 2 kumpulan puisi, dua antologi drama, 4 antologi cerpen dan dua novel. Oleh itu, saya mohon maaf banyak-banyak kerana tidak dapat memberikannya kepada rakan-rakan sebagai buah tangan. Set buku yang berkonsepkan 'jualan perpustakaan' ini dicetak oleh Penerbit Ilmu Bakti Sdn. Bhd., yang sasaran jualannya adalah untuk perpustakaan bukan individu.

Setelah rakan saya sdr. Rahimidin Zahari mengiklankan kumpulan puisi ini di dalam blognya, ramai yang sms saya untuk memilikinya. Justeru keadaan yang tidak mengizinkan, makanya saya mohon maaf sekali lagi kerana tidak dapat memenuhi tuntutan rakan-rakan itu.

Begitupun jangan kecil hati dan selamat membaca kerana puisi-puisi dalam 'Tanah Nurani' itu telah tersiar di pelbagai media perdana.

KHABAR DARI TANAH SEBERANG


I
SAYA rasa bersyukur kerana selamat kembali ke tanah air setelah letih bersama-sama rakan di Dewan Kesenian Riau (DKR), Pekanbaru, Riau. Bersama-sama ayahanda Dr. Ahmad Razali dan SM Zakir kami berdiskusi tentang peradaban Melayu yang terpisah oleh siur, sungai, selat dan lautan. Di sana kami turut dikunjungi oleh Timbalan Presiden PENA juga mantan guru saya di UM iaitu Mohammad Saleeh Rahamad dan Puan Nisah Harun (yang meloloskan diri seketika daripada program anjuran YWJ dan UNRI). Timbalan Presiden PENA itu mungkin ingin menjejaki jejak kami, tapi apakan daya hajatnya tak kesampaian.

Diskusi tentang dialog peradaban bangsa Melayu itu diwakil oleh kami bertiga dan bapak UU Hamidy seorang pengkaji, penulis dan dosen hebat di UNRI. Perkongsian ilmu tentang dunia Melayu yang kian terkuburkan itu banyak mengajar kami erti persaudaraan sejati. Alangkah baiknya jika majlis ini turut dilakukan di Malaysia supaya ikatan serumpun itu sentiasa segar dan mengharum wanginya.

Di DKR, kami turut berkongsi pengalaman pada malamnya dalam suasana yang santai bersama-sama Dr. Yusmar Yusuf, Griven H.Putra, Andry Ahmad, Kusaini KH dan lain-lain penulis mapan Riau. Kami merancang tampil sekali lagi dengan aktiviti yang lebih besar nanti juga di Pekanbaru.

Seharusnya hubungan serumpun yang terjalin sekian lama itu sudah menjadi sebuah taman indah yang di dalamnya anak-anak kita bisa berlari-lari dan meruntun kasih.

Jumaat, 20 Februari 2009

SEBUAH CACATAN BUAH TANGAN KE UNRI


Bermula 20 hingga 23 Feb 2009, saya akan berada di Universiti Nasional Riau Indonesia (UNRI), Pekanbaru, Riau. Seminar kecil antara UNRI-Dewan Kesenian Riau ini cuba menautkan kembali hubungan yang terpisah (KL-Riau) sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya tidak mahu mengungkap sejarahnya kerana saya tidak berpihak kepada mana-mana pihak.

Apa yang akan saya perkatakan dalam pertemuan ringkas itu boleh dibaca dalam abstrak di bawah.

TAMADUN SASTERA MELAYU
oleh
Shamsudin Othman
Pandangan sepintas lalu; permintaan Sdr Griven H. Putera yang mendesak)

Tamadun atau hadharah tentunya merujuk kepada makna harafiah kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa atau juga pemerintahan. Tentunya dalam bicara yang cukup terbatas ini, tamadun itu pasti akan memaknakan sejarah keilmuan, peradaban, kemajuan ekonomi, siasah-politik juga pemikiran.

Saya lebih suka membicarakan tamadun daripada persepsi Said Hawwa juga tanggapan Syirazi. Pandangan kedua-dua tokoh ini mudah dan mendokong makna yang jelas. Mereka berdua tampil dengan kesepakatan iaitu tamadun adalah suatu prinsip kehidupan manusia terhadap kemajuan material (madaniayah) dan sosiobudaya (thaqafah). Justeru, hal-hal ini mencakupi persoalan sejarah bangsa mahupun keremehan apa-apa juga bidang kehidupan.

Dalam konteks negara Malaysia, tanggapan ini tidak jauh bedanya dengan negara-negara serumpun Melayu iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Hakikanya kita diikat oleh perasaan sepunya yang terlalu simbolisme dan sukar dipisahkan. Konsep ‘cubit peha kiri, peha kanak terasa sakit’ menjadi sandaran perumpamaan terhadap keakraban ini.

Seni dalam hubungan dengan tamadun di negara serumpun ini masih terikat oleh tiga faktor penting iaitu agama, adat resam (budaya) dan kebendaan. Sementara, ilmu menjadi pilihan lain yang akhirnya menjadi pengimbang akan kedudukan dan daya tahan tamadun yang berkembang itu. Gabungan dan prinsip yang saling bertimpang tindih ini dilihat berjaya mewarnakan kehidupan masyarakat yang mempunyai jati diri dan modal kemanusiaan tinggi. Cuba kita renung fikirkan sejenak bagaimana tradisi seni tarian di negara kita berkembang? Tentunya, sentuhan-sentuhan dan suntikan baru sentiasa diberikan supaya lunas dan tunas baru terus segar dengan wajah yang lebih kontemporari. Kita tidak keluar daripada aliran konvensional tetapi kita memperkasakan keaslian dengan zamannya.

Begitu juga halnya dengan sastera Melayu di Malaysia ini. Jika tiga puluh tahun dahulu A. Samad Said menulis novel Salina (1967) dan Shahnon Ahmad menulis Ranjau Sepanjang Jalan (1970) yang memaparkan pelacur Melayu juga petani gigih yang tabah merempuh zaman-zaman hitam kolonial (penjajah). Nah, kenapa pada abad ke-21 ini, hal-hal kemiskinan, kelaparan, penindasan dan kezaliman masih subur dalam karya-karya agung karyawan kita? Hal ini bermakna, usia negara yang beranjak menuju tua itu tidak dapat memisahkan sejarah yang berulang. Cuma yang membezanya ialah angka dan manusianya.

Sebuah tamadun pada hakikatnya terlalu muluk untuk diungkap dan didengari. Tetapi, bagaimana dengan agenda meneruskan kehidupan yang terpaksa bersaing dalam sebuah makna kegawatan globlaisasi dan kematangan fikir? Adakah kita sudah bersedia untuk menjadi manusia cemerlang dengan karya-karya agung sehebat Frank Kafka, Shakespeare, Albert Camus, Hamzah Fansuri, Hamka, Arenawati, dan lain-lainnya jika manusia yang lahir pada zamannya itu hidup dalam anarkis dan bobrok?

Adalah jelas, bahawa dalam konteks sebuah negara serumpun yang diikat oleh Islam sebagai agama yang syumul, tentunya makna tamadun tidak dilihat daripada tafsiran harafiah tetapi perlu merujuk kepada makna rohaniah. Lebih lanjut lagi dalam perkiraan yang tidak berbelah bahagi, tamadun yang ingin kita kecapai itu ialah tamadun insaniah yang tinggi. Kita ingin melihat orang Melayu membelah cakerawala dengan keimanan yang teguh. Kita ingin melihat Melayu yang dapat menulis puisi-puisi indah seperti mana Iqbal mahupun Amir Hamzah. Kita ingin melihat Melayu yang dapat membina Taj Mahal dengan cinta keimanan bukan nafsu serakah dan kemabukkan rasa. Juga, kita ingin melihat orang Melayu yang punya jihat seperti Saidina Omar (r.a) mahupun Salehuddin al-Ayubi bukan seperti Lebai Malang ataupun Pak Kaduk.

Soal tamadun bangsa ialah soal maruah dan kesucian. Rosak tamadun sesuatu bangsa bermakna rosak jugalah kesucian nama bangsa itu. Oleh itu, asas yang paling penting dalam perkiraan ini ialah bahasa bangsa itu sendiri. Dalam konteks ini Bahasa Melayu adalah wahana yang mahapenting dalam menentukan kehebatan bangsa Melayu. Negara-negara luar seperti Jepun, Jerman, Rusia, Perancis dan China misalnya, sentiasa berusaha menyemaikukuhkan bahasa mereka hingga ke akar umbi supaya setiap lapisan masyarakat mempunyai rasa bangga dan cinta akan bahasa sendiri. Akhirnya, daripada semangat yang luar biasa terhadap kecintaan bahasa itu, makanya hari ini kita dapat melihat bagaimana mereka dapat menguasai dunia.

Apa yang berlaku di negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia misalnya pemimpin mereka sedang berusaha untuk mengubur dan mentalkinkan bahasa majoriti peribumi dengan andaian ketidakyakinan untuk berdaya saing dalam arus globalisasi. Oleh itu, mengambil langkah jalan ke belakang ini dilihat satu kecelaruan perasaan dan tindakan yang akhirnya membawa kepada doktrin jahiliah dan primitif. Zaman penjajahan sudah lama berlalu tetapi seakan ada dokotimi baru yang dilihat sedang meresap di dalam pemikiran para penguasa. Resapan inilah yang akhirnya jika tidak ditangani dengan bitara akan membawa kepada kehancuran tamadun sesuatu bangsa.

Oleh itu, runtuhnya tamadun sesuatu bangsa bukan disebabkan oleh peperangan mahupun penjajahan tetapi lebih tersembunyi dan halus ialah ketidakyakinan terhadap mempertahankan jati diri mahupun kesucian bahasa. Dalam konteks Melayu serumpun ini, tentunya Bahasa Melayu adalah lambang sastera, seni dan pengucapan agung yang menjadi ikon kepada tamadun itu sendiri.


Wassalam. Moga sdr Given dapat menghayati dan mungkin akan disambung dalam bicara santai kita nanti.

Isnin, 16 Februari 2009

SEBUAH RUSUH, BAGAIMANA HARUS KUTAMATKAN?


Sepanjang malam Sabtu dan Ahad pagi, saya meghabiskan masa di rumah GAPENA. Ya, secara kebetulan tarikh tersebut merupakan tarikh bersejarah kepada pejuang Bahasa Melayu abad-21 iaitu 15 feb 2009. Pada tanggal inilah saya dapat melihat sekumpulan pejuang bahasa Melayu menyatakan kesatuan hati dan harapan terhadap tindakan kerajaan melacurkan nasib Bahasa Melayu. Saya dapat melihat dan berbual-bual dengan mereka tentang harapan yang menggunung. Mereka berkumpul untuk menyatakan kesatuan tekad meneruskan saman kepada KPM kerana telah menafikan hak dan akta Perlembagaan 152 dan 153.

Begitupun, saya amat sedih kerana rupa-rupannya ramai juga orang Melayu yang tidak menyatakan sokongan. Saya mencari-cari di mana Dato' Firdaus Abdullah (mantan KP DBP yang kini bergelar senator),saya menoleh ke kiri kanan mencari pengarah DBP yang baharu. Saya menjengok-jengokkan kepala mencari wakil atau orang kuat KPM macam Dato' Hishamuddin, saya memanjangkan leher mencari-cari di mana orang Melayu yang sibuk bercakap tentang penderhakaan kepada sultan dan raja Melayu, dan saya berbisik juga kepada rakan di sebelah bertanya-tanya di manakah orang kuat pejuang agenda Melayu?

Sedih kerana mereka semua tiada di dalam peristiwa bersejarah itu. Kini saya mula faham, ketika Dato' Baha Zain, Tan Sri Ismail Hussein, Prof Dato' Zainal Abidin Borhan, Dato' Hassan Ahmad dan Tan Sri A. Aziz A. Rahman (mantan pengerusi MAS) bermatian-matian mempertaruhkan maruah dan namanya, masih ada rakan-rakan mereka yang hanya berani membaling batu sembunyi tangan.

Saya kira, kehadiran saya sudah cukup menjadi bukti bahawa inilah sejarah yang perlu saya hadiri kerana saya tidak pasti dengan apa-apa lagi sokongan yang boleh saya sejarahkan di dalam usia saya. Dalam majlis bermakna itu, saya cuba menjadi manusia paling tenang sambil berfikir dan menafsir kata-kata yang didengari.

Menoleh ke kiri, menoleh ke kanan, memandang ke depan dan memalingkan wajah ke belakang, saya menjadi amat berani.

ii
Hari Isnin berikunya, keluar pula kenyataan daripada menteri pelajaran yang bersinikal bodoh lagi bahlol. Katanya, "kenapa baru sekarang bertindak? Kenapa tidak 6 tahun dulu?"

Itulah pemimpin kita hari ini. Ketika para bijak pandai dan pejuang bahasa berbincang secara baik; menjemput mereka ke meja rundingan; dan mengadakan kongres secara baik - batang hidug merekapun tak nampak. Perjuangan yang bermula mei 2002 itu tidak disedari oleh mereka yang berlagak wira. Atau mungkin mereka sengaja membodohkan diri kerana takut dengan kuasa sang dewata. Setelah enam (6) tahun berjuang dengan cara penuh hikmah, hari ini mereka menuduh para pejuang itu emosional.

Siapakah yang emosional? Saya yang juga mewakili para pejuang bahasa Melayu atau juak-juak itu?

Di media perdana pula, dalam rancangan buletin kaca televisyen; orang yang jahil tentang perjuangan Bahasa Melayu diundang untuk memberikan sokongan yang dangkal. Jika benar media perdana kita telus dan bersikap terbuka, kenapa tidak memberi ruang kepada pejuang-pejuang bahasa tulen yang sanggup bermandi darah kerana bahasa mereka sedang ditalkinkan? Oleh itu, selepas ini ingin saya mencadangkan kepada mereka agar wartawan yang dipaksakan itu pergilah mewawancara pelacur-pelacur jalanan, bohsia, perasuah, orang putih, orang afrika, orang bangla, orang filipina, mahupun penagih dadah yang menghuni di bawah jambatan itu tambil dengan alasan PPSMI itu berjaya dan wajar diteruskan. Bukankah itu yang mereka mahukan?

Bayangkan, apakah yang akan terjadi kepada bukti dan kajian yang dilakukan oleh sarjana-sarjana tempatan hasil daripada kajian sistematik terhadap PPSMI ini? Mereka lebih percaya kepada kajian dan dapatan seorang sarjana barat yang sudah tentu bersikap berat sebelah terhadap bahasa Inggeris kerana itu adalah bahasa mereka. Puluhan kajian sarjana tempatan yang terhasil daripada sistem pendidikan Melayu dinafikan oleh satu kajian orang putih yang kelulusannya entah apa-apa.

Inilah pemikiran pemimpin kita yang sedang melalui dasar penjajahan postkolonial. Ketika rakyat Malaysia sibuk meraikan usia ke-51 kemerdekaan negara, tiba-tiba pemimpin kita pula bergerak ke arah yang berlawanan. Sepatutnya dengan usia yang menjangkau matang itu, Bahasa Melayu kian kuat, utuh dan perkasa di mata dunia; sebaliknya yang berlaku ialah mereka takut untuk berhadapan dengan dunia globalisasi dengan menggunakan bahasa nenek moyang mereka sendiri.

Inilah juga kesialan dan kecelakaan yang sedang melanda pemikiran pemimpin kita. Mereka takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka takut dengan kuasa sementara yang ada di tangan mereka. Mereka menjadi sang serigala lapar yang rakus dan tamak hingga sanggup menyiat-nyiat kulit dan daging mereka sendiri. Kalaupun tidak sehina babi atau anjing, mereka mungkin lebih teruk daripada itu.

Dari dekat dan sesekali dari kejauhan, saya melihat bahawa kita tidak pernah menjadi manusia yang ingin belajar daripada sejarah. Para juak dan pemimpin negara terlalu memandang enteng erti sejarah bangsa dan bahasa. Sejarah kejatuhan bangsa, negara dan bahasa yang berlaku suatu waktu dahulu rupa-rupanya tidak pernah memberikan pengajaran kepada mereka.

Saat saya meluahkan kesedihan ini, ada sebak yang tidak dapat saya hentikan. Emosi saya sudah lama bergelora dan tidak tertahankan amarahnya. Memujuk dan memaksa hati saya supaya tenang dan damai tidak pernah berhasil. Mulai saat ini, saya akan cuba memujuk hati saya sekali lagi supaya perjuangan ini perlu menuruti lunas-lunas fikir Tun Razak dan Tun Dr. Ismail. Mereka berdua selalu mendampingi budayawan Melayu kerana mereka berdua percaya hanya rakyat sahaja yang boleh menyelesaikan masalah rakyat. Pemimpin bagi mereka berdua adalah ketua kepada suara rakyat bukan ketua kepada kepala otak mereka sendiri kemudian memaksa rakyat mengikuti telunjuk dan mengakuri nafsu buas mereka.

Terus terang saya katakan bahawa mereka adalah seorang pelacur yang sedang menjual harga diri. Terus terang saya katakan, saya tidak berpihak kepada mereka bukan kerana saya anti bahasa Inggeris atau anti penjajah. Saya menentang kerana mereka melaksanakan dasar yang salah iaitu mengajar sains dan matematik dalam BI. Saya menentang kerana mereka bukan sedang menyelesaikan masalah komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris tetapi mereka sedang berusaha membodohkan jutaan anak-anak kampung yang sedang berhadapan dengan masalah pengajaran dan pembelajaran BI, sains dan matematik. Saya sedih melihat rakan-rakan yang bertugas di KPM. Mereka rupa-rupannya sedang menjadi tikus yang membaiki labu. Mereka tidak sedar atau sengaja menafikan apa yang sedang berlaku di dalam sistem pendidikan negara hari ini. Mereka sepatutnya bertindak dengan memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran BI bukannya menyokong dasar yang terang-terangan salah dalam proses asas pengembangan ilmu.

Terus terang saya katakan juga bahawa waktu dan saat ini menuntut manusia perlu menguasai BI. Hal ini bermakna BI itu penting dalam proses pengembangan ilmu. Tetapi apa yang saya marah-marahkan ialah kita janganlah jadi seperti perangai 'monyet yang tidak pandai menghargai bunga'; atau juga jangan jadi seperti falsafah Melayu 'si kudung mendapat cincin'.

ii

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya kerana melaknati mereka dengan panggilan anjing dan babi, celaka dan sial, baruah dan haram jadah. Inilah kelemahan iman saya kerana gagal mengawal diri setelah melihat bahasa ibunda dan nenek moyang saya dilacurkan oleh mereka. Ya Allah, Kau turunkan pengajaran kepada mereka supaya mereka kembali ke pangkal jalan. Ya Allah, mereka telah berada di jalan yang sesat lagi menyesatkan. Berikan mereka petunjuk, Ya Allah."

Sabtu, 14 Februari 2009

SAJAK KHAS TENTANG PERJUANGAN BAHASA


SEEKOR SERIGALA DAN BAYANG-BAYANG

Aku tak pernah membayangkan
amarah dan dendam yang tersihir
oleh pesona makna kemajuan
kerana aku pasti sebuah musibah
akan menyalakan kebencian di persada kehidupan

Kau serigala bersalut keangkuhan
mimpi rakusmu adalah ranjau kematian yang bertali arus
dari lembah kemunafikan bangsa
bersengkongkol dan bersekutu
menguburkan bangsanya sendiri
seagama seketurunan

Kau serigala berdaging keangkuhan
kau serigala bernafsu serakah
didewasakan oleh tipu helah
dibesarkan oleh licik sombong biadap

Di tanah ini di negara ini
aku adalah mangsa berahi nafsu
yang menidakkan kedaulatan bangsa,
bahasa dan negara
seluruh rantau ini adalah wilayah kedaulatan
rumpun Tanah Melayu
malah sebahagian pesisir nusantara
adalah tanah tumpah darahku.

Kau serigala berahi yang terlepas dari kandang
membesar dalam ketakutan bayang-bayang
tidak pernah belajar menjadi berani seperti
Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Maharajelala,
Datuk Sagor, Dol Said, Abdul Rahman Limbong
tetapi kau serigala yang memilih bersekongkol dengan British
memperalatkan raja-raja Melayu untuk kepentingan
kuasa monopoli perdagangan dan pemerintahan
telah diperlekehkan bahkan dipadamkan
demi keinginan menjadi Menteri Perdana
dan melaungkan suara kemerdekaan
sambil menguburkah impian Dr. Burhanuddin dan Bung Sukarno
juga gagasan Melayu Raya.

Lima puluh tahun selepas tanah airku merdeka
kau menjadi serigala lapar yang sedang bermimpi mengusung
longgokan nama-nama Islam dan Melayu
bangsa yang berkiblat kepada Tuhan
sedangkan kau sebenarnya adalah serigala
yang bertuhankan pangkat kedudukan dan harta bendanya.

Esok dan mungkin lusa
aku sekadar ingin mengingatkan
jangan kau ulangi kisah
anjing dengan bayang-bayang
yang masih menjelirkan lidah
menjilat-jilat kekesalan.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Salam Gerakan Mansuh PPSMI (GMP)

MAKA bermulalah agenda penting ini di rumah GAPENA pada tanggal 14 Feb 2009 hingga 15 Feb 2009. Tanggal ini bersempena Perlembagaan 152 (yang merujuk kepada 15.02). Seperti kata penyair Baha Zain di dalam Berita Harian khamis lalu, saya juga berharap agar semua golongan masyarakat dapat bersatu memperjuangkan nasib bahasa Melayu yang kian ditalkinkan oleh UMNO. Kalau dahulu anggota polis turut sama mengusung keranda ke parlimen, begitu jugalah harapan saya pada esok hari agar anggota polis dapat bersama-sama menyokong perjuangan ini.

Kadang-kadang saya sendiri keliru apabila ada orang Melayu yang tidak tahu erti perjuangan sebenar. Perjuangan mereka kerana politik atau kerana duit atau kerana maruah atau kerana suka-suka atau kerana sebagai batu loncatan atau kerana apa saya sendiri tidak pasti? Inilah yang sedang melanda pemikiran orang Melayu hari ini kerana mereka sendiri tidak tahu kerana apa mereka berjuang.

ii
Sempena perjuangan mempertahankan nasib maruah bangsa khususnya Bahasa Melayu, PENA sedang berusaha untuk menerbitkan antologi puisi kedua yang bertemakan nasib Bahasa Melayu selepas antologi "Manuskrip Luka Bangsa" (PENA: 2006). Oleh itu, kepada sesiapa yang berminat diharap dapat mengemailkan puisi tersebut ke alamat sudean66@hotmail.com atau smzakir90@gmail.com atau rahimidinzahari@hotmail.com sebelum 15 Mac 2009. Mudah-mudahan dengan usaha ini, kita sama-sama dapat menyatakan pendirian kita terhadap nasib bahasa Melayu hari ini.

iii.


Kepada penulis yang karyanya termasuk di dalam antologi puisi khas anti Israel berjudul "Genting Gaza, Gentingnya Genting" diharap dapat bersabar kerana antologi itu baharu sahaja siap dan sedang diusahakan untuk diposkan. Kesabaran anda itu amat kami sanjung tinggi. Atau sekirannya berkesempatan, sila dapatkannya segera di Rumah PENA.

Kepada sesiapa yang berminat juga, antologi ini boleh dimiliki dengan harga RM15 dan dijual di rumah PENA kerana cetakannnya yang terhad.

Mari kita teruskan perjuangan ini.

Rabu, 11 Februari 2009

SAJAK USMAN AWANG "KERANDA 152"


Membelek-belek kumpulan puisi yang bersusun kemas di rak buku begitu membahagiakan. Saya segera membelek sajak-sajak Usman Awang hingga saya menemui sajak ini. Membaca dan merenung dalam bait-bait sajak itu menjadikan jiwa saya bergelora.

Nah, mari kita marakkan api jiwa kita yang gelora ini.

KERANDA 152

Anak Melayu
panas dadamu membakar baju
kita arak keranda 152
ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu



Usman Awang (1967)

APABILA GENTA ITU BERBUNYI


SELASA dan Rabu adalah hari-hari yang benar-benar merusuhkan jiwa saya. Merusuhkan kerana saya terpaksa berhadapan dengan enam orang pegawai audit yang diarahkan untuk melengkapkan tugas-tugas ISO2001. Saya terpilih melalui proses audit dalaman staff. Hal ini bermakna saya pada hakikatnya sedang berhadapan dengan proses akur janji yang saya telah bersetuju untuk tidak mengingkarinya sewaktu saya mula-mula melaporkan diri bertugas di wilayah negeri ini. Kata rakan-rakan sarjana, "itu prosedur biasa."

Saya tidak terperanjat kerana saya telah dimaklumkan dua minggu lebih awal. Oleh itu, saya telah bersedia dengan segala kemungkinan-kemungkinan dan jawapan. Dan, pada hari yang dijanjikan dan telah saya lalui itu, saya didapati telah berjaya memberikan kerjasama yang baik; kerja-kerja saya selama 3 tahun diakui memberangsangkan dan berjaya melangkaui tahap penggredan sumber manusia. Walau bagaimanapun, ada suatu perkara yang sukar untuk saya terima apabila saya didapati bersalah kerana dituduh tidak setia sepenuhnya kepada kerajaan.

Saya tidak diberi ruang dan kesempatan untuk menjawab atau menerangkan akan perkara itu. Saya hanya diminta menandatangani sehelai kertas berwarna pink yang saya sendiri tidak diberi peluang untuk membacanya. Kata pegawai itu, "ini produser biasa."

Wah, malamnya sebelum tidur saya mengingati semula peristiwa yang saya lalui dua hari itu. Saya menguntum senyum sambil berteka-teki dengan frasa, 'ini prosedur biasa'. Frasa itu masih terngiang-ngiang dan wajah enam orang itu berkaca-kaca dalam bayangan saya.

Telefon bimbit saya berdering. Saya segera merenung nama yang tertera pada skrin telefon bimbit saya. Melihat nama itu, saya biarkan deringan itu berhenti sendiri. Selepas itu, saya tidak sedar apa-apa yang berlaku. Saya lena dalam kemerduan genta yang berbunyi.

Adakah saya tidak setia kepada kerajaan atau kerajaankah yang tidak setia kepada saya seorang rakyat yang ingin mendaulatkan bahasa Melayu dan nasib bangsanya?

Siapakah yang tidak setia? Saya atau kerajaan saya?

Isnin, 9 Februari 2009

DAN APABILA TRAGEDI ITU BERLAKU, BERTANYALAH KEPADA DIRI KITA SENDIRI


DEMIKIANLAH tragedi penderhakaan abad-21 yang kita saksikan. Rakyat menderhaka kepada sultan; rakyat menderhaka kepada parti; pemimpin menderhaka kepada negeri dan tanah air dan macam-macam lagi penderhakaan yang dapat kita saksikan kemudiannya digembar-gemburkan pula oleh media. Aneh sekali zaman ini kerana tiada seorangpun mengembar-gemburkan penderhakaan manusia kepada Allah SWT. Bayangkan, malapeteka apakah ini?

Ini bermakna, rakyat Malaysia lebih takut menderhaka kepada pemimpin berbanding kepada Tuhannya. Tidak sedarkah mereka bahawa menderhaka kepada Tuhan lebih besar dosanya?

Saya melihat peristiwa di Perak sebagai satu pengajaran kepada umat Melayu. Hari ini, setelah sekian lama penderhakaan itu tidak berlaku, kita sama-sama dapat menyaksikan satu tragedi yang menyentuh hati nurani orang Melayu. Sayang dan sedih sekali. Tetapi harus diingat, sebelum ini pun peristiwa yang hampir sama berlaku di Terengganu iaitu kisah antara Idris Jusof dengan Ahmad Said dengan sultan atau Agung. Ketika itu, tiada mana-manapun orang UMNO tampil mendesak supaya Idris Jusof dihadapkan ke ISA, atau dituduh penderhaka kepada sultan. Kenapa?

Nah, inilah yang dikatakan 'hukum karma'. Saya melihat peristiwa ini sebagai satu pengajaran yang boleh disimpulkan bahawa antara UMNO, PAS, KeAdilan, DAP atau mana-mana parti mereka sanggup menghalalkan apa-apa sahaja demi kepentingan politik mereka. Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi demikianlah siasah politik orang Malaysia. Hari ini mengata orang; esok-lusa terkena batang hidung sendiri. Bila terkena kepada batang hidung sendiri makanya alasan yang diguna pakai ialah, "kita ada undang-undang dan perlembagaan. Kalau kita tidak ikut undang-undang dan perlembagaan yang kita buat, maka kita samalah seperti binatang." Itulah kata-kata yang sering saya dengar ketika hukum karma itu berlaku. Sekarang ini persoalannya, siapakah binatang sebenarnya?

Saya tidak menyebelahi mana-mana parti kerana saya perlu berkecuali. Saya melihat semuanya ini sebagai satu sandiwara sarkas. Pelakonnya terdiri daripada hero bodoh yang dipandaikan sementara sida-sida dan juak-juaknya adalah orang pintar yang dibodohkan. Plot dan sinopsis cerita telah lama ditulis. Apabila keadaan mendesak, makanya hero dan juak-juak itu berlakonlan dengan penuh emosi. Yang penting, selepas sahaja berjaya menjadikan rancangan itu cerita kepada rakyat di media perdana, pelakon itu akan mendapat upah yang lumayan. Begitulah, perjalanan sebuah cerita.

Para pelakon itu pula kini dengarnya sudah menerima tawaran daripada pengarah yang berada di Selangor dan Kedah. Ada beberapa agenda lain yang sedang kita tunggu-tunggu berlaku di kedua-dua negeri ini. Itu juga cerita-cerita menarik yang kosnya tidak dapat dianggarkan. Ada yang menyatakan RM100 juta dan ada yang menceritakan lebih daripada itu. Pengarah filem itu sedang mencari hero dan heroin yang sesuai. Pelakonnya mesti berciri-ciri seorang homosex dan heroinnya pula mesti berani membawa watak seorang jalang. Wah, saya sedang menanti apakah kesudahan perencanaan pengarah ini. Hebat-hebat sungguh pengarah filem Malaysia ini. Tetapi anehnya, hanya P. Ramlee sahaja yang saya tahu pernah menerima anugerah pengarah terbaik. Yang lain-lainnya, entahlah..

Kata seorang rakan saya juga pengkritik filem tanah air, "filem-filem Malaysia ni hambar sebab gansternya tak berani mati. Heronya pula lelaki separuh tiang yang lelaki tidak, perempuan pun tidak. Lepas itu, bila terdesak terus bersumpah." Itu kata-kata kawan saya. Saya petik sepenuhnya sebab dia kini berada di luar negara menjalankan tugas rasmi kehidupannya.

Dua hari lepas di DBP, saya diundang untuk mendeklamasikan puisi sempena Kutipan Amal Gaza. Selepas tamat majlis, saya lebak bersama-sama Zaen Kasturi, SM Zakir, Amiruddin Ali Hanafiah, M. Saleeh Rahamad dan Halis Azhan. Di tepi tangga Balai Budaya, Dewan Tun Syed Nasir itu, kami berkisah tentang bertapa untungnya kita rakyat Malaysia yang tidak menjadi mangsa gila kerakusan politik. Jika tidak, tentu kita akan mengalami nasib yang hampir serupa seperti di Gaza atau Thailand atau juga Sri Langka.

Entahlah, apa yang sedang berlaku dalam senario politik tanah air sekarang ini, saya sendiri sukar menebaknya. Perasaan ketamakan kuasa masih tidak berkesudahan. Sifat rakus dan bangga diri tidak terbendung. Tabii menjatuhkan sesama bangsa sendiri kian bermaharajalela. Sikap berlumba-lumba telah membawa konotasi yang lain. Berlumba-lumba untuk berjaya telah menjadi berbunuh-bunuhan untuk berjaya. Falsafah siapa kuat, siapa kaya, siapa berkuasa mula menular semahu-mahunya.

Saya merenung ke luar jendela sambil berfikir, "apakah yang akan terjadi kepada nasib bangsa Melayu 50 tahun lagi? Sudahlah nasib bahasa Melayu akan dipusarakan, kini saya bercongak-congak, apakah nasib bangsa Melayu pula akan ditalkinkan?"

Pemimpin Melayu khususnya UMNO tidak pernah mengambil ikhtibar akan sejarah 13 Mei 1969. Mereka juga tidak pernah belajar cara Tun Razak menyelesaikan masalah bangsa dan bahasa. Jika Tun Razak menyatukan rakyat Malaysia dengan memperkasa Bahasa Melayu; hari ini bagaimana pula UMNO ingin menyatukan rakyat Malaysia jika mereka mempersenda, memperlekeh dan menafikan keutuhan Bahasa Melayu.

Lihatlah kesannya hari ini setelah nasib kedaulatan sultan dan raja dilucutkan oleh UMNO. Apakah kuasa kedaulatan raja-raja Melayu yang tinggal? Belum pun cukup 20 tahun peristiwa itu berlaku, kita sudah dapat melihat ramai penderhaka. Rakyat berani mempersoalkan kedaulatan raja dan pemimpin berani mencabar raja di mahkamah. Bagaimana pula 50 tahun akan datang jika generasi mula hilang jati diri dan tidak tahu asal usul?

Bertanyalah kepada diri kita sendiri, siapakah yang memulakan angkara ini?

Rabu, 4 Februari 2009

INILAH MAKNA SIASAH SARKASTIK


PETANG tadi sewaktu sibuk menghabiskan bacaan buku Letters of Four Seasons, tulisan Daisaku Ikeda dan Yasushi Inoue, saya dihubungi oleh seorang rakan dari Perak. Katanya ringkas tetapi cukup bermakna. "Datuk Nizar terpaksa bubar dewan undangan negeri. Dia gentlemen dan profesional."

Saya sebenarnya tidak terperanjat dengan cerita itu kerana saya sudah menduga apa-apa yang akan dilakukan oleh UMNO untuk merampas semula kerajaan yang pernah dikuasainya dahulu. Dan, malam tadi sewaktu menonton berita Bernama di rangkaian Astro 502(saya sebenarnya dah jijik menonton berita TV1 mahupun TV3 yang saya kira bukan menayang berita tetapi drama), saya melihat dengan angkuhnya sekumpulan manusia yang berkokok seperti ayam jantan. Saya malas untuk berfikir terus lalu merenung ke luar jendela sambil berfikir dan menduga.

Hati kecil saya menebak begini, "lepas ni tentu Kedah dan Selangor akan menjadi sasaran."

Inilah permainan politik. Hari ini kawan, esok lusa lawan. Hari ini minum semeja esok lusa disantaunya kita. Hari ini berteput bertampar, esok lusa ditikamnya kita dari belakang. Saya tidak hairan permainan politik seperti ini. Dan kerana itulah saya memilih untuk mengharamkan diri saya daripada terjebak dalam kancah politik.

Sesekali saya terfikir juga, berapa banyakkah wang rakyat yang terpaksa dipertaruhkan untuk menjual beli perjuangan? Urus niaga ini telah menjadi satu fesyen pakaian politik tanah air. Parti politik mana yang kaya raya, makanya parti politik itu boleh membeli apa-apa sahaja yang dinafsukan. Termasuk membeli tubuh dan prinsip.

Senario ini bukanlah perkara baharu di tanah air saya ini. Walaupun bukan perkara baharu tetapi sejak dua menjak, perkara seperti ini kian menular dan membisa di dalam masyarakat politik.

Kenapa hal ini berlaku?

Jika P. Ramlee dalam filem-filemnya telah membayangkan situasi 50 tahun berikutnya, makanya hari ini; situasi itu berlaku dan menjadi kenyataan sedikit demi sedikit. Bayangkan pada tahun 60-an ketika P. Ramlee berkata, "alif mim nun tendang wau ... sarkas," kita tidak dapat membayangkan makna sarkas itu.

Selepas jam 8.45 malam, saya mula berfikir semula tentang sarkas yang dimaksudkan oleh P. Ramlee itu. Saya menguntum senyum sambil ketawa kecil.

Kenapa sarkas?

Perkiraan saya mudah sahaja iaitu, di dalam pertunjukkan sarkas ramai manusia yang menjadi mangsa tipu oleh kebijaksanaan binatang seperti monyet, gajah, harimau, singa, burung, babi, anjing, biawak, serigala, tupai, siamang, kera, ungka, buaya, ular, kura-kura, arnab, tikus, dan sang badut. Bayangkan apa yang akan terjadi jika sekelip mata manusia terpesona dengan gelagat binatang yang dipertontonkan. Ada yang bertepuk tangan, ada yang ketawa, ada yang menjerit, ada yang tergamam, ada yang tersengih, ada yang berfikir dan tidak kurang juga ada yang terharu. Nah, begitu jugalah saya melihat siasah politik hari ini.

"Rakyat Malaysia sedang menonton pertunjukkan sarkas rupa-rupanya," getus hati kecil saya.

Selamat berada di alam sarkas selepas nasib Bahasa Melayu dan nasib bangsa Melayu diperjudikan oleh binatang-binatang yang sedang bebas berkeliaran di dalam sangkar emas.

Isnin, 2 Februari 2009

SENJA YANG MEMBUNGKAMKAN


i
Seperti selalu, sewaktu pulang dari pejabat saya akan pastikan radio di kereta hanya memutarkan alunan merdu suara Syeikh Abdul Rahman Al-Saudis sahaja. Merdu suaranya mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sering mendekatkan saya dengan masjidil Haram di Mekah. Sehingga kini, mendengar sahaja kemerduan suaranya akan segera menghantar ingatan saya ke subuh yang bening di tanah suci. Atas ingatan yang terlalu menyentuh itu, saya tidak pernah jemu mendengar kemerduan suaranya. Saya kini menjadi manusia tegar yang rindukan nyaring gemersik suaranya.

Hari ini selepas tiga tahun berlalu, saya masih rindukan suasana itu. Rindu berjalan hampir 1 km pada setiap jelun subuh dari hotel di persekitaran Masjid Kuching ke masjidilharam adalah waktu yang menghairahkan. Saat itu, jam 3 pagi seperti hari-hari biasa yang menusuk kalbu. Mahaindah kenangan detik itu.

Mendengar sahaja kemerduan bacaan ayat-ayat suci itu, saya terasa erat dalam dakapan. Kapankah semuanya akan berulang kembali? Rupa-rupanya, tanpa saya sedari, saya sedang dimabuki rindu sebuah cinta yang tidak terbahasakan.

ii.
Semalam seorang teman dari Pekanbaru, Indonesia mengsms saya. Bicaranya pendek tetapi jelas sekali. Katanya, "salam rindu dari tanah perca. kapankah akan tamatnya agenda PPSMI itu?"

Saya tidak segera menjawab kerana saya baharu sahaja siang tadi diingatkan oleh Dekan supaya jangan terlibat dalam sebarang rusuhan PPSMI. Ingatan itu meski tidak dalam bentuk bertulis atau rasmi, tetapi pesanan daripada talian telefon itu sudah cukup mengjengkel hati nurani saya. Resah itu sentiasa meronta-ronta. Kadang-kadang seperti rusuk sang serigala lapar yang terkurung dalam sangkar emas.

Saya sebenarnya juga sudah letih menelan air liur demi air liur sebagai tanda menelan ditelan mati emak diluah mati bapa. Terasa juga berdiri; kaki kanan di syurga dan kaki kiri di neraka. Atau setidak-tidaknya juga terasa seperti berada dalam sebuah gua rusuh yang sepi.

Saya membalas sms rakan itu dengan beberapa perkataan yang romantis tetapi sedikit puitis. Saya menulis,...

malam itu hanya aku berdua
aku dan resah
memanjat bulan
memetik bintang.

Moga sahabat saya faham apa yang saya kirimkan kepadanya.