Khamis, 25 September 2008

KETAKUTAN YANG MENGGILA

Syukur Allahamdulillah kerana selepas 25 ramadhan, Allah masih menganugerahkan kesihatan yang baik kepada diri saya untuk terus melihat dan membaca. Rutin kerja yang mendesak - seakan sedikit tidak mengizinkan saya untuk aktif dalam blog ini. Bukan itu sahaja, ada beberapa faktor lain juga yang mengekang fikiran ini untuk dikongsikan.

Semalam, sewaktu duduk bersila mendengar tazkiran tarawikh, ada sesuatu yang menyentuh; kata ustad yang memetik ayat az-Zariat:56-58 bermaksud;

"dan Aku (aalah) tidak menciptakan jin dan manusia hanyalah untuk berbakti sahaja kepadaku. Aku (Allah) tidak ingin daripada mereka sedikit pun rezeki atau kepuasan hidup, dan aku tidak ingin agar mereka memberi aku (Allah) makanan. Sesungguhnya Allah, Dialah pemberi rezeki dan Maha Mempunyai kekuatan yang Perkasa."

Ustad bercerita panjang lebar tentang nasib bangsa dan pemerintah hari ini yang terlalu angkuh, bongkak dan sombong. Mereka seperti menjadi penentu kepada rezeki manusia di muka bumi Allah ini. Kesombongan dan keangkuhan itu dicanang di seluruh media perdana bahawa negara dan manusia di negara ini seolah-olah akan mati kelaparan, ekonomi akan menjadi lumpuh, rakyat akan merusuh sekirannya berada di bawah kepimpinan orang lain.

Inilah sebuah ketakutan yang menggila. Budaya ini sedang meresap di dalam seluruh sanubari dan fikiran penguasa kepimpinan negara. Mereka tidak sedar bahawa semua nikmat itu adalah pinjaman yang bersifat sementara. Beberapa pertanyaan berjungkir balik dalam fikiran saya. Adakah kepimpinan kita tidak sedar akan perihal maksud ayat-ayat mukjizat itu? Atau mereka sedar tetapi mereka sengaja ingin mencabar kudrat dan iradah Illahi? Atau apa? Bagi percaturan minda saya yang dangkal dan mudah
ini ialah mereka tidak pernah belajar dan cuba mengerti. Saya juga berdoa agar mereka cepat memahami bahawa kuasa dan pemberi rezeki itu berada dalam ketentuan Allah.

Pulang daripada surau saya segera mengambil kitab Minhajul Abidin Karya Imam Abi Hamid Mohammad Al-Ghazali dan diterjemahkan oleh Haji Engku Ali Engku Endut. Kitab ini saya beli minggu lepas di PekanBuku UM bersama-sama Rahimidin Zahari. Saya segera menyelak laman kandungan sambil mencari sesuatu yang terhukum di kalbu. Mata saya terhenti kepada tajuk 'Hawa Nafsu Musuh Paling Merbahaya'. Apa yang saya simpulkan daripada bacaan itu ialah; sesungguhnya nafsu itu musuh paling merbahaya, bala yang paling sukar dihindarkan, rawatannya sesuatu paling payah untuk sembuih, penyakitnya paling sukar untuk dirawati dan ubatnya amat rumit untuk ditemui. sesungguhnya juga bahawa hanya waspada sahaja benteng paling baik untuk diamalkan.

Nah, kerana nafuslah manusia hari ini menjadi gila. Pemikiran mereka terkeluar daripada norma manusia biasa. Bagi mereka, kuasa seperti cinta yang sukar dilepaskan; kuasa seperti rindu yang terhukum dan kuasa adalah segala-galanya. Cara mereka berfikir seperti cara kancil berfikir; cara mereka bercakap seperti harimau mengaum; cara mereka berjalan seperti gajah melangkah; cara mereka melihat seperti helang di angkasa dan cara mereka makan seperti anjing melapah bangkai. Perkiraan nafsulah menyebabkan mereka berperilaku sedemikian.

Saya berkira-kira lagi dengan kelemahan diri sendiri, wajarkah dengan menurunkan harga minyak 10 sen itu akan dapat memenangi hati rakyat setelah kerakusan bermaharajalela dan menggila? Bukankah sewaktu berada di dalam bulan mulia ini, kita sewajibnya bermuhasabah diri.

Cukup-cukuplah dengan apa yang sedang dan sudah dinikmati selama ini. Apa kiranya sama-sama kita merenung nasib rakyat miskin yang mungkin tidak dapat menikmati makna aidilfitri secara sepenuhnya. Bertanyalah juga kepada rakyat yang menderita, sudahkah mereka memaafkan kita yang sering bertindak mengikut nafsu dan bukan perkiraan akal budi?

Justeru, sempena lebaran yang kian berkunjung ini, marilah sama-sama kita renung kembali perjalanan hidup masa lalu sambil berfikir adakah kita disenangi oleh rakan taulan, sanak saudara mahupun rakyat jelata?

Saya berdoa agar pada lebaran kali ini, para pemimpin parti yang beragama Islam akan dapat mengimarahkan budaya kunjung mengunjung ke rumah sambil bermaaf-maafan. Budaya kunjungan ini bukan bermakna budaya memancing atau meraih simpati untuk melompat parti.

Inilah yang saya khuatiri berlaku, iaitu orang UMNO tidak akan berkunjung ke rumah orang PAS atau PKR, begitu juga orang PAS dan PKR tidak boleh berkunjung ke rumah orang UMNO kerana takut proses melobi lompat parti akan berlaku. Jika hal ini disalah anggap, makanya tiada maknanya media kerajaan melaungkan semangat muhibah kunjung mengunjung itu.

Lalu inilah yang saya namakan 'KETAKUATAN YANG MENGGILA' oleh kerana nafsu.

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempataan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN kepada pengunjung blog 'Tanah Nurani' ini. Mengertilah bahawa jarak antara kita akrabnya selapis cahaya.

Salam marfirah.



Khamis, 18 September 2008

SALAM PUISI

Syukur, sekian lama saya tidak dapat menukilkan fitrah yang Allah kurniakan, dua hari lepas saya dapat memesrainya kembali. Inilah puisi pertama sepanjang tahun 2008. Amin.

SEKUNTUM MAWAR DI JAMBANGAN SYAWAL
(Percakapan Kepada Seorang Kekasih VI)

Harum mawar yang mengikat sayap ramadhan
mengejut khusyuk iktikaf malamku
sepasang sepi yang menari di hujung hari
datang dan menyapa
mengusap-usap ubunku
sambil meminta aku mengaminkan;
”Ya Rabb,
berikan aku waktu untuk memudiki
sungai nikmat dan hidayah
aku mimpikan muara bahagia.”

Sepuluh malam terakhir begini
kesyahduan syawal seperti lintah yang menyedut
alunan lebaran saling bertingkah
antara rengek anak-anak dan resah menggugah
aku memilih sebuah kesunyian.

Kubaca waktu yang memanjat tiang hari
seperti subuh yang menerangkan tabir waktu
kubaca peribadi yang sepi dalam diri
seperti terang yang bersinar di langit matahari
kubaca keindahan yang terbentang di dada malam
seperti lailatulqadar menanti kunjungan
kubaca semuanya demi untukmu
sepasang cinta dari taksub insani.

Di juzuk kampung tradisi
kudengar bisik juwitaku
mengutus setanggi doa
sebelum pulang dan
meninggalkan seberkas nama.


SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Selasa, 16 September 2008

API DALAM SEKAM

SEPERTI ada sesuatu yang mendesak dan meronta di dalam diri. Saya perlahan-lahan melabuhkan tubuh di atas sofa rotan buatan tempatan. Berbaring kemudian duduk semula. Telinga saya menangkap bait-bait suara yang keluar daripada corong suara televisyen- Berita Perdana. Mata yang sedikit lesu saya gagahkan juga untuk menatap gambar-gambar tokoh politik Melayu yang berulang tayang dengan dialog bahasa Inggerisnya yang tergagap-gagap.

Saya teringatkan puisi Tongkat Warang yang antara lain berbunyi; 'siakap senohong gelama ikan duri; bercakap bohong lama-lama menjadi menteri'. Bait-bait itu berulang tayang dalam fikiran sewaktu saya mendengar pertuturan para politikus tanah air yang bercakap bahasa inggeris sekerat dan bahasa Melayu sekerat. Malah saat itu juga saya memikirkan apakah tanggapan orang luar yang berkunjung ke negara kita ketika menonton siaran tv kita. Mungkin mereka memikirkan inikah bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Tapi anehnya kenapa menteri aja yang bercakap begitu tidak rakyat jelata; setidak-tidaknya macam saya yang tahu asal usul dan perlembagaan bangsa dan bahasanya.

Haipokrit sungguh mereka ini? Kita amanahkan mereka untuk mempertahankan nasib bangsa dan bahasa tetapi mereka pula yang melacurkannya. Jika mereka benar-benar ingin berpegang kepada prinsip perpaduan, kenapa tidak dalam satu-satu masa ketika muncul di tv itu, mereka bercakaplah dengan sekerat bahasa inggeris, sekerat bahasa Melayu, sekerat bahasa cina dan sekerat bahasa tamil. Nah, baharu betul berbahasa dalam konsep perpaduan!

Hari ini 16 September; makanya hari bersejarah kepada negara bernama Malaysia ialah Hari Pembentukan Negara Malaysia. Ini bermakna juga bahawa kita sepatutnya sudah mempunyai nilai-nilai jati diri sendiri dan memiliki nilai-nilai sepunya. Tanpa ada rasa ras dan perkauman kita sekurang-kurangnya telah berjaya berada di puncak. Tapi bagaimana nasib negara kita hari ini? Saya mula merasai banyak kebimbangan dan kemungkinan lain yang tidak terfikirkan boleh berlaku.

Justeru, bertanyalah kepada diri kita sendiri, adakah dalam kehidupan ini falsafah 'api dalam sekam' dan 'gunting dalam lipatan' masih hidup atau telah mati?

Hari ini sahaja ada 2 orang tokoh penting negara disaran oleh rakan-rakan seperjungan mereka untuk meletakkan jawatan. Saya tidak dapat bayangkan apabila orang yang sama-sama cuba membangunkan negara Malaysia tiba-tiba bercakaran sesama sendiri. Percakaran mereka bukan seperti percakaran harimau atau kucing. Percakaran mereka penuh dengan satira dan madah seloka dan media menjadi pengantara.

Nah, inilah sebuah kehidupan yang terpaksa saya lalui meski pahit untuk ditelan. Dalam kesempatan ini, izinkan saya melepaskan keluh yang rusuh, "kepada siapakah lagi yang ingin saya sandarkan harapan untuk menikmati makna bahagia dan berkasih sayang?"

Saya bangun daripada sofa rotan, mengambil kopiah kemudian menuju pintu. Saya perlu segera menuju surau untuk mengerjakan solat isyak, tarawikh dan witir. Saya tinggalkan percakaran antara dua politikus negara di kaca tv. Saya tinggalkan mereka semua dengan doa supaya mereka diberikan hidayah dan patut mengambil ikhtibat daripada pandangan Abu Zahar tentang UMNO perlu perpegang kepada perlembagaan parti bukan berpegang kepada prinsip perut dan tamak kuasa.

Jumaat, 12 September 2008

TERPERANJAT ATAU KETAKUTAN...


Tajuk dua akhbar perdana hari ini menggemparkan. Demikianlah apabila PM menyatakan keterkejutannya apabila orang kanannya seperti menikam dari belakang (bukan main belakang). Inilah sandiwara politik tanah air yang memungkinkan rakyat kian muak dan loya. Apakah yang dicari atau dikejar oleh kepimpinan negara hari ini? Saya sering tertanya atau sesekali mencari-cari jawapan daripada banyak pertanyaan yang tidak pernah terungkai.

Tanpa ingin mempersoalkan hala tuju dan gagasan perjuangan mereka, saya yang terlalu miskin 'ilmu dan permainan politik' ini mula takut dengan suasana masa depan dan angka 16 dalam fikrah september dan ramadhan. Mungkinkan pada malam mulia turunnya Al-Quran ke bumi Allah ini, dan juga tarikh keramat tertubuhnya Kerajaan Malaysia iaitu 16 Ramadhan dan 16 September ini kita akan berhadapan dengan sebuah gagasan baharu?

Sempena Ramadhan yang penuh barakah dan sewaktu kita berada dalam fasa ke-2 ramadhan iaitu fasa marfirah (keampunan), negara kita pula sedang berada dalam kemelut yang tidak saling memaafkan sesama insan atau saudara seIslam. Saya juga teringatkan kisah Perang Badar yang berlaku pada bulan ramadhan dan banyak lagi kisah perang dan pembunuhan yang terjadi dalam sejarah tamadun Islam.

Nah, adakah hari ini, kita sedang/ akan berhadapan dengan perang politik atau kuasa sempena mengimarahkan ramadhan yang mulia ini? Wajarkah peperangan kuasa itu berlaku dalam waktu yang tidak memungkinkan roh kemuliaan ramadhan yang penuh benih kasih sayang, kecintaan dan taubat? Apakah kita tidak melihat kesuburan ramadhan ini dalam fikrah dan bitara yang tulus?

Inilah yang dikatakan, apabila nafsu kuasa/ amarah menguasai diri, makanya seluruh kemuliaan dan kebaikan itu akan terkubur.

Saya teringatkan abah dan emak di kampung yang sentiasa berdoa untuk kedamaian, keharmonian dan kebahagiaan anak-anak mereka. Biaanya pada waktu-waktu ramadhan begini, emak dan abah tidak akan lekang daripada sejadahnya untuk menunaikan sebanyak solat sunat bagi mendapatkan tingkat marfirah yang tertinggi.

"Ya Rabb, perkenankan doa kedua-dua ibu bapaku dan ampunkan dosa mereka serta orang yang berpegang kepada tali iman dan syahadah-Mu. Ya Rabb, selamatkan tanah airku daripada mala petaka yang akan membinasakan keimanan dan ketakwaan. Ya Rabb, hanya kepada-Mu seluruh jiwa dan raga ini aku serahkan." Amin.

Selasa, 9 September 2008

KEMBALINYA SEORANG WIRA KE NEGERI ABADI


SALAM RAMADHAN.

Saya melayari blog rakan-rakan pejuang bahasa dan sastera juga rakan-rakan wartawan beberapa hari ini. Mereka banyak berkisah tentang kesedihan dan kehilangan wira Tokoh Kewartawanan Negara pada tanggal 4 September 2008. Syukur kerana tokoh ini bergelar Allahayarham pada malam penghulu hari iaitu hari jumaat dalam bulan ramadhan yang amat mulia ini. Kehilangan ini menjadi nokhtah dalam jungkir balik perjuangan seorang wartawan yang dapat melihat kanca politik tanah air sebelum merdeka hinggalah usia kemerdekaan negara kita menjangkau 51 tahun. Perjalanan negara sepanjang dan selama itu dikuburkan bersama-sama jasadnya. Pengalaman itu menjadi rahsia yang terus tersembunyi dalam lahad dan tanah. Dan, pengalaman itu didakap abadi tanpa ingin dikongsikan kepada kita yang masih hidup kerana mungkin (?) Allahyarham berfikiran bahawa nasib bangsa, bahasa dan agama telah jauh terpesong daripada jati diri dan fitrah Allah. Allayahraham membawa semuanya itu ke negeri abadi dengan rahsia yang sukar dimengertikan.

Demikianlah berakhirnya sebuah kehidupan pejuang bahasa dan sastera bangsa Melayu. Justeru Allahyarham bukan pejuang politik dan atau kuncu juak-juak penzalim bangsa dan bangsa, makanya jasad itu tidak disemadikan di Makam Pahlawan. Akhirnya, kita dan dunia dapat melihat satu bukti bahawa Allahyarham adalah wira yang disingkir kemudian dinafikan perjuangannya oleh pemimpin bangsanya sendiri.

Oleh itu, kita perlu menjadikan kisah ini ikhtibar kepada diri kita. Di mana dan bagaimanakah nasib akhir hayat kita nanti sebagai pejuang bangsa? Jika nama sebesar Tan Sri A. Samad Ismail pun telah dilupakan oleh sejarah, inikan pula nama kita yang hanya menjadi penyisip dalam sejarah bahasa dan bangsa yang kian keliru.

Saya melihat 'kerakuan' dan 'kezaliman' kian bermaharajalela. Kuasa telah menakhluki kebijaksanaan. Dan kebitaraan telah mati dalam diri kuasa orang Melayu. Inilah yang dikatakan Allahyarham 'Jika kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam'. Falsafah ini mengingatkan saya bahawa orang yang tiada kail hari ini pun sanggup mengukur lautan demi kuasa yang ada pada mereka.

Sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. AL-FATIHAH.

Khamis, 4 September 2008

NASIB SEKOLAH PONDOK, SRJK (C), SRJK (T) dan BAHASA MELAYU

MENGAPA ISU INI YANG SAYA PILIH DALAM ENTRI KALI INI?

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan -keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

(surah ar-Rum, ayat 22)
Ayat ini boleh diterjemah ke dalam bahasa Inggeris begini;

And among His Signs is the creation of the heavens and the earth, and the difference of your languages and colours. Verily, in that are indeed signs for men of sound knowledge.

Saya mulakan bicara muhasabah pagi ini dengan isu tanah untuk SRJK (C) di Perak.

Melihat tindakan MB Perak memberikan seluas 400 hektar tanah kepada kaum cina untuk pembinaan sekolah jenis kebangsaan/ menengah (C), makanya semua orang Melayu berpencak silat khususnya Pemuda UMNO Perak. Tahniah saya ucapkan kepada kumpulan manusia Melayu ini yang amat perihatin terhadap perjuangan bangsa dan agama ini. Inilah sikap yang amat mulia apabila melihat perkara-perkata yang 'tidak adil' daripada kaca mata masing-masing itu berlaku. Saya menyatakan sokongan terhadap protes itu kerana saya melihat tindakan itu tidak menyokong bangsa dan agama saya.

Tetapi setelah saya fikir dan mendalami tindakan MB Perak itu, mungkin inilah yang dikatakan strategi politik. Kenapa saya berpendirian begini?

Bukankah kerajaan yang diterajui UMNO telah mengHARAMkan sekolah pondok dan sekolah agama kerana dikatakan berunsur subsersif, teroris dan menyediakan generasi yang dikatakan akan memusnahkan konsep perpaduaan kepada negara. Tindakan pengharaman ini pernah dilakukan oleh mantan perdana menteri sewaktu waktu dahulu. Oleh itu, wajarkah sekolah agama/ pondok di negara kita ini diperbanyakkan sekirannya sekolah itu nanti tidak akan mendapat dana secukupnya dan akhirnya diWAJIBkan supaya ditutup?

Seperti yang kita sedia maklum bahawa penyediaan atau pengurusan sekolah memerlukan dana yang tinggi untuk beroperasi. Apa akan terjadi sekirannya sebuah sekolah yang dibina tidak mempunyai kemudahan asas yang mencukupi? Tentunya sekolah itu tidak akan dapat beroperasi secara teratur dan lancar.

Nah, pada hari ini siapakah yang sanggup membantu pembinaan sekolah-sekolah pondok di negara kita dalam suasana politik negara yang kacau bilau hari ini? Bertanyalah kepada diri sendiri UMNO, PAS atau PKR?

Saya berpandangan bahawa sistem pendidikan negara pada hari ini menjari celaru apabila dipolitikkan. Nasib dan malang yang menimpa adalah kepada rakyat yang tidak berdosa.

Saya amat berterima kasih kepada Menteri Pelajaran iaitu Dato' Sri Hishamuddin apabila sanggup meluhurkan diri duduk semeja dengan MB Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Aziz untuk membantu menaik taraf sistem pendidikan pondok/ agama di Kelantan. Inilah contoh yang sepatutnya terus berkembang dan disebarluaskan.

Berbalik kepada tindakan MB Perak pula, mungkin dia berfikiran begitu untuk melihat darah perjuangan orang Melayu Perak. Adakah orang Melayu Perak masih punya rasa tanggungjawab terhadap agama dan bangsa? Masihkan orang Melayu Perak sedar akan bagaimana nasib sekolah-sekolah pondok yang suatu waktu dahulu hebat di Semanggol atau lain-lainnya itu? Mereka lihat atau tidak akan bangunan-bangunan dan kemudahan sekolah pondok itu atau sekolah itu masih wujud atau telah lama berkubur?

Jika mereka melihat dengan mata akal dan mata keimanan, tentunya akan berdetik di dalam hati mereka dengan persoalan, "mengapa begini keadaan nasib sekolah pondok di negara aku?".

Seandainya kesedaran ini yang muncul atau timbul dalam diri orang Perak, maka mereka akan mendesak supaya kerajaan negeri mengambil langkah segera untuk membantu, meningkat dan menaiktarafkan sekolah-sekolah agama ini. Alasan yang paling waras ialah; SEGERAKAN BANTUAN KEPADA SEKOLAH AGAMA RAKYAT/ PONDOK DI PERAK setelah kerajaan negeri membantu sistem pendidikan dan pembangunan SRJK (C)/ (T).

Sebagai rakyat yang majoritinya Melayu, orang PERAK boleh menuntut lebih baik daripada itu. Jika bangsa Cina mendapat 400 hektar, orang Melayu boleh minta 1000 hektar. Orang Melayu Perak boleh minta dibinakan sebuah sekolah agama/ pondok paling canggih di dunia. Jika kerajaan negeri Selangor sanggup menyediakan ladang kinzir seluar 100 ekar, mengapa tidak kerajaan Perak yang diterajui Melayu-PAS tidak sanggup mencipta rekod dunia dengan membina sekolah pondok yang paling bersistematik di dunia. Tentunya apabila orang Melayu Perak tidak kira UMNO atau PAS atau PKR segera mendesak MB Perak supaya berlaku adil, makanya usaha ke arah itu akan dilakukan.

Saya punya perkiraan yang berbeza, dan saya benar-benar bersyukur kerana dilahir, dibesarkan dan akhirnya menjadi anak Johor . Sistem pendidikan agama di Johor merupakan satu sistem yang terancang dan dikawal selia oleh kerajaan negeri juga ditakbir urus oleh UMNO sejak dulu lagi. Dan kerana kerajaan negeri Johor terlalu meletakkan perkiraan agama di tempat kedudukan pertama makanya UMNO masih dapat bertahan dan kuat di Johor. Hal ini tidak berlaku di negeri-negeri lain. Hari ini, saya difahamkan sistem itu telah diikuti oleh kerajaan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang mahupun Singapura dan Australia.

Inilah yang dikatakan permainan politik. Nasib yang sama juga sedang melanda istilah BAHASA MELAYU. Hari ini di bawah kuasa UMNO kita terpaksa mengguna pakai istilah BAHASA MALAYSIA. Siapakah yang membunuh penggunaan Bahasa Melayu kalau bukan pemimpin negara hari ini yang diterajui UMNO? Adakah penguatkuasaan istilah BAHASA MALAYSIA ini diarahkan oleh PAS, PKR, DAP, atau parti pembangkang luar negara?

Saya faham bahawa kita ingin membentuk konsep perpaduan dan kerukunan dalam hubungan kepelbagaian etnik. Saya juga yakin bahawa konsep intergriti amat penting dalam hubungan multibudaya. Tetapi, wajarkah kita mengorbangkan istilah induk/akar/jati diri/asli/tulen kepada kewujudan sesuatu bangsa yang menjadi majoriti kepada ketamadunan sebuah negara?

Hari ini, orang luar akan ketawa terbahak-bahak apabila mereka bertanya, "apakah bahasa rasmi negara anda?" Jawapan kita ialah, "bahasa Malaysia." Lalu mereka akan bertanya lagi, "maksud saya, bahasa pertuturan anda?" Lalu kita akan menjawab secara tersipu-sipu, "Bahasa Melayu." Orang luar itu akan tersenyum kambing sambil mengangguk tanda faham. Dan di dalam hati mereka akan berdetik, "kesian negara ni sebab tak tahu nak membezakan bahasa, bangsa dan negara..."

MAAF, ini hanya catatan peribadi yang terlalu sinikal sifatnya. Saya sudah berkira-kira bahawa nasib bangsa Melayu dan Bahasa Melayu akan bertambah walang sekiranya orang Melayu sendiri tidak bersatu hati dan tidak menyedari hak mereka sendiri. Ingin saya tegaskan bahawa perpaduan adalah satu konsep keamanan, kedamaian dan keharmonian. Untuk mencapai matlamat itu kita tidak perlu mengadai maruah, jati diri bahasa, bangsa dan agama kita.

Saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia kerana di sini saya dapat menikmati hidup yang bahagia. Tetapi saya sedih apabila melihat hak bahasa, bangsa dan agama saya dipersenda.

Salam 4 ramadhan 1429H

Selasa, 2 September 2008

TENTANG BAHASA MELAYU DAN BI

Salam Ramadhan kepada seluruh warga KPM,

Saya teruja untuk melontarkan sedikit pandangan meskipun pahit untuk ditelan. Izinkan saya bercakap kembali soal bahasa Melayu kerana beberapa hari ini, isu tentang bahasa Melayu khususnya tentang program PPSMI mula dibincangkan di meja bulat KPM. Malah isu ini turut terbawa-bawa ke meja di rumah saya juga ke meja warung kopi.

Saya hanya cuba menimbulkan beberapa pandangan sahaja dan tidak semestinya pandangan saya itu perlu dijawab. Atau, sekiranya jawapan itu telah sedia ada, makanya perkiraan saya ini boleh dibuang atau dilupakan sahaja.

i.
Mencari kesudahan ataupun keputusan yang dilakukan oleh kerajaan tidak semudah memetik jari. Hal ini kerana sekirannya jawapan yang diberikan tidak berpihak kepada mereka, makanya mereka akan berasa kehilangan maruah. Mereka menafikan hak patriotisme, akar jati diri dan konsep sebuah tamadun bangsa. Kerana 'maruah mereka', perasan rasa untuk memohon maaf tidak pernah terlintas dalam kotak fikir mereka meski mereka telah melakukan dosa yang amat besar kepada bangsa sendiri. Kajian para sarjana, budayawan dan sasterawan tempatan seakan tidak didengari. Lontaran idea mereka dikatakan berbahu hasutan. Adalah malang sekali, apabila orang yang memperjuangkan nasib bahasa Melayu itu dikatakan tidak mempunyai dan memahami konsep perpaduan nasional. Pejuang ini dikatakan juga tidak memiliki intergriti malah lebih teruk lagi apabila dikatakan ketinggalan zaman atau kolot. Siapakah yang tidak patriotisme sebenarnya?

ii.
Kejumudan percaya kepada bahasa Inggeris yang keterlaluan menyebabkan wujudkan pemikiran yang kolot. Para juak ini tidak pernah melihat sejarah bangsa Jepun, Perancis, Jerman, Korea, Sepanyol, China dan Arab. Jika mereka melihat pun sekadar memandang dengan mata kasar, bukannya dengan mata hati atau kalbu atau juga fikiran. Justeru diikat oleh momokkan bangsa Inggeris yang keterlaluan, mereka memikirkan adalah malang jika rakyat negara ini menolaknya.

iii.
Pertanyaan saya sebelum ini masih belum terjawab atau tiada jawapan daripada pihak KPM; persoalan saya ialah; APAKAH YANG SEDANG MELANDA KELEMAHAN P&P BI HARI INI? TEKNIK, PEMAHAMAN, TEORI, KONSEP, KOMUNIKASI ATAU APA?

Jawapan yang perlu dicari ialah menyelesaikan kepada pengertian istilah-istilah itu. Bukannya untuk mencari jawapan terbaik daripada permasalahan itu, lalu semua sistem yang sedia ada itu dimusnahkan.

iii.
Adakah sistem pendidikan negara pada era 60-an hingga 80-an itu gagal? Jika gagal kenapa tidak pernah dijelaskan kepada umum sedangkan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan pada era itulah yang dapat melahirkan ribuan saintis juga bijak pandai dalam pelbagai bidang. Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM dan lain-lainnya itu bukankah telah berjaya melahirkan ramai bijak pandai Melayu Islam.

Inilah yang dikatakan kerana marahkan seekor nyamuk habis kelambu dibakar.

Kita sebenarnya tidak berjiwa merdeka. Kerana itulah kita lebih sanggup menjadi bangsa yang mengikut. Kita selesa menjadi bangsa yang menumpang dan mengapu.

Oleh itu, dal;am bulan yang serba mulia ini, saya ingin mengingatkan diri saya bahawa perjuangan mendaulatkan bahasa sebenarnya telah sedia ada dan termaktub dalam akta Perlembagaan 152 juga dalam seluruh prinsip kerja 'Akta Pelajaran'. Jika kita sendiri yang tidak menghormati prinsip kerja itu, apatah lagi bangsa lain yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap bahasa Melayu. Tentunya, dengan sikap yang tidak patriotisme ini kita akan berhadapan dengan agenda lain yang mengelirukan. Oleh itu, sama-samalah kita menjernihkan kembali cara berfikir dan bebrtindak kita supaya yang kejar akan dapat dan yang sedang dikendong ini tidak keciciran.

Selamat mengimarahkan ramadhan al-mubarak. Moga amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Amin.