Isnin, 25 Januari 2010

MENYUSUR ARUS DIRI


HAMPIR 12 hari saya tidak menukang di dalam blog ini. Tanpa rasa kecil hati atau merajuk diri atau sedang membuka perniagaan lain, sesungguhnya saya menyepi kerana sedikit sibuk dengan urusan mengejar duniawi. Begitu pun dalam kesibukan yang di luar jangka itu, saya masih sempat ke IPG Kampus Perempuan Melayu Malaka pada hari jumaat (22/01/10) memenuhi undangan DBP. Saya sempat mendiskusikan kumpulan puisi Haji Borhan Md. Zain berjudul Simbiosis (2009) di sana dengan kertas bertajuk "Menyaring Rasa Insaniah dalam Kumpulan Puisi Simbiosis". Pada malamnya pula saya di bawa oleh Sdr. Rusdi Abd. Rahman dan Mohd Jusof Majid (DBP) serta Najmi Yaakob (BH) untuk menghadiri majlis Hadiah Sastera Melaka.

Syukur kerana selama 2 hari di Melaka, saya sempat duduk semeja bersama-sama sasterawan Melaka seperti Mokhtar Yassin, Muhamad Mursid, Aladin Mohammad, Samad Buang dan lain-lain. Mungklin pertemuan ini dapat mengeratkan kembali hubungan saya dengan penulis Melaka. Tetapi lebih daripada itu ialah saya dapat melihat mereka dan mereka dapat melihat saya yang masih sihat walafiat.

Saya terus pulang ke kampung halaman untuk menemui kedua ibubapa saya yang sihat-sihat orang tua. Ayah sedikit segar sementara ibu masih macam dulu yang sekejap kebah dan sekejap sihat. Kepulangan saya memberikan mereka sedikit kegembiraan dan kebahagiaan. Begitulah emak dan ayah yang selalu merindui suasana keriuhan dan jerit tawa anak cucu. Dari jauh dan dalam hati, saya sering membaca tafsir akan semua gerak geri itu. Raut muka emak ayah, saya renung dalam pada setiap kali dia melihat melayan kerenah cucu-cucunya. Saya menelan pengalaman itu meski kadang-kadang terasa kelat dan sukar ditelan.

Entahlah, sejak dua menjak ini, ingatan saya kepada kampung halaman dan amat tegar bermain dalam fikiran. Dan sebelum melangkah memasuki kereta untuk pulang, ayah sempat meninggalkan pesan, "jangan tinggal solat dan cari guru mengaji. Abah tengok kau ni dah jauh berjalan tapi amalnya entah ke mana. Bekalan kau tak cukup lagi."

Saya tersentak mendengar kata-kata itu. Saya menurunkan cermin sisi tingkap kereta, merenungnya sambil berkata, "abahkan doakanlah yang terbaik untuk anak abah ni." Enjin kereta Citra merah, saya hidupkan. Suara anak-anak riuh dengan jeritan, "bye bye atuk, bye bye nenek," bertali arus di perkarangan rumah.

Sepanjang perjalanan menuju Kuala Lumpur, saya tidak bercakap banyak dengan isteri dan anak-anak. Fikiran saya seperti sebuah panggung wayang yang sedang merenung kembali cerita kehidupan masa lalu. Tetapi apa yang pasti, saya sedang dibayangi dan dikejar oleh kata-kata ayah, "Bekalan kau tak cukup lagi."

Perlukah saya melarikan diri daripada kata-kata ayah itu?

MENYUSUR ARUS DIRI

Seperti Iqbal mencari dirinya begitu jugalah diriku yang lemas di sungai fitrah kutemui dendam saat mencari cinta kutemui kesal saat menekuni rindu.

Akulah perahu di sungai hayat-Mu
mengarusi kesementaraan nafas dengan takdir dan kudrat diri seperti al-Ghazali mempersiap diri seperti Rumi menganyam insani sedang aku menagih jiwa lapar rohani.

Menyusur arus diri
menuju hentian abadi aku mencari Kau wahai Yang Satu mencari rahsia dalam wujud-Mu mencari penawar sihir kudrat-Mu atas janji kasihku.

Kepada-Mu
Duhai Kau yang menguasai zahir dan batinku, perjalananku di sungai diri dekatkan dengan takwa-Mu luruskan dengan rahmat-Mu sebelum berlabuh di perhentian hayat.

Akulah perahu di arus diri menyusur muara kasih Ilahi saat menuju negeri maknawi.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.



Khamis, 14 Januari 2010

MELAWAT SDR. AMIRULFAKIR DI HUKM

SALAM sahabat sastera.

Semalam petang, saya, En. Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali, M. Jusuf Majid dan Luqman Hakim sempat menghabiskan waktu hampir satu jam di wad MAKNA (pesakit kanser) di HUKM. Berita yang kami terima daripada SM Zakir, tentang kesihatan Amirulfakir yang mula melalui rawatan kemo itu menyebabkan kami kemudiannya terus merancang untuk segera melawat sdr Amirulfakir.

Iya, kesihatannya agak berat dalam timbang tara ukuran saya. Pengesahan kanser di bahagian belakang mata kanan menyebakan urat saraf untuk saluran makanan menjadi sempit. Ini menyebabkan dia kini sukar menelan makanan/ minuman. Malah katanya, nikmat lidahnya juga hampir tidak dapat menentukan keenakan makanan. Menurut isterinya, dia mungkin akan melalui lebih daripada 10 kali rawatan kemo.

Begitupun, secara peribadi; dia amat gembira akan kunjungan kami. Dia masih rancak bercerita dan berseloroh walaupun pendengaran kanannya hampir tidak berfungsi dan kelopak mata kanannya juga tertutup.

Hampir jam 7 petang, kami pulang dengan andaian-andaian cerita-ceriti pengalaman berhadapan dengan pesakit kanser sebelum ini. Moga Allah sentiasa merahmati kehidupannya.

Isnin, 11 Januari 2010

TENTANG KALIMAH "ALLAH" iii


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah


Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites
Alor Star Kedah


1) Ulasan/Hujah


i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.


vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.


ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.


x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.


xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.


2) Keputusan


i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

sumber : http://drasmadinet.blogspot.com/

Sabtu, 9 Januari 2010

TENTANG ISU KALIMAH 'ALLAH' ii




Tuan-tuan,

Inilah akibatnya jika kita melihat dengan nafsu amarah tidak mata insan kamil. Masalah pokok ialah ketauhidan kita yang diikat oleh ilmu yakin. Jika hakikat insan kamil mendasari fakulti ilmu dan hati budi, makanya kalimah ALLAH itu tidak akan tergugat. Politik dan siasah kepimpinan yg terlalu menyerah atas nama 'perpaduan' menyebabkan semuanya hancur. Kita perlu menghayati maksud al-Quran yang menjelaskan "agamaku agamaku; agama kamu agama kamu." Maksudnya anutan pelbagai agama tidak salah, yang salah ialah perkongsian agama. Jika ini tidak ditentang, saya bimbang nanti masjid atau gereja akan memiliki fungsi yang sama, iaitu hari jumaat digunakan untuk solat jumaat dan hari ahad untuk org kristian bersembahyang. Jika hari ini kita sanggup menerima perkongsian kalimah ALLAH, maka tunggulah kehancuran seterusnya.


Persoalan PAS diperalatkan oleh DAP dan PKR; hal yg sama juga berlaku dalam BN yang sekarang ini kita lihat MIC, MCA dan Gerakan sedang memperalatkan UMNO. Sama ada PR atau BN, yang penting ialah bagaimana rasa insaniah dan ketauhidan terhadap kecintaan Allah boleh dijelmakan oleh mereka. Hari ini pun kita dapat lihat, mereka masih bermain tarik tali; macam bermain layang-layang. Ketakutan saya ialah Melayu-Islam akan kehilangan taring.


Saya sedang membaca buku 'Major Themes of the Quran' (terjemahan saya ialah 'Pesanan Agung Al-Quran'. Maaf jika saya salah terjemah sebab penguasaan BI saya tidak sehebat mana) karya Fazlur Rahman seorang profesor pemikiran Islam, Universiti Chicago. Dalam Bab 1 buku ini, dia menulis bahawa perkataan ALLAH disebut sebanyak 2500 kali di dalam al-Quran dan yang jelas sifatnya ialah kalimah ALLAH tidak boleh dikongsikan dengan agama-agama lain. Allah ialah ar-Rabb, Tuhan yang tidak menyerupai sesuatu yang baharu atau boleh dikongsi-kongsikan.

Maaf, saya bukan bijak pandai agama. Saya yang cetek ilmu tetap berprinsip bahawa Allah tidak menyerupai makhluknya kerana sifat-sifatnya yang ar-Rahman, ar-Rahim, Kamil dan maha Adil. Surah al-Ikhlas amat jelas menyokong pendapat ini.


Akhirnya, analogi saya tentang kepartian mudah sahaja, iaitu harapkan dacing, dacing berat sebelah; harapkan roket (jet), enjin jet dah kena curi; harapkan mata, mata dah lebam; harapkan bulan, sekurang-kurangnya bulan muncul di malam hari (atas takdir Allah, bulan tetap bersinar walaupun kelam). Setiap kali hujung bulan dapat gaji. Orang tak sebut pun hujung dacing atau hujung roket dapat gaji.


Saya dah loya bercakap tentang sekularisme, hedonisme, liberalisme, fundamentalisme, ekstrimis, atau kapitalisme. Rasanya lebih baik saya berfikir tentang 'alam roh' yg sedang menanti kehadiran saya.


Wauallahhuwalam, kerana inilah selemah-lemah iman saya (cakap lebih-lebih orang akan menebak siapa saya?; hendak bom sana bom ini, saya tidak punya wang untuk membeli kelengkapan itu). Akhirnya, saya hanya mampu berdoa dan mengakui bahawa inilah mutu iman saya - senipis kulit bawang (meminjam metafora allahyarham T. Alias Taib).


p/s: Tulisan ini juga saya masukkan ke dalam ruang komen blog En. Saleeh Rahamad.

Rabu, 6 Januari 2010

CERITA SEORANG YB


MALAM tadi saya menghabiskan masa hampir 3 jam menemankan rakan saya YB itu yang selamat pulang daripada mengerjakan indah haji. Sekitar jam 8.25 malam, dia menghubungi saya dengan harapan untuk berborak-borak dan berkisah tentang pengalamannya menjadi tetamu Allah yang lalu. Sebagai seorang rakan yang sukar menolak pelawaan, saya penuhi juga undangannya.

Kami bertemu di sebuah Bistro di bandar Sri Permaisuri, Cheras. Dia bersama-sama dengan setiausahanya sudah menunggu kehadiran saya. Ringkasanya, dia banyak membetulkan apa-apa yang saya nasihatkan kepadanya sebelum dia berangkat ke tanah suci. Katanya lagi, dia menjadi kacau-bilau apabila ustad yang bertindak sebagai mutawifnya hilang dalam kesesakan manusia ketika di depan Baitulullah, Mina, dan Mudzalifah. Ketika itu, katanya lagi, dia teringatkan akan nasihat saya supaya berguru sebelum pergi menunaikan ibadah haji. Dia juga menambah, mengerjakan haji bukan kerana hendak menunjuk seseorang itu banyak duit tetapi inilah yang dikatakan rukun Islam. Saya mendengar ceritanya dengan penuh jiwa sambil fikiran saya berputar seperti sedang menonton wayang. Kenangan saya ketika berada di tanah suci pada tahun 2005/2006 terimbau kembali.

Sedihnya, ketika rakan saya bercerita itu, tanpa saya sedari, di balik kesuraman cahaya malam; ada air matanya bergenangan dan suaranya seperti serak yang tertahan-tahan. Saya segera bertanya, "kenapa tiba-tiba kau sedih?"

"Aku teringatkan seorang lelaki tua yang meminta sedekah di bawah pohon kurma ketika aku di Tanaim (salah satu tempat berniat untuk berikhram umrah). Aku tersepak kakinya kemudiannya mengherdiknya. Beberapa saat kemudian. aku terjatuh ke dalam parit. Selepas itu, aku mencari-cari lelaki tua itu, tetapi dia dah tiada di bawah pokok kurma itu."

"Syukurlah sebab kau hanya jatuh ke dalam parit tidak dilanggar kereta." Jawab saya ringkas.

ii
Dia mendesak supaya saya memberikan pandangan tentang isu kalimah "Allah". Saya tidak menjawab untuk menuruti kehendaknya. Sebaliknya saya menjelaskan begini, "inilah nasib agama dan bangsa Melayu di tangan UMNO selepas rakyat memberi kepercayaan. Agenda 1Malaysia makin malang apabila membuka ruang kesamarataan. Peluang memberi pendapat, menuntut hak dan mendesak kian terbuka luas dengan slogan 'rakyat diutamakan'. Cuba kau fikir semula, adakah peluang yang terbuka sebegini berlaku di zaman Tun Razak dan Tun Mahathir? Cukuplah dengan kejayaan dan keberanian mencipta slogan dan gagasan tetapi impaknya memakan diri sediri. Kita jangan jadi pemimpin yang gila berslogan tanpa memikirkan kesan dan akibatnya." Jelas saya bersahaja.

"Habis tu kau nak berdiam diri aja?" dia mencatas kata-kata saya.

"Cuba kau cakap, kau nak aku buat apa? Membunuh? Letupkan bangunan? Berdemonstrasi? atau apa? Kau yang duduk di dalam kerajaan, maka kaulah yang fikir. Inilah yang berlaku apabila kita terlalu banyak memberi dan memuakan mereka. Aku ni rakyat biasa yang tak punya apa-apa. Kau lainlah...," Saya bersinis dan mengherdik.

iii
Saya melihat dirinya masih begitu. Cakapnya sedikit mendewa. Hampir jam 12, kami meninggalkan perkarangan Bistro selepas setiausaha sahabat saya itu membayar harga makanan kami. Kami bersalam kemudian berdakapan. Ketika itu dia sempat berbisik kepada saya, "aku akan pastikan kau dapat berkerja bersama-sama aku. Tunggu!"

Sepontan juga dan tanpa diduga idea daripada mana, saya membalasnya, "jangan harap!"

Dia merenung saya sambil melepaskan rengusnya. Saya menguntum senyum kemudian terbayang kerja-kerja PhD yang sedang menanti di rumah.

Isnin, 4 Januari 2010

SAYA TIDAK BERSETUJU KALIMAH "ALLAH" DIKONGSIKAN

SAYA TIDAK BERSETUJU KALIMAH "ALLAH" DIKONGSIKAN ATAU DIPOLITIKKAN. Ini pendirian saya. Sejak Jumaat, dengan berita kemenangan akhbar mingguan kristian, berita ini mula menjadi jihad kepada penganut agama Islam. Di mana-mana atau di dada akhbar mahupun majalah, jihad ini terlontar dengan idea-idea yang 'ikut sedap rasa' atau 'ikut sedap mulut' oleh individu mahupun pertubuhan tertentu yang melobikan diri mereka pejuang Islam.

PM masih berlapik dan akan menghadap DYMM agung. Sementara Tuan Guru Nik Aziz telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah tinggi. Malah saya turut menerima sms daripada teman-teman supaya turut sama berjihad menentang keputusan ini.

Saya teringat bagaimana kes murtad yang berlaku di negara kita suatu waktu dahulu. Ketika itu, hanya PAS dilihat memainkan peranannya berjuang dan mendesak akta/ undang-undang keluar agama dipinda. Sudahnya, senyap begitu sahaja. Kini, muncul pula kes istilah "kalimah Allah" yang boleh diguna pakai oleh mana-mana agama khususnya kristian.

Jika sebelum ini, ramai orang Melayu/ Islam yang masuk kristian, dan jika selepas ini perkara yang berkaitan dengan istilah "ALLAH" ini tidak boleh diselesaikan, makanya tidak ada bezanya antara kristian dengan Islam. Hal-hal yang berkaitan dengan kesyirikan ini perlu mendapat penjelasan segera.

Oleh itu, saya berharap agar UMNO, PAS dan PKR dapat duduk semeja untuk menyelesaikan masalah ini segera. Jika dalam akhbar Utusan Malaysia (4 Jan 2010) hari ini, Nik Aziz sanggup menjadi ahli panel bagi menyelesaikan segera masalah ini; ayuh, apa perlu ditunggu lagi! Segerakan jihad ini!

Perkara ini, bukan perkara kecil dan remeh. Syaikh Abdul Qadir al-Jailani di dalam bukunya "Menjadi Kekasih Allah" atau di dalam bahasa Arabnya "Al-Fathur Rabbabni Al Faidhlu Rahmani" menjelaskan bahawa tiada kompromi dalam hal-hal akidah dan keesaan Allah. Dalam halaman 7 buku ini, al-Ghazali menghuraikan ayat 4 daripada syurah al-Kahfi yang bermaksud, "Di sana pertolongan itu hanya daripada Allah yang hak." Kata al-Ghazali, siapakah Allah dalam diri kita? Allah Islamkah? Tuhan kristiankah? Tuhan Hindukah? Atau tuhan majusi? Oleh itu, engkau wajib bertakwa, janganlah mengikut hawa nafsu dan berkawan dengan orang yang jahat sebab hanya Allah sahaja yang boleh memberikan pertolongan."

Saya perturunkan petikan yang pendek ini, supaya kita sama-sama dapat berfikir akan konsep jihad Islam dalam erti kata selemah-lemah iman.

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera. Bersatulah penganut Islam tidak kira UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPPP atau parti di Sabah dan Sarawak yang mengamalkan Islam sebagai akidah hidup. Bersatulah kerana soal akidah bukan perkara yang boleh diperkotak-katikkan.

Salam jihad.

ii
AKULAH PENGEMIS ITU

Ya Rahman, Ya Rahim,
aku akan terus menjadi peminta-minta kepada-Mu
kerana di dalam rohku
ada kelaparan yang mendesak.

Ya Rahman, Rahim,
aku tidak akan berhenti meminta
kerana
di tangan-Mu ada rahmat yang memberi
di hati-Mu ada hidayah yang merestui
di langit-Mu ada cahaya yang menerangi.

Ya Rabb,
berikan aku seberkas terang
untuk kusuluh gelita ini.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.


Jumaat, 1 Januari 2010

KISAHKAN KEPADAKU TAHUN BAHARU SEKULAR INI


Saya menyambut tahun baru masihi yang sekular ini di perkarangan rumah PENA. Saya mendengar puisi-puisi indah daripada para penyair jemputan. Ada yang melepaskan geram seperti Khalid Saleh, ada yang meruntun cinta dan rindu kehadiran tahun baharu seperti Ahmad Fitri Yahya, ada yang bernostalgia penuh sinis seperti A. Samad Said dan pelbagai lagi luahan jiwa yang meruntun nurani. Di sudut lain, saya bersama-sama rakan yang lama tidak bersembang berkisah tentang kehidupan masa lalu. Indah dan meruntun rindu.
ii
Pagi 1 Jan 2010, saya mendengar berita bahawa Mahkamah Tinggi telah membenarkan kalimah suci 'ALLAH' digunapakai oleh akhbar Herald - The Catholic Weekly. Ah! saya merengus sendirian dalam perkiraan kejayaan setahun jaguh gagasan 1Malaysia. Bayangkan kalau gagasan 1Malaysia itu berusia 2, 3, 4, 5, 6, 7, atau 10 tahun jaguh nanti. Apa lagi yang akan berlaku terhadapa kesucian agama Islam dan bangsa Melayu? Tentunya lebih banyak yang akan hilang? Masakan tidak akan hilang, kerana gagasan ini bersifat kesamarataan dan perpaduan dalam erti kata terpaksa menggadai prinsip dan warisan.
iii
Saya melayari akhbar 'Harakah' yang sempat saya beli petang semalam. Membaca tajuk utamanya dengan falsafah '2009 Tahun Suram' benar-benar mencabar akal fikir saya. Saya membongkar kembali kenangan 2009 itu seperti menyelak helaian album peristiwa saya. Saya terbayang bagaimana rakus dan liciknya siasah kepartian politik Melayu. Saya terbayang kredibiliti SPRM, PDRM, dan Mahkamah. Terbayang wajah-wajah ketokohan Tun Mahathir, Najib, Tuan Guru Haji Nik Aziz, dan Anwar Ibrahim. Terbayang juga kisah kehilangan enjit jet F-5E, ketidakhadiran menteri di parlimen dan macam-macam lagi kehilangan yang tidak terbongkarkan.
Aduh, indahnya seloka dan gurindam peritiwa 2009 di negara saya bernama Malaysia!
iv.
Puisi Tahun Baharu 2010
Aku merenung gerhana bulan
di dadamu ada kerinduan yang terhukum
aku tafsir rindumu bulanku
seperti Iqbal membaca cintanya.
Lewat embun dinihari mencair di ubun-ubunku,
aku hulurkan tangan sambil mengutus doa,
"Ya Rabb, berikan bulan seluruh kekuatan
dan kembalikan gemerlap cahayanya."
Aku renung wajah bulan 2009
yang menghilang di balik langit peristiwa
aku dakap cahaya bulan 2010
yang tegar menganyam takwa
dan setia dengan tanda tanya.
SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
1 Januari 2010/ 15 Maharam 1431H