Rabu, 31 Disember 2008

PPSMI: NAKHODA BANGSA YANG KELIRU

MEMBACA tajuk-tajuk utama akhbar Melayu hari ini, rata-ratanya mengemukakan cerita keputusan PMR semalam. Yang paling menyakitkan hati ialah beriya-iya menjelaskan keputusan subjek sains dan matematik yang diajar dalam BI itu. Keputusan yang menunjukkan kejayaan dan keupayaan pelajar luar bandar dan bandar berdaya saing dalam dunia global. Laporan daripada Pengarah Pelajaran Malaysia dengan angkuhnya menyatakan bahawa pelajar kita lebih hebat daripada pelajar di England dan Australia. Tahniah KPM.

Apakah selepas ini PPSMI ini akan diteruskan setelah berjaya melalui cabaran awal? Sekiranya itu yang berlaku, apakah kaedah yang akan diguna pakai? Bagaimana pula dengan pelaksanaannya? Adakah tindakan ini mengembirakan banyak pihak atau menambahkan lagi luka dan derita bangsa?

Mungkin ada yang melihat hal ini kecil, remeh atau demi persaingan global. Tetapi bagaimana ukurannya dalam hal-hal roh, maruah dan jati diri bangsa?

Nampaknya slogan 'Malaysia Boleh' yang dicanangkan oleh pemimpin negara rupa-rupanya TIDAK BOLEH dilaksanakan dalam bidang ilmu dan pendidikan negara di Malaysia. 'Malaysia Boleh' hanya slogan sesuai untuk bidang kebudayaan, sukan, politik dan ekonomi sahaja. Akhirnya impian kerajaan untuk melihat nasib Bahasa Melayu terus layu di persada ilmu termakhbul juga. Sayang seribu kali sayang.

Terima kasih kerajaan Malaysia dan terima kasih UMNO kerana berjaya melunaskan impian untuk menguburkan Bahasa Melayu. Selepas ini, jangan lupa untuk menutup segera Dewan Bahasa dan Pustaka. Tutup juga akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Selepas itu, jangan lupa pinda perlembagaan perkara 152 dan 153 sekali. Tukarkan mana-mana istilah dan perkataan yang ada istilah Melayu kepada istilah Yahudi atau Inggeris. Kalau boleh, tukarkan juga nama bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa Inggeris.

Bukankah itu yang kerajaan kita inginkan? Apabila kita sudah hilang kepercayaan kepada kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermakna kerajaan juga tidak percaya kepada kekuatan bangsa Melayu.

Inilah balasan dan kepercayaan nakhoda bangsa yang kita pilih. Terima kasih nakhoda bangsa!

Selasa, 30 Disember 2008

SALAM MAAL HIJRAH: KELUAR DARIPADA KEPALSUAN DAN KERAKUSAN


Salam Maal Hijrah 1430H.


Saya tidak percaya kepada 'JANJI POLITIK' kerana janji itulah yang sering terjadi dalam setiap azam, impian dan cita-cita. 'Janji Politik' adalah janji gula-gula untuk menabur angan-angan dan impian muluk. Tetapi tertunaikan 'Janji Politik' itu pada setiap hujung tahun ketika kita membuat muhasabah diri perjalanan selama 365 hari yang lalu? Begitulah analogi yang indah-indah terhadap azam dan impian awal tahun yang tertanam di dalam diri kita. Semalam dan hari-hari sebelumnya sudah berlalu. Telah termaktub sebagai sejarah diri dan ditulis dalam kitab perjalanan masa lalu tanpa boleh dipadamkan kecuali berdoa supaya dosa-dosa masa lalu itu dipertimbangkan agar diampuni oleh Allah SWT.

Masa lalu adalah kenangan yang mengelirukan. Di dalamnya ada suka dan duka sebuah kembara yang dicacat pergerakannya pada saat jaga atau tidur. Demikianlah perjalanan masa lalu yang memungkinkan berat dosa mahupun berat pahala.

Maal Hijrah pula adalah perjalanan masa depan yang perlu ditempuh meski pahit kerana ketentuan qada dan qadar itu hanya Allah juga yang mahaketahui. Oleh itu, perjalanan bagaimanakah yang bakal menjadi pilihan kita? Adakah kita ingin berada di landasan lurus dan diredai Allah atau memilih berada di jalanan yang penuh berliku dan penuh pancaroba? Pilihan kembara ini ditentukan oleh iman dan nawaitu kita sendiri. Sekirannya kita mabuk dalam perjalanan itu dengan wang dan kebendaan, makanya sudah pasti kita sanggup mengadai apa juga harga diri dan maruah kita. Saat itu, rasuah, penipuan, godaan, hasutan dan pujuk rayu sentiasa menjadi ujian di sisi kita. Sudah bersediakah kita menepis semua kebobrokkan itu?

Sekirannya kita hanyut dalam dugaan hidup masa depan yang belum pasti itu; dan pada akhir tahun ketika bermusahab diri sekali lagi itu kita menyesali tindakan yang dipilih itu; makanya 'Janji Politik' itu menjadi satu kebenaran.

Begitu jugalah halnya dengan politik dan kepimpinan negara kita hari ini. Sepanjang tahun, negara kita diuji dengan dugaan dan kita melihat ujian itu sebagai satu lumrah hidup tanpa mengambil ikhtibar daripadanya. Inilah yang dikatakan 'Janji Politik' dalam hubungannya dengan 'Politik Wang' yang berlaku dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan kepimpinan negara kita.

Saya melihat kedua-duanya ini adalah pertembungan idealisme baharu yang kian menular dalam pemikiran masyarkat kita. 'Janji Politik' dan 'Politik Wang' dikatakan lumrah kehidupan bukannya satu jenayah yang perlu ditakuti, dicegah atau ditentang habis-habisan. Jika ini yang menjadi pilihan masyarakat hari ini, saya bimbang bencana dan musibah yang lebih besar daripada tanah runtuh akan melanda tanah air kita.

Selamat menikmati hari baharu dan meninggalkan kenangan lalu dengan rasa penuh insaf.

Rabu, 24 Disember 2008

APABILA TPM BERJANJI MEMPERKUKUH NASIB BANGSA MELAYU DAN GAPENA MULA BERTARING


Ada dua perkara yang sama hampir sama dan mungkin juga tidak sehaluan nakhoda dalam bahtera berbeza; satu negara dan satu lagi persatuan penulis. Bahtera negara tentunya sekarang ini sedang dinakhodai oleh TPM (Dato' Seri Najib), manakala bahtera GAPENA dinakhodai Ketua Satunya iaitu Tan Sri Ismail Hussin.

Dua hari lepas, GAPENA membuat kenyataan di Kelantan dalam majlis anjuran PPK-PUSPA tentang ingin mencabar kerajaan yang selama ini melakukan perkara yang salah iaitu mencabul perlembagaan Perkara 152. Tahniah Tan Sri kerana berani bersuara setelah diasak daripada segenap penjuru oleh persatuan penulis lain. Semalam pula TPM memberikan tiga strategi dalam usaha memartabadkan bangsa Melayu. Ucapannya di Melaka itu boleh disimpulkan begini;

Tiga aspek itu, kata Timbalan Perdana Menteri, "... adalah perlu sentiasa memperkukuhkan pertalian hubungan dan bebas daripada kegiatan ekstrem seperti keganasan, selain perlu mengelak memperlekeh bahasa Melayu dan tidak mudah melupakan asal usul atau akar umbi. "

Saya melihat usaha mengelak memperlekeh bahasa Melayu itu apa sebenarnya? Adakah ingin memansuhkan PPSMI atau sekadar janji politik yang tawar meski bergula-gula. Sedarkan TPM akan maksud tidak memperlekeh bahasa Melayu? Adakah maksud memperlekeh itu sama dengan menjual maruah, mengadai maruah, menjual bahasa, melacuri bahasa atau maksud TPM hanya masih berada dilapisan makna luaran iaitu berada pada lapisan makna mempersenda bahasa Melayu. Jika tafsirannya begitu, maka tidak salah bahasa Melayu itu boleh dianaktirikan seperti hari ini.

'Memperlekeh' dalam Kamus Dewan edisi keempat (hlm.911) bermaksud sikap mengambil mudah, senang atau tidak berdaya, lemah. Sejauh mana istilah ini sesuai diguna pakai dalam maksud perkaitannya dengan maruah bangsa dan tanah air?

Persoalan bahasa dan bangsa bukan persoalan pinggiran atau remeh. Hari ini, berapa ramaikah menteri-menteri kerajaan yang tidak boleh berfikir dalam bahasa Melayu apabila diwawancara oleh wartawan. Jawapan spontan mereka adalah dalam bahasa Inggeris yang entah apa-apa dan memalukan itu macam 'menggantungkan kain kotor di muka pintu', iaitu perbuatan yang cerdik tetapi memberi malu kepada diri sendiri.

Apabila GAPENA dan TPM seakan-akan sedar kesilapan masa lalu ini, saya berharap juga tindakan pemansuhannya itu disegerakan. Dengan kata lain yang lebih tepat ialah SEGERA MENGUBURKAN PPSMI itu. Berdolak dalih atau takut dengan seseorang bukan persoalan hari ini. Kenapa kita perlu takut dengan seseorang atau sentiasa dibayangi seseorang? Siapakah manusia yang kita takuti itu sedangkan orang itu tiada lagi dalam kepimpinan negara? Menolak dan menidakkan pemikirannya tidak bermakna kita tidak menghormatinya. Malah, adalah lebih baik sekirannya kita sama-sama dapat membetulkan kesilapan yang telah dilakukan oleh tokoh terdahulu.

Mudah-mudahan, dengan iringan doa restu orang Melayu yang berjumlah hampir 20 juta orang itu setelah ditolah orang Melayu yang separuh tiang (separuh dirinya Melayu separuh lagi dirinya lain-lain bangsa) maksudnya melayu yang lupa asal usul dan jati diri itu; impian untuk melihat maruah bahasa Melayu kembali ke darjatnya akan menjadi kenyataan.

SELAMAT MENGUBURKAN PPSMI, NEGARAKU.
Amin.


Jumaat, 19 Disember 2008

ANTI-PPSMI: ANTARA BPR, KPM DAN KEPIMPINAN


Syukur, atas rahmat dan limpah kurniaan-Nya, maka hari ini kita masih mampu menghirup udara dan kesegaran alam. Inilah nikmat Allah yang paling indah kerana apabila kita mencelikkan mata pagi ini, kita masih berpijak di bumi nyata. Bagaimana jika sebaliknya? Bangun dan terjaga - tiba-tiba dunia kita serba lain dengan tubuh dibaluti pakaian tanpa berjahit dan serba gelap dalam kamar yang maha sempit. Ya Allah, bagaimana perlu aku membalas nikmat hidup ini?

i
Pagi tadi ketika memandu untuk ke tempat kerja, telefon bimbit saya bergetar. Nombor tanpa nama (maknanya bukan rakan) kusambut dengan kalimah salam. Dia bertanya tentang blog saya dan kemudiannya tentang pertanyaan ini, "kau tak terfikir ke, mungkin PPSMI ini juga perlu melibatkan BPR. Aku rasa macam ada yang tak kena dengan KPM sekarang ini? Cuba kau tulis dalam blog kau. Aku tak pandai macam kau."

Dia menamatkan perbualan sambil meninggalkan teka-teki kepada diri saya. Pertama siapakah gerangan lelaki itu? Kedua, dari mana dia mendapat nombor telefon saya? Ketiga, kenapa saya?

Sesampai di pejabat, saya terfikir, "betul juga kata lelaki itu?" Tebak saya bermain-main dalam fikiran hingga sata terlupa untuk menjamah setitis air dan makanan pagi.

Bercakap tentang BPR, hati dan perasaan saya mula goyah. Banyak sebab kenapa saya berperasaan begitu. Antaranya, BPR ialah badan yang berkecuali dalam menentukan penyiasatan. Mereka boleh melakukan apa-apa sahaja sekiranya punya cukup bukti untuk bertindak. Tetapi tindakan itu mesti dilakukan setelah menerima laporan tuduhan. Nah, ini bermakna kerja BPR bukan kerja calang-calang anak.

Berbalik kepada persoalan PPSMI ini, siapakah yang akan membuat laporan itu dan laporan tuduhan itu atas kes apa? Pecah amanah? Penyelewengan? Politik Wang? Makan suap? Atau apa?

Saya terfikir juga, mungkin atas sebab-sebab berikut, kita boleh bawa perkara PPSMI ini ke mahkamah dan meminta BPR melakukan siasatannya. Perkara yang boleh disabitkan itu ialah;

1. KPM pecah amanah terhadah Akta Perlembagaan Perkara 152 dan 153
2. KPM menyelewengkan Penyata Razak
3. KPM melaksanakan PPSMI tanpa dibahaskan dalam Dewan Rakyat mahupun Dewan
Parlimen
4. Agenda Penghinaan terhadap Bahasa Melayu
5. Wujud unsur-unsur 'Politik Wang' dalam PPSMI
6. Atau macam-macam lagi bentuk tuduhan yang boleh kita sama-sama minta kerjasama BPR
untuk menyelesaikan masalah ini.

Saya berfikir, mungkin persoalan-persoalan inilah yang bermain-main dalam fikiran lelaki yang menelefon saya pagi tadi.

Oleh itu, kepada mana-mana pihak, khususnya peguam yang membaca tulisan ini, inilah perjuangan saudara untuk mengembalikan maruah bangsa dan bahasa kita. Saya tidak punya kepakaran dalam bidang perundangan makanya saya memerlukan rakan-rakan yang hebat dalam bidang ini untuk turun padang membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh kepimpinan kita hari ini.

Kepada rakan-rakan peguam, saya merayu kepada kepintaran anda untuk sama-sama berjuang. Dalam masa yang sama, saya berharap juga agar BPR pandang-pandang dan jengah-jengahlah kes PPSMI ini sama. Saya tidak/ bukan menuduh atau menabur fitnah tetapi saya bimbang akan nasib Bahasa Melayu di tangan kepimpinan UMNO yang sekarang ini dengar khabarnya sedang berhadapan dengan 400 tuduhan penyelewengan, pecah amanah, rasuah, politik wang dan macam-macam lagi. Itu yang saya dengar dan baca. Yang tidak saya dengar dan lihat atau diketahui, bagaimana pula?

Ya Rabb, selamatkan Bahasa Melayu dan bangsanya yang kini seakan tidak bersatu menentang kemungkaran-MU. Amin.


Rabu, 17 Disember 2008

BERITA YANG MENGELIRUKAN

Pagi-pagi menatap Berita Harian dengan tajuk utama '7 Pilihan PPSMI' benar-benar mencabar kesabaran saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertugas sebagai pendidik Bahasa Melayu. Ada beberapa kekeliruan yang saya fikir kerajaan khususnya KPM masih cuba berselindung. Kenyataan yang dihebahkan kepada rakyat itu saya kita seakan telah dimanipulasi.

Saya mulakan dengan pertanyaan, "kenapa 7 pilihan?". Keduanya, "siapakah yang akan mengundi untuk menentukan pilihan itu?" Ketiga, "kenapa tiada pilihan kelapan iaitu, memansuhkan PPSMI?"

Kenyataan KPM itu adalah gagasan yang bersifat 'duri dalam daging' dan 'gunting dalam lipatan' terhadap perjuangan bangsa dan orang Melayu dalam memartabkan bahasa Melayu. Secara tidak langsung, KPM telah menjadi pembunuh kepada sebuah tamadun bangsa yang tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatannya suatu waktu dahulu.

Akhirnya, terus terang saya katakan bahawa impian Wawasan 2020 yang digagaskan oleh Tun Mahathir itu akan berkubur juga akhirnya kerana kemajuan yang kita kecapi pada waktu itu tidak didokong oleh bahasa Melayu. Apa yang akan berlaku pada ketika itu ialah bahasa Inggeris dilihat berjaya mendominasi pemikiran orang Melayu. Bayangkan, bagaimana dan apa rupa bentuk yang berlaku sekirannya kemajuan yang dinikmati itu tidak diiringi dengan dengan kehebatan bahasa bangsa (Melayu) itu sendiri? Tentunya, kita akan berhadapan dengan satu bangsa baharu yang wajah Melayu tetapi jiwa dan rohnya menebal dengan etos barat waima yahudi yang sekular dan liberalisme.

Kita sedang berhadapan dengan pemimpin yang buta budaya dan buta ilmu. Malah, mereka juga 'bahlol' dalam melihat masa depan bangsa Melayu yang kian samar.

KACA DI DINDING KEPALSUAN

menatap wajahmu
di kaca dinding kepalsuan
bertukar menjadi jembalang
bertaring anjing bertelinga babi

kaca yang kau beri
pecah juga akhirnya
berderai di tanah mimpi

serpihan kaca yang berselerakan
menusuk kakiku
darahnya membuak
tak tertahankan.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.


Jumaat, 5 Disember 2008

MENGIMBAU AIDILADHA DAN MAAF ZAHIR BATIN


Selamat Hari Raya Aidiladha. Selamat mengimarahkan ibadah korban dan selamat kembali ke fitrah diri. Maaf zahir dan batin daripada saya.

ii.
Hari ini bersamaan 7 Zulhijah; saya teringatkan kisah lama saya ketika saya menjadi tetamu Allah di tanah suci pada tahun 2005-2006. 2 hari sebelum ke tanah Arafah, saya sudah merasai kerinduan yang amat mendalam untuk diterima sebagai tetamu Allah. Saya rindu tanah Mina, tanah Muzalifah, tanah Arafah yang akhirnya apabila tiba 8 Zulhijah saya mengambil keputusan untuk bermufarakah daripada rakan-rakan tabung haji (itupun setelah saya merujuk kepada ustad tabung haji dan beliau memaklumkan kepada saya sekiranya saya berupaya maka itulah sebaik-baiknya). Saya memilih untuk berjalan kaki setelah bertemu dengan seorang mahasiswa warga Johor di sana. Sebenarnya itulah yang harap-harapkan sebelum saya ke tanah suci sebab menurut ust Daud Che Ngah, alangkah baiknya jika kita dapat mengerjakan ibadah haji seperti mana cara rasulullah (Nabi Muhammad SAW). Baginda merentas padang pasir Mina-Arafah-Muzalifah-Mekah-Mina-Mekah selama tiga hari secara berjalan kaki. Saya amat bersyukur sekali; dengan ditemani mahasiswa itu, makanya semua rukun haji itu dapat saya lakukan sebagaimana fitrah rasullullah saw itu. Rasa terima kasih atas petunjuk dan hidayah itu amat bermakna dalam diri saya.

Saat berjalan kaki itu, rupa-rupanya saya dapat bergerak lebih pantas dan selesa tanpa merasai hal-hal yang berkaitan dengan kesesakan lalu lintas dan lapar dalam perjalanan. Perjalanan dari Mekah-Mina-Arafah memakan masa 5 jam dengan jarak 20 KM. Sepanjang perjalanan merentas padang pasir itu, banyak bekalan air zam-zam dan kurma yang diberi secara percuma. Bayangkan nikmat berjalan sambil zikir yang bergema oleh jutaan jemaah yang memilih untuk berjalan itu suasananya benar-benar syahdu. Setiap langkah adalah air mata dan keringat. Melihat kemudian membantu tanpa dipaksa jemaah yang sakit semuanya itu benar-benar meruntun kalbu.

Ya Allah, aku rindu saat itu
jemputlah sekali lagi atau berkali-kali
aku tidak akan marah
meski terpaksa aku abadi di sisi-Mu.

Ya Allah, ingin aku bertanya
kapankah rindu itu mampu kudakap
setelah pengalaman mengajar aku
mengenal insaf dan sabar.

iii
Saya akan mengingati saat-saat indah itu dan merinduinya. Saya ingin ke sana lagi.

Tanah Arafah
kau segugus ingatan yang tegar
memaknakan iman dan takwa

iv.
Rasa sebak mengimbau kenangan indah itu tidak mengizinkan saya menulis lagi saat ini. Air mata yang bergenang di kelopak mata hampir terlepas dari karangannya. Saya perlu berhenti di sini untuk menginsafi diri. Maaf, meski masih banyak lagi cerita yang belum dikisahkan.

Ya Rabb, ampunkan seluruh dosaku
aku rindu sebuah masa lalu
yang cukup mendekatkan kita.

v.
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Khamis, 4 Disember 2008

APABILA BLOG SAYA MENJADI LAMAN PERGADUHAN ORANG LAIN



Aneh dan ajaib. Saya menulis blog adalah untuk kepuasan saya sendiri. Malangnya 'ruang bicara' saya telah disalahgunakan. Ruang itu kini menjadi tempat lontaran marah si 'kisah', 'awang' dan 'sanghero'.

Saya akui bahawa saya adalah manusia yang melontarkan apa yang saya tidak suka berlaku di depan mata. Itu sebabnya saya tidak menjawab setiap pertanyaan yang diajukan di dalam 'ruang bicara'. Saya anggap itu adalah pandangan jujur daripada saudara. Makanya saya membuka juga ruang untuk sesiapa memberi tanggapan. Kini, lain pula suasananya.

Kepada 'awang', harap-harapnya saudara banyakkan membaca buku tentang 'culture study' atau 'civilization'. Saudara bacalah dengan akal fikiran yang waras tentang tamadun manusia kemudian saudara fikirkan juga, bangsa manakah di dunia ini yang maju suatu waktu dahulu kini menjadi mundur kerana berfikiran ke belakang. Saya tidak mahu memberikan jawapannya kerana sebahagian besar buku-buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris. Paling lekeh bacalah buku 'Nietzsche and the Modern crisis of the Humanities' oleh Peter Levine (1976). Dalam buku setebal 380 halaman ini ada satu perenggan yang benar-benar menyentuh iaitu;

... jika sesuatu bangsa itu tidak percaya dan yakin kepada kehebatan bahasanya sendiri, maka bangsa itu akan pupus dan mati. ..
Saya kira, cukuplah saya bayangkan begitu sahaja kerana saya mahu anak cucu saya punya bahasa dan bangsa yang hebat. Atau lebih teruk lagi, 20 tahun akan datang anak cucu saya akan menyalahkan saya kerana bersekongkol hingga bangsa dan bahasa Melayu tiada lagi dalam sejarah waktu itu.

Seperti yang selalu saya tegaskan bahawa, saya marahkan PPSMI kerana dasar ini melanggar akta dan Dasar Pelajaran Negara. Selama ini yang berlaku di sekolah ialah masalah komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris. Maknanya KPM perlu memperbaiki sistem pengajaran dan pembelajaran BI bukannya matematik dan sains. Oleh sebab PPSMI inilah makanya hari ini, perkataan seperti darab, nisbah, kebarangkalian, proses pemelewapan, sistem pencernaan makanan dan sebagainya itu tidak lagi difahami oleh anak-anak kita. Lebih teruk daripada itu, istilah Melayu untuk subjek matematik dan sains (yang diusahakan oleh DBP, sarjana tempatan dan pakar-pakar sains teknologi yang lahir daripada sistem pendidikan negara ini) terus hilang daripada kamus tamadun Melayu.

Menyokong agenda ini bermakna kita adalah pembunuh kepada bahasa dan bangsa Melayu.

Untuk pengetahuan sdr 'awang', saya juga giat dan bersungguh mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris hingga berjaya seperti hari ini. Saya mengembara ke negara eropah kerana ingin belajar sesuatu daripada mereka. Tetapi akhirnya, yang menerima BI hanya gugusan UK, Amerika, Australia, NZ dan Canada sahaja. Negara-negara maju lain seperti Jerman, Perancis, Italy, China, India, Jepun, Korea, Sepanyol, Austria, Belanda, Brazil, Argentina dll itu tidak pernah mengakui bahawa BI itu hebat. Malah mereka maju di samping berbangga dan yakin dengan bahasa sendiri.

Bahasa adalah roh bangsa. Oleh sebab itu, kita lihat Jepun dan Korea kenapa mereka boleh mencapai tahap negara maju dengan cepat dan konsisiten. Jawapannya mudah sahaja iaitu mereka menjadi maju kerana diikat oleh kuasa ilmu dan roh bahasa dan bangsa mereka. Hari ini, berapa ramai orang Melayu yang kaya dan berjiwa Melayu sepenuhnya? Kerana kehilangan roh dan jiwa itulah, hari ini kita dapat melihat mereka makan rasuah, mereka gila perempuan, mereka tidak menghormati orang tua, mereka sombong, mereka gila kuasa, dan mereka hanyut dalam arus kemodenan.

Akhirnya, dipendekkan cerita, MELAYU adalah ISLAM. Orang yang berjuang mempertahankan hak bahasa dan bangsa adalah orang yang sama mempertahankan Islam. Saya akui juga bahawa hari ini berapa ramai orang Melayu yang tidak Islam. Atas perkiraan yang mudah ialah, orang Melayu yang tidak Islam itulah orang Melayu yang pertuturan sehariannya adalah BI. Maaf, saya bukan menuduh tetapi itulah yang berlaku di Kuala Lumpur. Mereka lebih mengenali HardRock Cafe daripada masjid. Mereka ingin bercakap BI di Mc D dan KFC berbanding makan di Warung Mak Ani. Mereka malu bercakap Melayu di Sogo atau KLCC. Mereka berasa bodoh dan hina jika bercakap Melayu KLIA. Mereka berasa jahil jika bercakap Melayu di kafe siber. Di rumah mereka bercakap BI kerana takut anak-anak akan ketinggalan. Akhirnya, di manakah bahasa Melayu ketika ini?

Jika ini yang diperjuangkan oleh saudara, makanya SELAMAT MENUJU KEMATIAN BAHASA MELAYU. ATAU saudara mungkin manusia separuh Melayu separuh inggeris.

Maafkan saya sdr 'awang', kerana mungkin cara saya berfikir lain sungguh daripada cara sdr berfikir. Terus terang saya katakan, saya pejuang bahasa Melayu zaman UMNO Tun Abd. Razak bukannya pejuang bahasa Melayu zaman UMNO kini yang tidak sedar asal usul dan hujung pangkal perjuangan Bahasa Melayu dan agenda Melayu.

Kini mereka sedang berusaha pula untuk mengubah Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Kenapa mereka sanggup mengubah DKK itu? Jawapannya mudah sahaja iaitu, ketika mereka mengubah Dasar Pelajaran Negara, orang Melayu menyokong sepenuhnya. Kenapa tidak DKK diubah sama jika mereka menyokong kita?

Saudara 'awang' boleh menjawab soalan ini dalam hati dan tidak perlu melontarkannya ke dalam blog saya.

Maafkan saya.

Rabu, 3 Disember 2008

MENZIARAH SASTERWAN NEGARA ARENAWATI


(Sdr. Azizi Hj Abdullah, SN Bapak Arenawati dan saya)
i
Malam tadi sekitar jam 8.45, saya, Mohamad Saleeh Rahamad, S.M Zakir, Puan Norazah dan suami ke HUKM untuk melihat dan menziarah SN Arenawati. Kami berkunjung ke Wad Baldu, Tingkat 7 dan melihat sendiri keadaan beliau. Beliau kini mengidap milestroke (anggota kiri) yang kehilangan daya gerak. Hanya getar suara yang sukar difahami tetapi mengenali kami lalu berbicara dengan gerak mata. Kanser otak yang dihidapinya kini mula berpindah ke saraf kawalan suara. Begitulah keadaan beliau sejak empat bulan ini, terlantar di HUKM. Tetapi sesungguhnya, beliau amat beruntung kerana sentiasa ditemani anak-isteri yang bertanggungjawab dan punya nilai kasih sayang yang sungguh tinggi. Ketika saya menguak daun pintu kamar khasnya, saya dapat mendengar syahdu ayat-ayat al-Quran memenuhi ruang kamar itu. Sesekali, saya merenung bibir pak Arenawati dan bibirnya bergetar sama; mungkin ketika itu turut sama membaca dan mengulang ingat ayat-ayat suci yang dibacakan oleh anak-anaknya.

Pak Arenawati amat dekat di hati saya kerana novelnya begitu menusuk kalbu. Saya mula menatap dan menikmati novel ENOnya ketika berusia belasan tahun. Sejak itu saya begitu setia menukangi novel-novelnya. Saya membaca Sakura Mengorak Kelopak ketika ingin membawa pelajar Sek. Alam Shah ke Tokyo dan Hiroshima, Jepun. Saya belajar budaya Jepun daripada novel itu. Tetapi sejak dua menjak ini saya menjadi payah untuk memahami karya mutakhirnya seperti Trilogi Armageddon, Trilogi Busa, Warna Sukma Usia Muda dan Cakra Waruga. Beliau saya lihat seorang penulis yang terlalu rapat dengan laut dan sering membongkar sejarah.

Demikianlah pak Arenawati atau Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, anak kelahiran Kalumpang Kabupaten, Jeneponto, Makasar, Indonesia yang dilahirkan pada tangal 30 Julai 1925. Dalam usia mencecah usia 84 tahun beliau terlantar dengan seribu tanda tanya yang hanya Allah sahaja ketahui apa juga kesudahannya. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT merahmati dirinya yang sedang berjuang itu.

Beliau adalah kebanggaan kita. Nikmatilah sebahagaian daripada sumbangan beliau ini.

Karya

Novelnya yang pertama ialah Kisah Tiga Pelayaran pada tahun 1959 di Singapura. Selepas itu beliau terus menulis termasuk:

  • Lingkaran (1962)
  • Sandera (1971)
  • Bunga Dari Kuburan (1987)
  • Kuntum Tulip Biru (1987)
  • Sakura Mengorak Kelopak (1987)
  • Panrita (1993).
  • Sukma Angin (1999)
  • Cakra Waruga (KN)
  • Sebuah Trilogi Tiga Genre(KN)
  • Sebuah Trilogi Tiga Genre(KT)
  • Trilogi Busa - Busa Hati
  • Trilogi Busa - Busa Sukma
  • Trilogi Busa - Busa Kalbu
  • Trilogi Armageddon : Mandala
  • Trilogi Armageddon : Menorah
  • Trilogi Armageddon : Pentagon
  • Warna Sukma Usia Muda

Pencapaian

  • SEA Write Award (1985)
  • Anugerah Sasterawan Negara (1987).
  • Sukma Angin (1999) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.
  • "Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1985" (SEA Write Award) daripada Paduka Raja Thai
  • Pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.
Sebelum pulang kami makan malam di Santai Cafe berhadapan dengan Sek Men Sains Selangor, Cheras. S.M Zakir sempat berbisik, "apalagi yang kita nak belasah juak-juak UMNO yang tegar memperjuangkan PPSMI?".
Saya membalas bisik itu dengan jawapan, "ada berita dan sumber yang sangat-sangat boleh dipercayai iaitu markah lulus untuk subjek sains dan matematik UPSR baharu-baharu ini ialah 20 markah."
Dia merenung wajah saya, mengukir senyum kemudian menyambung agresifnya, "idea cantik untuk meneruskan amarah."
Sambil ketawa saya mencelah, "taruk jangan tak taruk!"
Ketawa kami tidak sekuat mana tetapi cukup untuk membuatkan orang-orang yang berada di kiri dan kanan kami tersentak.

Hampir jam 11.35, kami bersurai. Sesampai di rumah, saya segera ke khutub khanah kecil saya sambil melihat sebaris koleksi karya pak Arenawati. Saya segera menarik keluar novel Sakura Mengorak Kelopak, membukanya kemudian merenung tandatangan beliau yang bertarikh 31 Julai 1995 dengan catatan, Sdr Shamsudin, menulis adalah amanah Tuhan.

Saya merenung dalam tulisan dan tandatangan itu sambil berfikir, siapakah saya pada hari ini?

"Ya Allah, restuilah perjuanganku ini."

Isnin, 1 Disember 2008

KEMBALI KE ASAL DIRI


i

Entahlah saya sendiri tidak ketahuan kenapa saya sukar berfikir dan menulis tiga atau empat hari ini sejak saya melepaskan kemarahan saya kepada GAPENA. Mungkin Allah ingin memberikan peringatannya kepada saya bahawa itulah balasannya jika kita tidak berterima kasih kepada guru. Apabila saya fikirkan kembali memang ada betulnya sebab sebahagian besar pemimpin GAPENA adalah pensyarah di UM; makanya juga mereka itu adalah bekas guru saya.

Walau bagaimanapun, saya juga punya prinsip yang perlu dipertahankan. Itu tidak bermakna saya menderhaka kepada guru-guru saya yang terlalu banyak membentuk peribadi saya. Saya selalu berterima kasih dan menghormati kebitaraan mereka sebagai guru, tetapi saya tidak sanggup berhadapan dengan tanggapan bahawa guru saya adalah manusia yang sanggup mengadai maruah bahasa dan bangsa. Maafkan saya, tuan guru.

ii

Rasulullah s.a.w, dalam urusan memohon perlindungan daripada hal keduniaan ini, sering menganjurkan kita berdoa sebagai mana doa di bawah:

"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada empat perkara iaitu, hati yang tidak khusyuk , doa yang tidak didengar, jiwa yang tak puas, dan ilmu yang tak bermanfaat. Dan aku berlindung kepadaMu daripada golongan mereka yang empat macam itu." (At-Tirmidzi dari Ibnu Umar).

Doa ini saya temui dalam buku 'Akidah dan Suluk dalam Tasawuf: Antara Keaslian dan Penyelewengan' tulisan Dr. Abd Al-Fattah Ahmad al-Fawi daripada Universiti al-Qahirah. Oleh itu, saya perlu menjadi seorang yang mandiri dan perlu dijauhkan daripada empat golongan manusia tersebut supaya saya boleh menjadi manusia yang diterima Allah pada akhirnya.

Saya melihat antara sebab kenapa pemimpin kita hari ini saling bercakaran dan bernafsu duniawi yang rakus kerana mereka masih tidak menemui 'hati yang khusyuk' dan 'jiwa yang puas'. Kegagalan itu menyebabkan mereka menjadi rakus dan terlupa akan hari pembalasan mahupun panasnya neraka.

Saya perlu mengingatkan diri saya bahawa kematian tidak boleh diawal mahupun dilewatkan walau sesaatpun. Saya perlu bersedia untuk menghadapi maut kerana saya rindukan syurga Allah yang damai dan indah itu.

Maafkan saya, tuan guru; tetapi itu tidak bermakna saya menyokong perjuangan tuan guru. Izinkan saya memilih haluan sendiri kerana saya perlu kembali ke asal diri dengan membawa prinsip tegas bahawa bahasa dan bangsa saya adalah Melayu yang satu tidak dua dan tidak boleh ditigakan.

Rabu, 26 November 2008

MAKNA SEBUAH PENDIRIAN

i.
AKHIRNYA secara terbuka atau secara tertutup pada 22 Nov 2008, GAPENA dengan juak-juak pemikiranya berjaya mengundang tokoh yang hebat dengan agenda dan strategi itu untuk berbicara di rumahnya. Sebagai tetamu yang diundang dan diraikan, makanya tokoh ini diberi ruang dan kemuliaan untuk berbicara sesuka hatinya. Dan wadah serta kebebasan yang diberikan itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk menegakkan benang basahnya bahawa PPSMI adalah satu usaha berjaya untuk membijaksanakan orang Melayu.

Mendengar hujah itu, saya terus angkat kaki dan meninggalkan rumah itu. Dalam hati saya ada sebak yang amat nanar sekali. Nanar kerana penguhuni rumah itu pernah bersuara lantang menentang agenda PPSMI ini suatu waktu dahulu. Tetapi kenapa hal ini berlaku di rumah itu? Rumah yang kononnya medan kedua selepas DBP untuk mempertahankan nasib bahasa dan budaya Melayu. Malang sekali, dan bertambah malang apabila orang yang kita percayai untuk menjadi suara orang Melayu pun telah turut sama bersengkokol melacuri bahasa dan budaya mereka sendiri.

Saya memikirkan kini, kepada siapa dan dengan siapa saya ingin meletakkan kepercayaan terhadap perjuangan bahasa dan budaya Melayu hari ini? Saya orang kecil yang punya jiwa dan halusinasi murni. Ingin melihat kedamaian dan ketamadunan Melayu hebat dengan bahasa Melayu sediri tanpa bersandar kepada bahasa inggeris. Perkiraan saya mudah iaitu, saya ingin melihat satu bangsa iaitu bangsa Melayu yang hebat tanpa meminjam, bersandar atau berpaut nasib kepada bahasa penjajah (inggeris). Jika melakukan hal-hal ini sewenang-wenangnya maka kita tidak dikatakan hebat sepenuhnya. Kehebatan kita akan dipertikaikan oleh anak cucu kita nanti yang tentunya lebih bijak daripada kita kerana kemajuan globalisasi.

Apakah maknanya tamadun sebuah bangsa jika idea, asas, teras dan rohnya dikongsikan atau masih bergantung kepada penjajah?

Sayang seribu kali sayang. Saya marah kepada orang yang menderhaka kepada bangsa dan bahasa. Saya marah, saya marah, saya marah.

Ya, Allah ampunkan kemarahan saya ini. Amin.

Jumaat, 21 November 2008

BERITA: MESYUARAT AGUNG PENA KE-45


Kepada semua ahli PENA, Mesyuarat Agung PENA ke-45 akan diadakan pada ketepatan berikut:

Tarikh: 23 NOVEMBER 2008 (AHAD)
Masa : 9.00 pagi
Tempat: Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Agenda Penting: Pemilihan Jawatankuasa sesi 2009/2010

Saudara dijemput hadir untuk sama-sama berjuang menentukan hala tuju sastera dan nasib bahasa Melayu negara. Undi dan sokongan saudara amat dihargai.

Selamat bermesyuarat.

Rabu, 19 November 2008

Sajak 'PERCAKAPAN KEPADA BAHA ZAIN'


Seorang rakan menelefon saya dan meminta saya memuatkan sepenuhnya sajak 'Percakapan kepada Baha Zain' yang saya deklamasikan pada malam Baca Puisi PENA (7 November 2008) ke dalam blog ini. Katanya, "ulasan dalam Berita Harian tu pendek dan tak puas dibaca."

Atas dasar kesetiakawanan itu, saya turunkan sajak itu sepenuhnya. Selamat membaca sahabatku.

PERCAKAPAN KEPADA BAHA ZAIN

Dato' Baha yang romatis,
aku tulis resah ini untuk kita kongsikan bersama

setelah dukaku dan dukamu
menyatu dalam injap nafas terakhir.

Dato' yang dihormati,

Rumah kita tidak sama seperti rumah orang beriman.

Rumah kita tingkap dan pintunya tak pernah berkunci.

Rumah kita lantai dan bumbungnya tak pernah kuat dimakan uji.

Rumah kita adalah rumah yang tiangnya
tak pernah berseri
malah tak sesekali lurus berdiri.

Rumah kita halamannya adalah tanah kubur tak berharum mawar.

Rumah kita dipenuhi puspa indah tak beraroma.

Rumah kita dikuasai oleh pencacai yang selalu

memikirkan bagaimana untuk menjual
atau mengadai
tanah sekangkang kera ini.

Dato' yang dirindui,

Rumah kita dihina oleh jiran tetangga kerana buruk dan keji.
Rumah kita menanti untuk dirobohkan esok hari.
Rumah kita tidak akan aman kerana berpenghuni

manusia duri dalam daging

dan manusia gunting dalam lipatan.


Rumah kita Dato',
adalah rumah yang menanti hari.


Usah bersedih dan menagih simpati Dato',

masanya telah tiba untuk kita
mencari
rumah abadi di tanah air sendiri.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

salam daripada bekas anak murid ...

SALAM KEPADA SEMUA ANAK MURID SAYA YANG BERADA DI PERANTAUAN.

Semalam, saya menerima email panjang daripada bekas pelajar saya ketika saya mengajar di SAS (Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur) pada tahun 2000. Dia kini berada di Jepun, tahun akhir dalam bidang kejuruteraan submerin. Emailnya panjang dan antara intipatinya ialah dia kecewa apabila melihat beberapa dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang mula tergelincir daripada landasannya. Dia membayangkan bahawa apakah yang akan terjadi 10 tahun akan datang kepada dasar KPM yang tunjangnya mesti berteraskan bahasa Melayu itu diperkotak-katikkan oleh agenda politik negara? Dia berkisah juga tentang kerajaan Jepun yang tidak berkompromi langsung dengan bahasa Inggeris dalam hal-hal pendidikan kecuali ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Bekas pelajar saya bertanya begini; apakah KPM terlupa kepada dasar Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seperti KMKK (MCKK), SAS, Sri Puteri, KTK (TKC) dan lain-lainnya? Bukankah dengan pembinaan sekolah ini maka ramai anak-anak Melayu daripada kawasan pedalaman dapat melanjutkan pelajaran hingga akhirnya menjadi menteri dan orang bergelar? Semuanya itu terbina dengan asas dan roh jati diri bahasa Melayu. Bekas pelajar saya meneruskan kebimbangan dengan agenda-agenda yang kian tidak menentu kerana dia melihat daripada luar akan nasib bangsanya sendiri yang sedang terumbang-ambing.

Gambar di atas adalah gambar kirimannya. Frasa 'Silence is not an option' (dengan izin) adalah pengakuan jujurnya setelah melihat jatuh bangunnya nasib perjuang-pejuang bahasa tanah air yang tidak pernah diberi ruang dan keselesaan untuk berbicara.

Saya masih belum membalas emailnya kerana saya sedang berkira-kira antara wajar dan tidak wajarnya saya berterus terang akan nasib bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara hari ini. Banyak yang terpaksa saya fikirkan sebelum bertindak semberono atau ikut kata hati.

Entahlah, saya sendiri tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh menteri dan orang-orang penting dalam KPM sekarang ini? Kadang-kadang ingin sahaja saya menasihatkan mereka agar tukar sahaja bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara kepada bahasa Inggeris sepenuhnya, termasuklah menukar bahasa Al-Quran kepada bahasa Inggeris. Mungkin ini nasihat keterlaluan atau tidak masuk akal, tetapi jika semuanya ingin diinggeriskan dan memikirkan tanpa bahasa inggeris, rakyat Malaysia akan mati kebuluran; makanya bertindak sedemikian adalah lebih baik. Selepas itu, tukarkan sekali status bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa inggeris; tukarkan juga nama-nama Melayu kepada nama inggeris dan adalah lebih baik lagi jika semua papan tanda di seluruh tanah Melayu ini digantikan dengan bahasa inggeris supaya orang cina, india, melayu dan lain-lain tidak akan marah-marah. Jika itu yang menjadi perkiraannya, maka jangan lupa tukarkan terus Perlembagaan Perkara 152 dan 153 itu.

Saya tidak marah kepada mana-mana pihak tetapi saya sering memikirkan bahawa saya ini timun dan mereka itu adalah durian, saya ini pipit mereka itu enggang, saya ini semut dan mereka itu raksasa. Walaupun ada yang berfalsafah sebagai 'saya ini semuat mereka itu babi' tetapi saya tidak tergamak berkata demikian kerana saya masih punya keluhuran dan masih berpegang kepada prinsip rukun negara 'kesopanan dan kesusilaan'.

Malam ini, mungkin saya akan membalas email bekas pelajar saya sambil cuba menasihatkannya supaya jangan menjadi manusia yang tidak mengenang budi kepada negara yang telah banyak membantu kejayaan masa depannya. Malah sejak dahulupun saya sering menasihatkan anak-anak murid saya supaya sedar dari mana asal kita, dari mana kita bermula dan menghormati orang yang sering membantu kita. Saya bersyukur kerana walaupun telah lama meninggalkan alam persekolahan tetapi bekas pelajar saya masih menghubungi saya dengan celotoh dan gambar-gambar yang penuh menginsafkan.

Akhirnya, saya teringatkan satu soalan yang disertakan oleh bekas pelajar saya itu. Soalannya ialah, "mahu ke mana hendak dibawanya sistem pendidikan negara kita hari ini?".

Saya tinggalkan pertanyaan ini untuk ditebaki oleh sesiapa.

Teringat kata Nabil si Juara Lawak itu, "lu fikirlah sendiri,".

Jumaat, 14 November 2008

Perjalanan Bahasa yang Lara di Tanah Air Sendiri Mengajar Kita Makna Ketidakpercayaan kepada Sang Menteri


SEPI beberapa hari bukan bermakna membawa hati yang lara setelah melihat beberapa peristiwa yang menjijikkan. Ya, peristiwa melihat dan mendengar hal-hal yang berlaku di Dewan Rakyat, pemilihan jawatan dalaman UMNO, isu PPSMI, DKK (Dasar Kebudayaan Kebangsaan), dan isu agama tentang beberapa fatwa yang kelihatannya lebih banyak memihak kepada ketidakbetulan atau ketidaksahkan daripada kebenaran yang ditetapkan oleh Al-Quran dan sunnah.

Entahlah, apa yang sedang melanda pemikiran bangsa dan cara berfikir kepimpinan hari ini masih sukar ditebaki. Adakah mereka ini bangsa yang sedang berada dalam juzuk nikmat kepuasan atau sedang dirasuki petaka sentiasa bersyukur dengan apa-apa yang ada atau sengaja ingin menguji sejauh mana beraninya Tuhan menjatuhkan hukuman duniawi kepada mereka? Inilah pertanyaan demi pertanyaan yang menjadikan saya lebih suka menyepi untuk beberapa waktu terakhir ini.

Saya membelek-belek beberapa buku yang masih belum sempat disentuh malah belum terbuka lagi sampul plastiknya. Saya lebih suka memilih beberapa buku agama kerana sejak usia menuju tua ini kita perlu kembali kepada tradisi iman, iaitu bermuhasabah diri. Sesekali, setelah menatap baca catatan ibnu Muslim, ibnu Bukhari, ibnu Qadir al-Jailani, ibnu Al-Ghazali, saya terasa berada di alam yang serba baharu dan menakutkan akan ketibaan kematian yang tidak pernah diberitakan waktunya.

Saya selalu berfikir, ketamakan apakah yang sedang melanda kepimpinan bangsa Melayu hingga sanggup menjadi pelacur kepada maruah bangsa bangsa dan bahasa? Apatah lagi sebelum ini sanggup menjadi 'cina buta' (pak sanggup) terhadap kes-kes tanah, pembalakan, taraf warga rakyat, dan perjudian-rasuah. Bagaimanakah cara mereka berfikir agaknya?

Sesuatu yang paling saya tidak faham ialah kenapa keputusan yang diambil oleh mereka selama ini tidak ingin mendengar nasihat pakar yang sememangnya masak dalam sesuatu bidang. Saya mendengar bahawa mereka merujuk tetapi pelaksanannya ialah tidak menggunapakai nasihat pakar-pekar itu. Dan apabila tindakan yang diambil itu menimbulkan rasa tidak percaya, ragu-ragu, was-was dan lebih tepatnya tidak disenangi rakyat makanya mereka menuding jari kepada orang lain khususnya rakyat yang tidak berdosa. Contoh yang paling jelas ialah apabila salah seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyalahkan rakyat kerana menyokong kemenangan pembangkang di utara yang mempersenda bahasa Melayu. Menteri ini bercakap di salah satu seminar Bahasa Melayu bertaraf antarabangsa di salah sebuah universiti tempatan dua tiga hari lepas. Tetapi sedarkah pemimpin itu apa yang sebenarnya sedang berlaku?

Analogi saya mudah sahaja; apabila orang UMNO bersetuju menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia maka yang terjadi daripada perkiraan matematiknya begini;
X = Malaysia ialah negara yang dihuni oleh rakyat pelbagai kaum. Ada Melayu, Cina, India dan
bangsa lain.
Y = Bahasa merujuk kepada perlembagaan Perkara 152 dan 153. Dan tentunya yang termaktub
ialah BAHASA MELAYU.
Z = Bahasa baharu yang tidak melalui pengiktirafan perlembagaan negara.

Oleh itu, apabila Bahasa Melayu ditukar menjadi BAHASA MALAYSIA, apa yang berlaku ialah bahasa pelbagai kaum itu akan menjadi teras komunikasi bangsa-bangsa di Malaysia. Ini bermakna yang lahir ialah bahasa pasar, bahasa rojak atau bahasa murahan. Bahasa-bahasa inilah yang sedang merakyat di dalam kehidupan harian rakyat Malaysia. Ini bermakna juga bahawa negara Malaysia sedang menerima proses pengiktirafan istilah (Z) seperti lu, gua, i, u, dan kata-kata carutan yang lain yang tersebar luas dan diguna pakai sewenang-wenang, difahami, diterima oleh pelbagai bangsa itu. Ini juga bermakna Dewan Bahasa dan Pustaka perlu menggubah keseluruhan entri dalam Kamus Dewan atau mana-mana kamus bahasa Melayu.

Saya permudahkan formula ini seperti berikut;

Bahasa Malaysia = X + Z
Persoalannya sekarang di mana kedudukan Y?

Y
telah ditendang daripada sistem yang menjadi teras kepimpinan negara. Y adalah roh yang menjadi kekuatan perjuangan bangsa Melayu. Y adalah jiwa raga dan teras budi fikir orang Melayu. Apabila Y dipinggirkan makanya yang berlaku ialah keracuan dan perasaan kacau bangsa yang tidak akan berkesudahan.

Perjuangan tanpa roh adalah perjuangan yang sia-sia. Perjuaangan tanpa akal budi dan teras budi fikir akan membawa kepada kesesatan. Dan, apabila telah sesat, makanya kesan yang paling teruk ialah seluruh bangsa dan negara akan hancur.

Hari ini, kita sedang menanti dan menunggu satu kehancuran bangsa yang pernah terbilang suatu waktu dahulu di tanah air sendiri. Bangsa itu adalah bangsa saya yang sedang dihancurkan sendiri oleh pemimpinnya sendiri yang berbangsa dan berbahasa yang sama.

Inilah satu analogi matematika yang paling mudah.

Saya tinggalkan soalan matematik ini untuk anda jawab;

UJIAN 1
Masa : TIADA HAD
Jenis Ujian: UJIAN TERBUKA

Selesaikan soalan di bawah ini.

(a) X+Y= bahasa Malaysia
(b) X+Z= bahasa Melayu
(c) X+Y+Z= bahasa Melayu
(d) X+Y+Z= bahasa Malaysia
(e) Y+Z=bahasa Malaysia
(f) Y+Z= bahasa Melayu
(g) Bahasa Melayu(Y) = bahasa Malaysia (X+Z) = Y
(h) Y = (bahasa Malaysia - bahasa Melayu) + Z

Jawapan yang anda perolehi nanti merupakan juga jawapan kepada kenapa UMNO menjadi pertubuhan berjiwa kacau dan kenapa generasi muda Melayu mula kehilangan jati diri hari ini?

Selamat menjawab soalan matematik di atas.



Isnin, 10 November 2008

APA YANG KAU CARI PEMIMPINKU...


i
Mungkin pertanyaan ini sering berkumandang di telinga kalian. Meski pertanyaan ini akan merusuh dalam sukma dan minda fikirmu tetapi, fikirkan juga jawapan yang paling logik dan terbaik sebelum kau memberikannya kepada kami.

Jika kalian membaca tulisan ini, jawaplah dalam hati dengan sejujur-jujurnya. Saya dan mungkin juga kami tidak ingin mendengar jawapan itu kerana sehingga hari ini jawapan yang diberikan amat tidak kami senangi. Apatah lagi apabila mendengar jawapan yang paling menyakitkan hati iaitu permasalahan ini akan di bawa ke meja bulat dan sedang diperhalusi.

Saya akan mengemukakan beberapa soalan yang intipatinya menyempit kepada nasib dan jatuh bangunnya siasah Melayu. Soalan-soalan itu ialah;

1. Siapakah yang bakal menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka? Adakah orang Melayu telah mati untuk menjawat jawatan penting ini?
2. Bilakan negara Malaysia akan memaktubkan penggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi setelah ditukar oleh pencacai itu ke bahasa Malaysia?
3. Bagaimana dengan keputusan PPSMI?
4. Apakah nasib Bahasa Melayu esok hari (bukan sebulan, setahun, atau sepuluh tahun akan
datang)?
5. Wujudkah Dasar Kebangsaan Negara Malaysia pada hari ini?
6. Susah sangatkan untuk mengakui kesilapan setelah kita tahu bahawa telah banyak
kesilapan yang dilakukan sebelum ini?

Saya kira cukuplah 6 soalan itu saya kemukakan supaya kita sama-sama dapat menginsafi nasib bangsa dan Bahasa Melayu. Sebagai manusia yang lemah kita kena akur dengan kelemahan dan membetulkan kelemahan yang sudah-sudah.

ii
Saya mungkin anak kecil yang tidak pandai berpolitik tetapi saya berharap agar nasib bahasa dan bangsa saya tidak dipolitikkan oleh orang-orang politik.

Saya selalu berimpian untuk terus hidup aman damai di tanah air yang merdeka ini. Dan saya juga berharap agar jasad saya nanti dikebumikan di tanah air bernama Tanah Melayu.

Isnin, 3 November 2008

SALAM PULANG DARI KEMBARA


M. Saleeh, Rahimidin, saya, SM Zakir dan Saifullizan di halaman rumah Sun Yet Sen, Shanghai, China.
i
Perjalanan saya kali ini lebih banyak santai daripada berfikir. Maksud saya, saya dan rakan-rakan masih mengekalkan rukun iman sebagai prinsip kembara. Saya mungkin sedikit seronok tetapi sedikit juga gusar kerana terpaksa berhadapan dengan satu bangsa besar yang tinggi tamadunnya. Ya, ketika menjejaki kaki ke tanah Shanghai, Hangzhuo dan Wuzean, semuanya banyak mengajar saya berfikir secara bitara. Perjalanan kali ini mendekat dan mengakrabkan lagi kepercayaan antara kami (M.Saleeh, SM Zakir, Rahimidin, Amiruddin Ali dan Saifullizan). Banyak yang kami lihat dan banyak pula yang kami baca meski amat sukar untuk bertemu dengan askara roman di tanah tembok besar itu. Keupayaan bahasa Inggeris kami menjadi tidak bermakna di tanah itu. Meski kami boleh berbahasa Inggeris itu dengan baik tetapi rakyat negara itu mengajar kami bahawa bahasa itu tidak diperlukan di negara itu. Bicara kami seperti komunikasi ayam-itik.

Inilah sebuah tamadun bangsa yang percaya kepada jati diri dan prinsip kebudayaan sendiri. Mereka tidak pernah mengangkat, mengagung atau memuja sesiapa waima kuasa besar dunia barat. Mereka berpegang kepada prinsip 'kita adalah kita'. Mereka tidak sanggup berlaku perkongsian kuasa. Mereka menentang dasar liberalisasi meski pernah mendoktrinkan komunis. Bangsa mereka memiliki keyakinan tinggi untuk berjuang dengan titik peluh dan akal sendiri. Mereka punya seribu cara untuk memikat kuasa dunia supaya tunduk kepada mereka. Mereka pelihara alam sekitar, mereka jaga moral dan maruah, mereka menyintai pembangunan dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan tradisi dan tamadun.

Kita perlu belajar daripada cara mereka berfikir. Sesampai di kota Shanghai, kota yang dihuni hampir 20 juta penduduk dengan pembangunan mencakar langit yang dibina dalam waktu 15 tahun itu benar-benar mengasyikkan. Bayangkan, hanya dalam jangka waktu 15 tahun Shanghai boleh menjadi kota keempat terpenting di dunia dalam bidang perdagangan antarabangsa. Penobatan ini berlaku tanpa mereka mendewakan bahasa Inggeris pun. Mereka menjadi kuasa ekonomi dunia baharu tanpa bersandar kepada pemikiran barat. Malah kesan daripada kekuatan jati diri itu, makanya kuasa-kuasa besar dunia hari ini mula tunduk untuk menjadikan China rakan kongsi yang paling dipercayai. Di China, saya menemui orang Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Amerika yang fasih berbahasa China. Dalam satu perbualan santai di sebuah kaki lima restoran Islam, orang Amerika itu dengan ikhlas berkata, "di sini mereka tidak menerima bahasa Inggeris." Saya mengangguk sambil bertanya kepada diri sendiri, "kenapa di negara saya hal seperti ini tidak berlaku?"

ii
Seminggu tiada di tanah air, banyak perkara yang mengejutkan berlaku. Pertamanya ialah tentang orang-orang penting yang berada di dalam Kementerian Pelajaran bermula daripada menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai kanannya. Masakan mereka tidak sedar akan sukatan dan nasib mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini? Apabila timbul isu kontrak sosial, makanya sukatan pelajaran itu terpaksa dinilai untuk dirombak semula. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Adakah sejarah yang dipelajari di sekolah hari ini itu satu sejarah yang tidak jujur atau dalam makna ilmiahnya ialah 'pemesongan sejarah' telah atau sedang berleluasa? Di manakah kredibiliti para jemah menteri dan pemimpin KPM itu? Bagaimanakah cara mereka berfikir? Isu bahasa dan budaya yang menjadi teras perlembagaan negara selama ini pun masih belum selesai kini KPM berhadapan pula dengan isu sejarah bangsa?

Siapakah yang perlu dipersalahkan? Jika dahulu saya belajar mata pelajaran Tawarikh, Ilmu Alam, Sains Panduan, Ilmu Hisab dalam Bahasa Melayu, saya tidak pernah menuntut lebih daripada itu sebab saya diberikan jati diri yang baikdan kental oleh guru saya ketika itu. Tetapi sistem pendidikan hari ini yang dibekalkan oleh guru-guru yang sekerat Melayu, sekerat Inggeris dan sekerat lagi buta budaya maka yang terlahir daripada sistem itu ialah generasi yang kosong dan hilang punca jati diri. Yang dilahirkan oleh guru-guru hari ini ialah generasi yang keliru kontrak sosial dan sejarah bangsa mereka.

Malah, terus terang saya katakan bahawa selama ini saya sering berkata kepada anak-anak saya yang mereka perlu belajar Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Saya tidak yakin bahasa Malaysia dapat membentuk sahsiah dan moral orang Melayu. Saya juga tidak yakin bahawa bahasa Malaysia punya roh dan semangat yang jitu untuk membudayakan bangsa dan masyarakat. Bagi saya, hanya Bahasa Melayu sahaja yang dapat menyelesaikan masalah orang Melayu khususnya pemimpin Melayu yang sedang berhadapan dengan krisis identiti ini.

Kita perlu sama-sama mengakui kesilapan yang sedang membusung dalam perjalanan bangsa Melayu hari ini. Jika perlu, kita wajib segera membetulkan kesilapan lalu tanpa menuduh mana-mana pihak. Mari kita jernihkan yang keruh dan kita telan yang patih itu.

Kita perlu membina satu budaya fikir yang berteraskan bitara Melayu. Mari kita buang jauh-jauh semangat gelojoh Melayu atau roh kerakusan demi perut sendiri.

Jumaat, 24 Oktober 2008

SAMAD LEFTHANDED DAN SEBUAH DURASI ROCK MELAYU

SALAM BELASUNGKAWA.

LEBIH kurang jam 3.45pm, saya menerima panggilan telefon daripada paman di kampung. Dia bertanya khabar sambil mengutus ucap selamat hari raya kerana kami tidak berkesempatan bertemu kerana cuti yang singkat. Sesudah bertanya sapa, dia terus menyampaikan berita sedih akan kehilangan rakannya yang juga tiga pupu kepada diri saya. Dia yang saya maksudkan itu ialah utih Samad atau Samad Lefthanded, seorang gitaris yang sering mewarnakan melodi rock Melayu dengan durasi roh seninya.

Saya mungkin tak selayaknya berkisah tentang aly.Samad meski saya juga ada hubungan darah dengannya. Dia pernah memetik gitar di bawah rumah atuk saya bersama-sama paman saya yang kini sudah menjadi tok kadi di Batu Pahat. Dia pernah belikan saya ais skrim batang ketika saya menangis dahagakan air. Dan, dia pernah jadi imam ketika paman saya tiada di surau. Itu sejarah 20 tahun dahulu.

Semalam, paman saya beritahu yang kami telah kehilangannya. Syahdu dan sepi sekali. Saya teringatkan, bagaimana Samad hebat di gelanggang sepak takraw sebagai 'killer' dan hebat di pentas memetik gitar. Ketika di atas gelanggang dia akan melibas bola rotan dengan rejaman pusing yang unik. Ketika di atas pentas, dia akan memetik gitar dengan gigi yang juga unik. Dia juga akan menyepi diri di pondok hujung kampung jika dirundung rusuh. Pamanlah yang sering di sisinya sebelum dia mengambil keputusan untuk meneruskan kembara seninya ke Singapura dan KL. Saya juga pernah tersenyum apabila dalam waktu yang saya sendiri tidak berapa ingat bila (?), dia berbisik kepada paman yang kemudiannya paman memberitahu saya bahawa, "dia (saya) ni kalau jadi artis, sah boleh pecah panggung." Tetapi paman saya menjawab, "dia ni aku nak ajar jadi kiyai." Ungkapan dan ayat itu tiba-tiba menerobos kembali ke dalam kotak fikir saya .

Untung saya tidak jadi artis hari ini. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu, panggung mana dan panggung apa yang pecah?

Moga Allah merahmati rohnya. Al-Fatihah.

Rabu, 22 Oktober 2008

MENDENGAR DENGAN TELINGA IMAN; MELIHAT DENGAN MATA TAQWA

SALAM KEMBARA

SAYA akan memulakan kembara ke tanah 'Yang' dan 'Ying' China selama seminggu mulai 25 Oktober hingga 31 Oktober 2008. Perjalanan saya kali ini melibatkan 3 bandar iaitu Hangzhou-Shanghai-Wuzhen. Apa yang cari dalam kembara kali ini?

Saya tidak pernah menjejakkan kaki di tanah kuasa ekonomi dunia ini. Saya tidak pernah merasai sepoi angin dan dingin udaranya. Tetapi saya sering membaca tentang sejarah kota Shanghai yang dibangunkan dalam masa 10 tahun sebagai sebuah kota perdagangan baharu yang serba canggih. Begitupun daripada pembacaan saya itu, kota ini dibangunkan dengan menggekalkan sejarah warisan bangsa dan peradaban China. Tamadun China sebenarnya lebih hebat daripada apa yang kita sangkakan. Mungkinjuga lebih daripada itu. Inilah yang saya ingin saksikan.

Bercakap tentang sejarah dan ketamadunan bangsa, saya sering merintih kepada nasib bangsa sendiri. Hari ini, di corong radio dan tayangan berita di dada televisyen juga catatan akhbar amat meresahkan jiwa saya. Cerita pemilihan kuasa UMNO, cerita nasib Bahasa Melayu dalam situasi pengajaran dan pembelajaran sistem pendidikan negara, nasib mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan Sejarah masih belum selesai meski kita telah menikmati usia kemerdekaan 51 tahun.

Apakah yang sedang berlakunya sebenarnya? Apakah ini semua agenda politik yang sedang dicaturkan untuk menunjukkan kewibawaan orang tertentu. Maksud saya, pada zaman si 'A' memerintah, agenda ini perlu dilakukan; kemudiannya pada zaman si 'B' memerintah, agenda itu perlu dimusnahkan dan mereka tidak perlu dipersalahkan.

Anarkis sekali pemikiran seperti ini. Kezaliman dan kebobrokkan seakan sedang bermaharajalela. Kenapa kita tidak ingin belajar daripada kesilapan lalu (sila rajuk semua buku sejarah bangsa dunia, bahawa kejatuhan dan kemusnahan tamadun kerana sikap rakus dan tidak berpegang kepada prinsip agama). Fakta yang disepakati ini tidak boleh dibohongi (maaf juga sebab saya menggunakan istilah bohong sebab Dewan Parlimen tidak membenarkan istilah bohong digunapakai).

Saya sering membayangkan pengalaman saya ketika berada di sekolah rendah pada tahun 70-an. Saya diberikan pendidikan Tawarikh (sejarah), Ilmu Alam (geografi), Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia), Agama Islam (bukan Pendidikan Islam), bahasa Inggeris (masih dikekalkan - kenapa tidak bahasa England/ Amerika?), Tatarakyat (sivik), Pendidikan Jasmani, Ilmu Hisab (matematik) dan muzik. Semuanya itu saya belajar dalam bahasa ibunda saya kecuali bahasa Inggeris. Dan kesannya hari ini, saya dan rakan-rakan, ramai yang berjaya dalam hidup sebagai manusia yang dihormati. Ini bermakna sistem pendidikan tahun 70-an itu tidak pernah gagal malah amat berjaya melahirkan modal insan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Sistem pendidikan hari ini menjadi kacau-bilau. Banyak yang terpaksa diajarkan oleh guru di sekolah dengan mata pelajaran baharu seperti Alam dan Manusia (juga dimansuhkan), Pendidikan Sains Sukan, IT dan macam-macam lagi. Bertanya dan lihatlah, bagaimana kesannya? Apakah impaknya kepada pelajar?

Sistem pendidikan yang menekankan penguasaan bahasa inggeris itu menyebabkan modal insan yang digembar-gemburkan itu hanyalah satu khayalan dan anganan kosong. Hari ini kita mendengar cerita pelajar tumbuk dan tendang guru. Jika dahulu kita hanya mendengar peribahasa, 'guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari' tetapi kini seorang guru yang baik, tidak pernah kencing berdiri (sebab ramai guru wanita) ditumbuk dan ditendang oleh pelajar. Aneh dan hairannya sistem pendidikan di negaraku ini!

Di manakah silapnya? Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitabnya bertajuk Menjadi Kekasih Allah bahawa sistem pendidikan yang menggunakan roh bangsa dan bahasa orang lain akan membawa kepada kehancuran.

Saya sendiri tidak faham, atas dasar apa tiba-tiba sejak dua hari kebelakangan ini Pak Lah, Dato Rais dan Dato' Zaid Hamadi bercakap soal mengembali dan mewajibkan semula mata pelajaran Sejarah di semua peringkat pembelajaran (sekolah rendah hingga IPT). Kenapa baru hari ini mereka berkokok sedangkan sejak dulu lagi kita tahu bahawa bangsa yang berjaya tanpa pengetahuan sejarah yang kukuh akan runtuh. Apakah hari ini, kita sedang berhadapan dengan keruntuhan itu? Apakah hari ini keruntuhan itu sedang kita saksikan? Apakah kita malu untuk mengaku kesilapan kerana ingin menjaga maruah orang tertentu?

Tanpa kita sedari, apa yang telah berlaku ialah, pemimpin kita telah bertindak mengikut nafsu mereka sendiri. Maka kita akan mendengar kembali cerita si 'A' dan si 'B'. Jika mereka berada dalam satu parti tentunya masalah ini akan berterusan. Sebaliknya jika mereka berada dalam parti yang berlainan tentunya masalah ini akan dapat diselesaikan dan tidak akan wujud atau dengar pandangan lain bahawa "mereka telah membunuh dan membodohkan satu generasi rakyat mereka sendiri". Kenyataan ini mungkin pedih untuk ditelan tetapi inilah yang sedang berlaku.

Saya selalu berdoa agar, kita dapat mengembalikan sistem pendidikan negara kepada yang asal tanpa dipolitikkan atau menjadi mangsa politik si 'A' atau si 'B'. Saya ingin melihat impian negara untuk melahirkan modal insan akan menjadi kenyataan. Itu sahaja.

InsyaAllah, saya akan menulis lagi tentang pengalaman lain selepas mendengar sajak Yev Tu Chen Ko (penyair Rusia) seorang revolusioner dan pemikir moden Rusia. Jika pada tahun 80-an dia telah menulis dalam sajak-sajaknya tentang kezaliman Amerika, makanya hari ini, kita perlu akui juga bahawa Amerika bukanlah negara terbaik untuk dicontohi. Kerana itu jugalah, saya tidak berkeinginan sedikitpun untuk menjejaki tanah negara itu meski punya banyak peluang untuk ke sana.

Rabu, 15 Oktober 2008

Sapaan yang menguji sejauh mana prinsip dan kejujuran

Wah, aneh dan menarik sekali. Sebentar tadi saya menerima satu panggilan telefon daripada manusia yang tidak ingin memperkenalkan diri. Katanya pendek, jelas tetapi penuh berhikmah. Katanya, "tuan, kenapa tiba-tiba berubah prinsip? Blog tuan dah jadi blog kesihatan pula. Dah hilang taring ke? Atau dah taubat?"

Saya tidak sempat berbual panjang kerana dalam waktu yang sama saya sedang menukang kerja-kerja rutin yang sepi selepas ramadhan. Dalam hati saya terbetik pertanyaan demi pertanyaan.

Aneh betul manusia ini. Apabila kita cuba bercakap hal-hal lain daripada kebiasaan maka dituduhnya kita ini penakut atau dayus atau sudah kalah. Mudahnya mereka membuat tuduhan dan tafsiran. Kadang kala pemikiran sebeginilah yang sering merosakkan jiwa manusia lantaran bersikap seakan api dalam sekam. Inilah masalah manusia yang punya nafsu amarah dan serakah lebih tinggi daripada nafsu mazmumah.

Saya tidak ingin menjawab tetapi cukuplah dengan kata-kata, mati dan hidup; sihat dan sakit; kaya dan miskin; pemimpin dan rakyat; susah dan senang; semuanya adalah sementara dan pinjaman belaka. Apabila sampai waktunya, semua itu akan hilang dalam sekelip mata. Oleh itu, kita sebagai insan perlu memikirkan kehidupan dalam sebuah dunia hakiki yang lain.

Kita pasti menjadi penghuninya, tetapi waktu dan ketikanya sahaja belum diketahui mesti telah ditentukan.

Salam lebaran: 15 Syawal 1429H.

PERINGATAN KEPADA KESIHATAN DIRI

Sekadar peringatan untuk dikongsi bersama-sama serta diamalkan sepanjang 365 hari setahun terutamanya dalam bulan Syawal sekarang ini. Saat pergi ziarah-menziarahi atau menerima jemputan sahabat/ taulan, saudara mara untuk minum pagi, minum petang, makan tengahari & makan malam dengan hidangan menu berbagai citarasa yang mengiurkan selera.

Sambil makan beringat-ingatlah saudaraku. Sebelum makan mulakan dengan kalimah Bismilah dan diakhiri dengan kalimah Allahamdulillah. Di samping itu beringatlah juga bahawa kesihatan kita perlu dijaga.

Serangan Jantung dan Minum Air Suam




Fakta ini sangat bagus.
Bukan semata-mata berkenaan air suam, tetapi berkenaan Serangan Jantung ... Masyarakat Cina dan Jepun minum teh panas untuk ketika bersarapan, bukannya air sejuk, mungkin inilah masanya kita perlu mengubah tabiat minum semasa makan.

Kepada sesiapa yang gemar minum air sejuk, fakta ini sangat bermakna buat anda. Memanglah sesuatu yang nikmat untuk minum segelas air sejuk selepas makan. Walaubagaimanapun, air sejuk akan melikatkan minyak yang kita makan bersama hidangan. Sudah tentu ia melambatkan lagi proses pencernaan. Sekali gumpalan minyak ini bertindakbalas dengan asid di dalam perut, ia akan memecah dan diserap oleh enzim intestine lebih cepat berbanding makanan pejal. Ia akan selari dengan enzim intestine. Dalam masa terdekat, ia berpotensi bertukar menjadi lemak dan mendorong kepada kanser. Adalah penting untuk minum sup panas atau air suam selepas makan.


Petanda Lazim Serangan Jantung

Amaran berkenaan serangan jantung – Anda seharusnya mengambil tahu yang petanda serangan jantung bukan sahaja pedih pada sebelah kiri dada. Awasi jika terasa sakit yang menyesakkan pada dada kiri. Mungkin anda belum pernah merasa sakit dada semasa terkena serangan jantung. Muntah-muntah dan berpeluh berlebihan juga antara tanda-tanda lazim. 60% pesakit yang terkena serangan jantung adalah ketika sedang tidur dan tidak boleh bangun dari tidur. Sakit pada dada boleh menyebabkan tidak sedarkan diri. Berhati-hati dan berjaga-jagalah sentiasa. Lebih banyak yang anda ketahui berkenaan serangan jantung, maka lebih peluang untuk anda terselamat.

Kata pakar kardiologi (jantung), jika seseorang telah membaca fakta ini, sebarkanlah ia kepada orang lain yang dikenali, anda mungkin tidak mampu menyembuhkan pesakit, tetapi anda sebenarnya berjaya menyelamatkan seseorang dari menjadi pesakit.

Rabu, 8 Oktober 2008

AIR MATA DI NEGERI LALANG


Salam lebaran kepada seluruh warga Melayu.

Sesungguhnya terlalu banyak yang disajikan oleh juak politikus tanah air setelah kita menikmati makna ramadhan dan syawal. Sesekali saya merenung nasib rakyat yang terpaksa menghabiskan masa berbelas-belas jam di atas jalan raya semata-mata untuk merasai kesyahduan syawal. Wajarkah hal ini berlaku setelah kita melalui usia 51 tahun kemerdekaan?

Sesekali juga, saya merenung nasib bangsa Melayu yang telah diinggeriskan hingga pulang ke kampung tanpa baju kurung, tanpa pakaian bernuasa Mmelayu mahukan merasai juadah asli Melayu. Entahlah, mungkin ini sudah menjadi ketentuan yang dicatur atau diacukan oleh politikus itu.

Nah, dan paling pelik ialah di kampung saya, rakyat dari parti lain tidak dibenarkan hadir ke rumah terbuka orang UMNO dengan alasan takut melompat parti (dikhuatiri melakukan proses jual-beli maruah parti). Malah sekonyong-konyong juga, tiba-tiba dalam waktu yang sama tersebar berita untuk menubuhkan akta perpaduan? Aneh, ajaib dan gila sungguh mereka ini. Mereka nak bercakap soal perpaduan tetapi mereka sendiri tidak faham konsep perpaduan. Mereka hendak bercakap soal keharmonian sedangkan mereka mengharamkan persefahaman. Mereka inginkan keamanan dan kedamaian sedangkan mereka mencipta sebuah agenda berjenama rusuh.

Saya pulang ke kampung tradisi dengan satu renungan panjang sambil menarik nafas keresahan yang kian menggila. Saya sedih apabila merasai kehilangan demi kehilangan tradisi syawal di kampung saya berlaku secara leluasa akibat pemikiran politikus yang tamak, rakus dan GILA.

Saya pulang ke kampung tradisi dengan kenangan dan kenangan yang melukakan.

Saya teringatkan sajak Sitor Sitomorang;

Malam lebaran
Bulan di atas kuburan.

II

Lebaran ini banyak memberikan ruang untuk saya membaca setelah melihat saya seperti berada di 'negeri lalalang'. Antara lain saya sempat membaca novel yang berkisah tentang air mata dan lautan. Saya membayangkan bagaimana air mata ingin menandingi jumlah air laut. Itulah persoalan yang berjungkir balik dengan perkiraan berapa ramaikah manusia bernama Melayu perlu menangis untuk mendapatkan jumlah yang sama seperti air laut? Tentunya perkiraan ini gila dan bodoh? Tetapi saya perlu berfikir ke arah itu supaya air laut tidak bertukar menjadi air mata atau lebih tepatnya saya tidak ingin melihat laut menangis melihat kerenah manusia hari ini yang sedang mencabar kudrat dan iradah Tuhan.

Salam muhasabah diri.

Sabtu, 4 Oktober 2008

PANTUN RAYA


Bunga selasih di tepi pohon,
harum menyerbak ke lubuk hati;
salam kasih maaf dipohon,
tanda cinta subur di hati.

Berjabat salam rindu diakrabi,
senyum ikhlas jujur mengiringi;
salah dan silap mohon dimaafi,
bekalan ke akhirat sebelum mati.

Burung undan di pucuk meranti,
merenung laut ikan dinanti;
rahmat ramadhan kita penuhi,
aidilfitri tanda jiwa mensyukuri.

SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Khamis, 25 September 2008

KETAKUTAN YANG MENGGILA

Syukur Allahamdulillah kerana selepas 25 ramadhan, Allah masih menganugerahkan kesihatan yang baik kepada diri saya untuk terus melihat dan membaca. Rutin kerja yang mendesak - seakan sedikit tidak mengizinkan saya untuk aktif dalam blog ini. Bukan itu sahaja, ada beberapa faktor lain juga yang mengekang fikiran ini untuk dikongsikan.

Semalam, sewaktu duduk bersila mendengar tazkiran tarawikh, ada sesuatu yang menyentuh; kata ustad yang memetik ayat az-Zariat:56-58 bermaksud;

"dan Aku (aalah) tidak menciptakan jin dan manusia hanyalah untuk berbakti sahaja kepadaku. Aku (Allah) tidak ingin daripada mereka sedikit pun rezeki atau kepuasan hidup, dan aku tidak ingin agar mereka memberi aku (Allah) makanan. Sesungguhnya Allah, Dialah pemberi rezeki dan Maha Mempunyai kekuatan yang Perkasa."

Ustad bercerita panjang lebar tentang nasib bangsa dan pemerintah hari ini yang terlalu angkuh, bongkak dan sombong. Mereka seperti menjadi penentu kepada rezeki manusia di muka bumi Allah ini. Kesombongan dan keangkuhan itu dicanang di seluruh media perdana bahawa negara dan manusia di negara ini seolah-olah akan mati kelaparan, ekonomi akan menjadi lumpuh, rakyat akan merusuh sekirannya berada di bawah kepimpinan orang lain.

Inilah sebuah ketakutan yang menggila. Budaya ini sedang meresap di dalam seluruh sanubari dan fikiran penguasa kepimpinan negara. Mereka tidak sedar bahawa semua nikmat itu adalah pinjaman yang bersifat sementara. Beberapa pertanyaan berjungkir balik dalam fikiran saya. Adakah kepimpinan kita tidak sedar akan perihal maksud ayat-ayat mukjizat itu? Atau mereka sedar tetapi mereka sengaja ingin mencabar kudrat dan iradah Illahi? Atau apa? Bagi percaturan minda saya yang dangkal dan mudah
ini ialah mereka tidak pernah belajar dan cuba mengerti. Saya juga berdoa agar mereka cepat memahami bahawa kuasa dan pemberi rezeki itu berada dalam ketentuan Allah.

Pulang daripada surau saya segera mengambil kitab Minhajul Abidin Karya Imam Abi Hamid Mohammad Al-Ghazali dan diterjemahkan oleh Haji Engku Ali Engku Endut. Kitab ini saya beli minggu lepas di PekanBuku UM bersama-sama Rahimidin Zahari. Saya segera menyelak laman kandungan sambil mencari sesuatu yang terhukum di kalbu. Mata saya terhenti kepada tajuk 'Hawa Nafsu Musuh Paling Merbahaya'. Apa yang saya simpulkan daripada bacaan itu ialah; sesungguhnya nafsu itu musuh paling merbahaya, bala yang paling sukar dihindarkan, rawatannya sesuatu paling payah untuk sembuih, penyakitnya paling sukar untuk dirawati dan ubatnya amat rumit untuk ditemui. sesungguhnya juga bahawa hanya waspada sahaja benteng paling baik untuk diamalkan.

Nah, kerana nafuslah manusia hari ini menjadi gila. Pemikiran mereka terkeluar daripada norma manusia biasa. Bagi mereka, kuasa seperti cinta yang sukar dilepaskan; kuasa seperti rindu yang terhukum dan kuasa adalah segala-galanya. Cara mereka berfikir seperti cara kancil berfikir; cara mereka bercakap seperti harimau mengaum; cara mereka berjalan seperti gajah melangkah; cara mereka melihat seperti helang di angkasa dan cara mereka makan seperti anjing melapah bangkai. Perkiraan nafsulah menyebabkan mereka berperilaku sedemikian.

Saya berkira-kira lagi dengan kelemahan diri sendiri, wajarkah dengan menurunkan harga minyak 10 sen itu akan dapat memenangi hati rakyat setelah kerakusan bermaharajalela dan menggila? Bukankah sewaktu berada di dalam bulan mulia ini, kita sewajibnya bermuhasabah diri.

Cukup-cukuplah dengan apa yang sedang dan sudah dinikmati selama ini. Apa kiranya sama-sama kita merenung nasib rakyat miskin yang mungkin tidak dapat menikmati makna aidilfitri secara sepenuhnya. Bertanyalah juga kepada rakyat yang menderita, sudahkah mereka memaafkan kita yang sering bertindak mengikut nafsu dan bukan perkiraan akal budi?

Justeru, sempena lebaran yang kian berkunjung ini, marilah sama-sama kita renung kembali perjalanan hidup masa lalu sambil berfikir adakah kita disenangi oleh rakan taulan, sanak saudara mahupun rakyat jelata?

Saya berdoa agar pada lebaran kali ini, para pemimpin parti yang beragama Islam akan dapat mengimarahkan budaya kunjung mengunjung ke rumah sambil bermaaf-maafan. Budaya kunjungan ini bukan bermakna budaya memancing atau meraih simpati untuk melompat parti.

Inilah yang saya khuatiri berlaku, iaitu orang UMNO tidak akan berkunjung ke rumah orang PAS atau PKR, begitu juga orang PAS dan PKR tidak boleh berkunjung ke rumah orang UMNO kerana takut proses melobi lompat parti akan berlaku. Jika hal ini disalah anggap, makanya tiada maknanya media kerajaan melaungkan semangat muhibah kunjung mengunjung itu.

Lalu inilah yang saya namakan 'KETAKUATAN YANG MENGGILA' oleh kerana nafsu.

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempataan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN kepada pengunjung blog 'Tanah Nurani' ini. Mengertilah bahawa jarak antara kita akrabnya selapis cahaya.

Salam marfirah.



Khamis, 18 September 2008

SALAM PUISI

Syukur, sekian lama saya tidak dapat menukilkan fitrah yang Allah kurniakan, dua hari lepas saya dapat memesrainya kembali. Inilah puisi pertama sepanjang tahun 2008. Amin.

SEKUNTUM MAWAR DI JAMBANGAN SYAWAL
(Percakapan Kepada Seorang Kekasih VI)

Harum mawar yang mengikat sayap ramadhan
mengejut khusyuk iktikaf malamku
sepasang sepi yang menari di hujung hari
datang dan menyapa
mengusap-usap ubunku
sambil meminta aku mengaminkan;
”Ya Rabb,
berikan aku waktu untuk memudiki
sungai nikmat dan hidayah
aku mimpikan muara bahagia.”

Sepuluh malam terakhir begini
kesyahduan syawal seperti lintah yang menyedut
alunan lebaran saling bertingkah
antara rengek anak-anak dan resah menggugah
aku memilih sebuah kesunyian.

Kubaca waktu yang memanjat tiang hari
seperti subuh yang menerangkan tabir waktu
kubaca peribadi yang sepi dalam diri
seperti terang yang bersinar di langit matahari
kubaca keindahan yang terbentang di dada malam
seperti lailatulqadar menanti kunjungan
kubaca semuanya demi untukmu
sepasang cinta dari taksub insani.

Di juzuk kampung tradisi
kudengar bisik juwitaku
mengutus setanggi doa
sebelum pulang dan
meninggalkan seberkas nama.


SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Selasa, 16 September 2008

API DALAM SEKAM

SEPERTI ada sesuatu yang mendesak dan meronta di dalam diri. Saya perlahan-lahan melabuhkan tubuh di atas sofa rotan buatan tempatan. Berbaring kemudian duduk semula. Telinga saya menangkap bait-bait suara yang keluar daripada corong suara televisyen- Berita Perdana. Mata yang sedikit lesu saya gagahkan juga untuk menatap gambar-gambar tokoh politik Melayu yang berulang tayang dengan dialog bahasa Inggerisnya yang tergagap-gagap.

Saya teringatkan puisi Tongkat Warang yang antara lain berbunyi; 'siakap senohong gelama ikan duri; bercakap bohong lama-lama menjadi menteri'. Bait-bait itu berulang tayang dalam fikiran sewaktu saya mendengar pertuturan para politikus tanah air yang bercakap bahasa inggeris sekerat dan bahasa Melayu sekerat. Malah saat itu juga saya memikirkan apakah tanggapan orang luar yang berkunjung ke negara kita ketika menonton siaran tv kita. Mungkin mereka memikirkan inikah bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Tapi anehnya kenapa menteri aja yang bercakap begitu tidak rakyat jelata; setidak-tidaknya macam saya yang tahu asal usul dan perlembagaan bangsa dan bahasanya.

Haipokrit sungguh mereka ini? Kita amanahkan mereka untuk mempertahankan nasib bangsa dan bahasa tetapi mereka pula yang melacurkannya. Jika mereka benar-benar ingin berpegang kepada prinsip perpaduan, kenapa tidak dalam satu-satu masa ketika muncul di tv itu, mereka bercakaplah dengan sekerat bahasa inggeris, sekerat bahasa Melayu, sekerat bahasa cina dan sekerat bahasa tamil. Nah, baharu betul berbahasa dalam konsep perpaduan!

Hari ini 16 September; makanya hari bersejarah kepada negara bernama Malaysia ialah Hari Pembentukan Negara Malaysia. Ini bermakna juga bahawa kita sepatutnya sudah mempunyai nilai-nilai jati diri sendiri dan memiliki nilai-nilai sepunya. Tanpa ada rasa ras dan perkauman kita sekurang-kurangnya telah berjaya berada di puncak. Tapi bagaimana nasib negara kita hari ini? Saya mula merasai banyak kebimbangan dan kemungkinan lain yang tidak terfikirkan boleh berlaku.

Justeru, bertanyalah kepada diri kita sendiri, adakah dalam kehidupan ini falsafah 'api dalam sekam' dan 'gunting dalam lipatan' masih hidup atau telah mati?

Hari ini sahaja ada 2 orang tokoh penting negara disaran oleh rakan-rakan seperjungan mereka untuk meletakkan jawatan. Saya tidak dapat bayangkan apabila orang yang sama-sama cuba membangunkan negara Malaysia tiba-tiba bercakaran sesama sendiri. Percakaran mereka bukan seperti percakaran harimau atau kucing. Percakaran mereka penuh dengan satira dan madah seloka dan media menjadi pengantara.

Nah, inilah sebuah kehidupan yang terpaksa saya lalui meski pahit untuk ditelan. Dalam kesempatan ini, izinkan saya melepaskan keluh yang rusuh, "kepada siapakah lagi yang ingin saya sandarkan harapan untuk menikmati makna bahagia dan berkasih sayang?"

Saya bangun daripada sofa rotan, mengambil kopiah kemudian menuju pintu. Saya perlu segera menuju surau untuk mengerjakan solat isyak, tarawikh dan witir. Saya tinggalkan percakaran antara dua politikus negara di kaca tv. Saya tinggalkan mereka semua dengan doa supaya mereka diberikan hidayah dan patut mengambil ikhtibat daripada pandangan Abu Zahar tentang UMNO perlu perpegang kepada perlembagaan parti bukan berpegang kepada prinsip perut dan tamak kuasa.