Isnin, 28 Januari 2008

Sakit Itu Muhasabah



Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar.
Sepi seketika kerana aku diuji oleh kebesaran Allah SWT. Sebenarnya, sebelum kejadian petang itu (22.01.08) aku, Tn Hj Nafii Mat dan Tn Hj Omar Mamat dengan menaiki kereta CRV Hj Omar Mamat kami menghabiskan sepetang di syarikat Sasbadi, Damansara. Kerja kami ialah menyudahkan kerja-kerja terakhir penerbitan buku kanak-kanak (adaptasi teks Sejarah Melayu). Dalam perjalanan pulang, kami bertiga mengumpat dan mengenang nasib kawan penulis lain yang menjadi mangsa tipu rakan-rakan penulis lain. Mungkin kerana mengutuk, mengumpat dan mencerca itulah aku diturunkan bala oleh Allah. Aku terima derita dan sakit ini jika itu semua dapat menghapuskan dosa-dosa kering yang aku lakukan. Selepas solat asar di Masjid IB, aku pulang menonggang motor. Dalam perjalanan itulah aku dirempuh oleh sekumpulan mat rempit. Bahu kiri aku patah. Syukur juga aku tak mati.

Hari ini ialah hari ke lima aku di rumah. Tangan kiri dah mula terasa pulih sedikit. Paling penting aku boleh angkat tangan, bertakbir untuk terus menghambakan diri kepada Illahi. Syukur dalam nikmat. Ujian ini hanya sekelumit daripada proses pengampunan dosa. Kepada rakan-rakan yang mungkin terasa dengan cerita ini, aku mohon maaf banyak-banyak.






SAKIT ITU MUHASABAH


terlantar di ranjang kesakitan
air mata adalah penawar
dan teman yang paling memahami
semuanya mengajar aku
takwil muhasabah dan takdir
tafsir ujian dan kekuatan
selapis iman yang nipis

saat ini
cermin yang setia di sisi
kurenung penuh mendalam
dan setiap kali menyolek diri
yang terpamer adalah
seberkas dosa berwajah kesilapan
dan setiap kali ketika cuba memadam kesilapan
yang kurasai adalah bahang kepedihan

ketika resah menujah di perbaringan
sebuah ranjang dan sebingkai cermin
adalah semiotik kesakitan
yang tidak pernah berdusta

terima kasih ya Rabb
yang mengirimkan kesaktian
untuk aku memahami makna sihat.

shamsudin othman
madrasah sham aljohori,
kuala lumpur.

19 muharam 1428H

ii
Cerita Hikayat Politikus Terompah akan disambung kemudian kerana aku tidak berdaya menaip terlalu lama. Sakitnya sesekali menggigit ke tulang. Doakan agar aku segera sembuh.





Sabtu, 19 Januari 2008

Salam 10 Muharam dan Hikayat Politikus Terompah

i
Maaf kerana lama tidak menjelma akibat pengodaman blog ini oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu, mulai tarikh ini, ingin saya maklumkan bahawa;

Sebarang cerita yang termaktub dalam blog 'Tanah Nurani' ini TIDAK berniat menyentuh mana-mana pihak atau melampaui susila Melayu. Saya hanya berseloroh untuk mendamaikan hati yang lara. Maaf seadanya daripada hujung rambut hingga hujung kaki. Kepada yang terasa hati, merasa hati, atau berasa hati; saya yang tidak berniat apa-apa itu mohon berbanyak-banyak kemaafan.

ii... sambungan Hikayat Politikus Terompah


Tok Pawang mengeluarkan bungkusan daripada ikatan kain pelikat cap Gajah. Terbeliak mata Dato' YB apabila melihat barang-barang yang ada di dalam kain itu. "Apa azimatnya barang-barang tu, Tok Pawang?"

Tok Pawang tidak segera menjawab. Dia merenung wajah YB dengan pandangan tajam dan mencurigakan. YB menelan air liuhnya dalam-dalam. Dia berapih pandang. Pandangannya dilemparkan jauh ke luar tingkap. Mungkin dia dapat melihat Onn dan Din Waja dan sedang mengumpat diri YB. Atau mungkin juga YB mengalihkan pandangannya daripada Tok Pawang kerana takut melanggar tulah. YB tahu pantang larang ketika berhadapan dengan Tok Pawang. Tetapi mungkin kerana tidak sabar, dia terlanggar pantang itu sebantar tadi.

"YB ni, mulut jangan bacul. Tengok sahaja apa yang akan saya lakukan. Jangan tegur atau menyampuk. Nanti yang empunya diri jadi tak sudi dengan kita. Parah dan teruk kita dibuatnya." Pintas Tok Pawang yang tidak memandang sedikitpun wajah YB. Dia tekun menguliti kerja-kerja rutinnya itu. Itulah kerjanya sejak dia berusia 18 tahun. Sehari demi sehari hingga tahun berganti tahun, kepakarannya sebagai Tok Pawang kian menjadi. Dan sejak akhir-akhir ini, dia menjadi rebutan YB pula. Empat tahun dulu YB Pandir yang sering berkunjung ke terataknya. Itu cerita empat tahun dulu, sekarang ini giliran YB Kadok pula. Esok lusa mungkin giliran YB Luncai agaknya. Tapi bagi Tok Pawang, siapa pun YB yang datang dan berdamping dengannya, dia akan pastikan YB itu mendapat kejayaannya. Bagi Tok Pawang, setiap pelanggan mesti dilayang dengan baik. Tok Pawang tidak pernah memilih pelanggan. Bagi dirinya, siapa yang datang bertemu dengan dirinya pasti akan dilayan dengan sebaik-baiknya. Dia benar-benar ingat pesan kedua ibu bapanya supaya jangan mengecewakan orang yang meminta bantuan. Atas dasar pesanan itu, Tok Pawang akan cuba sedaya mungkin membantu dan memenuhi kehendak pelanggannya.

"YB, ini tengkorak janda muda mati dibunuh. Balik nanti kena perasap dengan kemenyan. Sebaik-baiknya, sebelum diperasap, langir dulu dengan air limau nipis tiga biji setangkai."

Cahaya senja yang menyusup masuk di sulah-sulah dinding teratak Tok Pawang kelihatan kelam di dalam teratak. YB hanya memerhati lagak Tok Pawang sambil menjeling jam berjenama Bonia di tangan kirinya. Mungkin hati kecilnya berdetik bahawa malam hampir menjelang. YB menyembunyikan resah yang bersarang dalam hatinya.

"Elok sangatlah sebab malam ni malam Jumaat keliwon. Orang Jawa kata, malam ni seluruh penghuni alam ghaib akan turut bermesyuarat. Kalau YB dapat mulakan malam ni lagi baik. Jumaat keliwon diikuti dengan dua malam berturut-turut tu biasanya tak menyusahkan sangat kerja kita nanti. YB kena buat sendiri. Jangan suruh anak isteri. Takut nanti mereka kena tegur. YB tak apalah sebab saya dah pasang pendinding."

YB tak menjawab atau mengelus sepatah haram suara pun. Dia hanya memasang telinga, mendengar dan menanti apa-apa arahanan seterusnya.

sambung......

iii


Petang tadi, di bucu mamak dekat DBP; aku, Rahimidin dan Luqman Hakim menghabiskan sepincing petang berborak tentang kembara ke Phnom Penh-Saigon-Sg. Mekong. Kami teringatkan S.M. Zakir dan M.Saleeh Rahamad yang licik. Tapi paling menyedihkan ialah apabila M.Saleeh dan Amiruddin bersajak sambil sesekali menyanyi lagu-lagu jiwang dalam bas kerana tidak tahan melihat telatah S.M. Zakir yang licik macam ulat bulu naik daun. Aku, Rahimidin dan Saifulizan Yahya yang malas nak fikir lalu makan roti kering yang ada.



Isnin, 14 Januari 2008

Al-Kisah Politikus Terompah


BERMULA kisah ini ketika semua orang sedang berteka-teki akan hadirnya pilihanraya umum. Masing-masing punya kepakaran dan keajaiban tersendiri termasuk tok bomoh, tok dukun dan tok pawang. Hairan dan ajaibnya, sejak dua menjak ini semua politikus juga berlumba-lumba mencari ketiga-tiga manusia yang aku maksudkan tadi. Tujuannya hanya satu supaya mereka dapat mempertahankan kedudukan, kekebalan dan kekuasaan.

"Wah, di rumah tok bomoh tu ada kereta BMWlah. Kalau tak silap itu kereta Dato' Em. Empat tahun sudah aku pernah tengok kereta itu di rumah tok pawang. Tapi kenapalah kereta tu ada di rumah tok bomoh?" Onn memulakan bicara sambil anak matanya merenung wajah bulat Din Waja.

Din Waja yang sedang menghirup tek tarik di kedai Janda Saloma tersedak. Ada batuk-batuk kecil yang menyusul kemudian. Diletakkan gelas putih berjenama Pokai buatan China itu di meja plastik buatan Malaysia. Sambil merenung kereta BMW tu, dia mencelah, "biasalah tu. Itu tandanya pilihanraya dah nak hampir. Saat inilah tok bomoh nak buat duit. Rumah dia pun dah nak roboh. Dulu dia dijanjikan kalau parti Dato' Em menang, rumah tua akan bertukar wajah. Tapi dah 50 tahun, rumah tua tu masih macam tu juga. Entahlah."

Onn mengeluarkan rokok Dunhill Light biru dari poket seluarnya. Rokok itu dihempas ke meja. Dia merenung wajah Din Waja sambil merengus. "Bodoh betul tok bomoh tu."

"Laaa, sebab dia bodohlah dia jadi tok bomoh. Kalau dia pandai dah lama dia jadi menteri dan pakai kereta besar. Punya rumah besar dan kaya raya. Apalah kau ni. Kalau dia pandai juga ditambah lagi dia tahu ilmu-ilmu hitam, aku rasa dia lebih popular daripada Jamal Abdillah atau Bush." Din Waja memotong kata-kata Onn sebelum sempat Onn meluaskan bicaranya.


sambung ....


ii

Mendengar, membaca dan menonton berita sejak dua menjak ini menjadikan aku sedikit resah. Cerita kehilangan seorang anak kecil yang tidak berdosa. Cerita pembunuhan ahli politik. Cerita kelucahan menteri. Cerita kebodohan menetri. Cerita kehebatan dan keberanian menteri. Cerita orang sakit dan macam-macam lagi cerita yang dipaparkan itu menjadikan aku kian takut menetap di sebuah negara Islam bernama Malaysia. Ini tanah air aku. Aku dilahir dan dibesarkan di tanah air ini, tetapi anehnya aku dilayan seperti orang asing.

Ketika aku berada di luar negara, orang di sana kata bersyukur aku jadi rakyat Malaysia. Mereka puji negara ini. Mereka sanjung negara ini. Tetapi apakah yang sedang berlaku sebenarnya. Pembunuhan, kekejaman, kezaliman, penindasan dan kehuruharaan sedang bermaharajalela di Malaysia.

Aku cuba membaca kitab-kitab tua yang sarat dalam almari buku ayahku. Akhirnya aku temui sedikit jawapan. Dan mungkin ini jawapannya.

Apabila pemimpin itu merasakan dirinya hebat dan tidak mengakui apa yang termaktub di dalam kitab AL-Quran dan menolak apa-apa yang menjadi pegangan rasulnya (Nabi Muhammad SAW), maka terimalah ujian demi ujian sebagai lambang bala' yang Allah turunkan.

Aku melihat ke dalam diri dan bercongak-congak, apakah Allah sedang menguji umat Melayu kerana mereka mula menafikan hak Al-Quran dan hadis. Jika betullah perkara itu yang sedang berlaku, maka terimalah bala' yang Allah akan turunkan. Aku perturunkan ayat 36 daripada surah Al-Israa yang bermaksud;

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan pengelihatan serta hati semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

iii
Dunia dan tanah air aku ini sedang dicaturkan.

Rabu, 9 Januari 2008

DUA PUASA YANG LAIN TANAHNYA.

Dua pusara yang menjadi mukadimah hari ini.

Pusara di Senggarang, Batu Pahat, Johor.

i

Blog aku dilayari oleh seorang anak murid aku ketika di S. Alam Shah dulu. Rais namanya. Dia kini berada di tanah eropah dan baru sahaja pulang dari tanah al-andalus. Syukur kerana dia masih mengingati aku dan aku akan terus mendoakan kejayaannya. Jadilah manusia yang ingat akan pesanan cikgu iaitu, "meski di mana sekalipun kita berada, ingatlah akar jati diri dan perjuangan membela nasib bangsa dan agama."

ii

Pusara Rejim Khmer Rouge, Kemboja

Semalam aku dihubungi oleh seseorang yang sampai akhir perbualan tidak mahu memperkenalkan dirinya. Dia menasihati aku supaya jangan menjadi pensyarah yang ingkar akan pemerintah. Terima kasih saudara.

iii

Hari ini aku nak berkongsi cerita tentang hal 'minyak makan' dan 'tepung'sebab aku tidak dibenarkan bercakap hal-hal kependidikan dan kepolitikan. Jadi biarlah aku bercakap hal-hal ekonomi negara pula.

Aku sendiri tak pasti kenapa hal ini berlaku sedangkan, negara kita ialah negara pengeluar minyak masak utama dunia. Negara kita masih dipenuhi dengan pokok kelapa sawit. Malah ramai pendatang asing bergegas ke negara untuk menjadi peladang dan menguruskan ladang kepala sawit. Ke mana perginya minyak daripada kepala sawit itu?

Aku kesiankan emak dan ayah aku yang berada di kampung. Mereka suruh aku pulang hujung minggu ini dengan pesanan bawa balik banyak-banyak minyak masak dan tepung.

Kata emak, "kat kedai Pak Abu dah tak ada. Kedai Ah Kau tak ada. Kedai Sammy tak ada. Kedai Joyah janda tu pun dah tak ada. Kat pasar raya di pekan lagi tak ada. Kau balik nanti belilah banyak-banyak sikit, nanti boleh juga bagi jiran-jiran kita."

Aduh, syahdunya aku mendengar cerita emak aku itu. Sebenarnya emak aku pun tak tahu bahawa bekalan dua barang ini pun dah tiada di Kuala Lumpur.

Itu luahan emak aku.

Di media sama ada akhbar atau tv, sang menteri, pembekal dan penjual macam lagu "Bangau Oh Bangau", saling menuding jari kepada orang lain. Tapi yang menariknya apabila seorang anak muda lelaki menjawab, "itu kena tanya menterilah. Penat aja kita pangkah dia. Jangan asyik bercakap berdekah-dekah, hebat dan mencabar tetapi tak turun padang. Tengoklah apalah berlaku sekarang?" Wah, hebat pemuda itu.

Betul ke cakapnya itu?

iv

Aku paparkan gambar dua pusara dari tanah yang berlainan. Satu di Kemboja dan satu lagi Malaysia. Kenapa dan apakah signifikannya?

1. Mungkin kita sedang dilanda oleh bala akibat kita semua salah memangkah menteri. Kita tidak ikut hadis yang menerangkan, "apabila kita memilih pemimpin yang bukan daripada bidangnya maka terimalah bala yang Allah turunkan."

2. Inilah saat ujian Allah kepada kita. Orang lain yang melakukan dosa, kita yang tidak berdosa kena tempiasnya sebab Allah akan menurunkan bala kepada sesuatu kaum bukan individu.

3. Meski di mana pun kita berada, akhirnya kita akan menjadi warga kubur. Kita akan melalui proses kehakiman dan pembalasan.


Isnin, 7 Januari 2008

Sebuah Cerita Bernama 'Pendidikan'

Di hadapan Muzium Kezaliman Pol Pot, Phnom Penh, Kemboja.
(Tengkorak ini menyembunyikan duka dan derita sebuah kezaliman)

Rasanya, sudah lama aku tidak serius dalam penulisan di blog. Bukan apa-apa, tetapi atas nasihat Ketua Jabatan, makanya aku terpaksa menafikan gelora jiwa aku yang tidak waras (dari fahaman pemerintah) itu. Tapi, demi untuk meneruskan kehidupan, nampaknya aku terpaksa juga menulis supaya aku tidak menjadi manusia yang tidak waras dalam konteks realiti.

ii
Sejak kes Chua Soi Lek (mantan menteri kesihatan) memeranjakan pentadbiran kerajaan pusat kita terpaksa pula berhadapan dengan sistem pendidikan negara. Kes yang meruncing dari sudut luaran (kritikan terhadap yuran sekoah, ruang belajar yang tidak cukup, kemudahan yang rosak dan tidak berbaloi dikenakan yuran) sehingga masalah dalaman iaitu kehidupan guru dan pentadbiran sumber manusia di KPM itu sendiri.
Apakah kebejatan pemikiran menyebabkan hal-hal ini tidak dapat diselesaikan? Sedangkan usia kemerdekaan kita telah mencecah 5o tahun dan negara kita sering dipuji oleh dunia luar kerana kehebatan kepimpinanan, wawasan dan agenda negaranya.
Malam tadi dalam slot Berita RTM1, Prof Diraja Ungku Aziz memberikan sedikit pandangan yang amat baik dan bernas. Soalnya, adakah Pak Lah atau Hishamuddin mendengar buah fikiran bernas itu? Jika mendengarnya, aku harap mereka berdua perlu duduk semeja dengan pak Ungku Aziz dan jemput juga beberapa sarjana kawakan negara untuk membetulkan kelemahan atau kesilapan yang mula merosakkan sistem pendidikan negara.
Teguran terhadap sistem yang 'berorentasikan peperiksaan' perlu diambil tindakan segera, atau wajar disahut oleh jemaah KPM. Duit daripada peruntukan belanjawan yang disalurkan itu merupakan hasil duit rakyat. Oleh itu, apa salahnya jemaah KPM duduk semeja dengan semua parti yang ada di Malaysia ini untuk berdialog sebagai wadah pencetusan idea. Yang baik kita saring dan laksanakan. Yang tidak baik dan berbentuk hasutan kita tolak mentah-mentah. Bukankah, jemaah KPM itu ditakbir oleh para sarjana juga pemikir Phd, Master dan Ijazah Sarjana Muda. Gunakan fikiran yang dipelajari ketika berada di menara gading tempatan atau luar negara; buat perbandingan dan lakukan sesuatu.

iii
Di menara sempadan Kemboja-Vietnam
(Perjalanan menuju kota Saigon: mencari ...)

Sebelum ini, aku pernah berada di alam persekolah sebagai pendidik hampir 13 tahun. Mungkin aku bukan seorang guru terbaik, tetapi setidak-tidaknya aku bukan pelaksana peraturan KPM yang baik. Aku sering ingkar perintah kerana bagi aku konsep 'MENDIDIK' , 'MENGAJAR', 'BELAJAR' dan 'PENGAJARAN' adalah berbeza. Apa yang aku lakukan sepanjang aku menjadi guru ialah aku 'mendidik' anak-anak murid aku. Maknanya sesiapa yang pernah menjadi anak murid aku, mereka tidak pernah belajar mengikut sukatan pelajaran, penggunaan 100% buku teks dan modul rancangan pengajaran yang ditetapkan. Aku lebih suka mengajar bagaimana mereka boleh berfikir dan melatih kemahiran hidup dengan berbahasa Melayu. Aku mengajar mereka teras berbudaya, aku mengajar mereka teras beragama Islam dan aku mengajar mereka akar kepimpinan Melayu. Daripada teras dan akar itulah akhirnya sebahagian daripada mereka hari ini menjadi manusia bukan orang atau binatang.
Soalnya, apakah aku telah melanggar etika atau telah melakukan kesalahan? Mungkin dengan berfikiran begitu, aku tidak popular di kalangan rakan sejawat; Tetapi sekurang-kurangnya setiap kali hadirnya sambutan Hari Guru (16 Mei); akulah guru yang paling banyak menerima bunga, ucapan sms dan hadiah. Aku tidak minta itu semua.
iv
Hari ini, genap dua tahun aku berada di UPM. Aku bukan guru seperti dulu. Aku penentu nasib guru pula. Fikiran aku harus lebih berfokus. Adakah untuk melahirkan guru yang setiap 25 hari bulan menerima gaji atau setidak-tidaknya mengikuti jejak langkah aku? Jika ikut jejak aku sekali pun, beranikah mereka mengajar tanpa mengikut kehendak KPM?
Kita (rakyat dan manusia Melayu) perlu menyedari apakah sebenarnya makna 'DIDIKAN' itu. Didik ialah ilmu yang terima dan daripada ilmu itu seseorang itu boleh berfikir dan membuat keputusan yang mana baik atau buruk. Istilah dan makna perkataan ini berbeza sama sekali dengan maksud 'belajar'. Oleh itu, aku berharap agar, rakan-rakan aku di IPG, KPM dan di sekolah; sedarlah bahawa tanggungjawab mendidik bukannya mudah. Kadang-kadang kita perlu berani melanggar arus. Arus adalah ilmu yang memungkinkan kita berjaya jika betul alur dan tapaknya. Apa guna air yang mencukupi zat, vitamin dan apa-apanya itu jika tapak tempat mengalirnya air itu penuh dengan najis dan kekotoran.

Fikir-fikirkanlah..

v
Banyak duri perkara duri,
Duri mana duiri yang tajam;
Banyak budi perkara budi,
Budi yang mana dikenang orang?
Salam sebuah pengalaman yang lain.

Sabtu, 5 Januari 2008

seharian di rumah pena

Inilah dua kuntum bunga yang mewangikan laman PENA
sesekali meruntun kalbu
sesekali ....
"tak sangka penyair sufi pun gila ...." kata SM Zakir dan Rahimidin.
Apa-apapun si Amiruddin Ali, M. Saleeh dan Lutfi terus menggigit jari...

kepada Ummu dan Nash jangan ambil hati. Kita orang ni bergurau aja..
Dah boring sebab buat terjemahan puisi dan cerpen kami sendiri untuk terbitan luar negara.