Ahad, 8 Januari 2012

SELAMAT DATANG 1433H/2012

SAYA menulis entri ini setelah 14 hari Safar 1433 menjengah dan 8 hari Januari memasuki tahun 2012. Seawalnya, saya berkira-kira ingin menyepi sahaja kerana mula menyedari bahawa 'kail sejengkal jangan diduga lautan yang dalam' atau 'ukurlah baju pada badan sendiri' itu ada kebenarannya.

Tetapi, begitulah yang ditakdirkan Allah SWT. Seorang penulis tidak akan dapat hidup tanpa pena, kertas atau wadah untuk berkomunikasi. Makanya sesuatu yang dilihat, didengar atau dialami itu sering meronta-ronta dalam fikiran. 'sesuatu' itu seperti bola yang melantun-lantun dalam ruang fikir; melayang-layang dalam langit igau; merayau-rayau dalam rimba akal dan macam-macam lagi. Itulah yang dikatakan, 'alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan' dan 'alang-alang mandi biarlah basah.'

ii
Semalam, saya, Rahimidin Zahari dan anak keduanya sempat menghadiri majlis ilmu di Bukit 9, Rembau. Masjlis 'taman-taman syurga' itu membuatkan hati dan kalbu saya tenang dan damai. Sesekali meredah malam dan bermuhasabah diri dalam suasana sunyi tanpa gangguan deruan kereta atau enjin kapal terbang, saya benar-benar dibawa ke alam hadarah diri.

iii
Saya dihubungi oleh seorang editor sastera melalui sms yang meminta supaya pada tahun 2012 ini ada cerpen saya yang tersiar di akhbar kelolaannya. Katanya, dia baharu sahaja membaca untuk kali ketiganya cerpen saya yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera pada tahun 1990-an dulu. Dia rindu gaya dan naratif saya katanya. Saya tidak memberikan apa-apa jawapan. Hanya mengutus ucapan 'insya-Allah' sahaja.

Menulis cerpen tidak sama seperti menulis puisi. Itulah perkara yang sering saya fikirkan.

iv
Insya-Allah dan doakan juga agar debaran menanti perjuangan akademik saya akan berjaya pada tahun ini. Berulit dengan hal-hal akademik menyebabkan saya sering diselimuti oleh keresahan dan debaran. Mudah-mudahan, Allah SWT merestui kehadiran 'Model Rasa Insaniah' dalam penyuburan sejarah Kesusasteraan Melayu. Saya tidak mengharapkan model ini hebat seperti teori Takmilah, teori Pengkaedahan Melayu mahupun Persuratan Baharu tetapi cukuplah sebagai pilihan untuk mempelbagaikan pandangan dan tanggapan. Bagi saya mudah sahaja, iaitu ciptaan manusia adalah tidak sempurna dan boleh dibahaskan. Itulah sifat manusia yang lemah jika diukur daripada konsep pengabadian kepada Yang Maha Pencipta.

v
Mudah-mudahan pada tahun 1433/ 2012 ini, saya dapat mengorak langkah ke depan dengan lebih baik daripada tahun-tahun lepas.

Kepada-Mu Ya Rabb, saya serahkan seluruh jiwa dan raga ini dengan seikhlas-ikhlasnya. Amin.