Selasa, 22 November 2011

SEBUAH DUNIA YANG LAIN



SEBUAH DUNIA YANG LAIN.

Sebuah dunia yang lain ialah sebuah dunia peniruan alam yang palsu. Hari ini terlalu banyak kepalsuan di dalam sebuah dunia realiti. Apabila Thomas Friedman menulis buku Dunia Sama Rata ini, dan Malib Bennabi menulis buku Fenomena Al-Quran, kedua-duanya sedang memberikan jawapan tentang dunia baru kepada manusia.

Saya sedang membayangkan apakah yang bakal terjadi kepada dunia saya. Apakah yang sedang melanda pemikiran orang Melayu yang kian lupa kepada sejarah bangsa, budaya dan agama? Adakah mereka begitu hebat hingga terasa untuk menjadi tongkat kepada langit sambil cuba menyamarakan dirinya seperti Firaun yang mampu 'menghidupkan' dan 'mematikan' sesuatu.

Beginikah kita pada saat dan detik manusia kian bijaksana tetapi bodoh memaknakan maruah diri. Mudah-mudahan, Fenomena Al-Quran dan Dunia Sama Rata dapat membawa kita kepada sebuah pencerahan.

Ahad, 11 September 2011

MAKNA PENJAJAHAN

TAKDIR menentukan tiba-tiba rakyat Malaysia menjadi celaru dengan konsep kemerdekaan negara tercinta ini. Bayangkan, setelah menikmati erti kemerdekaan selama 54 tahun, setelah melewati zaman sukar melaungkan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!', setelah beristirahat pada setiap tanggal 31 Ogos, setelah bernyanyi bersama-sama allahyarham Sudirman mendendangkan lagu 'Tanggal 31 Ogos', dan bersusah payah belajar sejarah daripada zaman KLSR/ KBSR/KLSM/KBSM dan hingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda di universiti, rupa-rupa sekumpulan Majlis Profesor Negara (MPN) menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British. British hanya penanung dan orang baik yang cuma diamanahkan oleh Raja-raja Melayu untuk mentadbir urus khazanah negara. British dikatakan orang baik yang membantu menjaga keamanan Tanah Melayu daripada ancaman dan kezaliman komunis dan tentera Jepun. Dan paling walang apabila dikataka British adalah penaung Tanah Melayu.


Masya-Allah! Aku kini terbayangkan wajah cikgu-cikgu yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah dan para pensyarah sejarah di universiti. Adakah mereka selama ini seorang pendusta atau pembohong kepada seluruh rakyat yang belajar di bawah bumbung kepimpinan Kementerian Pelajaran Malaysia atau Kementerian Pengajian Tinggi? Jika para guru dan pensyarah ini adalah pendusta, bagaimana dengan keputusan SRP (kini PMR), SPM, STPM aku selama ini? Kelulusan itu perlu dibatalkan SEGERA. Dan, semua guru dan pensyarah aku itu perlu dikenakan tindakan tataterbit kerana mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran atau lebih tepatnya INGKAR kepada tatasusila kerjaya keguruan.


Tetapi, jika guru dan pensyarah aku itu betul, maka Ya Allah ampunkan dirinya, rahmatilah kehidupan dirinya dan jika mereka telah kembali ke alam abadi, aku mohon Kau terangi kegelapan pusaranya dan Kau lapangkan pusaranya.


Hari ini, untuk apa sebuah kuasa besar bernama komenwel jika Malaysia masih menganggotai kuasa besar itu? Untuk apa Tunku Abdul Rahman perlu pergi ke London dengan duit rakyat (rujuk cerita rakyat Tanah Melayu sanggup bergolok bergadai untuk membantu dana ke London)? Untuk apa orang Melayu merelakan British membunuh Tok Janggut, Mat Lela, Panglima Saleeh dan lain-lain? Untuk apa air mata darah rakyat dipertaruhkan atas nama biji timah, getah dan kelapa sawit? Dan untuk apa puisi-puisi, novel, cerpen dan drama sayembara kemerdekaan? Untuk apa tuan-tuan yang dikasih?


Jika kemerdekaan adalah sebuah batu, maka sudah lama ia tenggelam di dasar laut. Jika kemerdekaan itu adalah sebutil kapas, sudah lama ia tidak bergentayangan di angin lalu. Jika kemerdekaan itu adalah air mata, sudah lama ia kering. Jika kemerdekaan itu adalah keringat, sudah lama ia mendarah di dalam daging dan tulang kesumat.


Takdir menentukan tiba-tiba sejarah tanah air perlu ditulis kembali oleh kepala-kepala politik bukan orang pakar dalam bidangnya. Jika hal ini menjadi kenyataan, maka tunggu dan saksilah azab bencana Allah SWT. Jika hal ini menjadi kenyataan, maka dengar dan lihatlah malapetaka apa yang balak menyusul. Dan, jika hal ini menjadi kenyataan, maka kita yang tidak berdosa akan turut sama menerima tempiasnya.


Ketika aku menulis enteri ini, aku sedang membayangkan peristiwa Tunku Abdul Rahman sedang mengangkat tangan sambil melaungkan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" diikuti laungan rakyat yang bergema di Stadium Merdeka. Aku terbayangkan Sambutan Hari Merdeka pada setiap tahun yang di adakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Aku terbayangkan Hussein Onn, Tun Razak, Tun Mahathir Muhammad, Abdullah Badawi dan Najib. Untuk apa mereka bersama-sama rakyat melaungkan slogan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!" Berapa banyakkah duit rakyat yang telah dibazirkan untuk mengadakan sambutan itu?


Tanpa berpihak pada mana-mana parti politik tanah air, sesungguhnya aku bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Cuma sesuatu yang kurang aku sukai ialah apabila kecelaru demi kecelaruan yang tidak pernah dijawab secara adil, ikhlas dan telus.


Ya Rabb, maafkan aku seorang hamba kerdil yang tidak punya apa-apa. Lalu, sudah merdekakah kita?

Jumaat, 26 Ogos 2011

SIAPA GANTI SIAPA










MALAM 27 Ramadan ini terasa lain sekali. Mata tidak letih, fikiran terasa tenang dan perasaan terasa damai. Saya menutup mukjizat Nabi Muhammad SAW dengan rasa rindu yang mendalam setelah cuba memahami bait-bait dan maknanya selepas pulang dari surau. Saya juga baru selesai menguliti buku Ramadan Tetamu yang Dirindui karya Abdul Hadi Awang petang tadi. Dan begitulah rutin saya pada ramadan kali ini, iaitu membaca, membaca, membaca dan membaca.



Tetapi, hari ini degup jantung saya lain sedikit. Saya tiba-tiba teringatkan dunia politik Melayu UMNO-PAS. Lalu terfikirlah oleh saya, iaitu "SIAPA GANTI SIAPA?" selepas PRU ke-13 nanti? Banyak yang saya bayangkan dan sedikit yang saya gusarkan. Banyak yang saya inginkan dan sedikit yang saya khuatirkan. Banyak yang saya jangkakan dan sedikit yang saya bimbangkan. Setelah saya timbang-timbang dengan akal yang tidak sebijaknya, saya mula berkira-kira; lalu percaturan saya kian menggila. Jika PAS menang, adakah Malaysia akan menjadi negara Islam? Jika UMNO menang, adakah Malaysia akan menjadi sekular? Mengapa Islam dan sekular yang saya bangkitkan? Sebabnya kedua-dua parti ini saling menunding jari, sering mengutuk sesama mereka dan sering tidak seiya sekata dalam banyak hal khususnya tentang gagasan negara Islam. Lalu, apa yang bermain di benak saya ialah siapakah yang benar antara bangsa Melayu atau agama Islam? Jika Islam, Islam PASkah atau Islam UMNOkah? Jika sekular, PAS atau UMNOkah yang sekular?



Sebenarnya ada persoalan yang lebih besar dalam persoalan "SIAPA GANTI SIAPA" ini. Pertamanya, untuk apa 'siapa ganti siapa' berlaku jika paksi dan akar silaturahim Melayu-Islam itu diperhalusi. Kedua, mengapa perlu mencari pengganti jika falsafah Melayu 'air dicencang tak akan putus alirnya'. Dan ketiganya, dendam apa yang perlu dipertahankan jika semua ahli politik Melayu tidak membaca buku Melayu Hilang Di Dunia (Khalid Salleh: 2011).


Buku Wak Khalid (rujuk Khalid Salleh yang saya mesrai) tidaklah sehebat tulisan Prof. Shamsul Amri atau Prof. Zainal Keling atau Prof. Ramlah Adam, tetapi buku ini sudah cukup bagi seseorang ahli politik Melayu (juga calon atau sesiapa yang ingin bergiat dalam politik) yang MALAS membaca atau memahami sejarah politik bangsanya sendiri. Buku ini ringan daripada segi persepsi dan andaian tetapi mendalam daripada ketersiratan maknanya. Membaca buku ini sudah cukup untuk kita mengenali asas pemikiran Melayu juga gelodak dendam yang berlaku dalam fenomenologinya.




Oleh itu, soal "SIAPA GANTI SIAPA" yang akan menerajui dan memimpin bangsa Melayu bukanlah satu persoalan yang besar, rumit atau celaru. Semuanya itu akan ditentukan oleh rakyat yang pada hari ini sudah mula memahami, bijak membuat pilihan dan pintar menentukan hala tuju politik Melayu. Generasi lama, tua atau berfikiran jumud terhadap satu parti sahaja sudah mula menjadi generasi serpihan yang jumlahnya kian mengecil. Generasi hari ini adalah generasi berusia sekitar 40-an yang sedang berdiri untuk mengorak langkah dan hidup dalam budaya dunia tanpa sempadan. Di tangan merekalah, undi-undi itu akan bertukar pangkah - sama ada menyokong atau menidakkan. Justeru, usah dipersoalkan makna membalas budi dan terima kasih, usah dipertanyakan makna kesetiaan dan kejujuran jika generasi yang hidup dalam dunia tanpa wayar ini adalah lebih bijak daripada kita. Sama ada generasi ini memilih Islam atau sekular, itulah yang bakal mewarnai corak pentadbiran negara. Saya bangkitkan pandangan ini bukan kerana saya rasis, prejudis atau hipokrit - tetapi inilah hakikat kerana generasi ini tidak boleh dipaksa untuk mengucapkan terima kasih kerana pada akal dan naluri mereka telah tertanam sifat yakin 'Malaysia boleh'.



Nah, wajarkan PAS dan UMNO bersatu seperti yang dipaparkan dalam dua bendera di atas? Wajarkah sebuah parti baharu, berbendera dan berwajah baharu itu tergantung di sepanjang lebuh raya atau jambatan atau menara batu ratusan tingkat? Wajarkah Islam dan sekular itu bersatu seperti air dan minyak di dalam gelas? Saya tidak akan menjawab kemusyikilan ini?



Jawapannya ada di tangan anda untuk menentukan "SIAPA GANTI SIAPA?"

Cerita Sebuah Kenangan


Tanggal 26 Ogos 2011: Kami (rakan PENA dan ITNM) menziarah keluarga balu Aziz Hj Abdullah. Saya meneripa pelawaan rakan-rakan kerana pada waktu allayarham Azizi disemadikan ke alam baqa', saya tidak berkesempatan hadir atas pertembungan majlis ilmu. Syukur, kehadiran kami disambut dengan ramah dan ceria sekali. Tanpa setitis air mata pun yang tertumpah, banyak kenangan demi kenangan yang diluahkan oleh balunya. Wanita berusia 68 tahun (4.4.64) itu, lebih banyak berseloroh daripada bersedih. Kami dibawa masuk ke kamar kreatif, merenung karya-karya yang rapi di rak; merenung gambar dan anugerah yang dimenangi; sambil mencari-cari satu lagi anugerah yang tiada, iaitu Anugerah Sastera Negara yang membawa gelar Sasterawan Negara. Tiada! Dan menurut kata-kata balunya, arwah tidak dapat memiliki apa yang diidamkannya itu.

Kami tinggalkan rumah teres satu tingkat yang biasa-biasa sahaja itu dengan rasa syukur sebelum singgah di pusara dan mengirimkan tahlil dan zikir ringkas.

Menuju pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah di rumah SN Shahnon Ahmad. Kunjung ziarah kami disambut dengan senyuman. Shahnon kelihatan sihat (dalam usia 80-an), cuma pendengarannyanya sahaja sedikit terganggu. Dia bercerita dan kami mendengar. Kami bertanya dan dia menjawab. Apabila soalan beralih kepada "siapakah sasterawan negara selepas ni?", dia merenng sambil memulakan hasrat hatinya, "Belum ada pengarang wanita yang layak. Belum ada juga penulis lelaki yang tergambar dalam bayang." Kami yang sedikit nakal, mengajukan beberapa nama. Dengan bersahaja dia menjawab, "karya dia apa?". Kami terus mengajukan nama-nama lain, jawapannya sama, "dia ada karya ke?"

Kami pulang ke KL dengan hati dan rasa yang puas kerana tujuan kami direstui Allah SWT.

ii
Saya pulang dengan renungan yang panjang sambil membaca novel terakhir Azizi. Kepada Azizi dan Shahnon, moga Allah SWT merestui dan meredai semua anugerah yang dipinjamkan Allah. Amin.

Rabu, 27 Julai 2011

TANAH SANG SAPURBA


SANG SAPURBA MAMAMERU

Berbekal Sejarah Melayu
aku datang kepadamu
dengan segugus kenangan gemulah
Wan Empuk Wan Malini
metos padi bertukar emas
waadat Demang Lebar Daun
dan rintih Sang Sapurba
berwalang ganti
membina maruah dan jadi diri
bangsa bernama Melayu.

Ini tanah Mahameru
terbangun daripada jerih swarnadwipa
asal akal kepada kata
asal sembah kepada adat
asal agama kepada iman
asal segala Melayu yang ada

Di dada Musi
antara Ampera dan Seguntang
puncak yang melangit
ada jamung takjub
terbakar di dadaku
dan keladi bunting
adalah perakam waktu
yang setia ke muara

Ratusan tahun usiamu Sang Sapurba
antara rumah rakit dan masjid agung
aku memilih ratib dan zikir
untuk kubawa pulang
ke negeri abadi.

SHAMSUDIN OTHMAN
Palembang

Isnin, 4 Julai 2011

BERSIH + KUNING = BENING

Tiba-tiba ada ketakutan dan momentum baru apabila perkataan 'bersih' dan 'kuning' menjadi malapetaka rakyat Malaysia. Etimologi 'bersih' yang akrab dengan maksud kebaikan, suci dan indah berubah menjadi perkataan yang menakutkan. Begitu juga halnya dengan warna 'kuning', iaitu kata adjektif yang sinonim dengan daulah diraja atau sistem monarki telah menjadi warna yang diharamkan.

Nah, atas nama apa, perkara-perkara demikian berlaku? Jika atas nama perjuangan, jihad atau pencabulan semuanya hanya tindakan yang tidak berlandaskan ketakwaan kepada Pencipta.

Rakyat Malayisa yang berusia 50-an sudah lama tidak melihat darurat. Manakala rakyat yang di bawah usia itu pula belum pernah melalui pengalaman darurat, pertumpahan darah mahupun peperangan. Mungkinkah semua itu akan menjadi trajedi pada 9 Julai ini? Jika iya, sama-sama kita saksikan apakan sejarah dan malapetakanya yang bakal menimpa. Jika tidak, syukur Allahamdulillah kerana semua itu ada hikmahnya.

Pada saat bulan Syaaban membuka tikai dan meninggalkan Rejab yang murni, kita rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan kecelaruan dan ketidakpuasan hati. Sekelompok manusia mendesak supaya keadilan dikembalikan ke tangan rakyat, sementara satu puak lagi melihat kezaliman dan kerakusan adalah matlamat peribadi yang perlu ditunaikan. Inilah dua agenda yang tidak pernah ditemukan di atas sebuah meja bernama perundingan. Masing-masing dengan keyakinan diri yang tinggi bahawa mereka adalah betul, bersih dan penegak kebenaran.

Adalah sesuatu yang amat sukar untuk bercakap soal keadilan dan kebenaran secara tuntas jika tidak bersandar kepada al-Quran, Hadis dan ijtihad. Keamanan, perpaduan dan persaudaraan adalah tuntuan wajib Islam. Dalam surah al-Hujurat: 10 maksud firman Allah, iaitu "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."

Ketika masyakarat Barat mula bercakap soal 'The Dream Society' atau 'Information Society' kita rakyat Malaysia masih bertelagah tentang makna hubungan sesama masyarakat itu sendiri. Kita bercakaran tentang soal rasis, soal ketuanan, soal agenda parti dan macam-macam soal titik bengik yang tidak memungkinkan kesepakatan atau keseiyakataan. Masyakat kian bersifat enau dalam belukar atau mereka sedang gagah mendokong biawak hidup. Dua falsafah Melayu ini tidak terurai sebaliknya mereka seakan-akan menidakkan kebijaksanaan nasihat nenek moyang mereka.

Saya bersikap positif bahawa jika perkataan BERSIH dan KUNING digabungkan maka akan wujud perkataan BENING, iaitu perkataan yang membawa maksud damai, tenang dan indah. Mengarifi maksud perkataan 'bening' tentunya kita akan terimbau jauh akan kehidupan sebuah masa lalu yang indah. Cuba kita bayangkan, pada waktu pagi dan melihat keindahan alam yang hijau, alangkah beningnya saat itu. Jiwa yang kusut menjadi tenang; fikiran yang gelora terasa damai dan tenteram. Nah, indahkan?

Mari kita kembali kepada tanggungjawab kita sebagai insan kamil. Menjaga amanah yang Allah SWT pinjamkan dalam kesementaraan ini lebih baik daripada kita menjolok sarang tabuan; tabuan tidak mati kita yang menanggung derita disengatnya.

Selamat kembali ke tanah nurani untuk mengarifi makna perjuangan.

Jumaat, 1 Julai 2011

ZAT CINTA

Kau hulurkan aku madu

dari cangkir mukjizat Muhammad

nafsu dan imanku luhur

mengalir tak tertadah.


Aku mencium harum mawar

yang basah di tubuhku

saat bau tanah

mendakap ke dada.


Segugus cinta di tangkai kabut

tiba-tiba seperti belati

menusuk sukma

darahnya menutup

bau tanah tubuhku.


Dalam diriku ada Zat-Mu

dalam Zat-Mu ada cintaku

dengan rindu

kebebat kebesaran-Mu.


Shamsudin Othman

Madrasah Sham al-Johori.


ZAT API

jangan kau cari tangisku
dalam puisi-puisi yang kutinggalkan
atau dalam laci kalbu
yang setiap saat merintih kasih-Nya

jangan kau tanya air mataku
tentang cinta yang terbakar
mengangkat asap gelap ke relung kabut

dengan air mata
aku mengarifi zat api
yang bersatu di dingin sungai-Mu

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Isnin, 20 Jun 2011

KE NEGERI ABADI

(Bersama-sama allahyarham Amirul Fakir)


KE NEGERI ABADI
(mengenang penyair Amirul Fakir)

kau pergi dengan segugus salam yang bersambut
antara ziarah dan nota yang kau tinggalkan
aku memilih pengalaman deritamu
yang kau kirimkan lewat sms
dan sebak yang membadai di kalbu

masih kuingat
seusai asar yang bersalut duka
kau jabat tanganku
kau rangkul tubuhku
seperti kekasih yang terhukum rindu
aku merelakan dengan rintih
dan air matamu menitis ke bahu

seperti juga Amir Hamzah dan Iqbal
kau menyusul dengan kerelaan
reda isteri, anak-anak dan taulan
adalah doa kekasih
yang tak kunjung sepi
bertebaran di langit Tuhan

Kepada kau sang penyair alami
sepi dan terasing adalah keindahan
hening cahaya dalam gelita
adalah negeri kepastian
sebuah janji dari ketentuan

Duhai kau sang penyair alami
aku juga bakal ke sana
negeri abadi yang hakiki.

Shamsudin Othman
KL-Ipoh-KL

Khamis, 19 Mei 2011

AKU, AZIZI DAN ARENA WATI (ALLAHYARHAM)

(Azizi Hj Abdullah, Arena Wati (allahyarham) dan aku)

16-17 MEI 2011: SAYA, Rahimidin Zahari, Ridzuan Harun dan Ariff Mohammad menyusup antara gelap malam dan hujan yang berderai menuju ke Pulau Pinang. Hajat dan impian kami satu sahaja, iaitu 'menziarah Azizi' yang terlantar hampir 2 minggu di hospital.

Perjalanan tidak akan bernama kembara jika tiada cerita. Kembara hati dengan kembara mata adalah dua hal yang berbeza. Kembara kami adalah kembara hati dan perasaan . Dan dengan perasaan itulah maka saya tidak menggantuk memandu kereta sepanjang perjalanan. Cerita, dan kisah masa lalu berjungkir balik menemani kami. Hanya Ridzuan Harun sahaja yang sesekali beriya dan lebih banyak memilih kesenyapan (tapi tidak memilih tidur). Dia adalah seorang pendengar yang baik.

2.45 pagi kami melelapkan mata seketika di rumah tumpangan pilihan Ariff (bekas orang Pulau Pinang yang terhukum di dalam kerinduan dan nostalgia cinta). Rahimidin Zahari sesekali menjadi petunjuk jalan apabila Ariff sesat dalam kenangan.

Selepas sarapan, kami ke Chowrasta, mencari buku-buku lanka dan membawa jeruk pulang. Sekitar jam 2.20 petang kami sudah berada di wad 116, CICU.

Sebak hati saya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Mulut, hati dan akal saya menenangkan jiwa yang seperti tidak percaya bahawa insan yang terlantar dengan kelengkapan perubatan itu adalah Tukya (Azizi Hj Abdullah). Di wajahnya sedikit sembab dengan kelopak mata sedikit terbenam ke dalam. Hanya doa dan kehibaan yang terlontar ikhlas daripada hati nurani saya. Mudah-mudahan Tukya akan kembali menceriakan hidup kami. Saya teringatkan ketawa dan sindirannya ketika kami melepak di bucu (warung mamak berhampiran DBP). Dan, saya teringatkan cerpennya "Tubuh Tanpa Aura" (Dewan Sastera, Februari 2011) yang salah satu wataknya ialah saya. Apabila saya bertanya kepadanya, "kenapa saya boleh terlibat dalam cerpan itu?" Dia menjawab, "aku punya pasallah." Dia kemudian ketawa. Begitulah akrabnya Pak Azizi, seorang novelis dan cerpenis yang paling layak untuk merangkul gelaran Sasterawan Negara.

Sekitar jam 3 petang, kami sampai di rumah SN Muhammad Haji Salleh. Dia menyambut kami dengan penuh ceria. Ketibaan kami ditemankan dengan pisang goreng, karipap dan kacang. Teh o merancakkan perbualan kami. Pertanyaan Ariff, cerita Rahimidn dan keluhan saya dijawab dengan jujur, bersahaja dan ikhlas. Ridzuan hanya menjadi pencatat sambil meneguk teh o dan menjamah pisang gorang. Tetapi kami faham bahawa di dalam hati SN Muhammad Hj Salleh ada sebuku kekesalan terhadap nasib sastera dan bahasa Melayu. Beliau kini sedang mengusahakan biografi dirinya yang dikatakan melebihi 1000 halaman itu. Kami mendengar kisahnya dengan berulamkan ketawa.

Kami pulang setelah Ariff dan Ridzuan kempunan nasi kandaq. Kami pulang tanpa sempat menjengah SN Shahnon Ahmad dan Amirul Fakir. Kami pulang dengan impian untuk menjejaki mereka semula.

Hujan dan gelap malam menemankan kepulangan kami ke pangkuan isteri dan anak-anak tersayang.

ii

Aku, Azizi dan Arena Wati

Arena Wati telah meninggalkan kami
dan kini Azizi terlantar
antara ujian dan fitrah Ya Rahman
sedang aku
masih berkira-kira tentang duniawi
yang tidak menjanjikan akhirat.

Aku tidak setanding kalian
yang mampu membelah gelombang laut
juga meneroka rimba belantara
dengan akal kata.

Aku hanya
sehelai rumput
antara segar dan layu
terasing di kebun percakapan.

Arena Wati yang telah pergi
dan Azizi yang sedang berjuang
iringlah namaku
ke persada duniamu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Isnin, 16 Mei 2011


SEPUCUK WARKAH BERHARUM MAWAR

Aku tulis warkah ini saat matahari

terbit di kaki langit

ketika aku bergelar dan berpangkat

jauh meninggalkanmu di perdesaan

dan sekolah tempat aku mengenal

alif itu Allah

satu itu esa

dan Muhammad itu

pemimpin teragung.

Dua puluh tahun berlalu

hari ini aku utuskan sepucuk warkah buatmu

untuk kau tatap kenang

dan membongkar kisah masa lalu

seorang aku yang sering didenda

kerana gagal menghafal sifir

dan berdebat tentang politik tanah air.

Kau guruku,

saat kau tatap warkah ini

aku mungkin berada di persada duniawi

sedang berkira-kira tentang ekonomi negara

juga politik yang mengharu-birukan

atau menangisi nasib bangsa

yang kehilangan harta dan kuasa.

Kau guruku,

jika kau masih berteka-teki

siapa pengirim warkah ini

ingatlah kepada seorang lelaki

yang sering berlagak wira

di kelas 5 Kreatif.

Hari ini,

aku seorang lelaki yang hidup dengan semangatmu

mendewasa dengan cabaran dan impian

seorang guru yang mengajar makna berani.

Sepucuk warkah berharum mawar

di tanganmu

akulah pengirimnya

seorang lelaki yang berdiri

antara kanan syurga atau kiri neraka.

SHAMSUDIN OHMAN

Madrasah Sham al-Johori,

Kuala Lumpur

Isnin, 9 Mei 2011

USAH BERCAKAP SOAL PERPADUAN



PeR-padu-an

Perpaduan apakah namanya
kalau saling bersengketa
tentang
Al-Quran dan hadis
ideologi dan fahaman
prinsip dan etos
ciri dan sifat
falsafah dan konsep
akal dan gerak hati
atau
nafsu dan syahwat

Perpaduan apakah namanya
jika masih keliru
antara
dendam dan baik hati
fitnah dan seloka
perjuangan dan pengorbanan
maruah dan harga diri

Usahlah bercakap soal perpaduan
kalau jahil
masih beraja di hati


shamsudin othman
madrasah sham al-Johori

Sabtu, 23 April 2011

SOFA PUTIH DAN INSTITUT TERJEMAHAN NEGARA MALAYSIA (ITNM)







Tanggal 22 April 2011 jam 3-4 petang di Gerai Buku ITNM bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-30, saya menjadi tetamu undangan ITNM untuk menghidupkan 'budaya ilmu' dan menyuburkan 'tradisi halaqah buku'. Terima kasih khusus kepada para pendokong ITNM terutamanya Tn Hj Mohd Khir Ngadiron, Pn Siti Rafiah, Sdr Anwar dan lain-lainnya yang begitu komited dengan industri perbukuan negara waima sastera dan bahasa Melayu.


ii

Bersama-sama Sdr Syed Munawar dan Pn. Nasriah Abu Salam, kami bersantai tentang pengalaman dan proses kreatif yang masih jauh di belakang jika ingin diukur dengan proses kreatif SN Shahnon Ahmad, A. Samad Said mahupun Anwar Ridhwan. Begitupun saya menerima dengan senang hati kerana inilah waktunya saya perlu menyuburkan kembali semangat menulis yang terhenti seketika akibat faktor-faktor akademik yang menggegerkan.


Selepas jam 4 petang, saya berasa amat lega kerana dapat membongkar sebuah sejarah masa lalu dan harapan masa depan saya yang tanpa disedari telah berjaya dicungkil oleh sdr. Syed Munawar selaku moderator Sofa Putih. Banyak rahsia saya yang terbongkar tanpa diduga; tetapi mungkin itu hikmah atau mungin itu juga pengakuan yang di luar daripada perencanaan yang memungkinkan perbahasan lanjut?


Walau babagimanapun, ada satu soalan yang benar-benar menguja saya. Seingat saya, selama 20 tahun usia saya bergelar penulis sastera Melayu yang serius; saya perlu bermuhasabah diri akan pertanyaan sdr. Syed Munawar tentang, "di manakan diri saudara sebagai penyair mapan tanah air pada hari ini?"


Saya menjadi gamam seketika. Antara resah dan rusuh; saya perlu membuat pilihan yang adil. Beberapa saat tidak kedengaran bunyi atau suara dan pentas yang bersetkan sofa putih seakan menjadi sepi tanpa desir suara itu adalah pernyataan fikir saya yang tersepit antara resah dan rusuh itu.


Lalu saya menjawab pertanyaan itu dengan mengajukan pula soalan lain kepada sdr Syed Munawar. Soalan saya kepada beliau berbunyi, "pada usia Usman Awang, Shahnon Ahmad atau A. Samad Said 40-an, di manakah diri mereka dalam perkembangan sastera dunia?" Walaupun Sdr Syed Munawar menggangguk kepala faham tetapi dalam fikiran saya kencang bercelaru dengan tanggapan terhadap peranan dan sumbangan kerajaan terhadap nasib sastera Melayu hari ini. Dalam fikiran saya terbayangkan DBP, KPM, KPT dan NGO lain seperti Petronas, Maybank atau lain-lainnya. Seingat saya, ketika Sasterawan Negara yang saya sebutkan nama-namanya di atas itu berusia 40-an (seusia lingkaran umur saya hari ini), mereka dan karya-karya mereka sudah berada di tahap dunia. Novel 'Ranjau Sepanjang Jalan', 'Salina' atau puisi 'Salam Benua, Melayu, Ke Makam Bonda' oleh Usman Awang itu telah boleh di dapati di Rusia, Jepun, apatah lagi di gugusan negara Eropah. Tapi pada hari ini, bagaimana dengan nasib Zaen Kasturi, Marsli NO, SM Zakir, Mawar Shafie, Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Jayaramba (sekadar menyebut beberapa nama) atau yang lebih mesra dengan gelaran 'Angkatan 20' ini? Cukupkan peranan ITNM sahaja yang dipertanggungjawabkan?


Dalam majlis indah itu, saya membawa kisah bagaimana ketika di zaman rejim Allyarham Tun Abdul Razak menjadi PM; beliau begitu obses terhadap sastera hingga menjadikan penulis sebagai salah seorang anggota wajib dalam sesi lawatan antarabangsa. Beliau meminta para penulis yang menjadi ahli rombongannya itu melihat perkembangan sastera kemudian menuliskan pengalaman itu dalam Dewan Sastera mahupun ruangan sastera akhbar perdana. Maka, dalam setiap lawatan/ kunjungan antarangasa itu sastera Melayu turut sama tersebar dan bertapak. Justeru, maksud saya mengemukan semua idea ini adalah semata-mata ingin melihat nasibsastera itu disuburkan kembali supaya sastera Melayu dapat berada di persada dunia dengan kerjasama politik: bukan seperti hari ini yang kita lihat politik seakan-akan (seakan-akan) sedang cuba memperlekeh atau menguburkan sastera Melayu.

Oleh itu, bagi menjawab soalan sdr. Syed Munawar itu, saya jelaskan bahawa saya sedang berada di dalam sebuah dunia sendiri atau mungkin juga sedang berada di mana-mana dunia yang ditakdirkan Allah SWT. Saya jelaskan, setelah lebih 20 tahun penglibatan penulis-penulis di Malaysia bergelar penulis (dengan pelbagai anugerah sastera yang dimiliki), adakah mereka menerima nasib yang baik setanding ahli sukan atau artis yang setiap tahun kalah dalam apa-apa pertandingan di peringkat nusantara mahupun antarabangsa?

Adilkan kerajaan bercakap tentang memperkasa sastera dan bahasa Melayu sedangkan pada masa yang sama mereka tidak pernah menghantar penulis-penulis yang sudah berjaya membuktikan masa depan sastera negara ke negara-negara yang hebat dunia persuratannya? Terus terang saya katakan, kami pernah menjadi pengemis di Putrajaya ketika memohon dana atau penajaan untuk menyertai program 'Would Poetry Festival' di Berlin, Jerman. Jawapan yang kami terima daripada pengarah di Putrajaya itu ialah, "buat apa menghabiskan duit rakyat. Apakah sumbangan puisi kepada negara?"; dan jawapan yang kami terima seminggu kemudian ialah permohonan tuan tidak diluluskan.


Oleh itu, dalam blog ini ingin saya pulangkan paku buah keras kepada pegawai itu (kini saya tidak pasti dia di mana atau mungkin juga sudah bersara?), apa yang ahli sukan dan artis itu sumbangkan kepada negara setelah dia berjaya menghabiskan duit rakyat dan tidak pernah membawa apa-apa piala ketika pulang dalam setiap pertandingan yang disertainya? Duit siapakah yang dihabiskan itu? Duit rakyat atau duit poket dia?


Maaf, kerana saya sedikit beremosi. Tetapi saya mula berfikir, sepatutnya pertanyaan sdr Syed Munawar itu perlu diajukan ke parlimen kemudian perbahaskan. Betulkah sastera Melayu, bahasa Melayu dan penulis-penulis yang memperjuangkan warisan bangsa ini mendapat pembelaan yang sewajarnya? Kadang-kadang saya malu dengan rakan-rakan di Indonesia, Singapura mahupun beberapa negara luar yang mendapat sedikit (sedikit) keistimewaan apabila ingin berinteraksi dengan sastera dunia.


Saya berterima kasih yang amat sangat kepada Sdr. Syed Munawar yang bijak mengajukan pertanyaan. Begitulah pintarnya seseorang yang sentiasa menjadikan buku adalah teman setia dan ilmu adalah penyuluh hidup. Saya berharap agar jawapan-jawapan daripada pertanyaannya itu tidak disalahtafsirkan kerana saya fikir suara saya itu adalah suara yang mungkin (mungkin) dapat mewakili suara rakan-rakan penulis lain.


Oleh itu, sebelum kegegeran saya memuncak, lebih baik saya nokhtahkan tulisan ini. Saya perlu kembali bermuhasabah dan semoga Allah SWT mengampunkan keluhan yang kadang-kdang melibatkan orang lain yang tidak berdosa.


Ya Rabb, segala puji-pujian kutujukan kepadaMU. Hidup dan matiku hanyalah untukMU. Kaulah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Engkau Tuhan yang SATU.

Rabu, 6 April 2011

SAYA DAN DUNIA KERTAS


HAMPIR sebulan saya tidak mencatat apa-apa di dalam laman "Tanah Nurani' ini. Kerja-kerja duniawi dan beban tugas yang entah apa-apa itu banyak menguji kesabaran. Kegegeran dan desakan yang bertali arus kadang-kadang lebih menyusahkan daripada persediaan menunggu kematian. Begitupun, saya sempat juga menghabiskan bacaan buku terbaharu Ajip Rosidi bertajuk "Hidup Tanpa Ijazah" (2010).

Buku ini menukilkan pandangan yang mungkin benar dan mungkin songsang tentang kehidupan manusia tanpa ijazah. Seusai membacanya saya mengimbau kembali bonda dan ayahanda saya yang hanya bersekolah di madrasah atau pondok yang juga tidak membekalkan sekeping ijazah atau sijil berhenti. Tetapi anehnya, bonda dan ayahanda saya lebih bijaksana daripada saya. Akalnya lebih bitara kerana mereka berdua boleh bercerita tentang politik, ekonomi dan masalah sosial dunia. Apa-apa yang dilontarkan kepada saya 20 tahu dahulu itu; kini ada yang sudah menjadi kenyataan. Contohnya tentang politik melampau atau politik kuasa. Mereka berdua selalu menceritakan bahawa duit suatu hari akan menjadi tidak bernilai; dan hari ini berapa nilai RM10 jika kita hidup di tengah-tengah kota Kuala Lumpur dalam masa sehari? Bolehkah RM10 itu menampung tambang, sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam? Dulu, bonda dan ayahanda saya selalu mengingatkan bahawa budi bahasa dan akhlak manusia yang baik akan dihina secara terbuka. Nah, hari ini, lihatlah bagaimana ulamak dan orang bijak pandai agama dicerca jika menyatakan kebenaran dan yang hak. Kebatilan kian dijaja di sana-sini. Majlis untuk anugerah artis terbaik diadakan dengan terbuka (siaran langsung) dengan paparan tubuh tidak cukup pakaian, mendapat penajaan yang luar biasa dan masya-Allah.

Inikah nilai ijazah kepada manusia hari ini. Jika Ajib Rosidi melihat ijazah sebagai penerus kehiudpan manusia; saya melihat sebaliknya kerana ijazah itu hanya sekeping kertas.

ii

Saya merenung jauh ke dalam diri sendiri sambil berfikir, untuk apa dan berapa harganya nilai sekeping kertas?

Sekeping kertas adalah kertas yang asalnya daripada kulit pokok atau juga daripada bahan-bahan terbuang. Di atas kertas itu hanya tercatat beberapa pengakuan yang entahkan benar entahkan tidak. Kalau kertas itu boleh memperakukan kebijaksanaan, kebitaraan dan keilmuan seseorang atau binatang; tentunya kertas itu juga akan menjadi saksi kepada hukum kausal di pasang mahsyar kelak.

Sekeping kertas adalah sebuah igauan buta
sekeping kertas adalah anganan palsu
sekeping kertas adalah sebuah pembohongan
sekeping kertas adalah juga sebuah pengorbanan
dan sekeping kertas adalah nafsu-nafsi duniawi.

iii

Kerana sekeping kertas saya menjadi insan yang tidak mengenal makna akrab kepada rakan-rakan. Kerana sekeping kertas saya lebih rela memilih sunyi dan sepi. Dan kerana sekeping kertas saya kehilangan akal dan suara. Saya menjadi lelaki yang terpaksa berfikir banyak kali sebelum bersuara atau menyuarakan pendapat. Kerana sekeping kertas juga saya dibawa ke negeri jauh yang penuh kisah muluk.

Antara sekeping kertas dengan sekeping hati, saya membaca diri saya sendiri. Kertas tidak bernyawa tetapi hati yang bernyawa kadang-kadang tewas oleh nilai-nilai kemanusiaan dan kesejagatan.

Di manakah saya saat saya terseret dalam kancah nilai sekeping kertas?

Keluarkan aku daripada sebuah dunia kertasmu
aku ingin menjadi rama-rama
yang terbang bebas di negara mawar.

Bebaskan aku
terbang
di negara mawar
akan kukumpul
air dan harumnya
untuk kusalut
ke tubuh berkapanku

Shamsudin Othman
Madrasah sham al-Johori.


Isnin, 14 Mac 2011

LELAKI BERSAYAP SYUHADAH


LELAKI BERSAYAP SYUHADAH

Tuhan tadirkan dia bersayap kembar
Yang kiri mencecah laut dan
yang kanan mencecah langit.

Saat lelaki itu mengepakkan sayapnya;
tujuh gunung dan seluruh tujuh lautan menderam bergelora
sehebat kudrat angin dan kudrat tanah menyatu di dalam diri lelaki itu
dia terbang menyusur pelangi kemudian hilang di dalam kabut.

Tuhan takdirkan dia bersayap kembar
dan saat dia menyepi di dalam sayapnya
ada getir suara berdesir membawa khabar lalu menyapanya
“pulanglah ke negeri tradisi
dengan sebuah kenyataan bukan mimpi dan kepalsuan.”

Dia lelaki bersayap syuhadah
tafakurnya adalah takwa yang merawat seluruh kecewa
dia lelaki bersayap syuhadah
doanya adalah air mata yang meluruh dendam
dia lelaki bersayap syuhadah
zikirnya adalah taufan yang membadai tangisan
dia lelaki bersayap syuhadah
diamnya adalah taubat yang mencengkam janji.

Aku mendengar kau memanggil –manggil namaku
suaramu meniti di pucuk rimbun pohonan
sesekali menggegar dalam laungan gementar
aku dan lelaki bersayap syuhadah itu
masih duduk antara dua sujud
menghadap laut dengan tasbih berputaran di tangan
di hujung bibir hati kami
ada segenggam maaf yang masih tak tertunaikan.

Aku dan lelaki bersayap syuhadah itu memanjat sepohon 'isyq
meninggalkan tanah nurani
dengan seluruh ketakutan api cinta-Nya
dengan seluruh keinsafan ombak rindu-Nya.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori

Selasa, 1 Mac 2011

MADRASAH CINTA


MADRASAH CINTA

Masuklah cinta ke dalam kasihku
masuklah rindu ke dalam sayangku
masuklah masuklah masuklah
dengan salam ikhlas dan jujur
telah kubuka seluasnya pintu
untuk-Mu ya Rabb

Madrasah cinta ini kubina untuk-Mu
tiangnya iman berlantai syukur
dindingnya insaf beratap ikhlas
tingkapnya zikir berpintu taubat
bumbungnya takwa beratap sabar
masuklah cinta masuklah rindu
ke kalbuku
aku damba manis syahadah-Mu
aku idam dingin usap-Mu

Ya Rabb, demi malam apabila ia berlalu
akulah musafir setia melangkah
menunggu utus-Mu
tanpa jemu
dan dendam iri.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.

Sabtu, 12 Februari 2011

PENA: MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK


Atas kesedaran yang tidak berbelah bahagi, apatah lagi setelah isu ini dipandang sepi oleh juak-juak kerajaan yang mengaku Melayu, maka PENA telah mengambil langkah ini untuk mempertahankannya.

Semoga pendirian PENA ini tidak disalahertikan.

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK

Kepada:

YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Izinkan kami menyatakan pendirian kami dengan ikhlas.

Isu novel Interlok perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan. Apatah lagi, isu ini telah dijadikan modal politik untuk mengugut kerajaan dalam pilihanraya DUN Tenang baru-baru ini. Sekiranya tuntutan politik itu dilunasi, kita bimbang akan berlaku lagi tuntutan lain yang tuidak munasabah. Implikasinya ialah rasa kecewa dalam kalangan orang Melayu apabila kerajaan dilihat terlalu tunduk kepada ugutan kaum tertentu di samping mengabaikan maruah orang Melayu.

Kami tidak melihat isu ini lagi dari sudut ilmiah semata-mata tetapi sudah memasuki ruang politik. Pihak masyarakat India kini tidak lagi diwakili oleh MIC semata-mata tetapi telah melibatkan pertubuhan-pertubuhan lain yang semuanya bebas bersuara. Akhirnya kerajaan terpaksa berdepan dengan kecelaruan tuntutan tanpa mengetahui pihak manakah yang sebenarnya harus dilayani.

Apabila hujah-hujah yang dikemukakan oleh wakil MIC dalam pertemuan dengan wakil Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipengerusikan YB Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia berjaya dijawab secara ilmiah, wakil MIC tetap bertegas mahu novel itu ditarik balik daripada menjadi buku teks. Keadaan menjadi lebih rumit apabila mereka mengemukakan alasan tambahan bagi menolak novel tersebut.

Kini timbul pula isu lain seperti ketidaktepatan fakta tentang penari Kathakali, bahawa Maniam bukan daripada golongan paria berdasarkan cara kedatangannya ke Tanah Melayu yang tidak mengikut sistem Kangani, geografi India, soal lembu sebagai binatang suci, perilaku tidak bermoral watak India, dan sebagainya. Permintaan itu jelas mencabuli hak penulis, kebebasan bersuara, dan kebebasan dalam sastera. Kita faham setakat mana unsur sensitif yang mesti dielakkan dalam karya sastera tetapi permintaan mereka benar-benar melampaui batas.
Dari sudut ilmiah semua itu dapat dibahaskan, dan
dari sudut sastera ketidaktepatan fakta dalam karya sastera bukanlah suatu kemestian. Namun demikian mereka mahu semua itu dibetulkan supaya kejelekan orang India ditiadakan langsung. Permintaan ini langsung tidak munasabah kerana karya sastera tidak boleh dibaca secara terpisah-pisah tetapi mesti dibaca secara menyeluruh untuk mendapatkan intipatinya. Secara keseluruhan novel ini diakui bagus oleh semua pihak yang menyertai dialog yang diadakan beberapa kali.

Walau apa pun hujah yang kita berikan dan telah sekian banyak masa dan tenaga serta wang ringgit dihabiskan untuk melayan kerenah mereka secara beradab, mereka tetap bertegas meminta buku ini ditarik balik jika tidak dilakukan pemurnian mengikut senarai yang semakin bertanbah hari demi hari.

Mereka mengambil kesempatan daripada kelembutan kerajaan membuat keputusan demi kepentingan mereka sehingga sanggup mempermain-mainkan kredibiliti Kementerian Pelajaran Malaysia, dan kerajaan amnya, dan lebih teruk lagi maruah orang Melayu. Orang Melayu kini tidak lagi dipandang sebagai bangsa yang berdaulat di negara ini kerana masyarakat India menggunakan helah demokrasi dan kertas undi sebagai tiket untuk menyamatarafkan kedudukan mereka dengan bumiputera. Akhirnya, tidak mustahil suatu hari nanti kedudukan istimewa orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit dalam Perlembagaan sekiranya kita tidak menghentikan gelagat biadab mereka.

Oleh hal yang demikian, kami mendesak kerajaan agar bertegas memenuhi permintaan kami (orang Melayu yang merupakan majoriti dan tuan di negara ini. Kerajaan tidak perlu melayan sebarang tuntutan bersifat perkauman, terutama yang dikemukakan secara kasar. Oleh itu, tuntutan mereka yang berkaitan dengan novel Interlok mesti ditolak kerana ini merupakan tindakan simbolik mereka untuk menguji ketegasan kerajaan, dan kerajaan juga mesti bertindak secara simbolik untuk menegaskan pendiriannya.

Sekiranya kerajaan berlembut dengan mereka, masalah akan berlarutan kerana akan banyak lagi tuntutan yang tidak munasabah akan dikemukakan. Akhirnya berlakulah resam yang sering ditakuti dalam bidalan Melayu: kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Menghakimi sebuah buku yang sudah lama wujud dalam persuratan Melayu samalah seperti kita telah menjatuhkan hukuman kepadanya sedangkan ia tidak wajar diperlakukan demikian. Sekarang kita seolah-olah telah menyifatkan buku itu sebagai pihak yang bersalah lalu kita mencari hujah untuk menyatakan ia tidak bersalah. Kita menjadi terlalu apologetik terhadap orang lain yang tidak pun mempedulikan semangat setiakawan kita secara jujur dan ikhlas.

Seyogia diingat bahawa pematuhan kerajaan terhadap permintaan dan tuntutan bersifat perkauman yang melampau daripada masyarakat India hanya akan menghiris perasaan orang Melayu. Sekarang, orang Melayu sedang menanti tindakan sebenar kerajaan dan akan menunjukkan reaksi mereka dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang, iaitu pilihan raya. Sekiranya orang India berani membuat ugutan kepada kerajaan, orang Melayu juga yang jumlahnya lebih besar akan menuntut perkara yang sama.
Permintaan ini perlu difahami sebagai suara orang Melayu keseluruhannya, dan tidak sama sekali berniat jahat atau menggugat kerajaan. Kami hanya menjaga kepentingan dan maruah orang Melayu sebagai pemilik ketuanan di negara dan tanah air kami.

Persatuan Penulis Nasional (PENA) yang sejak awal telah menangani isu ini melalui beberapa tindakan yang berhemah, termasuk mengadakan diskusi imiah, dialog antara NGO, dan penghantaran memorandum, sekali lagi meminta kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri amnya dan Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya, mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima tanpa pindaan. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu. Pembacaan secara objektif dan akal yang waras tentu sahaja tidak menemukan sebarang unsur penghinaan terhadap kaum India sebagaimana yang disuarakan oleh wakil masyarakat India.

Kami ulangi asas pendirian kami sebagaimana yang telah kami nyatakan dalam memorandum pertama kepada YAB Dato’ Sri pada 11 Januari 2011 seperti yang berikut:

1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.

2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.

3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.

4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat.

5. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?

6. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.

7. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.

8. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).

Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

Saranan

1. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.

2. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.
3. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.
4. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.

Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
5 Februari 2011

ii: SEBUAH SATIRA KECIL

Secara jujur, agenda penghinaan novel Interlok ini dilakukan oleh
seekor biawak bertubuh anjing yang kini lidahnya bukan sahaja bercabang tetapi kian memuntahkan air liur yang menjijikkan. Kata seorang sahabat saya, "...dahulu begitu ditatang dan dilangir dengan segala air wangian. Tetapi kini, biawak itulah yang sudah berubah wajahnya menjadi seekor anjing yang galak menyalak dan tanpa sedikit pun silu dan segan menghamburkan kencingnya ke wajah maruah mereka yang pernah dahulu menatang dan melangir dia."

Kini sang biawak mula menjaja kemaluannya di pangkin pokok bersama-sama gagak kota. Seingat saya, dulu sang biawak ini tidak pandai memanjat pokok kerana salah satu anggota empat keratnya pernah patah. Kerana itulah sang biawak tidak boleh memeluk batang-batang pokok apatah lagi ingin memanjatnya. Anehnya, kini dengan kudrat yang kekurangan itu, dia seperti dijunjung ke langit untuk menemani gagak-gagak kota raya kemudian memekik-mekik.

Sejak biawak,gagak dan anjing itu diberi ruang untuk menyalak, memekak dan membuat rusuh; kini tanah tumpah darah saya, negeri bernama Melayu itu kembali tergugat perpaduan dan keamanannya.

Selasa, 25 Januari 2011

MODAL INSAN: SATU ANALISIS RINGKAS


SAYA memetik sedikit berita utama akhbar Utusan Malaysia 25 Jan 2011: KUALA LUMPUR 24 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia memerlukan modal insan yang mampu melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara daripada segi kemajuan fizikal dan sosial.

Menarik - sebabnya ada istilah 'Modal Insan'. Moga dalam pengertian yang lebih bersifat akademi, istilah ini perlu diarifi dengan mata akal bukannya mata inderawi. Daripada aspek mata inderawi, 'modal insan' merujuk kepada manusia yang sempurna sifat luarannya, bersih, bergaya dan berketrampilan. Manakala dalam rujukan mata akal, 'modal insan' merujuk kepada kesempurnaan siasah, akhlak, beretika dan beriman.

Saya hanya merenung dari kejauhan saat membaca harapan menunggung PM ini. Istilah muluk ini jika benar-benar diselami, sudah tentu kita tidak akan berhadapan dengan situasi kacau bilau manusia; maksud saya Melayu sesama Melayu saling bercakaran kerana perbezaan fahaman politik; cina dengan cina saling memakan hati kerana tidak sealiran pendirian; dan begitu juga india yang saling menuding kerana tidak sehaluan. Malah apatah lagi jika dikaitkan antara BN dengan PR, yang tidak habis-habis mencabar untuk berdebat bagi melondehkan peribadi masing-masing?

Untuk apa sebuah 'modal insan' sekirannya kita sendiri masih gagal mengarifi istilah ini? Apakah yang ingin dijadikan modal, ikon, imej atau simbol sedangkan kita masih ketandusan pemahaman terhadap istilah 'insan'? Inilah kerja-kerja gila yang selalu membuatkan saya menjadi takut untuk berhadapan dengan manusia politik. Mereka berkata, mereka berhujah, mereka mencipta istilah dan mereka mengada-adakan sesauatu yang maha muluk untuk dijadikan gagasan. Tetapi sejauh mana mereka sedar akan pengertian yang mereka luahkan itu? Akhirnya, saya melihat dari kejauhan bahawa istilah-isitilah yang direka cipta itu akan memakan diri mereka sendiri.

Dalam buku Islam: Fahaman Agama dan Akhlak (ABIM, 1977: 3-25) karangan Syed Muhammad al-Naquib al-Attas ada menjelaskan bahawa hakikat kejadian insan itu tidak boleh dipisahkan dengan konsep 'penyerahan sejati'. Konsep ini jika diperhalusi akan membawa makna kepada konsep 'ammar makruf nahi mungkar' (berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran). Sebenarnya banyak lagi buku yang boleh dikongsikan untuk memahami konsep hakikat insan ini. Al-Ghazali menulis di dalam kitab al-Hikamnya atau paling mudah difahami boleh merujuk buku Insan dari Aspek Etimologi dan Persektif Islam tulisan Ismail Abdullah Siputeh (KUIM:2006).

Mengapa saya menimbulkan hal ini? 'Modal Insan' mempunyai pertalian yang rapat dengan pembangunan rohani (keimanan) khususnya dalam perkiraan pengabdian kepada Allah SWT. Oleh itu, wajarkah seseorang yang menggagaskan prinsip 'modal insan' sedangkan dalam masa yang sama dia mengizinkan kemunafikan/ kemungkaran/ kerendahan akhlak/ keruntuhan moral berleluasa di sekelilinnya?

Sama ada pertanyaan ini ada kesahihannya atau hanya satu tebakan palsu dan tidak boleh dipercayai, itu bukan persoalannya. Persoalannya ialah gagasan 'modal insan' perlu difahami, diarifi dan ditaakuli dengan mata akal sebelum dijaja waima dikuatkuasakan. Saya mungkin bersifat memandangan kebelakang kerana seolah-olah tidak menyetujui slogan muluk ini. Apa-apa yang menjadi perkiraan saya ialah sesuatu gagasan muluk perlu bermula daripada diri sendiri. Kita perlu menjadikan diri kita terlebih dahulu sebagai ikon dalam sebuah etos dan logos, baharulah kita boleh menggagaskan sesuatu yang muluk-muluk.

Kebimbangan yang melanda fikiran dan naluri saya sejak akhir-akhir ini ialah melihat bagaimana debat dan cabaran untuk melondehkan aib sesama sendiri kian menjadi-jadi. Inilah permasalahan yang timbul akibat daripada tidak memahami konsep hakikat insan yang sebenar. Jika hal-hal ini dibendung, maka rakyat (khususnya rakyat Malaysia) akan berhadapan dengan satu malapetaka yang jijik dan mengaibkan.

Tanpa ingin berkisah panjang dan sekadar melontarkan kebimbangan demi kebimbangan, saya amat berharap agar kita, sama-sama kembali kepada asas konsep 'penyerahan sejati' supaya kita dapat menikmati semangat muhibbah dan kasih sayang yang abadi dan sejati.

Isnin, 10 Januari 2011

INTERLOK: SEBUAH PERJALANAN



Episod pembakaran novel sasterawan negara berulang. Dulu novel 'Shit' karya Shahnon Ahmad. Kini, novel 'Interlok' pula menjadi mangsa. Salah siapakah? Yang menjadi mangsa adalah guru Bahasa Melayu dan murid sekolah menengah tingkatan 5 zon tengah (KL, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka). Bagaimanakah P&P mereka ketika semua sukatan pelajaran sedang bermula? Agenda siapakah ini?

Sahabatku, seperti yang saya katakan semalam, pembakaran novel 'Interlok' adalah sejarah kedua novel sasterawan negara dibakar. Dulu novel "shit' karya SN Shahnon Ahmad. Siapa yang membakarnya? Kini novel 'Interlok' pula yang menjadi mangsa dan siapakah yang membakarnya? Kedua-dua episod ini bertolak daripada agenda politik. Walaupun hati kecil saya luka dan berdarah, inilah yang dikatakan 'matlamat politik yang menghalalkan cara'. Saya tidak berpihak kpd mana-mana parti politik tanah air kerana saya berpihak kepada hukum al-Quran, hadis dan pendirian ahli sunnah waljamaah.

Sekarang, kerana agenda politik ini, yang terus menjadi mangsa adalah pelajar sekolah dan guru Bahasa Melayu. Bagaimana mereka ingin memulakan P&P jika teks pengajaran dan pembelajaran masih terawang-awang. Teruk sangatkan KPM yang terpaksa mengambil masa lama untuk menyatakan pendirian?

Beberapa hari ini, banyak kenyataan dan tindakan daripada individu tertentu, persatuan India dan persatuan penulis seperti PENA, GAPENA, Pelita dan lain-lain telah tampil menyatakan pendirian masing-masing. Penjelasan Dr. Fatimah Busu pada wacana PENA (8 Januari 2011) amat menarik sekali. Pendiriannya terhadap kehebatan 'Interlok' tidak perlu disangkal dan dipertikaikan. Perbincangan ilmiah ini seharusnya dihadiri oleh pegawai daripada Bahagian Buku Teks atau pemikir KPM yang akan berhujah mempertahankan novel ini.

Saya sendiri tidak faham, ketika PM melaung-laungkan gagasan 1Malaysia, kenapa pada masa, waktu, ketika dan saat yang sama api perkauman kian membara? Kenapa 'Interlok' menjadi mangsa titik tolak kebangkitan perkauman? 'Interlok' yang merupakan karya terbaik dan diangkat untuk memenangi hadiah saguhati Peraduan Novel Sepuluh Tahun Merdeka itu tidak pernah mencetuskan kemarahan kaum India pada tahun 1970-an hingga 2010. Tetapi kenapa pembuka kalender 2011 ini dicemari dengan episod pembakaran novel 'Interlok'? Bayangkan, selama 40 tahun novel itu berada di pasaran dan hampir ribuan rakyat telah membacanya, mereka sebagai pembaca boleh menerima dengan senang hati tanpa rasis, prajudis atau jumud kepada perkauman?

Pelik bin ajaib apabila tahun 2011, 'Interlok' menjadi mangsa kaum India yang fanatik dan tidak matang.

Sebagai seorang pendidik, saya juga faham akan konsep tatasusila, beradap dan menghormati adat budaya bangsa lain. Prinsip ini juga menjadi benteng cara saya berfikir. Saya pernah berbincang dengan rakan penulis Tamil seperti Uthaya Sangkar dan Raja Rajeswai. juga wartawan The Star, Baradan Kuppusamy. Pendirian mereka sebenarnya berpihak kepada hal-hal yang berkaitan dengan konteks bukannya luar konteks. Jelas juga mereka seakan-akan kecewa dengan apa yang sedang berlaku.

Ayuh, sebagai seorang penulis yang bermaruah dan taat kepada DYMM Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung (yang memperkenan dan menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara di parlimen) kepada Abdullah Hussain, mari kita nyatakan
pendirian ini.

1. menyatakan 'tidak berakal sastera' kepada Dr. Mariah Mahmud, M. Manoharan, T. Murugiah yang mewakili senarai ahli politik kerana telah menyuburkan politik perkauman di Malaysia dan wajib menjadi musuh kepada semua penulis.

2. menegaskan bahawa novel 'Interlok' tidak pernah menyentuh sentimen perkauman kerana novel ini diakui mempunyai kesedaran semangat perpaduan yang tinggi dan menepati kehendak atau tuntutan nilai-nilai murni KPM.

3. mendesak KPM meneruskan penggunaan novel ini sebagai teks bacaan rakyat Malaysia khususnya pelajar tingkatan 5.

SOKONGAN PENDIRIAN

1. Jika KPM menolak penggunaan novel ini daripada senarai buku teks dan pembelajaran subjek KOMSAS, apa yang dibimbangi ialah tuntutan yang bersifat lebih melampau akan dilakukan seperti mendesak kerajaan supaya mengharamkan hikayat Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuan, Hikayat Merong Mahawangsa dan karya agung Melayu yang lain.

2. Menghina sasterawan negara adalah sama dengan pengertian tersirat bahawa turut menderhaka kepada DYMM Agung.

Salam ikhlas.

Selasa, 4 Januari 2011

SYUKUR YA RABB DAN TERIMA KASIH KERAJAAN

Bersama-sama Baharudin Kahar, Dato' Lat dan Nazmi Yaakub di Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2011

I
SYUKUR YA RABB,

Sepanjang 2010 Allah SWT telah memberikan saya pelbagai nikmat hidup khususnya merujuk kepada kesihatan, rezeki dan kebahagiaan kekeluargaan. Hanya ungkapan syukur jazakallah itu yang mampu saya nyatakan meskipun ungkapan itu terlalu kerdil di sisi Allah SWT.

Menjelang 2011, saya perlu melunaskan beberapa perkara penting, iaitu menyiapkan PhD seterusnya serius dalam penulisan. Sekembali dari Pangkor (program Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2011) hati kecil saya mula berdetik dengan pertanyaan, "ke mana hala tuju sastera Melayu sebenarnya?. Adakah cukup dengan pertemuan kemudian berakhir atau sastera Melayu akan menjadi salah satu karya terbaik dunia?" Abad ke-21 memerlukan pengisian ilmu yang perlu kembali kepada konsep 'pencerahan'. Jika sebelum ini, para pengarang lebih bersifat sendiri-sendiri, maka sudah sampai masanya kemendirian itu disatukan di bawah satu 'pencerahan ilmu' yang bersifat global dan mampu bersaing dengan negara luar.

Mudah-mudahan semuanya akan menjadi kenyataan.

II
TERIMA KASIH KERAJAAN

Ungkapan ini adalah ungkapan sinis atau sindiran. Sepanjang 2010 terlalu banyak janji muluk kerajaan kepada rakyat tetapi sehingga 31 Disember 2010, rakyat terus dibebani dengan kenaikkan harga barang dan kenaikkan taraf hidup yang setanding negara Eropah dalam ukuran mata wang euro atau pound streling. Saya tidak faham dengan penyimpangan istilah ekonomi 'permintaan melebihi pengeluaran' yang menjadi agenda mutlak kerajaan umno hari ini. Sewaktu saya mengikuti kuliah ekonomi di UM dulu, saya diajar akan konsep ekonomi mikro dan makro yang perlu bersandar kepada konsep asas bahawa keputusan yang muktamad adalah perlu merujuk kepada 'permintaan' dan 'pengeluaran'.

Kebijaksanaan umno hari ini ialah bertindak atas dasar 'pengeluaran melebihi permintaan' hingga menafikan hak rakyat. Apabila keputusan mengutamakan pengeluaran makanya inflasi akan naik mendadak dan kadar kemiskinan akan turut naik. Bayangkan, untuk apa Menara Warisan dibina dalam pada masa yang sama Menara Dayabumi kian sepi dan rugi? Kerugian pada alam sekitar dan kesesakan lalu lintas adalah objektif utama dalam perkiraan saya sahaja.

Oleh itu, saya perlu mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kerajaan atas usaha murni ini. Selepas ini, binalah lagi menara setinggi langit (sebab beberapa menara telah menjangkau awan 1Malaysia). Selepas ini binalah monumen-monumen hebat setanding Taj Mahal, Piramid dan lain-lain.

2010 telah menjadi sejarah dan saya berharap agar orang yang menulis sejarah itu nanti biarlah orang yang jujur bukannya setelah 50 tahun akan datang, sejarah itu dikatakan tersilap fakta, sejarah itu adalah satu pembohongan hingga sejarah itu perlu ditulis semula.

Selamat datang 2011 yang di dalam tahun ini ada empat (4) tarikh yang cukup indah, iaitu 1-1-11, 11-1-11, 1-11-11 dan 11-11-11. Saya perlu memenuhi tuntutan janji azam 2011 dengan penuh reda Allah SWT.