Rabu, 30 Mei 2007

Ujian Kesabaran

i
Syukur. Aku masih diberi waktu untuk meneruskan saki-baki kehidupan yang kian meracu dalam fikiran. Hampir empat hari kesihatan terganggu dek demam campak tubuh badan terasa lesu dan merimaskan. Inilah ujian Tuhan kepadaku sebagai peringatan bahawa sakit dan mati itu boleh datang seperti cahaya dan angin manakala pergi seperti kura-kura. Sesekali apabila mengingati ujian sebegini, terasa bertapa lemahnya diri ini. Ujian yang tidak seberapanya itu, kadang-kadang menjadikan aku resah yang tak mementu.

YA RAB, TERLALU BANYAK YANG KAU BERI. BAGAIMANA HARUS AKU MEMBALASNYA?

ii
2-8 jun aku di Jakarta. Perjalanan kali ini atas urusan KPM. Aku mewakili KPM untuk melihat sekolah swasta SMA SOEDIRMAN dan P&P di Universitas Indonesia. Mewakili KPM mungkin menjadi tugas baharu dan berat bagi aku. Aku bimbang sebab terlalu banyak bercakap tentunya akan menzahirkan dosa-dosa yang tidak diinginkan. Moga Allah akan sentiasa di sisi.

iii
entah kenapa sejak akhir-akhir ini, ingatanku kepada seorang rakan lama sering datang dan pergi dalam fikiran. ke manakah kau menghilang?

Rabu, 23 Mei 2007

SEBUAH PERJALANAN YANG LAIN





i
Aku baharu sahaja membaca blog rakan-rakan seperti glateh, aminhad, marsli, faisal, onn dan beberapa rakan lain. menarik sungguh cerita mereka. aku mula melihat ke dalam diri sendiri. dan pertanyaan yang sedang bermain dalam benak ialah bahagia sungguh mereka sebab Allah berikan rahmat dan hidayah kepada mereka. apa yang lebih penting ialah bagaimana jujurnya mereka menceritakan pengkisahan pengalaman yang menyentuh itu. mungkin pengalaman itu tidak ingin dikongsikan tetapi kewajarannya adalah lebih daripada itu.

ii
Blog ialah satu dunia lain yang mendekatkan meski asing. maksud dekat ialah lebih bersifat peribadi. dan semenjak aku dan rakan-rakan membangunkan blog aku, aku rasa bahagia dan terubat juga rindu yang mencengkam.

iii
kepada rakan-rakan yang belum punya blog macam rahimidin zahari, m.saleeh rahamad, saifullizan yahya dan lain-lain tu, bangunkanlah blog anda sebelum blog anda dibangunkan oleh orang lain. sekurang-kurangnya kita menjadi lebih dekat dan mesra. jangan jadi macam sm zakir yang blognya terlalu ilmiah hingga aku menjadi keliru tentang dirinya.

iv.
esok (25-29 mei 2007) aku akan berada di Medan sempena 1st festival poetry ASEAN. selama 5 hari tu mungkin banyak perkara yang berlaku. insyallah akan aku ceritakan kemudian.

Selamat meneruskan cita-cita.

Isnin, 21 Mei 2007

SELAMAT HARI GURU

Mungkin belum terlalu lewat aku mengucapkan Selamat Hari Guru kepada para guru yang pernah hadir dan mendewasakan diriku. Aku selalu membayangkan wajah-wajah guruku sejak di sekolah tadika hingga universiti juga guru yang mengajar aku mengenal aksara alif dalam ALLAH HUAKHBAR. Hari ini, aku telah menjadi sepertimu, seorang guru yang berulit dengan kerenah pelajar mahupun birokrasi kerajaan.

ii
Kepada isteri juga kekasih yang senasib denganku; menjadi guru dalam erti kata seorang cikgu waima pendidik - belajarlah menjadi seorang insan yang ikhlas, jujur dan amanah menjalan tanggungjawab.

iii
Aku mungkin seorang guru yang tidak sepertinya. Hari tugas seorang guru kian berat dan menyusutkan. Kadang-kadang aku tak pasti kerja mana yang perlu didahulukan? Kekeliruan tugasan ini menyebabkan aku sering bermuhasabah diri; adakah gaji yang aku terima itu 100% mendapat rahmatnya. Memikirkan tugasan seperti mengajar, mendidik, melatih, melakukan tugasan luar sehingga meninggalkan tugasan utama itu bagaimana hukumnya? Entahlah ...

iv.
Kepada guruku - tak kiralah yang mengajar apa? Sama ada mengajar huruf dan angka atau cinta, rindu dan kehidupan apa yang boleh aku berikan ialah hari ini aku menjadi hebat adalah kerana titik peluh yang kau curahkan meski tidak ikhlas mana. Aku akan bawa jasa dan kenangan itu ke mana-mana kerana aku tidak berupaya memberi lebih daripada pujian seperti ini. Inilah kemampuan dan kekuatan yang aku miliki.

SELAMAT HARI GURU.

Selasa, 15 Mei 2007

Menjelang Merdeka


i

Beberapa hari lagi negara kita akan menyambut kelahiran jubli emas. Negara akan dijulang dengan letusan bunga api dan jalur gemilang. Fuhh! Tentu meriah dan indahnya tanah airku saat itu. Tapi sayang, ketika negara berpesta mabuk-mabukan dengan muluk-muluk yang indah diiringin para juak parti dacing; ketika itu jauh di ceruk pedalaman, masih ada insan yang tidak mengenal tv, peti sejuk, penghawa dingin, periuk nasi elektrik dan dapur gas.

Apa yang para juak parti dacing ini lakukan atau sumbangkan kepada mereka setelah mereka memangkah parti dacing?

Jawapan daripada seorang rakan aku ialah, "pangkahlah lagi parti yang rakus dan tamak haloba itu."

Aku akan ukir senyum manis kerana rasanya, telah terlalu banyak aku memberi dan berbudi kepada tanah airku dalam usia ini. Meskipun belum terlalu tua tapi aku harus berfikir kembali, wajarkah aku menyumbangkan bakti lagi kepada negara yang dirasuki hidup dengan rasuah dan maksiat? Wajarkah?

Aku masih ingat, nenek moyang aku bermandi keringat, air mata dan darah demi tanah air ini. Malah aku masih ingat juga nenek moyang aku berkata yang mereka kesal akan penukaranan nama Tanah Melayu kepada Malaya kemudiannya Malaysia. Alasan nenek moyang aku ialah melayu akan hilang seperti hilangnya nama negara itu. Katanya lagi, "India dan China tak menukar nama negara selepas merdeka. Sebab itu negera mereka kian kuat dan maju." Maknanya selagi nama bangsa itu ada, selagi itulah nama negara itu akan kekal.

Nah itulah pemikiran nenek moyang aku yang seribu tahun ke depan bukannya sepuluh atau dua puluh tahun. Kini, nenek moyang aku telah tiada. Banyak yang aku perlu belajar daripada mereka berdua itu.


ii

kepada malaysia. SELAMAT MENYAMBUT 50 TAHUN MERDEKA. aku akan terus menelan kepedihan demi kepedihan yang tidak pasti bila akan berakhir.


iii

kalau dalam blog nazmi (bukunota@blogspot) menjelaskan bahawa antara doa yang tidak diterima ialah mendoakan pemimpin yang kejam/zalim agar mati.

Tetapi adalah lebih baik supaya pemimpin yang zalim itu tak perlu didoakan terus. Tentu dengan rahmat dan hidayah Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihi itu, para juak yang zalim itu akan menerima habuannya. Amin.

Ahad, 13 Mei 2007

SELAMAT HARI IBU

Hari ini, semua orang yang menginsafi kelahirannya di muka bumi ini pasti akan meraikan 'Hari Ibu'. Jika tidak bersua muka sambil mencium kedua-dua pipi dan dahi sekurang-kurangnya mencium tangan insan bernama ibu itu. Kepada mereka yang telah kehilangan ibu, mudah-mudah pada hari ini, kita mengirimkan al-fatihah atau zikir dan tahmid untuk almarhumahnya. Jika tidak berkesempatan bersua muka seperti aku ini, sekurang-kurangnya apa yang aku lalukan iaitu menelepon ibu selepas subuh sambil mengucapkan SELAMAT HARI IBU dengan penuh sendu; mungkin memadai dan dilimpahkan rahmat oleh Allah.

ii
Aku tak dapat bayangkan kehidupan tanpa ibu. Dan saat-saat yang aku takuti ialah mendengar berita akan kehilangan ibu. Aku sentiasa berdoa agar biarlah aku yang berpergian dahulu supaya ibu dapat meredakan pemergianku. Aku masih ingat ayat-ayat yang tertera dalam kitab 'La Tahzan' tentang ibu. Mengingati ayat-ayat dalam bab itu menyebabkan aku sering syahdu dan meruntun kasih seorang ibu.

YA ALLAH, SELAMAT DAN SEJAHTERAKAN KEHIDUPAN IBUKU SAMA ADA DI DUNIA MAHUPUN AKHIRAT. AKU RINDU SEBUAH ZAMAN KANAK-KANAK KETIKA TIDUR DALAM RANGKULMU. IBU, DOAKAN JUGA KESEJAHTERAANKU DI DUNIA YANG PENUH FANA DAN PANCAROBA INI.

AMIN YA RABILALAMIN.

iii
Semalam petang di rumah PENA kami berdiskusi tentang Pramodya. Azman Ismail menceritakan pengalamannya ketika menyiapakan tesis BA dan MA nya tentang Pram. Kesempaan bertemu dan berkisah dengan Pram diceritakan kepada kami. Seronok juga bercakap tentang pemikiran, kehidupan dan perilaku Pram. Sesungguhnya, dia manusia yang percaya kepada kebenaran tetapi tidak percaya kepada Tuhan. Anehnya manusia bernama Pram itu. Nah! dialah sang anarkis yang tidur dengan falsafah dan kata-kata juga hidup tanpa berlandaskan iman Islami.
Aku, Lutfi, Nazmi, dan Jimadi Shah tidak segera pulang; kami sambung ceria tentang Pram, bab tayamum, muzafir, Seno Gumirah dan Hamsad Raskutid cerpenis indonesia, Universiti Bangsar Utama dan Rahmat Haron di warung mamak. Cerita punya cerita rupa-rupanya, Nazmi peminat Seno cerpenis Indonesia tu. Tak kisahlah tu. Itu hak dia. Begitupun, aku bahagia kerana aku masih bergaul dengan sekumpulan manusia yang dapat menyedari bertapa SOLAT ITU WAJIB.

iv.
Jangan lupa sabtu depan 19 Mei jam 10 pagi ada Diskusi Minda di Rumah PENA. Tajuk diskusi ialah Sastera Underground VS sastera Islam. Panelnya Mohd Ali Atan (UM), Ummu Hani (anak gadis Abu Hassan Morad dan Rahmat Haron (UBU). Moderatornya Pn. Raihani Mohd Said (UPM). Datanglah beramai-ramai untuk mempertahankan pendirian atau membantah dengan bijaksana.

Jumaat, 11 Mei 2007

Moga Kita Ketemu Kundasang yang Indah



i
Kundasang, inilah pengalaman yang benar-benar memukau. Kata-kata dan bahasa bukan olahan perasaan yang dapat mengungkapkan seluruh rasa. Sebelum ini, aku pernah mendaki G. Ledang, G. Jerai, G. Tahan, G. Senyum dan beberapa gunung lain di tanah semenanjung. Meskipun memukau, tetapi setelah menikmati keindahan dan suasana Mt. Kinabalu, aku benar-benar teruja.
Sepi, dingin, damai, tenang dan indah bukan ungkapan yang tepat untuk keagungan ciptaan Allah ini. Apa yang syahdu ialah sebahagian besar penduduk di kaki gungung ini beragama Islam. Setiap kali subuh, aku mendengar mersik dan tawaduk azan membangkitkan tidurku meski jam menunjukkan 4.55 pagi. Pagi dan senja di sini lebih awal satu jam setengah berbanding semenanjung.
Bagaimana harus aku melupakan kenangan ini, Kundasang.
Aku harus segera pulang kerana waktu dan tugas yang mendesak dan menuntut.

ii

Mt. Kinabalu,
aku akan bawa ingatan ini
ke dada imani
kudakap rindu dan cinta
dalam hijau alam
dan keagungan-Mu
ya Rabb
dengan seluruh insaf
yang mendekatkan
seluruh alam.

Shamsudin Othman.

Rabu, 9 Mei 2007

Kundasang ii



Gambar: Kundasang, Mt Kinabalu jam 7.25 am.
CERITAKAN KEPADAKU RAWAN HATIMU KUNDASANG


Tak pernah terlintas
ketika usia menuju senja
aku menjadi pendaki abadi
menukil keindahan dan kenangan
membaca warna daun
mentafsir kudup bunga
yang menguntum segar di hujung awan

Mungkin
aku pendaki yang kehilangan denai
setelah menelan mabuk dingin Kundasang
saat pendakian ke hujung batu Kinabalu
yang ditelan tubuh langit
atau akukah yang keliru
saat membilang jalur bianglala
yang melengkung di ubun kepala

Kundasang dan Kinabalu
kian kudakap tubuhmu
kian dekat harum yang melengkar
tapi sayang
saat aku ingin mencium harummu
kau hilang dalam rangkulan

Di puncak penuh syahdu
dari jendela kamar
aku merenung resah awan dan kabus
yang kian menghitam dan menghilang
di telan rakus

Sebelum pulang
hanya aku bertiga
aku, Aminhad dan Kinabalu
tegar menghirup duka dan luka
yang tak berpenawar

Kundasang yang dingin
Kinabalu yang rupawan
khabarkan kepadaku
rawan dan gundah hatimu
meski dalam keliru
sebelum berangkat pulang.

507 Hotel Perkasa,
Kundasang, Sabah.

Selasa, 8 Mei 2007

Kundasang yang Damai dan Kenangan




Gambar 1: G Kinabalu dari kaki Kudat
Gambar 2 dan 3: Puncak Gunung dari bilik 507 Hotel Perkasa.
i
Kamar bernombor 507 yang jendelanya benar-benar menghadap puncak gunung Kinabalu aku selak jendelannya. Aduh! Hati mana yang tak tersentak melihat keindahan alam. Aku terasa digigit rindu yang maha mendalam. Aku sendiri tak menyangka dalam usia awal 40-an ini akhirnya berjaya juga kaki menjejaki tanah Kinabalu. Hotel Perkasa yang sedikit berciri Perancis itu punya banyak kemudahan. Ada jambatan gantung, suasana air terjun dan element tradisi yang mengasyikkan. Dingin cuaca yang sentiasa menggigit tubuh sesekali mengajar aku menjadi ingat kepada orang tersayang yang jauh dalam ingatan.

Isnin, 7 Mei 2007

Salam dari Tanah Ijok

gambar i: Keindahan Sutera Beach Resort, Terengganu yang masih belum ternoda.
gambar ii: Bersama-sama pak Samad, ibu Rasidah, Nisah, Najmi, Sharunizam ketika bengkel
MPR DBPWT di Sutera beach Resort.


i
Maka setelah sang gagak diulit resah yang panjang, dia mendapat perkhabaran daripada memanda ketuanya iaitu, babap segala gagak untuk menghadap. Mendengar berita itu, sang gagak mula berfikir panjang. Apa yang sedang bermain dalam benaknya ialah apa pagi yang akan aku diperlakukan. Malah sang gagak tahu, sejak akhir-akhir ini dia seperti diperkudakan oleh binatang-binatang yang berkepentingan dengan sang anjing atau sang babi. Kita sang gagak bercongak-congak untuk merancang strategi tiba-tiba sangkarnya digegar berkali-kali. Kuat sekali hingga dia hampir jatuh ke lantai.
"Tuan, memanda sang gagak hendak berjumpa tuan. Memanda sedang menunggu di ruang tamu." Jelas adik sang gagak, gagak betina yang bulunya kini tidak sehitam gagak-gagak lain. Bulu adik sang gagak ini telah diinai ke warna sedikit jingga hingga menampakkan kelainan jika dibandigkan dengan gagak-gagak estet atau gagak-gagak kampung.
"Baiklah, adikku. Tapi ingat jangan pasang telinga dan kalau boleh tolong panggilkan cicak atau biawak sekali untuk menunggu di ruang tamu. Abang perlukan bantuan biawak atau cicak. Mereka berdua tu licik dang mungkin dapat membantu abang jika memanda sang gagak marah atau tidak puas hati dengan abang," pesan sang gagak kepada adik kesayangannya.
Gagak betina yang berusia sekitar 21 tahun itu mengangguk sambil mengepakkan sayang dan terbang mencari sang biawak dan sang cicak.

......
ii
Aku di Klia, menaip di depan Asian Cafe berhadapan dengan Pondok Polis KLIA. aku sedang menunggu rakan-rakan untuk ke Kundasan, Sabah. Penerbangan jam 12 tengahari. Aku sempat menjamah Nescafe dan nasi lemak. Harganya RM13.90. Fuhh! mahal gila. Kalau di kampung aku harganya cuma RM 3.00 aja. Inilah dunia dan kemajuan. Kerajaan akan terus menggigit dan memanjangkan taringnya manakala kita rakyat hanya mampu menelan air liur aja. Nah, pangkahlah lagi parti dacing yang kuat makan rasuah tu.

Di Kundasang, aku akan berceramah tentang puisi dan seputarnya kepada sekumpulan guru Sabah. Sementara Aminhad akan berkisah tentang cerpen dan novel. Inilah satu perkongsian ilmu yang banyak mengajar aku menjadi lebih dewasa.

iii

Semalam, sebanrnya aku baru balik dari Sutera Beach Resort, Terengganu. Bersama-sama Pak Samad, Nisah Haron, Sharunizam Talib dan Najmi; kami lebih banyak bercakap tentang sastera dan masa depannya. Pak Samad sempat bercerita tentang koleksi lukisannya yang bernilai hampir 1/2 juta. Aku tersenyum sambil berkata, "kalau Pak Samad dah tak nak lukisan itu atau dah tak ada ruang untuk digantung di rumah jangan buang. Nanti saya datang ambil dan tolong buangkan ke rumah saya."

Kami ketawa sambil Najmi kata aku kapitalis. Kapitalis apanya aku kalau dia asyik berkelek dengan novel Snow karya Orhan Parmuk. Dia lagi sekular dari aku rupa-rupanya.

Khamis, 3 Mei 2007

Ijok dan Sebuah Cerita yang Lain ii

i
maka begitulah, akhirnya selepas pertandingan yang penuh mencabar akhirnya warga mergastua di rimba Ijok terpaksa berketuakan sang gagak. selepas itu, sang pelanduk, sang kancil, sang buaya, dan seluruhnya termasuk sang gajah terpaksa akur dengan kepimpinan baharu itu.
adapun sang gagak kini mula resah apabila resah kerana akan mula bergerak dan berfikir secara sendiri-diri. sang gagak kini kesepian apabila semua rakan-rakannya seperti sang babi, sang anjing dan sang burung bayang telah kembali ke rimba masing-masing. kehidupan sang gagak yang baharu sahaja dinobatkan sebagai ketua mula terasa kekuk dan pelik. masakan tidak; kalau dahulu sang gagak boleh lena tidur kini tidurnya menjadi resah. kalau dulu sang gagak boleh berjalan-jalan di rimba dan menghirup udara segar, kali ini semuanya tiada lagi. ke mana-mana hala tujunya, sang gagak mula dikejari oleh lipan, semut, ulat bulu, lintah, cicak kobeng (pokko), ular dan nyamuk. mereka sering meminta bantuan dan pertolongan.
suatu hari yang hening selepas mahgrib, sang babi menghantar SMS ke sang gagak. isinya ringkas tetapi padat.
" jom, kita jalan-jalan cari penyedap nafsu. kau tu bujang dan belum pernah rasa dara." pelawa sang babi.
sang gagak teragak-agak akan pelawaan itu.
sang anjing menyampuk, "apalah kau ni, kau dah punya kuasa. rimba jagat ini kita yang punya. kalau ada sesiapa yang menentang, kita bunuh aja dia. habis cerita."
sang gagak melihat dengan renungan tajam sambil berkira-kira untuk mengiya atau menidakkan pelawaan sahabat karibnya yang baharu dikenalinya sejak dia menjadi ketua di rimba ijok.
"dahulu sang babi dan sang anjing tak macam ni," getus hati sang gagak.
"jom, apa tunggu lagi, penakut betullah kau ni gagak," jerkah sang babi dan sang anjing serentak.
rimba ijok sepi seketika. hanya deru angin dan desir daunan berlagu merdu. sesisik awan menutupi matahari dan saat itu, cuaca yang redup dengan angin yang berhempus perlahan benar-benar mendamaikan. tetapi kedamanian itu tiada di hati sang gagak. kotak fikirnya ligat memikirkan perangai rakannya sang babi dan sang anjing. sang gagak tidak menyangka bahawa sifat sang babi dan sang anjing yang berbaik-baik dengannya selama ini mempunyai niat ada udang di sebalik batu.
"fuhhh!' rengus sang gagak sambil menarik nafas dalam-dalam.
sang babi dan sang anjing sedang meneguk arak demi arah dengan ketawa hilai yang sesekali menjelma dan menghilang.
ii
malam tadi banyak yang menghantui fikiran. kitab-kitab kuning dan buku-buku yang baharu aku beli di pesta buku Kl aku susun ikut rak-rak. sesekali memandang buku-buku dan kitab tafsir yang menimbun menjadikan aku takut akan kehidupan ini. banyak yang bermain-main dalam benak aku. tiba-tiba hati kecil aku bergetik.
"adakah si khairi, najib, hishamudin itu membaca buku macam yang aku baca? alangkah beruntungnya kalau mereka juga membaca buku atau kitab-kitab kuning karangan ulamak yang pernah mencipta tamadun dan keagungan Melayu".
Tak apalah, mereka lebih suka membaca feudalmental, sekularlisme, komunisme, markisme, liberalisme dan entah apa-apa yang tak terlintas dalam masyarakat tanah Melayu.
entahlah, moga Tuhan membuka hati mereka suatu hari nanti.

Selasa, 1 Mei 2007

SELEPAS KE PESTA BUKU ANTARABANGSA KL

i
Berkesempatan ke pesta buku bersama-sama Rahimidin, Lutfi, Saifulizan Yahya, dan Saleeh Rahamad sabtu lalu banyak menemukan aku dengan buku-buku baharu. Tanpa disedari aku telah berbelanja hampir rm400 untuk membeli buku-buku yang idam-idamkan selama ini. Aku bersyukur kerana dapat memiliki kitab-kitab kuning yang ditulis dan dicetak semula. Tulisan para ulamak Melayu yang dahulu diharamkan kini boleh didapati. Insyallah, selepas ini aku akan menekuni kitab-kitab itu selepas ini.
ii
Cuti panjang kali ini telah menemukan aku dengan rakan sepengajian ketika di MPLP dahulu. Dia yang amat akrab dan pernah sama-sama berkongsi makan nasi bungkus itu kini mengajar di Kedah. Dia banyak mengungkap kembali kisah kejujuran dan kenangan lalu. Fuhh! Bahagia rasanya.
iii
Aku agak sibuk minggu depan. 4 Mei aku ke Terengganu untuk bengkel Minggu Penulis Remaja (MPR) DBP Wilayah Timur. 7-10 mei aku ke Kundasan, Sabah. Tentu ini mengamit kerinduan kepada tanah KL yang banyak mengajar erti rindu dan cinta.
Salam.