Rabu, 30 Disember 2009

1SEKOLAH 1BAHASA

i
Seorang profesor bertandang ke kamar saya. Pagi-pagi lagi dia sudah berusaha untuk mencungkil pendirian saya (mungkin juga ingin mencuri pandangan saya) tentang 1sekolah dan 1bahasa. Oh ya, sebelum itu, profesor ini seorang kolumunis sebuah akhbar perdana negara. Dia memulakan pertanyaan dengan soalan ini, "kau setuju ke sekolah satu bahasa?" Saya tidak segera menjawab kerana saya tahu behawa selama ini, idea-idea saya yang saya hujahkan ketika kami di kantin atau di surau akan menjadi wacana tulisannya. (Tak mengapalah, itu sudah ketentuan Illahi).

Dia mendesak dengan idea kedua sebelum sempat saya menjawab soalan tadi. Idea kedua itu begini pula, "aku tak dapat bayangkan kalau sekolah di Malaysia ini hanya berorentasikan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu. Tentu mentaliti pelajar kita akan jauh ketinggalan."

Mendengar sahaja idea itu, saya segera merenungnya. Dia diam dan terhenti daripada meneruskan idea yang membobot di dalam akalnya. "Kenapa prof cakap macam tu?" tanya saya pendek. "Yalah, aku setuju dengan pandangan TPM untuk menjadikan BI dan bahasa Cina sebagai bahasa sampingan di sekolah. Biar anak-anak kita atau pelajar sekolah cepat menguasai alam persekitaran." Jawab prof itu lancar dan penuh bijaksini itu.

"Entahlah, prof. Saya orang jawa. Dulu waktu sekolah, saya hanya belajar dan diajar oleh guru dalam bahasa Melayu. Lepas tu belajar BI untuk subjek BI sahaja. Tapi hari ini, saya jadi orang juga."

Tiba-tiba, telefon bimbit prof itu berbunyi. Dia segera meninggalkan saya tanpa sepatah kata terima kasih pun.

Saya senyum puas sambil melihat gelagatnya yang kelam-kabut itu.

Isnin, 21 Disember 2009

KURANG KASIH SAYANG

BEBERAPA hari yang lepas, di Istana Budaya, pertemuan saya dengan Rahimidin Zahari lebih banyak berkisar tentang lukisan dan dunia seputarnya. Begitupun, ada satu kisah yang paling menarik dan boleh dikongsikan di sini. Isunya ialah 'kurang kasih sayang'. Maka berceritalah kami sambil diselang selikan dengan gelak ketawa. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk menulisnya di dalam blog ini sebagai santapan minda dan lelocong sahaja.

Justeru, kepada sesiapa yang kurang kasih sayang atau inginkan kasih sayang, bolehlah menghubungi rakan saya yang berada di Istana Budaya itu untuk mendapatkan maklumat lanjut. Hubungilah dia kerana dia sangat-sangat/ boleh membantu dan menyelesaikan masalah anda.

Moga, tuan akan memperoleh kebahagian yang dicari. Amin.

Saya senyum sendirian ketika menulis entri ini. Kepada sahabat saya, selamat menceburi kerjaya baharu dan moga sukses. Saya doakan tuan terus berjaya. Dan, kepada rakan-rakan yang kurang kasih sayang, inilah masanya untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya ini. Saya percaya atas kewibawaan sahabat saya ini kerana dia telah terbukti memiliki kasih sayang yang amat tinggi.

Salam

Selasa, 15 Disember 2009

TAHNIAH PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA


TAHNIAH kepada pasukan bola sepak Malaysia yang berjaya mencipta nama di Laos dan Sukan SEA. Setelah hampir 20 tahun pasukan bola sepak negara tidak mengukir nama dan hanya bergelar 'pasukan belasahan merangkap jaguh kampung', kini kita boleh ukir senyuman kembali.

Tanpa meletakkan sandaran tinggi dalam pertandingan akhir nanti, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia khususnya saya sudah boleh berbangga atas kejayaan pasukan ini. Tahniah sekali lagi.

ii
Saya sebenarnya malas nak bercakap tentang bagaimana cara pemimpin negara/ tanah air berfikir. Dua hari lepas kenyataan TPM dengan aganda "UMNO JUARA RAKYAT" dan semalam dengan harapan menggunung supaya "ORANG MELAYU BELAJAR BAHASA CINA." Tanpa berniat untuk mengkritik tetapi memberi reaksi awal, saya melihat bahawa budaya 'phlegmatic' seperti yang dikatakan oleh Lincon Steffens di dalam bukunya 'The Shame of the Cities' sedang menjalar di dalam tindak tanduk pemimpim UMNO. Budaya ini wujud apabila pemimpin lebih menumpukan perhatian kepada hasil daripada mencari kaedah dan tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada watak dan perwatakan diri sendiri yang umumnya adalah hamba politik (Rujuk buku "Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi" (DBP:2009) tulisan Syed Hussein Alatas.

Akhirnya, lebih baik untuk sehari dua ini, saya memberikan sokongan padu kepada pasukan bola sepak bawah 23 Malaysia yang sedang berjuang di Laos.

Dan, bercakap tentang Laos, saya bersama-sama rakan PENA telah berjaya menjejakan kaki di tanah Laos pada tahun 2007. S.M. Zakir berjaya menulis cerpen "Cerita untuk Teman-teman", (Dewan Sastera; Ogos 2008), dan Rahimidin Zahari berjaya menghimpunkan sejumlah puisi di dalam kumpulan puisinya "Perjalanan Salik" (2009), sementara saya dan rakan-rakan lain hanya berjaya menghasilkan puisi eceran sahaja (sebab makam sasterawan kami tidak setaraf dengan mereka berdua).

Laos sebuah negara yang masih berjuang dengan pembangunan. Rakyatnya yang ramah dan penuh budi itu perlu dicontohi.

Khamis, 10 Disember 2009

TITIPAN BUKU DARI BANDUNG

SEMALAM, saya menerima bungkusan dari tanah Bandung. Isinya sebuah buku tentang perjalanan allahyarham Rendra. Saya sendiri tidak pasti siapa yang mengirimkan buku ini kepada saya. Di luar sampul itu tiada nama pengirim apatah lagi alamat lengkap. Lewat saat ini saya sedang memikirkan siapakah insan yang mulia hatinya itu hingga sanggup menitipkan buku itu kepada saya.

Terima kasih kepadamu (pengirim buku). Bagaimana harus saya membalas budi dan keikhlasan tuan ini? Moga Allah SWT merahmati dirimu.

SAJAK KEPADA SANG PENITIP BUKU

Senja nan sepi diulit resah
sambil menatap kerja-kerja yang tidak berakhir
aku dikunjungi tetamu
membuka dan menatapnya sepintas lalu
yang kutemui hanya cerita tentang Rendra
tetapi tidak tentang dirimu

Siapakah kau sang pengutus mimpi
datang kepadaku tanpa nama dan alamat
juga sebaris pesan ingatan

Khabarkan kepadaku hajat dan niatmu
meski cinta dan rindu kita
sudah lama berakhir.

Shamsudin Othman
JPBK, FPP
UPM. Serdang. SELANGOR.

Jumaat, 4 Disember 2009

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU



Dua keping gambar yang saya cuplik (dengan izin) daripada blog rarws.blogspot.com milik sdr Rusdi Abd Rahman. Terima kasih tuan.

KEMUNCULAN saya di siaran 'Helo Malaysia' semalam (3 Disember 2009) secara langsung dengan agenda/ topik 'Memartabatkan Bahasa Melayu' membawa saya ke satu wacana yang saya tidak menduganya. Saya pulang ke rumah dan sekitar jam 2.31 pagi talian telefon saya berdering-mati dan bergering-mati; berkali-kali. Hati kecil saya berdetik resah tapi tidak mengendahkannya. Selepas subuh satu menerima panggilan tanpa nombor dan kemudian saya menjawabnya dengan prasangka yang saya sudah sedia maklum.

Seperti biasa ada herdikan dan sinis yang tajam. Dia tidak bersetuju dengan ungkapan 'malapetaka' yang saya guna pakai ketika diwawancara oleh Sherkawi Jirim. Saya menjawab dengan penuh hikmah, kalau tak setuju tak apa; tapi lain kali jangan melacurkan pula bahasa Melayu. Rupa-rupanya dia bertambah marah dengan perkataan 'melacurkan' itu pula. Saya dicerca hebat dengan sumpah seranah.

Tak mengapalah; dan mengapa saya timbulkan perkataan 'malapetaka' di dalam wawancara itu? Saya hanya menjelaskan bahawa jika pemimpin tidak bersungguh mendaulatkan bahasa Melayu, maka tunggulah malapetaka yang bakal direformasikan oleh rakyat. Mungkin dengan kata-kata itu telah menyinggung hati para juak UBN. Maafkan saya YB.

Sesungguhnya, soal bahasa bukan soal yang boleh dipermain-mainkan, diperkotak-katikkan, diperjudikan atau dijual-belikan. Soal bahasa ialah soal perjuangan mempertahankan hak ketamadunan bangsa dan negara. Ini persoalan yang tidak boleh diperlekeh. Oleh itu, sekirannya pemimpin kita beranggapan bahawa bahasa hanya alat komunikasi yang tidak bermakna apa-apa; saya wajib menentang sekeras-kerasnya. Malah, dalam siaran langsung itu juga saya mencabar mana-mana pemimpin negara yang berjiwa Melayu untuk sama-sama mempertahankan agenda bahasa Melayu dalam konsep dan penerapan gagasan 1 Malaysia. Pendirian saya jelas bahawa gagasan 1 Malaysia terasnya adalah bahasa dan bangsa Melayu.

Begitulah sandiwara pemimpin kita, sentiasa bertopeng-topengan untuk memenuhkan poket dan tuntutan nafsu sendiri.

Maafkan saya YB.

Rabu, 2 Disember 2009

SK VS SRJKC



APABILA TPM mengeluarkan kenyataan bahawa guru-guru SK perlu belajar dengan guru-guru SRJKC berdasarkan keputusan UPSR, sayalah orang pertama sekali yang ketawa. Saya teringatkan bagaimana keadaan SRJKC yang serba kekurangan, P&P yang kurang bersistematik dan guru-guru yang sebahagiannya tidak terlatih.

Saya bertanya sendiri, apa sudah jadi dengan sistem pendidikan negara? Saya cuba memberi beberapa pandangan mengapa SRJKC berjaya di mata TPM:

1. SRJKC memulaukan banyak aktiviti kokurikulm anjuran KPM. Ini bermakna mereka lebih berjaya memfokuskan kepada sistem peperiksaan.
2. SRJKC mengajar matematik dan sains dengan MENGGUNAKAN BAHASA IBUNDA (BAHASA CINA). Oleh itu, pembelajaran matematik dan sains lebih berkesan dan berjaya.
3. SRJKC tidak pernah menjadikan pelajar-pelajarnya bahan kajian (eksperimen) terhadap sesuatu dasar KPM. Apa yang penting bagi mereka ialah belajar dan belajar, belajar dan
belajar.
4. Guru-gurunya tidak dibenarkan berpolitik.
5. Sistem P&P mereka masih mengekalkan sistem konvesional yang bersifat interaksi dua hala/ bersemuka.
6. SRJKC masih menghalalkan penggunaan rotan.

Nah, ini adalah sebahagian daripada apa yang saya sedari ketika saya menjadi guru suatu waktu dahulu. Kepada TPM, harapnya dapat sama-sama mengkaji apa yang sedang berlaku di dalam sistem pendidikan SK. Menuduh guru-guru SK sebagai guru yang tidak berinovatif adalah satu tamparan yang seperti menepuk air di dalam dulang. Sebagai seorang manusia yang pernah menjadi guru, saya rasa pandangan TPM itu benar-benar menyinggung hati kecil saya.

Guru-guru di SK pada hari ini tidak ubah seperti seorang kerani yang terpaksa berhadapan dengan kerja-kerja lain yang tiada kaitan langsung dengan P&P. Masa P&P mereka menjadi mangsa korban gagasan dan idea-idea muluk PPD, JPN mahupun KPM. Pernahkan kita mendegar SRJKC menjadi johan pertandingan bola sepak MSSM? Pernahkan kita mendengar SRJKC menjadi johan Pertandingan Pidato DiRaja? Pernahkah kita mendengar SRJKC mewakili Malaysia ke pertandingan nyanyian atau tarian? Pernahkan TPM mendengarnya?

Maafkan saya TPM.

Isnin, 23 November 2009

SEUSAI PPN KE-3



PERHIMPUNAN PENYAIR NUSANTARA KE-3 baru sahaja usai. Saya mewakili dan merangkap tenaga kerja PENA ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja khususnya DBP, JKKN, ITNM, Menara KL dan para peserta yang telah menjayakan program PENA ini. Syukur kehadrat Illahi kerana dengan kurniaanNya maka program yang penuh bermakna ini berjalan dengan jayanya seperti mana yang dijadualkan.

Kecatatan yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Atas kelemahan diri ini, dan PENA khususnya, saya mewakil rakan-rakan kerja mohon maaf banyak-banyak. Anggaplah kelemahan itu sebagai satu pengajaran yang kita sama-sama cuba perbaiki.

Insya-Allah, kita akan bertemu di Brunei Darusalam pada tahun depan dengan wajah, gagasan dan impian yang baharu.

ii
Ada sesuatu yang benar-benar menyentuh hati saya ketika mendengar ucapan 'ucap utama' Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Lontaran idea beliau yang ingin melihat pemerkasaan warisan Melayu seharusnya tidak terhenti itu perlu disahut secara berani oleh semua pihak. Sejak itu, saya mula memikirkan bahawa siapakah yang bakal menjadi kesinambungan itu selepas saya dan rakan-rakan menjadi tua dan tidak berdaya? Jika hari sabtu itu, Prof Muhammad hampir menitiskan air mata pada usianya 68 tahun (2009), bagaimana dengan nasib warisan Melayu pada usia saya 68 tahun nanti? Jika pada waktu ini pun, nasib Bahasa Melayu seperti 'mentimun dengan durian', bagaimana pula pada tahun 2034 nanti? Adakah pada tahun itu, saya masih dipinjamkan nyawa?

Luahan rasa Prof. Muhammad penuh sembolik dan amat trajis. Luka daripada lubuk hatinya yang mendarah setelah melalui kembara intelektual dalam mencari makna warisan Melayu yang abadi seakan-akan tidak tertahankan. Dia merayu, dia berharap dan dia bernostalgia. Di dalam rayuan, di dalam harapan dan di dalam nostalgia itu dia membenamkan pisau cabaran kepada generasi hari ini. Tikaman idea itulah yang sedang mengganggu mimpi dan jaga saya.

Iya, bagaimana untuk melahirkan karya besar sehebat Iqbal atau Rumi yang berjaya mengangkat karya Islam? Akankah lahir seorang penyair Melayu yang boleh mengatasi kehebatan Shakespeare, Tagore, Dan Brown mahupun Usman Awang selepas ini?

Saya tidak mempunyai kekuatan sedemikian rupa. Karya saya masih seperti langit dengan bumi; harumnya sebusuk najis berbanding harum kemboja. Oleh itu, saya meletakkan harapan yang amat tinggi dan sentiasa berdoa agar bangsa Melayu akan berjaya melahirkan seorang Iqbal atau Rumi yang mampu berkarya di dalam Bahasa Melayu dan mengangkat warisan bangsa dan tamadun fikirnya. Saya akan sentiasa berdoa ke arah itu.

iii
Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja yang telah menjayakan PPN ke-3 ini. Bertemu lagi kita tahun depan di negara Brunei Darussalam.

Salam puisi. TERIMA KASIH DBP, JKKN, ITNM, MENARA KL, dan PENA.


Isnin, 16 November 2009

PERHIMPUNAN PENYAIR NUSANTARA KE-3 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-3
NUSANTARA POETRY GATHERING 2009

TARIKH: 20-22 November 2009
TEMPAT: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur & Rumah PENA

JADUAL ATUR CARA

Hari PERTAMA (Jumaat 20 November 2009)

PAGI
12.00 tgh – 2.30 ptg : Pendaftaran Peserta
2.30 tgh – 4.30 ptg : Forum Penyair: Puisi Mancanegara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand)

MALAM
8.45 mlm – 11.00 mlm: ACARA PERASMIAN

Hari KEDUA (Sabtu 21 November 2009)

PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Ucap Utama: Prof Dr. Muhammad Haji Saleeh (SN)
10.30 pagi : Jamuan Teh
10.45 pagi–1.15 tgh : Pembentangan Kertas Kerja:
1.00 tgh –2.30 ptg : Makan Tengah Hari
2.30 ptg – 6.30 ptg : BACA PUISI DI MENARA KUALA LUMPUR
6.30 ptg : Jamuan teh dan makan malam (di Rumah PENA)

MALAM :
8.30 malam: PERSEMBAHAN & BACA PUISI DI RUMAH PENA

Hari KETIGA (Ahad 22 November 2009)

PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Forum Penyair Nusantara
10.30 pagi : Jamuan Teh
10.45 pagi–12.30 tgh : Majlis Penutupan:
12.30 tgh – 1.30 tgh : Makan Tengah hari
1.30 tgh : PESERTA BERTOLAK PULANG

Yuran penyertaan : RM20.00 (dibayar pada masa pendaftaran)

Peserta Luar Negara termasuk Sabah dan Sarawak disediakan penginapan di Rumah PUSPANITA.

Sabtu, 14 November 2009

PRAHARA CINTA


PRAHARA CINTA

Bulan, ajarkan aku makna cinta ar-Rahman,
jangan kotori kalbuku
dengan rindu yang terhukum
oleh kepalsuan.

Bulan, usah ajarku erti cinta
dengan bahasa nafsu.

Izinkan aku mendengar
bahasa imaniku
aku lelaki yang mabuk kata-kata
dakaplah aku semahunya
sebelum asmara
menjadi sebuah sandiwara.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Jumaat, 13 November 2009

PERCAKAPAN BULAN KEPADA MATAHARI

PERCAKAPAN AKU DAN BULAN KEPADA MATAHARI

Mengenang Zulhijah bening
yang datang ke dalam insaniahku
kosong jasad
di tanah Masjidil Haram
saat duduk mengaminkan doa antara dua sujud
aku merenung rupawan bulan
dengan sebuah syahdu yang lain.

Antara selisih malam dan siang
tika ledang subuh bangkit dari tidur
dan matahari membuka jendela
jua bulan menyususp di balik langit
aku mendengar resah suaramu
pilihlah aku atau matahari
tanya bulan dengan getar suara
yang tak tertahankan.

Aku terpana akan cemburu matahari
dalam diam dan agam yang panjang
aku mendakap kelam malam
lalu
kataku kepada matahari
aku memilih bulan
kerana di dadanya ada
segugus cinta Tuhan.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Selasa, 10 November 2009

ALFATIHA KEPADA ALLAHYARHAM AYAHANDA RAHIMIDIN ZAHARI

Al-Fatiha kepada ayahanda Rahimidin Zahari yang telah kembali menemui Illahi pada pagi tadi. Kepada sahabat saya yang paling memahami ini, moga roh ayahanda tuan dirahmati Allah.

Salam takziah daripada seorang sahabat.

Isnin, 9 November 2009

SANG PEMADAM SEJARAH


Entri ini tidak melibatkan mana-mana pihak. Cuma sebuah cerita daripada mimpi saya malam tadi. Selepas solat subuh sementara menunggu untuk ke tempat bertugas, saya 'layang' mimpi malam tadi. Lalu tertulislah sajak yang entah apa-apa ini.

SANG PEMADAM SEJARAH

Sang pencatat itupun memadam sejarah kehadiranku dan rakan-rakan di dalam diari kemersraan hidupnya. Aneh, kerana kami bukan musuh seperti gunting dalam lipatan dan kami adalah sebahagian daripada dirinya yang sering menterjemah sepi dan rindu - semuanya menjadi tanda tanya yang menyukarkan? "Tak mengapalah," kataku kepada seorang rakan yang paling memahami.

Dia sang pencatat yang memilih sunyi lalu meninggalkan kami untuk menghirup kesegaran demi kesegaran keakraban. Sejak itu, jauh di kalbuku, aku mula belajar memahami makna sahabat meski aku sentiasa menyusun hikmah dan menghormati nilai bersahabat.

Aku sudah terlalu tua untuk menyusur arus rajuk dan dendam iri. Ketuaanku ini sering mengetuk pintu kebencian diriku. Ketuaan ini sering mengajar aku erti pemaaf. Ketuaan ini sering berbisik kepadaku agar sering memaafkan. Dan ketuaan ini sering mengajar aku erti mengatur kata-kata.

Ya Rabb, izinkan aku merenung kelemahan diri saat ketuaan bermaharajalela di tubuhku. Amin

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Fuhh! Kalau Rahimidin dan Pak Zakir baca sajak naratif ini, jangan menangis pula. Ini hanya cerita mimpi yang saya terjemahkan ke dalam bentuk kata-kata. Entahlah, sejak akhir-akhir ini saya sering berhadapan dengan mimpi-mimpi yang tidak terdugakan. Iyalah, mungkin usia yang sedang menuju senja ini, banyak juga cerita-ceriti yang mengejar diri. Bak kata pak dosen saya, En. Saleeh, "jangan ingat nak berseronok aja... tak lama lagi kita jadi tua juga."

Selasa, 3 November 2009

SEBUAH MALAM



MASJID SULTAN, SINGAPURA



Malam tiba-tiba berubah wajah

menjadi mawar

aku memetik dan menyelitnya ke telingamu

harum yang menusuk mengingatkan aku

kepada hari-hari lalu

saat kau merangkul tubuhku

dengan seluruh berahi iman

dan tegar rindu takwa.


Begitulah selalunya

pada setiap detik malam berkhutbah

tahmid dan zikir yang berbisik mengingatkan aku akan

sepi yang tak terjangkau fikir

meski gelap tak pernah jemu mengutus jawapan demi jawapan

daripada seberkas pertanyaan.


Malamku yang sepi

aku datang kepadamu dengan seluruh jiwa

membawa khabar kembara
yang sesat di pangkal jejak.



Demi malam dan apabila ia berlalu
yang kudengar adalah desir taubat
menderu kuat menyusur munajat.

SHAMSUDIN OTHMAN

Masjid Sultan, Singapura.


Isnin, 2 November 2009

SEKOLAH SATU ALIRAN: MENCARI GUNTING DALAM LIPATAN

Sebagai penyokong kuat kewujudan sekolah satu aliran dan konsisten dengan pendirian ini, saya tegaskan bahawa kerajaan 1 Malaysia (1M) perlu melaksanakannya segera. Membaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, saya senada dengan pendapat Tan Sri Zainuddin Maidin (ZM) melalui artikalnya "Contohi Keazaman Singapura" (hlm 7: UM 2 Nov 2009). Meskipun sebelum ini saya tidak sehaluan dengan beliau dalam gagasan 'Kebudayaan Malaysia dan PPSMI' tetapi dalam hal 'sekolah satu aliran' ini, saya berpihak kepadanya.

Beliau mengambil contoh bagaimana Lee Kuan Yew menggunakan sepenuhnya political will (keazaman/ kuasa politik) hingga berjaya membunuh prinsip cauvinis Melayu, Cina dan India yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perpaduan dan terbukti berjaya di Singapura pada hari ini.

Seharusnya kerajaan 1M juga bertegas dalam hal-hal seperti ini. Pendaulatan bahasa Melayu tidak bermakna dengan pengistiharan menghapuskan PPSMI sahaja, malah lebih daripada itu ialah mencantas budaya cauvinis Cina dan India secara bijaksana. Bayangkan, setelah 52 tahun merdeka, bahasa Melayu masih seperti melukut di tepi gantang di tanah air sendiri dan lebih malang berpemimpinkan bangsa Melayu.

Saya agak serius dalam hal ini kerana sebagai seorang yang terlibat seratus peratus dalam dunia pendidikan bahasa Melayu dan sastera Melayu, saya melihat sudah sampai masanya, tindakan yang lebih radikal tanpa bermain tarik tali perlu diambil. Hanya dengan langkah berani inilah sahaja kita dapat mengangkat semula martabad dan maruah bahasa Melayu yang tercemar oleh kesilapan masa lalu. Indonesia misalnya juga, dengan gagasan "Satu Bahasa Satu Negara", akhirnya berjaya mewujudkan satu semangat sehati sejiwa di dalam jiwa rakyat yang mempunyai lebih daripada seratus bahasa dan bangsa. Begitu juga halnya dengan negara Thailand yang tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan bahasa dan warisan bangsa.

Jika Singapura, Thailand dan Indonesia boleh menjadi negara maju dan hebat di mata dunia kenapa negara yang mengamalkan cogan kata 1M tidak boleh melaksanakannya pada hari ini? Waktu dan masa sudah berada pada ruang yang mengizinkan. Hanya menunggu pelaksanannya sahaja.

Begitupun, ada juga yang mengecewakan saya apabila sekelompok kecil NGO Melayu mahupun persatuan-persatuan bukan bumiputera yang menyatakan ketidaklogikan usaha ini. Saya tidak faham daripada aspek mana dan sisi mana mereka mentafsir proses pelaksanaan perpaduan ini?
Mereka bercakap tentang perpaduan dan keamanan tetapi mereka menutup jalan terbaik yang boleh mempercepatkan asas perpaduan itu. Mereka menentang gagasan perpaduan dengan cara licik dan halus tanpa mencadangkan usaha untuk menjayakan gagasan perpaduan. Ini yang menyedihkan saya apabila ada golongan eletis Melayu yang tidak yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Mereka memperlekeh, mempersenda dan mencemek apabila melihat, bertutur dan mendengar bahasa Melayu. Lalu, jadilah usaha murni seperti mewujudkan sekolah satu aliran ini satu idea enteng yang tidak bermakna di dalam jiwa mereka.

Jika hal ini berlanjutan, maka, seperti apa yang saya bimbangi sebelum ini iaitu, budaya krisis identiti Melayu itu sebenarnya masih belum sembuh sepenuhnya. Malah, jika kita pergi ke pusat beli belah bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur, atau di pejabat-pejabat kerajaan, di Putrajaya kita masih dapat mendengar orang Melayu, Cina dan India bercakap dalam bahasa Inggeris. Mereka berasa kekampungan dan mundur jika bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka akan terhina jika mengakui bahawa mereka tidak boleh berbahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris mereka ibarat 'lebih sudu daripada kuah'.

Jika sebelum ini, idea Prof. Emeritus Tan Sri Koo Kay Kim ini mendapat sokongan Pemuda PPP dan PIBGN, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, maka kenapa gagasan muluk ini perlu dilengah-lengahkan? Cakap-cakap Pak Lah (PM ke-5) ketika ditanya tentang gagasan ini (rujuk UM: hlm 7 2 Nov 2009), dengan alasan, "saya dulu pun semasa menjadi Menteri Pelajaran, pernah berfikir mengenai hal ini juga. Tetapi perkara ini tidak mudah kalau kita buat juga, lepas itu orang tolak, ini akan menjadi kelam kabut." Nah, siapakah Pak Lah pada hari ini apabila mengungkapkan kembali nostalgia pentadbirannya itu?. Zaman ini zaman Najib dan Najib perlu tegas dan berprinsip.

Saya bersetuju dengan Tan Sri Zam (ZM) atas prinsip 'political will'. Itu sahaja. Bayangkan setelah 52 merdeka, kita masih takut-takut membuat keputusan demi menjaga hati pihak lain sedangkan sudah lama bangsa kita dijadikan mangsa falsafah 'gunting dalam lipatan'.

Saya mungkin gila atau tidak siuman dalam hal ini. Terus terang saya katakan, saya sedang mendidik anak-anak muda berbangsa Cina dan India untuk menjadi guru bahasa Melayu. Sayangnya, mereka ini yang sudah berada selama 13 tahun di dalam sistem pendidikan negara masih belum dapat menguasai kemahiran 3M bahasa Melayu dengan sebaiknya. Mereka ini apabila tamat pengajian selama 4 tahun di universiti akan menjadi guru Bahasa Melayu. Bayangkan sekali lagi, bagaimanakah mereka akan mengajar Bahasa Melayu kepada anak-anak Melayu nanti sedangkan penguasaan sebutan (komunikasi) dan pemahaman makna tersirat diksi Melayu mereka lemah? Kesannya, anak-anak Melayu akan terus bermasalah dengan bahasa mereka sendiri dan bangsa-bangsa lain akan terus berada di dalam sistem yang salah selama-lamanya. Walau bagaimanapun ada juga anak-anak murid saya yang berbangsa Cina dan India mempunyai penguasaan bahasa yang baik malah ada yang lebih baik daripada orang Melayu sendiri tetapi bilangan ini amat kecil dan jika diselidiki mereka ini merupakan kumpulan yang mendapat pendidikan daripada sistem sekolah kebangsaan (sekolah aliran Melayu sepenuhnya).

Saya hanya berfikir-fikir sahaja.

Jumaat, 30 Oktober 2009

ANTOLOGI PUISI "DARI JENDELA ZAMAN INI"

Rakan-rakan penyair yang dihormati.
Inilah buku yang saya maksudkan dan baharu sahaja dilancarkan di Singapura sempena Singapore Writers Festival anjuran NAC. Buku ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan NAC. Antologi puisi ini merupakan himpunan puisi penyair Malaysia yang berusia 45 tahun ke bawah dan mereka yang karyanya terpilih merupakan penyair yang pernah memenangi sekurang-kurangnnya satu anugerah sastera kategori puisi. Himpunan puisi daripada penyair Malaysia dan singapura ini merupakan jambatan baharu yang bakal mengeratkan lagi kerjasama kedua-dua negara di dalam bidang bahasa dan sastera.

Saya sebagai penyusun dan juga mewakili teman-teman penyair Malaysia khususnya kerabat PENA yang diamanahkan untuk memilih puisi dan penyair ingin memohon maaf banyak-banyak sekirannya karya anda tidak terpilih. Dalam jangka waktu yang singkat dan suntuk, saya bersama-sama Dato' Baha terpaksa mengejar tuntutan penerbitan yang mendesak.

Untuk pengetahuan rakan-rakan penyair yang karyanya ada di dalam antologi ini harap bersabar. ITNM sedang mengusahakan proses pengiriman naskah penulis kepada penyair yang terlibat. Buku ini yang dicetak sebanyak 2oo naskah khusus untuk majlis pelancaran di NAC baharu-baharu ini telah habis dipasaran. ITNM sedang menguruskan pencetakan seterusnya untuk pasaran Malaysia.

Nikmatilah antologi puisi DARI JENDELA ZAMAN INI. Maaf atas kekurangan dan kelemahan ini.

LABBAIK-ALLAH HUMMALABAIK. Cerita seorang YB.


Saya di tanah Mina; dalam perjalanan ke Arafah (memilih untuk berjalan kaki tanpa mengikut rombongan Tabung Haji)

Semalam seorang rakan berkunjung ke bilik saya. Dia seorang ahli politik yang memperjungankan prinsip salam 1Malaysia. Dia berkunjung dengan alasan untuk memohon maaf kerana akan menunaikan rukun Islam ke-5. Dia menjelaskan bahawa Allah SWT telah memilih dirinya untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Syukur dan tahniah saya lafazkan kepadanya.

Kami bersembang panjang dalam banyak cerita dan pengalaman khususnya apabila dia meminta saya menceritakan pengalaman saya ketika menjadi tetamu Allah pada tahun 2005-2006 dahulu. Apa yang saya pesan mudah sahaja iaitu, bertaubatlah banyak-banyak dan mohon ampunlah banyak-banyak. Saya beritahunya lagi bahawa menunaikan fardu (rukun) haji bukan satu perkara yang mudah. Haji bukan satu ajaran ikut-ikutan tetapi perbuatan yang ikhlas dan penuh mahhabah. Setelah hampir empat jam dia di kamar saya, dia mengambil keputusan untuk berpisah; itupun setelah telefonnya berdering berkali-kali (maklumlah orang politik - dikejar kesibukan).

Sebelum berpisah, saya sempat bertanya kepadanya, "apa persiapan kau nak ke Mekah isnin ni?" Mendengar sahaja pertanyaan itu, dia seperti masuk ke dalam peti berair batu. Keras dan terkedu beberapa saat. Dia merenung wajah saya tidak berkelip. Dan yang paling mengharukan ialah, dan tanpa saya duga air matanya tiba-tiba jatuh dan terlepas dari karangannya. Saya berdiri, memaut tubuhnya dan meminta dia duduk semula sambil berusaha menenangkan dirinya. Saya memberikan sebotol air mineral bersaiz 500ml berjenama 'Natural Mountain' kepadanya. Saya membuka penutup botol sambil menhulurkan air itu kepadanya. Dia meneguknya beberapa kali.

"Kenapa kau menangis?" Dia diam seketika sambil meninggalkan teka-teki di lubuk hati saya. Saya setia menanti dan menunggu.

"Kau tahu tak, aku tak sedia apa-apapun. Aku tak pergi kursus dan aku tak belajar apa-apa. Aku pergi ni sebab mengiringi YB dan menteri tu."

"Masya- Allah!" Terpancul perkataan itu daripada mulut saya. Saya merenung wajahnya. Saya menelan ketakutan dan keresahan yang tidak dapat saya bayangkan lagi. Saya teringat pengalaman di tanah suci yang terlalu banyak dugaannya kepada manusia yang tidak cukup bekalan dan ilmu untuk menunaikan rukun Islam ini. Saat saya bermain dengan illusi dan ingatan masa lalu itu, dia mula menanggis dan sebak yang tidak tertahan-tahan dilepaskan semahu-mahunya.

"Air mata kau tak akan dapat membantu. Tapi jika kau rasa pemergian kau ke tanah suci ini untuk melancong atau menjadi pengiring YB, kau pergilah. Tapi, jika kau rasa inilah perjalanan untuk beribadah dan memohon keampunan; aku nasihatkan kau belajarlah dulu."

"YB tu kata dia akan bawa ustad untuk mengajar kami di sana. Ada mutawif yang akan membantu kami." Dia menjawab dengan suara yang masih bersebak.

"Terpulanglah kepada kau. Kau pun dah jadi YB juga. Parti 1Malaysia kau lebih pandai daripada hukum Al-Quran dan seruan Nabi Muhammad." Saya berkeras dalam sinis yang ikhlas. Dia merenung saya dan daripada renungannya itu, saya dapat bayangkan bahawa dia sedang membaca dirinya sendiri.

Telefon rakan saya itu berdering. Dia bergegas keluar daripada bilik saya. Mungkin panggilan penting yang tidak memerlukan saya untuk berkongsi cerita dengannya. Dia masuk kembali dan memohon untuk pulang. Sambil bersalaman, berdakapan dan mengutus ucapan selamat, dia sempat berbisik di telinga saya, "tolong tengok-tengokkan parti aku nanti. Aku akan pastikan kau berjuang untuk parti aku. Aku akan berdoa di sana supaya Allah lembutkan hati kau."

Saya tidak mengiya atau menidakkan harapan sahabat saya itu. Apa yang bermain di fikiran saya ialah saat-saat indah ketika menjadi tetamu Allah suatu waktu dahulu. Saya tiba-tiba didamba kerinduan yang amat mendalam saat beribadah di Masjid Nabbawi. Saya terbayang saat-saat indah mengerjakan tawaf dan beribadah di Masjidil Haram. Saya terimbau saat dirasuki qiamulail. Saya terkenang indahnya Mina, Mudzalifah, Arafah, Madinah dan tanah Makkah.

"Ya Allah, jemputlah aku untuk menjadi tetamu-Mu sekali lagi. Aku rindu akan cinta-Mu. Aku rindu akan kasih sayang-Mu. Aku rindukan keampunan dan rahmat-Mu, Ya Allah."

Kepada sahabatku yang juga YB 1Malaysia, moga ibadah tuan diterima Allah SWT.

Rabu, 28 Oktober 2009

3 HARI DI KOTA SINGA























Kenangan-kenangan di kota singa bersama-sama rakan sepenyair dan pegawai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Berlatarbelakangkan bangunan The Arts House, Muzium Kampung Melayu, Kampung Glam; Masjid Sultan, dan di rumah Sasterawan Negara Singapura A. Ghani Hamid.
i
Bangunan The Arts House inilah yang saya maksudkan perlu ada di Malaysia. Bangunan ini menyatukan aktiviti kesenian seperti drama, seni lukis, sastera dan bahasa, aktiviti berbengkel, berseminar, ruang pameran, kedai buku dan muzium seni yang semuanya berada di bawah satu bumbung. Bukankah bangunan seperti ini model yang boleh dijadikan contoh meskipun bukan yang terbaik?
Ya, saya akui bahawa di Malaysia sudah ada Balai Seni Lukis, Istana Budaya dan DBP; persoalannya ialah bangunan itu tidak mengizinkan aktiviti kesenian yang merakyat. Bangunan-banbunan itu terlalu eletis sifatnya hingga mengundang prosedur kerja yang menakutkan. Malah lebih derita ialah bangunan-bangunan itu hanya layak untuk golongan bangsawan yang berkereta BMW, MB atau Porche. Di manakah kedudukan seniman dan sasterawan kecil seperti rakan-rakan saya yang benar-benar menghirup keringat keseniman tulen itu? Adakah mereka diberi ruang dan peluang untuk berapresiasi di Istana Budaya mahupun Balai Seni Lukis? Pernahkan kita mendengar Khalid Salleh atau Dinsman berteater di IB? Pernahkan kita mendengar pelukis jalan seperti A. Ghani Ahmad, Hj. Ponirin mendapat ruang pameran solo di BSL? Atau Roslan Madun dan Kopratasa berlagu puisi di IB?
Saya sedar akan falsafah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri'; tanpa menidakkan ketuanan negara sendiri, saya sebolehnya ingin berfikir dengan cara 'seni untuk masyarakat' bukan 'seni untuk bangasawan'.
Mungkin inilah yang dikatakan kembara seni; melihat dan menikmati sambil menelan pengalaman bangsa dan tamadun orang lain meskipun pahit.
ii
Ketika dalam perjalanan melintas bangunan Singapore National Library, saya dimaklumkan oleh Pak Masran (penulis Singapura) bahawa, perpustakaan ini merupakan salah satu perpustakaan terbaik dunia. Di dalamnya lengkap dengan koleksi manuskrip dan karya penulis Melayu (Malaysia-Singapura-Indonesia dan Brunei). Saya tidak berniat untuk membandingkannya dengan Perpustakaan Negara kerana saya pernah mencari novel 'Eno' karya Arena Wati setahun lalu di situ tetapi tiada, dengan iringan jawapan pegawai di situ ialah, "siapa Arena Wati? Dia ni penulis perempuan ke lelaki?". Bayangkan?
iii
Tanpa memperkecil negara saya dan bangsa saya yang majoritinya pemimpin 1Malaysia, saya suka berangan-angan untuk membina sebuah bangunan yang di dalamnya ada kesatuan marga seni. Saya teringat kumpulan 'Anak Alam' yang hebat taraf seninya suatu waktu dahulu. Pada ketika itu, saya mahasiswa di UM, sesekali saya dibawa oleh Nassury Ibrahim berkunjung ke rumah 'Anak Alam' untuk belajar makna seni dalam wajah budaya gelandangan tetapi, penghuninya mempunyai pemikiran yang tinggi terhadap seni.
Mungkin esok atau lusa, jika berkesempatan, ingin rasanya saya menulis pengalaman ketika berada di beberapa negara eropah tentang bagaimana mereka memasyarakatkan seni dan karya seni. Mungkin, ada kemunjurannya juga, mengapa saya membeli kumpulan puisi A. Ghani Hamid bertajuk "Aku Bukan Penyair" ketika di Singapura. Judul ini seperti mengajar saya makna supaya jangan terlalu suka berfikir dan meluahkan perasaan. Kumpulan puisi ini mungkin juga ingin mengajar saya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada. Atau, sekurang-kurangnya mengajar saya supaya membunuh 'id' dan 'ego' yang mendominasi di dalam diri.
iv.
Esok atau lusa, entah di mana perjalanan saya?Meskipun saya sudah kembali ke tanah nurani. Walau apa pun, saya tetap berprinsip bahawa seni itu indah dan seni adalah milik rakyat yang perlu dikembalikan kepada marganya. Seni itu mahabbah. Seni itu ibadah dan seni itu adalah amanah.

Selasa, 27 Oktober 2009

SALAM DARI TANAH TEMASIK



Gambar bawah: Di rumah Abd Ghani Hamid.
Gambar atas: Bersama-sama SM Zakir, Solihin, Dato' Baha Zain dan Rahimidin Zahari di Nasional Arts Council, selepas majlis pelancaran antologi puisi "Dari Jendela Zaman Ini"

Saya selamat menjejakkan kaki di tanah air tepat jam 3.00 petang. Tiga hari di Singapura atas undangan dan tajaan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi menyempurnaan majlis perasmian antologi puisi Malaysia-Singapura berjudul "Dari Jendela Zaman Ini". Majlis yang berlangsung sempena Singapore Writers Festival (SWF) di The Arts House, National Arts Council (NAC), Singapore itu penuh bermakna kepada kedua-dua negara.

Saya perlu mengucapkan tahniah kepada ITNM atas kejayaan majlis ini kerana turut sama berjaya membawa YB Fuad Zarkasi bercakap di dalam Bahasa Melayu. Atas keberanian berucap di dalam Bahasa Melayu sepenuhnya itu, ramai rakan-rakan daripada persatuan ASAS 50 melontarkan salam syabas. Tahniah juga atas semangat kental En Khir Ngadiron, En. Razin, Pn. Siti dan Pn. Zini yang berhempas pulas mencipta jambatan baharu sastera Melayu antara Malaysia-Singapura ini.
Dari sisi yang lain, secara jujur saya perlu menyokong usaha NAC yang mengadakan festival tahunan/dwitahunan ini secara serius dan bersungguh-sungguh. Festival yang bermula daripada 24 Okt - 1 Nov 2009 ini menghimpumkan pelbagai bidang seni dengan belanja yang mencecah jutaan dolar Singapore. Di dalam hati kecil saya bertanya, kenapa di Malaysia tiada 'Arts House atau National Arts Council', atau sebuah kawasan yang menghimpunkan aktiviti kesenian seperti sastera, seni lukis, teater, filem dan muzik di bawah satu bumbung?
Mungkin saya perlu berasa malu dengan kerajaan Singapura yang ditadbir urus oleh majoriti menterinya bukan berbangsa Melayu tetapi mempunyai kesedaran kecintaan terhadap sastera Melayu yang tinggi. Saya terimbau jauh akan kehebatan DBP pada suatu waktu dahulu yang dikuasai oleh Badan Budaya dengan pelbagai aktiviti sastera yang menarik. Alangkah baiknya jika hari ini DBP dapat meneruskan kesungguhan itu, sekurang-kurangnya kita masih punya satu bangunan yang dapat menyaingi fungsi dan peranan 'Arts House' itu. Mungkin saya masih bermimpi dan berangan-angan di kamar 1716 di Golden Landmark Hotel, Jalan Masjid Sultan di Kampung Gelam lagi.
Pagi tadi sebelum pulang, saya, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Dato' Anwar Ridhwan dan isteri sempat menziarah penulis Abd Ghani Hamid yang sakit di Tampinis. Bertemankan Haji Masran dan Solihin, kami berkunjung ke rumahnya dengan penuh rasa syahdu. Dia yang menderita sakit lumpuh hampir setahun lebih itu kini sudah menampakkan perkembangan sihat. Moga Allah mengembalikan kecergasan kepada tangannya untuk melukis dan akalnya untuk menulis.
Kepada ITNM dan NAC, teruskan usaha murni ini demi mempertahankan kedaulatan sastera dan bahasa Melayu. Mungkin selepas ini, DBP dan PENA dapat memberikan kerjasama yang lebih erat agar impian untuk mengantarabangsakan sastera Melayu akan tertunai.

Rabu, 21 Oktober 2009

TAHNIAH KEPADA JAUHARI BERBITARA MELAYU


Dua keping gambar kenang-kenangan SN ke-10 Dato' Dr. Hj. Anwar Ridhwan

Tahniah atas penobatan gelaran Sasterawan Negara ke-10 kepada Dato' Dr. Hj. Anwar Ridhwan. Majlis yang penuh meriah dengan kesudian sembah SPBYDA Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan SPB Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah juga TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin itu benar-benar meninggalkan kesan bermakna kepada dunia sastera tanah air.

Kelangsungan majlis pada tanggal 20 OKTOBER 2009 menjadi bukti bahawa bumi Melayu khususnya Malaysia tidak ketandusan sasterawan. Jika selama 4 tahun DBP yang diterajui oleh Dato' Firdaus Abdullah tidak bermaya dan lesu. Maka dengan kehadiran ketua (KP) baharu iaitu Dato' Haji Termuzi bin Hj Abdul Aziz, DBP mula bertaring kembali. Tahniah juga kepada seluruh warga DBP yang dilihat sedang berusaha mengembalikan semula fungsi dan peranan DBP.

Kepada Dato' Anwar Ridhwan, izinkan saya petik kembali 3 rangkap madah pujangga daripada ucapan Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara malam tadi. Rangkap ini benar-benar berbekas di dalam lubuk kalbu saya.

Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?
Akidah mencair atas nama hak asasi,
Islam liberal dan sekularisme mencemari,
Kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.

Ada yang mencabar hukum syariah,
Anggapan hukum duniawi lebih indah,
Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,
Di atas segalanya asma' ilahiyyah.

Allah ciptakan pelbagai bahasa,
Allah hembuskan seribu bahasa,
Untuk berkenalan sesama manusia,
Jangan sampai abaikan hak milik kita.

Malam tadi saya mencuri-curi pandang tetamu yang hadir. Ada yang saling saya mesrai dan ada juga wajah-wajah yang saya tidak kenali. Syukur, kami saling bersenyum dan bertegur sapa lambang luhur sastera sebangsa. Amin.

Saya teringatkan pesan Rahimidin Zahari, katanya petang semalam, "kita mesti pergi majlis itu sebab, nanti kalau tiba giliran kita yang terima, jika kawan-kawan tak datang macam mana?." Wah, impian kawan saya tu tinggi juga! Saya cuma merenung diri sambil sedang mengukur baju di badan sendiri.

Tapi, saya sendiri tidak pasti kenapa sejak dua menjak ini saya mula gila kepada dunia lukisan dan dunia melukis. Rasanya bahasa lakaran itu lebih indah daripada aksara dan kata-kata. Saya mula berangan-angan untuk menjadi pelukis terbaik negara. Saya ingin sekali bermain dengan bahasa warna dan lidah alam. Saya rindukan basah 'water colour' dan 'akrilik'. Saya dambakan harum 'oil painting' dan 'lincik', 'varnis' dan 'cakol'. Saya ingin melukis sebuah kampung abadi, ya, sebuah kampung yang benar-benar abadi untuk tatapan dunia. "Ya, Rabb, akankah tertunai impianku ini?"

Mungkin saya sedang memasuki sebuah alam lain untuk menjadi dewasa.

Akhirnya, tahniah kepada jauhari berbitara Melayu.


Selasa, 20 Oktober 2009

PERTANYAAN ANAKKU PADA SUATU MALAM YANG BENING

MOGA KAU MENGERTI ANAKKU

Malam tadi,
anakku bertanya
"mengapa ayah tulis sajak?"

Aku renung bola matanya
seperti cahaya bulan mengambang
api di dalam diriku tiba-tiba terpadam
lalu aku tinggalkan segugus waktu untuknya.

Setelah sepi dan diam membisu seketika
anakku bertanya lagi,
"ayah suka sajak, ya?"

Aku terus membaca desir angin
yang menerjah ke dada
sambil menelan pertanyaan demi pertanyaan
yang tak tergamak kujawab.

Dan untuk kesekian kalinya,
sebelum anakku sempat melontakan soalan ketiga
aku segera mencelah,
"sajak adalah ibumu yang kusetubuhi setiap waktu."

Saat itu,
yang aku saksikan di ubun-ubun kepada anakku
adalah lingkaran kata-kata
yang sesat menuju pulang.

Shamsudin Othman
madrasah sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Isnin, 19 Oktober 2009

APABILA BULAN BERBICARA


APABILA BULAN BERBICARA


Sebaris kata pecah di dahan malam
aksara bertaburan di kaki hari
makna mengepak dan terbang
meninggalkan perasaan
Dan
apabila malam berbicara
aku lebih mengenali dirimu
berbanding diriku sendiri

Begitulah detik dan waktu
tegar memanjat cahaya
mencari di mana puncak berahi
yang tersembunyi di lapis langit
Aku yang masih mengutip
cebisan-cebisan kata
nanar di dalam makna
sepi yang terhukum.


Shamsudin Othman
Sumedang, Bandung.
9-14 Oktober 2009.


Khamis, 15 Oktober 2009

CERITA DARI TANAH SUMEDANG, BANDUNG 9-14 OKT 2009



Dua pemandangan indah sawah bukit daripada puncak Kampus UPI, Sumedang.
.
SAYA baharu sahaja pulang dari tanah Bandung. Hampir seminggu di Universiti Pendidikan Indonesia (UPI) kampus Sumedang, Bandung, saya seperti memasuki wilayah rindu kampung halaman yang amat indah. Perjalanan dari Bandung ke Sumedang memakan masa hampir empat jam dengan menyusur lereng gunung yang bersajikan pemandangan indah sawah bukit, ladang ubi (sinkong) dan jajaran kebun sayur. Bentuk muka bumi yang dingin dan alami, deruan sungai bukit benar-benar memukau kenangan zaman kanak-kanak desa tercinta.

Di Sumedang, saya menginap di hotel Puri Mutiara. Hotel ini yang berhadapan dengan Masjid Raya Sumedang, dipisahkan oleh jalan raya dan sebuah warung Bakso. Justeru, Sumedang tidak mempunyai 'mall libur' (pusat beli belah/ hiburan), makanya saya menghabiskan waktu maghrib dan subuh di masjid raya itu. Saya berasa amat nikmat kerana penduduk Islam di sini mengamalkan tarikat Muhammadiah. Selepas solat subuh, zikir 'selawat fatih' dan 'selawat tafrijiyah' merupakan amalan imani yang wajib. Saat itu, saya teringatkan gemulah moyang saya yang kedua-dua selawat ini tidak pernah lekang daripada bibirnya.

Empat hari di tanah Sumedang, saya bergegas ke kota Bandung. Menginap di Hotel Kedaton berhampiran gedung pakaian 'Pasar Baharu' tidak memaksa saya untuk berboros. Saya memilih untuk ke Bandung Book Center di Palasari. Rakan-rakan dosen saya lebih suka menghabiskan waktu di Jalan Gado, Jalan Riau mahupun pasar baharu yang menyajikan busana indah-indah juga berjenama. Sendirian di Palasari benar-benar dapat melepaskan rindu menguliti buku. Saya menyusur daripada satu rak ke satu rak mencari buku yang dipesan Rahimidin Zahari dan Zulfazlan. Dari satu kedai ke satu kedai hingga jam 3 petang, buku yang dicari masih tidak ditemui. Saya pulang juga dengan enam beg plastik yang sarat dengan kitab-kitab agama kiriman ayah. Saya memilih buku 'Tazkiyatun Nafs' karangan Sa'id Hawwa, kitab yang sejak dulu saya rindu-rindukan juga beberapa buku sastera ilmiah.

Sebelum pulang, ketika di bandara (airport), saya mencari-cari Dewi iaitu rakan kepada dosen saya. Dewi seorang mahasiswi UPI jurusan sastera yang berkerja sambilan di restoran. bandara itu. Rakannya memaklumkan bahawa Dewi sudah berhenti dan memulakan kuliahnya kembali.

Semalam, saya menjejakkan kaki di tanah air. Mendengar berita pada waktu malam, setelah enam hari tidak mengikuti perkembangan tanah air; saya disajikan dengan berita-berita Perhimpunan Agung Umno.

Paling memeranjatkan saya ialah apabila mendengar ulasan daripada buah fikir TPM tentang 4 rukun Umno iaitu, wahdatul fikr, wahdatul qalb, wahdatul amal dan wahdatul hadaf. Bukankah ini pemikiran al-Ghazali yang diubahsuai daripada Ihya Ulumuddin. Gila betul orang Umno ni, mengmabil buah fikir orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepada pemikir asal adalah satu jenayah. Gila, gila, gila.... Dan yang paling mengilakan ialah kenapa TPM tidak menggambil prinsip (rukun) wahdatul Iman oleh al-Ghazali itu. Adakan TPM menolak hal-hal yang berkaitan dengan iman (akidah) Islam di dalam gagasannya. Bagi saya, sekiranya pemimpin itu berjaya mendaulatkan wahdatul Iman, maka keempat-empat rukun wahdatul TPM itu akan menjadi lebih bermakna dan sukses. Kenapa masih ada manusia yang takut memperjuangkan gagasan iman?

Saya mencuri dengar bagaimana bicara-bicara pemuda dan puteri umno di layar tv. Entahlah, saya menjadi keliru dengan idea-idea yang digagaskan meski tidak saya nafikan banyak yang baik jika berjaya dilaksanakan. Yang mengelirukan saya ialah kenapa pemuda masih takut akan bayangan Anwar Ibrahim (DSAI)? Bukankah manusia itu telah dibunuh oleh Umno? Meskipun dia tidak mati tetapi bayang-bayang kehebatannya masih ditakuti. Inilah yang mengelirukan saya, takut kepada bayang-bayang yang dicipta sendiri. Saya bukan penyokong DSAI, tetapi saya melihat daripada sisi yang lain. Pemuda dan puteri Umno perlu mencipta kekuatan baharu dan bukan mengulangi hal-hal yang sama ketika diterajui Hishamuddin dan Azalina. Cukuplah dengan kesilapan masa lalu yang menjelekkan itu.

Di bawah kuasa PM dan TPM juga gagasan 1Malaysia, kembalikanlah kegemilangan orang Melayu seperti mana Allahyarham Tun Razak memimpin Malaysia. Jika tidak sama sekalipun tidak mengapa asalkan warisan, maruah, dan kebijaksanaan orang Melayu tidak digadaikan sesuka hati. Sekarang ini, kita telah kehilangan kuasa bahasa, kuasa sastera, kuasa Raja-raja, kuasa mutlak Islam dan kuasa bersuara.

Jika enam hari di Sumedang dan Bandung, saya tidak menyaksikan tulisan cina dan india, tiada tulisan inggeris di papan-papan tanda; mengapa di bawah gagasan 1Malaysia kita tidak boleh mencontohinya? Sepatutnya dengan slogan 'Satu Bahasa Satu Negara, Bahasa Dijulang Negara Dijunjung' kita tidak menemui nama-nama seperti Ah Seng atau Mutusamy lagi di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia.

Selamat menjadi rakyat Malaysia yang unggul. Saya tetap mencintai tanah air ini meski sedikit tidak menyetujui cara bagaimana Umno melayan nasib bahasa, sastera dan warisan Melayu.

Jumaat, 9 Oktober 2009

SALAM TANAH BANDUNG

RASANYA macam baharu semalam ke Bandung, hari ini bangun pagi dah sampai tanah Bandung lagi. Tapi yang kedengaran pagi ini hanya suara pembersih kamar, "pak, bersih kamarnya pak?". Wah, saya bergegas bangun sebab rupa-rupanya dah terlepas subuh. Masya-Allah. Jam sekitar 8.50, acara di Universiti Pendidikan Bandung (UPI) kampus Sumedang mungkin sudah bermula. Meeting MOU yang melibatkan aku, macam mana agaknya?.

Bergegas dan bersiap kemudian segera ke urusan utama mengjengkelkan. Nasib baik Bandung tak jem macam Kuala Lumpur. Jika tidak nahas aku dibuatnya. Sampai di perkarangan UPI, syukur masjils bemum bermula. Kepala kantor belum sampai lagi. Aku menarik nafas lega.

Aku teringat kerja-kerja PhD yang aku tukangi malam tadi. Aduh, banyak lagi yang tertulis dan belum terbukti kesahihannya! Nak menulis satu hal, nak buktikan kesahihannya juga satu hal. Aduhhhhhhhh!

Semalam di airport (bandara) , aku tak sempat jumpa Dewi (kawan rakan saya di tanah air). Hehehehehe.

Hari ini, esok dan ahad mungkin seharian lagi di UPI. Ya ampunnnnn!
Mampus gue?

Sabtu, 3 Oktober 2009

BACA PUISI AIDILFITRI PENA: 9 OKTOBER 2009

Kepada rakan-rakan, maaf dipinta kerana blog saya baharu sahaja berfungsi semula setelah hampir tiga minggu bermasalah.

2.
MALAM BACA PUISI AIDILFITRI PENA
Tarikh: 9 OKTOBER 2009
Tempat: Rumah PENA
Masa: 8.00 malam.

Penyair Undangan:
1. Kumpulan Penyair Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Bukit Aman
2. ASP Rosbaini
3. ASP Wan Abd Aziz Wan Hamzah
4. ASP Foo Cheng Seng

dan Dr. Victor A. Pogadaev (Rusia)

Orang ramai dijemput hadir dan dialu-alukan untuk mendeklamasikan puisi bersempena aidilfitri pada malam tersebut.

Maklumat ini mohon dipanjang-panjangkan.

Terima kasih.

Khamis, 17 September 2009

SALAM LEBARAN DAN MAAF ZAHIR BATIN


Anak negeri mencari tuba,
Tuba dicari di Tanjung Jati;
Di dalam hati tidak 'kan lupa,
Bagai rambut bersimpul mati.

Asam kandis mari dihiris,
manis sekali rasa isinya;
dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.

Buah tembikai masaknya manis,
Masak sebiji isinya merah;
Cakapan bagai embun ditapis,
Nyawa dan badan rasa terserah.

Hari-hari pergi ke kebun,
Di dalam kebun membuat perlak;
Saya berpuisi berpantun-pantun,
Dalam pantun ada kehendak.

Sepanjang tuan-tuan berkunjung ke blog "Tanah Nurani' ini, saya mohon ampun dan maaf seikhlasnya daripada tuan-tuan sekirannya ilmu yang sejengkal lagi dangkal ini pernah menguris hati dan perasaan tuan-tuan.

Salam lebaran dan maaf zahir batin.

Shamsudin Othman
Madrasah Shal al-Johori.

Isnin, 14 September 2009

PERJALANAN LAILATUL QADAR KE-43 DAN SIASAH NEGARA YANG MERACAU


SAYA menyambut dan menanti malam-malam terakhir ramadan ini dengan pelbagai tanda tanya yang amat sukar untuk saya menjawabnya. Begitupun yang paling menarik ialah pada malam Jumaat lepas (21 ramadan), tiba-tiba sekitar jam 11.32 malam, hp saya berdering. Saya melihat paparan cermin hp. "Wah!" detik hati kecil saya. "Mamat ni lagi,. Apa yang dia nak daripada aku ni?".

Mamat itu ialah YB juga rakan saya yang pernah saya kisahkan di dalam blog ini. Cerita punya cerita, rupa-rupanya dia minta saya berkerjasama dengannya bagi membantu kempen pilihan raya kecil di Bagan Pinang, PD. Seperti biasa saya beralasan dan berkhias. Menolak dengan cara yang penuh hikmat (pada fikiran sayalah) tetapi bagi dirinya saya tidak pasti.

Saya berkira-kira begini; perlukan saya memberi sokongan padu kepada UBN sedangkan dalam masa yang sama parti-parti komponennya iaitu, MIC, PPP dan MCA juga Gerakan sedang kacau bilau?

Saya terus ke kamar dan bersiap untuk ke majid Zubir Al-Awam sebab sudah berjanji dengan bilal masjid untuk sama-sama beriktikaf dan qiamulaill. Sepanjang perjalanan ke masjid saya berfikir lagi. Fikiran saya kali ini ialah, "alangkah baiknya kalau pemimpin UMNO itu mengarahkan semua ahlinya supaya menjadi tetamu masjid menghidupkan qiamulaill sambil menanti kehadiran Lailatul Qadar seterusnya berdoa kepada Allah SWT. Berdoalah minta apa-apa hajat yang tersimpul di hati. Misalnya ingin menakhluki Malaysia seribu tahun lagi, atau berdoalah yang baik-baik untuk rakyat; atau berdoa untuk kesejahteraan parti; atau berdoa supaya orang-orang Melayu yang menentang UMNO sedar dan kembali memberikan sokongan padu."

Sampai di perkarangan masjid, jam menunjukkan tepat 12.14 pagi. Bilal sedang menunggu di serambi. Nampak sahaja muka saya, dia terus mempelawa untuk pergi minum dulu. Saya membuka pintu kereta dan terus meninggalkan masjid menujuk kedai makan Hajris Bistro di Bandar Sri Permaisuri. Sambil makan saya bercerita kepada bilal tentang YB itu yang menghubungi saya sebentar tadi.

Apa yang memeranjatkan saya ialah, bilal itu marah pun tidak dengan reaksi saya. Dia mencelah selamba, "kenapa cikgu bodoh sangat. Kalau sayalah, saya ambil kesempatan ini dan bila dapat duit nanti kita tolong anak-anak yatim dan imarahkan masjid dengan duit tu." Saya diam seketika.

Selepas diam yang memakan masa seminit berakhir, saya menjawab balik juga dengan selamba, "pak bilal, rasanya kalau saya ambil duit dia orang hari ini, taubat lepas ni saya tak kenal pak bilal lagi. Saya ni bila dah kaya, boleh lupa dunia. Apatah lagi kawan-kawan saya yang di luar sana tu, ada yang pensyarah, ada penulis sepenuh masa, ada yang penyair sufi, ada yang tauke astro, ada tauke surat khabar dan macam-macam lagi tu, semuanya lanun-lanun belaka. Kami ni, bila dapat duit, isteri dan anak-anak pun kami lupa, pak bilal. Rasanya orang bujang pun takut tengok perangai kami."

Pak bilal menguntum senyum kemudian ketawa mendengar jawapan saya. Saya turut menyahut ketawa pak bilal. Kami sama-sama ketawa akan cerita-ceriti malam itu.

Sekitar jam 1.15am, saya dan pak bilal sudah berada dalam perkarangan masjid.

Jumaat, 11 September 2009

MENANTI ILHAM DARI ILLAHI


RALAT: Petikan terjemahan dalam surah al-Qadr INI SEBENARNYA TIGA AYAT BUKAN 2 AYAT.
Rujuk yang betul iaitu ayat 1-3.

SELESAI membaca kitab "Bulughul Maram" karya Al-Hafizh bin Hajar al-Asqalani, saya berkira-kira tentang malam Lailatul Qadar yang mempunyai janji-janji indah dan tututan yang amat mendesak oleh Allah hingga diturunkanNya surah al-Qadr (surah 97 yang mempunyai 5 ayat). Pada ayat ke tiga surah ini, Allah menjelaskan bahawa, "Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan."

Saya membaca kitab "Bulughul Maram" ini kerana ingin mencari kaedah terbaik bagi menentukan atau setidak-tidak dapat diterima Allah sebagai tetamu Lailatul Qadar itu. Menurut kitab ini, antara Imam besar empat (Imam al-Ghazali, Maliki, Hambali dan Syafiee), Imam Al-Ghazali didapati lebih menyedari akan kehadiran malam seribu bulan ini. Sepanjang 30 tahun kehidupan Imam al-Ghazali, beliau secara sedar telah dapat menghadirkan diri sebagai tetamu Lailatul Qadar ini. Hal ini menyebabkan ketiga-tiga imam besar itu berasa cemburu kepada Imam al-Ghazali. Menurut Abdullah Maasud dan Abu Dawud, Iman al-Ghazali telah menemui satu kaedah yang akhirnya hampir dipersetui oleh sebahagian ulamak muktabar. Kaedah yang digunakan oleh Iman Al-Ghazali ialah berdasarkan perkiraan hari pertama bermulanya puasa ramadan. Jika puasa bermula pada hari Isnin maka malam Qadar ialah pada malam ke-21 ramadan; Sabtu - malam ke-23 ramadan; Khamis - malam ke 25 ramadan; Selasa/ Jumaat - malam ke-27 ramadan; dan Ahad - jatuh pada malam ke 29 ramadan.

Kaedah ini diambil kita dengan mengaitkan hadis rasulullah yang menekan bahawa rebutlah malam qadar pada sepuluh malam terakhir ramadan khususnya pada malam ganjil (21, 23, 25, 27, 29).

Walau bagaimanapun, Imam Syafiee ada pendapat yang lain dengan menyatakan bahawa rasulullah menjelaskan bahawa rebut dan bertungunglumuslah kamu pada malam 27 ramadan kerana pada malam itu adalah malam seribu bulan.

Ini adalah kaedah dan perkiraan yang boleh menjadi panduan. Jika direnung kembali surah al-Qadr bermula daripada ayat pertama hingga ayat terakhir, Allah SWT hanya memaklumkan bahawa malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan dan hanya berlaku pada salah satu hari di dalam bulan ramadan. Allah SWT tidak menentukan atau menetapkan hari yang khusus.

Oleh itu, kaedah atau apa sahaja panduan yang kita fahami, dengari dan temui selama ini hanya merupakan satu petunjuk. Apa yang penting kita sama-sama meningkatkan amal ibadah, mohon keampunan dan mohon kesejahteraan sebanyak-banyaknya tanpa menunggu malam Qadar ini. Insya-Allah, Allah SWT yang maha Pemurah dan maha Penyayang itu akan sentiasa dekat di hati kita jika kita ingat akan diri-Nya.

MENANTI ILHAM DARI ILLAHI

Aku persembahkan munajat perkasihan ini kepada-Mu
datanglah malam seribu bulan
datanglah al-Qadar
kembangkan sayap malammu
menutup tubuhku yang keji
kotor dalam imani
sepi dalam insani

Sekian lama aku bersangka baik kepada-Mu
tegar meniduri malam demi malam
menyulam mimpi menganyam cinta
tanpa rintih waima jerit pedih
akulah sang setia itu
menanti ilham yang tak berjawapan

Kubaca al-Qadr di dalam diri
kutafsir al-Ghazali berkali-kali
menanti restu seribu janji
saat malam membisu dan sepi

Ya Rahman, Ya Rahim
kunjungi jiwaku yang nanar bergelumung rindu
bawalah aku
ke negeri seribu malam-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.




Rabu, 9 September 2009

TAZKIRAH 19 RAMADAN

Masjid Sultan al-Mirzan, Putrajaya

SYUKUR, malam tadi di surau saya penceramah tazkirannya ialah Imam 1 Masjid Sultan al-Mirzan (Masjid Besi), Putrajaya. Ustad al-hafis Miftah ini merupakan sahabat saya. Dia anak jati Johor yang menghabiskan sebahagian usia remajanya di al-Azhar, Mesir. Kami akrab ketika dia sering menumpang di rumah abang iparnya yang merupakan jiran saya. Dia meminati sastera dan pernah belajar sekali dengan Ummi Hani dan Zaid Akhtar diperingkat sarjana di Aakademik Pengajian Islam, UM. Oleh itu, sebagai seorang kawan dan juga penceramah bebas tentunya ceramahnya amat indah dan menusuk kalbu.

Malam tadi sahabat saya ini (ust Miftah) berkisah tentang siapakah manusia yang berani di sisi Allah? Dia berkisah bagaimana keberanian saiyidina Umar dan saiyidina Ali ketika berperang dan menegakkan Islam waima mempertahankan Rasulullah. Tetapi yang paling menarik apabila dia membacakan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi yang antaranya berbunyi, "manusia yang paling berani di sisi Allah ialah manusia yang marah kepada kefasikkan dan kemungkaran."

Saya ringkaskan ceramahnya di sini. Allah suka kepada manusia yang marah apabila melihat berlakunya kemungkaran. Maknanya Allah suka kepada seorang bapa yang marahkan anaknya yang tidak solat, tidak menutup aurat atau tidak melaksanakan tuntutan agama Islam. Allah suka kepada pemimpin yang marah akan rakyatnya yang zalim, tidak menjalankan dasar-dasar Islam dan Allah suka kepada pemimpin yang marah terhadap kezaliman undang-undang ISA Katanya, analogi paling mudah ialah dalam konteks manusia yang suka membela burung di dalam sangkar. Mengurung binatang di dalam sangkar tanpa mengizinkan burung itu bebas menikmati ciptaan Allah tanpa membuat sebarang kesalahan atau kerana hobi adalah zalim. Maka, orang-orang yang zalim adalah orang yang fasik (menghina hak kebebasan/ hak asasi makhluk ciptaan Allah). Hal ini samalah juga dengan hukuman menahan manusia tanpa diadili dengan sebaik-baiknya. Ya, macam hukuman ISA.

Semasa ceramahnya, sering kali sahabat saya ini merenung wajah saya (seperti isyarat tanda dan petanda). Ceramahnya yang bersulamkan ayat-ayat al-Quran dan hadis sahih menyebabkan saya dan rakan jemaah tidak sedar bahawa tazkiran kami sudah melangkau jam 11 malam.

Syukurlah, rupa-rupanya Allah juga suka kepada sifat marah. Sebenarnya ada sesuatu yang menarik daripada pengajaran tazkiran malam tadi. Menariknya ialah, ketika saya sedang berusaha menyiapkan tesis PhD saya, gagasan yang saya cuba ketengahkan ialah gagasan 'Rasa Insaniah'. Dalam gagagsan ini, saya menolak rasa marah kerana rasa marah bukan satu sifat murni yang perlu ada di dalam diri seseorang penyair. Bagi saya, seseorang penyair yang Islamik ialah penyair yang perlu memiliki sifat rasa takwa, rasa taubat, rasa syukur, rasa cinta+rindu, dan rasa ikhlas. Mendengar ceramah daripada sahabat saya malam tadi, saya perlu menambah satu lagi rasa dalam kajian saya ini kerana seseorang penyair yang baik juga perlu marah kepada kezaliman. Puisi adalah suara batin masyarakat/ rakyat. Oleh itu, puisi yang bernuansa marah-marah adalah juga satu sifat terpuji yang disukai oleh Allah SWT. Marah kerana kebenaran adalah satu lambang keberanian yang sesuai dikaitkan dengan gagasan Islami saya.

Terima kasih sahabat, tazkirah malam tadi memberi sedikit petunjuk kepada kajian PhD saya. Menariknya juga, sahabat saya ini turut berkisah tentang projek masjid besi yang bernilai hampir 300 juta itu. Katanya lagi, tulisan khat yang menghiasai sebahagian besar masjid itu bernilai 8 juta, P.A sistem bernilai 5 juta dan kubahnya bernilai 10 juta. Lebih menarik lagi apabila sambil berseloroh, sahabat saya itu menceritakan bagaimana juga dia diarahkan oleh seorang tan sri untuk mencipta satu hadis yang boleh menghalalkan ISA.

Sesudah tazkirah dan waktu jamuan moreh, saya sempat bertanya kepadanya, "dah lama hidup ke ya syeikh?" Dia menjawab selamba, "rezeki ana, Allah yang tentukan."

Sms berbunyi daripada telefon saya, saya segera melihatnya. "Sms daripada syeikh Rahimidin," getus hari kecil saya dan segera membalas bahawa saya masih di surau. Isi sms ketiganya saya tuliskan kembali di sini, "Razeki Allah yang tentukan, syeikh. Ana pun masih dipinjamkan nyawa. 4.30pg ahad ana memandu dalam tidur dan kereta terbabas ke dalam parit di Manik Urai. Allah maha Besar masih meminjamkan isteri dan anak2."

"Masya-Allah!" detik hati saya. Saya segera menghubungi Rahimidin dan bertanya khabar. Tanpa saya sedari air mata saya bergenang mendengar kisahnya. Syukurlah kerana Allah SWT masih menyayangi kami. Begitulah akrabnya saya dan rakan-rakan PENA. Bergaduh kami adalah rindu yang mendekatkan; rindu kami adalah cinta yang tak mungkin terpugar.

Ya Rabb, ingatkan dan marahlah kami sekiranya kami ini lalai atau leka dengan perintah-Mu. Ya Rabb, rahmatilah hidup kami.

Amin. Takbir!

Ahad, 6 September 2009

MENCARI DIRI ii


SEHARIAN menyudahkan bacaan buku "Priayi Abangan" karya Sapardi Djoko Damono (Benteng: 2000) seakan membawa saya ke tanah leluhur gemulah kakek yang kali terakhir dapat saya kesani berada di Cipayung, Bogor. Saya pernahbertanya kepada Sapardi ketika mengikuti program MASTERA di Bogor pada tahun 2000. Sapardi menjelaskan bahawa Cipayung adalah tanah pesanteren atau tanah priyayi. Di situlah berhimpunnya para cendekiwan Islam suatu waktu dahulu. Itu cerita yang keluar daripada mulut Sapardi sendiri.

Dua hari lepas sewaktu mengemas buku yang mula diserang anai-anai, saya terjumpa kembali buku yang siap bertanda tangan pengarangnya. Saya yang sedang muntah dengan kerja-kerja PhD mengambil keputusan membaca buku ini hingga tamat ketika para priyayi sedang sibuk untuk khatam al-Quran dalam ramadan ini.

Saya sepeti masuk ke dalam dunia kejawen, dunia keraton, dunia jawa-klasik yang bertembung dengan sastera jawa-baru seterusnya mengakar sastera Indonesia umumnya. Menariknya buku ini ialah pada kajian yang cuba menemukan saya dengan pemikiran Pramodeya di dalam novelnya "Gadis Pantai". Apa-apapun saya cuba melihatnya dengan satu perkaitan lain iaitu, siapakah saya ini sebenarnya? Benarkah gemulah saya membawa diri ke Tanah Melayu kerana tidak mahu bersekongkol dengan kakeknya yang menyebelahi orang Belanda. Pergolakan dalaman antara adik-beradik gemulah saya itu menyebabkan kakek saya yang bergelar Salleh dan abangnya Abd Rohim itu memilih haluan sendiri.

Saya mencari galur dan susur cerita mengapa kakek saya membawa diri ke Tanah Melayu. Dahulu ada seorang bapa saudara saya tahu kisah-kisah itu dan sering bercerita kepada ayah saya. Tetapi kerana saya masih anak-anak dan gila main meriam buluh (pada malam ramadan) maka saya tidak begitu kisah dengan cerita sejarah lelulur itu.

Hari ini, terasa penting dalam usaha saya mengenali diri saya sendiri. Kesulitan menggali akar darah dan tanah gemulah itu seperti datang dan pergi bagai mimpi.

Hari raya bakal menjelang tidak lama lagi. Pulang ke kampung dengan acara "ngapora sedulur" (acara bermaafan dalam keluarga) adalah sesuatu yang dinanti-nantikan. Saat itu, saya dapat mendengar bagaimana emak dan bapa saudara bercakap bahasa 'Jawa halus' yang penuh tertib dan peraturan. Saya yang berstatus cicit terpaksa menunggu masa lama menanti giliran untuk bermaafan dengan satu-satunya embah bertaraf kiyai. Tahun lepas, selepas bersalaman dengan embah, dia memeggang ubun-ubun kepala saya sambil menyepuh doa. Saya tidak dapat menangkap sepenuhnya doa yang dilafazkan kerana bahasa Jawa halus itu tadi. Pernah saya bertanya kepada ayah saya, jawapan yang diberikan oleh ayah saya ialah, "kau kena baca kitab kawi kuning (judulnya seingat saya "Serat Upa Darja" hasil Mangkunagara IV). Kitab kuning ini adalah sebuah bacaan wajib para priyayi yang berkisah tentang almanak primbon, buku kebatinan, budi pekerti serta peraturan agama dan adat.

Begitulah dua hari suntuk saya menghabiskan masa membaca diri sendiri yang hilang di dalam sejarah keluarga priyayi. Saya akui, saya kini sudah jauh terpesong daripada tradisi dan falsafah priyayi ini.

Bila saya ingat-ingatkan semula, sekarang baru saya faham kenapa setiap kali bermulanya malam 20 ramadan, kiyai Salleh akan menyuruh kami mencari kelapa kering dan dijadikan bantal untuk tidur malamnya. Di dalam buku "Priayi Abangan" ini dijelaskan, para priyayi setiap malam ramadan bermula 20 ramadan akan tidur berbantalkan kelapa kering kerana setiap kali kepala bergolek mereka akan terjaga dan terus bersolat sunat. Amalan mereka setiap malam adalah tahajud, tasbih dan taubat.

Masya-Allah, saya sudah terlalu jauh berjalan tetapi sesat di dalam roh gemulah dan leluhur priyayi. Hamparan dosa-dosa seperti sebuah filem yang berputar dalam ingatan.

Pagi tadi saya menghubungi ayah saya di kampung. Saya berkisah tentang buku yang saya baca kepadanya. Mungkin dia tersenyum mendengar cerita saya atau juga mungkin dia seperti saya yang sedang merindui dunia priyayi yang telah hilang di dalam keluarganya. Ayah tak banyak berkata, cuma sebelum meletakkan telefon, katanya, "ojo lali gowo balik kitab neh (jangan lupa bawa balik bukunya)."

MENCARI DIRI ii

Malam membuka dadanya
aku selak setiap helaian
mencari bulan dan bintang
tetapi
kutemui matahari
lalu membakar wajahku.

Mujur,
sepincing angin dari salam Illahi
mulus dan damai
berbisik kepadaku
siramilah tanah leluluhmu yang tandus
kirimilah bekalan utusan mukjizat
untuk kau kenal hakikat dan makrifat.

Merenung insaf diri
aku hilang
di dalam bayang-bayang
bulan dan bintang
yang bergemerlapan di langit Tuhan.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.

15 Ramadan 1430H.

Syukur juga sebab saya mula sedar diri dan perlu meneruskan pencarian diri. Terima kasih Ya Allah.