Rabu, 27 Julai 2011

TANAH SANG SAPURBA


SANG SAPURBA MAMAMERU

Berbekal Sejarah Melayu
aku datang kepadamu
dengan segugus kenangan gemulah
Wan Empuk Wan Malini
metos padi bertukar emas
waadat Demang Lebar Daun
dan rintih Sang Sapurba
berwalang ganti
membina maruah dan jadi diri
bangsa bernama Melayu.

Ini tanah Mahameru
terbangun daripada jerih swarnadwipa
asal akal kepada kata
asal sembah kepada adat
asal agama kepada iman
asal segala Melayu yang ada

Di dada Musi
antara Ampera dan Seguntang
puncak yang melangit
ada jamung takjub
terbakar di dadaku
dan keladi bunting
adalah perakam waktu
yang setia ke muara

Ratusan tahun usiamu Sang Sapurba
antara rumah rakit dan masjid agung
aku memilih ratib dan zikir
untuk kubawa pulang
ke negeri abadi.

SHAMSUDIN OTHMAN
Palembang

Isnin, 4 Julai 2011

BERSIH + KUNING = BENING

Tiba-tiba ada ketakutan dan momentum baru apabila perkataan 'bersih' dan 'kuning' menjadi malapetaka rakyat Malaysia. Etimologi 'bersih' yang akrab dengan maksud kebaikan, suci dan indah berubah menjadi perkataan yang menakutkan. Begitu juga halnya dengan warna 'kuning', iaitu kata adjektif yang sinonim dengan daulah diraja atau sistem monarki telah menjadi warna yang diharamkan.

Nah, atas nama apa, perkara-perkara demikian berlaku? Jika atas nama perjuangan, jihad atau pencabulan semuanya hanya tindakan yang tidak berlandaskan ketakwaan kepada Pencipta.

Rakyat Malayisa yang berusia 50-an sudah lama tidak melihat darurat. Manakala rakyat yang di bawah usia itu pula belum pernah melalui pengalaman darurat, pertumpahan darah mahupun peperangan. Mungkinkah semua itu akan menjadi trajedi pada 9 Julai ini? Jika iya, sama-sama kita saksikan apakan sejarah dan malapetakanya yang bakal menimpa. Jika tidak, syukur Allahamdulillah kerana semua itu ada hikmahnya.

Pada saat bulan Syaaban membuka tikai dan meninggalkan Rejab yang murni, kita rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan kecelaruan dan ketidakpuasan hati. Sekelompok manusia mendesak supaya keadilan dikembalikan ke tangan rakyat, sementara satu puak lagi melihat kezaliman dan kerakusan adalah matlamat peribadi yang perlu ditunaikan. Inilah dua agenda yang tidak pernah ditemukan di atas sebuah meja bernama perundingan. Masing-masing dengan keyakinan diri yang tinggi bahawa mereka adalah betul, bersih dan penegak kebenaran.

Adalah sesuatu yang amat sukar untuk bercakap soal keadilan dan kebenaran secara tuntas jika tidak bersandar kepada al-Quran, Hadis dan ijtihad. Keamanan, perpaduan dan persaudaraan adalah tuntuan wajib Islam. Dalam surah al-Hujurat: 10 maksud firman Allah, iaitu "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."

Ketika masyakarat Barat mula bercakap soal 'The Dream Society' atau 'Information Society' kita rakyat Malaysia masih bertelagah tentang makna hubungan sesama masyarakat itu sendiri. Kita bercakaran tentang soal rasis, soal ketuanan, soal agenda parti dan macam-macam soal titik bengik yang tidak memungkinkan kesepakatan atau keseiyakataan. Masyakat kian bersifat enau dalam belukar atau mereka sedang gagah mendokong biawak hidup. Dua falsafah Melayu ini tidak terurai sebaliknya mereka seakan-akan menidakkan kebijaksanaan nasihat nenek moyang mereka.

Saya bersikap positif bahawa jika perkataan BERSIH dan KUNING digabungkan maka akan wujud perkataan BENING, iaitu perkataan yang membawa maksud damai, tenang dan indah. Mengarifi maksud perkataan 'bening' tentunya kita akan terimbau jauh akan kehidupan sebuah masa lalu yang indah. Cuba kita bayangkan, pada waktu pagi dan melihat keindahan alam yang hijau, alangkah beningnya saat itu. Jiwa yang kusut menjadi tenang; fikiran yang gelora terasa damai dan tenteram. Nah, indahkan?

Mari kita kembali kepada tanggungjawab kita sebagai insan kamil. Menjaga amanah yang Allah SWT pinjamkan dalam kesementaraan ini lebih baik daripada kita menjolok sarang tabuan; tabuan tidak mati kita yang menanggung derita disengatnya.

Selamat kembali ke tanah nurani untuk mengarifi makna perjuangan.

Jumaat, 1 Julai 2011

ZAT CINTA

Kau hulurkan aku madu

dari cangkir mukjizat Muhammad

nafsu dan imanku luhur

mengalir tak tertadah.


Aku mencium harum mawar

yang basah di tubuhku

saat bau tanah

mendakap ke dada.


Segugus cinta di tangkai kabut

tiba-tiba seperti belati

menusuk sukma

darahnya menutup

bau tanah tubuhku.


Dalam diriku ada Zat-Mu

dalam Zat-Mu ada cintaku

dengan rindu

kebebat kebesaran-Mu.


Shamsudin Othman

Madrasah Sham al-Johori.


ZAT API

jangan kau cari tangisku
dalam puisi-puisi yang kutinggalkan
atau dalam laci kalbu
yang setiap saat merintih kasih-Nya

jangan kau tanya air mataku
tentang cinta yang terbakar
mengangkat asap gelap ke relung kabut

dengan air mata
aku mengarifi zat api
yang bersatu di dingin sungai-Mu

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori