Selasa, 31 Julai 2007

SELAMAT ULANG TAHUN DIRIKU


i
Aku mulakan catatan kali ini dengan menurunkan satu ayat Quran dan satu hadis Rasulullah sebagai peringatan untuk diriku sendiri.

"Dan sesungguhnya orang yang paling mulai daripada kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa kepada-Nya."
(Surah al-Hujurat:13)
dan sabda Rasulullah S.A.W;

"Sesungguhnya hal yang paling aku takuti berlaku ke atas umatku ialah perbuatan yang didorong oleh nafsu jahat dan suka berangan-angan kosong. Sebab, memperturutkan nafsu jahat akan menjauhkan mereka dari kebenaran; sedangkan panjang angan-angan akan menjadikan mereka lupa kepada hari akhirat."
(Riwayat al-Baihaqi)

2 ayat peringatan ini perlu aku tekuni maknanya agar aku tidak menjadi manusia yang lupa daratan. Usia yang mencecah 41 hari ini, banyak menjadikan aku dewasa. Aku perlu sedar bahawa kesihatan dan nikmat hidup yang Allah kurniakan hanya bersifat sementara. Dan kerana kesementaraan itulah aku perlu menjadi manusia/makhluk yang bertakwa.
Ya Rabb, pastikan seluruh pergerakanku tidak sedikitpun beranjak daripada mengingati dan mengasihiMU. Sentiasa pandulah seluruh jiwa dan ragaku ke arah kebenaran dan keimanan.
Amin.

Selamat ulang tahun kelahiran wahai SHAMSUDIN BIN OTHMAN. ingatlah bahawa neraka itu panas dan seksaannya amat pedih. Usia 41 adalah permulaan kehidupan seorang lelaki. Berhati-hatilah.

ii
Hari ini bertujah-tujah sms masuk ke telefonku dengan ucapan 'selamat ulang tahun'. Terima kasih kepada semuanya kerana ingatan ikhlas itu. Akan aku bawa ingatan itu ke mana-mana. Tapi yang paling syahdu ialah apabila aku menerima ucapan daripada ibu dan ayah. Menitis air mata kesyaduan apabila mendengar suara ibu kemudian ayah. Mereka mengingatkan aku agar sentiasa mengingat Allah yang telah banyak memberi dan hanya sedikit yang dapat kita balas. Ya Allah berikan aku semangat untuk meneruskan nasihat kedua ibubapaku itu. Amin dan KAU sejahterakan kehidupan mereka berdua seperti mana yang KAU berikan kepadaku. Terima kasih emak, terima kasih abah.

iii
Semalam, selepas kuliah aku melepas di masjid besar UPM. Aku melihat gelagat manusia yang bersolat di masjid. Aku tersentak apabila melihat seorang lelaki berkulit sawo matang tetapi bukan Melayu bersolat. Solatnya aneh dan tidak mencontohi kesempuranaan solat Rasulullah. aku perhatikan untuk kesekian lamanya hingga dia sedar yang dirinya sedang diperhatikan. Aku mengukir senyum sambil buat-buat tidak kisah dan meneruskan bacaan surah al-Taubat. sebenarnya dalam hati kecil dan fikiran aku berkocak kuat memikirkan amalan yang sedang dilakukannya itu. Aku mengurut-urut dada sambil menarik nafas lega apabila dia bergegas meninggalkan ruang solat. Sebelum keluar dari pintu utama dan berhampiran dengan tempat aku duduk itu dia sempat memasukkan wang kertas rm50 ke dalam tabung derma. Aku pasti itu rm50 dan mudah-mudahan Allah akan memberikan hidayah kepadanya.

iv.
Aku kian buntu apabila penyelia Phd meminta aku melengkapkan kertas cadangan. Seperti terasa baharu semalam daftar, hari ini dia hendak. Aduh, aku kesuntukan waktu sebenarnya!
d

Isnin, 30 Julai 2007

Sajak Gagak dan Hari Lahir


i
Semalam aku dikunjungi dengan pelbagai panggilan telefon dan sms dari teman2. Banyak pertanyaan tentang siapa si gagak yang aku maksudkan dalam sajak 'Seekor Gagak dan Sepohon Bahasa' tersiar di Berita Minggu (29 Julai 2007). Jawapan aku ringkas dan sepadat mungkin.
SBO: Dia ialah binatang yang tak pernah mengenang budi dan lebih jahat daripada gunting dalam lipatan.
Jawapan aku itu juga berseni dan penuh nilai perjuangannya. Jawapan ini merupakan kesinambungan daripada 2 tulisan Mohamad Daud Mohamad (Pegawai kanan DBP) dalam akhbar Siasah. Ini bermakna hanya manusia yang sedar akan nasib bahasa dan bangsa sahaja akan faham satira yang aku gunapakai. Aku dah muak dan permainan dan lakonan para juak yang memimpin negara ini. Terbaharu ialah isu Malaysia sebuah negara Islam atau sekular? Isu ini diperdebatkan tanpa diskusi ilmiah. Samalah halnya dengan bahasa Melayu. Kalau betul juak-juak itu telus bawalah perkara ini ke Dewan Parlimen atau Dewan Rakyat. Berbincanglah dengan profesional dan bijaksana. Jangan jadi seperti gagak yang konon bersayap sakti tetapi tak pernah memikirkan hujan atau ribut taufan.

ii
Esok 31 Julai ialah hari kelahiran aku ke muka bumi Allah ini. Ya Rabb, terima kasih kerana banyak mengajar aku makna iman, syukur, sabar, taqwa dan jihat. Aku akan perkemas dan lengkapkan lompang-lompang kosong itu supaya aku boleh menjadi hambaMu yang sejati.
Esok juga bermakna usia aku menjangkau 41 tahun. Tentunya, esok mungkin aku bakal menerima ucapan 'selamat ulang tahun' daripada isteri, anak-anak, kekasih dan taulan. Yang penting, usia yang kian menua ini perlu aku lengkapkan dengan sebanyak mungkin ilmu vertikal dan harizontal antara mahkluk dengan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ya Rabb izinkan aku lengkapkan ruang kekosongan jiwaku dengan seluruh makna takwa dan cintaMu.

iii
Tuhan damaikan hatiku ini.

Khamis, 26 Julai 2007

UKUR BANYAK KALI POTONG BIAR SEKALI


ENTRI peribahasa ini bermaksud kita mestilah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Kenapa peribahasa ini yang menjadi enrti kali ini? Jawapannya mudah sahaja, iaitu tentang pelaksanaan P&P subjek matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Surat khabat semalam menjelaskan bahawa Parlimen Ledang di bawah kepimpinan Ghani Othman akan membawa usul pembubaran/ pembatalan/penukaran P&P subjek ini semula dengan menggunakan bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia). Inilah hasil kerja yang tidak berfikir panjang. Mantan PM dulu telah melakukan satu dosa besar kerana menentukan dasar ketidakpercayaan kepada bahasa ibunda kita. Akhirnya, setelah 4 tahun berjalan, kita dapati hampir satu generasi kanak-kanak atau remaja yang rosak.
Hari ini, jika kita bertanya kepada pelajar-pelajar yang melepak dan ponteng sekolah itu, kenapa mereka ponteng sekolah? Jawapannya mudah sahaja sebab tak faham bahasa Inggeris. "Macam mana nak belajar matematik dan sains." kata mereka bersahaja. Orang politik melihat jawapan pelajar itu mewakili orang malas dan mereka yang berada dalam situasi kehancuran keluarga. Itu dalam pemikiran juak-juak politik. Tetapi bagaimana sekirannya jawapan itu ikhlas dan jujur daripada hati nurani mereka?
Nah, kesan yang lebih besar daripada idea/ arahan gila mantan PM itu ialah gejala sosial remaja dan pelajar kian menjadi-jadi. Pelajar/murid mula kurang ajar sebab lari dari kelas matematik dan sains - lalu mereka berkumpul dan wujudlah budaya samseng di sekolah.
Kita tidak pernah melihat hal ini secara terbuka atau rasional. Kerajaan menolak pandangan, nasihat dan keluhan rakyat khususnya golongan nasionalisma dan cendikiawan bahasa dan budaya Melayu. Bagi mereka melaksanakan arahan P&P dalam bahasa Inggeris bermakna kita akan melahirkan satu generasi yang setanding dengan dunia barat. Soalnya, bagaimana hendak menandingi barat jika suasana di sekolah kian parah. Ponteng sekolah kian menjadi-jadi. Budaya samseng kian berleluasa dan moral pelajar/ murid kian kurang ajar.
Siapakah pembunuh generasi Melayu sebenarnya? Adakah orang barat yang kita kategorikan penjajah atau bangsa kita sendiri? Atau siapa sebenarnya? Justeru bernilaikan harga 'kemerdekaan' Malaysia yang mencecah usia 50 tahun ini?
Kalau kita mendengar cerita Malim Ghozali PK (dalam gambar - sasterawan); kita sebenarnya menjadi bangsa yang ditipu oleh bangsa sendiri. Mereka menipu kerana kepentingan poket dan nafsu dunia. Mereka menjadi tamak dan rakus kerana beranggapan akan hidup selama-lamanya. Itu kata Malim Ghozali PK. Kata aku pula, mudah sahaja; iaitu "mereka gila dan tak punya akal."
Inilah dunia yang kita pangkah. Lihatlah dunia yang kita pilih. Kita derita dalam pilu yang tak terungkapkan oleh kata-kata.



FIQH KENEGARAAN


i
Syukur Allahamdulillah, kita bersua kembali dalam kesempatan yang amat payah untuk dikongsikan. Mungkin ini adalah ingatan dan ujian Allah kepadaku. Sungguhpun begitu, aku harus menjadi manusia yang perlu banyak berterima kasih kepadanya.
FIQH KENEGARAAN menjadi pilihan kali ini kerana inilah buku terbaharu yang sempat aku tekuni untuk mengisi masa senggang di UPM. Waktu yang lebih banyak mengizinkan ini, membolehkan aku untuk giat berkarya atau membaca buku-buku yang masih belum dibuka sampul plastiknya. Buku ini merupakan sebuah kitab lama karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Buku ini amat wajar dibaca oleh orang yang ingin atau sudah menjadi ahli politik. Buku ini juga wajib dibaca oleh Pak Lah, Najib, Hishamuddin, Noh dan lain-lain itu agar mereka sedar bahawa pangkat, darjat, kuasa hanya sementara sahaja sifatnya. Orang lain nak baca pun boleh juga, khususnya guru supaya mereka dapat menyebarkan fahaman bahawa untuk hidup dan menjadi pemimpin bukanlah satu perkara yang mudah dan indah.
ii
Hampir seminggu aku tidak dapat melayari blog kerana beban tugas dan masalah komputer. Hal ini menyebabkan aku resah dan buntuk. Komputer dan internet adalah kekasih kedua aku selepas ... Mungkin dengan komputer dan internet aku boleh mengungkapkan perasaan yang sentiasa sunyi dan sepi. Nah, kini aku akan belajar bagaimana untuk menjadi seorang pencinta yang boleh memahami dan difahami oleh orang lain.
iii
Tanggal 24 Julai 2007 lalu (Ahad) di rumah PENA telah diadakan satu forum bertajuk Antara Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia. Forum yang dimoderatorkan oleh En. Saleeh Rahamad dan panel terdiri daripada Dr. Teo, Dr Ahmad Zaki dan Tn Hj Hamdan yang banyak bercakap tentang bertapa pentingnya istilah 'Melayu' kepada bangsa melayu itu sendiri. Tapi dalam hal ini, pemimpin melayu itu sendiri yang meletakkan gelaran tertinggi itu ke martabat yang hina dina. Mereka takut untuk mengakui bahawa bahasa melayu itu adalah bahasa perpaduan. Ketakutan itu disebabkan mereka didesak oleh pihak tertentu. Akhirnya, selepas 50 tahun kita merdeka kita telah dijajah oleh rakyat Malaysia yang bukan Melayu tetapi mempunyai kuasa autonomi dalam bidang ekonomi. Ketakutan itu menyebabkan mereka sanggup mengadai maruah dan bangsa sendiri. Menteri Penerangan kita yang pernah terlibat dalam episod 'Mogok Utusan' pada tahun 40-an dahulu lupa bahawa sejarah perjuangan itu tercetus oleh rasa kemelayuan yang tinggi. Dia kini hidup sedang lenang dengan duit yang menimbun. Kesenangan itu telah membunuh semangat dan perjuangannya. Inilah penjajahan baharu yang berlaku di negara kita. Inggeris, Jepun dan Belanda sudah lama tiada. Hari ini yang ada hanyalah penipuan dan penjajahan duit.
iv
Kita perlu menjadi manusia yang bermoral dan punya kesedaran kenegaraan yang tinggi. Kitab Fiqh Kenegaraan ini sekurang-kurangnya dapat menunjukkan kepada kita jalan menuju ke negara imani.

p/s: Gambar: Bersama-sama Lutfi Ishak, Faisal Tehrani dan Isa Kamari (penulis Singapura). Di tangan merekalah dunia Melayu ini dipertahan dan dilestarikan.

Selasa, 17 Julai 2007

Maha Besar AnugerahMu Ya Rabb


i

Sebentar tadi aku menerima sms dari Pekan Baru, Riau. Dr. Yusmar meminta aku berkongsi pengalaman tentang budaya Melayu di UNRI (Universiti Nasional Riau) pada Oktober ini. Sambil membaca dan menyatakan persetujuan aku mengimbau sebuah wilayah rindu yang kaya dengan nuansa Melayu. Dua tahun lalu ketika berada di sana aku dibawa menyusur kampung halaman yang amat indah dan penuh bercirikan tradisi kemelayuan. Berada di sana dengan suasana yang menguatkan semangat dan jati diri Melayu menyebabkan aku tidak menolak pelawaan Dr. Yusmar.

Aku selalu membandingkan kampungku dengan kampung-kampung yang berada di Pulau Bali, Aceh, Jakarta, Bandung, Bogor, Jogja dan wilayah lainnya; kenapa kampung aku terlalu pantas berubah sehingga hilang neonostalgiannya? Apakah pemimpin yang berada di negaraku ini tidak pernah belajar ilmu dekorasi alam atau juga mereka buka seni dan tradisi? Kalau dah sedar mereka lemah dalam hal-hal sebegini, sepatutnya mereka punya penasihat yang bijak. Sayangnya itulah yang berlaku di negaraku; para pemimpin dan penasihatnya hanya memikirkan perut dan poket sendiri. Mereka tidak pernah ingin berkongsi pengalaman untuk bercakap juga mendengar suara rakyat yang rindu dan cintakan kenangan zaman kanak-kanak.

Pembangunan tetap pembangunan. Kalau Johan Jaaffar menulis dalam Dewan Budaya (Julai:2007) tentang kekesalan terhadap kerakusan pemimpin mengubah persekitaran yang pernah mendewasakannya maka ada baiknya juga kita menyesali apa yang dilakukan oleh juak-juak itu yang hanya berfikir dan merenung RM sahaja. Mereka telah dibutakan o leh materialistik dan nafsu kewanitaan. Mereka akhirnya lebih bahagia hidup bergaya eletis kapitalis yang lupa akan ciptaan syurga dan neraka. Bagi mereka, rakyat tetap merakyat dan pemimpin adalah orang yang berhak melaksanakan hukum 'matlamat menghalalkan cara'.

ii

Aku mulai rindu akan kekasih yang tidak pernah mati-mati. Mengertilah, jarak jauh kita hanya dibezakan oleh hening pagi yang menderam di celah kabus. Moga kita bisa ditemukan segera. Amin, kekasihku.

Ahad, 15 Julai 2007

SYUKUR ALLAHAMDULILLAH


i
Aku akhirnya berjaya juga merasai nikmat daripada anugerah Allah. Selama ini aku sering berdoa dan bermunajat agar cita-cita untuk beralih arah tugas atau menikmati sebuah kehidupan yang lebih mencabar. Kini, Allah telah menyediakan ruang dan tempat untuk aku lalui. Inilah kebesaran dan rahmat Allah. Tanggal 9 Julai bermulanya satu cerita baharu dalam hidup aku. Menjejakkan kaki dengan jawatan baharu dan serba mencabar menyebabkan hati aku berdetik, "bolehkah aku hidup dalam dunia universiti? Menjadi pensyarah dan mengajar sekumpulan manusia yang bakal menjadi guru. Jika sebelum ini sasaran aku hanya kepada pelajar SBP yang pasti akan ke luar negara; kali ini sasarannya lain pula.

Mungkin ini adalah hidayah Allah untuk aku. Allah menyuruh aku bermuhasabah diri dan menjadi manusia yang insani. Aku juga harus berterima kasih kepada Hj. Naffi Mat dan Dr. Roslan Baki yang sanggup berjuang untuk memastikan aku menjadi warga UPM. Terima kasih untuk kalian. Aku tak tahu bagaimana harus membalasnya.

ii
UPM merupakan satu persekitaran baharu dalam hidup aku. Kalau tahun 1995 aku pernah menjadi warganya selama sebulan sebelum melarikan diri ke UM; tidak pernah melemahkan semangat aku. Aku perlu lebih waspada dan hati-hati meniti perjalanan yang masih jauh dan panjang ini.

Terima kasih Ya Rabb. Terima kasih semua.




Khamis, 5 Julai 2007

DUA BUKU BAHARU DI PASARAN




i
Kepada teman2 yang rajin membaca, inilah 2 buku yang meruntuh kalbu. Baca dan fikirlah...
ii
Aku melihat ada muatan aqidah dan nuasa islami yang berjaya diterapkan oleh Mawar dan Zaid.
iii
Membacalah dengan akal dan hati.

Rabu, 4 Julai 2007

FILEM MALAYSIA DAN KISAH HANTU


i
Entahlah, sukar untuk aku mempercahayainya. Bayangkan ketika semua orang bercakap tentang sains dan teknologi, mentaliti pengarah filem2 dunia teruja untuk memaparkan kisah-kisah hantu. Bila barat dan orang timur buat, kita pun buat juga. Kononnya untuk menakut-nakutkan orang keluar malam. Macam-macam hantu cuba dipaparkan. Begitulah, bertapa rendahnya mentaliti kita. Soalnya benarkah hantu itu hidup? Persoalan ini tak pernah terjawab sebab belum pernah ada orang mati dicekik hantu. Kalau tak percaya bukalah surat khabar2 lama atau jelajahlah internet atau carilah laporan polis tentang kisah manusia mati dicekik hantu.

Apa yang aku tahu ialah, orang hidup yang jadi hantu adalah. Contohnya hantu judi, hantu arak, hantu perempuan, hantu bola, hantu dadah, hantu merompak dan macam-macam lagi hantu. Malah hantu ini lebih hantu daripada hantu yang difilemkan. Aku tak nak sebut tajuk-tajuk filem hantu tu, kalau disenaraikan tentu panjang dan meletihkan.

Yang penting, biar kita menjadi hantu sastera yang sedar akan nasib bahasa dan bangsanya. Tapi ingat, jangan jadi hantu pilihanraya. Nanti TPM marah sebab dia kata mana ada hantu pilihanraya di dunia ini. Yang ada katanya ialah hantu yang pandai mengilai sebab kalah. Oleh itu, sama-samalah kita lihat siapa yang akan menjadi hantu pilihanraya selepas pilihanraya yang bakal menyusul nanti.

ii
Filem Malaysia adalah filem untuk berhibur bukan untuk berfikir kata Ahmad Idham. Aduh, malangnya nasib pengarah filem Malaysia kalau begitulah tahap pemikiran mereka. Kenapa FINAS tak haramkan aja filem yang jelas tahyul dan kurafatnya itu? Kalau Sejarah Melayu dan teks-teks klasik Melayu dikatakan tahyul dan kurafat kenapa tidak filem-filem hantu tu? Di manakah nilai fikir dan intergriti kerajaan. Kalau Menteri Pelajaran Malaysia atau Menteri Pengajian Tinggi boleh menidakkan teks klasik Melayu kenapa dia tidak campur tangan dalam industri filem Melayu; kemudian menidakkannya juga. Rasionallah sikit.

iii
Aku bertambah keliru dan mula rasa kehilangan citra terhadap dunia filem Melayu. Aku rindukan filem seperti Ibu Mertuaku, Sarjan Hassan, Penarik Beca, Keluarga 69, Tiada Esok Bagimu, Esok Masih Ada atau juga Embun atau Jogro.
Kita perlu contohi Iran yang berjaya dalam setiap festival filem tanpa memaparkan certia-cerita porno atau tahyul. Iran bercakap tentang humanetik dan sosiologi. Iran bercerita tentang dunia nyata dan kejujuran. Iran berkisah tentang kebenaran dan kemanusiaan. Kenapa kita tidak mencontohinya? Begitu juag dengan filem Sepanyol dan Austria. Kita perlu belajar daripada mereka.

'MASITAH' dan Subjek KESUSASTERAAN MELAYU (KM)



i.
Aku masih bercuti. Begitupun aku sempat menghabiskan bacaan kumpulan cerpen terbaharu Mawar Shafie bertajuk 'MASITAH' (DBP:2007). Aduh, gundahku menjadi rawan dalam damai yang sepi. Gaya bahasa yang meruntuh kalbu dengan sosok romantika benar-benar memukau. Tahniah Mawar.
ii
Malam tadi aku SMS Rahimidin. Dia kata dia sakit (demam panas). Itu tandannya Allah beri peringatan kepada kita supaya bermuhasabah diri sebab kita selalu mengata juak-juak parti dacing.
iii
Semalam juga seorang teman menghubungi aku dan menjelaskan dia kecewa sebab aku tak dapat hadir ke mesyuarat PIPP (Pelan Induk Pembangunana Pendidikan) di putrajaya. Dia kata KPM bersetuju untuk mempakejkan subjek SPM. Dalam pekej itu subjek KM dipinggirkan. Aduh, berderau darah aku. Jika aku ada dalam majlis itu sudah tentu sama ada aku atau dia orang yang akan keluar majlis. Itulah nasib istilah 'MELAYU' semuannya akan disingkirkan secara terancang. Selepas ini kita akan belajar sastera Malaysia yang akan mengkaji teks klasik India dan China. Maknannya semua teks klasik Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Merong Mahawangsa, Tufat Al-Nafis tak perlu lagi sebab teks ini dikatakan pembohong, tahyul, kurafat dan menyesatkan akidah. Fuhhh! Begitulah pemikiran mereka.
iv
MULUT AKU DAH KENA SUMBAT
TANGAN AKU DAH KENA IKAT
TAPI NALURI AKU MASIH BEBAS
AWAS.

Selasa, 3 Julai 2007

SAKIT MATA

Gambar: Berlatarbelakangkan biara Hindu Tanah Rata, Pulau Bali

i.
Entri ini menjadi pilihan sebab saat aku menulis blog ini aku sedang diserang sakit mata. Sakit mata ini merujuk kepada mata bengkak kemudian menjadi merah dan banyak mengeluarkan tahi mata berwarna kehijau-hijauan yang cair. Mungkin ini balasan dosa kering atas dosa-dosa yang aku lakukan sebab sering mengutuk juak-juak parti dacing. Ya Allah ampunkan dosaku. Semalam aku ke hospital dan dapat mc 3 hari. Rasanya inilah peluang aku untuk membaca, membaca, membaca, membaca dan membaca buku-buku yang masih belum terbuka sampul pelastiknya.

ii
Semalam juga kau ke kedai buku DBP. Cari majalah terkini. Aku ditemukan dengan Saharil Hasrin Sanin di kedai buku itu. Kami berbual panjang tentang sastera dan dia memberitahu cerpen terbaharunya akan diterbitkan di Dewan Budaya bulan depan. Tunggu. Yang penting dia kata dia bakal menamatkan zaman bujangnya. Dia ni budak pontian dan pernah bersekolah di Sekolah Alam Shah (tapi dia bukan anak murid aku di SAS). Kemudian di ke Amerika. Uniknya dia ini ialah dia suka berahsia.

iii.
Pagi tadi aku terima 3 sms dari SM Zakir. Pertama tentang Gapena nak adakan PSN di Kedah pada 27-30 Julai ni. Tapi dalam masa yang sama aku, Zakir, Saleeh, Rahimidin, Lutfi akan ke Univ Songkla, Thailand untuk majlis Temu Penulis Dua Negara. Keduanya tentang Utusan hendak terbitkan sajak sempena Malam Perjuangan Utusan yang diadakan dulu di PENA. Ketiganya dia nak belanja aku makan ikan bakar dekat istana negara sebab dia baharu menang HSKU. Aku tak dapat memenuhi pelawaannya sebab aku sakit mata. Kesian aku.

iv.
Malam tadi aku tak dapat tidur sebab mata mula membengkak. Aku baca Dewan Sastera hingga habis. Membaca kehidupan wak Ismas Saring aku menjadi kagum. Aku kenal dia sebagai seorang wak yang low profail. Dia tak banyak cakap tapi punya banyak pengalaman. Aku teringat ketika kami berada di Pulau Bali. Dia bawa aku ke rumah ibadat orang Hindu; sambil berseloro dia kata, "inilah Mekah orang Hindu." Kami ketawa sambil mendengar deru ombak memukul batu-batu Tanah Rata, Pulau Bali itu.

vi.
Mudah-mudahan sakit mata aku cepat sembuh.

Isnin, 2 Julai 2007

DAN DEMI MALAM APABILA IA BERLALU


Dan Demi Malam apabila Ia Berlalu adalah tajuk sajak aku yang tersiar di Dewan Sastera; Ogos 2003. Sajak pendek ini terkesan daripada surah al-Fajr ayat 89:4 yang intipatinya lebih kepada makna kejujuran dan kedaifan diri.
i
Beberapa hari ini, aku menguliti buku-buku yang sempat aku beli ketika mengembara. Membelek buku-buku itu, aku menjadi khusyuk apabila menatap buku 'KAFILAH BUDAYA' karya Dr. Muhammad Zafar Iqbal seorang pensyarah di Jabatan Sastera Parsia, Universiti Indonesia. Buku terbitan Penerbit Citra:2006 ini perlu dibaca oleh mereka yang berasa ingin menjadi pejuang bangsa dan bahasa Melayu. Kalau ingin menjadi juak politik parti dacing tak perlu baca wacana fikir yang sukar macam ini. Para juak parti dacing tak perlu baca sebab dia hanya perlu menjadi penggangguk dan mengiyakan apa-apa sahaja yang ketua mereka katakan. Kalau mereka hendak membaca buku ini, pastikan jangan mengkritik boss pula sebab dikhuatiri kena tendang dari kabinet.
Buku ini kandungannya tentang nasib bahasa Indonesia yang akhirnya menjadi kacau bilau apabila gagasan SATU BAHASA SATU NEGARA dikuatkuasakan oleh pemerintah. Nah, inilah signifikennya hal ini dengan bahasa Melayu yang digantikan menjadi bahasa Malaysia. Perkiraan dalam hukum matematik yang mudah ialah bahasa (X) adalah lambang pertuturan sesuatu bangsa iaitu Melayu (Y). Manakala simbol (Z) mewakili nama negara iaitu Malaysia . Ini bermakna formula matematika yang betul ialah X+Y=Z. Oleh itu, apabila Y bertukar menjadi Malaysia (Z) maka perkiraan matematika X+Z=Z adalah salah. Jadi, bertapa bodoh dan bahlulnya para juak yang diberi kepercayaan mentadbir negara khususnya menteri pelajaran dan menteri penerangan (2MP) yang tidak dapat memahami ilmu matematika ini.
ii.
Aduh! Aku bimbang dan mula gementar akan demi malam apabila ia berlalu kerana aku akan sama-sama ditimpa balak daripada kesilapan juak-juak yang kian rakus meratah khazanah bangsanya sendiri.
iii.
Aku turunkan rangkap ke-2 sajak 'Dan demi malam apabila ia berlaku' ini sepenuhnya;

Antara cahaya bulan
dan sinar bintang
malam sempat berbisik kepadaku
katanya
kita tidak harus menjadi pencuriga
pada nikmat kkasih sayang
kerana Tuhan bukan kekasih pendusta.

Ya Rabb, dengan rahmatMu, selamatkan diriku dan orang-orang yang aku kasihi. Amin.

Ahad, 1 Julai 2007

AKAN BERULANGKAH SEJARAH ITU?

Gambar: Salji di kota Amsterdam, Belanda.
i
Aku baharu sahaja dikunjungi oleh Fard Razy bersama-sama isterinya. Dia merupakan anak murid aku yang paling berjaya dalam makna hubungan guru-murid meski bakal bergelar doktor dengan ijazah dari Dublin tetapi dia tidak lupa asal-usul dan kemandirian. Hari ini hubungan kami lebih kepada sahabat sasterawan. Dia balik bercuti tiga bulan dan sekarang khabarnya sedang menyiapkan karya untuk diantologikan.
Semoga kau menjadi anak muridku yang paling berjaya dan dapat menggantikan aku sekirannya Tuhan menjemput aku lebih awal.
ii.
Seperti yang dijanjikan, maka wakil dari KPM itu pun datang ke sekolah aku. Maka bertemulah aku dengannya dalam keadaan yang baik bertemankan pengetua, penolong kanan dan seorang lagi pegawai KPM. Aku disoal dengan beberapa pertanyaan tentang blog 'TANAH NURANI" ini. Aku perturunkan antara dialog yang masih terngiang-ngian di telinga.

KPM: Kami hanya menjalankan tugas. Ikut arahan dan prosedur biasa. Kita janganlah
mengkritik kerajaan sebab itu majikan kita.
AKU: Saya tak kritik kerajaan tetapi saya kritik orang yang mentadbir kerajaan. Dia itu memikul amanah dan harapan rakyat.
KPM: Samalah tu.
AKU: Kalau sama maknanya selama ini, tak adalah bezanya antara firaun dengan Mesir atau Hitler dengan Jerman.

Dia tak berkata apa-apa. Sambil bersalaman dia sempat berbisik ke telinga saya, katanya "sayapun banyak yang tak bersetuju dengan juak-juak ini, tetapi..."
Saya menguntum senyum sambil merenung tajam wajahnya. Dia membalas senyum tetapi dari riak wajahnya dapat aku meneka jiwanya yang meracau.
Akan berulangkah sejarah itu dalam hidupku? Selepas ini aku akan memulakan tugas di tempat baharu yang lebih terbuka dan mencabar.
iii.
Hari ini Ahad-1 Julai 2007; aku menghabiskan masa dengan membaca beberapa ruangan tetap akhbar. Aku baca tulisan Johan Jaaffar bertajuk "Melayu Memang Mudah Lupa' Berita Minggu); aku baca tulisan Mazlan Nordin bertajuk 'Kisah-kisah Cinta dalam Mitos Yunani' (Mingguan Malaysia); dan aku baca tulisan Rustam Sani bertajuk 'Apakah Cacatnya Perjuangan Bahasa Malaysia' (Siasah); aku baca juga tulisan Mahfuz Omar bertajuk "Melayu Perlukan Pemimpin Yang Jujur' (Harakah).
Aduh!, membaca tulisan mereka itu, aku menjadi keliru dan cuba berfikir untuk mencari jawapan siapakah yang betul. Paling menariknya apabila membandingkan tulisan Johan dengan Mahfuz. Mereka beranalogi dan berteori, mereka berkisah dan berkias serta mereka juga mencari yang tersirat dalam tersurat. Begitupun aku melihat, mereka semua adalah orang politik yang bandai berjanji kecuali tulisan Mazlan Nordin tentang cinta yang bermula sejak kisah Nabi Adam dengan Hawa, kisah Jesus dengan Cleopatra (permaisuri Mesir) hingga Julies Caeser seterusnya ke sejarah cinta Sultan Melaka dengan Raden Mas Ayu dan terbaharu kisah cinta Pak Lah. Cerita Mazlan kali ini menarik dan jujur kerana apa yang dapat aku simpulkan daripada tulisan Mazlan ialah;

Saya tidak menanam nanas,
Tanam kepaya di dalam padi;
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.

iv.
Aku mula merasai detik-detik diri di daerah daif setelah berjaya menamatkan pembacaan buku 'The Venture of Islam: Conscience and History in a Would Civilization-The Gunpower Empires and Modern Time Volume III' karya G.S. Hodgson. Membaca buku ini dan melihat pemikiran juak-juak Umno menjadikan aku tertanya-tanya; adakah mereka tidak pernah membaca buku ini? Kalau tak tahu bahasa Inggeris yang mereka agung-agungkan itu, DBP pernah terjemahkan buku ini ke dalam bahasa Melayu. Bacalah dengan budi dan fikir yang luruh. Buku ini adalah gambaran dan sejarah Islam dalam tamadun dunia. Masalahnya juak-juak ini hanya pandai berpidato tapi isinya entah apa-apa. Lebih teruk daripada tin kosong atau botol arak kosong. KESIAN JUAK-JUAK macam ini.
v.
Aku teringatkan kekasih lama yang khabarnya kini telah menemui cinta yang hilang dan mula bahagia. Tahniah dan aku doakan kau akan bahagia macam cinta Rahimidin atau cinta SM Zakir. Esok adalah hari aku akan memulakan tugas di tempat baharu. Doakan aku menemui diriku sendiri di dunia dunia baharu itu.