Rabu, 26 November 2008

MAKNA SEBUAH PENDIRIAN

i.
AKHIRNYA secara terbuka atau secara tertutup pada 22 Nov 2008, GAPENA dengan juak-juak pemikiranya berjaya mengundang tokoh yang hebat dengan agenda dan strategi itu untuk berbicara di rumahnya. Sebagai tetamu yang diundang dan diraikan, makanya tokoh ini diberi ruang dan kemuliaan untuk berbicara sesuka hatinya. Dan wadah serta kebebasan yang diberikan itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk menegakkan benang basahnya bahawa PPSMI adalah satu usaha berjaya untuk membijaksanakan orang Melayu.

Mendengar hujah itu, saya terus angkat kaki dan meninggalkan rumah itu. Dalam hati saya ada sebak yang amat nanar sekali. Nanar kerana penguhuni rumah itu pernah bersuara lantang menentang agenda PPSMI ini suatu waktu dahulu. Tetapi kenapa hal ini berlaku di rumah itu? Rumah yang kononnya medan kedua selepas DBP untuk mempertahankan nasib bahasa dan budaya Melayu. Malang sekali, dan bertambah malang apabila orang yang kita percayai untuk menjadi suara orang Melayu pun telah turut sama bersengkokol melacuri bahasa dan budaya mereka sendiri.

Saya memikirkan kini, kepada siapa dan dengan siapa saya ingin meletakkan kepercayaan terhadap perjuangan bahasa dan budaya Melayu hari ini? Saya orang kecil yang punya jiwa dan halusinasi murni. Ingin melihat kedamaian dan ketamadunan Melayu hebat dengan bahasa Melayu sediri tanpa bersandar kepada bahasa inggeris. Perkiraan saya mudah iaitu, saya ingin melihat satu bangsa iaitu bangsa Melayu yang hebat tanpa meminjam, bersandar atau berpaut nasib kepada bahasa penjajah (inggeris). Jika melakukan hal-hal ini sewenang-wenangnya maka kita tidak dikatakan hebat sepenuhnya. Kehebatan kita akan dipertikaikan oleh anak cucu kita nanti yang tentunya lebih bijak daripada kita kerana kemajuan globalisasi.

Apakah maknanya tamadun sebuah bangsa jika idea, asas, teras dan rohnya dikongsikan atau masih bergantung kepada penjajah?

Sayang seribu kali sayang. Saya marah kepada orang yang menderhaka kepada bangsa dan bahasa. Saya marah, saya marah, saya marah.

Ya, Allah ampunkan kemarahan saya ini. Amin.

Jumaat, 21 November 2008

BERITA: MESYUARAT AGUNG PENA KE-45


Kepada semua ahli PENA, Mesyuarat Agung PENA ke-45 akan diadakan pada ketepatan berikut:

Tarikh: 23 NOVEMBER 2008 (AHAD)
Masa : 9.00 pagi
Tempat: Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Agenda Penting: Pemilihan Jawatankuasa sesi 2009/2010

Saudara dijemput hadir untuk sama-sama berjuang menentukan hala tuju sastera dan nasib bahasa Melayu negara. Undi dan sokongan saudara amat dihargai.

Selamat bermesyuarat.

Rabu, 19 November 2008

Sajak 'PERCAKAPAN KEPADA BAHA ZAIN'


Seorang rakan menelefon saya dan meminta saya memuatkan sepenuhnya sajak 'Percakapan kepada Baha Zain' yang saya deklamasikan pada malam Baca Puisi PENA (7 November 2008) ke dalam blog ini. Katanya, "ulasan dalam Berita Harian tu pendek dan tak puas dibaca."

Atas dasar kesetiakawanan itu, saya turunkan sajak itu sepenuhnya. Selamat membaca sahabatku.

PERCAKAPAN KEPADA BAHA ZAIN

Dato' Baha yang romatis,
aku tulis resah ini untuk kita kongsikan bersama

setelah dukaku dan dukamu
menyatu dalam injap nafas terakhir.

Dato' yang dihormati,

Rumah kita tidak sama seperti rumah orang beriman.

Rumah kita tingkap dan pintunya tak pernah berkunci.

Rumah kita lantai dan bumbungnya tak pernah kuat dimakan uji.

Rumah kita adalah rumah yang tiangnya
tak pernah berseri
malah tak sesekali lurus berdiri.

Rumah kita halamannya adalah tanah kubur tak berharum mawar.

Rumah kita dipenuhi puspa indah tak beraroma.

Rumah kita dikuasai oleh pencacai yang selalu

memikirkan bagaimana untuk menjual
atau mengadai
tanah sekangkang kera ini.

Dato' yang dirindui,

Rumah kita dihina oleh jiran tetangga kerana buruk dan keji.
Rumah kita menanti untuk dirobohkan esok hari.
Rumah kita tidak akan aman kerana berpenghuni

manusia duri dalam daging

dan manusia gunting dalam lipatan.


Rumah kita Dato',
adalah rumah yang menanti hari.


Usah bersedih dan menagih simpati Dato',

masanya telah tiba untuk kita
mencari
rumah abadi di tanah air sendiri.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

salam daripada bekas anak murid ...

SALAM KEPADA SEMUA ANAK MURID SAYA YANG BERADA DI PERANTAUAN.

Semalam, saya menerima email panjang daripada bekas pelajar saya ketika saya mengajar di SAS (Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur) pada tahun 2000. Dia kini berada di Jepun, tahun akhir dalam bidang kejuruteraan submerin. Emailnya panjang dan antara intipatinya ialah dia kecewa apabila melihat beberapa dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang mula tergelincir daripada landasannya. Dia membayangkan bahawa apakah yang akan terjadi 10 tahun akan datang kepada dasar KPM yang tunjangnya mesti berteraskan bahasa Melayu itu diperkotak-katikkan oleh agenda politik negara? Dia berkisah juga tentang kerajaan Jepun yang tidak berkompromi langsung dengan bahasa Inggeris dalam hal-hal pendidikan kecuali ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Bekas pelajar saya bertanya begini; apakah KPM terlupa kepada dasar Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seperti KMKK (MCKK), SAS, Sri Puteri, KTK (TKC) dan lain-lainnya? Bukankah dengan pembinaan sekolah ini maka ramai anak-anak Melayu daripada kawasan pedalaman dapat melanjutkan pelajaran hingga akhirnya menjadi menteri dan orang bergelar? Semuanya itu terbina dengan asas dan roh jati diri bahasa Melayu. Bekas pelajar saya meneruskan kebimbangan dengan agenda-agenda yang kian tidak menentu kerana dia melihat daripada luar akan nasib bangsanya sendiri yang sedang terumbang-ambing.

Gambar di atas adalah gambar kirimannya. Frasa 'Silence is not an option' (dengan izin) adalah pengakuan jujurnya setelah melihat jatuh bangunnya nasib perjuang-pejuang bahasa tanah air yang tidak pernah diberi ruang dan keselesaan untuk berbicara.

Saya masih belum membalas emailnya kerana saya sedang berkira-kira antara wajar dan tidak wajarnya saya berterus terang akan nasib bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara hari ini. Banyak yang terpaksa saya fikirkan sebelum bertindak semberono atau ikut kata hati.

Entahlah, saya sendiri tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh menteri dan orang-orang penting dalam KPM sekarang ini? Kadang-kadang ingin sahaja saya menasihatkan mereka agar tukar sahaja bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara kepada bahasa Inggeris sepenuhnya, termasuklah menukar bahasa Al-Quran kepada bahasa Inggeris. Mungkin ini nasihat keterlaluan atau tidak masuk akal, tetapi jika semuanya ingin diinggeriskan dan memikirkan tanpa bahasa inggeris, rakyat Malaysia akan mati kebuluran; makanya bertindak sedemikian adalah lebih baik. Selepas itu, tukarkan sekali status bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa inggeris; tukarkan juga nama-nama Melayu kepada nama inggeris dan adalah lebih baik lagi jika semua papan tanda di seluruh tanah Melayu ini digantikan dengan bahasa inggeris supaya orang cina, india, melayu dan lain-lain tidak akan marah-marah. Jika itu yang menjadi perkiraannya, maka jangan lupa tukarkan terus Perlembagaan Perkara 152 dan 153 itu.

Saya tidak marah kepada mana-mana pihak tetapi saya sering memikirkan bahawa saya ini timun dan mereka itu adalah durian, saya ini pipit mereka itu enggang, saya ini semut dan mereka itu raksasa. Walaupun ada yang berfalsafah sebagai 'saya ini semuat mereka itu babi' tetapi saya tidak tergamak berkata demikian kerana saya masih punya keluhuran dan masih berpegang kepada prinsip rukun negara 'kesopanan dan kesusilaan'.

Malam ini, mungkin saya akan membalas email bekas pelajar saya sambil cuba menasihatkannya supaya jangan menjadi manusia yang tidak mengenang budi kepada negara yang telah banyak membantu kejayaan masa depannya. Malah sejak dahulupun saya sering menasihatkan anak-anak murid saya supaya sedar dari mana asal kita, dari mana kita bermula dan menghormati orang yang sering membantu kita. Saya bersyukur kerana walaupun telah lama meninggalkan alam persekolahan tetapi bekas pelajar saya masih menghubungi saya dengan celotoh dan gambar-gambar yang penuh menginsafkan.

Akhirnya, saya teringatkan satu soalan yang disertakan oleh bekas pelajar saya itu. Soalannya ialah, "mahu ke mana hendak dibawanya sistem pendidikan negara kita hari ini?".

Saya tinggalkan pertanyaan ini untuk ditebaki oleh sesiapa.

Teringat kata Nabil si Juara Lawak itu, "lu fikirlah sendiri,".

Jumaat, 14 November 2008

Perjalanan Bahasa yang Lara di Tanah Air Sendiri Mengajar Kita Makna Ketidakpercayaan kepada Sang Menteri


SEPI beberapa hari bukan bermakna membawa hati yang lara setelah melihat beberapa peristiwa yang menjijikkan. Ya, peristiwa melihat dan mendengar hal-hal yang berlaku di Dewan Rakyat, pemilihan jawatan dalaman UMNO, isu PPSMI, DKK (Dasar Kebudayaan Kebangsaan), dan isu agama tentang beberapa fatwa yang kelihatannya lebih banyak memihak kepada ketidakbetulan atau ketidaksahkan daripada kebenaran yang ditetapkan oleh Al-Quran dan sunnah.

Entahlah, apa yang sedang melanda pemikiran bangsa dan cara berfikir kepimpinan hari ini masih sukar ditebaki. Adakah mereka ini bangsa yang sedang berada dalam juzuk nikmat kepuasan atau sedang dirasuki petaka sentiasa bersyukur dengan apa-apa yang ada atau sengaja ingin menguji sejauh mana beraninya Tuhan menjatuhkan hukuman duniawi kepada mereka? Inilah pertanyaan demi pertanyaan yang menjadikan saya lebih suka menyepi untuk beberapa waktu terakhir ini.

Saya membelek-belek beberapa buku yang masih belum sempat disentuh malah belum terbuka lagi sampul plastiknya. Saya lebih suka memilih beberapa buku agama kerana sejak usia menuju tua ini kita perlu kembali kepada tradisi iman, iaitu bermuhasabah diri. Sesekali, setelah menatap baca catatan ibnu Muslim, ibnu Bukhari, ibnu Qadir al-Jailani, ibnu Al-Ghazali, saya terasa berada di alam yang serba baharu dan menakutkan akan ketibaan kematian yang tidak pernah diberitakan waktunya.

Saya selalu berfikir, ketamakan apakah yang sedang melanda kepimpinan bangsa Melayu hingga sanggup menjadi pelacur kepada maruah bangsa bangsa dan bahasa? Apatah lagi sebelum ini sanggup menjadi 'cina buta' (pak sanggup) terhadap kes-kes tanah, pembalakan, taraf warga rakyat, dan perjudian-rasuah. Bagaimanakah cara mereka berfikir agaknya?

Sesuatu yang paling saya tidak faham ialah kenapa keputusan yang diambil oleh mereka selama ini tidak ingin mendengar nasihat pakar yang sememangnya masak dalam sesuatu bidang. Saya mendengar bahawa mereka merujuk tetapi pelaksanannya ialah tidak menggunapakai nasihat pakar-pekar itu. Dan apabila tindakan yang diambil itu menimbulkan rasa tidak percaya, ragu-ragu, was-was dan lebih tepatnya tidak disenangi rakyat makanya mereka menuding jari kepada orang lain khususnya rakyat yang tidak berdosa. Contoh yang paling jelas ialah apabila salah seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyalahkan rakyat kerana menyokong kemenangan pembangkang di utara yang mempersenda bahasa Melayu. Menteri ini bercakap di salah satu seminar Bahasa Melayu bertaraf antarabangsa di salah sebuah universiti tempatan dua tiga hari lepas. Tetapi sedarkah pemimpin itu apa yang sebenarnya sedang berlaku?

Analogi saya mudah sahaja; apabila orang UMNO bersetuju menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia maka yang terjadi daripada perkiraan matematiknya begini;
X = Malaysia ialah negara yang dihuni oleh rakyat pelbagai kaum. Ada Melayu, Cina, India dan
bangsa lain.
Y = Bahasa merujuk kepada perlembagaan Perkara 152 dan 153. Dan tentunya yang termaktub
ialah BAHASA MELAYU.
Z = Bahasa baharu yang tidak melalui pengiktirafan perlembagaan negara.

Oleh itu, apabila Bahasa Melayu ditukar menjadi BAHASA MALAYSIA, apa yang berlaku ialah bahasa pelbagai kaum itu akan menjadi teras komunikasi bangsa-bangsa di Malaysia. Ini bermakna yang lahir ialah bahasa pasar, bahasa rojak atau bahasa murahan. Bahasa-bahasa inilah yang sedang merakyat di dalam kehidupan harian rakyat Malaysia. Ini bermakna juga bahawa negara Malaysia sedang menerima proses pengiktirafan istilah (Z) seperti lu, gua, i, u, dan kata-kata carutan yang lain yang tersebar luas dan diguna pakai sewenang-wenang, difahami, diterima oleh pelbagai bangsa itu. Ini juga bermakna Dewan Bahasa dan Pustaka perlu menggubah keseluruhan entri dalam Kamus Dewan atau mana-mana kamus bahasa Melayu.

Saya permudahkan formula ini seperti berikut;

Bahasa Malaysia = X + Z
Persoalannya sekarang di mana kedudukan Y?

Y
telah ditendang daripada sistem yang menjadi teras kepimpinan negara. Y adalah roh yang menjadi kekuatan perjuangan bangsa Melayu. Y adalah jiwa raga dan teras budi fikir orang Melayu. Apabila Y dipinggirkan makanya yang berlaku ialah keracuan dan perasaan kacau bangsa yang tidak akan berkesudahan.

Perjuangan tanpa roh adalah perjuangan yang sia-sia. Perjuaangan tanpa akal budi dan teras budi fikir akan membawa kepada kesesatan. Dan, apabila telah sesat, makanya kesan yang paling teruk ialah seluruh bangsa dan negara akan hancur.

Hari ini, kita sedang menanti dan menunggu satu kehancuran bangsa yang pernah terbilang suatu waktu dahulu di tanah air sendiri. Bangsa itu adalah bangsa saya yang sedang dihancurkan sendiri oleh pemimpinnya sendiri yang berbangsa dan berbahasa yang sama.

Inilah satu analogi matematika yang paling mudah.

Saya tinggalkan soalan matematik ini untuk anda jawab;

UJIAN 1
Masa : TIADA HAD
Jenis Ujian: UJIAN TERBUKA

Selesaikan soalan di bawah ini.

(a) X+Y= bahasa Malaysia
(b) X+Z= bahasa Melayu
(c) X+Y+Z= bahasa Melayu
(d) X+Y+Z= bahasa Malaysia
(e) Y+Z=bahasa Malaysia
(f) Y+Z= bahasa Melayu
(g) Bahasa Melayu(Y) = bahasa Malaysia (X+Z) = Y
(h) Y = (bahasa Malaysia - bahasa Melayu) + Z

Jawapan yang anda perolehi nanti merupakan juga jawapan kepada kenapa UMNO menjadi pertubuhan berjiwa kacau dan kenapa generasi muda Melayu mula kehilangan jati diri hari ini?

Selamat menjawab soalan matematik di atas.



Isnin, 10 November 2008

APA YANG KAU CARI PEMIMPINKU...


i
Mungkin pertanyaan ini sering berkumandang di telinga kalian. Meski pertanyaan ini akan merusuh dalam sukma dan minda fikirmu tetapi, fikirkan juga jawapan yang paling logik dan terbaik sebelum kau memberikannya kepada kami.

Jika kalian membaca tulisan ini, jawaplah dalam hati dengan sejujur-jujurnya. Saya dan mungkin juga kami tidak ingin mendengar jawapan itu kerana sehingga hari ini jawapan yang diberikan amat tidak kami senangi. Apatah lagi apabila mendengar jawapan yang paling menyakitkan hati iaitu permasalahan ini akan di bawa ke meja bulat dan sedang diperhalusi.

Saya akan mengemukakan beberapa soalan yang intipatinya menyempit kepada nasib dan jatuh bangunnya siasah Melayu. Soalan-soalan itu ialah;

1. Siapakah yang bakal menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka? Adakah orang Melayu telah mati untuk menjawat jawatan penting ini?
2. Bilakan negara Malaysia akan memaktubkan penggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi setelah ditukar oleh pencacai itu ke bahasa Malaysia?
3. Bagaimana dengan keputusan PPSMI?
4. Apakah nasib Bahasa Melayu esok hari (bukan sebulan, setahun, atau sepuluh tahun akan
datang)?
5. Wujudkah Dasar Kebangsaan Negara Malaysia pada hari ini?
6. Susah sangatkan untuk mengakui kesilapan setelah kita tahu bahawa telah banyak
kesilapan yang dilakukan sebelum ini?

Saya kira cukuplah 6 soalan itu saya kemukakan supaya kita sama-sama dapat menginsafi nasib bangsa dan Bahasa Melayu. Sebagai manusia yang lemah kita kena akur dengan kelemahan dan membetulkan kelemahan yang sudah-sudah.

ii
Saya mungkin anak kecil yang tidak pandai berpolitik tetapi saya berharap agar nasib bahasa dan bangsa saya tidak dipolitikkan oleh orang-orang politik.

Saya selalu berimpian untuk terus hidup aman damai di tanah air yang merdeka ini. Dan saya juga berharap agar jasad saya nanti dikebumikan di tanah air bernama Tanah Melayu.

Isnin, 3 November 2008

SALAM PULANG DARI KEMBARA


M. Saleeh, Rahimidin, saya, SM Zakir dan Saifullizan di halaman rumah Sun Yet Sen, Shanghai, China.
i
Perjalanan saya kali ini lebih banyak santai daripada berfikir. Maksud saya, saya dan rakan-rakan masih mengekalkan rukun iman sebagai prinsip kembara. Saya mungkin sedikit seronok tetapi sedikit juga gusar kerana terpaksa berhadapan dengan satu bangsa besar yang tinggi tamadunnya. Ya, ketika menjejaki kaki ke tanah Shanghai, Hangzhuo dan Wuzean, semuanya banyak mengajar saya berfikir secara bitara. Perjalanan kali ini mendekat dan mengakrabkan lagi kepercayaan antara kami (M.Saleeh, SM Zakir, Rahimidin, Amiruddin Ali dan Saifullizan). Banyak yang kami lihat dan banyak pula yang kami baca meski amat sukar untuk bertemu dengan askara roman di tanah tembok besar itu. Keupayaan bahasa Inggeris kami menjadi tidak bermakna di tanah itu. Meski kami boleh berbahasa Inggeris itu dengan baik tetapi rakyat negara itu mengajar kami bahawa bahasa itu tidak diperlukan di negara itu. Bicara kami seperti komunikasi ayam-itik.

Inilah sebuah tamadun bangsa yang percaya kepada jati diri dan prinsip kebudayaan sendiri. Mereka tidak pernah mengangkat, mengagung atau memuja sesiapa waima kuasa besar dunia barat. Mereka berpegang kepada prinsip 'kita adalah kita'. Mereka tidak sanggup berlaku perkongsian kuasa. Mereka menentang dasar liberalisasi meski pernah mendoktrinkan komunis. Bangsa mereka memiliki keyakinan tinggi untuk berjuang dengan titik peluh dan akal sendiri. Mereka punya seribu cara untuk memikat kuasa dunia supaya tunduk kepada mereka. Mereka pelihara alam sekitar, mereka jaga moral dan maruah, mereka menyintai pembangunan dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan tradisi dan tamadun.

Kita perlu belajar daripada cara mereka berfikir. Sesampai di kota Shanghai, kota yang dihuni hampir 20 juta penduduk dengan pembangunan mencakar langit yang dibina dalam waktu 15 tahun itu benar-benar mengasyikkan. Bayangkan, hanya dalam jangka waktu 15 tahun Shanghai boleh menjadi kota keempat terpenting di dunia dalam bidang perdagangan antarabangsa. Penobatan ini berlaku tanpa mereka mendewakan bahasa Inggeris pun. Mereka menjadi kuasa ekonomi dunia baharu tanpa bersandar kepada pemikiran barat. Malah kesan daripada kekuatan jati diri itu, makanya kuasa-kuasa besar dunia hari ini mula tunduk untuk menjadikan China rakan kongsi yang paling dipercayai. Di China, saya menemui orang Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Amerika yang fasih berbahasa China. Dalam satu perbualan santai di sebuah kaki lima restoran Islam, orang Amerika itu dengan ikhlas berkata, "di sini mereka tidak menerima bahasa Inggeris." Saya mengangguk sambil bertanya kepada diri sendiri, "kenapa di negara saya hal seperti ini tidak berlaku?"

ii
Seminggu tiada di tanah air, banyak perkara yang mengejutkan berlaku. Pertamanya ialah tentang orang-orang penting yang berada di dalam Kementerian Pelajaran bermula daripada menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai kanannya. Masakan mereka tidak sedar akan sukatan dan nasib mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini? Apabila timbul isu kontrak sosial, makanya sukatan pelajaran itu terpaksa dinilai untuk dirombak semula. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Adakah sejarah yang dipelajari di sekolah hari ini itu satu sejarah yang tidak jujur atau dalam makna ilmiahnya ialah 'pemesongan sejarah' telah atau sedang berleluasa? Di manakah kredibiliti para jemah menteri dan pemimpin KPM itu? Bagaimanakah cara mereka berfikir? Isu bahasa dan budaya yang menjadi teras perlembagaan negara selama ini pun masih belum selesai kini KPM berhadapan pula dengan isu sejarah bangsa?

Siapakah yang perlu dipersalahkan? Jika dahulu saya belajar mata pelajaran Tawarikh, Ilmu Alam, Sains Panduan, Ilmu Hisab dalam Bahasa Melayu, saya tidak pernah menuntut lebih daripada itu sebab saya diberikan jati diri yang baikdan kental oleh guru saya ketika itu. Tetapi sistem pendidikan hari ini yang dibekalkan oleh guru-guru yang sekerat Melayu, sekerat Inggeris dan sekerat lagi buta budaya maka yang terlahir daripada sistem itu ialah generasi yang kosong dan hilang punca jati diri. Yang dilahirkan oleh guru-guru hari ini ialah generasi yang keliru kontrak sosial dan sejarah bangsa mereka.

Malah, terus terang saya katakan bahawa selama ini saya sering berkata kepada anak-anak saya yang mereka perlu belajar Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Saya tidak yakin bahasa Malaysia dapat membentuk sahsiah dan moral orang Melayu. Saya juga tidak yakin bahawa bahasa Malaysia punya roh dan semangat yang jitu untuk membudayakan bangsa dan masyarakat. Bagi saya, hanya Bahasa Melayu sahaja yang dapat menyelesaikan masalah orang Melayu khususnya pemimpin Melayu yang sedang berhadapan dengan krisis identiti ini.

Kita perlu sama-sama mengakui kesilapan yang sedang membusung dalam perjalanan bangsa Melayu hari ini. Jika perlu, kita wajib segera membetulkan kesilapan lalu tanpa menuduh mana-mana pihak. Mari kita jernihkan yang keruh dan kita telan yang patih itu.

Kita perlu membina satu budaya fikir yang berteraskan bitara Melayu. Mari kita buang jauh-jauh semangat gelojoh Melayu atau roh kerakusan demi perut sendiri.