Khamis, 19 Mei 2011

AKU, AZIZI DAN ARENA WATI (ALLAHYARHAM)

(Azizi Hj Abdullah, Arena Wati (allahyarham) dan aku)

16-17 MEI 2011: SAYA, Rahimidin Zahari, Ridzuan Harun dan Ariff Mohammad menyusup antara gelap malam dan hujan yang berderai menuju ke Pulau Pinang. Hajat dan impian kami satu sahaja, iaitu 'menziarah Azizi' yang terlantar hampir 2 minggu di hospital.

Perjalanan tidak akan bernama kembara jika tiada cerita. Kembara hati dengan kembara mata adalah dua hal yang berbeza. Kembara kami adalah kembara hati dan perasaan . Dan dengan perasaan itulah maka saya tidak menggantuk memandu kereta sepanjang perjalanan. Cerita, dan kisah masa lalu berjungkir balik menemani kami. Hanya Ridzuan Harun sahaja yang sesekali beriya dan lebih banyak memilih kesenyapan (tapi tidak memilih tidur). Dia adalah seorang pendengar yang baik.

2.45 pagi kami melelapkan mata seketika di rumah tumpangan pilihan Ariff (bekas orang Pulau Pinang yang terhukum di dalam kerinduan dan nostalgia cinta). Rahimidin Zahari sesekali menjadi petunjuk jalan apabila Ariff sesat dalam kenangan.

Selepas sarapan, kami ke Chowrasta, mencari buku-buku lanka dan membawa jeruk pulang. Sekitar jam 2.20 petang kami sudah berada di wad 116, CICU.

Sebak hati saya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Mulut, hati dan akal saya menenangkan jiwa yang seperti tidak percaya bahawa insan yang terlantar dengan kelengkapan perubatan itu adalah Tukya (Azizi Hj Abdullah). Di wajahnya sedikit sembab dengan kelopak mata sedikit terbenam ke dalam. Hanya doa dan kehibaan yang terlontar ikhlas daripada hati nurani saya. Mudah-mudahan Tukya akan kembali menceriakan hidup kami. Saya teringatkan ketawa dan sindirannya ketika kami melepak di bucu (warung mamak berhampiran DBP). Dan, saya teringatkan cerpennya "Tubuh Tanpa Aura" (Dewan Sastera, Februari 2011) yang salah satu wataknya ialah saya. Apabila saya bertanya kepadanya, "kenapa saya boleh terlibat dalam cerpan itu?" Dia menjawab, "aku punya pasallah." Dia kemudian ketawa. Begitulah akrabnya Pak Azizi, seorang novelis dan cerpenis yang paling layak untuk merangkul gelaran Sasterawan Negara.

Sekitar jam 3 petang, kami sampai di rumah SN Muhammad Haji Salleh. Dia menyambut kami dengan penuh ceria. Ketibaan kami ditemankan dengan pisang goreng, karipap dan kacang. Teh o merancakkan perbualan kami. Pertanyaan Ariff, cerita Rahimidn dan keluhan saya dijawab dengan jujur, bersahaja dan ikhlas. Ridzuan hanya menjadi pencatat sambil meneguk teh o dan menjamah pisang gorang. Tetapi kami faham bahawa di dalam hati SN Muhammad Hj Salleh ada sebuku kekesalan terhadap nasib sastera dan bahasa Melayu. Beliau kini sedang mengusahakan biografi dirinya yang dikatakan melebihi 1000 halaman itu. Kami mendengar kisahnya dengan berulamkan ketawa.

Kami pulang setelah Ariff dan Ridzuan kempunan nasi kandaq. Kami pulang tanpa sempat menjengah SN Shahnon Ahmad dan Amirul Fakir. Kami pulang dengan impian untuk menjejaki mereka semula.

Hujan dan gelap malam menemankan kepulangan kami ke pangkuan isteri dan anak-anak tersayang.

ii

Aku, Azizi dan Arena Wati

Arena Wati telah meninggalkan kami
dan kini Azizi terlantar
antara ujian dan fitrah Ya Rahman
sedang aku
masih berkira-kira tentang duniawi
yang tidak menjanjikan akhirat.

Aku tidak setanding kalian
yang mampu membelah gelombang laut
juga meneroka rimba belantara
dengan akal kata.

Aku hanya
sehelai rumput
antara segar dan layu
terasing di kebun percakapan.

Arena Wati yang telah pergi
dan Azizi yang sedang berjuang
iringlah namaku
ke persada duniamu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Isnin, 16 Mei 2011


SEPUCUK WARKAH BERHARUM MAWAR

Aku tulis warkah ini saat matahari

terbit di kaki langit

ketika aku bergelar dan berpangkat

jauh meninggalkanmu di perdesaan

dan sekolah tempat aku mengenal

alif itu Allah

satu itu esa

dan Muhammad itu

pemimpin teragung.

Dua puluh tahun berlalu

hari ini aku utuskan sepucuk warkah buatmu

untuk kau tatap kenang

dan membongkar kisah masa lalu

seorang aku yang sering didenda

kerana gagal menghafal sifir

dan berdebat tentang politik tanah air.

Kau guruku,

saat kau tatap warkah ini

aku mungkin berada di persada duniawi

sedang berkira-kira tentang ekonomi negara

juga politik yang mengharu-birukan

atau menangisi nasib bangsa

yang kehilangan harta dan kuasa.

Kau guruku,

jika kau masih berteka-teki

siapa pengirim warkah ini

ingatlah kepada seorang lelaki

yang sering berlagak wira

di kelas 5 Kreatif.

Hari ini,

aku seorang lelaki yang hidup dengan semangatmu

mendewasa dengan cabaran dan impian

seorang guru yang mengajar makna berani.

Sepucuk warkah berharum mawar

di tanganmu

akulah pengirimnya

seorang lelaki yang berdiri

antara kanan syurga atau kiri neraka.

SHAMSUDIN OHMAN

Madrasah Sham al-Johori,

Kuala Lumpur

Isnin, 9 Mei 2011

USAH BERCAKAP SOAL PERPADUAN



PeR-padu-an

Perpaduan apakah namanya
kalau saling bersengketa
tentang
Al-Quran dan hadis
ideologi dan fahaman
prinsip dan etos
ciri dan sifat
falsafah dan konsep
akal dan gerak hati
atau
nafsu dan syahwat

Perpaduan apakah namanya
jika masih keliru
antara
dendam dan baik hati
fitnah dan seloka
perjuangan dan pengorbanan
maruah dan harga diri

Usahlah bercakap soal perpaduan
kalau jahil
masih beraja di hati


shamsudin othman
madrasah sham al-Johori