Rabu, 29 Disember 2010

AKU SEBUAH RAK BUKU

AKU SEBUAH RAK BUKU

bahu dan dadaku
sarat menanggung ilmu
menanti rebah ke dada imani
shamsudin tuanku
tak pernah bertanya
akan kuat kudratku
yang ada di fikirnya
hanya buku
dan buku
dan buku
dan
FIKIR
PENGETAHUAN
AKAL
BUDI.

kamar 047
Fakulti Pengajian Pendidikan,
UPM, Serdang, Selangor.

ii
Tahun 2010 ni, rupa-rupanya saya sudah menghabiskan hampir rm1K untuk membeli buku. Begitu juga hampir rm10K untuk membeli lukisan. Itu tidak termasuk mengembara dan membawa hati yang luka ke negara luar.

iii
2011 bakal menjelang. Rak buku pasti akan bertambah dan koleksi lukisan juga bakal menyusul. Catatan perjalanan sudah mula memangkah pada nombor-nombor di dada kalender 2011.

iv.
Selamat tinggal 2010 dan selamat datang 2011. Terimalah kehadiran aku dengan seikhlasnya.

Isnin, 13 Disember 2010

RERUNTUHAN ZUHUD


RERUNTUHAN ZUHUD


Demikianlah takdir-Mu kepadaku
di atas jasad batu-batu terluka
Kau biarkan hujan menjadi air mata
dan langit berkabut menghempas gerimis

Sampai bilakan akar mawar yang menjulur ke air
dan bunga yang berduri di hatiku
akan selamanya mengharum?

Sebab Engkau adalah ar-Rahman dan ar-Rahim,
kematian ini akan sampai juga
pada dingin reruntuhan zuhudku.


SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.

Khamis, 2 Disember 2010

BUKU SAYA


Ini buku saya.

Penerbit: Casa Delima Sdn. Bhd.
Tahun: 2010
Harga: RM18.00

Tajuk: TIPS MOTIVASI GURU: KERJAYA MULIA, NAMA JADI SANJUNGAN

Tugas seorang guru sebenarnya tidak semudah yang disangkakan. Seorang guru bukan sahaja perlu melahirkan manusia yang bijaksana malah lebih mulia lagi ialah melahirkan insan yang akan disanjung oleh masyarakat. Di tangan merekalah seseorang itu boleh menjadi manusia atau 'binatang'.

Guru juga manusia biasa yang banyak kelemahan. Janganlah terlalu cepat melatah dan menyalahkan guru sekiranya anak-anak didik mereka tidak menjadi seperti yang diharap-harapkan. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah tugas kita sebagai ketua keluarga di dalam bilik darjah? Oleh itu, kedua-dua pihak, iaitu guru dan keluarga perlu berganding bahu untuk mewujudkan suasana yang kondusif. Sikap mengambl jalan mudah atau 'cuci tangan' sewajarnya tidak terlintas langsung dalam fikiran kita.

Inilah secebis kisah kehidupan seorang guru.

Tuan-tuan boleh membuat pesanan terus ke penerbit atau layari facebook Casa Delima untuk tempahan (belian) secara online.

Selamat membaca dan maaf atas kekurangan dan kelemahan buku ini.

Selasa, 30 November 2010

KETUANAN MELAYU

Majlis Korban: Sinonim dengan 'konsep korban' Ketuanan Melayu

KETUANAN MELAYU mula menjadi persoalan dalam diri politikus Melayu tidak kira BN, PR atau NGO Melayu.

Pelik, pelik, pelik... bin ajaib.

Kenapa perlu dipersoalkan lagi tentang ketuanan Melayu jika selama ini;
1. DYMM adalah Melayu
2. Raja-raja negeri Melayu
3. Perdana Menteri Melayu
4. TPM Melayu
5. KSU Negara Melayu.
6. Ketua Tulus Angkatan Tentera Melayu
7. Ketua Polis Negara Melayu,
8. Ketua Bomba dan Keselamatan Negara Melayu
9. Semua Ketua Pengarah di Putrajaya Melayu
10. Sebahagian Pengarah Kerajaan Negeri Melayu
11. Ramai orang Koprat Melayu
12. Pemain bola sepak negara ramai Melayu
13. Penagih dadah ramai Melayu
14. Mat Rempit ramai Melayu
15. Sasterawan Negara Melayu
16. Seniman Negara Melayu

dan macam-macam lagi semuanya Melayu. Kalau semuanya Melayu kenapa kita perlu takut dengan ketuanan Melayu?

Tetapi, cuba renungkan; daripada senarai no 3 hingga no 11 di atas semua itu adalah Melayu yang terdiri daripada suku sakat UMNO (rujuk ketuanan UMNO). Apa yang mereka buat selama ini? Adakah mereka yang mengadai Melayu selama 53 tahun kemerdekaan tanah Melayu? Adakah Melayu PKR atau Melayu PAS yang bersalah? Mereka ini (PR) merupakan parti baru yang ingin memulakan nikmat hidup dan perjuangan. Perjuangan mereka pun belum tentu hala tujunya? Oleh itu, mungkin kata-kata PR itu hanya satu sindiran dan bukan ugutan sebab mereka tiada kuasa. Malah, yang selalu mengugut rakyat ialah orang yang memiliki kuasa seperti UMNO. Jika, Melayu-UMNO hari ini ikhlas untuk mempertahankan ketuanan Melayu, sepatutnya hal-hal sebegini tidak mungkin timbul dalam persoalan remeh dan membimbangkan.

Saya menunggu kehadiran Melayu seperti allahyarham Tun Razak. Sama-samalah kita tunggu...

SALAM RINDU

Bangkok dalam kenangan: Teman-teman yang mengubah rintih.

SALAM RINDU
TIADA kisah menarik yang boleh dikongsikan di dalam blog saya kali ini. Kalau adapun selingkar kisah tentang cerita seorang sarjana berstatus profesor yang sedang hebat memburu saya. Daripada mulut teman-teman, saya mendapat tahu bahawa dia (beliau) benar-benar ingin bersua muka dengan saya kerana saya dikatakan mencabar kewibawaannya. Pelik!

Seingat saya, sejak saya mula bertugas sebagai balaci merangkap kuli di wilayah menara gading ini, saya tidak pernah menyentuh dan mengeleteknya kerana saya sedar akan kedudukan saya yang berkerja tanpa status PhD di sini. Oleh sebab itu, saya lebih suka memilih jalan sendiri; menulis dan bersahabat dengan teman-teman di PENA atau rangkaian DBP. Tetapi, apabila wajah saya sering terpampang di akhbar, saya dikatakan cuba menutup periuk nasinya. Masya-Allah....

Kini baharu saya sedar akan makna PhD di dalam akal seorang profesor (Melayu) itu apa rupa-rupanya. Kepada rakan media, tolonglah beri sokongan kepada tokoh ilmuan ini (maaf kalau saya sebutkan di sini bahawa falsafah paling sesuai untuk dirinya adalah rumah kata pergi; kubur kata mari).

Saya mula berasa tidak selesa dan rimas berkerja di bawah bumbung akademia serta menjadi mangsa buruan sebegini. Apa-apapun saya sentiasa sedar akan kedudukan diri saya yang duduk tidak sama rendah apatah lagi kalau berdiri sudah tentu tidak sama tingginya. Saya mula terbayangkan nikmat bergelar guru yang tiada glamournya tetapi bahagia.

Mudah-mudahan Allah SWT mengutuskan segugus ketabahan kepada saya. Amin.

Sabtu, 13 November 2010

DOM

SAYA menerima sms daripada adinda Lutfi yang isinya tentang aktiviti DOM 14 Nov 2010. Saya balas mudah dan ringkas sahaja. "Ada ke filem Malaysia? Oppp, maaf filem Malaysia ada tapi yang tiada filem Melayu."

Filem Melayu telah lama mati ditinggalkan P. Ramlee. Di tangan Rahim Razali, ada sedikit wajahnya; di tangan yang lain saya masih belum menemuinya kecuali 'Sayang Salmah' lakonan Sidi Oraza. Yang lainnya entahlah...

Hari ini, betullah yang ada hanya filem Malaysia; yang diwarnakan dengan 'dilema gagasan 1Malaysia'. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana saya bukan orang filem dan saya tidak selayaknya berbicara lebih-lebih tentang perihal filem dan asam garam industri filem.

Saya masih merindui lawak dan keseriusan P. Ramlee macam yang difilemkan dalam "Pendekar Bujang Lapok."

Selamat berdialong orang muda. Anda pewaris industri seni negara. Belasah dan bercililah dengan penuh hikmah. Siapa makan cili dia terasa pedasnya.

Khamis, 11 November 2010

SEMINAR SASTERAWAN NEGARA MUHAMMAD HAJI SALLEH


TANGGAL 9-10 NOVEMBER 2010 saya menghadiri seminar ini. Berbekal ilmu yang sejengkal dan ingin mengukur lautan yang dalam saya mengharunginya dengan debaran. Berhadapan dengan tokoh-tokoh besar dengan idea yang dangkal sesekali membawa saya jauh ke negeri salik. Saya laluinya dengan segugus harap yang tinggi.

Sayang juga, dalam majlis yang gah itu, saya tidak menemui wajah Baha Zain, Hashim Awang, A. Samad Said atau nama-nama besar lain dalam sastera Melayu. Di manakah mereka? Betul juga kata Dr. Harun Mat Piah atau Dr. Hashim Ismail bahawa keseimbangan antara orang muda dengan tua akan dapat meletakkan duduknya Muhammad Haji Salleh ini dalam posisi yang lebih menarik. Tak mengapalah...sekurang-kurangnya akar akan dapat juga menjadi tali.

Saya tidak berniat untuk mengulas panjang tetapi cukuplah dengan lontaran ingatan bahawa saya masih merindui suara-suara para adiguru sastera Malaysia.

Salam.

SALAM LUKISAN

(Sedang memindahkan gambar ini ke dalam bentuk catan dan menunggu sentuhan warna)

HAMPIR seminggu tidak mencatat apa-apa di dalam rumah "Tanah Nurani ini". Dikejar tugas dan tesis membuatkan banyak masa saya tertumpah di situ.

ii.
Semalam, selepas tamat Seminar Pemikiran Sasterawan Muhammad Haji Salleh di DBP, saya dan beberapa orang rakan sempat berkunjung ke rumah beliau di Kajang. Makan-makan dan kemudiannya bersembang, saya sempat mencuri pandang beberapa lukisan yang tergantung di dinding rumah. Tidak jauh bezanya dengan rumah Dato' Baha; ada 2 buah lukisan Latiff Mohiddin, 2 daripada Porin, dan 1 Zakaria Ali (5 semuanya). Cemburu dan iri hati mula mengalir di dalam diri; tetapi saya sejukkan dengan beristifar panjang kerana semua itu bersifat duniawi sahaja. Ingatan saya sebenarnya jauh mengenangkan janji saya yang sanggup memberikan lukisan daripada tangan saya sendiri. Tetapi, saya sudah tinggalkan dunia lukisan ini hampir 7 tahun lamanya. Mampukah saya melentur berus dan memalit warna di atas kanvas lagi? Atau, mampukah saya mengadun warna seperti yang pernah saya lakukan suatu waktu dahulu? Ini semua amanah/ janji yang mesti saya tekuni.

Kepada rakan saya itu, insya-Allah, berikan sedikit waktu kerana janji tetap janji. Idea dah ada, kanvas dah beli, oil colour dah beli, linsik dah beli, berus dah beli; cuma waktu saja yang belum mengizinkan. Doakan saya mampu menumpahkan sentuhan warna yang dulu. Ada juga angan-angan ingin menghasilkan siri lukisan "Rasa Insaniah" yang sekurang-kurangnya nanti boleh dijadikan buah tangan kepada rakan-rakan akrab saya. Tapi entahlah....

Mudah-mudahan Allah restui hasrat murni ini.

Amin.

Khamis, 4 November 2010

BERITA PENA

29 Oktober - 1 November 2010

Saya, En. Saleeh Rahamad (Presiden PENA), S.M Zakir (SU Agung PENA), M. Lutfi Ishak dan M. Ariff Mohamad bertolak ke Bangkok. Misi kami hanya untuk mengeratkan hubungan kesusasteraan antara dua negara, iaitu Malaysia dengan Thailand. Melalui kerjasama yang erat daripada The Writers' Association of Thailand (TWAT) maka buku berjudul "TRUTH GLOBALIZE" berjaya dilancarkan di Book Expo of Thailand 2010 dengan meriahnya.

Buku ini merupakan antologi cerpen dan puisi pilihan PENA-TWAT yang ditulis dengan tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Siam dan Bahasa Inggeris. Karya-karya Malaysia yang terpilih pula terdiri daripada karya ahli PENA.

ii

MALAM BACA PUISI PENA

Tarikh: 5 NOVEMBER 2010

Masa: 8.30 mlalam - 11.00 malam

Tempat: Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa. Kuala Lumpur.

Bersempena sambutan meraikan sdr. SM Zakir atas anugerah Penulis Muda MASRETA 2010; datanglah beramai-ramai. Anda dijemput membaca karya SM Zakir atau apa-apa catatan tentang diri S.M Zakir.

Selamat bersantai puisi.



Khamis, 21 Oktober 2010

DI SEBALIK PERHIMPUNAN


Model 'Festival Busana Muslim' yang mempersenda nama Nabi Muhammad SAW.
i
"Najib repeating my advice, says Dr M" ini tajuk utama Malaysiakini 21-Okt 2010 jam 4:20 pm. dan dalam akhbar elektronik yang sama juga ada tajuk "Festival busana: PAS berhimpun bantah Rosmah". Di dada Berita Harian pula muncul tajuk "Puteri UMNO bukan objek sex" dan macam-macam lagi tajuk berita yang saya tidak terfikirkan muncul pada saat perhimpunan sebuah parti terbesar Malaysia.

Sepanjang perjalanan ke Shah Alam saya mendengar ucapan Presiden UMNO dengan gagasan muluk yang diselang-selikan dengan petikan ayat al-Quran dan hadis serta gurindam Pak Tenas. Mendangarnya dengan rengus yang tidak berakhir hingga enjin kereta berhenti membuatkan hati kecil saya tertanya. Ke mana hendak di bawanya Melayu (UMNO) oleh manusia ini? Jika kita terpaksa bertoleransi dengan bangsa-bangsa lain; bukankah itu yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat? Pendirian saya jelas, UMNO ialah untuk Melayu. Sementara gagasan perjuangan PKR, PAS , DAP dan lain-lain itu ialah perjuangan kepada sebuah negara bangsa, iaitu perpaduan kaum. Apa yang sudah berlaku, UMNO dah ikut PR ke? Saya tidak mahu berfikir lama kerana inilah politik. Apa-apa sahaja boleh berubah sekelip mata. Seperti yang pernah saya tuliskan di dalam cerpen saya berjudul "Sang Silap Mata, Seekor Badut dan Si Tunggal."

ii
Isterinya pun sama juga, melancarkan Festival Busana Muslim tetapi pakaian modelnya jelas jahiliah dan mempersenda Islam pula. Entahlah.. saya sendiri tidak arif dan faham apa agenda di sebalik sebuah perhimpunan parti terbesar di Malaysia ini.

iii
Hari ini saya sempat bersemuka dan berbincang dengan seorang tokoh bekas Ketua Pengarang Berita Harian. Dia masih seorang idealis bahasa dan Melayu yang 'totok' tetapi terbuka akan kepimpinan baharu yang muncul dengan pandangan dan gagasan semasa. Pengalaman bersama-sama hampir 3 jam itu sedikit-sebanyak memahamkan saya strategi akhbar/ media dalam menentukan jatuh bangunnya seseorang manusia.

Oh, saya perlu berhati-hati selepas ini.

Selasa, 19 Oktober 2010

TAHNIAH SAHABATKU

(Saya, Rahimidin Zahari, Zaen Kasturi dan S.M Zakir)

TAHNIAH kepada dua orang sahabat saya yang baharu sahaja diumumkan oleh DBP sebagai penerima anugerah sastera. S.M Zakir membawa pulang gelaran Penulis Muda MASTERA sementara Zaen Kasturi meraih SEA Write Award.

Kedua-dua penulis ini saya kenali sejak zaman remaja sewaktu mula mengenal 'kalam dan kertas'. Zaen lebih awal kerana kami terdidik daripada Minggu Penulis Remaja. S.M Zakir pula agak lewat sedikit kerana dia anak sorang penulis tersohor dan sasterawan negara pula. Waktu itu, kami malu untuk berkawan dengan anak sasterawan negara. Jadinya saya takut untuk bermesra dengannya dulu. Saya menjadi rapat dengan S.M Zakir apabila kami ditemukan di rumah PENA dan terlibat juga dengan gagasan SPMG (Saketariat Penulis Muda Gapena). Saya yang dulu baik kini sedikit demi sedikit menjadi rosak sana sini apabila mula berkawan dengan mereka berdua (out of record: hehehehehehe).

Kedua-dua penulis ini mempunyai kelebihan tersendiri. Seperti yang saya nyatakan dalam akhbar Berita Harian beberapa hari sebelum ini, bahawa Zaen Kasturi adalah penyair yang sering mabuk dalam kata-kata tetapi terpenjara di dalam ruang besar dirinya. Dia selalu membongkar sebuah masa lalu dengan diksi alamiah. S.M Zakir pula saya lihat antara penulis yang sedang memasuki istana falsafah. Dia juga mempunyai kelebihan yang luar biasa kerana mampu merakam apa-apa juga yang dilihat, didengar dan dirasai tanpa mencatat. Hal ini terbukti di dalam cerpennya yang berjudul "Cerita kepada Teman-teman" (Dewan Sastera, Januari 2009). Pengalaman mengembara dengan S.M Zakir amat memeningkan kepala sebab dia lebih licik daripada Amiruddin Ali yang kononnya sudah licik itu (malah Amiruddin yang licik itu pun selalu menjadi mangsa ditinggalkan).

Kini kedua-dua rakan saya ini sudah bergelar. Potret di atas menjadi saksi keakraban kami. Saya berdoa selepas ini RahimidinZahari pula akan menyusuri jejak mereka berdua. Mudah-mudahan doa ini menjadi kenyataan kerana Rahimidin kini antara yang terbaik dan setanding dengan Faisal Tehrani.

Berbalik kepada Zaen Kasturi dan S.M Zakir, kedua-duanya mempunyai kelebihan yang hampir sama; bermula sebagai pemain bola sepak kemudian beralih kepada bidang penulisan (menghasilkan cerpen, novel, puisi, esei dll), boleh bermain alat muzik, bernyanyi dan menulis lirik lagu. Inilah keluarbiasaan yang sukar saya dan Rahimidin Zahari tandingi. Kami tak pandai menyanyi dan bermain gitar. Apatah lagi main bola sepak (penyokong SPURS sahaja). Malah kelainan paling ketara ialah S.M Zakir lebih bersifat 'brutal'.

Apa-apapun saya secara peribadi amat senang mengakrabi mereka. Bak kata pepatah minang, "tak simpan di dalam hati" itu makanya hingga ke hari ini kami saling berbicara.

Tahniah kepada sahabat saya S. M Zakir dan Zaen Kasturi (Zainal Palit). Selepas ini saya akan terus mendoakan sahabat saya Rahimidin Zahari untuk menyusul sebagai penerima anugerah seterusnya. Kepada kalian, apabila sudah berjaya, jangan lupa saya yang masih di bawah ini. Saya berharap juga mereka berdua akan meneruskan perjuangan sastera Melayu hingga berjaya merangkul anugerah Sasterawan Negara. Saya juga sedang menanti buah rindu (karya) mereka yang terbaharu. Khusus kepada Zaen Kasturi pula, keluarlah dari kota persembunyian dan dampingi kami di PENA.

Hari ini S.M Zakir menjadi tonggak kuat PENA sementara saya hanya tiang yang menyokong tetapi menanti rebah kerana tidak sekuat S.M Zakir . Dia Setiausaha Agung PENA sementara saya timbalannya. Kami sedang menyusun strategi untuk terus memartabatkan sastera Melayu. Dalam PENA, S.M Zakir dan bebarapa rakan lain seperti Mohammad Saleeh Rahamad, Amiruddin Ali, Rahimidin Zahari, M. Lutfi Ishak. Dr. Hanafi Ibrahim, Ariff Mohamad dan lain-lain itu mempunyai buah fikir yang senada dan murni. Insya-Allah, akan kami teruskan perjuangan itu.

Kepada S.M Zakir dan Zaen Kasturi, kalian adalah sahabat yang memahami. Tahniah ikhlas daripada saya dan saya sedang merenung nasib yang jauh panggang daripada api. Moga keakraban kita kian direstui Allah SWT.

Amin.

Sabtu, 16 Oktober 2010

POLITIK ILMU VS POLITIK KUASA


APABILA seorang sahabat menulis perihal politik ilmu dan politik kuasa, saya terasa ada sesuatu yang menarik dalam tulisannya. Kejelasan pendirian itu seharusnya ditebaki dengan kebenaran yang tidak berbelah bahagi. Itulah hakikat yang perlu kita sedari dan itulah yang sering saya gegerkan di dalam puisi-puisi saya selama ini.

Lima tahun dahulu sewaktu saya bergelar guru sekolah, hal-hal ini masih samar-samar dan kurang jelas dalam hidup saya. Tetapi, setelah melangkah dan bertugas di bumbung bernama menara gading, saya mula melihat kecerahannya bahawa hal-hal yang bersangkutan dengan politik ilmu itu adalah setanding dengan politik kuasa malah kadang-kadang lebih teruk daripada itu.

Budaya kerja politik ilmu yang tidak mengenal batas sempatan kreativiti itu pada hakikatnya telah menghalalkan banyak cara, kaedah, pendekatan dan teknik akademia untuk menobatkan sesuatu waima pembohongan dan pendustaan teori dan gagasan. Hal ini menyebabkan budaya berfikir manusia khususnya budaya berfikir intelektual (? - itupun jika boleh digelar intelek) Melayu adalah seperti pemikiran 'melukut di tepi gantang'; penjilat kepada konsep pencerahan ilmu barat; secara membabi buta kemudian mengiktirafnya sendiri sebagai kuasa pemikiran logos dan etos.

Politik ilmu adalah jalur-jalur racun yang kini sedang meresap dan mewabak di dalam dunia akademia Melayu. Sama ada disedari atau tidak; atau sengaja dilakukan dengan tujuan persaingan mengejar status bertaraf antarabangsa, dunia akademia yang mendokong kuasa politik ilmu itu sedang berhadapan dengan 'pusara' budaya ilmu dan fikir akal budi.

Peranan politik kuasa yang mendokong gagasan politik ilmu palsu itu sebenarnya berpunca daripada penguasa politik dayus yang tidak memahami konsep ilmu seperti yang digagaskan oleh Syed Naquib, Hossein, Khaldum, Ghazali mahupun kembali kepada teras asal ilmu, iaitu al-Quran dan hadis. Tanpa berpihak tetapi tegas berprinsip, politik ilmu yang sedang menular dalam masyarakat 1Malaysia hari ini perlu dibendung supaya ketidakjujuran itu dapat dihentikan. Tidak dinafikan, kita juga masih memerlukan manusia dan gagasan ilmu yang sedang diusahakan oleh segelintir manusia. Mudah-mudahan usaha murni yang sedang digagaskan oleh ramai lagi manusia yang sedar akan hakikat ilmu ini tidak terjerumus ke dalam kancah politik ilmu yang diperkatakan ini.

Seorang sahabat saya yang lain, di dalam blognya juga menulis tentang tajuk 'idealogi telah mati' secara sedarnya juga membongkar pandangannya terhadap idealogi kiri, idealogi kanan atau idealogi palsu yang akarnya tergantung dan tidak berjejak di bumi nyata. Gesaan ini bertujuan supaya kita sama-sama memanfaat fitrah akal yang dikurniakan Allah SWT secara baik dan bersusila. Kembali kepada pendirian ini, makanya kita akan dapat menikmati kesan perkembangan ilmu yang sihat dan jujur.

Politik ilmu perlu dalam idea sebuah ketamadunan bangsa; tetapi yang salah ialah politik ilmu itu tewas dalam tangan politik kuasa yang tamak dan tidak beretika. Politik ilmu adalah medan terbaik bagi sesuatu bangsa itu menetaskan gagasan seterusnya mencaturkan budaya ilmu yang subur. Politik ilmu perlu dalam konteks mencuri ruang untuk melonjatkan pemikiran bangsa. Politik ilmu penting dalam merancang strategi penyebaran logos dan etos bangsa, dan politik ilmu juga amat diperlukan dalam pengisian kurikulum bangsa. Tetapi yang salahnya ialah politik ilmu yang menipu segali gus menjadi bahan pencacai, sendaan dan cercaan masyarakat luar yang menguasai ilmu plagiat atau penciplakan.

Sejarah kreativiti manusia tidak boleh melangkaui ayat 82 surah Yassin, iaitu yang berakhir dengan frasa "Kunfayakun". Frasa ini amat jelas memberitahu kita bahawa kuasa penciptaan ilmu Allah SWT adalah melangkaui politik ilmu manusia. Hal ini bermakna, pemikiran manusia yang terbatas itu ada had ego dan sombongnya. Peringatan terhadap jangan mendabik dada dan menganggap orang lain tidak mengetahui adalah satu kejahilan akademik yang perlu dihentikan.

Inilah yang dimaksudkan oleh dua orang rakan saya bahawa politik ilmu dan idealogi yang mati akibat terbawa-bawa oleh arus politik ilmu dan politik kuasa. Akhirnya, politik ilmu dan idealogi menjadi mabuk dalam dunia materialistik hari ini.

Khamis, 7 Oktober 2010

DEMOKRASI VS KEADILAN


DEMOKRASI VS KEADILAN

Sepagi di dada taman
aku dikejut deringan telefon
seorang teman langka
mendesak pengalaman
juga ingatan ikhsan
tentang makna
DEMOKRASI dan KEADILAN

kataku
DEMOKRASI adalah sebilah jarum
yang tajam menusuk tubuh
tanpa sakit dan ngeri
tapi darah membuak
seganas lahar mabuk gunung

kataku
KEADILAN adalah neraca sakti
tidak berjarum tetapi bersihir jampi
tumpul bersilap mata
dalam luka dan dendam nestapa

sebelum berpisah
aku berpesan
DEMOKRASI adalah seekor serigala
KEADILAN adalah seekor kancil
yang kedua-dua mati
kerana sejujuk air mata.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Rabu, 6 Oktober 2010

MERISIK KASMARAN



Merisik Kasmaran

Kau berikan secebis sisa waktu
untuk aku bawa pulang
ke negeri cinta
lalu aku jadikan bekalan
menyusur jejak dan gerak
hingga ke pangkalan

Sayang
yang ketemui hanya
huruf-huruf daripada puisi Iqbal
bertaburan di dada lumpur
dan sebaris ayat Rumi
terpaku di jeti

Aku merisik kasmaran
yang sepi di pelabuhan
sendirian menganyam senja
saat menanti bulan
bersinar di dada malam.

Shamsudin Othman
UPM. 5 Okt 2010

Jumaat, 1 Oktober 2010

JIJIK i

JIJIK i

belum apa-apa
selepas kematian itu
dengan jenazah masih
berharum mawar
sang aligator melatah
"hantu akan bertemu malaikat
di Galas"

Seekor singa tua
antara daging dan darah
yang perlu diratah
adalah roh leluhurnya
tanah gemulan rezeki mencurah

Tanah harum ini
esok lusa
akan berbau jijik
dan busuknya
tidak mustahil
akan melengkar ke kota.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori

Isnin, 27 September 2010

BUKU BAHARU SAYA

Cover buku terkini

i
Ini buku baharu saya yang bakal terbit akhir bulan ini. Buku ini merupakan koleksi tulisan saya sewaktu saya menjadi kolumunis majalah NUR terbitan Karangkraf. Penerbitan buku ini diharapkan akan dapat menambahkan lagi khazanah buku negara. Buku yang berkonsepkan tip motivasi yang diolah dalam bentuk pengalaman ini menampilkan 15 artikal yang berkaitan dengan kehidupan dan kerjaya guru.

Nantilah buku Kerjaya Mulia Nama jadi Sanjungan ini, iaitu buah tangan dan buah fikir saya yang tidak seberapanya. Buku terbitan Casa Delima Sdn Bhd ini akan dijual pada harga di bawah RM20.

Rabu, 8 September 2010

Memilih Sunyi

MEMILIH SUNYI

Aku lebih rela sendiri
dari berteman
saat memahami
makna iman dan amal.

Aku lebih suka sendiri
dari berkawan
saat mencari
hakikat insan dan diri.

Saat aku merindui
diriku sendiri
aku lebih rela
bersunyi
menganyam masa lalu
menjahit mahabbah
merenung takwa
membilang cinta-Mu
yang bergugus di kalbu.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori

27 Ramadhan 1431H
SELAMAT HARI RAYA kepada semua pengunjung blog Tanah Nurani. Maaf Zahir dan Batin kepada tuan-tuan sekiranya tulisan saya, kata-kata saya, perangai saya atau apa-apa juga yang seumpamanya itu pernah menguris hati kecil tuan-tuan. Sesungguhnya, kadang-kadang ada jua ketidakwarasan saya yang mungkin menyebabkan tuan-tuan tidak senangi.
Sekali lagi, marilah kita sama-sama mengimarahkan aidul fitri (eidul fitri) kali ini dengan semangat kesetiakawanan yang ikhlas dan penuh kejujuran.
Salam lebaran 1431H.

Rabu, 1 September 2010

SALAM AULA IHYA AL-QADAR (selepas Merdeka)


SAMBUTAN KEMERDEKAAN NEGARA KE-53 telah meninggalkan kita. Ihya al-Qadar pula sedang menanti dan menunggu. Marikan kita raikan dengan segugus kerinduan cinta insaniah, tingkatkan zuhud diri dalam sebuah pengabdian yang tidak banding taranya. Insya-Allah, sama-sama kita rebut peluang yang dijanjikan Allah SWT ini.

ii
Kemerdekaan telah musnah dalam sebuah perpaduan dan keharmonian. Jika pada zaman Tun Mahathir menjadi PM, sewaktu hari menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka, kita sama-sama dapat melihat parti pembangkang duduk sebaris dengan menteri di pihak kerajaan ketika meraikan hari penuh bersejarah itu. Tetapi semalam, menonton sambutan hari kemerdekaan di televisyen, malang dan sedih kerana tiada seorang pun wakil parti pembangkang diundang untuk sama-sama meraikan. Adakah ini bermakna;

1. pembangkang benar-benar penganas
2. pembangkang tidak diperlukan dalam sebuah negara demokrasi
3. pembangkang bukan rakyat Malaysia
4. pembangkang tiada hak meraikan hari kemerdekaan
5. pembangkang musuh dalam selimut
6. dan lain-lain pertanyaan yang boleh ditimbulkan

Nah, inilah yang dikatakan takut pada bayang-bayang sendiri. Rakyat didesak, diarah, dikerah untuk bersatu padu dan saling hidup bermuafakat tetapi rupa-rupanya antara pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang, semangat itu tidak wujud. Siapakah yang bersalah dalam hal-hal perpaduan ini? Rakyat atau pemimpin?

Rakyat dilihat telah berusaha menjayakan semangat 1Malaysia, hidup dalam kerukunan dan bersatu padu, tetapi pemimpin hanya menjadi manusia haipokrit dan ego dengan kuasa yang dimiliki. Demi hari kemerdekaan, mereka tidak sanggup duduk di dalam dewan di Bukit Jalil, dan menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama sebagai bukti bahawa 1Malaysia bukan untuk rakyat tetapi untuk semua termasuk pemimpin BN atau Pakatan Rakyat. Tidak bolehkan dalam beberapa jam mereka sama-sama meraikan hari bersejarah ini?

Sebagai seorang rakyat yang kerdil, saya kian muak dengan permainan wayang-wayang ini. Oleh itu, siapakah yang belum merdeka, rakyat atau pemimpin UMNO? Kenapa UMNO tidak Pakatan Rakyat? Jawapannya kerana UMNOlah yang sedang menerajui gagasan 1Malaysia tetapi tidak melihat dalam makna yang menyeluruh. Sepatutnya bertindaklah dengan adil demi perpaduan negara yang tidak mengenal politik dan perkauman. Perpaduan negara adalah milik sejagat.

iii
Salam ramadhan dan sama-sama kita rebut peluang malam al-Qadar yang Allah janjikan fadilatnya lebih baik daripada malam 1000 bulan.

Amin.

Jumaat, 20 Ogos 2010

AKU DAN 10 RAMADHAN


AKU DAN 10 RAMADHAN

Ramadhan yang kukasihi
bagaimana harus kurebahkan
setiap doa
ke sudut sejadah
tanpa keringat air mata

Saban waktu
saat mengarifi mukjizat Muhammad
seperti ada gemersik angin
membawa bayangmu
sebuah mimpi
ke dalam kabut jagaku

Satu kekasihku
bentangkan jalan
lorongan cinta
dari tujuh bening cahaya
ke hujung hatiku
kerana
telah kubuka pintu
untuk utusan-Mu
membawa janji azali.

Demi pengabdian ini
akulah pemburu rindu
mencari titik harum
antara kasturi dan mawar
yang melengkar di dada ramadhan.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-johori.
Kuala Lumpur.


10 Ramadhan 1431H

Khamis, 12 Ogos 2010

MEMBACA PEMIKIRAN ORANG MELAYU


BEBERAPA hari ini, saya sedaya mungkin cuba menekuni pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Daripada beberapa buku agungnya, saya kemudian melayari laman-laman sesawang yang berkisah tentang kehebatan dan ketohonan Al-Attas. Ada yang menarik untuk ditanggapi dan tidak kurang juga ada beberapa perkara yang perlu difikirkan kembali. Seperti biasa, saya bukan mudah menerima pandangan orang 100% seperti mana saya memberikan pandangan tentang ketokohan Tun Mahathir selepas pasca kegemilangannya.

Ketika melayari laman sesawang itu, saya menemui satu wawancara Al-Attas di dalam blog Rausyanfikir. Persoalan yang menarik minta saya untuk dikupas, antaranya tentang nasib bangsa Melayu yang masih berada di dalam telunjuk pemikiran barat. Al-Attas menjelaskan bagaimana orang Melayu berada dalam kuasa mabuk istilah seperti 'development, universal, absolute, freedom, colonisability, existentialist' dan lain-lain tetapi mereka sendiri tidak mengerti hakikat makna yang sebenar dan bagaimana pelaksanaannya di dalam kehidupan seharian. Bagi saya secara peribadi kerana kemabukan istilah inilah, makanya ramai sarjana tempatan lupa akan asal usul atau lebih sopannya lupa diri.

Saya ingin mengaitkan hal ini dengan kerjaya saya yang bertugas sebagai kuli di sebuah institusi pengajian tinggi awam negara. Bayangkan kerana ingin mengejar status 'universiti bertaraf dunia' atau 'universiti yang tersenarai dalam 'rangking' terbaik dunia; maka kebijaksana pemikiran Melayu terpaksa dikorbankan. Baharu-baharu ini, saya menghadiri taklimat tentang penyeliaan tesis peringkat sarjana dan kedoktoran. Dalam taklimat itu diberitahu bahawa semua penuliasan tesis peringkat sarjana atau PhD perlu ditulis di dalam bahasa Inggeris walaupun calon itu mengambil subjek bahasa atau sastera Melayu. Alasan yang diberikan ialah untuk menjadikan universiti ini bertaraf dunia.

GILA! GILA! GILA!

Saya tidak tahu apa yang sedang melanda nafsu dan otak orang-orang Melayu yang tidak sedar diri ini. Bukankah dengan cara ini bermakna orang Melayu yang ada kuasa itu sedang berusaha membunuh pemikiran dan para bijaksana bangsa mereka sendiri? Bagi saya, penulisan di dalam bahasa dengan menggunakan pemikiran asli adalah lebih bermakna, tepat dan bitara sifatnya. Bukankah tesis yang telah dihasilkan itu boleh diterjemah? Walaupun mungkin tugas ini perlu diambil alih oleh orang lain, tetapi apa yang penting ialah budaya pemikiran dan keaslian pemikiran itu dapat berkembang secara fitrah, asli dan menepati citarasa bangsanya. Kita bercakap soal keaslian fikiran, soal ketepatan makna dan soal kejujuran. Bagi saya itulah yang dinamakan tesis dan antitesis.

Ada kekeliruan di dalam beberapa tindak tanduk pemimpin tertinggi universiti hari ini. Saya bukan menafikan hak bahasa Inggeris tetapi jika kajian daripada tesis itu melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan warisan bangsa dan ketamadunan bangsa, mengapa kebijaksanaan bangsa itu perlu dikorbankan? Jepun, Perancis, Jerman, Iran dan China tetap maju dan universiti mereka sendiri telah berada dalam mercu tanda universiti terbaik dunia dengan mempertahankan bahasa mereka. Adakah dengan mempertahankan bahasa sendiri maka Malaysia akan ketinggalan? Kajian manakah yang membuktikan hal-hal sebegini?

Dalam buku yang diselenggarakan oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir (Prof. Dr) bertajuk "Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan, Teori dan Praktis" (UKM: 2010), ada beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan. Sekurang-kurangnya kita sedar bahawa ilmu (teori) yang dihasilkan oleh bangsa Melayu (rakyat Malaysia) juga punya kekuatan yang luar biasa. Saya berpendapat, jika ilmu (teori) ini sampai ke tangan barat , tentu mereka akan melihat kita dalam sisi yang lain dengan tanggapan bahawa bangsa Melayu memilki kehebatan tersendiri.

Berbalik kepada pandangan Al-Attas, orang Melayu kadang-kadang berada dalam 'kekacuan jiwa' atau 'kemabukan kuasa' hingga gagal menterjemah (baca menaakuli) konsep dan istilah. Kadang-kadang juga saya menjadi takut berada dalam kancah akademi yang sebegini dan apabila bersuara dengan pandangan yang lain, istilah jumud, kalut dan tidak memahami maksud 'freedom of equal' keluar daripada mulut mereka.

Saya hanya mampu merengus panjang dan sesekali merenung nasib akademik Melayu yang senasib dengan saya. Sesekali apabila difikir-fikirkan, ingin rasanya saya meminta para pemimpin tertinggi universiti ini hadir mendengar lontaran fikir Al-Attas itu. Apakan daya, mana mungkin seorang kuli boleh memerintah bossnya. Mana mungkin seorang kuli boleh mengubah agenda mercun tanda dunia tuannya, dan mana mungkin seorang kuli seperti saya ini boleh duduk semeja dengan mereka, bersembang sambil bertukar-tukar fikiran.

Akhirnya, mana mungkin saya dapat membaca pemikiran orang Melayu yang kuat nasfu dan kuasanya untuk mengubah nasib bangsanya sendiri. Seperti kata-kata Al-Attas, mereka membaca al-Quran seperti kita, mereka membaca hadis seperti kita, tetapi mereka ada kuasa dan kita tidak punya kuasa yang boleh dikongsikan. Kita hanya ada ilmu tetapi mereka tidak suka kepada ilmu yang terlalu jumud akan nilai-nilai kebaikan.

Saya sedang dan akan terus membaca pemikiran bangsa saya sendiri.



Selasa, 10 Ogos 2010

SALAM RAMADHAN EL-MUBARAK


Bulan Ramadhan adalah bulan yang ditunggu-tunggu. Apatah lagi saat menjelang tua ini, tentunya Ramadhan kali ini perlu lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.Saya selalu merenung ke dalam diri dan cuba juga berkias -kias tentang perjalanan Ramadhan 43 tahun lalu. Sempurnakah ibadah puasa saya? Allah SWT terimakah keikhlasan puasa saya? Redakah Allah SWT terhadap pengorbanan saya menahan lapar dan dahaga sepanjang usia 43 tahun itu?

Tahun ini usia saya mencecah 44 tahun dan tentunya ketuaan itu perlu diisi dengan amalan yang terbaik untuk dijadikan bekalan menuju hari kematian. Kerana kematian adalah pasti, makanya saya perlu bersedia untuk melalui kembara itu dengan seluruh jiwa dan raga. Justeru, kehadiran Ramadhan dan amalan wajib berpuasa adalah ujian daripada Allah SWT, makanya juga saya akan melaluinya dengan keikhlasan dan ketakwaan. Saya perlu banyak bersabar dan banyak berdoa untuk menempuh keseronokan berpuasa ini.

Dalam kesempatan ini, saya ingin memohon maaf seadanya supaya kita sama-sama dapat mengimarahkan bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya. Berpuasalah sebagai satu kewajiban sambil menanam azam bahawa penentuan dosa dan pahala itu biarlah Allah SWT yang tentukan. Sebagai hamba, kita perlu reda dengan apa-apa jua ketentuan itu kerana kita hanya mentaati perintah-Nya di samping berusaha melakukan yang terbaik.

SALAM RAMADHAN EL- MUBARAK. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Isnin, 2 Ogos 2010

HARI PAHLAWAN DAN HARI LAHIR

Buat pertama kalinya sambutan Hari Pahlawan tahun ini, tidak ada acara meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara. Pujian kebawah DYMM Tuanku Mizan, kerana memahami konsep kurafat terhadap penghormatan kepada patung.. DAULAT TUANKU (3X). Semoga Allah berkati pemerintahaan Tuanku.

ii
Tarikh sambutan Hari Pahlawan juga merupakan tarikh yang sama dengan hari lahir saya. Oleh itu, secara tidak langsung, saya turut tersenarai sebagai insan terpilih yang diraikan setiap tahun sebagai mengingati pahlawan negara. Saya berdoa supaya saya tidak mati di hujung senjata api atau hujung senjata berbisa. Biarlah saya mati kerana bisanya pena atau kalam Tuhan.

Bercerita tentang ulang tahun kelahiran adalah sesuatu yang kadang-kadang menakutkan. Usia yang beranjak ke tua sedangkan bekalan amal dan iman masih sedikit juga rapuh. Merenung ke dalam diri, bermuhasabah pada malam tanggal kelahiran benar-benar menginsafkan. Sudahkan saya bersedia untuk berhadapan dengan detik kematian yang pasti? Inilah persoalan yang bersarang dalam benak.

SAJAK KEPADA HARI LAHIRKU

Kepada hari kelahiran
setiap tahun aku kauraikan
tanpa mengutus pesan
atau ingatan kalam Tuhan.

Di hujung cinta-Mu
aku mencari bekas
harum yang aku tinggalkan
kenangan yang aku ukirkan
seperti al-Ghazali meninggalkan Ihya Ulumuddin
juga Iqbal meninggalkan Asrari Khudi
atau Rumi meninggalkan rubaiyat cinta
tetapi aku hanya meninggalkan taman percakapan
dan tanah nurani yang kering di pertimbangan waktu.

Selamat ulang tahun Shamsudin,
segenggam padi di tanganmu taburkan ke bendang
suatu hari ia akan menguning, dan
fahamilah sifat azali
rukuk setangkai padi.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Isnin, 26 Julai 2010

MEMENUHI TUNTUTAN PERPADUAN


DUA tiga hari saya diajukan dengan pelbagai pertanyaan oleh teman-teman dan pembaca blog Tanah Nurani ini tentang perpaduan Melayu. Saya malas menulisnya kerana saya pernah membicarakan hal ini di dalam tulisan-tulisan sebelum ini termasuklah di dalam majalah dan akhbar (akhbar ikan bilis yang penuh beretika).

Semalam dalam satu wawancara antara Pak Samad (A. Samd Said dengan wartawan utusan) juga diterbitkan di dalam Mingguan Malaysia (25 Julai 2010) kemudiannya disorot dalam sisi yang lain oleh Dr. Redzuan Tee Abdullah dan beberapa kolumunis daripada akhbar Berita Minggu, hal ini seakan-akan menjadi isu utama negara.

Ada beberapa perkara yang boleh dipersetujui dan ada juga juga yang tidak boleh diakui benar daripada semua tulisan dan pandangan mereka. Gagasan UMNO ialah perpaduan demi Melayu, manakala gagasan PAS ialah perpaduan demi Islam. Kedua-duanya parti yang berasaskan perjuangan Melayu. Begitu juga dengan satu lagi parti serpihan UMNO iaitu PKR yang wujud daripada gabungan Parti Sosialis (PS). PKR dan PS juga parti yang ditunjangi oleh bangsa Melayu yang dilihat menuju ke arah perpaduan.

Cuma apa yang membezakan ialah daripada aspek aliran pemikiran parti-parti ini. Ada yang liberalisme, komunisme, Islamisme, sekularisme, free tingker mahupun kapitalisme. Manusia yang berpegang kepada akidah keagamaan pasti akan bertindak-tanduk dalam ruang lingkup perpaduan dan berbpihak kepada kedamaian dan keamanan. Tiada satu bangsapun di dunia ini yang suka akan kehancurbinasaan kecuali Yahudi. Oleh itu, fahaman mentafsir aliran dan pemikiran sebagai gagasan hidup adalah sesuatu yang bersifat prinsip perjuangan.

Nah, bercakap tentang perpaduan, apakah parti-parti UMNO, PAS, atau PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan mereka? Mereka mungkin boleh duduk semeja kemudiannya berbincang merangka satu alur ke arah perpaduan itu. Tetapi, sejauh mana keikhlasan dan kejujuran melupakan prinsip perjuangan parti itu dapat diakuri. Adakah mereka sanggup melupakan prinsip dan kemudiannya memilih konsep 'matlamat menghalalkan cara'?

Saya seperti dan seakan-akan ingin menyetujui prinsip PAS iaitu, perpaduan berasaskan agama bukan bangsa kerana Islam bersifat menyeluruh. Kerana Islamlah kita sanggup membantu bangsa Palestina, Kosovo dan Bosnia atau mana-mana bangsa Islam yang sekarang ini sedang ditindas Yahudi. Maknanya, Islam tidak mengenal Melayu, Cina, India, Arab, orang putih, Jepun atau sebagainya. Islam melihat sesiapa yang beriman kepada Allah SWT adalah satu umat yang percaya kepada kalimah syahadah (Allah dan Nabi Muhammad) dan hari pembalasan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pak Samad dalam wawancaranya semalam, hal inilah yang tidak disedari oleh pemimpin di atas. Masalah perpaduan digembar-gemburkan apabila mereka menyedari kedudukan mereka sebagai pemimpin kian terancam; sedangkan rakyat yang berjuang tanpa kuasa merasakan mereka telah menjadi mangsa penipuan mentah-mentah oleh sang pemimpin yang bernama kerajaan.

Bayangkan dalam usia kemerdekaan Malaysia 52 tahun ini, orang Melayu masih takut membuat keputusan. Dan orang Melayu yang dimaksudkan ini ialah UMNO kerana dia merupakan kerajaan pada saat dan sepanjang takhta kemerdekaan ini. Kini, apabila ada desas-desur ada parti-parti lain seperti PAS dan PKR berani menyuarakan bahawa mereka juga adalah bangsa Melayu yang berupaya menjadi kerajaan, tiba-tiba UMNO berkokok inginkan perpaduan Melayu. Kepentingan dan strategi apakah ini?

PAS yang didokongi pengalaman Nik Aziz (Tuan guru) yag pernah melalui pengalaman duduk semeja dengan UMNO kemudian merasai keperitan dan derita ditendang keluar daripada konsep uniti (perpaduan bangsa) itu kini amat getir menasihati pengikut-pengikutnya supaya jangan terperangkap dalam falsafah Melayu 'pisang berbuah dua kali'. Begitu juga Anwar Ibrahim yang menjadi tulang belakang PKR juga pernah menjadi orang paling kanan dalam UMNO dikorbankan begitu sahaja tanpa rasa serba salah. Kini kedua-dua manusia itu masih hidup dan tentunya masih membekas dendam daripada peristiwa itu. Oleh itu, bagaimanakah UMNO, PAS dan PKR boleh duduk semeja?

Dalam hal ini, tentunya kembali kepada Islam adalah titik jernih terbaik. Islam melarang umatnya berdendam, Islam melarang umatnya berpecah-pecah, Islam melarang umatnya berbalah dan Islam mengharamkan umatnya bersyak-wasangka. Hal inilah yang sedang diusahakan oleh mufti Perak. Sebaliknya usaha ini pula telah dipolitikkan oleh media dan banyak pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan.

Terus terang saya tegaskan bahawa, dalam konteks perpaduan Melayu, Najib, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim mesti berani, jujur dan ikhlas. Ketiga-tiga manusia Melayu ini perlu duduk semeja tanpa disaksikan oleh sesiapa; hanya bertiga (bukan berdua kerana syaitan suka akan hal-hal ini) di dalam sebuah kamar dan berbincanglah semasak-masaknya. Saya percaya orang Melayu masih merupakan bangsa yang hebat dan penuh keluhuran budi. Saya percaya orang Melayu adalah bangsa Melayu yang kuat berpegang kepada prinsip Islam yang syumul.

Kembalilah kepada prinsip Islam yang sebenar Melayuku tanpa merujuk kepada falsafah Barat atau mana-mana tokoh hebat dunia kerana kita adalah bangsa yang punya jati diri sendiri. Saya rindukan sebuah bangsa dan negara yang aman damai. Kembalilah kepada al-Quran, hadis dan kemuafakatan ilmu yang disepakati Islam.

Rabu, 14 Julai 2010

Profesor KANGKUNG

(Inilah ialah gambar sayur kangkung. Subur di perlembahan.
Sedap dimasak kangkung goreng ikan masin+belacan.)


SAYA baru sahaja balik daripada menghadiri satu majlis meraikan deligasi Rusia (tempatnya tak perlu diketahui). Majlis yang cukup meriah itu dihadiri oleh ramai sarjana tempatan dan bapak-bapak VIP. Majlis ini diserikan dengan ucapan daripada seorang profesor berbangsa leluhur Melayu yang ijazah doktor falsafahnya dalam bidang pendidikan (kalau tak silap dalam bidang 'endragogi'). Nama dan ketokohannya amat mahsyur di negeri sebelah sini sahaja; tetapi kerana berPhD dan bergelar profesor dia diberi penghormatan untuk bercakap tentang hubungan tanah leluhurnya dengan negara Rusia.

Saya yang dipaksa hadir untuk mendengar juga mewakili majikan akhirnya akur dan mendengar patah kata-katanya yang lebih banyak falasi itu. Hampir 30 minit prof. itu berkisah, dia mula mengimbau akan peranan dan sumbangan sastera sebagai media yang menautkan cinta antara tanah leluhurnya dengan Rusia. Dia pun berbicara dengan bangganya, "Keris Masyarakat (sepatutnya Keris Mas) di dalam jurnal Afro Asian Writers terbitan Rusia menjelaskan penulis ini berfahaman komunis. Novelnya 'The Jungle Hope' mempunyai aliran markisme dan setanding dengan Hikayat Sejarah Melayu. Novel ini dipilih untuk dijadikan teks bacaan mahasiswa di Rusia kerana memiliki pemikiran yang sealiran. Puluhan tahun dahulu sasterawan Malaysia telah berjaya melukiskan hubungan ini...." Para tetamu termasuk bapak-bapak VIP bertepuk tangan bangga seolah-olah inilah kehebatan yang luar biasa.

Saya yang duduk di saf ketiga, benar-benar bertentangan dengan prof. itu tergamam. Hati kecil saya berdetik, "adakah saya salah mendengarnya atau saya ini memang bahlol dalam bidang sastera?"

Saya menoleh ke kiri dan kanan dengan berkira-kira sama ada saya boleh meninggalkan majlis atau tidak. Saya buat-buat bodoh dengan meletakkan telefon bimbit di telinga seolah-olah ingin berbicara, terus mengorak langkah keluar. Saya tinggalkan majlis yang penuh meriah itu dengan
aroma 'beriyani gam' menusuk-nusuk hidung.

Dalam kereta menuju ke kamar peribadi di fakulti, hati kecil saya berkocak kembali, "hebat juga prof. kangkung itu berbicara. Keris Mas disebutnya Keris Masyarakat dan nasionalisme disebutnya komunisme. Gila, gila, gila!"

Sesampai di kamar, saya smskan cerita itu kepada tiga orang rakan saya. Seorang menjawab, "sapa prof walbahlul tu?" dan yang seorang lagi membalas, "no komen lah bang, itu kerja sarjana, saya sarjan ja bang." Seorang lagi tidak memberikan respon apa-apa mungkin sibuk mengajar di fakultinya.

Sadis.

Selasa, 13 Julai 2010

DUNIA TIGA SEGI

DUNIA TIGA SEGI

aku selalu membayangkan
dunia ini tiga segi
tidak bulat
atau
O

aKu
ingin lihat aku
pada sisi yang lain
punya sayap dan terbang
juga berenang menyelam ke dasar

duNia
aku 3 segi
ber3 penjuru
(1) adalah syahadah
(2) adalah solat
(3) adalah puasa

dalam tiga segi duniaku
aku adalah batu yang
tersepit antara
damai dan cinta
sunyi dan sepi

Duniaku adalah tiga segi
tapi saat kubuka jendela pagi semalam
duniaku punya lima bucu
(4) adalah zakat
(5) adalah haji

dalam lima segi duniaku
aku masih mencari
di manakah kau takwaku?

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Isnin, 12 Julai 2010

MENCARI AKUKU


MENCARI AKUKU

Sebaris ayat kurenung
kun faya kun
dari setitis mani ayah bonda
rohku mendegup
darahku menyelinap
ke kalbu

seusia ini aku mencari akuku
antara baris pengalaman dan garis waktu
yang berselerakan bak akar mencengkam
antara serabut dan tunjang
memokah dalam sepi dan sunyi
saat mengejar selapis abadi
yang terbit
dari akad pernikahan.

Aku mencari asal akuku
dalam jubah cahaya-Mu

aku mencari abadi akuku
dalam mujahadah iman-Mu

tapi yang kutemui
hanya segenggam tanah
berbekas tak bernama
di hujung kalam-Mu.


Mencari akuku
dalam diri-Mu
yang kutemui hanya
segenggam tanah
coklat dan menghitam.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Rabu, 7 Julai 2010

TAHUN PERTAMA BERGELAR GURU

i
Kejohanan bola sepak Piala Dunia hampir ke penghujungnya. Nostalgia dan kenangan sebagai 'sang pelibas' hanya tinggal kenangan sahaja. Setelah terlibat dengan beberapa kemalangan hingga patah bahu dan patah kaki, makanya impian untuk mempertahankan gelaran 'sang pelibas' itu terpaksa dilupakan sahaja. Sambil menanti gambar-gambar ketika menjadi 'sang pelibas' daripada teman-teman seangkatan itu, tiba-tiba gambar ini yang muncul.

Dalam hati saya ketika membuka email pagi ini ialah, "apalah kawan aku ni, tak ikut perkembangan bola sepak langsung. Aku minta gambar lain, gambar lain yang dikirimkannya."

Namun begitu, tidak mengapa. Kenangan tahun pertama bergelar guru segera terimbau. Gambar ini dirakamkan ketika saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Easter, Kota Tinggi, Johor pada tahun 1989. Berkelulusan Sijil Perguruan Asas, saya pada ketika itu bergaji RM560 sebulan. Dengan gaji itu saya boleh kirim duit ke emak ayah (rm100) dan membayar duit motor (rm 89 sebulan). Maknanya dengan baki gaji itu saya meneruskan hidup sebagai guru di felda selama 3 tahun. Tahun 1992 saya mengambil keputusan untuk menyambung belajar di UM. Maka bermula tahun itulah saya meninggalkan Kota Tinggi dengan banyak kenangan manis. Di sana, saya tidak diuji dengan kenangan yang menyedihkan macam putus cinta ke? atau apa-apa yang bernama kecewa. Syukur kepada Allah SWT.

Oh ya, tentang dunia penulisan saya ketika itu usah diungkap kembali. Jika dilihat dalam sejarah tempoh penulisan saya, waktu di Kota Tinggi (1989-1992) nama saya tidak pernah hadir sebagai pemenang hadiah sastera. Waktu itu, hidup tanpa bekalan eletrik dan air paip amat menjerihkan. Jam 9 malam saya sudah mula menganyam mimpi - tidur. Bangun pagi ke sekolah dan mengajar. Petang menjadi sang pelibas hingga maghrib.; ke surau mendengar kuliah agama dan selepas isya' tidur. Itulah rutin kehidupan saya waktu itu. Dunia penulisan saya ketika itu kosong sekosongnya. Surat khabar hari Ahad boleh dibaca pada hari Isnin atau Selasa. Bayangkan...? Itu kenangan 18 atau 19 tahun dahulu.

Tentang gambar ini, cuba tengok tren tali leher zaman itu. Halus dan panjang. Tali itu dibuat daripada kain jut (saya masih simpan sebagai kenangan). Di sebelah kiri saya cikgu Subri Sumirin (kini bergelar YB Serom), sebelah kanan hujung sekali cikgu Borhanuddin (kini pensyarah Sains Sukan di UPM - bekas pemain bola sepak dan ragbi Malaysia) dan yang lain-lain tu masih bergelar guru dan kadang-kadang saling berhubung juga.

Tahun pertama bergelar guru, banyak mengajar saya makna keseronokan. Dan kini semuanya adalah sebuah kenangan.

Jumaat, 25 Jun 2010

BOLA DAN KENANGAN 1

'Line up' pasukan MPLP 1988/1989. (2 orang yang duduk berpakaian kemeja itu ialah bomoh khas yang kami import dari Sabak Bernam)

Buka email pagi-pagi ini, kawan lama saya kirimkan gambar ini. Terima kasih A. Wahab (kini mengajar di Penggerang, Johor) atas kiriman gambar yang penuh bermakna untuk dijadikan bukti kepada syeikh Zakir dan tuan guru musyidul Am PENA En. Saleeh. Kepada kedua-dua orang teman (baca kawan dan guru) ini, harap dapat renung dan tenung baik-baik gambar ini. Hampir seminggu saya menghubungi rakan-rakan lama yang pernah duduk sekampung, sesekolah, semaktab, seinstitut dan seuniversiti dulu supaya dapat mengemailkan gambar-gambar lama saya ketika saya bergelar 'sang pelibas' (takraw) atau 'sang perembat' (bola sepak).

Nah, ini antara bukti yang saya pernah bermain di padang FAM, Kelana Jaya, pernah menaiki bas FAM dan juga pernah menjadi pasukan belasahan MPPJ. Gambar ini berlaku sekitar tahun 1988/1989 (tak berapa ingat) sewaktu saya mewakili maktab perguruan (MPLP) menetang pasukan MPPJ. Macam biasa, cuba teka yang mana satu saya? Waktu itu jurulatih saya ialah pensyarah yang juga berjawatan salah seorang pengadil bola sepak FAM (En. Ahmad Zainal). Kenangan paling indah apabila pasukan saya dibelasah oleh pasukan Bell Belia Kelang 11-3. Pasukan ini tak pernah menang dalam semua perlawanan persahabatan atau mana-mana kejohanan termasuk Kejohanan antara maktab-maktab Malaysia (PESTARAMA), tetapi saya boleh berbangga sebab pasukan saya sentiasa menang sorak dalam semua perlawanan.

Macam mana nak menang kalau waktu itu, sebelum perlawanan bermula, kami diberi minum coca-cola bercampur panadol 2 biji oleh jurulatih. Apa lagi, waktu main, semua orang 'lalok' tetapi tenaganya luar biasa. Akhirnya, bola depan gol pun saya tak nampak. Hahahahahaha.

Yang penting, saya pernah beraksi di padang FAM, Kelana Jaya, bukan di Chemor atau setinggan Bangi. Ada teman-teman kata, kekalahan pasukan saya disebabkan semua pemainnya kacak-kacak belaka. Dari mula permainan hingga tamat (90 minit permainan), jersey , seluar, stokin dan boot pasukan saya semuanya bersih aja sebab nak rebut gelaran pasukan paling bersih permainannya. Motto pasukan saya ialah 'Biar kalah asalkan bergaya'. Dengan motto itu, pasukan saya menjadi pasukan paling banyak mengadakan perlawanan di ceruk rantau Kuala Lumpur. Kalah di kaki Bank Bumiputra (9-2), Kakitangan Menara Daya Bumi (6-1), Pasukan 18 tahun Kelab Sultan Sulaiman (8-0) dan lain-lainlah. Yang penting walaupun kalau teruk, tetapi penjaring daripada pasukan saya itu salah seorangnya sayalah (ehmmmm!).

Macam biasa, posisi saya ialah di bahagian sayap kanan. Saya akan membawa bola dari kanan padang dan terus mengelecek beberapa orang pemain sebelum 'lalok' dan berhenti. Bola berjaya dirampas oleh pasukan lawan. Kawan-kawan lain gigit jari. Dan penyokong saya akan bersorak, "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!" Fuh, waktu saya menulis ini, saya masih dapat merasakan suasana itu kembali. Tamat aja perlawanan, jurulatih saya bertanya, "berapa banyak panadol kau telan ni? Aku kata 2 biji aja." Waktu itu apa lagi, kawan-kawan lain ketawakan saya bagai nak rak, "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!"

Lepas ini saya nak tutup cerita pasal bola dan kenangan. Tapi, kalau buka email esok pagi dan jika ada gambar baharu yang masuk ke dalam email saya, akan saya cerita lagi. Hehehehehehe.

Tiba-tiba, jeritan "hidup Arab, hidup Arab, hidup Arab!" berngiang-ngiang di telinga saya. Meremang bulu roma. Arab ke Jawa saya ni?

Khamis, 24 Jun 2010

BOLA SEPAK: SENI YANG HILANG

Waktu aku bermain bola dulu, apa yang ada di dalam kepala otak ialah aku memikirkan seni bola sepak dan persembahan yang menghiburkan. Soal jaringan adalah soal ke-100. Hantaran dan kawalan bola di hujung kaki, lutut, dada dan kepala adalah pertaruhan paling membahagiakan. Sepatutnya itulah yang berada dalam mentaliti pemain bola piala dunia 2010 ni. Bagi aku, 32 pasukan yang layat bermain kali ini adalah wira bagi benua yang mereka wakili. Pasukan mereka sudah boleh bergelar juara. Amerika Selatan hanya pentas terbaik untuk pemain-pemain bola ini menunjukkan seni bola sepak yang sebenarnya. Amerika Selatan sepatutnya menjadi padang tempat kita berfikir siapakah yang boleh menjadi pengganti kepada Pele, Maradona, Rossi, Kevin, Zico, Rumineger, Eric Cantona, Dino Zoff, Peter Shilton dan lain-lain lagenda bola sepak dunia. Bagi aku Amerika Selatan bukan pentas tempat memburu seketul emas yang berharga 30 juta itu tetapi lebih daripada itu ialah pentas tempat menentukan harga diri mereka selepas ini. Adakah Jemain Defoe (wira SPURS) akan berharga RM500K setelah berjaya menyelamatkan maruah England yang terumbang ambing di hujung tanduk itu? Bagaimana denghan harga diri Ronaldo, Lampard, Ronney atau lain-lainnya selepas ini? Dua minggu piala dunia berlangsung, aku masih tidak dapat menyaksikan satu persembahan yang menghiburkan apatah lagi berkira-kira untuk meletakkan harga kepada pemain-pemain hebat 2010 itu. Mereka telah menjadi hamba bola. Sepatutnya, dengan bola itulah mereka bola membina sebuah kesenian permainan; mengelecek, mengawal, menimbang, menghantar, berlari, menanduk dan seterusnya membuat rembatan kencang hingga menggegarkan jaring gol lawan. Saat itu, menjerit "golllll!" adalah jeritan yang terasa nikmat menusuk ke jantung. Ini tidak, melihat mutu jaringan pun macam tidak masuk akal.

Hingga kini aku masih belum dapat melihat pemain bola yang betul-betul menghiburkan kecuali penjaga gol Nageria. Tetapi apabila judi bola sudah dihalalkan, susahlah. Semua pemain asyik memikirkan jaringan hingga seni bola sepak musnah.

ii
Yang penting, pasal bola, tesis PhD aku tergantung lagi. Bahana betullah piala dunia ni. Aku juga yang jadi mangsa. Kerana 4 tahun sekali; kerja rutin jadi tertangguh. Setiap malam selepas berita jam 8, hajat hati nak menulis tapi tak boleh sebab jiran tetangga dan sms kawan-kawan masuk ke telinga mengganggu. Hati jadi tidak tenteram. Jiwa mula kacau. Apa lagi, aku angkat bantal duduk aja depan TV. Layannnnnn!

Hehehehehe. Syeikh Rahimidin tak tengok bola sebab dia tengah menulis novel.

Zaman Melibas

Terbuka antara staff 2007
(sdg melontar bola kpd tekong)

gambar tahun 1978
(Team kg Sri Makmur (anakbiaklos [akronim nama teman2] takraw team: Rambut afro berdiri no 3 dari kiri itulah allahyarham Samad Lefthanded. Aku tentunya yg paling kecillah. Jersey cap Forest)

Terbuka Umno Batu Uban (1995). Tidak menamatkan perlawanan akhir dan diistiharkan tewas sebab bengang dgn penganjur yang tak adil. hehehehe


AKHIRNYA, setelah berjaya menghubungi teman-teman sekampung, sekelas dan sekuliah dulu-dulu, maka gambar-gambar zaman melibas saya ini saya dapat kembali. Atas ikhsan teman yang mengemailkan gambar-gambar ini khususnya Man Tobeng, Mat Kiok, Din Tongkat, dan Atan Kuda, saya ucapkan terima kasih.

Bilalah agaknya kita boleh bersatu kembali dan lawan mana-mana team yang hebat macam team Chemor Inn ke atau Bangi Garden ke atau tak kisahlah mana-mana team yang berani.

Bila aku terima gambar itu daripada rakan-rakan sepermainan itu, nostalgia dan kenangan bersimpang siur dalam fikiran. Hai, zaman tu macam tak takut mati rasanya. Pantang dengan ada kejohahan terbuka, sanggup kayuh basikal 30 batu untuk menyertainya. Waktu itu bukan kira menang atau kalah; yang penting fikir nak melibas aja.

Hai, nasib baiklah aku tak mati kena libas. Sekarang ni melibas lain ajalah....

Selasa, 22 Jun 2010

KISAH HARI INI: 22 Jun 2010

i
JI

Waktu semua orang bercakap pasal bola, tiba-tiba hari ini tanpa ribut taufan aku menerima panggilan telefon daripada majikan. Sekitar jam 8.16 pagi saat sedang berkira-kira hendak memulakan penulisan Phd, telefon pejabat berdering. Segera mengangkat ganggang dan mendengar salam, sang pemanggil memperkenalkan diri. Katanya wakil majikan dan sekadar ingin bertanya untuk mendapatkan sedikit maklumat. Cerita punya cerita, terkeluarlah pertanyaan daripada mulutnya.

"Maaf tuan haji, mungkin pertanyaan ini menyentuh soal peribadi sedikit. Harapnya tuan haji boleh memberikan kerjasama."
"Ya, kenapa?" tanya saya pendek.
"Daripada rekod kami, tuan haji kerap ke luar negara. Tahun ni sahaja 3 kali ke Indonesia, sekali ke Singapura, sekali ke Sedney dan sekali ke Sarawak. Bulan julai ni pula tuan haji akan ke Brunei. Tuan haji ada urusan apa?"
"Bukankah setiap perjalanan saya itu saya jelaskan tujuan dan telah diberi kebenaran? Apa masalahnya?"
"Pihak kami cuma ingin memastikan bahawa tiada seorangpun kaki tangan kami yang terlibat dalam gerakan JI. Itu sahaja."
"Oh, jadinya saya ni anggota JIlah?" Saya cuba mengaku dalam tebakan berpeluru kata-kata.
"Bukan macam tu. Kami tidak menuduh, cuma ingin mendapatkan maklumat dan kerjasama. Terima kasih tuan haji."

Nah, seorang manusia macam aku yang pernah menerima latihan ketenteraan (jadi anggota kadet tentera selama 10 tahun dan pernah menjadi pelapes (tapi berhenti)) itu dikatakan terlibat dengan JI? Aneh! Mentang-mentanglah aku pernah dan mahir menggunakan M16, LMG dan raffel automatik, makanya aku disyaki ahli kumpulan itu. Ini tuduhan melampau.

Dulu, sewaktu aku mula-mula berkerja di sini (lebih kurang 2 tahun), aku dituduh sebagai manusia bernama 'Dinsman' iaitu sasterawan dan aktivis budaya reformasi yang popular itu. Pelek, pelek, pelek. Hai, entahlah.

Bila aku fikir-fikir balik, nampaknya segala gerak-geri aku di sini sedang diperhatikan dan diawasi.

Hei, tak ada kerja lain betullah.

ii
Penjara Pudu dirobohkan

Bangunan bertarikh 1891 akhirnya dirobohkan pada malam 21 Jun 2010. Bangunan berusia 119 tahun itu akhirnya rebah ke bumi dengan alasan pembangunan, iaitu meluaskan jalan untuk mengatasi kesesakan Kuala Lumpur.

Menurut Awang (menteri Melayu-Islam yang menghalalkan judi bola) tu, bangunan ini tidak ada makna warisan dan seni bina kepada tamadun bangsa dan negara. Katanya, "penjara adalah tempat orang jahat dan tidak bermakna apa-apa. Tak guna dikekalkan dan diingatkan."

Fuh, begitulah apabila orang kaya dan tidak bertamadun dalam hal-hal yang berkaitan dengan kesenian atau warisan berfikir. Di dalam kepala otak dia hanya fikir duit, duit, duit dan kaya, kaya, kaya, kaya sahaja. Cuba-cubalah berfikir bagaimana pencinta seni bina berfikir atau berfikir dengan menggunakan fikiran orang seni. Meruntuhkan memang senang; panggil sahaja jentera-jentera canggih, sekelip mata bangunan itu boleh dihancurkan.

Saya teringat akan pesanan pensyarah saya ketika saya bergelar mahasiswa universiti Malaya dulu; pensyarah itu ada menyebutkan, "inilah mentaliti menteri-menteri kita. Katanya dah berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Tetapi apabila tindakan telah diambil, mereka menyesal." Itu kata bekas pensyarah saya yang kini telah bergelar YB pihak kerajaan.

Saya menimbulkan isu penjara pudu ini kerana saya teringat ketika saya berada di Istanbul, Turki suatu ketika dulu. Penjara yang terletak di tengah-tengah Istanbul, berhadapan dengan Masjid Biru dan lebih kurang 150 meter daripada St. Sophia Museum ke Universiti of Istanbul, di situlah terletaknya penjara peninggalakan Kamal Ataturk. Penjara itu hari ini sudah menjadi pusat jualan bunga dan kraftangan. Penjara yang pernah menjadi tempat penginapan orang jahat, pengganas, perogol, penjenayah, pembunuh itu kini berubah menjadi salah satu tempat pelancongan popular di Istanbul. Bangunannya yang unik turut menjadi perhatian para pencinta seni bina dunia.

Sepatutnya, penjara pudu yang terletak bersebelahan dengan banguan Time Square itu boleh diubah suai dengan mengekalkan seni bina asal menjadi;

1. gelanggang futsal terbesar di dunia
2. perhentian bas kota raya (one stop center) terbesar di dunia
3. pusat seni terindah di dunia
4. taman permainan terbuka/ kawasan riadah tersegar di dunia
5. kawasan meletak kenderaan awam tercanggih di dunia
6. pusat kebudayaan terbaik di dunia
7. pusat khidmat masyarakat tercanggih di dunia
8. atau lain-lain yang terhebat di dunia.

Saya bercakap begini kerana saya tidak mahu melihat anak cucu-cicit saya akan menjadi seorang yang buta sejarah terhadap negaranya sendiri. Sudahlah kita kehilangan Pulau Batu Puteh, Blok L dan M di Limbang. Apakah kita akan kehilangan bangunan/ monumen seni bina unik lagi bersejarah. Saya faham maksud istilah 'warisan' kerana ramai kawan-kawan saya yang berkerja di bawah kementerian ini. Kawan-kawan saya ini boleh mengajar saya sekirannya saya salah. Tetapi saya melihat makna ' warisan' dan 'sejarah' adalah saling berkait dalam hubungan sebuah negara bangsa yang bertamadun. Kerana saya faham dan cintakan keindahan warisanlah makanya saya menulis entri ini.

Di tengah-tengah bandar raya bernama Kuala Lumpur, rupa-rupa kerakusan manusia mengatasi kebijaksanaan. Selepas ini, kita akan sama-sama menyaksikan pula tanah Kampung Baru dibidak-bidakkan hingga menjadi mangsa yang sama seperti mana bangunan penjara pudu ini.

Marilah kita tunggu dan lihat.

iii
Gambar lama

Minggu depan saya nak balik kampung. Saya nak singgah sekolah lama saya untuk saya cari gambar-gambar lama ketika mewakil sekolah, daerah dan negeri dalam pertandingan sepak takraw, bola sepak dan olahraga. Gambar-gambar itu akan saya scan untuk dimuat turun ke dalam blog ini. Cerita tentang kehebatan gambar-gambar itu akan dikisahkan secara literari kalau gambar itu atau buktinya ada. Kalau gambar tak ada nak buat macam mana, nak cerita pun kawan-kawan tak percaya. Buat penat taip aja tapi orang tak percaya. Hehehehehehe.