Sabtu, 24 April 2010

MALAM PENENTUAN UNTUK 2 AGENDA PENTING



MALAM ini ada 2 sejarah penentuan penting dalam kehidupan saya. Pertama SPURS menentang MU dan keduanya malam terakhir berkempen untuk pilihan raya kecil di Hulu Selangor. Saya tidak dapat menghadirkan diri di kedua-dua lokasi itu kerana masalah ada peribadi/ keluarga.

i

Tottenham Hotspur adalah pasukan yang saya gilai sejak kecil. Walaupun Spurs bukan pasukan terbaik tetapi anehnya kelab ini ialah, selalu menang perlawanan dengan pasukan terbaik dunia juga sering kalah dengan pasukan tidak ternama langsung. Itu bukan masalahnya kerana saya bukan penyokong fanatik. Saya hanya minat dengan sejarah 'White Hart Lane' yang indah dan mengagumkan. Harap-harapnya agar Spurs menang malam ini seterusnya menutup sejarah MU untuk memenangi juara EPL 2009/2010. Spurs juga perlu menang untuk terus berada di tangga keempat liga bagi melayakkan kelabnya ke pertandingan kelab Juara-juara Eropah.

Mudah-mudah Spurs dapat mencipta sejarahnya malam ini.

ii
Malam ini sehingga jam 12 malam maka berakhirlah kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor. Penduduk Hulu Selangor perlu bijak membuat pilihan esok hari kerana pilihan rakyat adalah amanah untuk membawa perubahan.

Bercakap tentang membawa perubahan, saya menjadi takut dengan janji-janji yang ditaburkan oleh UBN. Sehingga saya menulis entri ini, saya tidak pasti sudah berapa juta RM KERAJAAN/UBN habis. Duit itu sepatutnya bukan duit kerajaan kerana Hulu Selangor belum ada pemimpin dan tentunya duit itu daripada UBN (baca banyaknya duit UBN). Atau jika ada kebenaran bahawa UBN boleh menggunakan duit kerajaan (baca, banyaknya duit kerajaan), itu juga bukan persoalannya.

Perkara pokok ialah, jika duit kempen itu daripada kerajaan, dari mana kerajaan mendapat duit sebanyak itu untuk ditaburkan kepada rakyat Hulu Selangor sedangkan dalam masa yang sama semua kakitangan kerajaan diarahkan berjimat cermat kerana kerajaan tidak mempunyai kewangan yang cukup. Inilah yang dikatakan pelik bin ajaib.

Berbanding pihak PR, saya lihat tiada banyak janji yang ditaburkan sebaliknya memilih berkempen secara sederhana dengan berusaha memberi input-input tentang keadaan negara selama ini yang ditadbir urus UBN.

Saya tidak berminat untuk bercakap tentang serangan peribadi kerana itu adalah tradisi pilihan raya Malaysia. Serangan peribadi kepada mana-mana parti sekarang sedang dihalalkan oleh SPR. Jika SPR telus, sudah lama tindakan diambil kepada mana-mana parti yang berkempen dengan menggunakan strategi 'serangan peribadi'. Inilah yang sedang kita lihat, calon pilihan raya ditelanjangkan dan calon pilihan raya diaibkan oleh mana-mana parti. Tanpa rasa segan silu atau malu kepada anak-anak, calon-calon pilihan raya dijaja sana-sini maruahnya dengan harga yang cukup murah.

Hari ini kita sedang melihat SPR seakan-akan mengamalkan budaya 'matlamat menghalalkan cara'. SPR sedang mengajar anak-anak kita cara demokrasi yang salah dan demokrasi murahan. Anak-anak kita menjadi keliru kerana apa yang mereka belajar di sekolah daripada subjek Sejarah dan perundangan perlembagaan tidak berlaku secara tersirat daripada apa-apa yang tersurat.

Entahlah, kita sedang berhadapan dengan satu situasi yang kalut. Kepada rakyat Hulu Selangor, pilihan di tangan anda. Anda yang berhak menentukan pemimpin anda. Selamat mengundi.

iii

Bercakap tentang SPR, saya juga berharap agar pengadil malam ini tidak dipersalahkan oleh Sir Alex Ferguson jika MU kalah di kaki SPURS. Antara nasib seorang pengadil di padang bola sepak dengan nasib seorang SPR, nasibnya hampir sama kerana selalu dikritik jika salah satu 'nama besar' (baca lagenda (MU) atau metos (UBN)) itu tewas.

Di England malam ini, pengadil akan menentukan nasib gergasi bola sepak dunia iaitu MU. Di Malaysia pula SPR akan berhadapan dengan tugas penting untuk menentukan calon parlimen Hulu Selangor esok.

Kepada kedua-duanya, malam ini adalah penentu nasib anda dan bersedialah mendengar kritikan yang akan dilontarkan oleh sang kalah.

Selamat berjuang pengadil dan pegawai SPR.

Khamis, 22 April 2010

TENTANG SAJAK SEORANG SAHABAT


SAYA baharu sahaja melayari blog sabahat saya Fazleena Hishamuddin. Dia ini seorang serikandi teateris tegar yang berani bereksperimen. Persembahannya kadang-kadang melangkau batas fikir manusia. Tetapi, menariknya dia kali ini apabila dia menulis sajak impak daripada isu pembuangan bayi. Membacanya sekali, saya tidak puas. Saya mengulangi baca hingga saya terasa ada dosa lain yang merayap di dalam diri saya. Inilah yang dikatakan perasaan dalam sajak. Saya bukan ingin memuji tetapi cukup sekadar mengakui bahawa sajak ini mempunyai perasaan yang bijaksana.

Saya turunkan sepenuhnya sajak Fazleena ini (dah minta izin pindah terbit; dia benarkan ke atau tidak, saya tak peduli dan itu bukan persoalannya).

Yang namanya Mama

Mama
kalau aku asalnya dari rasa cinta
mengapa di situ aku di letakkan.

Berteman
lalat
ulat
lipas
semut
sampah
tahi

Mama
Kalau aku ini asalnya dari nafas cinta
mengapa di situ aku di campak.

Bersama
Busuk
kotor
hanyir
kepam
jijik
loya

Mama
kalaulah aku ini namanya cinta
mengapa di situ aku di buang.

Bawah jambatan
longkang
tong sampah
lubang tandas
semak samun
tepi jalan

Mama, Mama, Mama
aku mahu punya nama
aku mahu punya cita-cita
aku mahu ada nyawa
aku mahu ada rasa
aku mahu ada cinta

Kalau kau beri aku sedikit ruang
sedikit peluang
aku akan bangkit berjuang
aku akan pergi berperang
aku akan tendang terajang
kepada sesiapa pun yang menentang
kepada sesiapa pun yang melarang
kepada sesiapa pun yang hanya tahu memandang

Tapi Ma,
kau tidak beri aku itu
kau tidak beri aku waktu
waktu

Jangan risau Mama
aku ada bersama Dia
yang terima aku kurang-lebih nya
yang menjaga aku di syurga
yang beritahu aku apa makna cinta

Buat Mama-mama
berhentilah menjaja cinta
berhentilah menjadi pendosa.

Fazleena berjaya mewakili naluri mangsa seorang bayi yang menjadi korban cinta. Saya tidak mahu menganalisis sajak ini kerana saya tidak berniat ke arah itu, tetapi apa yang penting ialah saya terpegun dengan keupayaan penghayatan seorang gadis 'brutal sentimental' (baca istilah baharu yang saya cipta dan sesuai untuk dirinya) ini.

Kepada Faz (nama gelaran saya kepadanya), rupa-rupanya dalam keras hatimu ada kelembutan yang menusuk.

Selasa, 20 April 2010

SAJAK SELEPAS SUBUH

MAHABBAH ILAHIYAH

Setelah menjamah huruf-huruf imani
dari mukjizat Muhammad
subuh yang bahang
terasa hening
dingin menikam tulang
dan segar menusuk ke jantung.

Tidak seperti semalam
subuh tadi menghadirkan
bergugus ingatan dan pesan
masuk mengetuk
pintu dosa
dan sejalur cahaya
tiba-tiba mengutus salam.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Isnin, 19 April 2010

KISAH SEORANG SAHABAT

SEJAK dua menjak ini saya sering menghabiskan cuti hujung minggu di Melaka. Keadaan emak mentua yang tidak begitu sihat menyebabkan ada beberapa perkara rutin terpaksa saya korbankan termasuk menghadiri kuliah Syeikh Muhammad Fuad Kamaruddin al-Maliki yang diadakan pada setiap hujung minggu. Saya telan semuanya dengan kesedihan yang tiada terungkap dengan aksara rumi atau jawi. SMS Rahimidin selalu saya renung baca dengan linangan air mata sahaja. Mudah-mudahan dia segera menjadi seorang salik yang dapat memandu jalan saya suatu hari nanti.

Sampai di KL sekitar jam 10 malam, seorang teman juga 'otai ubn' menghubungi saya kemudian menyindir akan entri terbaharu saya. Dia tak marah tapi katanya hendak jawab 5 soalan yang saya kemukakan. Seperti biasa saya kata, "jawablah sebab soalan itu saya tidak tujukan kepada sesiapa dan maknanya semua orang yang mengunjungi blog saya boleh jawab. Jawapan itu pula tidak perlu dihantar kepada saya kerana tiada markah yang saya peruntukan atau lebih lebih tepatnya soalan yang tidak mempunyai skema jawapan.

Katanya, "soalan saya tiada keesahan dan tidak mencapai tahap kebolehpercayaan."

Saya senyum mendengar sindirannya dan saya jawab ringkas sahaja, "kau tunggu dan baca apa yang aku akan tulis dalam blog aku esok. Aku baru sampai dari kampung, letih dan nak tidur."

Hari ini, saya nak ulas persoalan yang bermain dalam sarang kepala otak rakan saya itu. Jawapannya;

1. Soalan ini saya tidak hantar ke Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) atau Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk mendapat pengiktirafaan akan keesahan dan kebolehpercayaanya.

2. Soalan yang saya ajukan tidak perlu dijawab kerana bersifat terbuka (open books).

3. (Baca dengan nada berguran bukan marah) kau orang nak jawab apapun kau orang jawablah...

Kepada sahabat saya itu, kalau UBN baik, baiklah; kalau PR baik, baiklah. Yang saya selalu berkira-kira ialah ketidakadilan mengiklankan manifesto parti, itu sahaja. Rakyat tidak dapat mendengar dan membuat penilaian terhadap manifesto PR. Jika bersandar kepada kempen, mana-mana partipun akan berkempen hanya tiba waktu pilihanraya sahaja. Selepas pilihanraya, semua parti dan YB yang menang akan tidur, tidur sikit-sikit, buat-buat tidur atau tidur mati tidak kira YB UBN atau PR. Mereka akan bangun semula apabila menjelang pilihanraya semula.

Selamat tumpang sekaki membuang undi sahabatku.

Sabtu, 17 April 2010

MUSIM MAIN BUANG-BUANG DAN DEMOKRASI MALAYSIA

SEMALAM saya dihubungi oleh Tuk Ya (Azizi Haji Abdullah). Kami berbual panjang sambil sesekali berlelocong. Ada ke dia ajak saya main buang-buang. "Buang apa saya tanya?". Dia kata, "buang anak dan buang undi?" Lepas tu dia suruh saya baca tulisan dalam blognya. Saya ketawa kecil kerana dia antara 'guru' yang melucukan apabila bertemu.

Tamat perbualan kami, saya segera menjelajah blognya. Membaca dan kemudian berfikir, terasa sedih melihat sebuah dunia kanak-kanak yang menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia berperangai binatang. Itulah yang dikatakan 'kiamat kecil'. Kematian yang disengajakan dan berperangai seperti firaun yang cukup bangga dengan kekuasaannya iaitu, "aku boleh mematikan dan menghidupkan manusia". Itu cerita Tuk Ya.

Selesai buang yang pertama. Buang yang kedua ialah buang undi. Sepanjang bulan April ini ada dua kali peristiwa buang undi akan berlaku. Satu di Hulu Selangor dan satu di Sibu. Agenda buang kedua ini tentu lebih dahsyat kerana bukan sahaja melibatkan manusia tetapi duit. Malah rasanya lebih daripada itu, iaitu perang poster, perang mulut, perang fitnah memfitnah, perang rasuah, perang tikam dari belakang, perang aurat, perang perjuangan, perang prinsip, perang media dan perang pilihanraya kecil.

Agak-agaknya buang mana yang lebih teruk antara dua ini, buang anak atau buang undi?

Ada sesuatu yang sedang saya fikirkan tentang buang undi ini. Buang undi adalah satu aktiviti yang melibatkan pemilihan. Memilih calon untuk dijadikan pemimpin. Oleh sebab itu, tentunya ada pihak yang mewakili parti kerajaan (UBN) dan satu lagi ialah parti alternatif (PR -penggunaan istilah parti pembangkang adalah salah). Pilihan di tangan mereka untuk memilih dan membuat keputusan (sebab saya tidak dibenarkan membuang undi di kedua-dua kawasan itu). Apa yang sedang bergasak dalam minda saya ialah;

1. Baik sangatkan UBN?
2. Jahat sangatkan PR?
3. Baik sangatkah PR?
4. Jahat sangatkah UBN?
5. ATAU siapakah yang baik dan jahat sebenarnya?

Malas rasanya nak berceloteh panjang. Percayalah, sepanjang bulan April ini, perang media sedang berjuang habis-habisan untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa UBN adalah parti terbaik manakala PR adalah parti terjahat. Saya berkata demikian kerana PR tidak memiliki berkesempatan diberi ruang seadilnya untuk menjelaskan manifesto perjuangannya kepada rakyat secara terbuka. Oleh itu, tentunya pihak UBN akan menuduh semahu-mahunya bahawa PR gagal dan parti individu yang tidak mempunyai prinsip perjuangan. Demikianlah dan saya bukan ingin membela mana-mana parti sebab saya tidak layak membuang undi.

Inilah demokrasi Malaysia. Kepada rakyat yang bergelar Rakyat 1Malaysia, buang membuang adalah milik dan kuasa anda. Ayuh, mari kita main buang-buang. Falsafah Melayu 'buang yang keruh ambil yang jernih' itu gunakanlah sebijak-bijaknya supaya kita tidak menyesal kemudian hari.

Apabila TPM mengumumkan bahawa nama calon BN - P Kamalanathan - mencerminkan konsep 1Malaysia." Kamal, Alan dan Nathan," katanya lagi "nama yang berjuang untuk semua kaum." Saya terfikir selepas ini rasanya orang Melayu sudah tidak layak lagi menjadi Perdana Menteri atau YB di Malaysia kerana nama mereka tidak lagi bercirikan nama 1Malaysia. Maka, sama-sama kita tunggu nama-nama baharu yang bakal muncul tanpa bercirikan Islam atau Melayu semata-mata ingin menjadi menteri pada suatu hari nanti. Menyedari hal ini, saya teringatkan sajak Khalid Saleeh yang bertajuk "Babi".

Kepada Tuk Ya, sekurang-kurangnya saya sudah memberikan pandangan ikhlas lanjutan daripada tulisan Tuk Ya itu.

"Jom Tuk Ya, kita main buang-buang?"

Rabu, 14 April 2010

MIMPI SEORANG DAIE

MALAM adalah detik-detik yang paling merisaukan saya kerana selepas malam akan hadir siang dan tarikh akan berganti dan masa kepada janji terhadap diri kian dekat. Begitulah putaran kehidupan setiap hari. Paling saya takut akhir-akhir ini ialah kerja-kerja menyiapkan tesis yang masih belum lengkap sepenuhnya. Apabila ditanya oleh rakan-rakan, khususnya ketua jabatan, saya akan menjawab dengan penuh yakin, "sikit lagi, sedang kemas kini rujukan dan semak analisis." Jawapan itu semua hanya untuk menyedapkan hati sahaja. Apa-apa yang sebenarnya berlaku, masya-Allah.

Peliknya juga, apabila sedang bersiap-siap untuk menulis tesis, idea menulis sajak datang mencurah-curah. (Aduh! Tak tahu nak pilih mana satu, akhirnya kedua-dua kerja tak siap).

Saya tulis sajak ini.

MIMPI SEORANG DAIE

Aku tinggalkan semuanya
kemewahan
kebahagiaan
kenikmatan
kasih sayang
cinta dan rindu
teman dan saudara
di dalam tubuhku.

Aku tinggalkan semuanya
jiwa dan raga
saat berjuang di perbatasan kematian
sedetik yang nanar
dalam cengkam derita tak terungkap
seperti Muhammad di dada Aisyah
dahaga tersekat di halkum
panas merayap segenap sendi
sambil bersaksi air mata Izrail menitis
dan
bagaimanakah aku saat tiba waktunya?

Demi sebuah kerelaan
dalam ketakutan
berkali-kali aku berjanji
syahadah, isytifar dan selawat
membasah dalam zikir dan tahmid
mengiring musafir detik.

Sesungguhnya,
aku mencari diriku sendiri
yang tersihir oleh nikmat malam
hingga mabuk
dalam gelas tipu duniawi.

Ya Rabb,
aku yang lapar keampunan
kirimkan aku segugus taubat
untuk kutelan semahu-mahunya.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.

Rabu, 7 April 2010

CATATAN DR. MAWAR SHAFEI

SAYA petik sepenuhnya catatan Dr. Mawar Shafei daripada blognya 'mawarshafei.blogspot.com' tentang kumpulan puisi saya. Terima kasih Dr.Mawar yang mengguna pakai kumpulan puisi ini untuk teks wajib pelajarnya. Tapi sayang, kumpulan puisi ini tiada lagi di pasaran. Saya pernah menulis surat kepada DBP supaya buku ini diulang cetak tetapi hingga kini saya sendiri tidak tahu khabar beritanya.


Naskah terakhir, hadiah dari sahabat saya, Shamsudin Othman. Tanah Nurani juga menjadi judul antologi puisi pemenang Hadiah Sastera Perdana 1996-2005 terbitan DBP. oh, DBP, tolonglah cetak ulang Taman Percakapan yang pembacanya sedang menunggu.

SAJAK: USAH KAU PADAM NAMAKU


SAJAK ini meronta-ronta sejak malam tadi dalam fikiran. Rupa-rupanya bila tengok takwin (kalendar) hari ulang tahun kekasih dah nak sampai.

Nah, bacalah sajak ini!


USAH KAU PADAM NAMAKU
(Puisi ulang tahun kepada kekasih)

Tidak seperti selalu
kali ini tanpa ros atau mawar
aku datang kepadamu
berteman bulan dan malam
sejambak cinta yang segar
segugus rindu yang mengharum
adalah hadiah dan kenangan.

Jangan kau padamkan namaku
dari sejumlah sejarah yang tercatat
saat embun seperti gerimis
jatuh dan subur di kalbu hayat.

Selamat ulang tahun kekasih
akulah lelaki yang tegar menyusur cahaya
pulang berpimpin tangan ke negeri imani.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Khamis, 1 April 2010

SELEPAS BENGKEL 'PROSES KREATIF' DI UKM

KETIKA di UKM semalam, saya bercerita tentang proses kreatif saya atas tajuk "Catatan 'Dosa' Seorang Pengutip Cinta dan Rindu Ilahi". Di depan sekitar 20 orang audien, saya mengenang kembali perjalanan saya sebagai seorang pencatat kata-kata yang bermula tahun 1986. Maknanya kini usia saya sebagai seorang penulis ialah 24 tahun. Tentunya banyak yang saya lalui untuk mengenali diri sendiri sebagai seorang penulis. Mungkin secara kebetulan, tajuk yang saya cipta secara 'main-main' pada awalnya itu adalah satu kebenaran yang terungkap daripada pengakuan itu.

Kepada Dr. Mawar Shafie, terima kasih banyak-banyak atas kesudian mengundang saya untuk membuat pengakuan itu. Itu semua adalah catatan orang berdosa kerana tidak pernah memahami konsep dwifungsi kejadian manusia iaitu pertama 'khalifah' dan keduanya 'pendakwah'. Terima kasih sekali lagi sebab menghulurkan buah tangan paling berharga bertajuk "Novel Intertekstual Melayu".

Dalam perjalanan pulang, saya terfikir, "berdosakah aku bergelar penyair?" Saya turunkan juga sebuah sajak yang menjadi penghabisan ayat dalam makalah yang saya tulis itu. Maaf kerana sajak ini tidak berjudul.

Jika telah kau padam namaku

dari akal fikir dan kalbumu

padamkan ia dengan lentera imani

abunya kau taburkan ke laut

supaya boleh menyusur arus gelombang.

Jika kau ikhlas memadam namaku

dari hati nuranimu

itu tandanya

semua akan berakhir

dan aku sudah dimiliki

oleh yang MahaAbadi

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori.