Selasa, 30 Jun 2009

DUA MESYUARAT YANG MENDESAK


Gambar: Di depan pintu masuk bangunan Hagia Sophia, Istanbul.

SEMALAM dan pagi tadi saya terlibat dalam dua mesyuarat yang saya kita penting untuk menentukan masa depan sastera Melayu.

Semalam di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) saya, Dato Baha Zain, En Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan beberapa orang kuat ITNM termasuk pengerusinya En. Khir Ngadiron berbincang soal masa depan bidang terjemahan sastera Melayu ke BI mahupun bahasa-bahasa asing lain. Saya membaca pemikiran dan cara pengerusi ini berkerja. Dia laju berfikir dan menangkap situasi. Semua gerak-geri dapat difahami dengan murni. Dalam lawak dia membuat keputusan; dalam serius dia memberi cadangan. Begitulah En. Khir yang saya kenali. Sebelum ini, daripada cerita teman-teman dan melihat dirinya dari jauh, ada yang menyatakan dia tu serius. Tetapi setelah bermesyuarat seputar 2 jam 30 minit, dia seorang yang tulus dan berkarisma.

Saya akhirnya diminta untuk mengumpulkan sejumlah 25 puisi penulis muda Malaysia yang akan diterjemahkan ke BI. Puisi terjemahan ini perlu disiapkan segera untuk dilancarkan di Singapura pada 24 November 2009 sempena Festival Sastera Singapura.

Wah, ini tugas berat yang menuntut pemerhatian dan pengamatan saya. Saya berkira-kira di dalam hati bagaimana cara terbaik untuk memilih sejumlah penyair muda Malaysia yang boleh menggekalkan keunggulan puisi-puisi Melayu nusantara seperi mana tahun 70-an dan 80-an. Seperti yang kita sedia maklum period itu adaalah zaman terbaik penyair Malaysia mencipta nama dalam persada puisi nusantara. Saya terbayangkan nama-nama besar seperti Latif Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar, Mochtar Awang, T. Alias Taib, Suhaimi Hj Muhammad, Siti Zainon Ismail, Zaihasra dan lain-lainnya. Saya juga terbayangkan rakan-rakan sepenyair masa kini. Di manakah saya ketika ini? Sebariskah nama saya dengan mereka itu?

PAGI TADI, saya diundang oleh DBP untuk sama-sama hadir ke Dialog Bersama Ilmuan dan Karyawan. Program yang diadakah khas untuk menentukan hala tuju dan peranan DBP sebagai badan berwajib menjaga maruah bahasa dan sastera Melayu. Kehadiran yang menggalakkan itu dirancakkan dengan beberapa pandangan sarjana mahupun penulis. Pandangan Dato Hassan Ahmad, Dato Kemala, Prof Dr. A. Wahab Ali, Dr. Azizah, Dr. Noorfaridah Manaf, Dr. Hashim Ismail, En. Saleeh Rahamad, S.M. Zakir dan tidak lupa cikgu Awang Abdullah diharapkan dapat didengari dengan tulus ikhlas oleh warga DBP, khususnya KP yang baharu itu.

Sebenarnya daripada kedua-dua pertemuan itu, saya cuba membuat banding beza cara berfikir dua orang ketua itu, iaitu seorang mewakili ITNM dan seorang mewakili DBP. Perbezaan yang ketara ialah seorang masih muda dan tentu laju berkerja dengan idea yang sezaman, dan seorang lagi yang telah berusia malah berhadapan dengan birokrasi politik negara yang keterlaluan.

Kedua-dua organisasi ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan nasib sastera dan bahasa Melayu. Kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa nasib warisan bangsa itu terletak di tangan mereka. Dan, kedua-dua orang ketua ini juga tahu bahawa jika mereka menentang politik negara bermakna mereka akan tersingkir. Begitulah beratnya kerja dan beban yang ditanggung mereka berdua.

Yang seronoknya, sebelum kami menamatkan pertemuan di ITNM, En. Khir berseloroh. Katanya, "jangan samakan ITNM dengan DBP. Kita akan berkerjasama dengan semua pihak untuk memastikan sastera negara terus ulung." Saya tersentuh mendengar ucapan ikhlasnya itu.

Saya pulang daripada kedua-dua majlis itu dengan beberapa persoalan. Dan, sehingga kini saya sedang memikirkan, apakah yang sudah terjadi kepada DASAR KESUSASTERAAN KEBANGSAAN?

Adakah dasar ini, atau berfungsikah dasar ini jika ada?

Sabtu, 27 Jun 2009

AIR MATA TERTUSUK DURI


SEMINGGU tidak menulis apa-apa di dalam blog sendiri yang kemudiannya menyusul sms daripada teman-teman. Sms berbunyi, 'hai, tak peka kepada bahasa ke? blog tu kalau tak kemas kini tutup aja!'

Saya tidak perlu marah-marah kerana saya pun bukannya pandai marah. Balik-balik senyum aja. Tapi, dalam hati siapa yang tahu?

Sejak akhir-akhir ini saya diburui tugas yang menjengkelkan; rutin yang melibatkan masa depan dalam kerjaya utama. Tak apalah, kita tinggalkan kerja-kerja yang tidak akan mengenal makna selesai itu.

Untuk menjawab sms rakan saya itu, saya perturunkan sajak "Air Mata Tertusuk Duri" yang belum pernah tersiar di mana-mana. Sajak ini saya karangkan saat air mata sudah tidak berair kerana menangisi nasib bahasa yang diperlakukan oleh juak-juak umno. Mudah-mudahan, sajak ini akan membawa kesan kepada berita yang bakal diumumkan oleh menteri pelajaran Malaysia merangkap TPM pada awal Julai 2009 ini tentang PPSMI.

AIR MATA TERTUSUK DURI
(apologia kepada Bahasa Melayuku)

tiada maknanya jernih air mata
yang membasah bumi
saat duri menusuk jantung

hening dan pilu
yang menyatu di dalam nurani
bertukar menjadi serumpun lalang
terbakar di dada malam

air mata adalah darah
yang menuliskan amarah dan dendam
di muka bendera bangsa

setelaga derita
basah di sejadah malam
setia menanti hari
terkuburnya pemimpin
berhati babi.

Shamsudin Othman
Kemboja-Saigon.

Oh ya, jam 8.25 di Berita TV9 malam tadi, mantan PM (Tun Mahahthir) berkata, "orang yang makan rasuah samalah macam orang makan daging babi."

Habis tu, orang yang mengadai maruah bahasa dan bangsanya tak sama macam babi ke? Heheheh, siapa yang babi sebenarnya? Dan sekarang, Rais Yatim dan seluruh rakyat Malaysia sibuk bercakap pasal babi. Selsema babi, gila babi, membabi buta, babi babi dan macam-macam lagi babi. Mudah-mudahan, Allah jauhkan kita semua daripada virus babi.

Saya teringatkan sajak Khalid Saleeh bertajuk "UMNO Baharu".

Rabu, 24 Jun 2009

KETERHARUAN YANG MENUSUK


PULANG dari tugas kerana kerja-kerja menyiapkan tesis agak lewat malam. Masuk ke rumah; sunyi dan sepi serta gelap (sangkaan isteri dan anak-anak sudah lena dibuai mimpi). Jam menunjukkan sekitar 12.05 malam. Saya ke arah suis lampu dengan langkah gerak hati terus menekan punat suis. Menyala sahaja lampu kalimatan, riuh dan jerit anak-anak "Selamat Hari Bapa" memecah sunyi malam. Anak yang kecil melompat untuk didakapi. Dengan senyum dan tawa mereka; di meja kecil tersedia beberapa kotak hadiah dan kek kecil. Kami makan bersama-sama hingga jam 12.30 malam.

Membuka hadiah-hadiah yang diberikan anak-anak; amat mengharukan. Ada sebatang pensil, ada sebuku pemadam dan kotak satu lagi ialah kertas putih A4 satu rim jenama Double A. Sehelai nota tertulis;

"Kalau ayah salah tulis dengan pencil ni, ayah guna pemadam adik. Kertas tu nanti ayah tulislah sajak banyak-banyak. Kami sayang ayah."

Ya Allah, saat itu ada keterharuan yang benar-benar menusuk. Rupa-rupanya dalam diam seluruh gerak-geri saya diperhatikan anak-anak.

Lalu hati kecil saya berdetik sendirian, "ayah terbaikkah saya ini untuk anak-anak yang sedang mendewasa?"

Dalam waktu itu juga, saya teringatkan kisah khasiat pinang muda yang dihikayatkan oleh Malim Ghozali PK kepada kami (saya, En. Saleeh Rahamad, S.M. Zakir, Dato Baha Zain dan Dr. Ahmad Razali ketika kami makan tengahari di warung Kancil semalam siangnya).

Sebelum tidur, saya sempat membayangkan ayah saya yang sedang bergelut dengan sakitnya. Moga ayah saya segera sembuh dalam rahmat dan hidayah Allah SWT. Amin.

SELAMAT HARI BAPA kepada sahabat-sahabat saya.

Selasa, 23 Jun 2009

HARGA SEBUAH KETULUSAN vs KERAJAAN PERPADUAN

Gambar: Dipetik daripada blog MSO

Malam tadi sekitar jam 12.05, seorang sahabat sms dan isi smsnya pendek tapi padat. 'Syukur, yang keruh telah dijernihkan.' Sebenarnya itulah jawapan yang saya tunggu-tunggu selepas bertanya kepadanya petang semalam. Pagi ini, saya segera membuka blog MSO kerana dia antara pemikir yang saya sering baca tulisannya. Saya petik 2 rangkap penuh tulisannya sebagai mengiyakan peristiwa yang saya nanti-nantikan sejak semalam.

Saya turut bersyukur dengan apa yang berlaku. Mudah-mudahan kemelut dalaman yang melanda (meski bukan ribut taufan) kembali damai dan tenang. Inilah ketulusan dalam perjuangan. Saling memaafi dan mengakui kesilapan. atas isu kerajaan perpaduan yang dimanipulasikan media UMNO menyebabkan jong PAS hampir karam. Allahamdulillah, jong sudah menjadi bahtera dan pelayaran di samudera akan kembali belayar. Alangkah baik juga sekirannya hal yang sama berlaku di dalam UMNO.

Sementelahan pula, Najib dalam ucapannya semalam turut menolak penubuhan kerajaan perpaduan. Ini bermakna apabila kedua-dua parti (BN dan PR) memutuskan tidak akan mewujudkan kerajaan perpaduan, makanya kiambang dan teratai tidak akan bertaut.

(Saya perturunkan dua rangkap daripada petikan blog MSO)

Sementara itu kira-kira jam 6:00 petang pula Pas telah menyelesaikan kemelut di dalam partinya mengenai salah faham mengenai unity government khususnya antara Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz dengan Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa.

Satu kenyataan dikeluarkan oleh Nik Aziz yang menjelaskan bahawa isu unity government telah tidak berbangkit lagi. Isu berkenaan dikira tutup buku. Sehubungan itu beliau juga telah menarik balik bidasan pedih yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin sebelum ini. Penarikan balik itu menunjukkan Tok Guru itu bersedia mengaku salah atas apa-apa tindakan beliau yang dianggap kurang manis dan terlajak sebelum ini.

Isnin, 22 Jun 2009

SAAT MALAM MEMAKSA AKU MERENUNG SEPI


Gambar: Di depan menara tawanan perang kerajaan Rom, Kota Greek (Nov 2006)

SAAT MALAM MEMAKSA AKU MERENUNG SEPI

malam yang resah di langit Rom
bercakaran di dadaku
antara sepi yang jauh
dan sunyi yang dekat
tapi tidak ingin bersatu
meski ruang amat terbuka

merenung segugus cinta
yang berkecai di kaki dinihari
tiada siapa ingin memahami
masnawi rindu Hamzah Fansuri
rubai cinta Iqbal
puisi Giuliano de Sangallo
yang membelah kalbu malam
saat lidah waktu tegar menyusun kata

tapi kenapa
ketika igauku kembali tenang
dalam munajat dan zikir
kau hadir membawa seruling mimpi
menghembuskan
kalimat-kalimat berahi
ke telingaku
lalu ke fikirku

lewat malam yang kian melarut
hening pun tiba
mendamba doa dan taubat
lalu untuk kesekian kalinya
mimpi menjadi gelap
cinta menjadi ruyup
rindu menjadi sepi.


Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Selasa, 16 Jun 2009

APA YANG AKAN SAYA BAYANGKAN


APA yang akan saya bayangkan ialah exco-exco UMNO dan pakatan rakyat berganding idea memakai tali pembalut kepala yang bertulis MANSUHKAN PPSMI di dalam dewan parlimen. Hanya dengan cara ini, PM dan TPM dapat menyedari bahawa di bawah slogan 1Malaysia dan iltizam pembentukan kerajaan perpaduan makanya, slogan ini diharap dapat menyatukan hati banyak pihak.

Saya tidak pernah menolak kepentingan atau menyatakan tidak kepada BI. Cuma apa yang saya kesalkan ialah kerajaan di bawah pimpinan UMNO seperti sedang menguburkan kedaulatan bahasa Melayu dan sastera Melayu. Entahlah, di mana-mana saya dan rakan-rakan asyik menyatakan kegusaran ini. Seorang rakan yang berkerja di Astro pernah memberitahu bahawa kalau tidak kerana pekerja-pekerjanya ramai Melayu, sudah tentu siarannya dikuasai oleh filem barat, cina, hindi mahupun indon. seorang lagi sahabat saya yang bertugas di akhbar perdana menceritakan juga bahawa ruang sastera di dalam akhbar mereka menyekat pendapatan jualan iklan.

Entahlah, sudahlah nasib surat khabar harian jawi menjadi sekali seminggu. Sekarang ada pula agenda yang ingin mengurangkan muka surat ruangan sastera pula. Alasan yang sampai ke telingan saya ialah mereka perlu mencari wang sebanyak mungkin untuk menampung kos kenaikan harga kertas dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Nah, kenapa ruangan sastera pula yang perlu dikorbankan, tidak ruangan hiburan yang keterlaluan dan menjijikan! Oppp, saya terlupa bahawa orang Malaysia suka membaca ruangan gosip berwajah gadis jelita daripada ruangan yang sedikit ilmiah. Inilah mentaliti rakyat dan bangsa kita. Cerita penceraian artis lebih penting daripada kisah penghakisan jati diri Melayu. Kisah homosex lebih menjadi pilihan daripada kisah aulia dalam ruangan agama.

Saya sendiri keliru memikirkan dua kelompok manusia Melayu. Kelompok pertama yang menjadi pemimpin asyik mencetuskan idea untuk merosakkan warisan dan jati diri Melayu. Manakala rakyat biasa pula lebih tergoda dengan kisah-kisah bernafsu-nafsi. Sementara golongan pertengahan yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak pula, asyik berada di dalam kepompong dunia mereka sendiri. Tindak tanduk mudah mereka ialah janji Malaysia aman, damai dan dapat makan minum secukupnya. Kata mereka, kita perlu bersyukur kerana dapat menumpang nikmat kesenangan. Wah, senangnya jika menjadi golongan ketiga ini.

Saya berkira-kira juga, bagaimana jika negara kita belum merdeka lagi? Adakah kita ingin memberikan keistimewaan kepada rakyat bukan peribumi seperti hari ini? Adakah kita sudah mempunyai kuasa mutlak untuk mempertahankan kedaulatan bangsa Melayu?

Saya teringat seorang rakan karib yang sempat berkunjung ke blog saya lalu meninggalkan catatan, 'di kampung saya ada banyak babi'. Ayatnya pendek, sebaris dan mempunyai enam perkataan sahaja. Mari sama-sama kita renungkan ayat itu sedala-dalamnya tanpa merujuk kepada bangsa bukan peribumi. Maknanya, tanda atau lambang atau simbol kepada babi itu agaknya merujuk kepada apa?

Jumaat, 12 Jun 2009

BI YANG MENUNTUT KEPERLUAN DUNIAWI


ANEH LAGI AJAIB apabila pemimpin Melayu mula tidak yakin dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Kemelut PPSMI belum berakhir, kini rakyat disajikan pula dengan desakan wajib lulus subjek BI dalam peperiksaan paling penting iaitu SPM.

SPM adalah peperiksaan yang bakal menentukan masa depan rakyat Malaysia. Lulus atau gagalnya SPM akan menjadikan rakyat Malaysia itu seorang doktor, guru, pegawai kerajaan, usahawan berjaya mahupun penagih dadah. Inilah hakikat yang perlu disedari oleh seluruh umat Malaysia.

Agenda muluk akan menjadi hina jika tidak dikaji atau dinilai dengan kebitaraan yang ikhlas. Kita ingin melihat rakyat yang berdaya saing dengan dunia luar. Menguasai BI adalah satu bukti terbaik ke arah itu. Saya sokong sepenuhnya tetapi saya perlu memikirkan pro dan kontranya.

Pendapat atau pandangan pelbagai rumpun masyarakat perlu didengari dan diselidiki sebaiknya. Kita ingin melihat satu keputusan yang dapat memenangi hati semua pihak meski ada yang tidak bersetuju. Sekurang-kurangnya, kita sedang berusaha memberi kepandaian kepada bangsa dan rakyat bergelar Malaysia.

Malah, apa yang lebih penting ialah kita perlu menerapkan kepercayaan mutlak kepada Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu yang menjadi teras kepada pembentukkan sebuah tamadun bangsa dan negara berdaulat.

BI dipelajari; BM didaulati - barulah kita dapat melahirkan masyarakat yang bermodal insan.

Isnin, 8 Jun 2009

KITAKAH TUAN DI TANAH AIR KITA SENDIRI?


SEMALAM Samy Vellu, Tan Siew Sin mahu pun Awang Selamat mengeluarkan kenyataan yang berbaur cauvinis dan rasis. Mereka bertelagah pendapat dengan pandangan yang sedikit bertentangan dengan prinsip 1Malaysia. Saya dari kejauhan membaca dan menikmati kisah ini dengan sedikit rasa tersinggung setelah berfikir sejenak tentang usia kemerdekaan 51 tahun negara kita.

Saya juga tertanya-tanya, siapakah tuan di tanah air ini? Dan, pada hari ini pula, ada pemimpin pemuda MIC buat laporan polis terhadap Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, semata-mata kerana ayat ini: Bila orang Melayu membela hak Melayu, mereka kata perkauman, namun apabila mereka membela hak mereka dan ada kalanya menyinggung perasaan orang Melayu dan raja-raja Melayu, mereka tidak menganggapnya sebagai perkauman.

(Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, Utusan Malaysia: 4.6.2009).



Wah, ada unsur kontradik rupa-rupanya!

Saya membayangkan inilah kesannya apabila perpaduan itu tidak diikat oleh bahasa yang menjadi tunjang keutuhan sesebuah negara. Inilah kesannya jika bahasa Melayu terlalu dianaktirikan. Inilah kesannya juga jika bahasa Inggeris itu diberi muka hingga pijak kepala. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Adalah lebih baik sekirannya, bahasa Melayu itu didaulatkan kembali supaya hanya dengan satu bahasa sahaja matlamat perpaduan itu boleh dicapai. Membuka ruang kepada bahasa-bahasa lain apatah lagi yang berbaur penjajah hanya akan mengundang parah dan hancur.

Mengikat perpaduan dengan satu sistem bahasa telah terbukti berjaya, misalnya negara Indonesia dengan slogan 'Satu Bahasa Satu Negara' atau pun Perancis yang berpegang kepada prinsip 'Bahasa Kita Roh Kita' .

Hari ini, dengan usia kemerdekaan negara yang menua itu, kita sedang berhadapan dengan tuntutan demi tuntutan yang dilihat mewakili bangsa hingga akhirnya timbul istilah rasis.

Nah, tanpa banyak berbicara mari kita renung kembali, kitakan tuan di tanah air sendiri?

Jumaat, 5 Jun 2009

SELAMAT BERMUKTAMAR


Selepas mengucapkan selamat bersidang kepada UMNO, saya juga perlu mengucapkan selamat bermuktamar kepada PAS.

Slogan 'Pilihlah Pemimpin Beriman dan Bertaqwa' amat muluk didengar apatah lagi sebagai parti yang berpaksi dan berpayungkan kepada gagasan kesyumulan Islam. Semalam, saya dihujahi dengan panggilan telefon daripada rakan-rakan yang perjuangannya adalah hidup dan mati untuk PAS. Rakan-rakan dari kampung yang bergelar dan berjawatan tinggi itu memancing saya agar saya turut sama berjihad. Saya tidak memberikan jawapan ya atau tidak kerana pertamanya, kesihatan saya masih belum pulih sepenuhnya. Kedua, saya perlu menumpukan kerja-kerja PhD saya yang benar-benar mendesak (baca lebih kurang macam guru saya juga- En. Saleeh Rahamad: tapi dia ni otai sikit).

Oleh itu, saya hanya memilih untuk mendengar dan membaca berita persidangan itu daripada mana-mana sumber kedua sahaja. Saya tahu, keputusan ini amat mengecewakan rakan-rakan saya itu. Maafkan saya, sahabat. Begitupun, apa yang lebih menjadi keutamaan saya untuk menolak ajakan rakan-rakan saya itu ialah kesihatan saya. Sejak akhir-akhir ini, nafas saya sering tidak menentu. Ada rasa sengal pada bahagian kiri dada; selsema dan batuk; kurang selera makan dan pening-pening sering bersilih ganti. Badan menjadi lesu dan otak amat malas untuk berfikir. Entahlah. Mungkin ini dugaan atau sebahagian daripada ujian kehidupan? Atau juga peringatan kepada kehadiran hukum alam dan penentu kepada pengakhiran jasadiah.

Kepada rakan-rakan saya itu, selamat bermuktamar dan pilihlah pemimpin yang menjadi slogan kali ini. Saya sentiasa ingat pesan rasullullah Nabi Muhammad SAW iaitu;

Bukanlah yang paling baik dalam kalangan kamu orang yang meninggalkan dunia kerana akhirat, dan bukan juga meninggalkan akhirat kerana dunia; tetapi yang paling terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang mengambil kedua-duanya daripada dunia dan akhirat. Sesungguhnya itulah orang yang bertaqwa. (hlm. 11 dlm. Minhajul Abidin: 2005)

Saya amat berharap juga agar kepimpinan PAS dapat dikekalkan dalam tradisi berteraskan kepada kepimpinan ulamak. Golongan profesional (erdogan) pula, perlu hadir sebagai pendamping yang menjadi pelengkap kepada kesatuan organisasi. Tunjang dan pendamping adalah dua perkara yang berbeza.

Mudah-mudahan harapan saya dapat difahami oleh rakan-rakan saya itu.

Salam perjuangan. Takbir.

Rabu, 3 Jun 2009

TERIMA KASIH, YA ALLAH


TERIMA KASIH, YA ALLAH. Nyawa saya rupa-rupanya masih panjang. Syukur yang tidak terhingga kerana saya masih diberikan ruang dan kesempatan untuk menghirup udara segar dan nikmat kehidupan ini.

Kesihatan saya yang terganggu sejak dua tiga hari ini menyebabkan saya membatalkan penyertaan saya untuk mewakili UPM dalam kejohanan Sukan Staf antara universiti yang dianjurkan oleh Universiti Terengganu Malaysia. Saya yang pada peringkat awal akan mewakili pasukan sepak takraw veteran dan 4X100 meter veteran terpaksa membatalkannya apabila ketua kontinjen turut terpaksa menggugurkan nama saya daripada senarai peserta kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Saya akur walaupun berat sekali.

Rupa-rupanya sakit itu adalah rahmat yang tidak terhingga. Sukan Staf antara universiti ini (2-8 Jun 2009) dijangkakan akan melibatkan hampir 2 ribu peserta dan kemuncaknya akan diadakan di Stadium Bola Sepak Gong Badak, Terengganu.

Semalam, berita runtuhnya bumbung stadium ini benar-benar memeranjatkan saya. Berita yang berkumandang di pelosok tanah air itu dan musibah stadium yang bernilai RM270 juta itu tidak dapat saya bayangkan. Andai kata, pada waktu itu saya sedang berlari (4x100 m) atau sedang membuat rejaman (main sepak takraw) tiba-tiba bumbung stadium itu runtuh dan jatuh ke atas diri saya. Ya Allah, mungkin saya mati atau cedera parah atau cedera ringan atau paling tidak terkejut dan trauma.

Allah masih memberikan ruang kepada saya untuk bertaubat dan menginsafi diri. Terima kasih, Ya Allah. Ampunkan segala dosa-dosa yang telah saya lakukan. Amin.

Isnin, 1 Jun 2009

KESIHATAN YANG TERUJI


SALAM dalam kesihatan yang sedikit teruji. Dua tiga hari ini kesihatan saya sedikit sebanyak tidak berada dalam rutin yang sihat. Batuk, selsema dan demam menyebabkan saya memilih untuk berehat secukupnya. Di kampung halaman, melihat keindahan flaura sambil mengimbau masa lalu banyak mengingatkan saya kepada cerita-cerita gemulah dan ayah. Saya mengenangnya dalam renungan panjang yang mengembirakan. Sesekali terdetik di dalam sukma, "alangkah indahnya masa kanak-kanak yang hanya memikirkan satu perkara sahaja iaitu main, main, dan main."

Saya bayangkan zaman kanak-kanak amat indah kerana bangun tidur ingatkan main, sewaktu makan bermain, nak tidur main dulu, nak pergi mengaji masih sempat bermain, apatah lagi ketika mandi; main di sungai yang airnya jernih, nak ke sekolah sempat bermain-main dan macam-macam main yang melingkari kehidupan zaman kanak-kanak saya. Saya kita, 99% zaman kanak-kanak saya ialah dibesarkan dalam suasana penuh main-main.

Ketika kesihatan sedikit teruji inilah saya menilai semula keindahan zaman main-main itu. Alangkah indahnya jika sekarang ini, saya boleh meneruskan zaman main-main itu. Saya tidak perlu memikirkan kerja-kerja PhD yang sering menuntut untuk dikemas kini; saya tidak perlu memikirkan hutang kereta dan rumah; saya tidak perlu memikirkan beban kerja di universiti yang entah apa-apa meski sekarang ini pelajar saya sedang berulit dengan mimpi dan cuti; saya tidak perlu menulis untuk jurnal mahupun artikel yang mendesak dan macam-macam lagi yang sedang berserabut dalam fikiran.

Esok, saya akan pulang ke kota raya dan meneruskan rutin serta tambahan kerja iaitu mengajar kumpulan KPLI/ DPLI ambilan khas. Aduh, saya mula terasa senak dan sesak untuk bernafas kembali. Saya akan meninggalkan udara segar kampung halaman untuk mula menghirup udara tercemar kota raya.

Bagaimana dengan kesihatan saya selepas ini saat berjuang melunaskan tugas rutin? Moga Allah memberikan saya kekuatan dan rahmat-Nya untuk saya meneruskan kelangsungan ini.